Sunday, July 8, 2018

ujian atau hukuman?

Bismillah.

Dalam hidup ini, kita sentiasa diberikan ujian oleh Allah untuk kita diuji sejauh mana keimanan kita.

Namun, kadangkala, kita salah sangka “hukuman” itu kita bersangka “ujian”.

Bila semua yang berlaku kita beranggapan sebagai ujian, kadangkala kita acuh tak acuh. Kita akan getus dalam hati; “Oh, tuhan uji aku.”

Sekurangnya, perlu ada juga terdetik di hati; “oh, Allah menghukum aku atas segala dosa-dosa aku!”

Bila kita berasa semuanya “ujian”, kita akan cuba hadapinya dengan tenang. Lain pula jika kita beranggapan ia adalah “hukuman”, kita akan sentiasa dalam keadaan tidak tenang dan gusar kerana apakah dosa-dosa kita yang telah kita lakukan sehingga tuhan jatuhkan hukuman? Apakah masih ada lagi hukuman yang berat? – seharusnya begitu yang kita patut rasa.

Tapi, ramai di antara kita bila “diuji” dengan dugaan seperti perceraian, akan beranggapan “oh, ini ujian daripada Allah”. Maka, tiada apa yang hendak dikesalkan dan meneruskan hidup seperti asal.

Jika di antara kita berfikir “oh, inilah hukuman Allah kepada aku atas segala apa yang dah aku lakukan”, mungkin kita akan lebih mendekatkan diri kita kepada tuhan. Hati semakin tidak tenang bila mengenangkan apakah lagi hukuman tuhan yang akan datang?

Optimis. Ya, beranggapan segala yang berlaku itu sebagai suatu ujian adalah sikap bersangka baik kepada tuhan. Tetapi, sebenarnya, beranggapan apa yang berlaku itu adalah suatu hukuman juga merupakan bersangka baik kepada tuhan. Tuhan sedang menduga untuk menghapuskan dosa-dosa. Itu juga adalah suatu sangkaan yang baik.

Tetapi, optimisme di antara kalangan kita terkadang tidak adil. Semua yang berlaku kita anggap “ujian”, padahal ia mungkin suatu “hukuman”. Ya! Kita tidak bertindak di atas ujian dan hukuman itu. Kita masih leka. Masih gagal mentafsir apakah petunjuk tuhan.

Akhirnya, yang beranggapan diuji tuhan akan berlagak seperti biasa dan menempuh “ujian” itu kerana anggapannya, ia hanyalah sebuah ujian. Lain pula jika beranggapan ia suatu “hukuman”. Ada di kalangan kita akan bersungguh-sungguh mencari tuhan. Mohon dipermudahkan segala urusan dan terampun segala dosa yang telah dilakukan.

Akhir kata.
Ujian atau hukuman, keduanya datang dari Tuhan. Kerana Dia masih peduli kepada kita. Namun, janganlah kita bermudah-mudah dengan segala yang Dia turunkan kepada kita. Semuanya ada “asbabul-nuzul”. Dia menjentik hati kita tanpa kita sedar untuk kita fahami adakah ia ujian atau hukuman.

Moga Allah kurniakan kepada kita sebaik-baik ujian, dan seringan-ringan hukuman.

Amin.