بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Isteri Nabi. Show all posts
Showing posts with label Isteri Nabi. Show all posts

Thursday, March 1, 2012

Permaisuri hati pertama


Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR

SESEORANG lelaki dikatakan lengkap beragama dalam aspek kesempurnaan ibadahnya apabila hidupnya didampingi seorang wanita bergelar isteri.

Semua makhluk di atas muka bumi inginkan keseronokan dan kegembiraan hidup berpasangan dan beranak pinak terutama manusia yang memperolehinya melalui hasil ikatan suci pernikahan.

Situasi ini tidak begitu jauh bezanya dengan kita semua jika dibandingkan penghulu segala nabi dan rasul kita Nabi Muhammad SAW yang juga memiliki sebuah keluarga seperti mana insan lain.

Walau pun sesetengah pihak menyatakan cara dan bentuk penyatuan atas nama pernikahan antara Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Khadijah binti Khuwailid sedikit menongkah 'uruf(amalan kebiasaan) atau adat di mana menurut Thobaqot Ibnu Sa'ad bahawa Saidatina Khadijah, seorang tokoh korporat wanita terkaya di Kota Mekah pada waktu itu memberanikan diri meminang Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan suaminya.

Paparan sejarah itu bukanlah suatu 'kesilapan'. Allah SWT yang mengaturkannya. Namun, ia menunjukkan bahawa adalah salah satu jalan yang lebih telus dalam menjunjung tinggi tatasusila bersadurkan panduan Ilahi.
Terlalu sarat dengan pengajaran untuk kita memetik paparan kehidupan rumahtangga Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah.

Bermula daripada nabi beruzlah (mengasingkan diri dalam beribadah) di dalam Gua Hira' yang akhirnya menerima wahyu pertama daripada Allah SWT menerusi malaikat Jibril a.s dengan penganugerahan surah pertama al-Qalam yang bermula dengan perintah Allah SWT bacalah - Iqra.

Maka bermulanya pengalaman baru ke atas diri baginda yang ketakutan dan resah gelisah. Sekembalinya ke rumah, baginda berbaring di tempat tidur dan meminta agar diselimuti. Dalam pada itu juga suhu badan baginda meningkat agak tinggi.

Baginda yang berada dalam keadaan ketakutan dan gementar ditenangkan Saidatina Khadijah dengan katanya: "Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya.

"Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana."

Kehebatan seorang isteri pada diri Saidatina Khadijah begitu tinggi dengan timbulnya rasa kerisauan lalu dirawatnya baginda SAW.

Sejurus diceritakan segala detik yang dialami oleh nabi kepada permaisuri hatinya maka dengan kata-kata lemah lembut dan manis itulah yang membuatkan hati baginda tenang. Perasaan takut yang di raut wajah nabi hilang berganti cerah dan terang.

Seterusnya, dengan tidak ada sebarang keraguan di hati Saidatina Khadijah menerima Islam.

Saidatina Khadijah mengucapkan selamat buat suaminya kerana telah dinaikkan darjat yang tertinggi untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Lantas dengan peristiwa itu, isteri nabi adalah orang yang pertama memeluk agama baru itu. Begitulah kehebatan Saidatina Khadijah yang datang daripada golongan Quraisy Abdul Uzza yang menduduki tempat terhormat sebagai permaisuri hati pertama Rasulullah SAW memiliki keluhuran dan keunggulan peribadi bahkan beliau juga mempunyai nama jolokan masyarakat Mekah pada waktu itu iaitu Thohirah.

Sesungguhnya , insan pilihan Allah bernama Nabi Muhammad terlalu bertuah memiliki seorang permaisuri hati yang sentiasa tenang dan berupaya menenangkan jiwa baginda sewaktu menghadapi pelbagai tribulasi daripada Allah.

Maka, tidak hairanlah Saidatina Khadijah seorang wanita berhati waja yang diberi gelar Ummul Mukminin (ibu bagi orang mukmin) yang merupakan penyokong kuat usaha Rasulullah SAW dalam memantapkan usaha-usaha dakwah.

Beliau bukan sahaja sanggup mengorbankan hartanya, bahkan perasaannya semata-mata ingin memastikan kejayaan terhadap usaha dan perjuangan baginda.

Andai dalam kehidupan kita sebagai umat nabi memiliki insan istimewa seperti itu, maka tiada sebab untuk tidak berhasil mencapai status rumahku syurgaku'.

Biar pun secara fiziklnya , Saidatina Khadijah tidak menerima sebarang ancaman daripada golongan kuffar dan musyrikin, namun sebagai seorang isteri yang sentiasa taat dan setia bersama suami tercinta , beliau turut merasai tempias penderitaan dalam menyampaikan kebenaran agama Allah.

Rasulullah terus dibajai semangat kerana insan teristimewa dalam hidup baginda bertindak menjadi pendukung kuat bersamanya.

Contohnya, semasa tempoh mendepani mehnah (ujian) getir dalam peristiwa pemulauan oleh kafir musyrikin terhadap kabilah Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang mengambil masa selama tiga tahun.

Pengorbanan insan hebat itu menjadikan Rasulullah SAW sentiasa melangkah gagah dalam meninggikan syiar Islam. Semua itu bukan perkara mudah sehinggakan beliau sanggup melepaskan segala bentuk harta dan kemewahan demi mutiara keimanan kepada Allah SWT dan suaminya yang merupakan kekasih pilihan Allah.

Betapa kasih dan cintanya nabi kepada permaisuri hatinya setelah Saidatina Khadijah pergi mengadap Allah SWT ke alam baqa amat jelas terpapar. Kerana diriwayatkan pada suatu hari Khaulah binti Hakim bertanyakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah, apakah tuan kesepian setelah berpisah dengan Saidatina Khadijah?

Rasulullah SAW lantas menjawab katanya: "Ya... Demi Allah,Khadijah itu seorang pentadbir dan suri rumah yang baik."

Memang benar sejurus kemudian, baginda mengahwini Saidatina Sa'udah binti Zum'ah dan juga Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq.

Namun, perasaan kasih dan cinta nabi yang menebal terhadap permaisuri hati pertamanya menimbulkan perasaan cemburu di hati Saidatina 'Aisyah.

Akhlak mulia
Kehebatan akhlak mulia Saidatina Khadijah bukan sahaja diabadikan oleh nabi bahkan beliau juga dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Sewaktu hayat Saidatina Khadijah, diriwayatkan bahawa Allah SWT telah menyampaikan salam-Nya kepada beliau melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s yang disampaikan kepada suaminya nabi Muhammad SAW.

Kesimpulannya, itu bukti betapa besarnya bukan sahaja cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW kepada isteri baginda, malahan dengan pengorbanan secara kulli (keseluruhan) yang disumbangkan dalam menyebarkan Islam.

Ia dibuktikan dengan Ibnu 'Abbas menceritakan bagaimana Saidatina Khadijah daripada sudut pandang Rasulullah SAW.

Justeru , diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat satu garisan di atas tanah.

Maka baginda pun bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu sekelian mengetahui tentang garisan ini?

Para sahabat menjawab: " Allah SWT dan rasul-Nya lebih mengetahui."

Lalu baginda bersabda: "Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam binti 'Imran , Asiah binti Muzahim (permaisuri Firaun) , Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhamad."


Wednesday, November 2, 2011

Aishah dirundung sedih

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEPANJANG siang dan malam, Saidatina Siti Aishah menangis kesedihan mengenangkan nasib dirinya yang menjadi mangsa fitnah yang tidak disangka-sangka.

Walhal, fitnah tersebut sengaja direka oleh Abdullah bin Ubay bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap dirinya yang dicela.

Sehingga diturunkan ayat al-Quran apabila dia melakukan fitnah bagi melaga-lagakan perpaduan yang terjalin antara puak Muhajirin dan Ansar sebelum ini.

Dengan perhatian tertumpu kepada Siti Aishah, maka orang ramai akan melupakan isu sebelum ini. Namun ramai yang tidak mempercayai fitnah terhadap isteri Rasulullah itu kerana mereka lebih mengenali siapa sebenarnya Abdullah bin Ubay.

Walaupun tidak percaya tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk mencegah fitnah itu daripada terus tersebar.

Begitupun apabila membabitkan soal maruah dan harga diri, Siti Aishah sangat berharap dirinya mendapat pembelaan.

Beliau menyerahkan semuanya kepada Allah kerana pastinya Allah akan memberi jawapan.

Cuma yang sukarnya kini, jawapan yang berbentuk wahyu itu tidak turun kepada dirinya kerana beliau bukan seorang nabi.

Lalu Siti Aishah amat berharap sekurang-kurangnya Allah akan mendatangkan mimpi yang benar kepada suaminya, Rasulullah.

Sehinggalah Rasulullah akhirnya mengunjungi isteri dan keluarga isterinya di rumah mereka untuk mencari jalan keluar dari kemelut fitnah itu.

Apabila tiba gilirannya, Siti Aishah pun berkata: "Saya seorang perempuan yang masih muda. Saya tidak banyak membaca al-Quran. Demi Allah, sesungguhnya saya mengerti bahawa tuan sudah mendengar berita (fitnah) itu.

"Namun ingin saya katakan kepada tuan, bahawa saya bersih dan tuduhan itu sama sekali tidak benar. Allah lebih Maha Mengetahui saya bersih daripada tuduhan itu dan saya berharap tuan percaya kepada saya.

"Demi Allah, saya pernah belajar dari tuan mengenai nasihat dari ayahanda Nabi Yusuf yang berkata; Maka sabar itu adalah lebih baik dan Allahlah tempat meminta pertolongan atas segala apa yang berlaku!"

Tidak lama selepas itu, malaikat Jibrail pun turun yang bermakna Allah akan menurunkan wahyu.

Rasulullah pun terus melelapkan mata sebagaimana kebiasaan baginda setiap kali menerima wahyu Allah itu.

Abu Bakar As Siddiq yang menyaksikan kejadian itu terus menyelimutkan Rasulullah lebih-lebih lagi melihatkan peluh membasahi dahi dan tubuh badan Rasulullah sehingga baginda menggeletar kerana beratnya menerima wahyu tersebut.

Masing-masing menunggu dengan penuh debar.

Siti Aishah berkata: "Semasa saya melihat Rasulullah dalam keadaan yang demikian, saya sedikit pun tidak merasa takut. Saya yakin saya di pihak benar dan Allah sedang menolong saya, tidak mungkin Allah hendak menganiaya saya.

"Namun saya bimbang melihat ayah dan ibu saya yang kelihatannya begitu gelisah serta cemas kerana bimbang sekiranya Rasulullah menerima wahyu yang menyatakan fitnah itu adalah benar dan yang bukan direka-reka."

Apabila baginda telah sedar, sebagai tanda wahyu telah selamat diterima, baginda pun bangun dan duduk sambil mengelap sisa-sisa peluh yang masih ada.

Walaupun wahyu tersebut berat namun apabila baginda mula menguntum senyum dan gembira, masing-masing menarik nafas lega.

Wahyu tersebut adalah ayat 11 hingga 21 surah an-Nur yang antara lain membawakan juga bentuk perundangan dan hukum atas perkara menuduh perempuan yang melakukan zina.

"Sesungguhnya mereka yang sengaja menyebarkan berita fitnah itu terhadap golongan yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah itu mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui".
Baginda pun berkata: "Wahai Aishah, sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia sudah melepaskan kamu daripada tuduhan fitnah maka bersyukurlah kamu wahai Aishah."

Mendengarkan kata-kata menantunya itu dan melihatkan anaknya sendiri tidak cuba berkata apa-apa, bonda Siti Aishah, Ummu Rumman dengan nada yang gembira meminta anaknya itu bangun dan mengucapkan terima kasih kepada suaminya atas turunnya wahyu tersebut.

Bagaimanapun Siti Aishah menjawab sambil menggeleng-geleng kepalanya: "Demi Allah saya tidak akan berdiri bagi berterima kasih terhadap Rasulullah kerana saya tidak akan memuji melainkan kepada Allah sahaja kerana Dialah yang sudah membersihkan nama saya.

"Sesungguhnya, kalian telah mendengar tuduhan fitnah lagi dusta itu. Namun kalian tidak cuba menafikannya dan tidak pula cuba menghapuskan fitnah tersebut."

Demikianlah Siti Aishah yang tidak bercakap sepatah kata pun kepada baginda selepas turunnya wahyu itu dan tidak mematuhi kata-kata ibunya itu kerana beliau masih kesal dengan apa yang berlaku.

Namun baginda yang memahami perasaan isterinya itu tidak pula berkecil hati malah memberikan masa kepada isterinya itu untuk kembali 'sejuk'.

Sambil tersenyum baginda sendiri bangun, mengucapkan salam lalu keluar dari rumah mertuanya itu kerana adalah lebih penting kepada baginda memberitahu orang ramai mengenai wahyu yang baru diterimanya sebentar tadi.

Hukuman qazaf

Sangat penting kepada baginda membersihkan nama isterinya yang ternyata Siti Aishah seorang wanita yang suci dan sama sekali tidak layak dipalitkan dengan sebarang tuduhan yang kotor dan keji sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay.

Kecuali yang membuat onar, seluruh penduduk Madinah kini menyedari kesilapan mereka yang tidak mempertahankan maruah dan kesucian isteri baginda itu.

Malah ada yang menyesal kerana mula termakan dengan kata-kata fitnah Bapa Munafik itu.

Lebih-lebih lagi apabila Rasulullah menyebutkan ayat dari surah an-Nur itu yang maksudnya;

"Mengapa semasa berita itu tersebar, kalangan orang Mukmin tidak bersangka baik kepada diri mereka sendiri dan mengapa mereka tidak berkata ini semua dusta."

Walaupun segala-galanya telah terjawab dan kebenaran dapat dibuktikan namun ia tidak habis begitu sahaja.

Mereka yang menyebabkan fitnah ini tersebar sehingga menyebabkan hati mereka yang tidak bersalah terguris luka dan menanggung malu, tidak boleh terlepas begitu sahaja.

Lalu Rasulullah menyiasat dengan lebih rapi dan ingin mengajar mereka yang menyebarkan fitnah terhadap isteri baginda dengan melaksanakan hukum mengikut perintah Allah.

Ia seperti yang tertulis dalam wahyu menerusi surah an-Nur itu: 

Dan mereka yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah (sebat) mereka yang menuduh itu 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian (keterangan) mereka untuk selama-lamanya. Dan mereka itu adalah tergolong sebagai fasik.Kecuali mereka yang bertaubat sesudah itu serta memperbaiki (dirinya) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nur: 4-5)

Setelah dikenalpasti, baginda pun berjaya menahan mereka yang terlibat dalam penyebaran fitnah terhadap Siti Aishah yang kononnya bertindak curang terhadap baginda.

Mereka adalah pembantu kepada keluarga Abu Bakar As Siddiq, Ummu Misthah, Hassan bin Tsabit dan Hamnah binti Jahsy.

Mereka tetap dihukum dengan hukum qazaf (hukuman ke atas mereka yang membuat tuduhan zina) walaupun hanya dengan terpengaruh dengan kata-kata fitnah Abdullah bin Ubay bin Salul. Disebabkan mereka tidak menapis atau mempertahankan Siti Aishah malah sanggup menyebarkan fitnah tersebut maka, hukuman dilaksanakan agar kesilapan itu tidak diulangi.

Bagaimana pula dengan dalang yang mereka-reka dan menyebarkan fitnah ini, adakah dia turut menerima hukuman ini?

Rasulullah terus menganggap bahawa Abdullah bin Ubay bukan sahaja seorang yang munafik tetapi terkeluar dari Islam!

Walaupun hukuman tidak dapat dilaksanakan ke atasnya, Rasulullah tahu apa yang bakal menimpa Abdullah di hari akhirat kelak adalah lebih pedih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...