Showing posts with label Muzium. Show all posts
Showing posts with label Muzium. Show all posts

Thursday, 7 November 2024

Muzium Liwan, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selesai berjalan-jalan dan membeli sedikit oleh-oleh di XianXian Muslim Food - entrinya DI SINI, kami menuju ke Muzium Liwan yang terletak di daerah Liwan.

Pemandu kenderaan sewa menurunkan kami bertiga di tepi jalan utama. Dari situ kami berjalan kaki melalui lorong di celah bangunan sehinggalah tiba di penghujung jalan.

Guangzhou China
Papan tanda arah dengan tulisan bahasa Inggeris, sangat membantu pelancong luar yang tak boleh membaca aksara Cina. Bila saya baca papan tanda arah ni, barulah saya tahu di sini ada tarikan lain selain Muzium Liwan. 

Jadinya sebelum ke muzium, kami jalan-jalan dahulu di sekitar kawasan. Masa ni kira-kira pukul 3.30 petang tapi cuaca redup je, memang selesa nak berjalan. Orang pun tak ramai, mungkin sebab kami datang sini pada hari bekerja (hari Selasa).

Berikut merupakan foto-foto yang sempat saya rakam. Tak ada sebarang caption, saya sekadar memotret apa yang terlihat menarik di mata saya tanpa tahu entah tasik atau bangunan apa.

Guangzhou China

Guangzhou China

Guangzhou China

Guangzhou China

Rata-rata pengunjung di sini nampaknya mereka yang sudah berusia. Ada yang sedang duduk-duduk saja menikmati keindahan lanskap taman dan ada yang sedang melakukan senaman Tai Chi.

Ada juga yang sedang menonton persembahan Opera Cina di pentas kecil yang terletak dalam kawasan taman ini. Para penonton duduk di ruang terbuka - di bangku-bangku taman. Sebuah tong kecil tersedia di hadapan pentas, mungkin untuk mengisi wang sumbangan dari para penonton.


MUZIUM LIWAN
Founded in December 1996, Liwan Museum is the first district-level museum in Guangzhou, displaying the profound historical heritage and unique cultural charm of Liwan.
  • The first exhibition site - Former Residence of Chen Lianzhong, displays the selected and temporary exhibitions.
  • The second site - Xiguan Folk Customs Museum. Based on the rebuilt Xiguan House, it recreates the architectural style and household scenes of the past mansions.
  • The third site - Former Residence of Jiang Guangnai, displays the Exhibition On Jiang Guangnai and Flames and Glory : Revolutionary Historical Sites of Liwan.
  • The forth site - Former Residence of Chen Lianbo, displays the exhibition Keen in Business and Charming in Personality : Portrait of Canton Merchants.

Liwan Museum Guangzhou China
Bahagian hadapan Muzium Liwan yang menempatkan kaunter tiket. Biasanya kaunter tiket dalam bangunan, tapi yang ni terletak di luar bangunan di bawah pokok dengan payung besar berwarna hijau.

Liwan Museum Guangzhou China
Harga tiket masuk - 5 yuan.

Liwan Museum Guangzhou China
Terdapat empat tapak pameran di empat buah bangunan berbeza. Tapi kami cuma masuk bangunan A, B dan D sahaja.

Liwan Museum Guangzhou China
Lorong ke pintu masuk tapak pameran di bangunan B.

Liwan Museum Guangzhou China
Seni bina unik tangga di salah sebuah bangunan. Terdapat ruang pameran di tingkat atas, tapi kami tak naik.

Liwan Museum Guangzhou China
Antara bahan pameran yang terdapat di sini. Semuanya dalam aksara Cina, saya gunakan Google Lens untuk memahami info yang disertakan pada bahan pameran.

Tak banyak foto di dalam muzium sebab bukan semua tempat kita dibenarkan merakam foto. Ruang pameran yang paling menarik menurut saya - pameran perkembangan Canton sebagai pusat perdagangan di China. Canton merupakan nama lama bagi Guangzhou.


FOTO-FOTO DI SEKITAR JALAN LONGJINXI
Selesai lawatan di Muzium Liwan, kami kembali ke jalan utama - Jalan Longjinxi. Sementara menunggu kenderaan tiba bagi mengambil kami, sempatlah saya memerhatikan suasana sekitar dan aktiviti harian masyarakat tempatan.

