Showing posts with label Pahang. Show all posts
Showing posts with label Pahang. Show all posts

Friday, May 27, 2011

Kenangan Di Felda Bukit Mendi

sdr Ijan - baju belang paling kiri, pakcik - tiup serunai

Dua foto di atas ini membuatkan teringat ketika pertemuan pertama dengan allahyarham Pakcik Din Guai. Sekitar tahun 2000, di Felda Bukit Mendi, Pahang. Itulah kali pertama saya bersua wajah dengan beliau. Terima kasih kepada sdr Ijan Pahang yang mencetuskan ilham untuk ke sana. Bagai orang mengantuk disorong bantal, ketika itu, saya, cikgu ramli, abg jo dan azam satu kereta, bersama dengan rakan-rakan di Batu 7, Gombak. Kami ke sana atas satu hajat - mahu belajar lagi ilmu gendang.

Kenangan itu masih subur di benak. Melihat pakcik meniup serunai ketika itu membuatkan kami terpegun. Asyik dan mendayu tiupan beliau. Kami di sana dua hari 1 malam. Bergendang, bergendang dan terus bergendang. Teringat kata-kata pakcik,"Yang dah ada tu takpalah, tambah pulak yang baru. Jadi koi banyak cara main." Wajah-wajah abg Juli, abg bad (kini salah seorang ahli kump gendang 5 sahabat) dan abg2 senior dalam bergendang. Saya jadi memar, teringin benar mahu meniup seperti beliau.

Semua itu sudah tinggal kenangan, hampir 11 tahun berlalu, namun ingatan tak pernah terpadam terhadap kenangan di sana. Al-fatehah buat beliau yang banyak menumpahkan kasih, asuh dan asah buat KGGK selain guru yang ada. Akan abadi dan terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

Read more...

Sunday, December 19, 2010

Dari KL Ke Jengka 6

Perjalanan diiringi dengan hujan yang turun tidak berhenti-henti
dari KL hinggalah ke destinasi.

Perjalanan ke Jengka 6 tidaklah jauh mana. Hanya dalam 2 jam setengah, melalui lebuhraya Pantai Timur dan masuk ke exit Kg. Awah. Tapi kami tidaklah terus ke Jengka 6, setibanya kami di sana, kami menginap dulu di homestay yang terletak di Jengka 25. Ia sebuah rumah yang selesa, tiga bilik yang boleh digunakan dan ruang tamu yang sangat besar. Tidak cukup dengan itu, ada kolam ikan di belakang rumah. Memang rasa nak datang sekali lagilah! Kalau setakat untuk berehat dan melepaskan serabut kepala duduk di KL, rumah yang dipunyai oleh Encik Ramli Ahmad ini cukup, cukup sesuai. Lega kepala berada di situ. Kami bermalam di situ, bayangkan, tiga keluarga muat dengan selesa.

Homestay yang kami menginap

Malam, perut masing-masing berbunyi. Kami tidak tahu kawasan kedai makan di situ, cari punya cari, sekali tersalah singgah pula. Maka, makan malam kami diringi dengan lagu2 karaoke yang berdengung bagai nak rak di kawasan Jengka 21. Rupa-rupanya kedai itu memang kedai karaoke. Kami terpaksa bercakap dengan suara yang kuat. Ini merupakan satu pengalaman manis pada hari tersebut. Minta-minta janganlah tersalah masuk kedai makan lagi. :)

Syam Karaoke - bikin kepala berdengung!

Pagi 18.12.10


Kami sudah bersiap-sedia untuk ke Jengka 6. Hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah bagi salah seorang ahli KGGK yang melangsungkan hari pperkahwinannya, sdr Sharul. Kepada mereka yang biasa dengan kehidupan felda pasti tahu bahawa dari satu bahagian felda ke bahagian felda yang lain memang jauh. Maka, perjalanan dari Jengka 25 ke Jengka 6 mengambil masa lebih kurang 40 minit, termasuklah dengan lori yang merata dan jalan yang bengkang-bengkok.

