Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Wednesday, 19 November 2025

Janji - Tere Liye


Novel Janji, Tere Liye
Judul : JANJI
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Sabakgrip
Tahun terbit : Cetakan ketujuh, November 2022
Jumlah halaman : 486


Catatan bacaan yang pertama pada tahun ini setelah sekian lama saya tak menghasilkan entri berkaitan bahan bacaan. Buku yang telah selesai dibaca kali ini merupakan sebuah novel karya penulis Indonesia kegemaran saya - Tere Liye.


PERJALANAN TIGA SAHABAT MENCARI BAHAR

Novel dengan judul Janji ini membawa kisah tiga orang sahabat iaitu Baso, Kaharuddin dan Hasan yang merupakan pelajar nakal di sebuah sekolah agama. Sebagai hukuman juga pendidikan di atas suatu kesalahan berat yang mereka lakukan di sekolah, mereka harus mencari seorang bekas pelajar bernama Bahar bagi mendapatkan jawapan kepada sebuah pertanyaan besar.

Perjalanan mereka bertiga mencari Bahar penuh dengan rintangan, hal-hal yang mengejutkan, sedih dan perkara lucu. Semuanya diolah dengan baik oleh penulis, menjadikan pembacaan novel ini tidak membosankan.

Di hujung cerita, tiga sahabat ini bukan saja berjaya menemukan jawapan kepada pertanyaan tersebut malah mereka mendapat pelajaran daripada kisah hidup Bahar.


BAHAR - PEMEGANG LIMA PUSAKA

Watak utama novel ini iaitu Bahar - membesar sebagai anak yatim piatu yang sering mendatangkan masalah. Bahar dihantar ke sekolah agama oleh neneknya dengan harapan Bahar dapat berubah menjadi manusia berakhlak baik. 

Namun Bahar tak pernah berubah, sering mendatangkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah. Sehinggalah berlaku suatu kejadian, akhirnya Buya selaku pengetua juga pemilik sekolah terpaksa melepaskan Bahar pergi tetapi dengan satu janji - iaitu berjanji memegang lima pusaka.

Sejak detik itu, Bahar melalui pelbagai cabaran hidup. Bahar pernah dipenjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya - dia diseksa dengan teruk di dalam penjara. Menurut saya, kisah sewaktu Bahar di penjara inilah yang paling menarik dan mendebarkan.

Lima pusaka tersebut :
  • Pertama, selalu hormati dan bantu tetanggamu.
  • Kedua, selalu lindungi yang lemah dan teraniaya.
  • Ketiga, senantiasa jujur dan tidak pernah mencuri.
  • Keempat, bersabarlah atas apa pun ujianmu.
  • Kelima, bersedekah, bersedekah dan bersedekahlah.

Novel Janji, Tere Liye
Klik foto untuk paparan lebih jelas.


PENGAJARAN

  • Bahar dilihat sebagai orang yang gagal dalam kehidupan tetapi berjaya mengakhiri kisah hidupnya dengan baik. Bahar mempunyai sikap baik iaitu berpegang pada janjinya dengan Buya.
  • Watak Bahar mengajarkan kita tentang ketabahan dalam menempuh apa jua cabaran hidup. Dia pernah di penjara dan dia pernah kehilangan isteri tercinta dalam kejadian kebakaran, namun dia tidak pernah berhenti berjuang untuk terus hidup dan memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya. Satu inspirasi buat para pembaca.
  • Novel ini turut menyentuh isu kekeluargaan - tiga sahabat Baso, Kaharuddin dan Hasan datang dari keluarga yang bermasalah.
  • Juga isu rasuah yang membarah - sewaktu di penjara Bahar berusaha memerangi rasuah sehingga dia diseksa teruk.
Saya sekadar menulis sebahagian saja, tetapi sebenarnya novel ini sarat dengan pengajaran dan juga perkara baharu buat saya.


ANTARA KARYA TERBAIK TERE LIYE

Gaya penceritaan novel Janji ini juga sangat menarik, membuatkan saya ingin segera menyelak helaian demi helaian. Saya seperti mendapat satu kepuasan setelah selesai membaca novel ini. Ia perasaan yang sama ketika saya selesai membaca novel Rindu dan Tentang Kamu.


“Kau boleh pergi sekarang, Bahar. Tunaikan janjimu atas lima pusaka tersebut. Aku tahu, kau hari ini boleh jadi masih nakal, pemabuk, suka berjudi, suka berkelahi. Tapi ada sesuatu yang spesial sekali di hatimu. Kau akan selalu berusaha menepati janji. Kau boleh pergi sekarang.” - Buya




 

Thursday, 12 September 2024

Sampai Nanti

 
Judul : SAMPAI NANTI
Penulis : Syaz Eym
Penerbit : Nursyazni e-Book Pub
Tahun terbit : 2024
Jumlah halaman : 566


Sampai Nanti sebuah novel versi e-book yang berkisar tentang konflik diri, percintaan, persahabatan dan perkahwinan. 

Pengkhianatan masa lalu Najah terhadap sahabat baiknya, akhirnya memakan diri. Hadirnya insan ketiga membuatkan Najah tersedar tentang cinta dan perasaan terhadap suaminya, Mustaqim. Muncul pada detik yang tepat, Hatim hadir memberi kata-kata semangat buat Najah.

Mampukah rumah tangga Najah dan Mustaqim bertahan? Masih adakah peluang kedua buat Najah untuk mengecap bahagia?

Sampai Nanti, sebuah kisah yang penuh pengajaran dan nilai positif. Tahniah buat sahabat blogger Syaz yang berjaya menggarapnya dengan begitu kemas.

“Ya. Sebab tu, saya selalu percaya pada peluang kedua. Kadang-kadang, yang pertama itu cuma untuk mempersiapkan kita supaya dapat menghadapi kali kedua dengan lebih baik. Lebih mensyukuri apa yang kita ada, dan yang kita mampu beri.” - Hatim








Saturday, 6 July 2024

Menambah Senarai ‘TBR’

Semenjak berhenti menjual buku (saya pernah jadi ejen dropship syarikat penerbitan Jejak Tarbiah mulai Oktober 2019 sehingga April 2022), sejak itu juga berkuranglah aktiviti membeli buku. Bila menjual, saya pun ikut tergoda dengan judul buku baru. Maka asyiklah saya membeli buku dengan harga diskaun sebagai ejen jualan.

Sekarang ni jarang-jarang saya membeli buku sebab saya perlu membaca deretan buku yang telah dibeli. Nampak promosi judul buku baru yang cukup menggoda pun terpaksa tahan diri jangan membeli. Padan muka! 😆

Kena sedar diri, stamina membaca saya dah tak seperti suatu ketika dulu. Apa lagi kalau membaca karya bersifat ilmiah, saya akan ambil masa cukup lama nak baca dan hadam sebuah buku. Baru baca beberapa halaman je dah mula kecik mata.

Baru-baru ini saya menambah jua buku di rak buku TBR (To Be Read) yang diletakkan di sebelah tempat tidur saya. Enam buah buku menerusi dua pembelian.

Buku Ensiklopedia Sirah Kekasihku Muhammad dan Ensiklopedia Empat Khalifah ini dibeli oleh Encik Suami dengan harga promosi kombo RM250 termasuk kos pos. Encik Suami tertarik membeli sewaktu menonton live Facebook ZRA Strim yang menampilkan Ustaz Zahazan bercerita berkenaan buku ensiklopedia terbaru terbitan Telaga Biru. Tapi bila buku sampai, terus diserahkan kepada saya suruh tolong baca. Minta tolong begini pun ada juga ya 🙄😄

Bagi yang nak menonton perkongsian menarik oleh Ustaz Zahazan berkenaan Ensiklopedia Sirah Kekasihku Muhammad, boleh klik link YouTube ZRA STRIM DI SINI. Lepas tu bolehlah membeli dari Telaga Biru untuk bacaan seisi keluarga, sesuai juga dijadikan sebagai hadiah.


Empat buah buku yang baru saya terima beberapa hari lalu - buku travelog oleh Siti Noridah ET. Pembelian yang tak boleh ditangguh sebab stok tak banyak dan tak pasti bila akan ada cetakan semula. Empat buah buku ini saya beli dengan harga RM100 termasuk kos pos.

Tak sabar rasanya saya nak mengembara (melalui buku) ke Afghanistan, Pakistan, Iran-Iraq dan Bhutan 😃




SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH
1 MUHARRAM 1446H







Thursday, 21 March 2024

Mencari Unta Merah Jepun

 
MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Judul : MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Penulis : Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan Pertama 2020
Jumlah halaman : 375


Mencari Unta Merah Jepun merupakan sebuah naskhah kembara dakwah di bumi Jepun oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz. Bermula dengan ziarah kali pertama penulis ke Jepun pada November 2017, ia telah menjadi perintis jalan dakwah yang lebih luas di negara matahari terbit ini sehingga mampu membeli dan mengubah suai bangunan Japan Dakwah Centre bernilai RM3 juta di Osaka.


UNTA MERAH

Jepun bukanlah negara yang sinonim dengan unta. Jadi mengapa penulis memberi judul ‘mencari unta merah’? Apa maksud ‘unta merah’?

Pada zaman Rasulullah SAW, kenderaan paling hebat ialah unta. Unta merah merupakan unta paling mahal, harta paling berharga dan menjadi kebanggaan ketika itu. Maka Rasulullah SAW menjadikan unta merah sebagai satu perbandingan atau misalan betapa mulianya suatu perbuatan. Tujuan perbandingan perkara akhirat dengan keuntungan dunia begini sekadar bertujuan bagi memudahkan pemahaman. Sudah tentu ganjaran di akhirat lebih hebat berbanding dengan keuntungan dunia.

Antara hadis Rasullullah SAW yang menyebut nilai suatu amalan itu lebih baik berbanding unta merah :
Maksud petikan hadis Rasullullah SAW :
“Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga kepada orang Arab).”
Berdasarkan hadis di atas, penulis melakukan usaha dakwah bagi menarik lebih ramai warga Jepun dengan Islam. Gerak kerja dakwah secara efektif pula dilakukan oleh Zulkarnain Hasan Basri, warga Malaysia yang menetap di Jepun.


MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Antara isi buku Mencari Unta Merah Jepun.

JURUTERA YANG BERDAKWAH

Buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian dengan 31 bab. Bab ke-30 menampilkan penulisan oleh Zulkarnain Hasan Basri, seorang bekas jurutera di Jepun yang berkahwin dengan warga Jepun dan giat berdakwah kepada warga Jepun.

Kagum saya membaca kisah beliau yang memulakan kerja dakwah secara bersendirian semasa masih bekerja sebagai jurutera. Beliau juga sanggup menggunakan wang sendiri bagi menampung kos kerja dakwah (pengangkutan dan pembelian naskhah al-Quran terjemahan bahasa Jepun). Semuanya bermula atas kesedaran memikirkan nasib keturunan beliau sekiranya Islam tidak berkembang baik di Jepun. Sebuah kisah yang sangat menginspirasikan!


ISI PENTING BUKU

Mencari Unta Merah Jepun bukan sekadar sebuah naskhah kembara penulis ke Jepun, tetapi ia sarat dengan perkongsian ilmu dan nasihat. Saya kongsikan beberapa isi penting dan juga petikan buku ini, semoga saya dan kalian yang membacanya mendapat manfaat.

1. Dakwah kepada golongan yang belum mengenal Islam adalah sunah Rasullullah SAW yang paling awal dan utama.
  • Paling awal dan utama? Ya! Sejurus Baginda SAW dilantik sebagai Rasullullah, Baginda membawa risalah Islam kepada Khadijah, Abu Bakar, Ali dan semua sahabat di Mekah. Bukankah pada waktu itu mereka belum lagi bergelar Muslim? Mereka menerima Islam dan menjadi batu-bata awal yang mengukuhkan binaan Islam setelah diajak oleh Baginda SAW. - petikan halaman 372

2. Dakwah merupakan tuntutan bagi umat Islam sama ada melalui ilmu dan akhlak.
  • Sekiranya tidak mampu mengatur bicara mengajak kepada Islam, jagalah akhlak kita sebaik mungkin kerana ia cerminan peribadi dan agama kita. - petikan halaman 370

3. Tiga pendekatan dakwah berteraskan al-Quran yang disampaikan Zulkarnain kepada warga Jepun :
  • Allah adalah satu-satunya Tuhan yang memperkenalkan diri-Nya sebagai tuhan kepada manusia. Mesej mengenai Ketuhanan-Nya disampaikan Allah melalui al-Quran. Semua tuhan selain Allah tidak layak digelar tuhan kerana mereka “dinobatkan sebagai Tuhan oleh manusia yang jahil”. Tidak ada rekod yang sah daripada tuhan lantikan manusia itu mengaku dirinya sebagai Tuhan. Maka jadilah mereka Tuhan kaku tidak berkuasa tapi disembah puja oleh manusia yang diperbodoh syaitan. - petikan halaman 94 & 95
  • Al-Quran tiada penulis kerana penulisnya ialah Allah sendiri. Mana mungkin Nabi Muhammad SAW mengarang al-Quran kerana fakta dan dalil menyatakan dengan jelas Baginda tidak membaca dan tidak menulis. - petikan halaman 98 & 99
  • Al-Quran tetap sama teksnya tanpa perubahan walaupun sudah berusia ribuan tahun. Bagi membuktikan dakwaan ini, Zulkarnain meminta warga Jepun yang didekatinya supaya memuat turun aplikasi al-Quran dalam telefon pintar daripada pelbagai penyedia aplikasi. Selepas itu, beliau akan membuat perbandingan surah dan ayat al-Quran dalam semua aplikasi itu.