Guangzhou China
Kibaran bendera negara China menghiasi bangunan di sini.

Guangzhou China
Lampu trafik pun ada simbol basikal tau, sebabnya di sini memang ramai pengguna basikal. Rata-rata mereka menunggang basikal elektrik. Laju bergerak, boleh saksikan dalam video di hujung entri ini.

Guangzhou China
Lorong kawasan perumahan - Xiguan House Community.

Guangzhou China
Bersih dan teratur.

Guangzhou China
Meriah dengan kibaran bendera. Ini kerana ketika kami berada di sini, China bakal menyambut Hari Kebangsaan mereka pada 1 Oktober. Apa yang menarik, mereka akan bercuti panjang iaitu selama 7 hari. Cuti panjang ini disebut sebagai ‘Golden Week’.


Video pendek memaparkan suasana di sekitar Jalan Longjinxi, Guangzhou.







Thursday, 31 August 2023

Galeri Mat Kilau, Jerantut

Semasa berada di Jerantut, saya dan Encik Suami sempat mengunjungi Galeri Mat Kilau. Tak susah nak mencari lokasinya yang terletak di tepi jalan besar. Jika dari bandar Jerantut, bangunan galeri ini terletak di sebelah kiri jalan. Tertera di bahagian luar kawasan galeri - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar.

Kehadiran kami disambut oleh penjaga galeri ini, seorang lelaki yang ramah dan mesra. Menurut beliau, kami merupakan pengunjung pertama dari Pulau Pinang pada hari tersebut.

Jom kita tengok apa yang ada di Galeri Mat Kilau ini…

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Beginilah rupa dalam galeri. Pengunjung akan menyusuri laluan berbentuk pusingan untuk menghayati kisah perjuangan Mat Kilau, pahlawan negeri Pahang ini.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Diorama pertempuran Mat Kilau dengan penjajah British.

Antara bukti penentangan Mat Kilau terhadap British - telegram bertarikh 26 Oktober 1895 mengenai kehadiran Mat Kilau di Tembeling yang menjadi ancaman kepada pihak British.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 27 Disember 1969, memaparkan berita kemunculan semula Mat Kilau yang disangka telah terkorban dalam satu pertempuran pada tahun 1895.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Di galeri ini juga terdapat sebuah bilik tayangan yang memaparkan dokumentari Mat Kilau oleh TV3.

Lukisan potret pahlawan Mat Kilau. Saya edit sedikit dengan mengubah warna latar belakang lukisan supaya wajah Mat Kilau lebih menyerlah.

Fakta ringkas berkenaan pahlawan Mat Kilau :
  • Nama sebenar beliau - Mat Kilau bin Imam Rasu. Imam Rasu (ayah Mat Kilau) lebih dikenali sebagai Tok Gajah, juga merupakan pahlawan negeri Pahang.
  • Pada tahun 1892, Mat Kilau bersama orang-orangnya telah melakukan siri serangan hendap ke atas kubu-kubu British.
  • Pada tahun 1895, Mat Kilau telah tewas dan disangka telah meninggal dunia dalam satu serangan hasil kerjasama British dan pihak Siam.
  • Pada 26 Disember 1969, Mat Kilau (yang ketika itu dikenali dengan nama Mat Siam) muncul semula di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut dan mengisytiharkan dirinya adalah Mat Kilau pahlawan Pahang. 
  • Pada 8 Januari 1970, sebuah Jawatankuasa Menyiasat Kemunculan Semula Mat Kilau ditubuhkan. Hasil siasatan rapi, jawatankuasa menyimpulkan dan mengisytiharkan bahawa Mat Siam sebagai Mat Kilau. Pengumuman rasmi telah dibuat oleh Menteri Besar Pahang pada 6 Ogos 1970.
  • Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, iaitu 10 hari selepas pengumuman tersebut. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kedong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dalam usianya lebih 100 tahun.

Walaupun hanya sebuah galeri kecil, tetapi cukup untuk kita mengenali dan mengenang Mat Kilau sebagai seorang pahlawan negeri Pahang khususnya dan Tanah Melayu amnya.

Selain membuat lawatan di galeri, kita juga boleh mengunjungi Makam Pahlawan Mat Kilau yang terletak sekitar 6.2 km dari Galeri Mat Kilau. Kami tak pergi ke makam, cukuplah lawatan di galeri ini.

Kemunculan semula Mat Kilau pada tahun 1969 mungkin tidak meyakinkan semua pihak, tetapi itu tidak menafikan sumbangan besar Mat Kilau yang telah bangkit berjuang menentang penindasan oleh penjajah British. Semangat membela maruah diri, agama dan bangsa itulah yang harus disematkan dalam diri kita.

————————————————————

GALERI MAT KILAU, JERANTUT
(Google Maps - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar)
Kampung Batu Rong, Jerantut,
Pahang.

Waktu lawatan :
Isnin - Khamis | 8 pagi - 5 petang
Jumaat | 10 pagi - 12 tengah hari & 2.30 petang - 5 petang
Sabtu, Ahad & Cuti Umum | 10 pagi - 5 petang

Bayaran Masuk :
Dewasa (13 tahun ke atas) - RM2
Kanak-kanak - RM1
Bawah 6 tahun - Percuma



SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-66 TAHUN
SELAMAT HARI KEBANGSAAN 2023 🇲🇾






Tuesday, 1 August 2023

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok

[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Kelima | Ahad, 2 Julai 2023]

Pagi hari terakhir di kota Bangkok, saya dan Encik Suami sempat membuat lawatan ke sebuah muzium yang terletak tak begitu jauh dari hotel penginapan kami. Jaraknya sekitar 800 meter, boleh naik tuk tuk yang sentiasa menunggu pelanggan di bahu jalan besar atau berjalan kaki saja. Kami memilih untuk berjalan kaki, ia cara terbaik untuk kita melihat-lihat tempat asing secara lebih dekat. 

Berpandukan aplikasi Google Maps, kami menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke muzium. Tak sesat dan laluannya mudah tak perlu melintasi jalan besar. Cuma kena tahan panas matahari 😅


SUAN PAKKAD PALACE MUSEUM
The Suan Pakkad Palace Museum was the former palace of Prince Chumbhot Paribatra (a grandson of King Chulalongkorn (Rama V)) and his wife Mom Rajawongse Pantip Paribatra. The palace was converted to a museum in 1952 under the management of the Chumbhot-Pantip Foundation.

The original museum consisted of eight tradisional Thai houses dismantled and rebuilt in the present locations. The houses linked by corridors and give the impression of a single structure.

The centerpiece of this palace museum is the newest addition built in 1996 to display the ancient Ban Chiang collections.

‘Suan Pakkad’ means a cabbage garden, as the area was popular for cabbage farming.

- sumber info :  tour-bangkok-legacies.com & pamphlet muzium.


Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
10.20 pagi | Tiba di Suan Pakkad Palace Museum.
Sebaik saja kami memasuki perkarangan kawasan muzium, pengawal keselamatan terus membawa kami menuju ke bangunan ini (foto di atas). Saya sangkakan inilah bangunan muzium yang bakal kami lawati. Rupanya ia cuma bangunan pentadbiran.

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Seorang staf perempuan menyambut kami dengan mesra dan bertanya kami datang dari mana. Setelah membuat bayaran tiket masuk, kami diberi pamphlet dan kipas tangan seorang satu. Beg galas yang kami bawa pula perlu disimpan dalam locker yang disediakan. Locker tersebut berkunci dan kita pegang sendiri kuncinya. Cuma beg bersaiz kecil saja yang dibenarkan bawa bersama.

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Kedudukan 8 buah rumah tradisional Thai di Suan Pakkad Palace Museum. Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Dengan merujuk pamphlet, kami diberi penerangan ringkas berkenaan kompleks muzium yang terdiri daripada 8 buah rumah tradisional Thai yang akan dilawati. Beliau maklumkan juga bahawa tiada sebarang foto boleh dirakam di dalam rumah-rumah tersebut.

Hanya foto-foto berikut yang dirakam di bahagian luar bangunan saja dibenarkan. Cukuplah sebagai satu memori untuk saya kenang pada masa akan datang.

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Ada laluan penghubung antara rumah-rumah di tingkat atas. Kena buka kasut bila lalu atas ni. Kasut masukkan dalam beg plastik yang disediakan, lepas tu kita peganglah beg plastik tu ke sana ke sini. Bila turun ke tingkat bawah, baru pakai balik kasut. Tempat permulaan naik dan turun berbeza, itu yang kena bawa kasut bersama kita.

Bayangkanlah…tangan kanan saya pegang kipas tangan dan tangan kiri pegang beg plastik kasut 😄. Kipas tangan tu bukan saja-saja beri sebagai cenderahati tau, tapi memang sangat berguna untuk kita berkipas semasa melawat rumah-rumah di sini. Kalau tak silap ingatan saya, cuma ada satu atau dua ruangan tertentu saja yang ada pendingin hawa.

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Eh, ada burung comel dalam sarang! Rendah si burung ni buat sarang, saya perlu rendahkan badan bagi mendapatkan foto di atas. 

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Bunga teratai berkembang cantik. Pergi melawat muzium, tapi mata saya tetap mudah terpesona dengan keindahan flora dan fauna.

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
Tengah merakam foto alam, seorang staf datang menghampiri kami. Beliau mengajak kami ke bahagian seterusnya yang menempatkan Royal Barge dan The Lacquer Pavillion. 

Suan Pakkad Palace Museum, Bangkok
The Lacquer Pavillion.
Staf menunggu di luar, kami naik masuk sekejap dalam ni.

Kami habiskan masa sekitar 1 jam saja di sini, tak boleh berlama sebab nak daftar keluar dari hotel pada pukul 12 tengah hari. Perlukan lebih masa kalau betul-betul nak membelek segala bahan pameran - alat muzik, barang kemas, senjata, artifak dan lain-lain.

Saya suka meneliti seni bina rumah-rumah yang ada di sini - bentuk pintu/tingkap dan ukiran-ukiran yang mengagumkan. Tapi kadang-kala rasa seram dan kurang selesa sikit bila masuk ruangan yang terdapat banyak patung-patung Buddha.

Staf-staf di sini ramah dan rajin memberi penerangan tanpa perlu kami tanya. Walaupun mereka bukan sentiasa ada di setiap rumah yang kami lawati, tapi mana yang kami jumpa tu memang nampak bersungguh bercerita. Lawatan singkat yang menarik.


—————————————————————-

SUAN PAKKAD PALACE MUSEUM,
352 - 354, Sri Ayudhaya Road,
Ratchathewi, Bangkok,
Thailand.

Waktu operasi :
Setiap hari | 9 pagi - 4 petang

Harga tiket :
Pelancong asing | 100 Baht
Warga Thai | 50 Baht






.

Thursday, 9 March 2023

Medan, Indonesia | Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli

Istana Maimun - antara tempat bersejarah yang sempat kami lawati sewaktu berkunjung ke Medan, Indonesia. Suatu masa dahulu, bangunan istana yang terletak di Jalan Brigjend Katamso ini merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Deli.

Fakta Ringkas Kesultanan Deli :
  • Kesultanan Deli merupakan sebuah kerajaan Islam yang bertapak di Tanah Deli (sekarang kota Medan dan Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara).
  • Diasaskan oleh Tuanku Panglima Gocah Pahlawan pada tahun 1632.
  • Kesultanan Deli masih tetap ada sehingga hari ini, tetapi tidak lagi memiliki kuasa politik setelah Proklamasi Kemerdekaan Indonesia.
  • Sehingga hari ini, Kesultanan Deli mempunyai 14 orang sultan.
  • Sultan Deli ke-11, Sultan Osman Al Sani Perkasa Alamsyah merupakan cucu Sultan Perak ke-26. Bonda beliau iaitu Tengku Maheran merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke-26) bersama isteri kedua baginda. 
  • Seripeduka Sultan Deli XIV, Tuanku Mahmud Lamantjiji Perkasa Alam atau singkatannya Tuanku Aji merupakan Sultan Deli ke-14. Beliau naik takhta pada Julai 2005 pada usia 8 tahun. Ini menjadikan beliau sebagai Sultan Deli paling muda dalam sejarah.
[Sumber rujukan : orangperak.com, kompas.com, pancabudi.ac.id]

Istana Maimun
Kami tiba di perkarangan Istana Maimun menghampiri pukul 12 tengah hari waktu tempatan. Pengunjung agak ramai, nampaknya suasana di sini lebih meriah berbanding di Tjong A Fie Mansion.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bangunan Istana Maimun berdiri gah, sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Deli. Terdetik di hati saya, bangunan besar begini tentu ambil masa lama nak menjelajah. Saya agak teruja nak melihat bagaimana rupa dalam Istana Maimun.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto Istana Maimun dari sisi. Bila membelek foto yang ada, baru saya sedar yang saya terlupa merakam foto dari sudut hadapan istana. Maka tiadalah foto keseluruhan bangunan Istana Maimun.

Bagusnya jika ada foto (selain sebagai satu kenangan), mudah saya nak membelek dengan lebih teliti hal-hal yang kadang saya tak perasan pun semasa berada di lokasi.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Eh…ada tulisan bahasa Belanda di tiang depan tangga untuk masuk ke istana. Hasil Google Translate, dapatlah difahami tulisan ini menyatakan bahawa batu asas bangunan ini telah diletakkan pada 26 Ogos 1888 oleh Sultan Deli, Mahmud Al Rashid Perkasa Alamsyah. Kot ada yang faham bahasa Belanda bolehlah beri terjemahan yang lebih tepat ya. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Inilah ruang utama Istana Maimun yang turut menempatkan singgahsana. Rupa-rupanya, pengunjung hanya boleh melawat ruangan utama ini sahaja termasuk ruang kecil di sebelah belakang. Saya agak kecewa. Tapi yelah, mungkin itu yang sesuai dengan kadar bayaran masuk Rp. 10k.

Saya dapati tak banyak info & bahan pameran berkenaan Kesultanan Deli yang dipamerkan di sini. Cuma banyak orang-orang berjualan di dalamnya. Agak terganggu juga, kita nak melihat-lihat sekitar dan berfoto tapi kerap disapa oleh para penjual. Tambah pula yang menjual lato-lato, sibuk memainkan lato-lato ditangannya. Tak tenang sungguh!

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Singgahsana yang menjadi tumpuan ramai untuk berfoto. Saya perlu menunggu untuk memotret foto singgahsana ini. Tapi tetap juga kena crop supaya tak masuk objek manusia yang berada berhampiran.

Di sini juga ada disediakan servis berfoto dengan pakaian khas Kesultanan Deli. Dalam foto di atas (belakang singgahsana) kelihatan deretan baju untuk dipilih. Ada banyak lagi pilihan pakaian di bilik kecil sebelah singgahsana ini. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Antara potret Sultan Deli yang dipamerkan di sini.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto di suatu sudut belakang bangunan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto beranda di bahagian depan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bahagian luar istana (sebelah kiri). Terdapat deretan gerai menjual makanan di laluan tepi bangunan istana.

Fakta ringkas Istana Maimun :
  • Didirikan atas perintah Sultan Deli, Sultan Ma’moen Al-Rasyid. Pembinaan bermula pada tahun 1888 dan siap pada tahun 1891.
  • Nama ‘Maimun’ bersempena nama permaisuri sultan, Siti Maimunah.
  • Istana Maimun terdiri daripada bangunan dua lantai dan terdapat tiga bahagian (ruang utama, sayap kanan dan sayap kiri).
  • Ketika ini, Istana Maimun tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal Sultan Deli. Ia hanya digunakan untuk acara adat.
  • Hanya ruang utama sahaja yang dibuka kepada pengunjung.

Meriam Puntung
Terletak berhampiran bangunan istana, terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan ‘meriam puntung’. Masih di kawasan yang sama dengan istana.

Sebelum ke Istana Maimun, saya dah mencari info berkenaan Meriam Puntung. Menurut info, ia merupakan sebahagian daripada meriam yang terpecah dua. Cerita lagendanya, meriam tersebut merupakan jelmaan seorang puteri dari Kerajaan Deli Tua. Maka ada yang menganggap meriam ini keramat. Itu kepercayaan orang, kita hormat jelah.

Saya tak tertarik nak melihat meriam puntung. Tapi encik suami ajak menjenguk, alang-alang dah sampai kita tengoklah dengan mata sendiri.

Meriam Puntung Istana Maimun
Saya hanya berdiri di muka pintu ruangan ini untuk merakam foto di atas. Saya malas nak masuk, cukuplah sekadar tengok dari jauh. Berkenaan rupa meriam puntung, saya dah tengok foto di internet.

Seorang wanita yang berada di pintu berulang kali mengajak saya masuk ke dalam. Saya akhirnya membuka kasut dan mahu masuk sendirian. Encik suami pula pada masa ini sedang sibuk ‘dikejar’ oleh seorang lelaki penjual cenderamata. Sebenarnya sudah dikejar oleh orang yang sama sejak sebelum kami masuk ke bangunan istana. Berulang kali menolak secara baik, tetap juga tak mahu berganjak.

Sebaik saja saya melangkah sebelah kaki masuk ke dalam ruangan kecil ini, wanita tadi meminta Rp. 2k. Saya agak terkejut sebab tak nampak apa-apa notis bayaran. Langkah kaki saya terhenti, tak jadi masuk. Saya ajak encik suami beredar dari sini. Walaupun cuma Rp. 2k, tapi cara wanita itu membuatkan saya rasa seperti ditipu. Lagi pula dari awalnya memang saya tak berminat nak ke sini.

Pada masa yang sama, lelaki penjual cenderamata tadi berterusan mengekori encik suami. Menjengkelkan! Akhirnya encik suami terpaksa tinggikan suara, barulah kami bebas berjalan. Bukanlah kami tak memahami perjuangan hidup orang mencari rezeki, tapi kalau asyik diekori dan didesak itu menimbulkan rasa tidak senang. Apa pun, inilah pengalaman.

Entri ini mengakhiri catatan perjalanan kami ke kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Walaupun tak pergi jauh cuma seberang lautan, kota ini tetap memberikan saya satu pengalaman berbeza dan membuka fikiran saya. Kota Medan bukanlah lokasi percutian dengan pemandangan indah, tetapi ia sesuai bagi yang mahu wisata kuliner - jalan-jalan cari makan dan melihat sisi lain kehidupan. Setiap destinasi adalah unik.






.

Thursday, 23 February 2023

Medan, Indonesia | Tjong A Fie Mansion

Pada pagi hari kedua di kota Medan, kami ke Tjong A Fie Mansion. Sebuah rumah agam berusia lebih 120 tahun milik seorang tokoh filantropi bernama Tjong Fung Nam yang juga lebih dikenali sebagai Tjong A Fie.

Sejarah Ringkas Tjong A Fie
Tjong A Fie berasal dari tanah besar China. Pada tahun 1880 ketika berusia 18 tahun, beliau telah berlayar dan tiba di Labuhan Deli, Sumatera Utara, Indonesia. Beliau memulakan hidup sebagai pekerja bawahan sehingga akhirnya berjaya memiliki perkebunan dan pelbagai bisnes. Ini menjadikan beliau seorang tokoh penting di Medan.

Tjong A Fie meninggal dunia pada tahun 1921. Beliau dikenang sebagai individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Rumah agam milik Tjong A Fie mula dibina pada tahun 1895 dan siap pada tahun 1900. Rumah dua tingkat yang memiliki banyak ruang/bilik ini merupakan kediaman beliau bersama isteri ketiga dan anak-anak mereka.

Rumah tersebut kini dijadikan sebuah muzium bagi orang ramai menyaksikan sendiri sejarah dan pengaruh Tjong A Fie. Sewaktu kunjungan kami ke sini, kami dimaklumkan bahawa sebahagian rumah ini masih didiami oleh salah seorang cucu beliau.


Jom kita lihat foto-foto sekitar rumah agam Tjong A Fie :

Tjong A Fie Mansion
Tjong A Fie Mansion terletak di Jalan Jenderal Ahmad Yani, Kesawan, Kota Medan.

Tjong A Fie Mansion
Setelah melewati sebuah pintu gerbang berwarna hijau, kami tiba di perkarangan rumah Tjong A Fie. Melihat seni binanya, saya terasa bagai berada di zaman lalu (berdasarkan tontonan drama seperti ‘The Little Nyonya’).

Tjong A Fie Mansion
Pintu masuk rumah. Sebelum masuk, kami membayar tiket di kaunter yang terletak di sebelah kanan.

Tjong A Fie Mansion
Tiket lawatan. Selepas mendapatkan tiket masuk, staf berkenaan bertanya sama ada kami mahu melawat sendiri atau perlukan tour guide. Kami memilih lawatan bersama tour guide. Lebih mudah dan lebih seronok mendengar penerangan dari tour guide. Lagi pula bukan setiap ruang/barang ada disediakan info bertulis.

Kami dibawa melawat setiap ruang oleh tour guide - seorang perempuan muda (mungkin berbangsa Cina).  Penerangan diberi dalam bahasa Indonesia.

Tjong A Fie Mansion
Ruang tengah rumah tanpa bumbung untuk menerima kemasukan cahaya sebagai simbol rezeki masuk, ciri-ciri rumah mengikut kepercayaan feng shui. Lebih kurang begitulah yang saya faham. Selesai bercerita berkenaan ruang ini, tour guide menawarkan diri untuk mengambil foto kami di sini. Encik suami tak mahu, maka saya seorang jelah berfoto di ruang yang menarik ni. 

Tjong A Fie Mansion
Hiasan gantungan pelbagai saiz, corak dan warna memberi suntikan elemen ceria di rumah lama ini.

Tjong A Fie Mansion
Ruangan luas di lantai atas untuk majlis tarian. Langit-langit rumah daripada papan dengan motif pepatung. Tentu ada simbolik disebalik pemilihan serangga tersebut.

Tjong A Fie Mansion
Berkenaan perabot yang ada, sebahagiannya merupakan tinggalan sejak zaman dahulu.

Tjong A Fie Mansion
Ruang dapur masak.

Tjong A Fie Mansion
Potret Tjong A Fie.

Tjong A Fie Mansion
Entah berapa bilik/ruangan ada di rumah agam ni. Lupa saya nak bertanya. Di bahagian ini juga terdapat sebuah telaga yang masih berfungsi sehingga ke hari ini.

Tjong A Fie Mansion
Lawatan berakhir apabila kita tiba di pintu ini.

Foto-foto di atas hanyalah sedikit daripada apa yang kami lihat. Tour guide membawa kami ke bilik-bilik tidur, ruang kerja, ruang menyambut tetamu, galeri sejarah, ruang makan dan ruangan lain yang terletak di lantai bawah dan lantai atas rumah dua tingkat ini. Tetapi bukan semua ruangan dibuka untuk lawatan, mana-mana yang bertutup pintu tu tak boleh masuklah ya. Juga tak semua ruangan kita boleh ambil foto.

Lawatan bersama tour guide tamat sekitar 30 minit saja, maklumlah yang di bawa melawat cuma kami berdua. Selepas itu kami sambung melihat-lihat sendiri rumah ini. Kami ambil masa agak lama di ruang galeri, meneliti deretan foto & info tertera berkenaan bisnes-bisnes yang dijalankan, hubungan baik Tjong A Fie bersama Sultan Deli dan pelbagai sumbangan beliau kepada masyarakat.

Setelah melihat sendiri sejarah Tjong A Fie, ada beberapa perkara yang dapat kami simpulkan tetapi tak perlulah dinyatakan di sini. Benarlah, sejarah adalah jendela masa lalu untuk kita memahami situasi semasa.

Berbaloi atau tidak kunjungan ke sini? Dengan harga tiket Rp. 35k saya terasa agak mahal dan kurang berbaloi. Tetapi tak banyak tempat menarik yang boleh kita kunjungi di kota Medan ini, lawatan ke Tjong A Fie Mansion menjadi sesuatu yang menarik bagi memenuhi itinerari. Selain dapat melihat tinggalan sejarah seorang tokoh di Medan, dapat juga saya merasai suasana berbeza berada di dalam rumah agam berusia lebih 120 tahun dengan seni bina klasik.






.