Setibanya di sana, majlis sudah berlangsung. Kami hanya singgah sebentar di masjid sementara menantikan kedatangan tok imam. Apabila sudah siap semua, kami terus ke rumah pengantin perempuan. Senyum-senyum sahaja pengantin lelaki, maklumlah... dengan keadaan orang ramai dan diperhatikan oleh kedua-dua keluarga. Tok imam yang berbual-bual dengan bapa pengantin. Mujurlah Cikgu Ramli dapat hadir dan menjadi 'orang tua' bagi pihak kami. Sempat juga cikgu berlawak, kendurlah sedikit suasana. :)

Menanti saat-saat ijab kabul dengan penuh debaran

Pasangan mempelai

Selepas majlis akad-nikah, kami menyinggah dulu di rumah Kak Ti. Jam 1.20 petang, kami bergerak, dengan disambut oleh bunyian kompang, kami dijemput terus untuk menikmati hidangan tengah hari bersama pasangan mempelai. Sesi usik mengusik terjadi, mana boleh elak kan? Sudah nama pengantin baru, tahan sahajalah telinga. Tapi sayang, saya terlupa merakamkan permainan gendang silat yang berlangsung di depan rumah. Hanya menggunakan kamera pengantin sahaja, entah bila boleh tengok gambarnya, tak tahulah.

Cikgu Ramli tak main serunai, tapi menyumbangkan lagu-lagu karaoke
{Cikgu Ramli berkaraoke! Penangan Syam karaoke!}

Lewat jam 3. 30 petang, baharulah Azam dan Azhar tiba, namun saya sudah bersiap-siap untuk pulang semula ke KL. Enggan bergerak dari situ pada waktu malam, saya fikir-fikir biar penat sekaligus. Kalau mahu menginap semalaman, masih boleh tapi jam 4 selepas bersalam-salaman dengan keluarga pengantin dan rakan, kereta terus meluncur ke KL. Kembali ke suasana jalanraya yang sibuk.

p/s : Terima kasih kepada pihak pengantin perempuan, rombongan pengantin yang mengiringi pengantin, Cikgu Ramli dan keluarga serta rakan-rakan KGGK serta kumpulan gendang silat yang turut memeriahkan majlis tersebut.

Read more...

Friday, June 25, 2010

Gendang Silat Pahang

Entah kenapa malam ini saya tergerak hati untuk mencari maklumat tentang gendang silat Pahang. Ya, mungkin juga saya teringat kampung di sana. Sudah lama tidak balik. :(

Saya salin dan letakkan di sini sebagai tatapan dan memautkan ke lama asalnya. Takut juga nanti akan hilang begitu sahaja dari internet dan blognya ditutup.

Gendang Silat Pahang
------------------------------

Gendang Pahang versi Kg Batu Sawar

EN Mat Nor dan Mat Gedohok

Uncle Satan

Para Pelapis Gendang Pahang Batu Sawar

"Ia merupakan seni tradisi yang mendapat pengaruh Islam yang mendalam. Muzik ini dipercayai dibawa oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan di akhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak yang lain. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis perkahwinan dan adat istiadat istana serta untuk mengiringi persembahan silat dan Tarian Inai. Alat muzik yang digunakan ialah gendang anak, gendang ibu dan gong. Gendang Pahang tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja kerana wanita juga terlibat dalam kesenian ini." Petikan untuk definisi ini telah diambil dari lama blog Muzik Tradisional di sini.

Di Kampung Batu Sawar kumpulan gendang Pahang ini dianggotai oleh 3 sekawan yang diketuai oleh En Mat Nor, Uncle Satan dan juga Mat Gedohok. Mereka adalah antara golongan yang cuba menghidupkan kembali seni tradisional yang semakin dilupakan pada masa ini.

Menurut kata En Mat Nor, kumpulan Gendang Pahang Batu Sawar ditubuhkan pada sekitar 2007. Sekerang ini terdiri dari dari 3 pemain. Kumpulan ini memiliki 2 gendang dan 1 Gong dan akan ditambah lagi mengikut penerimaan masyarakat Kg Batu Sawar. Menurut beliau lagi, anak anak muda Kampung Batu Sawar juga telah menunjuk minat yang tinggi dalam mempelajari permainan seni tradisional Gendang Pahang ini. Dengan ini ianya menunjukan satu peringkat postif yang maner muzik tradisioanal masih lagi diterima pada masa kini.

Menurut penduduk kampung Batu Sawar, Suatu ketika dahulu, Permainan gendang Pahang ini diiringi dengan Silat Pulut dan Juga tarian piring. Ianya sering dimainkan di majlis-majlis kenduri perkhawinan dan juga keraian kampung. Namun begitu ianya seakan ditelan zaman. Dengan usaha 3 sekawan ini diharap dapat menghidupkan kembali sesuatu yang telah lama hilang. (artikel ini pula dari blog Perpustakaan Desa PNM Batu Sawar)

Ulasan - Gendang silat Pahang tidak mempunyai serunai. Hanya gendang ibu, anak dan gong sahaja. Harapan saya agar ia dapat dipelajari oleh anak muda di sana agar ia tidak ditelan zaman dan hilang begitu sahaja.

lagi gambar pemain gendang silat Pahang
(dari laman fotopages anak Pahang)

p/s : Kalau ada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang gendang silat Pahang, sila emel gemalakasturi@yahoo.com

Read more...

Monday, June 7, 2010

Persatuan Gendang Silat Pesaka Gayung Bera, Pahang

sumber : blog Tok Joro

Read more...

Saturday, March 13, 2010

Ke Felda Sungai Koyan - 15 Febuari

Agak lama juga menunggu sdr Shahrul untuk uploadkan gambar ke sana, hehehe ... Ingatkan banyak sangat, rupanya ada tiga keping je, chit! Tapi tak mengapa, ada juga daripada tak ada langsung.Nama orang Sg Koyan sudah lama kami dengar dari Pakcik Din, tapi pada hari tersebutlah, kami mengenali orangnya, iaitu Pak Man dan Pak Eb. Dua orang tukang gendang dan serunai yang memang otai, merupakan anak murid pakcik Din juga. Hampir jam 6 petang kami beransur dari KL. Kami bertiga, Un, Bulat dan saya berdesup ke sana. Disebabkan hujung minggu dan jatuh pada hari perayaan Cina, maka jalan sedikit sibuk, tapi dek kerana kerempitan Un, dapat jugalah kami sampai dalam jam 9 lebih.


Sampai di sana Pak Eb belanja kami makan terlebih sebelum dibawa ke rumah Pak Man. Seperti biasa, sesi bermain gendang dengan rakan-rakan di sana berlangsung. Tapi sayang sekali Pak Man menyimpan skillnya bermain serunai. Namun banyak perkara yang diperbincangkan, termasuklah harapan, nasihat serta pengalaman dicurahkan kepada kami sebagai bekal orang muda dalam bidang pergendangan. Alhamdulilah, banyak juga yang dikongsikan dengan kami. Paling menarik apabila Pak Man dan Pak Eb memberitahu di sungai Koyan itu ada emas dan pernah menjadi tumpuan suatu masa dahulu. Tapi sekarang sudah kurang.

Sayang, Bulat tak ambil banyak gambar malam. Tapi malu alah pun ya juga, maklumlah .. baru sahaja berkenalan pada malam itu, takut juga dikata apa kalau ambil banyak sangat gambar. Jadi, ada tiga keping sahaja untuk dimuatkan di blog ni. Seperkara lagi, mereka berdua pandai membuat serunai dan gendang. Saya sudah mencuba 2, 3 batang serunai buatan Pak Man, boleh tahan! Memang tak rasa rugi kalau membelinya.

Lewat jam 12.30/1 pg, barulah kami bergerak semula ke KL. Terima kasih kepada Pak Man dan Pak Eb kerana sudi melayan kami di sana, juga segala ilmu yang dikongsikan kepada kami. Semoga Pak Man dan Pak Eb terus gigih membimbing anak muda di sana bergendang dan terus menghidupkan kesenian ini.

Read more...

Friday, February 19, 2010

Bergendang di Jengka 16, Pahang.- 9 Febuari 2010

Pakcik Din Guai

Lama benar tidak ke Pahang. Selepas dari kenduri Cik Man Misai dan 'turun tangan' Alang dan rakan-rakan, baru kali inilah saya dan Sharul ke sana. Tujuan asal adalah untuk menghantar gendang untuk diperbaiki, tapi sempat juga kami bergendang pada hari yang kami sampai. Awal-awal lagi Pakcik Din (kami panggil pakcik) sudah menelefon rakan-rakan di Jengka 16 ada latihan atau tidak. Yup, ada...

Makcik (isteri pakcik) pun menyiapkan kami makan malam yang agak awal. Petang itu kami sudah menyantap setelah sampai di sana kira-kira jam 5.30 ptg kalau tak silap saya. Dapatlah sedikit sebanyak kami mengetahui perkembangan permainan gendang di sana, melalui perbualan dengan pakcik. Perjalanan ke sana tidaklah jauh sangat, lebih kurang 2 jam sahaja. Tapi dek bahana panas dan nature's call, kami berhenti juga; disamping menunaikan solat di RNR (tak ingat la pulak...).

Suasana berlatih

Kalau dahulu memakan masa juga sebelum adanya lebuhraya yang boleh masuk melalui simpang Kampung Awah.Malam selepas solat maghrib, kereta yang dipandu saya meluncur ke Jengka 16. Sempat juga pakcik singgah di rumah seorang abg tu, kerana mengambil kulit kambing (untuk dibuat gendang)."Besar juga kulit kambing ni pakcik ya?"

