Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

Saturday, February 18, 2012

Perkembangan Gendang Silat Utara di Sekolah-Sekolah KL

Di Kuala Lumpur sejarah gendang di peringkat sekolah bermula sedikit lambat. Berbanding dengan negeri-negeri di sebelah utara, terutama Kedah ia sudah lama dimasukkan sebagai salah satu ko-kurikulum. Pada tahun 2007, SMK Cheras, adalah salah sebuah yang terawal mengambil jurulatih luar sebagai tenaga pengajar. 

Sebelum dari itu, kami pernah bermain untuk mengiringi kontijen silat sekolah KL pada awal tahun 2000. Ketika itu juga muzik silat belum lagi dipertandingkan, hanya sebagai pasukan iringan semata (kalau tidak silap saya). Tidak lama kemudian, baharulah ia dipertandingkan. Dan ketika itulah bermula era permainan gendang silat di sekolah-sekolah.

SMK Cheras mengambil kami untuk melatih pasukan gendang silatnya, dan pertama kali mewakili kontijen silat sekolah KL. Saya yang mengajar ketika itu, tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi, memandangkan ia masih baru dan tidak mempunyai pengalaman membuat persembahan atau masuk bertanding. Kemudian, selama dua tahun berturut-turut, ia mewakili untuk kontijen KL. Selepas dari itu, selama dua tahun, tiada sekolah pun di KL yang mengambil mana-mana jurulatih luar mengajar. 

Pada tahun 2009, kami dihubungi oleh pihak SMK Seksyen 2, Wangsa Maju untuk melatih pasukan sekolah mereka. Dengan ketiadaan peralatan dan serba-serbinya yang kurang, sdr Sharul melatih dan membawa pasukan gendang silat dalam senarai 10. Meskipun tidak menang, ia telah membuka mata pihak sekolah di KL. Kemudian tahun berikutnya, 2011, alhamdulillah pasukan gendang silat dari SMK Seksyen 2 sekali lagi mewakili pasukan iringan kontijen KL. Walaupun ada juga pasukan gendang silat yang berteraskan ensemble idifon, ternyata gendang silat yang berasaskan tiupan lebih menyerlah dan memikat juri pertandingan.

Ketika pertandingan silat sekolah-sekolah di Sarawak lah, yang membuka mata wakil sekolah-sekolah KL bahawa pasukan gendang silat dari KL punya peluang yang besar dan cerah untuk menyerlah. Pasukan gendang silat sekolah KL, walaupun mendapat tempat ke-4, namun jumlah perbezaan mata tidaklah begitu besar. Syukur alhamdulillah, selepas dari itu, gendang silat semakin mendapat tempat di hati para pendidik SMK.


Hinggalah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan KL (JPWPKL) memanggil kami dan dipertanggungjawabkan untuk menjadi fasilitator bagi Kursus Gendang Silat peringkat WP KL pada 14 Nov - 18 Nov 2011, termpat di Haji Dorani resort (laporannya boleh di baca di sini). Kursus yang memakan masa hampir 5 hari tersebut berjaya menghasilkan para pelajar yang mampu bermain gendang lagu berjalan (irama selingan/lagu rakyat) dan gendang silat. Meskipun ia masih tahap asas, namun kebolehan dan bakat yang ada pada mereka amat menyerlah. Kami sebagai fasilitator berharap benar agar pihak JPWPKL berpuashati dengan gaya dan kaedah kami melatih para pelajar tersebut. Harapan kami, semoga akan ada lagi siri kursus yang sebegini untuk melatih para pelajar, bukan sekadar untuk pertandingan bahkan sebagai salah satu warisan peninggalan lama yang perlu ada penggantinya pada suatu masa kelak. 

2012 menjelang sudah, namun masih terlalu awal untuk menerka sama ada perkembangan gendang silat di peringkat sekolah akan berkesinambungan atau tidak. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik, dan dengan adanya kursus selanjutnya sebagai penambahkemahiran  skil permainan yang sudah ada., dapatlah bakat pelajar-pelajar terus berkembang dan tidak terhenti di satu tahap sahaja.

Selain itu, kami juga berdoa agar perkembangan gendang silat di sekolah-sekolah, tidak kira di SMK atau SR akan terus mendapat sambutan. Bukan untuk kami, tetapi untuk kesinambungan warisan yang terus berjalan tanpa mengira siapa yang menjadi jurulatih dan apa juga kekangan serta permasalahan yang timbul.

Kami pula, sebagai fasilitator akan menambaik dan mengemaskinikan lagi kaedah mengajar yang bersesuaian dan memudahkan lagi kefahaman para pelajar yang mengikuti kelas atau kursus gendang silat, Insya-Allah. Dengan ada bantuan dari pihak guru, sekolah dan JPWKL, tentunya pengembangan gendang silat di sekolah2 KL akan menjadi lebih teratur dan mudah serta dapat ditanamkan lagi semangat kecintaan pada seni budaya bangsa Melayu selain untuk pertandingan. Amin.

p/s : Terima kasih kepada JPWPKL, pihak sekolah, guru dan pelajar yang terlibat sama dalam kursus atau pertandingan, mahupun dalam memastikan permainan ini akan berterusan sampai bila-bila.

- SMK sudah mengorak langkah, ayuh pendidik di SR, mari sama-sama kita hidupkan seni bergendang di sekolah tuan/puan!

Sila klik sini untuk menghubungi kami. 

Read more...

Sunday, June 26, 2011

Gendang Silat di SMSS

Taklimat ringkas oleh Sdr Sharul

Lebih kurang awal bulan, saya menerima panggilan dari seseorang bertanya mahu membeli gendang. Tidak lama kemudian, saya dan sdr Sharul menerima undangan dari Cikgu Wahab (PSGFM) untuk mengajar gendang silat di Sek Men Sains Selangor (SMSS, di Cheras). Atas nama perkembangan gendang silat, kami bersetuju dan malam semalam adalah kelas yang kedua, alhamdulillah.

Cikgu Wahab memberi penerangan dan kata-kata semangat

Pelajar-pelajar yang mengikuti kelas gendang silat

Meskipun terdapat kekurangan dari segi peralatan, pelajar2 masih bersemangat dan tetap memberikan komitmen yang memberangsangkan. Dan kali ini jugalah terdapat pelajar2 perempuan yang mahu belajar serunai. Dan kalau dilihat secara rambang, jumlah pelajar yang hadir mampu untuk membuat dua kumpulan yang lengkap.

Moga-moga pelajar SMSS dapat menuruti pembelajaran gendang silat dengan tekun. Terima kasih kepada Cikgu Wahab yang mengundang kami untuk berkongsi serba sedikit ilmu pergendangan aliran utara yang ada. Selain itu, mudah-mudahan kekal lah hendaknya mereka yang mengikuti kelas gendang.

Read more...

Saturday, May 21, 2011

Pertandingan Silat Sekolah2 Kuala Lumpur 2011

Syukur alhamdulillah, Kumpulan Gendang Sekawan Bintang, dibawah asuhan sdr Sharul Nizam memenangi juara untuk peringkat KL. Diberitakan pertandingan silat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Sarawak. Tahniah kepada sdr Sharul dan pasukan gendang, moga mendapat sedikit kejayaan hendaknya di sana. Apa-pun dalam bertanding, kalah menang itu perkara biasa. Yang penting terus bergendang sampai bila-bila.

Read more...

Monday, October 18, 2010

Mengiring Pasukan Gendang Silat SMK Wangsa Maju, Sek.2

Lama juga rasanya tidak pergi ke majlis untuk bergendang. Jadi, apabila sdr Sharul meminta tolong saya untuk membawa adik2 dari SMK Wangsa Maju Sek.2, saya tidak menolak dan alhamdulillah saya diberikan kelapangan oleh-Nya. Katanya majlis itu adalah jemputan dari salah seorang pelakon veteran. Apabila ditatap namanya, saya tidak kenal. Namun sejurus sampai di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota, Gombak, saya kenal beliau. Teringat antara drama kisah kekejaman komunis yang dilakonkannya. Ya, baru saya teringat ... hehehe Drama-drama lain yang beliau lakonkan, saya tak ingat sangat.



Pun begitu, adik SMK WM ini tidak banyak karenah dan mudah untuk dikendalikan, alhamdulillah. Lagipun, mereka hanya menggunakan untuk dua, tiga lagu dan mengiring pengantin masuk ke dewan. Selebihnya, bermain selepas pengantin sudah di untuk 'makan damai'. Sekitar 2.30 petang, kami beransur pulang.

Meskipun adik2 ini agak baru juga bergendang, namun komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan amat membanggakan. Ada juga tersasul lagu yang ditiup, namun dalam usia yang begitu muda (tingkatan dua), ia menjadi pengalaman kepada mereka. Semoga mereka terus bergendang sampai bila-bila. Hidupkanlah budaya Melayu, suburkanlah seni kita hinggalah ke generasi akan datang.

Read more...

Sunday, July 27, 2008

Laporan 26/7/08 - Bergendang di SM Setiawanga


Jemputan untuk bergendang pada 26/7 ini sudah lama dirancangkan oleh pihak sekolah. Akhirnya barulah mereka menghubungi saya untuk tujuan tersebut. Pagi-pagi kami sudah terpacak di SMK Setiawangsa, KL untuk tujuan tersebut. Tambahan pula, pasukan gendang diminta untuk mengiringi masuk tetamu yang akan hadir pada hari tersebut. Gelihati juga melihat telatah adik-adik di sekolah, sesekali kenangan menyelinap masuk ke dalam gerubuk kenangan. Saya senyum sendiri. Tepat jam 9, tetamu pun sampai. Selesai memeriksa perbarisan pasukan seragam sekolah tersebut, kami mengambil tugas mengiringi masuk ke dewan. Terus sahaja kami bermain beberapa rangkaian lagi, memandangkan kami dikira sebagai welcoming guest. Saya tak banyak bicara, habis satu lagu, terus meniup satu dengan mengakhiri majlis dengan membawa lagu cover 'Kuch Kuch Hota Hey'. Terima kasih kepada pihak sekolah, terutama Cikgu Khadijah yang sudi menjemput kami untuk bermain di sana.

Read more...

Saturday, August 18, 2007

Laporan Sambutan Merdeka SMK Cheras

Khamis lepas pasukan gendang SMK Cheras yang berusia setahun jagung telah diberikan mandat untuk mengiringi pasukan silat sekolah sempena persembahan hari kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi. Meskipun sedikit gugup mengadakan persembahan di khalayak sendiri namun semuanya berjalan lancar kecuali pemain gong yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Kami sebagai jurulatih juga digesa oleh Cikgu Rizal yang menjadi guru penasihat Kelab Gendang Silat untuk mengadakan persembahan. Pada awalnya kami sangat keberatan untuk menunaikan hasratnya namun hajatnya terlalu besar, terpaksalah kami menunaikannya.

Pasukan Gendang Silat SMK Cheras, KL

Selain dari persembahan silat dan gendang, bacaan sajak serta ucapan yang diberikan oleh guru di situ mengingatkan semla pelajar erti kemerdekaan yang dikecapi oleh kita. Sekurang-kurangnya kita sebagai rakyat Malaysia berketurunan Melayu wajib merasa syukur dan berbangga atas nikmat merdeka yang dikecapi. Paling penting adalah memerdekakan hati dan jiwa dari sebarang bentuk penjajahan.

Bersama rakan silat yang mengadakan persembahan


Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP