بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label iluvislam.com. Show all posts
Showing posts with label iluvislam.com. Show all posts

Thursday, October 13, 2011

Menjadi Orang Yang Sibuk

Oleh Ustaz USTAZ PAHROL MOHD JUOI

Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sibuk. Eh, betulkah? Memang benar. Justeru orang yang sibuk sahaja akan menguruskan masa mereka dengan baik. Orang sibuk sahaja dapat memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak – mana yang utama, mana yang penting. 

Tetapi sebelum itu, yang paling penting tanyakan diri terlebih dahulu, sibuk itu untuk apa? Sibuk atau buat-buat sibuk. Sibuk atau menyibuk? Sebagai muslim, sibuk kita mesti disebabkan kerana ibadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja kehidupan mengikut prinsip-prinsip ibadah, nescaya kesebokan kita berbaloi. Sebok kerana Allah.

Untuk mengatur prioriti pelajari atau telaah sedikit apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam fiqh aulawiyat. Insya-Allah, banyak panduan di sana. Ah, malu kita dengan para sahaba, masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, tetapi mereka bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. 3/4 daripada mereka meninggal dunia di luar jaziratul Arab. Sampai ke Cyprus, India, China dan Asia. Tanpa kapal terbang, tanpa kemudahan IT dan alat-alat canggih seperti yang dimiliki kita hari ini. Sibuk, ya mereka sibu sekali.

Kita? Wah, berapa banyak masa di hadapan TV? Berapa banyak masa membaca Al-Quran berbanding membaca Koran (akhbar). Kalau nak dikatakan sibuk, memang sibuk. Ada diantara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat ber'SMS'. Menguyah makanan sambil berbual di telifon bimbit. Yang berkerja sambil tidak sempat menziarah ibu-bapa di kampung. Mahasiswa/i atau pelajar di IPT dan IPTA  'terlupa' menalifon ibu-bapa. Sibuk SANGAT.

Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Ingat, musuh perkara yang 'lebih penting' ialah perkara yang penting. Para sahabat sudah merasa berdosa jika mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan – "khilaful Aula".

Kekadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, berdakwah dengan berniaga, berjihad dengan menuntut ilmu, antara yang baik itu, mana yang lebih baik mengikut masa, situasi dan kondisi. Mereka cintakan Allah, mereka disibukkan kerana Allah.

Dengar apa yang dirintihkan oleh Sayidina Umar Al Khattab, "aku tidak tidur di malam hari, bimbang urusan ku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur di siang hari takut urusanku dengan manusia tidak selesai." Ertinya apa? Ya, Umar adalah individu yang paling "sibuk"sewaktu memimpin urusan umat Islam.

Ditengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sibuk, "pause" sebentar. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sebokkan? Bimbang, kesebokkan kita ada satu "deraan" yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan kecintaan Allah.

Stress, "tension", boring, adalah toksid baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Cari semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semula apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini. Ingat kata Imam Safie, "peredaran masa adalah suatu yang aneh, tetapi lebih aneh manusia yang melengahkannya."

Syaitan, musuh yang tidak pernah tidur. Malaikat, pencatat setia setiap masa. Siapa temanmu dalam kesebokan waktu? Suara siapa yang sering berbisik di hatimu? Ilham dari para malaikat atau waswas yang datang daripada syaitan. Kasih-sayang Allah sesungguhnya masih sudi singgah di hati yang berdosa.

Kekadang "jemputan ke daerah kebaikan" singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba-tiba berbisik, "sampai bila aku harus begini..." Kata hukama, "apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah kebaikan!"
Jangan berlengah lagi wahai diri, perhatikan kesibukan mu.  Untuk siapa, apa, kenapa dan ke mana? Jika ternyata, sudah tersasa, menghindarkan kesibukan kita di akhirat. Kesibukan di akhirat itu Neraka! Syurga itulah tempat rehat kita. Allahumma zukna. Amin. 

iluvislam.com

Sunday, September 11, 2011

Doa Mohon Rezeki Tatkala Kesempitan


"Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan." - Surah Hud:6


Surah Hud Ayat 6

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ {6}

Keterangan ayat:
Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.

Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.

Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.

Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu. Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya.
(Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)

Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

Sumber rujukan: Buku 101 doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran oleh Ustaz Haji Zahazan Mohamed

Wednesday, August 17, 2011

Calon-Calon Syurga Dan Neraka


altOleh Ustaz Nasrudin Hassan

Sabda Rasul saw : "Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga." Sahabat bertanya : "Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw : "Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang melanggar perintah Allah swt, melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan Rasul-Nya .

Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama. Tidak peduli dosa dan pahala. Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat.

Memburu kepentingan duniawi tanpa peduli halal dan haram. Demikianlah firman Allah swt :
"Maka adapun sesiapa yang melampaui batas (melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan) dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka."
Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha Agong. Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt. Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya. Firman Allah swt :
".. dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak." (Surah an Naazia't : 38 - 41)
Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt, justeru syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa. Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt.
"Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba-hamba kami akan mereka yang benar-benar bertaqwa." (Surah Maryam : 63)
Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :
".. bahkan mereka yang melakukan kejahatan (rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya) dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka, mereka pula kekal di dalamnya sementara orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, merekalah penghuni syurga, mereka pula kekal di dalamnya." (Surah Al Baqarah : 81)
Ayat-ayat di atas, bolehlah dinilai oleh setiap individu, bagaimana keadaan kita.

Ia pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum.

Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak.

Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka.
Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu.

Seperti kita menyebut kepada anak kita, "Hei Awang! Jangan mencuri nanti kamu masuk neraka" atau sebaliknya "Hei Awang! Sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga."

Tentu tidak salah perkataan-perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak.

Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang.  Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Pelindung Neraka


Selain dari peristiwa perang Badar, ada satu lagi peristiwa penting di dalam sejarah Islam yang berlaku pada 17 Ramadhan. Peristiwa tersebut adalah peristiwa kematian Saidina Ali r.a., Khalifah keempat setelah dibunuh di dalam satu pengkhianatan oleh Ibnu Muljam. Peristiwa ini berlaku di Kufah, ibu negara Islam pada masa itu.

Ketika Saidina Ali r.a. sedang nazak kesakitan, beliau memperbanyakkan membaca zikir 'la ilaha ilallah'. Di hujung hayatnya, beliau telah memberikan wasiat kepada anak-anaknya, Hasan dan Husain r.a. Wasiat tersebut telah ditulis oleh mereka.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Ini adalah wasiat Ali bin Abu Talib. Dia naik saksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah. Tiada sekutu bagiNya. Dan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya. Allah mengutuskannya dengan hidayah dan agama yang benar agar agama ini menang ke atas semua agama walau pun dibenci oleh orang-orang musyrik.

"Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama." (Al-An'am: 162-163)

Antara kandungan wasiat beliau adalah:
  • Bertaqwa kepada Allah.
  • Islam adalah agama yang benar sehingga akhir zaman.
  • Tidak berpecah-belah sesama manusia.
  • Berbuat baik kepada anak-anak yatim.
  • Menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga.
  • Kepentingan membaca dan beramal dengan al-Quran kerana isinya adalah benar sehingga akhir zaman.
  • Kepentinagn menjaga solat kerana solat itu tiang agama.
  • Kepentingan menjaga rumah Allah iaitu masjid, surau dan sebagainya. Rumah Allah perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
  • Kepentingan bulan Ramadhan untuk umat manusia kerana puasa di bulan Ramadhan adalah pelindung dari neraka.
  • Kepentingan berjihad di jalan Allah.
  • Kepentingan zakat untuk menyucikan diri dan harta.
  • Berbuat baik kepada isteri, fakir miskin dan hamba-hamba yang dimiliki.
  • Tolong-menolong dalam hal kebaikan dan jauhi khianat & pecah-belah.
  • Jauhi segala larangan Allah dan lakukan segala perintahNya.

Selepas wasiat ini, Saidina Ali r.a. tidak mengucapkan kalimah lain selain 'la ilaha ilallah' dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[Surah al-An'am 6: Ayat 162] 

Berpuasa itu bukan untuk berpuas

  

Alhamdulillah kerana kita berpeluang untuk berpuasa lagi.

Tentu sekali puasa melatih diri untuk bersabar. Namun, sebagai manusia, kita mudah sangat terlupa untuk menjaga kesabaran. Mungkin kita sudah pun membunyikan hon pada kereta yang berada di hadapan kereta kita di lampu trafik pagi tadi kerana lewat sesaat untuk bergerak bila lampu bertukar hijau.

Mungkin kita sudah mengeluh apabila pemandu kereta di hadapan terpaksa membuka pintu untuk menyentuh kad 'Touch and Go'nya kerana cerminnya sudah rosak. Atau kita geram apabila kereta kita dipintas secara tiba-tiba.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, apakah kita memotong 'queue' untuk menaiki bas kerana tidak mahu menunggu lebih lama? Ataupun tidak memberi ruang bagi yang ingin keluar daripada koc komuter atau LRT sebelum kita menginjak menaikinya? Atau menghimpitkan diri ke dalam lif yang sendat kerana takut lewat memasuki pejabat sebentar tadi? Inilah cabaran kesabaran berpuasa.

Tiba awal ke pejabat kerana tidak perlu bersarapan memberi kita lebih banyak masa. Maka, tidak molek jika kita gunakan masa itu untuk membuka laman kenalan sosial, laman permainan, laman gossip artis, laman video hiburan atau segala macam laman fitnah dan ghairah seperti yang selalu kita lakukan.

Menu di bulan puasa perlu berubah kepada membuka laman al-Quran online. Boleh juga e-tadarus dengan mendengar dan mengikut bacaan dengan tujuan memperbetulkan sebutan kita. Atau membuka laman-laman hadis, soal jawab agama, blog-blog ustaz-ustaz yang tentunya mempunyai pelbagai ulasan dan bahan mengenai puasa itu sendiri. Santapan minda yang baik di bulan puasa akan menajamkan fikiran walaupun ia sedikit melayukan mata.

Tentu sekali waktu makan tengahari juga boleh digunakan untuk bersolat dengan lebih lambat dan khusyuk. Setelah itu masa yang luang boleh digunakan untuk menghafal satu surah baru daripada mana-mana juz Amma. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca surah-surah 'empat Qul' sahaja setiap kali solat sejak akil baligh hingga ke hari ini. Mudah-mudahan kita dapat menghafal satu surah pada setiap minggu.

Cabaran bazaar Ramadhan sememangnya menguja nafsu. Terdapat beratus-ratus jenis makanan. Masakan yang dibakar, digoreng, direbus, dicelur kesemuanya ada. Tidak termasuk pelbagai jenis kuih muih dan pelbagai minuman beraneka warna. Ada juga makanan yang hanya muncul setahun sekali seperti air kasira dan bubur lambuk. Kesemua ini mengancam selera.

Apakah kita mengambil sejenis kuih atau membeli selagi tangan larat menjinjing? Hingga akhirnya kesemua makanan itu akan di'petisejukkan' dengan niat hendak dihabiskan. Sedangkan apabila tiba hari esoknya, kita membeli dan membeli lagi. Jika difikirkan, seisi rumah yang berpeti sejuk tidak perlu langsung membeli makanan setiap hari, kerana percayalah, seisi rumah tidak akan kebuluran kerana peti sejuk dicipta untuk mengisi stok makanan sehingga seminggu.

Bagi yang berbuka di luar sama ada di gerai mahupun di hotel-hotel, apa yang lebih mustahak ialah untuk mengintai-intai di manakah terdapatnya surau dan tempat berwuduk. Maklumlah, menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai juga melalaikan. Lebih-lebih lagi, perut yang berat akan juga membuatkan mata menjadi berat ketika berterawih. Jika kita terlalu santai dengan berbuka dan berebut-rebut untuk bersolat, keseronokan berpuasa dalam suasana tenang telah dinodai dengan kekalutan setelah berbuka, apatah lagi untuk bertadarus.

Pendek kata, kita perlu kurangkan makan, minum dan tidur ketika berpuasa. Apa yang perlu dilebihkan ialah beribadah. Tidak molek lebih makan, lebih minum dan lebih tidur.

Berpuasa itu bukan untuk berpuas.
iluvislam.com

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan Ini KIta Mengenal Diri

 
altAda di kalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya. Kerana itu amat perlulah hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan dibaca dan diulang-ulangkan kembali –kepada diri sendiri dan kepada masyarakat- terutamanya di hujung-hujung Sya'ban ini.

Amat banyak hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;

a) Ramadhan adalah penghapus dosa

Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.;

"Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan ramadhan ke ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar". (Riwayat Imam Muslim)

b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan

Sabda Rasulullah s.a.w;

"Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; "Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)". Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan)". (Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)

c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan

Sabda Rasulullah s.a.w.;

"Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu;

  • Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya.

  • Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.

  • Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.

  • Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; "Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu".

  • Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; 'Adakah malam itu lailatul Qadar?'. Jawab Rasulullah; 'Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka".(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)

d) Malam al-Qadar

Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar". (al-Qadr: 1-5)

Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;

Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu 'Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-'Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun. Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di dalamnya malam al-Qadar.

Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; "Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya". Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama' berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.

Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya malam al-Qadar, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

Begitulah antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan Rasulullah sendiri pernah menegaskan;

"Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan". (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفَّدتِ الشَّياطينِ ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءٌ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ
 
Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/ dirantai segala Syaitan dan Jin-Jin yang sesat, ditutup segala pintu Neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu Syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; "Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)". Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api Neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan)[Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.] 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...