"Kalau kulit kucing lagi kecik," jawab pakcik, sambil disambut oleh tawa dari saya.

Dan selepas itu, terus kami dibawa oleh abg tersebut ke rumah yang dijadikan tempat untuk berlatih pada malam itu. Setibanya di sana, kami lihat sudah ramai orang. Malu alah mula terasa di hati, kerana di tempat orang. Tapi bab makan, kami sental semacam je ... hehehe. Rugi kalau malu bab makan ni.


Tak lama kemudian, seperti biasa. Acara gendang pun dimulakan. Saya dan Sharul turut mengambil bahagian apabila bertukar ganti orang yang bergendang. Pakcik pun sama meniup serunai, sambil pada malam itu ada rakan yang baru masuk belajar gendang. Suasana begitu meriah, dengan bunyian gendang, sesi menyembang dan sebagainya. Dan pakcik pula selalu buat kami tak kering gusi dengan jenakanya yang menghiburkan.

Cik Man Misai dan Sharul

Terima kasih sungguh kami kepada Pakcik, Makcik dan tuan rumah tempat bergendang malam tu dan juga rakan-rakan di sana.

Read more...

Tuesday, October 28, 2008

Kenduri di Jengka 2, Pahang

Seawal-awal lagi guru kami di Kedah sudah mengingatkan agar dapat meluangkan masa ke rumah Pak Man Misai di Jengka 2, Pahang. Syukur alhamdulillah, kami diberikan kelapangan itu, tiba pada masanya kami bergerak jam 9 pebih kurang dan tiba di sana hampir jam 11.30 pagi. Sementara rakan kami, Bulat dan Un sudah bergerak sehari awal. Saya dan rakan-rakan hanya duduk di belakang pentas orang bergendang sahaja. Pada awalnya, saya malas untuk bergendang apabila menjangkakan sudah tentu ramai orang yang akan bergendang di rumah Pak Man. Namun jangkaan kami meleset kerana hanya ada kumpulan gendang dari Bera sahaja.
Tapi lama-kelamaan kaki tangan saya menjadi sejuk, hati mula berdebar-debar kerana semangat ingin bergendang mula menyelinap perlahan. Bunyi serunai, gendang dan gong bagaikan memanggil-manggil saya untuk turut menyertai kumpulan yang ada. Perlahan saya menghampiri mereka, tiba-tiba Pak Li tersengih dan melambai. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tanpa bertangguh saya dan rakan-rakan naik ke pentas bergendang setelah bersalaman dengan mereka.Apa yang mngejutkan saya adalah berjumpa semula dengan abang Bad, yang hampir 10 tahun tidak dutemui. Saya gembira sekali, tidak menyangka abang Bad sudah menyertai kumpulan gendang Bera walaupun tinggal di Felda Bukit Mendi. Tanpa bertangguh kami pun memulakan dengan 'lagu buka' dan diikuti dengan beberapa lagu 'berjalan'. Setelah itu, kami berhenti untuk seketika dan bersembang dengan Tok Awang dan Pak Li.


"Kami baru ja bergendang di Selanca kelmarin, pastu mai malam tadi. Ambuih, bergendang sakan sampai jam 3 pagi," ujar Pak Li. Dari percakapannya saya sudah mengagak, pastinya kami yang akan memukul lagi-lagu yang seterusnya. Begitulah komitednya masyarakat bergendang yang tidak peduli dengan keletihan melainkan dapat berjumpa dan mengeratkan silaturrahim walaupun penat tak terkira. Tidak lama kemudian, kami pun bergendang untuk 5 pasangan silat tanpa henti dan juga pasangan tomoi. Masuk ke pasangan terakhir, air liur saya mula meleleh keluar dari tepi mulut tanpa dapat dikawal lagi.

Namun saya teruskan juga, enggan mengalah dengan keadaan, hinggalah pasangan terakhir tamat bersilat.Hati saya lega bukan kepalang kerana dapat melaksanakan tugas tersebut. Selesai sahaja bermain, kami berhenti dan bersembang panjang dengan Tok Awang dan Pak Li. Memang sudah beberapa kali bertemu dengan kumpulan gendang dari Bera ini, tapi kali inilah yang dapat berbual betul-betulnya. Hujan pun mulai turun, wah saya kata ini hujan rahmat. Syukurlah hujan turun kerana kurang sikit panasnya. Setelah makan untuk kali kedua, kami bergendang lagi hingga hampir jam 5 petang, kemudian barulah kami beredar ke rumah guru kami di Jengka 6, Pakcik Din Guai. Malam selepas isya' barulah kami beransur ke KL setelah makan dan berehat di rumah Pakcik Din.