4. Fitrah manusia akan mencari Tuhan ketika dalam kesusahan dan penderitaan.
  • Mengapa agaknya fitrah bertuhan muncul tanpa dipaksa ketika karam di lautan? Hal ini tidak lain tidak bukan kerana situasi susah di lautan yang mencabar. Pada saat sukar ini, manusia akan mencari bantuan Tuhan walaupun mereka tidak pernah melihat Tuhannya. - petikan halaman 69

5. Hukum asal masuk ke rumah ibadat agama lain adalah harus, tetapi…
  • Para ulama berselisih pandangan mengenai keharusan masuk ke rumah ibadat agama lain, namun mengelakkannya lebih baik dan warak, melainkan ada keperluan seperti menghadiri majlis kahwin atau pengebumian. Namun begitu, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang ritual keagamaan dalam majlis tersebut. - petikan halaman 117


Mencari Unta Merah Jepun - sebuah naskhah yang membuka fikiran saya menerusi kisah-kisah disampaikan dan menyedarkan saya berkenaan sunah Rasullullah yang paling awal dan utama. Sebuah naskhah santai namun penuh isi.

Menerusi pembacaan buku ini juga menemukan saya dengan Facebook : Japan Da’wah Centre. Selain dapat mengetahui perkembangan dakwah di Jepun, kita boleh memberi sumbangan bagi membantu usaha dakwah mereka di sana. Memetik kata-kata penulis di penghujung naskhah ini :

“…jika tak mampu menarik si unta merah, sekurang-kurangnya biarlah kita yang menyediakan tali dan kekangnya. Saham tali dan kekang itu pasti dikira Allah sebagai sumbangan bersama menarik unta merah.” - Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz





.

Wednesday, 27 September 2023

Pulau Mas Kahwin

 
Travelog Inderaskti Pulau Mas Kahwin - Jejak Sejarah Johor-Riau
Judul : TRAVELOG INDERASAKTI PULAU MAS KAHWIN
- JEJAK SEJARAH JOHOR-RIAU
Penulis : Syed Azharul Asriq
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun terbit : 2018 (cetakan pertama 2018)
Jumlah halaman : 187


Sebelum ini saya telah membaca naskhah sejarah oleh Syed Azharul Asriq yang berjudul Kerana Cinta Aku Derhaka, ia mencatatkan pengembaraan penulis mencari hikmah sejarah di Kota Tinggi, Johor. Dalam naskhah kali ini pula, penulis membawa pembaca mengikuti pengembaraan beliau mencari hikmah sejarah di Pulau Penyengat.

Pulau Penyengat atau Pulau Penyengat Inderasakti adalah sebuah pulau kecil yang dahulunya menjadi simbol kebesaran kerajaan Johor-Riau. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah memisahkan kerajaan Johor-Riau, Johor di bawah kekuasaan Inggeris dan Riau pula di bawah kekuasaan Belanda. Hari ini, Pulau Penyengat merupakan sebahagian daripada Kepulauan Riau, Indonesia.


PULAU PENYENGAT SEBAGAI MAS KAHWIN
Pulau Mas Kahwin yang dimaksudkan oleh penulis ialah Pulau Penyengat kerana pada tahun 1803 ia dijadikan hadiah mas kahwin oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Syah III kepada Raja Hamidah, iaitu puteri Raja Haji Fi Sabilillah sebagai isteri keempatnya.

Pulau Penyengat Riau Indonesia
Peta kedudukan Pulau Penyengat (sumber : Google Maps)

MENELUSURI TINGGALAN SEJARAH DI PULAU PENYENGAT
Penulis membawa pembaca menelusuri tinggalan sejarah di Pulau Penyengat dan catatan sejarah berkenaannya. Saya kongsikan sebahagiannya di sini sebagai pengetahuan kita bersama :

Makam Raja Haji Fi Sabilillah
  • Raja Haji Fi Sabilillah merupakan Yamtuan Muda ke-4.
  • Seorang pahlawan.
  • Beliau meninggal dunia ditembak meriam Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 17 Jun 1784 sewaktu menyerang kubu Belanda di Melaka.

Makam Engku Puteri Raja Hamidah
  • Engku Raja Hamidah merupakan puteri sulung kepada Raja Haji Fi Sabilillah yang dilahirkan sekitar tahun 1774.
  • Merupakan isteri keempat Sultan Mahmud Syah III yang menerima Pulau Penyengat sebagai mas kahwin.
  • Menjadi pemegang alat kebesaran diraja serta nobat pusaka kerajaan.
  • Beliau meninggal dunia pada tahun 1844 ketika berusia 70 tahun.

Makam Pujangga Raja Ali Haji
  • Raja Ali Haji merupakan cucu kepada Raja Haji Fi Sabilillah yang dilahirkan pada tahun 1808.
  • Seorang ilmuan.
  • Menghasilkan kitab Tuhfat al-Nafis yang bermaksud ‘Hadiah Yang Bernilai’. Kitab ini menceritakan kisah sejarah jalinan darah Raja Melayu dan Raja Bugis.
  • Karya sastera beliau yang paling masyhur ialah Gurindam Dua Belas yang dikarang pada tahun 1847. Gurindam Dua Belas mengajar kita menjadi bangsa Melayu yang berbudi.
  • Meninggal dunia pada tahun 1872.
  • Pada tahun 2004, beliau dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional oleh pemerintah Indonesia sempena Sambutan Hari Pahlawan.

Selain lawatan ke makam-makan, penulis turut menelusuri tinggalan sejarah Istana Tengku Bilik, Balai Adat, Istana Kantor dan Gudang Mesiu.


KELAB RUSYDIAH
Saya tertarik dengan perkongsian penulis berkenaan Kelab Rusydiah, sebuah kelab cendekiawan yang ditubuhkan di Pulau Penyengat pada awal tahun 1890-an.

Bagi menyertai kelab ini, seseorang haruslah menghasilkan karya penulisan ilmiah. Penyertaan hanya diterima sekiranya karya tersebut dinilai berkualiti. Fuh! Bukan mudah ya.

Kelab ini kemudiannya menjadi satu pergerakan politik yang menentang penjajahan Belanda menerusi pemikiran dan gagasan idea.


Pulau Mas Kahwin, sebuah naskhah yang bagus bagi kita memahami sejarah bangsa Melayu khususnya sejarah Kerajaan Johor-Riau. Banyak hal yang dapat saya ketahui tentang sejarah kesultanan Johor, tanah kelahiran saya ini. Dengan mengetahui kisah masa lalu dapatlah kita memahami situasi hari ini dan mengambil pelajaran daripada apa yang telah terjadi.


Bukankah sejarah itu kisah orang mati sebagai panduan kepada orang yang hidup? Mereka pergi, namun cita-cita mereka tidak mati. Kitalah penerus cita-cita tokoh terdahulu. - Pulau Mas Kahwin, Syed Azharul Asriq.





 

Wednesday, 16 August 2023

Komet Minor


Komet Minor Tere Liye
Judul : KOMET MINOR
Penulis : Tere Liye
Penerbit : PT Gramedia Pustaka Utama
Tahun terbit : 2019 (Cetakan ke-4, Mei 2019)
Jumlah halaman : 374


Komet Minor merupakan sebuah novel remaja dengan genre fiksyen sains dan fantasi. Ia buku ke-6 dalam siri Bumi. Catatan bacaan saya bagi buku ke-5 dengan judul Komet boleh dibaca DI SINI.

Siri Bumi mengangkat kisah pengembaraan tiga sahabat iaitu Raib, Ali dan Seli ke dimensi kehidupan yang berbeza iaitu dunia paralel. Mereka pengembara antara klan, juga petarung dengan kekuatan tersendiri.
Dunia paralel (parallel universe) atau dunia selari adalah teori tentang sebuah dunia yang berjalan sejajar dengan dunia realiti. Disamping kehidupan yang kita kenal dan kita jalani sekarang, terdapat satu atau lebih kehidupan lain yang berjalan bersamaan di dunia paralel.

SINOPSIS

Pengembaraan tiga sahabat bagi mencari suatu pusaka terhebat di dunia paralel diteruskan di Klan Komet Minor yang berada di perut ikan raksasa.
“Klan Komet Minor memang berada di perut ikan raksasa. Buah pohon aneh yang matang di Pulau Hari Minggu memicu ikan raksasa itu menyantapnya. Itulah pintu portal yang terbuka setiap dua ribu tahun sekali…” - Ali, halaman 24.
Sepanjang pengembaraan di Klan Komet Minor, mereka bertiga menghadapi lawan yang hebat iaitu si Tanpa Mahkota. Pertarungan sengit kali ini dibantu oleh teman seperjalanan dengan wajah menyeramkan tetapi hebat bertarung dan baik hati, iaitu Batozar sang Pengintai. Bazotar juga berbaik hati menjadi guru teknik bertarung buat tiga sahabat ini dan selalu memberikan kata-kata semangat.

Dalam usaha mendapatkan potongan pusaka terhebat tersebut, kumpulan mereka melalui pelbagai rintangan hebat. Mereka diserang haiwan bersaiz besar - cacing pasak dan cicak dengan kekuatan tersendiri. Mereka juga harus melalui ujian oleh pemegang potongan pusaka, iaitu Arci dan Lady Oopraah.

Dalam kisah kali ini juga menyingkap rahsia mengejutkan tentang garis keturunan Ali dan kisah yang menyedihkan tentang keluarganya. 

Selain Arci dan Lady Ooprah, watak baru dalam kisah kali ini adalah Tuan Entre, Finale, ST4R dan SP4RK.


Komet Minor Tere Liye
Isi buku Komet Minor.

PENGAJARAN DAN NILAI MURNI NOVEL

1. Tentang sikap baik dalam sebuah persahabatan.
“Kita tidak bisa memilih akan terlahir seperti apa, tapi kita bisa memilih mau menjadi teman-teman terbaik atau tidak.” - Batozar, halaman 141.
“Dia bertemu dengan teman-teman terbaik, bertualang ke banyak tempat. Saat salah seorang dari mereka sakit, kesusahan, yang lain datang membantu. Saat salah seorang di antara mereka diserang, yang lain datang melindungi. Bersedia mengorbankan banyak hal demi yang lain. Ikut merasakan kesedihan, serta berbagi kebahagiaan. Saling mengingatkan dan saling menjaga. Mereka juga tidak sempurna. Mereka sering bertengkar, melakukan kesalahan, tapi mereka selalu punya pintu maaf.” - Ali, halaman 283

2. Menerima dengan lapang hati takdir yang terjadi.
“Aku tidak tahu apa definisi keluarga. Saat seorang bayi dilahirkan di tengah badai di lautan, saat kedua orangtuanya tewas saat badai itu, dia kemudian tinggal sendirian di rumah besar bersama belasan pembantu, dengan ilusi bahwa mereka sibuk keluar negeri. Bagaimana mungkin anak kecil itu akan tahu apa itu definisi keluarga? Omong kosong dia tahu. Tapi dia memilih menjalaninya. Berhenti bertanya. Berhenti menyalahkan banyak hal.” - Ali, halaman 283

3. Jangan putus asa dalam menjalani kehidupan.
“Ingatlah selalu, akan selalu ada kabar baik setelah kabar buruk.” - Batozar, halaman 231

4. Tebuslah dosa kesalahan lalu dengan berbanyak melakukan kebaikan.
“Kamu telah menjaga, mendidik, dan menemani anak-anak ini dengan baik. Semoga itu menebus kesalahan-kesalahan yang pernah kamu buat.” - Paman Kay, halaman 364

5. Sesungguhnya alam memberikan pengajaran buat manusia yang mahu memikirkannya.
“Alam mengajarkan begitu banyak kepada manusia. Udara mengisi ruang. Gunung-gunung berdiri kokoh. Air mengalir dengan sabar. Bahkan sehelai daun jatuh pun adalah pelajaran penting bagi manusia. Daun itu terlepas dari tangkainya, luruh ke bumi, dalam gerakan yang indah.” - Batozar, halaman 52

6. Setiap kali kita mampu mengatasi suatu masalah, kita akan menjadi semakin cekal.
“Apa pun yang tidak membuatmu hancur, akan membuatmu semakin kuat dan kuat.” - Batozar, halaman 64

7. Tidak semua hal dapat kita fahami dengan mudah. Yang nampak buruk, tidak semestinya buruk dan yang nampak baik, tidak semestinya baik.
“Kita tidak pernah tahu akibat yang telah kita perbuat, Entre. Apa dampaknya ke kehidupan berikutnya dan berikutnya lagi. Hanya karena sesuatu itu terlihat buruk, tidak otomatis jadi buruk betulan. Pun sebaliknya, hanya karena sesuatu terlihat baik, tidak otomatis memang baik sesungguhnya. Mungkin saja ada hikmah yang tersembunyi, yang tidak kita pahami…” - Paman Kay, halaman 366

 8. Tentang memaafkan orang yang telah berbuat kejahatan terhadap kita.
“Jika kita membunuhnya, apa bedanya kita dengan dia, Ali? Jangan bunuh dia. Aku punya rencana yang lebih baik.”
“…biarkan Ngglanggeran dan Ngglanggeram yang menjaganya. Semoga setelah bersama si kembar, dia akan berubah. Apakah kamu mendengar penjelasan Finale tadi? Teknik Bayangan Malam telah mengambil akal sehatnya. Aku percaya masih ada setitik kebaikan di hatinya. Semoga itu bisa memulihkan semuanya. Aku mohon, Ali. Jangan bunuh dia.” - Raib, halaman 358

Saya sekadar berkongsi lapan poin di atas, cukuplah bagi menggambarkan bagaimana Komet Minor sebuah novel remaja dengan genre fiksyen sains fantasi tetapi mengandungi banyak pengajaran dan penerapan nilai murni. Bacaan hiburan yang bagus buat anak remaja.

Buku ini boleh dibeli langsung dari Indonesia menerusi kedai Shopee - tokobukutereliye.my






.

Sunday, 11 June 2023

Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan


Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan
Judul : HIKAYAT SATRIA-SATRIA SEJATI 4 - SAMUDERA PENGORBANAN
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Hilal Asyraf Resources
Tahun terbit : 2020 (Cetakan ke-4, 2021)
Jumlah halaman : 452


SIRI NOVEL HIKAYAT SATRIA-SATRIA SEJATI
Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan merupakan buku ke-4 dalam siri Hikayat Satria-Satria Sejati, sebuah novel genre epik fantasi. Watak utama dalam siri hikayat ini iaitu Ariki merupakan anak angkat Lutello, maharaja zalim yang memerintah 2/3 dunia.

Hikayat ini mengisahkan perjuangan Ariki dan rakan-rakannya bagi menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran. Sebuah kisah bersiri yang penuh dengan semangat juang, penuh aksi fantasi dan terselit banyak pengajaran.


SINOPSIS
Dalam buku ke-4 ini menyaksikan dua pertempuran besar - pertempuran di Mastazadi dan pertempuran di Madinah. Pertempuran yang menyaksikan beberapa watak penting terkorban. Mungkin sebab itu judul bagi buku ke-4 ini ‘Samudera Pengorbanan’.

Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan
Isi buku Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan

Selesai membaca novel ini, perasaan saya bercampur baur. Ada sedih, gembira, geram dan juga terkejut.

Sedih kerana tamatnya riwayat dua watak penting. Saya tak bolehlah sebutkan nama wataknya di sini, biar jadi kejutan bagi sesiapa yang belum membaca siri kali ini. Gembira kerana adanya kemenangan di pihak yang benar dalam satu pertempuran besar. Juga tak dapat saya nyatakan pertempuran yang mana satu. Saya juga rasa geram dengan watak Ariki kali ini, kerana terlihat agak lemah daripada aspek kepimpinan dan semangat. Kebenaran berkaitan kisah silam Ariki, itu juga merupakan salah satu elemen kejutan dalam siri kali ini. Sukar untuk saya terima dan percaya kenyataan tersebut. Saya perlu segera meneruskan pembacaan buku siri ke-5, iaitu penamat hikayat ini bagi mendapatkan kepastian.

Yang pasti, siri kali ini sarat dengan debaran!


NOVEL ‘ISLAMI’
Biar pun novel bersiri ini bergenre epik fantasi, ia sebenarnya mengangkat nilai-nilai Islam. Ia sebuah novel ‘islami’ yang di luar kebiasaan. Gaya penceritaan dan bahasa yang digunakan juga sesuai untuk semua peringkat usia. Sebab itu saya yang berusia 40-an pun selesa menikmati pembacaan novel ini.

Siri Hikayat Satria-Satria Sejati sesungguhnya bacaan yang tak membosankan. Di dalamnya ada kisah cinta (jangan bimbang, ia bukan kisah cinta yang keterlaluan untuk dibaca anak-anak), nilai persahabatan, pengorbanan, perjuangan, kasih sayang dan penuh aksi yang mendebarkan!

Saya sarankan ia sebagai bahan bacaan santai buat anak remaja dan juga seisi keluarga. Di mana nak beli? Boleh dapatkan terus dari penulis buku ini di Shopee : hilalasyrafresources dan laman web : www.hilalasyraf.com. Nak mudah beli dan lebih jimat boleh dapatkan satu set (5 buah buku) DI SINI.


“Dunia ini tidak lain adalah kesenangan yang menipu daya, Lutello. Aku bersyukur bertemu dengan Ariki, dan Satria-Satria Sejati, yang memperkenalkan aku dengan Islam. Hatiku lapang dan sejahtera. Dunia ini sementara. Kalah sementara, menangnya pun sementara.” - Maharaja Arata, Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan.





Thursday, 25 May 2023

Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi


Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi
Judul : KEMBARA MENALAR DIRI, LEGASI IMAM BIRGIVI
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2022
Jumlah halaman : 440

Sebuah lagi karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang selesai saya baca sekitar bulan Ramadan lalu. Karya ini pernah diterbitkan buat kali pertama pada tahun 2014 oleh KarangKraf, kini diterbitkan semula dan dikemaskini dengan penambaikan teks oleh rumah penerbitan Jejak Tarbiah. Kulit buku edisi kemaskini ini begitu menarik dan nampak segar. Rasa bersemangat saya nak membacanya.

Kembara Menalar Diri, Legasi Imam Bergivi merupakan sebuah travelog yang merakamkan perjalanan penulis sebagai murid sejarah. Sebuah kisah pengembaraan mencari kebenaran yang bertitik tolak daripada penyelidikan penulis terhadap seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16, iaitu Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi.

Penulis mengembara ke Turki, ke lapangan lokasi sejarah, bertemu dengan kepelbagaian ragam manusia dan menyelongkar sisi yang tidak ditemukan dalam karya asing. Segala pengalaman ini menuntun penulis untuk menalar erti kehidupan seorang insan sebagai hamba serta khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Memetik kata-kata penulis dalam satu posting di laman Facebook beliau berkenaan buku ini :
“Pada tahun 2013, saya memandu 1000 km pergi balik merentas banjaran untuk akhirnya tiba di sebuah pusara di bawah sepohon pokok tua yang rendang, tempat bersemadinya tokoh itu, semenjak tahun 1572 yang lalu.

Semasa itu, yang saya temui bukanlah Imam Birgivi, kerana beliau sudah pergi.

Yang saya temui adalah diri saya sendiri, melalui Imam Birgivi. Dengannya saya mengubah perjalanan hidup dan mengembalikan makna diri hidup tanpa kejujuran terhadap diri, adalah fatamorgana lagi ilusi.”

 

SIAPA IMAM BIRGIVI?

Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi merupakan seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16. Beliau dilahirkan di Balıkesir pada tahun 1523 Masihi, dua tahun selepas pertabalan Sultan Suleyman al-Qanuni. Hampir keseluruhan hidup beliau adalah dalam era sultan ini, dengan dua tahun terakhir hayatnya di bawah pemerintahan Sultan Selim II.

Keluarga Birgivi mempunyai latar belakang tradisi sufi dan kesarjanaan Islam yang kukuh. Bapanya, Pir Ali merupakan seorang tenaga pengajar muderris dan shaykh dalam gerakan Tarekat Bayrami.

Perjalanan kehidupan Imam Birgivi daripada seorang anak kampung di Balıkesir kepada sarjana muda di Istanbul dan seterusnya meniti tangga kerjaya di Edirne, beliau tidak alpa untuk sentiasa menyaring diri dan persekitarannya.

Imam Birgivi nekad untuk meninggalkan kemasyhuran semasa berada di kemuncak kejayaan, berhijrah ke daerah Birgi di perut Anatolia dan menyampaikan Islam yang “jernih” ke akar umbi masyarakat.

Pengalaman Imam Birgivi banyak memberi jawapan kepada penulis untuk kembali menilai diri dan perjuangan.


Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi

ANTARA ISI PENTING BUKU INI :

1. Saya tertarik dengan pendapat penulis dalam bab Sunnah : Antara Teknik dan Fitrah (halaman 16 - 23) mengenai pelbagai kursus teknik yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Secara peribadi, saya agak kurang senang bila ternampak iklan kursus atau jualan buku dengan tajuk atau judul ‘teknik Nabi’ atau ‘gaya Nabi’. Seperti ada yang tak kena, tapi dengan keterbatasan ilmu dan pemikiran maka saya gagal menangkap apa yang tak kena dengan kewujudan produk begitu.
  • Secara ringkasnya, penulis menjelaskan bahawa seruan Islam dan pendekatan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membetulkan dalaman diri manusia (akidah). Kemudian, segala perilaku positif dan betul dalam mendidik, memimpin dan berinteraksi dengan manusia lain terjadi secara sejahtera malah tidak terbatas kepada satu dua cara sahaja.
  • Penulis memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Umat kita dilanda bukan masalah mati pucuk, tetapi masalah mati akar. Akar spiritual yang dicabut daripada intelektual, emosional dan fizikal atas nama sebuah teknik.”

2. Perihal sikap suka meminta-minta (halaman 72 - 74).
  • Islam mengajar kita berdikari. Suka membantu, tetapi tidak suka meminta-minta dibantu tanpa keperluan. Ini bukan sahaja penting untuk memupuk sikap lebih berusaha, malah Allah SWT mahu hamba-Nya menjadi manusia yang memelihara maruah dan menjadi orang yang lebih baik.

3. Tentang sifat malu (halaman 207 - 209). Penulis berkongsi tazkirah oleh Imam Birgivi, antaranya menyebut :
  • Peraturan pertama untuk sifat malu yang mulia adalah dengan berasa malu di hadapan Tuhanmu tentang perbuatanmu yang disisi-Nya, ia adalah keji dan dosa. Kemudian barulah rasa malu yang seterusnya pula muncul, terhadap kelakuan-kelakuan yang rendah, seperti kegagalan untuk peduli terhadap perasaan orang lain, hak mereka dan kehidupan yang mereka miliki. 
  • Sifat tidak tahu malu adalah petanda kepada keangkuhan, rohani yang lemah dan tercicirnya keseriusan dan kesedaran dalam beragama.

4. Berkenaan isu Wahabi dalam bab Lima Tiang Pensejarahan Dakwah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab (halaman 210 - 218). Penulis menafikan tuduhan beliau seorang Wahabi. Beliau juga mengajak pembaca mengkaji pensejarahan ‘Wahabi’. Menurut penulis :
  • Topik Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan gerakannya tidak terbatas kepada topik akidah dan fiqah untuk kita secara pantas dan langsung membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, mengetahui asal usul istilah tersebut dan perkara sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahabi itu sendiri. Sesungguhnya, topik ini terlebih dahulu merupakan topik sejarah.
  • Mungkin dengan kajian yang adil tentang Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, tidaklah mengurangkan pendirian kita membantahnya. Namun, sekurang-kurangnya tidaklah sampai mengkafirkan sesama Muslim, menasihati jemaah umrah dan haji agar solat di bilik atau jika di masjid sehingga bermufaraqah daripada imam, serta lain-lain tindakan yang memporak-perandakan ummah, ratusan tahun selepas matinya insan yang dibantah.

5. Bab Taubat Seorang Televangelis Muslim (halaman 246 - 256) memperkatakan perihal agamawan dan dunia populariti. Juga bagaimana selangkah demi selangkah penulis berundur diri dari dunia populariti.
  • Televangelism ialah fenomena penceramah-penceramah Kristian menggunakan medium televisyen dan medium media sosial semasa sebagai saluran untuk mereka menyebarkan ajaran mereka. Fenomena ini banyak dibahaskan oleh dunia Barat mengenai pro dan kontranya.
  • Penulis menceritakan ketidakselesaan beliau apabila perlu muncul di kaca tv - wajah dipakaikan compact powder, percakapan perlu dikawal, sensitiviti mesti dirai, hitungan masa untuk memberi laluan kepada mesej komersial serta wajah yang perlu sentiasa sedap dipandang senyumnya. Penulis juga berasa terbeban apabila orang berebut mahu bergambar bersama beliau, yang mana ini bukan kesan yang sepatutnya lahir daripada sebuah dakwah.
  • Penulis berkongsi pesanan Imam Birgivi tentang mengenal pasti kejahatan di halaman 253. Saya sertakan sedikit petikan pesanan tersebut yang menyebut bahawa, “Kemunafikan itu menyelinap masuk ke hatimu melalui tiga pintu - keinginan agar kebaikanmu diketahui orang ramai, harapanmu agar engkau dipuji serta dianugerahkan dengan kemuliaan serta kedudukan sebagai ganjaran perbuatanmu, dan keakuranmu dan rasa enak terhadap kemasyhuran dan ganjaran yang engkau peroleh…”

6. Terdapat tujuh sebab mengapa kita belajar sejarah (halaman 267 - 270). Saya kongsikan secara ringkas tujuh sebab tersebut :
  • Akar - ilmu kita seperti pokok. Sejarah ialah akarnya. Tanpa akar, pokok akan layu dan mati.
  • Memahami - sejarah membantu kita lebih memahami dunia tempat kita menumpang hidup, memahami manusia dan memahami kesan tindak-tanduknya.
  • Sebab musabab - belajar sejarah melatih keupayaan untuk mengenal pasti cause and effect (sebab musabab) kepada satu situasi, menganalisa dan menjadikannya sebagai panduan untuk tindak-tanduk kita seterusnya.
  • Ideologi dan idea - belajar sejarah menjadikan kita lebih menghargai kepelbagaian pendapat manusia. Kita akan memahami bahawa ideologi seseorang berasal daripada idea yang terbit daripada fikiran, perasaan, pemerhatian terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya.
  • Pemikiran kritis - sejarah membuatkan kita berfikir di luar kotak dan tidak secara literal semata.
  • Menilai bahan bukti - sejarah bukan hanya meletakkan asas sesuatu benda yang mesti dibuktikan, malah bahan bukti itu juga perlu dinilai kekuatannya untuk diterima sebagai bahan bukti.
  • Mengaitkan semalam dan hari ini - memahami semalam adalah kunci untuk memahami semasa. Mereka yang buta semalam, akan terjebak dalam bencana mengulangi kesilapannya.

7. Kritikan penulis tentang novel berinspirasikan sejarah Islam yang hanya menggunakan sedikit fakta dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang. Hal ini menyebabkan perkara yang masuk dalam minda pembaca novel tersebut hanyalah imaginasi pengarang dan bukan hakikat sebenarnya. Novel sebegini disangka sedang berbakti untuk sejarah, tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran.


BUKAN SEKADAR TRAVELOG

Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi bukan saja sebuah buku travelog tetapi ia juga buku pemikiran. Huraian pendapat oleh penulis banyak membantu saya menjelaskan beberapa kekeliruan isu tertentu.

Pun begitu, ada topik yang sukar untuk saya faham dan hadam. Tetapi tidaklah sampai mengganggu keseronokan membaca buku ini.

Semoga perkongsian catatan bacaan saya ini memberi manfaat bagi diri saya dan kalian yang membaca. Buku yang bagus, tetapi kalau nak mengulang baca tentu bukan mudah bagi saya. Dengan adanya catatan ringkas begini memudahkan saya mengingat kembali sebahagian kecil isi buku setebal 440 halaman ini.


“…medan populis. 
Medan yang memberikan banyak perkara yang saya perlu, tetapi semakin menjauhkan saya daripada perkara yang saya mahu. Medan yang memberikan masyarakat banyak yang mereka mahu, tetapi semakin menjauhkan mereka daripada perkara yang mereka perlu.”  - petikan halaman 418.




Tuesday, 4 April 2023

#AboutFriends


#AboutFriends Tere Liye
Judul : #AboutFriends
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Gramedia
Tahun terbit : Cetakan ke-7, Januari 2021
Jumlah halaman : 100


Buku dengan judul bahasa Inggeris tetapi isinya bahasa Indonesia. #AboutFriends membawakan 100 kutipan penulis tentang persahabatan. Setiap halaman disertakan dengan ilustrasi yang membuatkan pembacaan terasa nyaman.

Kata-kata penulis membuat saya berfikir tentang mengapa kita memerlukan sahabat baik, apa itu sahabat yang baik dan bagaimana menjadi sahabat yang baik. Sesekali saya tersenyum bila membaca kata-kata yang terasa ada kaitan dengan diri sendiri.

#AboutFriends Tere Liye

#AboutFriends - buku yang sangat sesuai dihadiahkan buat sahabat baik. Semoga dengan mengamati kata-kata dalam buku ini membuatkan kita saling menghargai sebuah ikatan persahabatan.

Hidup sendirian itu bukan hal menyakitkan. Yang sangat menyakitkan adalah kalian hidup di tengah keramaian, tapi justru dilupakan begitu saja oleh seseorang yang sangat berharga bagi kalian. Dianggap tidak ada lagi. Dihapus dari hidupnya. - #AboutFriends, Tere Liye.



Friday, 17 March 2023

Si Anak Spesial

 
Judul : SI ANAK SPESIAL (unedited version)
Penulis : Tere Liye
Jumlah halaman : 406

Tere Liye dalam usahanya memerangi buku bajakan (cetak rompak), telah bermurah hati memberi secara gratis (percuma) beberapa judul karya beliau di aplikasi Google Play Books. Saya mengambil peluang yang diberi dengan mendapatkan e-book Si Anak Spesial, buku ke-2 dalam ‘Serial Keluarga Nusantara’. Novel ini juga menjadi buku pertama yang saya baca di Google Play Books.


SERIAL KELUARGA NUSANTARA
Serial (Siri) Keluarga Nusantara membawakan kisah anak-anak, kisah kekeluargaan. Setahu saya, sudah ada 7 buah judul di dalam siri ini. Sebelum ini saya tak pernah berminat nak membaca mana-mana buku dalam siri ini kerana menyangka ianya hanya seronok dibaca oleh anak-anak. Tapi bila penulis menawarkan Si Anak Spesial secara percuma, rugi pula kalau saya tak mencuba baca. Eh…bila dah baca, susah nak berhenti. Seronok!

Oh ya, Si Anak Spesial yang saya baca ini merupakan ‘unedited version’, iaitu naskhah asli dari penulis tanpa suntingan. Menurut penulis, ianya berbeza daripada naskhah yang dicetak.


SINOPSIS
Buku ini mengangkat kisah watak utamanya, seorang anak lelaki bernama Burlian yang merupakan anak ketiga Pak Syahdan dan Mamak Nung. Burlian, anak yang nakal tetapi mempunyai hati yang baik dan bercita-cita tinggi.

Bukan hanya kisah Burlian dan keluarganya, novel ini turut membawa kisah kehidupan dan aktiviti harian penduduk kampung, juga pelbagai isu yang berlaku di kampung mereka. Masalah aktiviti perjudian, pemilihan ketua kampung, kehadiran pemburu haram, amalan rasuah, sehinggalah isu pendidikan anak-anak kampung.

Mampukah Burlian yang digelar ‘si anak spesial’ ini mencapai impiannya?


Buku digital Si Anak Spesial dan sebahagian koleksi buku fizikal karya Tere Liye yang saya miliki.

ANTARA PERKARA MENARIK DALAM NOVEL INI
1. Sikap Burlian yang berani membela nasib sahabatnya. Burlian sanggup berkelahi semata-mata mahu membela Ahmad yang dibuli oleh kawan-kawan sekolah. Burlian juga berjuang habis-habisan bagi menyelamatkan Munjib dan Can sewaktu mereka diserang penjahat.

2. Ketegasan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Bapak dan Mamak dalam mendidik anak-anak. Burlian dan Pukat didenda seharian bekerja keras di kebun oleh Mamak gara-gara mereka ponteng sekolah. Sementara Bapak dengan lembut dan penuh kata semangat, menjelaskan betapa pentingnya pendidikan. Memetik kata-kata Bapak :
“…Tidak sekolah, tidak berpendidikan, tidak punya pohon raksasa yang dari pucuknya kalian bisa melihat betapa luas dunia. Tidak bisa menjadi seorang yang bermanfaat untuk orang banyak. Kau akan memiliki kesempatan itu, Burlian, karena kau berbeda. Sejak lahir kau memang sudah spesial. Juga kau Pukat, karena kau anak yang pintar.”

3. Mamak nampak lebih tegas, namun penuh dengan cinta dan sanggup berkorban demi anak-anaknya. Mamak pernah menjadi ‘perisai’ sewaktu Burlian diserang lebah. Mamak juga sanggup menggadaikan cincin kahwin (satu-satunya kenangan perkahwinan yang ada) demi menunaikan janji membelikan sebuah basikal buat Burlian. Seperti kata Bapak kepada Burlian :

“Karena jika kau tahu sedikit saja apa yang telah ia lakukan demi kau, Amelia, Kak Pukat dan Kak Eli, maka itu sejatinya bahkan belum sepersepuluh dari pengorbanan, rasa cinta, serta rasa sayangnya kepada kalian.”

4. Panduan memilih pemimpin. Memetik kata-kata Bapak kepada orang-orang kampung :

“Tapi meski tidak ada satu pun yang pantas, tetap harus diputuskan siapa yang akan menjadi pemimpin rombongan. Itu teladan agama kita. Pilihlah yang paling sedikit keburukannya, yang paling sedikit membawa masalah di antara banyak masalah.”

5. Kepentingan menjaga keseimbangan alam. Manusia hidup memerlukan hutan, maka seharusnya kita perlu menjaga hutan dan seluruh isinya. Memetik kata-kata Mang Unus tentang keseimbangan :

“…kita mengambil seperlunya. Kita menebang se-butuhnya. Kita punya batasan. Jangan pernah mengambil semua rebung tanpa menyisakan tunasnya untuk tumbuh lagi. Jangan pernah menebar racun atau menjulurkan kawat setrum di sungai yang akan membuat telur dan ikan-ikan kecil juga mati, padahal esok-lusa dari merekalah sungai akan terus dipenuhi ikan-ikan. Jangan pernah menebas umbut rotan semuanya. Kita selalu berusaha menjaga kesimbangan. Jangan pernah melewati batas, atau hutan tidak lagi bersahabat.”

6. Kesungguhan Pak Bin memperjuangkan pendidikan buat anak-anak kampung, walaupun sudah menjadi guru selama 25 tahun tetapi masih berstatus ‘guru honorer’ (bukan jawatan tetap dan berpencen). Pak Bin bersemangat mengajar dan tak putus asa memujuk para ibu bapa agar menghantar anak ke sekolah.

7. Memberi gelaran/panggilan yang baik kepada anak sebagai salah satu cara menumbuhkan keyakinan diri anak dan sebagai satu doa berterusan. Bapak dan Mamak sering mengatakan Burlian anak spesial, Amelia anak yang kuat, Kak Eli anak yang pemberani dan Kak Pukat anak yang pintar.


———————————————————————————

Si Anak Spesial, bacaan ringan yang penuh dengan pelbagai rasa. Ada babak lucu, mendebarkan juga babak yang membuat saya sebak. Kisah hidup anak kampung yang diceritakan dengan terperinci dan diolah dengan baik. Cerita biasa yang seronok untuk dibaca. Juga banyak pengajaran dan nilai murni yang boleh kita ambil.

Buku ini merupakan bacaan sesuai bagi anak-anak seawal sekolah rendah. Tetapi kerana ia berbahasa Indonesia, mungkin ada kesukaran buat anak-anak di Malaysia untuk memahami. Menurut saya, buku ini merupakan bahan bacaan yang bagus bagi mendidik anak-anak secara tidak langsung - pendidikan menerusi penceritaan.

Nampaknya saya yang berusia 40-an pun suka baca Si Anak Spesial 😅. InsyaAllah ada rezeki nak membaca lagi 6 buah judul dalam Siri Anak Nusantara ini. 






Monday, 27 February 2023

Polygamist Reader

 

Sebelum ini saya merupakan seorang monogamist reader - fokus membaca satu buku saja dalam satu masa. Tetapi sejak beberapa bulan lalu, saya mulai merasa jemu membaca satu buku dan mula membaca buku lain pula. Buku A belum habis, tetapi saya mula membaca buku B pula. Bukan tinggal terus buku A tau, tetapi saya membaca buku A dan B secara bergilir mengikut mood membaca saya. 

Saya mengenal pasti punca timbulnya rasa jemu pada buku A adalah disebabkan bahan bacaan tersebut agak ‘berat’ dan jumlah halamannya banyak. Perlu lebih tumpuan masa dan fikiran untuk menghadam apa yang dibaca. Itulah kelemahan saya, susah nak fokus bila membaca bahan ilmiah. Maka saya selitkan pembacaan lain yang lebih ringan supaya minat membaca saya tidaklah terus berkubur.

Tetapi tak cukup menambah buku B, saya tambah pula buku C dan buku D 🤭. Puncanya? Gara-gara tak sabar nak baca buku lain yang nampak menarik! Sudahnya, setiap buku mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Buat masa sekarang, inilah empat buah buku yang sedang saya hadam :
  • Kompas 114 - sebuah pengembaraan menghayati al-Quran.
  • Kembara Menalar Diri - sebuah travelog pencari ilmu dan kebenaran.
  • #About Friends - kumpulan kutipan kata-kata penulis tentang persahabatan.
  • Si Anak Spesial - sebuah novel keluarga.

Semuanya buku fizikal kecuali Si Anak Spesial merupakan buku digital, saya baca melalui aplikasi Google Play Books di iPad. Mudah nak baca waktu makan seorang diri di rumah. Letak je depan pinggan makan, sambil makan sambil membaca. Jadinya selain makan sambil menonton, saya ada pilihan makan sambil membaca juga. Dua-dua pun seronok dan mampu menjadi teman makan yang baik 😄

Itulah kisahnya bagaimana saya mula menjadi polygamist reader - membaca lebih daripada satu buku dalam satu masa. Bukan baca serentak semua buku tau, tapi bertukar-tukar buku mengikut suasana. Biasanya kalau waktu pagi atau malam, saya lebih suka membaca bahan yang perlu lebih tumpuan.




Wednesday, 15 February 2023

Medan, Indonesia | Menambah Koleksi Karya Tere Liye di Toko Buku Gramedia

Antara tempat yang termasuk dalam itinerari kami ke Medan - kunjungan ke toko buku Gramedia. Saya memilih Gramedia di Sun Plaza kerana ia terletak paling hampir dengan hotel penginapan kami.

Ini merupakan kunjungan kali kedua kami ke toko buku Gramedia. Sebelumnya kami pernah ke Gramedia yang lebih besar di Pekanbaru, Riau. Toko bukunya terletak di dalam sebuah bangunan 3 tingkat. Memang terasa lebih puas menjelajah.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
10 judul buku paling laris dipamerkan di rak toko buku Gramedia, Sun Plaza. Saya memiliki dan sudah membaca buku yang terletak di kedudukan ke-5, iaitu Rich Dad Poor Dad. Saya membacanya pada tahun 2015. Sememangnya ia bahan bacaan yang sangat menarik. Rupanya sehingga ke hari ini, buku tersebut masih mendapat tempat di kalangan para pembaca buku. Begitulah, buku-buku yang bagus akan kekal dicari dan dibaca orang.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Memerhati susunan buku di rak dan membelek buku dengan judul menarik, menerbitkan perasaan gembira buat diri saya. Itulah sebabnya mengapa saya suka berkunjung ke kedai-kedai buku besar. Banyak judul buku yang menarik. Walaupun tidak memilikinya, tetapi membeleknya saja sudah memadai.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Tersenyum lebar saya apabila melihat tompokan buku yang saya cari. Inilah sebab utama saya berkunjung ke Gramedia, saya mahu menambah koleksi buku karya Tere Liye. Mengapa saya gemar hasil penulisan beliau? Boleh baca DI SINI.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Bedebah di Ujung Tanduk, sambungan kisah Bujang dalam novel terdahulu iaitu Pulang-Pergi. Bulan Februari ini juga bakal terbit satu lagi judul dalam siri Bujang, iaitu Tanah Para Bandit.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Saya sudah memiliki senaskhah kumpulan sajak Tere Liye, kali ini saya menambah judul yang tiada dalam koleksi. Buku kumpulan sajak dengan kulit keras, menjadikan harganya juga lebih tinggi walaupun bukunya nipis.

Koleksi buku karya Tere Liye
Inilah hasilnya - 8 buah buku pilihan saya. Alhamdulillah! Terima kasih buat encik suami yang memaksa saya menambah pembelian 😂. Saya ni ingat nak berjimat, ambil 3 buah buku saja cukuplah. Buat rasa-rasa beli buku pilih sendiri di kedai buku Gramedia. Tapi kalau dapat lebih begini, memang puas hati sangatlah!

Sebenarnya sekarang kita sudah boleh mendapatkan karya Tere Liye secara langsung dari toko buku beliau di Shopee. Boleh buat carian di Shopee : tokobukutereliye.my. Pengeposan dari Indonesia.

Begitu juga kalau nak mendapatkan buku-buku penulis Indonesia yang lainnya di Gramedia, juga sudah ada di Shopee. Boleh buat carian di Shopee : Gramedia Official Malaysia Store. Pengeposan juga dari Indonesia.

Kalau nak membeli dari kedai buku di Malaysia, boleh ke kedai Shopee : Jejak Tarbiah. Nak membelek bagi puas hati sebelum membeli, boleh terus ke kedai fizikal mereka yang terletak di Bangi, Selangor. Harganya tentulah berbeza ya, ada tambahan kos untuk bawa masuk buku-buku luar ke Malaysia.