Showing posts with label Isu Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Isu Masyarakat. Show all posts

Tuesday, 12 May 2015

Nak Beri Ke Tidak?


Wanita ni meminta sedekah (dengan menggunakan tisu poket sebagai bahan meminta sedekah), di tengah-tengah kesesakan jalan raya. Dia mendekati kenderaan yang lalu lalang sambil menghulur tisu. 

Perkara pertama yang saya fikir - bahaya! Bayangkan kalau tiba-tiba ada motor yang sedang menyelit dan tak perasan wanita ni. 

Kedua - perlukah kita beri wang kepadanya? Kalau kita beri, macam menggalakkan perbuatan begini pulak. Tak diberi, terasa diri sendiri kedekut sangat.

Ketiga - warganegara manakah wanita ni? Kalau tengok penampilan memang saya kira dia bukan orang Malaysia. Ada tak penguatkuasaan yang boleh dikenakan ke atas mereka ni? 


Saya? Belum pernah beri lagi. Rasa bahaya pulak nak berurusan di tengah-tengah kesesakan jalan raya begini (sungguh pun biasanya dia mendekati kita sewaktu lampu trafik warna merah). Dalam hati terasa belas, jalan hidup apakah yang dilalui mereka sehingga sanggup meminta sedekah dengan cara bahaya begini? Kita pulak yang jadi serba salah!

Friday, 10 April 2015

Kenapa LELAKI Ramai Muflis?

Printscreen dari Facebook, topik yang menarik...
Fakta menyebut 70% daripada 120,000 orang yang MUFLIS adalah LELAKI.
Persoalannya, kenapa LELAKI???


Pendapat saya secara umumnya....sebab lelaki tak risau atau takut kepada hutang dan berani berhutang di luar kemampuan, yang akhirnya membawa kepada muflis. Berbeza dengan perempuan, baru nampak perkataan 'tunggakan' pada bil utiliti pun dah menggelabah nak cepat-cepat bayar! Tu baru bil utiliti, boleh bayanglah macamana risaunya orang perempuan bila loan kereta, loan rumah yang tertunggak. Selagi ada duit, memang akan bayar. Kalau nak berhutang/buat pinjaman pun berkira-kira. 

Ok, itu cuma pendapat saya je tau. Pendapat kita pastinya berbeza, ikut pengalaman hidup kita dan realiti insan disekeliling kita. Takde satu pendapat yang tepat untuk persoalan ini, sebab kes muflis ni berbeza-beza.  

Apa pulak pendapat korang ya? Kenapa LELAKI lebih ramai muflis berbanding perempuan?


Thursday, 9 April 2015

Perwira Di Medan Derita

KISAH 1
Dia kadangkala terpaksa berhutang,
Hanya untuk mendapatkan rawatan mereka suami isteri.
Tiada kemudahan mencukupi di hospital berdekatan.
Terpaksalah berulang-alik ke hospital yang jauh.
Yang menuntut kos dan kudrat tua mereka.
Menaiki beberapa bas untuk tiba.

Jika hanya untuk rawatan si suami,
Pergilah dia bersendirian bagi menjimatkan kos.
Jika rawatan untuk si isteri,
Pergilah mereka berdua bagi menemani si isteri,
Walau kos tentunya semakin bertambah.


KISAH 2
Dia ke bandar sendirian,
Bukan tak mahu membawa anak isteri,
Tapi memang tiada kemampuan wang.
Cukup sekadar memenuhi keperluan mendesak.
Mereka hanya mampu bergilir,
Setiap kali jika ingin ke bandar.


~Secebis daripada kisah-kisah mereka, 'perwira di medan derita'. Muhasabah diri, bersyukur apa yang kita ada dan berkongsilah walau sedikit dengan mereka.~

Wednesday, 26 November 2014

Weather Consultant

Dulu digelar 'bomoh hujan',
Sekarang zaman moden tukar jadi 'weather consultant'.
Nama berubah tapi peranan masih sama konon boleh ramal/tolak hujan!
Nama berubah tapi hukum Islam tetap sama - haram lagi berdosa!
 
Eh, ini pun salah satu usaha apa? Sekarang kan musim hujan.
Allah kan suruh kita berusaha?
Ya, Allah suruh kita berusaha tapi dengan cara halal.
Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara yang haram.
 
Apa yang berdosanya guna bomoh hujan?
Berdosa kerana percaya bomoh tu boleh ramal/tolak hujan.
Bila kita percaya ada kuasa lain selain Allah, itulah syirik.
Syirik tu dosa besar, menghancurkan seluruh amal baik kita.
 
Kalau gitu, apa usaha yang boleh dibuat? Ni majlis besar.
Mohon terus kepada Allah...DOA, DOA dan DOA!
Doa sendiri, ramai-ramai dan minta doa dari orang soleh.
Usaha buat di tempat berbumbung, contohnya dalam dewan.
Usaha dapatkan ramalan cuaca di Jabatan Meteorologi.
Dah buat semua usaha, pasrahlah.
Setiap yang Allah beri tu ada hikmah, walau kita tak suka.
 
 
Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( HR Abu Daud )
 
 
~ Caj 'weather consultant' mahal gak tau, main ribu...keluar kos banyak hanya untuk dapat dosa besar! ~ 
 


Thursday, 20 November 2014

Buat DOSA Dengan 'WhatsApp'

Korang yang ada aplikasi chat 'WhatsApp' tentu ada banyak grup. Saya sendiri ada 10 grup. Ada yang perempuan je, dan ada yang bercampur lelaki dan perempuan. Ada grup memang seronok, jauh di mata tapi dekat di hati. Boleh kongsi gambar dan borak macam-macam hal. Saya yang duduk dalam rumah pun, boleh borak dengan kawan-kawan/jiran-jiran/adik-beradik yang duduk diserata Malaysia (malah ada yang di luar negara). Maklumat pun lebih mudah disebar/diterima. Tapi disebalik kebaikan aplikasi ini, pasti terselit keburukan yang membawa kita kepada DOSA. Antaranya :
 
1- Sebarkan khabar yang kita tak pasti kebenarannya, dan membuat orang lain panik. Kecuali kita share untuk tanya kepastian dari kawan-kawan tu lain kes. Cth : Menurut Jabatan Meteorologi, dalam masa tiga hari akan datang, kawasan Lembah Klang akan dilanda hujan ribut yang boleh menyebabkan puting beliung. Rupa-rupanya Jabatan Meteorologi takde pun bagi notis begitu.
 
2- Sebarkan mesej berantai yang tidak selari dengan Islam. Cth: Jika anda sebarkan mesej ini kepada 10 orang rakan, anda akan terima kebaikan dalam tempoh 2 jam. Jangan kata saya penipu, jika anda belum cuba. Siapalah kita untuk mengatasi kuasa Allah, sampai boleh beri janji yang orang lain akan dapat kebaikan dalam tempoh 2 jam?
 
3- Sebarkan gambar-gambar tidak sopan/membuka aurat. Cth: gambar lelaki beraksi gedik seperti perempuan, gambar perempuan berpakaian mendedahkan aurat. Walaupun tujuan untuk suka-suka, ingatlah bahawa ada Allah yang memerhatikan kita. Tiap mata yang memandang, kita dapat saham dosa selaku orang yang sebarkan.
 
4- Sebarkan keburukan orang lain, dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi seseorang. Kalau tujuan beri amaran supaya orang lain berhati-hati jangan sampai tertipu dengan orang tertentu, itu bolehlah. Tapi hati-hati jangan sampai terlebih mengata.
 
5- Kita yang masih beristeri/bersuami, memanggil isteri/suami orang dengan panggilan manja & mesra. Cth: sayang, honey. Walaupun niat bergurau, tapi ia membuka kepada jalan maksiat hati. Ia juga pasti melukakan hati pasangan kita jika diketahui.
 
6- Kita yang masih beristeri, memuji-muji kecantikan isteri orang. Cth: makin mengancam la Meah sekarang ni!, Piah ni dari zaman sekolah sampai sekarang masih tetap cantik! Alasan sama macam kes no. 5  di atas.
 
7. Leka chat sehingga mengabaikan tugasan hakiki di tempat kerja dan di rumah. Cth: pekerjaan belum selesai, tapi sibuk chat di waktu kerja.  Balik rumah pun sibuk chat, sampai tak sempat bermesra dengan anak isteri/suami. Selain berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab, hal ni boleh membuatkan rumahtangga hilang bahagia.
 
Ada lagi? Korang boleh tambah. Sama-sama kita fikir, renung dan nilai diri sendiri. Kadang tu memang kita terlupa, leka dengan keseronokan teknologi. Kita taubat, beringat. Yang penting, nak buat apa pun fikirkan pandangan Allah yang tak pernah tidur dan sentiasa memerhatikan kita.
 

Tuesday, 30 September 2014

Nakhoda Yang Pincang!

"Sebutkan rukun Iman?" pinta penemuduga.

Diam. Lelaki itu gagal menjawab. Mungkin jua terkejut, lalu gagal mengingati.

"Baca surah al-Fatihah." arah penemuduga lagi.

Tergagap-gagap lelaki itu cuba melafazkan kalimah suci.

"Berapa lama kamu tak solat?" tanya penemuduga, pabila lelaki itu gagal membaca surah al-Fatihah (surah yang wajib dibaca dalam solat).

Lelaki itu menjawab "Sudah lama...". Ada yang mengaku sudah berbulan, ada yang mengaku sudah bertahun. Ya, lelaki itu dan lelaki-lelaki itu sudah sekian lama tidak bertuhan!


Lelaki-lelaki itu adalah suami kepada keluarga Islam. Punya isteri dan anak-anak. Mereka adalah NAKHODA kepada sebuah pelayaran bahtera rumahtangga. Hidup mereka tidak seindah impian, terperangkap dalam belenggu kemiskinan. Tapi yang lebih malang, hidup mereka jauh dari Allah yang telah menciptakan mereka (juga kita). Mereka benar-benar miskin! Miskin harta dan iman.

-----------------------------------------------------------------------------------

Sedih, kasihan, risau....itu yang saya rasa. Entah apa yang mereka lalui, entah bagaimana didikan penjaga mereka, hingga akhirnya menjadi 'nakhoda yang pincang'. Risau mengenangkan generasi zuriat yang terhasil. Moga usaha membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan ini bakal membawa mereka kepada hidup bertuhan.

Insaf, syukur...itu jua yang saya rasa. Terima kasih Allah atas segala nikmat hidup dan kemanisan rasa bertuhan yang Kau kurniakan!

Rasa bertanggungjawab...itu yang perlu saya dan kita semua rasa. Jom sama-sama kita ambil peduli pada insan sekeliling kita. Lakukan usaha semampu mungkin. Yang miskin harta, kita berikan bantuan harta. Yang miskin iman, kita tunjukkan jalan kebenaran-Nya. Ya, semampu kita kerana kita sendiri masih terumbang-ambing dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi dan tahap keimanan.





Tuesday, 22 April 2014

Gambar-Gambar Mesra Suami Isteri...Salah Ke?

Ada orang yang rajin letak gambar mesra dia dan pasangan di Facebook.
Pasangan yang halal...suami dan isteri.
Gambar berpeluk-pelukan, laga-laga pipi.
Nampak mesra dan intim sekali!

Kalau sesekali mungkin kawan-kawan boleh terima.
Kalau kerap sangat, kawan pun mula meluat.
Timbullah kata-kata..
...macam dia sorang ada bini...
...macam dia sorang ada laki...
...macam dia je yang bahagia!

Eh, salah ke? Kan pasangan yang halal?

Secara asasnya, memang tak salah sebab suami isteri.
Tapi kita kena fikir dari sudut agama dan pandangan masyarakat.

Agama mengajar kita sifat MALU. Malu itu tanda orang beriman.
Budaya Melayu kita turut mendidik sifat MALU.
Maka, selitkanlah rasa malu itu dalam diri kita.
Simpanlah gambar-gambar intim untuk tatapan sendiri.
Tak perlulah umum tahu bagaimana kita berpeluk dengan pasangan!

Dan...gambar sebegini mampu mengundang kemungkinan lain.
Kemungkinan yang negatif...fikir-fikirkanlah!


p/s: entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa, sekadar pandangan saya. Mohon maaf jika ada yang terasa ya. Berbeza pandangan...itu biasa.



 

Tuesday, 10 September 2013

Main Saham...Skim Cepat Kaya?

Tiada siapa yang nak mengaku dia terlibat dengan Skim Cepat Kaya (SCK). Sebab masyarakat umumnya memandang serong dengan SCK ni. Tapi bila disebut 'main saham', masyarakat mudah menerima dan lebih terbuka hati nak melibatkan diri. Hulur wang dengan jumlah tertentu, lepas beberapa bulan wang tadi jadi berganda. Sebab dah dilaburkan...kata kumpulan penganjur. Tapi masyarakat tak pernah ambil tahu pun ke mana wang tadi dilaburkan, atau sekadar lebur ditangan penganjur?

Cerita Saya
Masih dalam tempoh bertunang, ada seseorang ajak saya 'main saham'. "Duit ni nanti boleh buat belanja kawin kau", pujuk Kak A. Tiap-tiap hari pujuk saya, dan kadang-kadang marah sebab saya masih tak mau turut ajakannya. Jumlah pelaburan awal cuma beberapa ratus (RM200 seingat saya). Kalau dapat cari orang lain, kita akan dapat lebih. Kalau tak, tetap dapat pulangan berganda.

Masa berlalu...saya sekadar tunggu dan lihat. Ada jugak orang lain yang terpengaruh dan dah membayar. Akhirnya, semua hampa. Bila tiba masa 'menuai hasil', pihak penganjur mendiamkan diri. Dan yang jadi mangsa amarah bukanlah penganjur, tapi Kak A tadi. Ramai yang mencarinya, marah-marah dan mintak ganti duit. Entah apa kesudahannya...

Cerita Orang Lain
Penyewa rumah mak saya, tinggal sendirian. Tak pernah culas bayar sewa bertahun lama. Sehinggalah suatu ketika pada hujung tahun lepas, dia mula liat membayar. Sering bertangguh. Akhirnya terus menghilangkan diri tanpa sebarang kata. Tapi tak pulak berpindah, motor masih ada. Cuma orangnya yang tak balik-balik (menurut cerita jiran). Terpaksalah mak saya tunggu, kalau-kalau dia akan balik dan kosongkan rumah tu. Mak saya & jiran pulak memang tak tahu keluarganya di mana. Cuma tahu tempat kerja, dan seorang rakannya bagitau yang dia ni sedang melarikan diri. Semuanya gara-gara 'main saham'. Ramai orang sibuk mencari dia nak tuntut wang semula. Barulah tau kisahnya...kesian jugak, sebab menurut mak orangnya baik.

Dah lebih 5 bulan tanpa khabar, sekarang ni terpaksalah mak saya masuk rumah tu tanpa izin dan uruskan barang-barang tinggalannya. Ada yang terpaksa disimpan, ada yang jual (untuk bayar sewa) dan ada yang bagi orang. Asalkan kosong rumah tu untuk penyewa lain masuk. 

----------------------------------------------------------------------

Kesimpulannya, jangan sesekali percaya jika kita dijanjikan dengan pulangan lumayan bila melabur. Sebetulnya, tiada pelaburan yang boleh menjanjikan pulangan lumayan. Sebab pelaburan adalah urusniaga yang boleh jadi untung, boleh jadi rugi. Tambahan lagi, jika ia menjanjikan keuntungan maka hukumnya jadi haram untuk kita sertai. Kenapa? Bila pasti dapat untung itu bermaksud ada pihak yang tertindas (berlaku ketidakadilan). Dan Islam melarang penindasan. Boleh rujuk SINI.


p/s: Sekarang ni dah macam duduk kat Cameron Highland, siang malam sejuk. Hari-hari langit suram, kalau ada mentari pun kejap je.

Sunday, 21 July 2013

Dari Kashmir Minta Derma

Malam tadi kat surau perumahan saya ni, didatangi oleh seorang lelaki asing. Dia ikut berjemaah solat Isyak dan kemudiannya meminta izin pihak surau untuk bercakap guna microphone. Bertujuan nak minta derma dari jemaah yang ada. Sebelum microphone diserah kepada lelaki tersebut, pihak surau ada mengingatkan para jemaah supaya membuat pertimbangan wajar sebelum memberi derma kepada lelaki ini. Kiranya, terpulanglah pada pertimbangan masing-masing samada nak percaya atau tidak apa yang bakal dikatakan lelaki ini.

Lelaki ini bercakap dalam bahasa Inggeris. Katanya dia datang dari Kashmir. Bertujuan ingin meminta derma untuk anak yatim di sana. Ucapannya menyakinkan dan dengan nada sedih atas kesusahan hidup anak yatim di sana. Saya rasa agak panjang jugak ucapan yang diberi. 

Selepas dari itu, tak tahulah saya ada atau tidak jemaah yang menghulur derma padanya. Saya memang tak hulur atas dua sebab. Pertama, pergi surau memang tak bawa duit. Kedua, saya ragu-ragu dengan kehadiran orang begini sebab pernah dengar kes hampir sama. Menggunakan nama Islam dan keberkatan sedekah bulan Ramadhan sebagai tiket menipu. Ini bukanlah bermakna saya menuduh dia menipu, cuma saya memilih tidak memberi derma kerana ragu-ragu ke mana wang itu bakal digunakan.

Surau/masjid korang ada terima kehadiran lelaki Kashmir ni jugak tak?

*buat carian kat internet, jumpa berita tentang lelaki Kashmir...baca kat SINI.


Thursday, 11 April 2013

Aku Ingin Keluar...




Selain cerita PRU, cerita lain yang hangat sekarang ni adalah kes BULI di sekolah. Tapi saya tak tonton pun video tu sebab tak mau mengganggu emosi sendiri. Apapun, tak wajar jika kita sekadar menunding jari atau menyalahkan sepenuhnya kepada pelajar terbabit. Sebab saya pun pernah jadi pelajar sekolah yang agak nakal, cuma tidaklah sampai tahap mendera orang lain.

Terkenang kisah lalu, bukan kes buli tapi kes pelajar memecah masuk koperasi sekolah saya. Bila ibubapa pelajar terbabit dipanggil, akhirnya pelajar tu mengaku dia sengaja melakukan kesalahan tadi semata-mata ingin dibuang sekolah. Dari awal lagi dia memang tak berminat bersekolah di situ (sekolah agama berasrama), tapi dipaksa oleh ibubapanya. Dia ingin keluar rupanya! Begitulah cerita yang tersebar. Dan akhirnya, dia dikeluarkan dari sekolah saya oleh ibubapanya. 

Kesimpulannya, dengarlah pandangan anak remaja. Beri perhatian pada mereka, hubungan yang baik mengurangkan kemungkinan mereka melakukan kesalahan besar di sekolah. Ini cuma pandangan ringkas je, mungkin banyak lagi aspek yang perlu dipertimbangkan.


Friday, 5 April 2013

Jual Arak? BOIKOT!

Surat edaran kepada penduduk.
Isi surat di atas:
  • penduduk mahu pasarmini SPEEDMART 99 dan pasaraya FAMILY STORE menghentikan penjualan minuman keras (arak).
  • alasan : komposisi penduduk yang hampir kesemuanya beragama Islam.
  • teguran dan surat bantahan penduduk telah dihantar tetapi tiada tindak balas positif.
  • tindakan tegas : BOIKOT kedua-duanya sehingga penjualan minuman keras dihentikan.
  • ia juga sebagai menanam sifat sensitiviti masyarakat umum terhadap isu yang melibatkan Islam.
---------------------------------------------------------------------

Kat kawasan ni ada banyak fasa perumahan, fasa yang saya duduki je memang 99% adalah penduduk Islam. Cuma ada sebuah dimiliki dan diduduki bukan Islam. Dalam satu perjumpaan penduduk, keluarga bukan Islam ni bagitau dia memang senang dan tak kisah tinggal di kawasan majoriti Muslim.

Berbalik kepada isu BOIKOT di atas, memang patut ia dilakukan sebab kuasa ada ditangan kita sebagai pelanggan. Memanglah tiada jaminan orang Islam tak minum arak kalau dua premis ni tak menjualnya, ia masih boleh dibeli dari premis luar kawasan perumahan. Tapi sekurang-kurangnya usaha telah dibuat dengan tidak membenarkan penjualannya di kawasan kami. Kita usaha apa termampu. 


usik-usik : Usaha terbaik pastinya penguatkuasaan undang-undang oleh pemerintah. Eh, nak kena tukar pemerintah ke???

Monday, 18 February 2013

Tanpa Adab Sopan, Hilang Manisnya!

Ada suatu ketika tu saya dan suami sedang makan di sebuah kedai makan. Kebetulan di meja kecil yang kami duduki ada tersedia bekas berisi sudu/garfu dan tisu. Beberapa meja di sekeliling kami tidak tersedia bekas tersebut. Di sinilah ada ceritanya yang membuat saya berfikir-fikir...


Situasi 1
Datang seorang LELAKI ke meja kami, 'Bang, boleh ambik sudu ni?' tanyanya sopan merujuk kepada bekas berisi sudu/garfu di hadapan kami. Kami mengangguk kepala dan memberi senyuman. 

Situasi 2
Tak berapa lama kemudian, datang pula seorang PEREMPUAN ke meja kami. Tanpa sepatah kata mahu pun segaris senyuman, dia terus mengambil sudu/garfu. Dan berlalu pergi. 


Hmmm...sayang sekali. Perempuan yang kelihatan manis, hilang manisnya kerana tiada adab sopan. Lelaki yang nampak biasa-biasa tadi jadi manis kerana dia beradab. Perkara ni nampak kecil tapi memberi kesan besar kepada cerminan peribadi seseorang. Adab tu merujuk kepada tingkah laku yang baik. Memang sukar nak diterangkan secara terperinci bila dan di mana kita perlu beradab. Tapi kalau kita ada rasa sensitif, kita akan tau bagaimana nak beradab. 


p/s: Ingatan untuk diri sendiri jua...
Dan untuk bersangka baik, anggaplah perempuan tadi sedang ada masalah (lapar sangat atau tengah stress).

Thursday, 14 February 2013

Kecelaruan Identiti - Mak Nyah

[Amaran: Sebuah cerita masa lalu yang panjang.]

Saya pernah tinggal di kuarters milik syarikat penternakan. Di situ makan sarapan, tengahari dan malam ada disediakan oleh pihak syarikat. Makanan akan dimasak oleh beberapa pekerja di kantin kuarters. Kita perlu datang dan ambil sendiri hidangan kita, boleh makan di situ atau bawa ke bilik/rumah masing-masing. 

Sebagai orang baru yang tak kenal sesiapa, tengahari tersebut saya datang sendirian ke kantin untuk mengambil hidangan tengahari. Kebetulan masih awal dan tiada sesiapa kelihatan melainkan seorang perempuan yang sedang memasak. Dia memakai seragam kerja (baju dan seluar warna kelabu) dan lengkap bertudung. Saya berada di belakangnya, maka tak dapatlah saya melihat wajahnya. Dengan yakinnya saya terus bertanya, "Kak, dah boleh ambik lauk?". Dia berpusing menghadap saya dan menjawab "Dah boleh, ambiklah", dengan suara lelaki yang sedikit lembut. Saya betul-betul terkejut, dia seorang LELAKI!

Selepas itu, barulah saya tahu dia seorang lelaki yang merasakan dirinya perempuan. Namanya pun sudah bertukar jadi perempuan, apatah lagi dari segi pemakaian. Dia memang memakai tudung di tempat kerja. Jika di waktu santai dia gemar mengenakan kain batik. Disebabkan hal demikian, dia tinggal bersendirian dalam bilik kuarters yang biasanya dihuni beberapa orang. Tiada pekerja lelaki yang sanggup sebilik dengannya. 

Agak lama selepas itu, saya mula berkawan dengannya. Mungkin sebab saya rasa dia sama jantina dengan saya. Dan memang kadangkala saya lupa hakikat dia seorang lelaki. Sesekali di waktu senggang saya dan kawan perempuan datang ke biliknya. Pernah sekali tu kami terlihat ada buku kecil Surah Yasin di atas katilnya. "Kau baca ke ni?" usik seorang kawan. "Bacalah. Kau ingat aku macam ni tak sembahyang, tak baca Quran?" jawabnya sedikit marah. Kami cuma ketawa.  

Antara perkara lain yang saya sangat ingat tentang dia, bila menjelang Hari Raya Aidilfitri dialah orang yang paling sibuk buat biskut raya. Bila jenguk biliknya, berderet bekas biskut raya yang dah siap dibuat. Selepas tu rajinlah dia memberi kepada kawan-kawan yang lain. Seperkara lagi tentang dia, bila nak keluar berjalan-jalan dia tak lagi memakai tudung tapi menggantikannya dengan rambut palsu untuk disuai padankan dengan pakaian perempuannya. Kalau keluar pun bukan dengan kawan lelaki sebaliknya dengan kawan perempuan.

Setahun selepas itu saya tidak lagi tinggal di kuarters tersebut, terus terputus khabar mengenai dia. Bagi saya dia seorang manusia/kawan yang baik. Banyak kebaikannya yang masih saya ingat sehingga kini. Cuma dari sudut psikologi dia mengalami kecelaruan identiti. Terperangkap dalam fizikal lelaki, tetapi mempunyai perasaan dan keinginan seperti perempuan. Dengan faktor kawan lelaki yang menyisihkannya dan kawan perempuan (termasuk saya) yang menerimanya, lebih membuatkan rasa lelakinya luntur. 

Cerita ini telah lebih 10 tahun berlalu. Masa tu saya berusia awal 20-an. Belum ada kesedaran untuk turut  membantu dia kembali kepada kejadian asalnya- seorang lelaki. Sepatutnya insan seperti ini perlu kita (masyarakat umumnya) dekati dan bantu. Bukan sekadar melemparkan hinaan. Bantu mereka menyedari hakikat kejadian dan bantu mereka melawan perasaan kewanitaan. Apapun, saya mendoakan agar kawan saya tadi telah kembali ke jalan Allah dan menemui identitinya yang sebenar. 


Nota:
Mak Nyah - menurut Kamus Dewan ia bermaksud panggilan kepada golongan pondan.
Untuk berita program JAKIM bersama Mak Nyah, klik SINI. 


Monday, 7 January 2013

Baju Putih, Baju Hitam

Ni cerita tentang menziarahi orang meninggal.
Tentang warna pakaian orang yang datang berziarah.

Jika di kampung...
Mak saya dan orang perempuan lain memakai baju putih.
Dipadankan dengan tudung putih dan berkain batik.

Berbeza jika dibandar...
Orang perempuannya memakai pakaian pelbagai warna.
Atau sekarang ramai juga yang mengenakan serba hitam.
Macam dalam sinetron tu.

Jadinya, baju warna apa yang paling sesuai?
Sebagai menghormati kesedihan keluarga atas sebuah kematian,
Eloklah kita memakai pakaian yang tidak berwarna ceria.
Putih boleh, hitam pun boleh, atau warna lain yang bersesuaian.
Asalkan jangan kelihatan macam nak pergi majlis kahwin ya.

Tapi putih lebih sesuai sebab ia kurang menyerap haba panas.
Kalau tiada baju putih, baju berwarna gelap boleh dipadankan dengan tudung putih.

-----------------------------------------------------------------------------------

Ni baru cerita bab berpakaian. Banyak lagi yang nak disebut sebenarnya berkaitan adab menziarahi kematian ni. Yang paling tak sesuai adalah bila kita hadir tapi asyik berborak, memang sangat tak menghormati keluarga yang sedang bersedih ni. Kalau tak mau atau 'tak boleh' baca Yasin/al-Quran, duduk diam itu yang terbaik. 







Sunday, 30 December 2012

Rumah Orang-Orang Tua...Salah Ke?

Bila sebut rumah Rumah Orang-Orang Tua,
Kita pasti terus berkata...kejamnya anak-anak mereka!
Dari kecil dijaga, bila dewasa 'membuang' orang tua.
Kita mula melabel...anak tak kenang budi, anak derhaka!

Rumah Orang-Orang Tua...Salah ke?
Salah atau tidak...terletak pada CERITA HIDUP setiap mereka.

Bukan semua yang berada di sana kerana dibuang anak.
Ada yang merelakan diri kerana masalah peribadi.
Ada yang merelakan diri kerana tak punya anak isteri.
Ada yang merelakan diri kerana ingin penjagaan lebih rapi.

Rumah Orang-Orang Tua...
Tidaklah menjadi salah dan 'buruk' berada di sana.
Andai hidup seorang tua lebih terjaga dan terbela.
Kerana hidup tidaklah semudah disangka.

Monday, 3 December 2012

Ciri-Ciri Bomoh SESAT



BOMOH bermaksud pengamal perubatan tradisional. Ianya terbahagi kepada dua: 
  1. Tidak Sesat (mengamalkan cara Islam iaitu jampi menggunakan ayat al-Quran)
  2. Sesat (tidak mengamalkan cara Islam)

Umumnya dikalangan masyarakat kita, jika disebut bomoh maka ia sinonim dengan kesesatan. Bagaimana kita nak mengenalpasti BOMOH SESAT? Menurut Ustaz Sharhan Shafie, berikut ciri-cirinya:
  • ada TENGKORAK binatang di rumahnya.
  • MENURUN/berubah watak.
  • menggunakan ASAP (info: asap adalah makanan jin).
  • beri pesakit TANGKAL/AZIMAT.
  • mengenakan PENGERAS (cth: sejumlah wang/pulut kuning/kambing putih).
  • pakaian TAK TUTUP AURAT (cth: berseluar pendek)
  • sering BERCAKAP BESAR (cth: mengaku mampu sembuhkan macam-macam penyakit)
Selain daripada senarai di atas, ciri-ciri utama tentunya bomoh sesat tersebut TIDAK menggunakan ayat al-Quran atau menggunakan ayat al-Quran yang salah. Biasanya bacaan mereka tak jelas.


p/s: Malangnya masih ramai yang percaya bomoh sesat, walaupun dah puas kita nasihat/bagitau.

Friday, 12 October 2012

Anak Haram

Semasa kecil dahulu, saya biasa dengar orang kata yang anak hasil zina ni tak layak masuk syurga hingga tujuh keturunan. Kedengaran menakutkan! Dan kalau ada anak-anak luar nikah ni dalam masyarakat kita, mereka akan dipandang semacam. Mereka digelar 'ANAK HARAM'. Seolah-olah anak tersebut yang berdosa, sehingga ada yang tak diterima sebagai anak menantu kerana status tersebut.

Semua ni mungkin gara-gara tersebarnya hadis yang bertaraf PALSU seperti berikut yang bermaksud;
"Tidak akan masuk syurga anak zina dan begitu juga keturunannya sampai tujuh keturunan."
Hadis ini dihukumkan lemah oleh pakar hadis disebabkan terdapat dua orang pelapor yang lemah dalam hadis di atas. Tambahan lagi ia bertentangan dengan firman Allah, yang bermaksud seperti berikut;
"Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)." 
(Surah al-An'am : 164)

Nyata di sini, anak hasil zina adalah SUCI dan TIDAK BERDOSA semasa kelahirannya. Selepas tu jika dia melakukan dosa, itu adalah dosanya sendiri dan tidak ada kaitan dengan status kelahirannya. Yang menanggung dosa zina hanyalah si pelakunya sahaja. Sesungguhnya Allah tidak bersifat zalim. Tapi kita manusia yang suka menjatuh hukum, memandang hina pada orang yang melakukan dosa sedang diri sendiri masih berpalit dosa.

(sumber rujukan: buku '40 Hadis Palsu Popular')


-Janganlah membenci si pelaku dosa, tapi bencilah dosa yang dilakukannya sahaja.-






.

Wednesday, 25 April 2012

Mengapa Berniaga Bukan Budaya Melayu?

Mereka sering berkata...
Tengok tu...semua orang Cina punya kedai!
Kalau tak pun...kedai orang Aceh, kedai orang Pakistan.
Pendek kata...semua kedai bukan milik orang Melayu kita.
Kedai runcit, kedai busana Muslimah, kedai barangan pengantin Melayu.
Huh! Melayu mana pandai berniaga?
Kalau berniaga pun mesti lingkup!

Mudahnya melempar kata...
Menjuih bibir mengutuk bangsa sendiri.
Mereka terlupa...pernahkan mereka cuba berniaga?
Jangan pernah mengata, kalau belum pernah mencuba!

Mereka juga terlupa...
Yang mereka sering berpesan pada anak-anak...
Belajar tinggi-tinggi...nanti boleh dapat kerja gaji besar!
Habis belajar nanti mintak kerja kerajaan...gaji terjamin!
Tak payah berniaga susah-susah...makan gaji lagi mudah!

Bila ada graduan yang ingin dan cuba berniaga...
Mulalah suara-suara sumbang ini berbunyi...
Buat apa masuk U, kalau cuma nak berniaga sendiri?
Dahlah belum tentu untung, kerja pun susah!
Huh! Silap-silap tak lama lagi gulung tikarlah tu!

Mengapa berniaga bukan budaya Melayu?
Kerana kita tak pernah memulakan budaya itu!


*Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri. Saya minat berniaga dan bekerja sendiri. Mencabar tapi penuh kepuasan dan kaya pengalaman. Walaupun peniagaan lalu terpaksa ditutup, tapi banyak ilmu & pengalaman saya perolehi. Tiada kesal, malah keinginan tak pernah padam.*

Sunday, 25 March 2012

Kasut Berikat 'Rubber Band'

(Nota: Ramai yang ingin mengetahui cerita penuh untuk entri sebelum ini. Tapi maaf ya, cuma itu dapat saya coretkan. Tak mahu mengguris mana-mana pihak. Tujuan paparan sekadar untuk peringatan buat semua agar berhati-hati. Penipuan besar dan terancang...bukan hanya lelaki yang mampu melakukannya.)

*********************************************
Berbalik ke entri kali ni, mesej Facebook dibawah adalah kiriman sahabat baik saya semasa di sekolah menengah dulu. Kini dia seorang guru di sebuah sekolah rendah di Pantai Timur. Baca...



Mesej ni hanya sebahagian daripada 'perbualan' kami. Tersentuh hati tika membacanya. Saya dapat membayangkannya betapa susahnya kehidupan keluarga anak-anak ini. Untuk makan pun sekadar mengharap bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Mana mungkin mampu nak membeli keperluan sekolah yang lain. 

Jauh berbeza dengan anak-anak di sekitar kehidupan saya. Makanan memang terlebih cukup, sampai badan 'membulat'. Sebut saja apa mahunya, ibu pasti akan menyediakan atau membeli. Kasut pun boleh memilih, hanya daripada jenama terkenal saja yang sudi dipakai. Baju pun siap pesan awal-awal, kain baju kurung mahukan material licin dan lembut. Kain cotton macam zaman saya pakai tu dah tak 'standard'. Buku-buku rujukan dan latihan tak perlu diminta, seawal persekolahan ibu bapa dah belikan. Kalau yang nak menghadapi peperiksaan besar- UPSR, PMR, SPM, ibu bapa mampu berhabis untuk kelas tuisyen. Ada juga yang sanggup hantar anak ke kelas tuisyen peribadi...satu guru khas untuk anaknya seorang! Mahal pastinya. Semua demi sebuah 'kejayaan' akademik. 

Andainya anak-anak yang kasutnya berikat rubber band tadi berjaya, kejayaannya lebih manis dan bermakna. Andai tidak mendapat semua subjek A sekalipun, mereka sebenarnya lebih berjaya kerana kekuatan jiwa dalam mengharungi kepayahan hidup dan terus bersekolah. Bukanlah saya nak menafikan kejayaan anak orang senang, cuma mahu orang-orang senang lebih menghargai kesenangan sambil tak lupa membantu anak-anak yang serba kekurangan ini. Cari tahulah...mereka tentu ada di sekeliling kehidupan kita!


p/s: Dalam keadaan negara yang kian maju, masih ramai insan-insan yang terus terhimpit dalam kesusahan. Hulurkan tangan kita untuk membantu mereka.

Friday, 23 March 2012

Sepandai-pandai Tupai Melompat...

Ini sebuah kisah luar kebiasaan.
Kisah penipuan yang dilakukan oleh bakal pengantin perempuan.
Bukan untuk salah menyalahkan, tetapi mahu kalian ambil perhatian juga pengajaran.
Moga dengan pendedahan ini, kamu lelaki atau ahli keluarga kita terhindar darinya.

Kisah bermula...perkenalan dalam satu acara rasmi.
Detik kelam bermula dari situ.
Si lelaki rasa bagai terpukau...mula menurut kata si perempuan.
Bermulalah satu 'perhubungan'.

Tidak lama berkenalan...si perempuan mengajak berkahwin.
Meminta pula dibawa bertemu keluarga si lelaki.
Seisi keluarga...juga bagai terpukau dan jatuh kasihan...
Bila dikhabarkan si perempuan anak yatim sebatang kara.
Majlis pertunangan segera dilangsungkan di rumah pihak lelaki.
Segala persiapan diatur hebat oleh si perempuan...sungguh meragukan!

Bagai dipukau juga...si perempuan diizinkan tinggal bersama.
Dia mula sibuk membuat persiapan perkahwinan yang tiba lagi beberapa bulan.
Segala persiapan ditentukannya...tanpa mampu dicampur oleh pihak lelaki.
Seluruh keluarga lelaki...sekadar menurut apa mahunya.
Dalam masa tersebut juga...beberapa kejadian aneh turut berlaku.
Dia bukan dirinya saja...ada yang 'halus' berselindung.

Sehinggalah suatu ketika...rahsia besar mula terbongkar.
Dek kesukaran menguruskan wali untuk pernikahan.
Kenyataannya, dia masih punya keluarga...ibu ayah adik-beradik!
Pertunangan terus diputuskan.
Alhamdulillah...majlis perkahwinan yang dirancang sempat dibatalkan.
Penipuan tak kekal lama...kebenaran tersingkap jua.

Bagai rahsia demi rahsia...
Satu persatu kebohongannya tersingkap.
Dia bukan bekas anggota tentera...seperti didakwa.
Dan banyak lagi yang tak perlu saya tuliskan.
Kerana terlalu teruk untuk saya sendiri percaya.
Saya dan dia...pernah berbual dan bercerita.
Dia...kata-katanya tampak normal.

Terkadang saya terfikir...kasihan juga dia.
Gangguan jiwa menjadikan dia manusia sebegitu.
Moga dia menemui jalan yang benar..amin!
Dan terima kasih Allah...atas sebuah kebenaran!


p/s: Perkara begini, sebetulnya saya dan saudara mara lain dah perasan kelainannya. Tapi sebagai bangsa Melayu yang penuh adab, kurang sesuai pulak untuk kita mempersoalkan atau mencampuri hal keluarga lain. Apapun, syukur segalanya telah berakhir!