Read more...

Wednesday, September 3, 2008

Kembara Alif dan Amin


Pada musim cuti sekolah yang lepas, dua ahli termuda kumpulan telah berkelana demi menambah ilmu di dada. Alif dan Amin, pasangan adik-beradik yang bermain di posisi gendang ibu dan anak telah ke Kedah untuk mengabsahkan tandaan berguru dengan salah seorang guru gendang yang berdiam di Kampung Panchor (Wang Tepus, Jitra) selama beberapa hari, ditemani oleh ahli lama, sdr Shahrul. Saya pula disebabkan perihal keluarga tidaklah dapat ke sana bersama mereka. Hasrat untuk ke sana dipendam lama oleh mereka dua beradik, namun takdir pada cuti sekolah, impian mereka terlaksana. Bermulalah perjalanan mereka 'mengadap guru', bersireh pinang dan berlatih bersama kawan2 sepergendangan di sana.

Sayuti, sahabat lama kami (Air Hitam, Kedah)

Bertambah manis perjalanan mereka kerana dapat bergendang di majlis ahli Senario, Lan Pet Pet yang bernikah. Ditanya apa perasaan mereka di sana, mereka menjawab 'seronok!'. Saya katakan, itulah nikmat dapat bertemu dengan guru, Pak Teh Mat Khir dan mempelajari secara langsung dengannya. Asas pergendangan sudah dapat dimahirkan, maka perjalanan ke sana dapatlah lagi memperkemas dan mempertajamkan lagi kecekapan dan kemahiran bermain. Kembalinya dari sana, SMS telah dihantar kepada saya, bertanyakan bilakah akan berlatih gendang? Saya kata, Insya-Allah ada, sebab saya pun teringin untuk melihat perkembangan permainan mereka setelah ke sana.

Apabila ditanya kepada Pak Teh, beliau berpuashati kerana kedua beradik itu memang 'pulun' sungguh di rumahnya. Saya berasa lega kerana mendengar jawapan yang diberikan oleh Pak Teh. Sempat juga saya berpesan kepada alif agar jangan lupa untuk mengambil gambar agar sapat dimuatkan di dalam blog nanti. Syabas kepada mereka, harapan kita agar kesinambungan bergendang akan berterusan sampai bila-bila. Yang penting, permainan ini terus kekal hidup sehinggalah ke generasi yang akan datang. Pelapis-pelapis muda memanglah diperlukan agar permainan ini akan sentiasa terus hidup dan berpanjangan. Kita doakan mudah-mudahan agar pasangan adik-beradik ini kekal bergendang hinggalah dapat diperturunkan kepada generasi adik-adik yang akan datang. Amin.

Selesai ke Kedah, mereka berkelana lagi ke Pahang (Jengka 6) untuk bertemu lagi dengan guru kami, Pakcik Din Guai bagi mempereratkan lagi silaturrahim dan menambah ilmu dengan beliau. Kali ini perjalanan disertai oleh sdr Shahrul dan Cikgu Ramli yang sudah sekian lama tidak berjumpa dengan Pakcik Din yang juga merupakan guru beliau. Perjalanan di Pahang, selama 3 hari, bersama Pakcik Din, mereka pulun berlatih gendang dan sekembalinya dari kembara tersebut, mereka berpuashati sangat-sangat dan berharap agar dapat bertemu lagi dengan dua guru kami pada masa akan datang.

Pakcik Din Guai

Read more...

Thursday, August 2, 2007

Pakcik Din Guai

Sumber dari laman web : Suefami's foto

Kebetulan semasa melayari internet terpandang gambar salah seorang guru kami, Pakcik Din Guai yang tinggal di Jengka 6, Pahang. Senyum saya mengenang kembali pertemuan pertama dengan beliau di Felda Bukit Mendi, Pahang. Ketika lebih kurang dalam tahun 1999, saya Cikgu Ramli, abang Johan dan Azam ke sana setelah disarankan oleh Ijan yang memang tinggal di sana. Seorang yang tenang, pandai bercerita dan menarik hati. Terakhir saya ke sana dalam bulan April baru-baru setelah selesai kursus Jurulatih Seni Budaya Negara di Kuantan, Pahang.



Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP