Showing posts with label Petua. Show all posts
Showing posts with label Petua. Show all posts

Monday, September 5, 2016

Ulaman dan tanaman

Tinggal di kawasan perumahan yang halamannya hanya sekangkang kera tidak menghalang untuk aku bercucuk-tanam apa yang termampu. Tidak dapat banyak sedikit pun jadilah. Walaupun duduknya rata-rata di dalam pasu dan berasak-asak tetap juga gigih mahu menjadikan apa yang ditanam dapat dinikmati.
Daun kesom - Anak Johor kalau tidak kenal daun kesom rasanya pasti janggal. Daun yang memberi aroma menyelerakan setiap kali periuk di dapur ada masak asam pedas dan laksa inilah dia. Walau berkongsi pasu dengan pokok bunga ros tetapi ia tidak menghalang untuk kedua-duanya memberikan yang terbaik buat tuannya.
Pucuk beruas - Salah satu ulaman yang anak-anak juga pandai makan. Mungkin sebab ketika dalam pantang aku juga menjadikan pucuk ini sebagai sayuran. Salah satu tips untuk membanyakkan air susu inilah juga. 

Pucuk beruas 2 - Ini juga sama tetapi lagi muda. Ada kalanya aku masukkan ke dalam masakan ikan asam pedas. Buat keluarga kami memang salah satu pembuka selera. Aku tanam pokok ini juga bersama dengan kelompok pokok bunga tetapi di tanam terus di atas tanah bukan di dalam pasu.  Semakin di cantas semakin banyak pucuk muda akan berhasil.
Sambung nyawa - Jangan pula ingat dengan makan ulam ini usia kita akan panjang. Tetapi entah dari mana dapat nama ini aku pun tidak tahu. Tetapi ianya sudah menjadi salah satu ulaman dalam keluarga kami. Boleh dikatakan setiap rumah adik-beradik kami ada tanam pokok ini. Ada dikatakan ulaman ini dapat mengurangkan kolesterol dan darah tinggi. Sejauh mana kebenarannya tidaklah aku ketahui. Mudah ditanam. Kerat saja batangnya cacakkan pasti akan bertunas.
Belalai gajah - Pokok Belalai gajah ini (sebelah kanan) aku tanam berkongsi pasu dengan pokok bunga puding (sebelah kiri). Bagaikan pelindung pokok bunga puding ini membuatkan pokok belalai gajah kian galak suburnya. Mudah saja tanam belalai gajah ini. Potong batangnya dan cacakkan. Tidak sampai seminggu sudah bertunas. Sedap untuk dijadikan ulaman walau dikatakan boleh mencegah cancer. Namun tidaklah aku tahu akan kebenarannya.
Ada orang makan kerana khasiatnya, tetapi sejujurnya aku makan kerana aku suka akan rasanya. Mungkin sebab aku anak jati kampung sudah dididik makan berulam, Sebab itulah ulaman merupakan salah satu hidangan sentiasa ada di dalam set hidangan meja makan kami walaupun sekadar timun atau daun salad. 

~~ Ulaman makan dengan sambal belacan pasti terangkat!~~



Friday, July 29, 2016

Sedikit ilmu bertani

Sejak bapak terlantar semua urusan kebun sepenuhnya di bawah kelolaan Abah Din. Kami bersyukur walaupun bapak hanya dikurniakan seorang anak lelaki tetapi kami anak-anak perempuan bapak bangga punya abang yang cekal, kuat dan bertanggung-jawab. Setelah urusan kami semua anak perempuan selesai baru dia uruskan miliknya. 

Kini boleh dikatakan 99% Abah Din berada di kampung menjaga bapak. Bila kami balik adalah peluang untuknya balik ke rumah sendiri. Mujur juga dia sudah tidak bekerja. Sebelum ini ada juga membantu syarikat perkapalan anaknya, tetapi tumpuan kini lebih kepada bapak. Kerja-kerja di kebun sebenarnya Abah Din kurang arif apa lagi dulu sewaktu kami belajar, bapak belum ada kebun kelapa sawit, Dulu semuanya majoriti kebun ditanam kelapa biasa, nenas dan getah saja. Bila kami semua sudah bekerja baru sebahagian kebun bapak ditanam dengan kelapa sawit. Bagaimanapun semua kerja-kerja kebun dibuat oleh pekerja bapak. Bapak sekadar memantau kerana kami anak-anak tidak mahu bapak bekerja seperti waktu kami belajar dulu. Kami keluarga susah dulu.

Background - Lihat sepupu kami dari Singapore dan Brunei pun suka berposing dengan background kebun kelapa sawit
Baru-baru ini sewaktu Abah Din mahu membantu pekerja bapak konon sebaik pelepah dikumpul mahu dibakar tetapi pekerja bapak bersuara " Ngak usah dibakar pak. Ini bukan belarak (daun kelapa biasa yang sudah kering orang Indon panggil belarak). Daun kelapa sawit ini akan hancur menjadi tanah. Ngak payah bakar nanti rosak pokok kelapanya." Senyumlah Abah Din bila jelas ilmu anak bapak tidak seperti ilmu bapaknya. Balik dari kebun itulah Abah Din berbual dengan kami disambut dengan ketawa kami yang panjang. Ini merupakan ilmu baru bagi kami anak-anak bapak walaupun kami sudah lama hidup dalam keluarga orang kampung tetapi ilmu bertani kami sangat cetek. 
Rindu saat ini - Bapak raya tahun lepas (1436H)
Sayu - Bapak raya tahun ini (1437H)
Begitu juga dengan tanaman jagung. Setiap pokok jagung sebaik mengeluarkan buah walau ada banyak mana pun hanya ditinggalkan satu saja. Anak jagung yang lain akan dibuang (boleh saja dibuat sayur). Sewaktu tempoh jagung membesar jika ada lagi putik keluar tidak mengapa. Tetapi hanya yang sebiji asal itu saja yang akan dijual/ekspot ke Singapore. Sebab itulah bagi kami jagung yang kelihatan tidak sebesar yang pertama, tetap besar di mata kita. Agihkan saja kepada sesiapa yang mahu sebab yang gred ke dua ini lebih banyak dari yang gred pertama. Bayangkan kalau satu pokok boleh mengeluarkan 3-5 biji pastilah beribu-ribu jagung boleh dihasilkan. Ayam rumah bapak pun sudah tidak mahu makan jagung yang masih melekat di tongkol lagi. Jemu agaknya. Boleh tahan nakal juga ayam-ayam bapak hihi...

~~ Sedikit ilmu bertani untuk kami anak orang kampung.~~


Thursday, July 21, 2016

Black Canyon Coffee

Sehari sebelum ramadhan 1437H kami menikmati makan malam di luar. Sudah menjadi tradisi keluarga sepanjang bulan ramadhan kami tidak akan keluar makan malam atau berbuka di luar Oleh itu, bagi memenuhi kehendak anak-anak yang waktu itu cuti sekolah dan semuanya  ada di rumah kami ke Black Canyon Coffee di Aeon Bukit Indah. Belum sempat disiarkan sebagai entri sebab bulan ramadhan aku kurang selesa mahu mempaparkan makanan sebagai entri.
Mama punya 
Pilihan papa
Kak Reen pilih ini
Kak Meen pilih ini
Adik punya
Papa dengan kopi tidak boleh dipisahkan
Air kami berkongsi
Ada petua yang boleh dipercayai bagi menghilangkan rasa takut dan cemas. Kajian dibuat pada lemon balm mampu menenangkan dan menghilangkan stress, rasa letih, lesu, penat, pening, takut dan cemas. Boleh buat sendiri dengan cara percikkan titisan lemon balm/oil kemudian sapu pada tangan kita dan hidu. Lihat kesannya pasti melegakan.

~~ Alhamdulillah masih boleh makan dengan selesa.~~


Friday, May 20, 2016

Berhenti memakai lampin pakai buang

Usia hampir tiga tahun tetapi masih melekat lagi dengan lampin pakai buangnya. Bercakap bukan main petah walaupun sebutan untuk huruf 'R' agak pelat. Lain-lain semuanya tidak pelat. Setiap biji butir perkataan yang keluar dari mulutnya kita boleh faham. Sehingga satu hari berani dia meluahkan kata "Mama, adik boleh mengaji tak?" Aku tepuk bontotnya. "Ini ada ini tak bolehlah adik mengaji. Ada kencing dalam ni kan". Dia tersengih malu. "Kalau adik nak mengaji jangan pakai ini boleh?". Dia mengangguk-angguk.

Tidak sangka esoknya dia datang berbaju kurung dan bertudung ayu. "Adik tak pakai pampers mama. Adik nak mengaji". Betul-betul bila aku raba bontotnya tidak ada pampers. Sehari, dua hari, tiga hari dan hingga semalam betul si cilik ini sudah boleh tidak memakai pampers. Tips yang tidak disengajakan tetapi siapa sangka dapat menjimatkan ibunya. Aku bertanya kepada si kakak samada dia terus tidak pakai atau masa mengaji saja. Menurut si kakak masa pergi shopping saja ibunya masih pakaikan.
Khusyuk - Melihat orang lain membaca tidak berganjak. Mama ambil gambar pun dia buat tidak tahu.
Menanti - Comel sangat anak dara ini. Bila aku kata "Mama gigit pipi sikit boleh tak? Dia kata "Nanti adik tak ada pipi macamana nak ngaji?" Macamlah mengaji itu menggunakan pipi. Sebelum mengaji mesti aku pegang pipi gebunya dan sebelum balik pun kena lagi. Aku geram dengan comelnya itu:)
Doa - Jenis budak mudah tangkap. Walau baru seminggu tetapi Al-fatehah dan doa memulakan membaca (Allahummaftah 'alaina... hingga akhir dia sudah boleh baca). Seminggu ini sehingga malam tadi sudah boleh mengenal sehingga huruf kho. Biasa aku akan ulang untuk membunyikan dari alif  sehingga yg huruf  terakhir sebelum sambung yang baru supaya tidak lupa. Nampaknya dia memang jenis budak mudah ingat melekat. 
Comel - Sadaqollahulazimmm.... sukakan tengok dia:)
Oleh kerana nama pun kanak-kanak selepas membaca mesti ada saja yang mahu dimainkan. Tetapi bila main melompat-lompat aku akan ingatkan bimbang terkencing. Bila agak lama bermain juga aku ingatkan dia samada mahu kencing atau tidak. Sudah seminggu lebih ini kelihatannya masih boleh bertahan. Aku tidak kisah pun andai dia terkencing sebab sebelum ini pun aku ada menghadapi anak yang mengaji terkencing sementara menanti giliran untuk membaca.

~~ Ironinya bila setiap hari melihat orang lain mengaji walau usia belum tiga tahun naluri untuk membaca terbuka dengan sendirinya. ~~



Thursday, November 26, 2015

Sembang-sembang keluarga - 2

Dalam shopping mall dengan anak-anak: -

Sewaktu menanti dua beradik membeli apa yang dihajatkan mereka aku, hubby dan Mak Zah duduk di kerusi tingkat satu shopping mall itu. Sambil melayan mata memandang skrin telefon boleh pula hidung terbau aorma kentang ayam goreng. Hubby bangun bertanya samada aku atau Mak Zah mahukan sesuatu. Kami sama-sama geleng kepala tetapi hubby bangun dan sebaik melabuhkan punggung semula dia membimbit beg kertas berisi kentang goreng. Kunyahlah juga sementara menanti dua anak dara yang tidak turun-turun.

"Mama tengok adik dapat aiskrim free" Cuak juga aku bila tiba-tiba turun dari escalator aiskrim percuma yang ditunjuk. "Ada makcik itu terbeli lebih katanya. Adik tak jadi beli baskin robbin macam kakak sebab makcik tu beri yang ini. Tak apalah". Aiskrim itu aiskrim cone McD. "Makcik itu nak cari pahala dik. Adik pun kena bersyukur itu Allah nak bagi rezeki sebenarnya" papa bersuara. "Nak rasa baskin robbin makan yang kakak punya". Begitulah dalam pada kita santai-santai pun ada terselit satu insan yang mencari peluang menambah pahala.

Makan malam di restoran belakang rumah:-

Keluar dari mall untuk balik boleh pula perut terasa lapar. Terus saja kereta dilajakkan ke belakang rumah. Membuat pesanan masing-masing. Sup, kailan goreng ikan masin, tomyam, puyuh goreng kunyit dan dipadankan dengan nasi putih. Mata mama boleh pula tertanjap pada longgokan kelapa muda di atas meja terus minta air kelapa di malam hari. Adik pula bila nampak kelapa di depan mama mahu makan kelapa bahagian atas kelapa yang terbuka. "Jangan makan ini dik. Nanti dapat suami tua". Aku bersuara sambil tergelak teringat orang tua-tua dulu berpesan. " Kak, kalau tua kaya tak apa kan". Boleh adik berkata begitu. "Nanti banyak bini susah". Subhanallah.... anak-anak belajar pandai-pandai dulu.

Jangan makan - Inilah bahagian atas yang dimaksudkan. Jangan percaya sebab boleh membawa syirik
Air kelapa - Isinya tidaklah muda seperti kalau petik sendiri di rumah kampung. Tapi bolehlah untuk menghilangkan rasa ingin. Isi kelapanya juga tebal sudah hampir menjadi kelapa. Keluarga kami memanggil kelapa muda ini degan.
Semua sedia maklum makan di rumah lebih baik, terjamin kebersihannya namun entah mengapa bila saja kaki masing-masing melangkah keluar mesti akan singgah makan di luar sebelum balik. 

~~ Manusia dan makanan tidak dapat dipisahkan tetapi selalu lupa bahawa penyakit bermula daripada perut.~~

Friday, April 17, 2015

Garam sebagai penyembuh atau pembunuh

Nabi SAW bersabda "Sebaik-baik lauk adalah garam" - (Al-Baihaqi)

Garam bukanlah penyebab penyakit, bahkan adalah ubat yang paling mujarab sekiranya diambil dengan cara yang betul. Garam tidak boleh DIMASAK! Kesilapan kita orang Melayu (termasuklah kelompok jawa, bugis, banjar, minang dan sebagainya seperti aku ini), ialah memasak garam iaitu memasukkan garam ke dalam masakan yang sedang dimasak samada ketika mendidih atau panas. Cara inilah dikatakan menyebabkan ia menjadi toksik.

Garam biasa atau scientificnya sodium. Jika dimasak dengan cara yang di atas ia menyebabkannya berasid dan membahayakan kesihatan serta mengundang pelbagai penyakit. Cara yang betul penggunaan garam yang disarankan adalah seperti berikut:-

1. Masak apa-apa juga hidangan seperti masak asam pedas ikan atau kari kepala ikan sehingga selesai. Bila sudah siap masak tutup api baru masukkan garam ikut rasa dikehendaki. 

2. Kacau air garam kemudian tuang ke dalam masakan/kuah tersebut

3. Masak setiap hidangan tanpa garam. Ketika hendak makan sediakan semangkuk garam. Masa makan ambillah tabur di pinggan ikut kesesuaian masing-masing.

Antara amalan yang diamalkan oleh para salafussoleh ialah dengan mengambil garam sebelum memulakan makan.

Garam sebenarnya sebagai pembuka selera dan juga sebagai mineral bagi badan. Garam itu sebenarnya MINERAL!. Sebab itulah dikatakan kelebihan garam ini ialah mengubati lebih dari 70 penyakit serta seseorang itu tidak akan mati mengejut. Kesahihannya tidak dapat aku pastikan tetapi tidak salah untuk mengikut sebab satu perkara yang mudah.

- (dari whatsapp keluarga)

Buah hari ini - Aku juga selalu tabur sedikit garam pada buah yang aku makan seperti epal hijau dan mangga. Biasa buah yang agak-agak masam. Tapi kalau buah yang aku bawa ke pejabat hari ini tidaklah.  
* Bapak aku juga menggunakan garam sebagai pelindung dari gangguan syaitan dan musuh. Tetapi adalah ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. Satu hari nanti jika teringat aku mahu belajar. Pernah terjadi ada orang yang mahu mencuri zink yang bapak baru beli untuk pondok setor tetapi tidak berjaya. Tidak silap aku tahun lepas. Masa itu bapak tinggal di rumah aku dalam 3 hari kemudian bila balik dari JB ke kampung kami nampak zink yang bapak baru beli sudah berada di tepi jalan masuk depan rumah. Semua zink tersebut ditinggalkan. Senyum bapak bila cucu-cucunya bertanya. Penangan hebatnya garam!

~~ Teringat satu cerita lakonan P Ramlee yang menghadiahkan ibu mertuanya garam dan gula sebagai hadiah. ~~


Tuesday, March 31, 2015

Petua untuk para isteri

Mendapat whatsapp dari group keluarga kami petua sebagai isteri. Petua ini untuk menjaga kesihatan luar dan dalam diri. Bukan supplement berbayar. Tiada GST incurred. Segalanya boleh dilakukan sendiri. Mudah, cepat dan sangat bermakna. Hanya memerlukan sedikit masa dan keyakinan atas kemujaraban ayat tersebut dengan izin Allah.

Selepas solat Isya' ambil segelas air masak. Baca suroh Al-fatihah sekali. Kemudian baca pula Ayatul-Kursi juga sekali dan diikuti dengan membaca suroh Al-Waqi'ah dari ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Selesai pembacaan tiupkan ke dalam air tersebut. Niatlah di dalam hati bertujuan untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga. Ingat untuk kebahagiaan rumahtangga yang dibina bukan untuk tujuan lain.

Maksud suroh Al-Waqi'ah ayat 35-38: -
Sesungguhnya Kami telah ciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa - ayat 35
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh) - ayat 36
Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya umurnya - ayat 37
Semuanya itu disediakan bagi puak kanan - ayat 38

Serampang dua mata, sambil membaca sebagai petua kebahagiaan dapat membaca ayat Al-Quran dari masa yang terluang. Apa tunggu lagi mahu sentiasa cantik dan bahagia amalkanlah:)

~~ Boleh saja senyum-senyum sendirian bila membaca entri ini.~~



Thursday, January 22, 2015

Tradisi makan di dalam talam/dulang

Boleh dikatakan sekurang-kurangnya dalam sebulan adalah tiga hingga empat kali aku berpeluang makan di dalam dulang ketika berada di masjid. Apabila ada jemaah yang mahu bersedekah sebelum majlis tazkirah, dapatlah kami menikmati hidangan berjemaah juga. Apa pun hidangan pasti terasa sedap belaka. Biasanya satu dulang/talam aku akan berkongsi makan bersama Mak Zah, Kak Meen dan adik. Jika anak-anak mahu makan bersama kawan mereka maka bertukarlah teman sedulang kami.

Sabtu lepas - Contohnya beginilah yang kami makan pada hari Sabtu yang lepas. Nasi putih, ayam goreng, daging beryani, pencuk nenas+timun+sengkuang dan sambal belacan.
Kebiasaan jika di tempat kami sini, dulang besar akan dialas dengan plastik dulu sebelum disendukkan nasi dan lauk-pauknya. Cara ini adalah bagi memudahkan kepada pihak noja masjid mengemas. Sebab itu kami galakkan jika tidak habis makan bungkus saja bawa balik bagi kucing makan. Oleh itu dulang tidaklah kotor ketika membersihkanya. 
Ukhuwah - Kami makan bersama-sama di beranda yang terletak di luar bilik solat wanita.
 
Kami minum juga menggunakan gelas polystyrene. Habis minum masukkan dalam plastik hitam yang disediakan di tepi meja dimana balang air disediakan. Biasa air yang disediakan dua jenis sejuk dan panas. Pilihlah mana satu yang digemari. Jika anak-anak biasanya air sejuk tapi orang dewasa lebih kepada air panas.  
Sejadah dan telekung - Bila tiba waktu menjamu selera kami tinggalkan saja di tempat solat begini sementara menikmati hidangan. Alhamdulillah sehingga kini belum ada masalah dan masing-masing sudah tahu untuk kembali mencari tempat asal.
Sebenarnya apa yang menambah selera makan berjemaah ialah kami makan bersama-sama. Berdoa bersama-sama. Tidak ada sembang kosong sebab selepas makan akan bersambung untuk solat Isyak. Selepas Isyak pula ada tazkirah. Habis tazkirah balik rumah.

~~ Petua bapak jika mahu hubungan kekeluargaan erat makanlah sekeluarga di dalam dulang seperti ini.~~

 

Monday, December 15, 2014

Perubatan alternatif batu karang

Maaf lewat bersiaran hari ini. Kepada teman yang telah membaca entri aku pasti masih ingat bagaimana kami mencuba alternatif lain bagi mengelakkan pembedahan batu karang yang ada pada hubby. Tempoh dua minggu yang diberikan oleh pihak doktor sungguh memberi kami peluang untuk mencuba alternatif kami. Langkah yang kami jalankan adalah dengan memberi hubby minum satu liter jus epal hijau (aku blend 3 biji epal + air) setiap hari sehingga hari ke lima. Malam pula selepas makan minum segelas jus lobak putih. Masuk hari ke enam, pagi minum lagi satu liter jus epal dan selepas pukul 1:30 tenghari hubby tidak boleh makan apa-apa. Balik dari kerja lebih kurang jam 6:00 petang itu aku beri hubby minum125ml air campur dengan sedikit (5ml) garam epsom. Jam 8:00 malam ulang lagi sekali dengan jumlah yang sama. Pukul 9:30 malam aku bancuhkan jus lemon 125ml campur dengan 125ml olive oil untuk diminum. Jam 10:30 setelah habiskan jus lemon dan olive oil tadi terus tidur. Kasihan aku tahu hubby lapar pada hari itu. Maklum dari tengahari sehingga esok paginya berpuasa. Pagi esoknya baru makan yang aku hidangkan dengan siakap stim limau, telur dadar dan nasi putih. Itu saja.

Disamping itu ingin aku katakan bahawa kami juga mengamalkan ini serentak. Semua air yang aku gunakan untuk blend epal hijau dan lobak putih dan air yang dicampur dalam garam epsom adalah air zam-zam yang telah aku bacakan ayat-ayat dari suroh Al-Anbiya' - ayat 74-81 (dibaca waktu lepas solat maghrib sebanyak 3 kali), suroh Al-Qasas - ayat 61-75 (dibaca selepas solat subuh sebanyak 3 kali) dan diikuti suroh Al-Mukminun - ayat 75-100 dan suroh Al-Ma'idah - ayat 48 hingga 55. Hubby juga kena baca sendiri sebagai amalan. Masuk 11-12-2014 adalah tarikh terakhir usaha kami. Malam sebelum esoknya berjumpa doktor tetap berpuasa manalah tahu usaha kami belum diterima Allah kerana andai memerlukan untuk dibedah sekurang-kurangnya hubby sudah bersedia.

Nombor giliran - Oleh kerana sudah ada temujanji tidak perlu lama menunggu.  Nombor ini sekadar mengikut procedure / protokal saja.
Ultrasound - Tawakkal dengan seribu pengharapan suami-isteri di dalam bilik ini sementara menanti doktor datang
Keputusan - Doa dan usaha kami diterima Allah. Inilah keputusan yang diberikan. Bukan miracle kerana sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah jua.
Kelaparan - Kami sama-sama berbuka jam 11:30 pagi. Aku sebenarnya turut tidak makan apa-apa sebab hati tidak tenang. Tetapi apabila keputusan sudah diperolehi, semangkuk mee sup ini habis aku makan hihi...
 
Balik rumah tidak ada apa yang lebih utama kami lakukan selain sujud syukur menadah tangan di atas kasih dan sayangNya kepada hambaNya yang kerdil ini. Sungguh kami kena lebih berhati-hati kerana menurut doktor sekali kena ianya mudah untuk berulang lagi. Sekarang aku 'paksa' hubby membawa bekal 4 liter air, bukan saja 3 liter. Jus epal menjadi minuman selang sehari dengan air dari daun pecah beling. Bulan depan adalah bulan kena buat pemeriksaan tahunan keseluruhan buat hubby. Aku punya giliran pada setiap bulan April. 

~~ Kesihatan yang baik perlu untuk menjalankan tanggungjawab duniawi dan ukhrawi juga. ~~




Monday, December 8, 2014

Belalai Gajah dan Senduduk Putih

Sejak mengenali nursery herba yang ada berdekatan semakin kerap kami berminat untuk mengetahui kebaikan tanaman herba untuk kegunaan seharian. Pak Ali dan isterinya sangat berbudi-bahasa dan tidak jemu memberikan penerangan setiap satu pokok ke satu pokok. Sedikit apa yang kami timba ilmu darinya.
Dari google - Pokok belalai gajah

 Daun belalai gajah dikatakan mampu membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti buah pinggang, kanser, kolesterol, tekanan darah tinggi. prostat, gout, diabetes, melancarkan pengaliran darah, toksin dalam badan serta kelesuan. Cara menyediakan amat mudah hanya blend daun, campur sedikit halia kalau mahu dan perahkan lemon sebagai penyedap rasa dan bau. Sebaik siap terus minum.
Dalam paket - Selain menjual pokok-pokok yang sedia ada untuk ditanam, pihak nursery herba juga ada menjual daun-daun yang telah dikeringkan. Tanda 2X itu bermaksud ambil dua cubitan untuk direndam dalam air panas. Jika menggunakan daun yang dipetik terus dari pokok perlu direbus.
Dari google - Pokok senduduk putih
 Pokok senduduk putih pula daunnya yang dilumatkan dikatakan boleh menghentikan pendarahan luka. Selain itu air dari rebusan daunnya boleh membantu untuk menghindarkan dari darah tinggi, diabetic dan sakit jantung. Untuk wanita yang mengalami keputihan senduduk putih ini juga boleh membantu dengan meminum air rebusan daunnya. Teringat dulu-dulu zaman aku kanak-kanak buah senduduk tidak kiralah senduduk putih atau ungu bila telah pecah kelopaknya kami akan makan. Manis dan akan terasa digigi biji-biji kecik seperti makan buah tin. Hingga biru-birat bibir dan lidah gara-gara makan buah senduduk ini. Itu semua menjadi memori indah buat aku. Anak sekarang diminta untuk merasa pun tidak mahu. Apa yang aku ingat juga dulu-dulu dikatakan senduduk putih ini bunga kegemaran orang bunian tinggal. Tetapi kalau dilihat di belakang rumah bapak banyak senduduk putih tumbuh liar. Cantik bila berbunga serentak.

Petua Pak Ali apabila mahu mengambil teh herba yang dibeli darinya rendam di dalam air panas daun dari cubitan yang pertama saja. Kalau dari cubitan pertama itu hanya mendapat 3-4 helai maka jumlah itulah saja yang digunakan. Tapi kalau mendapat lebih, jumlah itu juga yang harus digunakan.Oleh itu jika dua kali bermakna dua kali cubitan - berapa yang dapat itulah jumlahnya.

~~ Herba dan petua yang diberi bagaikan berjalan seiring.~~


Thursday, December 4, 2014

Pokok/daun bidara untuk syifa'

Tujuan ke nursery herba adalah mencari pokok pecah beling. Tetapi bila sudah berada di situ berbagai jenis pokok sangat mengujakan termasuklah keterangan berkaitan pokok bidara. Daun bidara dikatakan boleh menjadi sebagai alat pembersih seperti sabun dan syampu. Bahkan dikatakan juga ia boleh membantu untuk menghindarkan dari jerawat. Daun bidara juga dikatakan boleh membantu sebagai perawatan sihir. Cara yang biasa dilakukan adalah seperti berikut:-
  1. Ambil 7 helai daun bidara Kemudian masukkan ke dalam air minuman - yang sebaiknya air kosong.
  2. Baca ayatul-Kursi dan Surah 3 Qul. Kemudian digalakkan membaca suroh-suroh seperti  Suroh Al-Maidah (82-91), Al-A'raf (70-81), Ar-Ra'd (16-28), Al-Anbiya' (38-50), As-Syura (185-227), Az-Zumar (42-52) , Al-Ghafir (67-77) dan Az-Zukhruf (52-70).
  3. Selesai membaca setiap ayat tersebut  hembuskan  ke dalam air yang ada daun bidara tadi.
  4. Gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian. Insya-Allah.
Daun dan buahnya - Mengambil dari pokok yang sudah besar di hadapan Sekolah Tun Fatimah. Pak Guard siap membantu lagi.
Menurut pakcik di nursery yang menjual kalau zaman dahulu daun ini juga digunakan oleh wanita sebagai salah satu campuran ketika mandi wajib sebaik bersih dari haid.Selain untuk mengelakkan gangguan sihir ianya juga dapat membersihkan alat sulit wanita. Wallahu'alam. Pada pandangan aku apa salahnya jika kita juga melakukannya sekarang memandangkan ianya tidak menimbulkan mudharat.
Daun - Muka hadapan dan belakang daun cantik
Tidak kurang juga ada di setengah tempat menjadikan daun bidara sebagai campuran untuk air mandian jenazah. Biasanya ianya dijadikan sebagai siraman yang pertama. 
Pokok Bidara - Baru dibeli di nursery herba tidak jauh dari rumah kami. Hari minggu ini dengan izin Allah akan kami pindahkan ke dalam pasu yang lebih besar. Pokok ini boleh membesar sebesar pokok durian dan rambutan.
Biar apa pun kegunaan yang dilakukan, iktikad di dalam hati jangan sesekali terdetik yang daun ini sebagai penyembuh kerana segala kesembuhan yang diberikan adalah di atas kekuasaan Allah yang khaliq juga. Kita sebagai hambaNya diberikan akal untuk berusaha - itu saja.

~~ Berada di nursery herba dapat menimba berbagai ilmu berkaitan tumbuhan yang sebenarnya sangat banyak kegunaan dalam kehidupan seharian kita.~~
 

 

Tuesday, December 2, 2014

Beriadah sambil melihat pokok pecah beling

Hujung minggu lepas. Selepas selesai solat subuh aku sudah bersiap-sedia untuk keluar. Telefon berdering tanda masing-masing sudah bersedia menanti di depan pintu pagar untuk menuju ke padang. Keluar seperti biasa. Keadaan sudah agak cerah walau jam baru menunjukkan jam 6:30 pagi. Itulah sebabnya kami gigih menghayun langkah untuk menuju ke padang. Tiba-tiba dua ekor anjing menderam-deram di belakang kami. Oh... kami sama-sama penakut. Kawan aku tepuk tangan berkata syuh! Aku pula libas tuala lap peluh yang ada di tangan sehingga mengeluarkan bunyi. Tidak lama baru tuan empunya anjing datang. Anjing ini menjaga tuannya berjogging. Lega... walau sebelum jogging kami sudah berpeluh. Peluh dingin sebab ketakutan:)

Pertemuan - Boleh pula satu dari anjing itu mengikut kami terus ke padang.  Pokok ini pula menarik perhatian kami kerana kelihatan seperti pokok pecah beling yang kami google sebelum ini.  Bila tiba di rumah aku bandingkan dengan pokok yang hubby beli, nyata bukan.
Lebah -  Baru perasan segugus lebah ada bergayut di sini. Sewaktu kami lalu di bawah pokok ini cuaca masih agak gelap.  Balik jogging jam 8:00 pagi baru kami terlihat ini. Nasib baik tidak ada apa yang terjadi.

Pokok Pecah Beling - Ini baru betul pokok pecah beling (Strobilanthes crispus atau Saricocalix crispus - Acanthaceae) yang hubby baru beli di nursery herba baru-baru ini. Daun yang berkilat lonjong bukan yang bulat.  Belum sempat dipindahkan ke belakang rumah. Masih berkongsi dengan taman mini kami di depan rumah.
 
Menurut apa yang kami sekeluarga menggoogle, daun pecah beling mampu mengatasi masalah diabetic, darah tinggi, batu karang dan agen diuretic. Mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan air rebusannya bersifat alkali yang lemah. Itu yang kami pun mencari dan cuba untuk dijadikan salah satu tanaman di rumah kami seterusanya akan kami aplikasikan dalam kehidupan kami.

~~ Berhati-hati ketika beriadah di waktu subuh gelap sebab apa-apa kemungkinan boleh saja terjadi.~~

Tuesday, November 4, 2014

Tazkirah bersama Ustazah Norlaila Aniza

Rutin biasa selepas solat maghrib setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad masjid di tempat kami ada majlis tazkirah. Sabtu lepas kami jemaah perempuan sangat beruntung kerana dapat mendengar dua tazkirah dari dua ustaz/ustazah berbeza dalam satu malam. Selepas maghrib berkongsi mendengar tazkirah ustaz dengan jemaah lelaki tetapi selepas isyak tazkirah khusus untuk kami jemaah perempuan sahaja. Jemputan kami adalah Ustazah Norlaila Aniza Zakaria. Aku pasti ramai diantara kita mengenali wajah ustazah ini.

Ustazah Norlaila Aniza - Aku sengaja captured dia sendiri selepas santai berbual sebelum sessi ceramah. Manis dan lembut bicaranya tetapi tegas orangnya.
Tajuk pilihan kami adalah Transformasi Keluarga Menuju ke Syurga. Tazkirah disampaikan berlanjutan sehingga jam 11 malam tanpa jemu disamping sessi soal-jawab seperti di dalam rancangan televisyen itu.

Wanita biasanya suka berfantasi - mudah kata berangan-angan tinggi. Mahukan suami yang serba-serbi sempurna. Sebelum menikah membayangkan semua yang indah belaka lalu apabila berumahtangga tidak seperti apa yang difantasikan mulalah membandingkan suaminya tidak sebaik suami orang lain. Bagaimana mahu menuju ke syurga kalau sentiasa kekurangan yang difikirkan tetapi kelebihan yang ada bagaikan terlindung dari pemerhatian.  

Sifat perempuan yang lebih suka bercakap berbanding dengan lelaki yang banyak mendengar juga disentuh sama. Contoh diberi ketika dalam perjalanan menuju ke majlis kenduri. Memenuhi undangan seandainya tidak ada halangan adalah wajib sekiranya tidak ada masalah/alasan yang menghalang. Oleh sebab itulah perjalanan menuju kenduri adalah perjalanan yang barokah. Seandainya memohon doa pada Allah inilah salah satu masa terbaik. Namun sekiranya sepanjang perjalanan yang sebenarnya Allah memayungi rahmat buatnya akan terhalang seandainya isteri asyik membebel dan akhirnya masing-masing bermasam muka hanya kerana sesat jalan.

Sesungguhnya menjadi tanggungjawab semua ahli dalam keluarga untuk mencari jalan menuju ke syurga. Alangkah sedihnya sekiranya sepanjang berada di dalam rumah yang mewah tetapi tiada nur/cahaya iman di setiap penghuninya. Rancangan televisyen pula rata-rata adalah hiburan yang membawa kepada maksiat mata. Oleh itu jangan disalahkan andai suami atau isteri melihat pasangannya tidak cantik. Mereka yang merasa begitu bermakna ada masalah maksiat mata. Fikir-fikirkanlah.

Begitu juga amalan untuk melakukan kegiatan secara bersama. Makan bersama. Membaca buku bersama. Menonton yang membawa kebaikan bersama. Solat berjemaah (kalau suami ke masjid - tidak salah isteri/anak besar memikul tanggungjawab menjadi imam di rumah). Boleh juga riadah bersama. Selitkan setiap malam membaca hadith dan maknanya sekali bersama-sama. Membaca hadith ini boleh dibaca bergilir-gilir pada setiap ahli keluarga. Petua untuk awet muda adalah membaca hadith kerana bahasa hadith yang indah selalu menenangkan hati itulah yang membuat awet muda. Ramai wanita yang bimbang kelihatan tua, cepat mati dan tidak punya harta tetapi tidak terfikir untuk berusaha membantu membawa semua ahli menuju ke syurga. Jadi mulakan hari ini membaca hadith bersama semua ahli keluarga mana yang belum memulakannya. Mahu awet muda kan hihi...

Sebenarnya panjang lagi tazkirah diberikan tetapi diringkaskan untuk entri hari ini sebagai wanita/isteri/anak perempuan kenalah sentiasa bersedia untuk membimbing diri dan keluarga untuk menuju ke syurga. Andai sayangkan kepada diri sendiri dan ahli keluarga janganlah diri sendiri membuat dosa. Kena sentiasa ingat bahawa setiap apa yang terjadi di dalam keluarga kita pasti ada hikmahnya. Istiqamah untuk sentiasa bermuhasabah tanpa rasa jemu.

~~ Menjadi wanita solehah sebenarnya mudah seandainya mampu mengikut sepenuhnya apa yang garispanduankan di dalam Islam.~~



Monday, July 15, 2013

Inai ditepek bukan di tangan dan kuku

Bila balik kampung tidak lengkap jika tidak menghayun kaki merayap ke belakang rumah. Selain daun kesum, belimbing besi, limau kasturi, pucuk ubi dan bunga kantan, aku juga memetik daun inai. 

