Thursday, September 30, 2010

:: Ummi Berusaha Menggemokkan Alisya...

Hati ibu mana yang puas dan mana kan ada yang tidak gundah-gulana tatkala si anak tidak 'sebaik' yang diharapkan. Sedangkan si anak terluka kecil pun sudah mendatangkan kerisauan bukan kepalang kepada si ibu, inikan pula keadaan Alisya yang semakin kurang memuaskan hati aku.

Mungkin aku tidak menceritakan se-detail mana apa yang ku lakukan bersama anak ini di rumah, latihan bagaimanakah yang ku praktikkan setiap hari untuknya, stimulate yang bagaimanakah untuk anak ini tidak ku rungkaikan di sini. Mungkin itu semua masih tidak mencukupi. Mungkin juga tidak sebesar mana rangsangan itu untuk Alisya. Atau mungkin juga tidak sebagus ibu yang lain. Namun, tidak bererti aku hanya duduk tersimpuh menunggu 'takdir' dan azimat yang besar berlaku ke atas Alisya. Aku juga mencuba sedaya mungkin untuk membantu memulihkan keadaan anak, agar lebih baik dari hari ini. Apa yang ingin ku kongsikan, Alisya semakin kurus... semakin kudut, semakin melonjang. Terus-terang, aku rindu sangat akan keadaan Alisya ketika dia menembam bagai dipam-pam!

Alisya ketika zaman amukannya.
Kamok-kamok pon, badan bagaikan kueh pau!


Bukan tidak diberi makan yang cukup, tapi aku sendiri tidak pasti manakah silapnya. Aku akui, Alisya tidak boleh untuk disuapkan nasi hanya dalam sepuluh minit, malah anak ini pandai memilih 'tangan' yang menyuapnya. Umminya sendiri mengambil masa lebih setengah jam untuk memberi Alisya makan. Tapi itu bukan alasan, sekiranya aku bercuti... aku akan pastikan Alisya makan semangkuk habis. Pagi akan diberi sarapan biskut bercampur nestum, kemudian tengah hari akan diberi nasi hancur atau bubur yang diblend separuh halus. Alisya juga tidak boleh untuk makan setiap hari, pasti beraknya menjadi keras lalu berdarah apabila meneran. Kesian anak ummi.


Zaman nih, Alisya tidaklah kerap makan.
Akan tetapi masih berisi badannya. Bestkan?



Perihal susunya pula, kebelakangan nih... Alisya tidak mahu menyusu sekerap dan sebanyak mana. Jika 5 oz yang ku bancuh, yang jalan hanya 2 oz atau 3 oz sahaja. Jika dulu, Alisya mampu menghabiskan 8 oz sekali gus... Buntu! Lalu aku dan abang bertekad untuk menukar sahaja perisa susu Alisya. Mamex Gold Soya... ini yang ku cuba berikan kepada Alisya sekarang. Alhamdulillah, anak ini menerima sebaik mungkin. Orang kata, beri anak minum soya lebih baik, lebih-lebih lagi anak seperti Alisya yang sedia maklum otaknya mengalami kecederaan yang serius! Ketika dia masih baby, aku pernah cuba untuk memberi susu perisa soya ini, namun diluek-kannya. Terus merajuk, barangkali ketika itu memang tekaknya tidak boleh menerima susu soya. Hari ini, aku lega kerana Alisya serasi dengan Mamex Gold Soya. Tapi tidaklah aku bergantung dengan susu barunya ini untuk memulihakan otaknya. Mana mungkin? Masih perlu dirangsang, masih perlu dilatih. Masih perlu diberi pelbagai supplement untuk kebaikan Alisya. Ouuh.. berkaitan supplementnya, Ayu ada memberikan Alisya Carborie. Katanya untuk bantuan menambahkan berat badan. Ina sudah terlebih dahulu mencubanya kepada Nabila, hasilnya memang nampak Nabila makin berisi. Harapnya, Alisya juga akan turut naik berat badannya. Biarlah ummi dan abi 'patah' tangan mendukung kamu, asalkan Alisya menembam semula. Sungguh ummi rindu akan susuk badan kamu yang montok itu!


Ummi berdoa agar zaman kegemilangan
kegemukan anak ummi, kembali semula!



Jauh di sudut hati, aku memang risau akan keadaan Alisya yang semakin 'lemah' dan seperti ada rasa 'frust' menyelubungi diri. Abang? Lebih frust berbanding aku. Ya, mungkin aku tidak secekap ibu yang lain, mungkin masih tidak banyak latihan sewajarnya untuk Alisya. Semoga masih sempat untuk aku melakukan sesuatu 'perubahan' yang besar ke atas anak ku ini. Doaku moga Allah memberkati usaha kami. Aku benar-benar risau melihat keadaan kaki Alisya yang semakin keding dan melurus.

Sebalik itu, Alisya makin kerap tersenyum. Jika dulu, 3 bulan sekali nak tengok anak ini mengukirkan senyuman pun payah! Bilakah agaknya Alisya akan terkekek-kekek gelak seperti kawan-kawannya? Aduh, tentu tak senang duduk di ofis bila masa itu tiba, tak sabar rasa di hati nak pulang melihat gelak-tawa anak kan? Alisya juga makin banyak merenung ke anak mata ummi. Wallahualam, adakala renungannya seakan mahu membisikkan sesuatu, adakala seperti merenung penuh makna, adakala seperti renungan kosong. Macam mana nak tahu Alisya nampak ummi dan abi yerk?


Seberat mana kamu, segemok mana anak ummi...
ummi tetap tak penat mengendong kamu!
(Alisya hari ini... makin susut kan? Risaulah ummi...)



** Alisya, maafkan ummi! Maafkan ummi jika kamu ada terasa seperti ummi 'abaikan' kamu! Ummi mahu melihat kamu berupaya menguruskan diri! Ummi mahu kamu terus menembam! Itu sudah memadai bagi ummi... Tercapaikah?

Saturday, September 25, 2010

:: Pahit Manis Aidilfitri...

Ramadan sudah pun berlalu pergi. Kini Syawal menjengah kembali. Salam lebaran, salam Aidilfitri buat semua rakan-taulan, sanak-saudara yang sentiasa di hati. Ampun dan maaf dipinta sebagai pengganti diri andai ada yang terasa hati.

Lamanya aku ambil masa nak update blog! Hihiii... bukannya tiada cerita, akan tetapi keterbatasan masa dan kehilangan mood membuatkan aku tersentap seketika untuk meneruskan aktiviti ini. Tambahan pula, dengan kedatangan Aidilfitri yang sedang rancak diraikan sana-sini, sebenarnya banyak memberi impak dan kesan yang mendalam dalam hati ini. Semenjak dari Ramadan tiba lagi, pelbagai cabaran dan ujian harus ku tempuhi demi Alisya! Sebagai hamba-Nya, hanya tawakaltulillah sahaja yang mampu ku panjatkan. Tiba hari kemenangan, yakni Hari Raya... ku fikirkan dapatlah diraikan dengan penuh kesyukuran, penuh kegembiraan. Namun, sebaliknya yang terjadi. Ada sahaja mulut-mulut yang tak tahu pahit manis pabila bertutur, ada sahaja perit jerih yang terpaksa aku dan abang lalui! Lumrah manusia kan, jika ada yang tidak molek di depan mata... cepat saja diperkatakan! Apabila yang indah terjadi, tiada pula kata-kata pujian diberi. Sabarlah hati...

Sebernarnya, agak teragak-agak untuk aku luahkan apa yang berlaku pada Aidilfitri lalu. Risau andai ada yang menyatakan, aku hanya berprasangka buruk. Takut jika ada yang menyifatkan hanya aku yang terasa! Hmmm... sedangkan aku yang hadapinya masih boleh memikirkan perasaan orang lain, kenapalah orang itu tidak boleh memikirkan terlebih dahulu, apa yang aku rasa tatkala mulutnya laju menyatakan 'sesuatu' yang tidak enak tentang anakku! Ya, anakku istimewa! Ya, anakku tidak sebaik, secerdik, seindah anak kamu. Ya, anakku banyak kekurangannya jika mahu dibandingkan dengan anak-anak kamu, cucu-cucu kamu! Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan pada kamu. Aku kah yang pinta untuk semua ini berlaku kepada Alisya Qaireen? Sedarlah, semua yang ada pada kita hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa!

Bukannya dengan hanya setahun sekali berjumpa, pulak tuh di hari yang mulia... lalu sedap sahaja mulut kamu membicarakan "Anak kau nih apsal tengok atas jer? Ada benda yang dia tengok nih! Masa kenduri si polan arituh, anak kau nangis-nangis kan? Masa tuh aku rasa ada benda kat badan anak kau nih".............. Huh!!! Itukah kata-kata azimat yang sepatutnya telinga ini mendengar di Aidilfitri? Adakah dengan bercakap seumpama itu membuatkan kau bangga dan merasakan andaian kau tu tepat? Ustad kah? Atau ulama' kah diri kamu itu? Sedangkan solat Jumaat pun kau abaikan!!! Aku hanya mampu 'tersenyum'... senyuman yang sinis. Sakit hati bukan kepalang! Sedangkan aku tahu apakah yang anak aku hadapi. Sedangkan aku tahu kenapa anakku memandang ke atas, sedangkan sudah aku dapatkan kepastian daripada ustaz tentang keadaan Alisya yang asyik merenung ke atas! Sedangkan aku tahu bukannya 24 jam Alisya merenung ke atas! Andainya mulut ini pantas menjawab, pasti aku membidas... "Dia bukan tengok 'benda' atau hantu! Tapi dia tengok indahnya syurga Allah buat dia. Dia tengok cantiknya ciptaan Allah! Kau nampak? Taaaakkkkk... Kau tak nampak, tapi kau bijak buat andaian!"


"Abi... Alisya nampak wajah abi, ummi.
Tapi kenapa orang sakap Alisya nampak momok?"



Seperti yang aku katakan, kau hanya berjumpa anakku setahun sekali, berbanding aku yang menghadapnya setiap hari, saban waktu, setiap detik! Rasanya raya tahun depan, pasti akan ku dengari ayat yang sama andai Alisya memandang ke atas lagi. Hahahaaaaa.... panasnya muka nih menahan marah! Apakan daya, aku masih tahu menjaga hati orang, hati orang yang lebih tua daripada ku. Aku masih tahu menghormati dia!!! Tapi...........???? Tak apalah, biarkan sahaja mulut-mulut mereka sedap mengata! Memang tak menjadi nanah di kulit, akan tetapi gurisan yang tercalit di hati, hanya aku dan abang yang merasainya. Alisya? Pasti anakku mendengar kata-kata saudara tadi, kerana Alisya di pangkuannya ketika itu. Kecilkah hati anak ummi? Kesian kamu nak! Ummi yang melahirkan kamu pun, tak tergamak nak mengguriskan perasaan kamu, inikan pula orang yang tiada kena-mengena dengan hidup kita! Ummi tahu kamu faham akan setiap perbualan yang membabitkan kamu nak!

Terfikir juga, aku baru melalui ujian yang Allah turunkan sekitar 2 tahun setengah. Bagaimanakah pada mereka yang punyai anak istimewa yang sudah berbelas tahun? Berpuluh tahun? Pasti banyak kata-kata nista yang terpaksa mereka telan, pasti lebih banyak lagi rintangan mereka dalam membesarkan kurniaan Allah itu. Subahanallah... hanya kesabaran yang tinggi diperlukan. Dengan rasa rendah diri, aku maafkan sahaja si dia yang bercakap-cakap perihal anak ku ini. Biarlah, mulut manusia mana yang bisa kita tutupkan???


Biar pahit yang ummi telan,
biar getir yang ummi lalui...
ummi tetap sayangkan kamu!

Wahai anak ummi, andainya suatu hari nanti Alisya membaca coretan ini, maafkan ummi jika kamu terasa nak. Maafkanlah mereka... kita boleh menerima kritikan mereka, akan tetapi belum pasti mereka menerima kehadiran kita! Wallahualam......

Wednesday, September 01, 2010

:: Penyambung Zuriat Ita-Farid...

Anak ke-2 Ieda dan Shahril. Doakan agar ada rezeki kami.


Sekadar untuk menumpang kegembiraan dan keterujaan di hati. Tahniah buat sahabatku yang umpama saudara kandungku; Ieda dan Shahril kerana telah memiliki cahaya mata ke-2. Dengan ini, secara rasminya Dania (anak pertama mereka) sudah bergelar kakak / kak long! Harapnya Dania tak 'lupa' pada Sarra. Adik Dania dilahirkan secara caesarean kerana kaki beby terbelit dengan tali pusat. Tak apalah, asalkan semuanya selamat.


Keletah Dania untuk Sarra.
Aku juga mahu merasakan 'keletah' sebegini
dengan anak sendiri. Insya'Allah



Dania, harapnya kamu tak 'ketepikan' Sarra.
Ummi sayang kamu berdua yang kini bertiga pula.


Semangat dan keinginan ku untuk menambah zuriat, semakin membuak-buak! Seperti yang telah ku nyatakan sebelum ini, abang juga nampaknya semakin terkesima melihat beby. Makin tidak keruan mahu memberikan Alisya adik! Mudah-mudahan, Allah memakbulkan permintaan kami untuk menambah penyambung zuriat Ita dan Farid. Yang lebih utama, semoga Allah mengurniakan kami anak yang sihat agar anak itu dapat 'menjaga' kakaknya kelak bila mana aku dan abang pergi suatu hari nanti! Aku juga seperti isteri-isteri yang lain, mahu memberikan anak yang sihat, cergas untuk 'hiburan' suami dan boleh diharap untuk menjaga kakaknya kelak. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Abi dan Aina Delisha... persis Alisya!


** Ada masa, semangat ku mahu melahirkan anak secara normal, semakin membara. Ada tikanya, aku takut dengan risiko yang terpaksa ditanggung! Apa pun, hanya doaku andai Allah memberikan kami 'rezeki', biarlah ianya sihat. Sesungguhnya, kita hanya merancang, Dia juga yang menentukan... Bukankah Allah lebih mengetahui akan tiap sesuatu perkara itu, baik atau tidak buat hamba-Nya?