Biji-biji - Penuh biji ini bergayutan hingga mengurangkan jumlah daun inai. Bila lama tidak dicantas akan beginilah jadinya. Kami pula tidak tahu samada ianya ada kegunaan atau khasiat. Ada sesiapa yang tahu apa kegunaan buah inai ini?

Bunga - Sebelum menjadi biji/buah ianya meriah dengan bunga-bunga seperti ini.

Daun inai - Sebahagian yang tidak diganggu biji/buah dan bunga inai. Aku gunakan daun inai untuk menginai kepala bukan untuk kuku. Dapat mengurangkan sakit kepala walau rambut tidak berubah warna. Kalau macam kakak aku rambut telah beruban cantik bila menggunakan inai. Rambut yang masih hitam tidak berubah pula (berangan ingatkan boleh tukar perang hahaha....)
~ Walaupun bau kurang menyenangkan tetapi khasiatnya utk mengurangkan sakit kepala sangat berkesan.~~

Friday, March 8, 2013

Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl aka Mahkota Dewa

Mahkota Dewa salah satu tanaman herba yang ada di rumah Mama Leha. Nama saintifiknya yang aku dapat dari menggoogle ialah Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl, susahnya hendak pronounce. Sewaktu berkunjung majlis walimatul-urus puteri ke duanya minggu lepas aku lihat pokok Mahkota Dewa ini telah berbuah dan ada yang telah masak. 

Buah yang ada - Sewaktu aku datang dulu baru berbunga. Datang lagi telah menjadi buahnya.

Masak - Dikatakan cara menggunakan buah ini adalah dengan memetik dan simpan sehari-dua. Kemudian hiris tipis seperti asam keping dan jemur sehingga kering. Setelah kering baru boleh digunakan sebagai ubat. Rendam sekeping/dua kedalam gelas dengan air panas. Minum ketika suam-suam kuku. Boleh menyembuhkan kencing manis dan darah tinggi katanya. Namun semua juga atas izin Allah jua.

Pokok Mahkota Dewa - Inilah pokoknya. Di rumah Mama Leha ini terdapat 5 pokok. Aku teringin mengambil benih yang telah dia semai di dalam beg plastik hitam, tetapi hubby kata kalau besar ke mana mahu dialih. Kalau boleh hidup atas bumbung rumah boleh juga ditanam. Keluasan tanah rumah aku sangat-sangat terhad.

Sudah kering - Inilah gambaran yang telah kering, tetapi gambar ini aku ambil dari google sebab buah yang aku ambil belum kering lagi.

~~ Kalau tidak dikhabarkan kegunaannya aku juga tidak tahu yang ini merupakan pokok herba. Pada aku ianya bagaikan pokok hiasan kerana buahnya yang merah dan cantik dipandang mata.~~


Tuesday, December 18, 2012

Detik itu telah berlalu

Berada di kampung untuk berkumpul detik bergembira sama sekali tidak sama dengan suasana berkumpul ketika majoritinya mengalirkan airmata. Puas memujuk hati untuk merelakan dan redha tapi mulut sahaja yang mampu berkata namun hati tetap terasa hiba.

Kenduri bacaan yasiin dan tahlil kami jalani seperti biasa. Bahkan doa kami anak-anak sentiasa meniti hati dan bibir kami setiap kali selesai solat sebagaimana yang kami titipkan buat arwah mak yang telah pergi lebih  20 tahun dulu. Biasanya bila ada majlis bibik menjadi rujukan kami setelah emak kembali ke rahmatullah. Tapi malam itu kami tiada siapa lagi untuk dijadikan tempat merujuk.

Hari itu kami bergotong-royang memasak mengikut petua yang bapak berikan. Ketika kerja masak-memasak banyakkan berselawat dan bacalah suroh Al-Kauthar - berharap moga makanan yang dihidangkan menepati selera mereka yang datang. Membaca suroh Al-Quraisy ketika menyenduk makanan sebelum dihidang - berharap semoga makanan yang dihidang mencukupi semua jemaah yang hadir dan tidak membazir  . Tidak perlu bimbang tidak cukup makanan.

Membaca Yaasiin - Berkumpul di masjid sementara menanti ketibaan jenazah dari hospital
Sebelum solat Asar - Adik pun tidak mahu ketinggalan sama
Persediaan awal - Gelas lama dan baru semua keluar sebab ramai penduduk kampung yang datang.
Persediaan lagi - Semua anak-anak turut kena bekerjasama walau masing-masing dalam berduka
Persiapan asas - Tomato, tempe, kari, santan, kacang panjang, kobis, tauhu, terung, nenas, timun, bawang-bawang, rempah tumis, cili dan segalanya aku beli dulu sebelum aku menjengah pejabat seketika. Ayam dan udang abang yang membeli pula pada waktu pagi esoknya.
Berada di ruang tengah dapur - Sepupu-sepupu dan anak-anak saudara kami yang kehilangan emak dan nenek mereka. Tapi ia juga mak kami adik-beradik sebab telah menjadi isteri bapak juga. Kaum lelaki menjamu selepas bertahlil dan yasiin di ruang tamu. (tidak ada gambar)
Alif - Cucu terkecil allahyarhamah bibik buat masa ini. Tidak mahu makan.
~~ Walau bibik dan arwah mak telah berada di alam berlainan doa kami tidak pernah putus buat mereka. Moga roh mereka dicucuri rahmat.~~