بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

Thursday, June 7, 2012

Apabila cinta tidak dipupuk dalam perkahwinan



PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai sebab-sebab kenapa pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku perceraian. Ada pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada persefahaman, namun ramai juga yang tercari-cari alasan.

Antara alasan atau sebab-sebab perceraian adalah: 
(1) Tiada persefahaman 
(2) Ada orang ketiga/curang 
(3) Campur tangan keluarga
(4) Kewangan 
(5) hilang kasih sayang. 

Alasan di atas bukan mengikut keutamaan. Di sini disentuh alasan pertama dan kedua.

Pasangan yang ingin bercerai sering memberi alasan tiada persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka. 

Persoalannya apakah yang menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi sebegini? 

Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka yakin bahawa perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.

Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini adalah alasan paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul bertahun lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup. 

Ketidaksefahaman ini mudah disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara contoh ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya, pembelian barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan. Ada juga pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan berkahwin.

Sebenarnya semasa bercinta, ketidaksefahaman tersebut telah ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya atau berharap ia akan hilang apabila berkahwin.

Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu, B sangat rapat dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan berkurangan apabila mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya dalam semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.

Semakin hari hubungan A dengan keluarganya semakin rapat, sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B mulai bosan dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia tidak dihargai.

A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B namun tiada siapa dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan kepada isterinya dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya sepanjang masa.

Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa berhari raya pertama di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama lima tahun namun kesabarannya juga mulai luntur.

Ada pasangan yang tidak dapat mencapai kesefahaman dalam hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti ada yang mengalah dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah atau memberi lalui kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah atau berkorban tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan perasaannya sehingga dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut kehendak suami.

Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri solehah namun ia tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas asas cinta. Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri merasa dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan menuntut haknya.

Sementara itu, alasan wujud orang ketiga atau pasangan curang adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang bercerai. Pada kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain yang menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang. Dalam kebanyakan kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang percaya suami telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.

Poligami adalah isu sensitif bagi seorang isteri maka tidak hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja mengetahui suaminya berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan kasih sayang. Maka jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa menghadapi masalah isterinya memohon cerai.
Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang juga isteri yang curang kerana telah bosan dengan suami. 

Memang dunia dah berubah. Jika dahulu pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum lelaki. Ini bermakna masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!

Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes yang stereotaip ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya suami mula mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak, di mana isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian kepada suami, terutama di pejabat.

Di sini akan bermula episod baru buat suami dan kadang-kadang isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya atau menceraikannya untuk berkahwin baru.

Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di mana setiap kali isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Ini berlaku kerana dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana mengandung yang menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.

Dalam kes seperti ini, suami akan menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan yang baru.

Tidak kurang juga isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.

Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an mahu merasa sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa saja di luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk memastikan dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda pula suka pada lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.

Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan sindrom 40-an yang mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan melalui zaman remajanya semula.

Bagi kes isteri yang curang pula, pada kebiasaannya isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia sering berlaku di kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai kekasih atau suami.

Ia juga berlaku apabila isteri merasa 'kecewa' dengan alam rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang diharapkannya atau suami terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan lelaki lain kerana dahagakan kasih sayang dan belaian.

Hari ini, isteri tidak hanya mencari pasangan untuk berlaku curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial seperti facebook dan twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari pasangan di laman sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka berani berjumpa, sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.

Isteri curang lebih sukar diperangkap kerana mereka pandai main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.


Thursday, January 26, 2012

Berkahwin bila mampu

Oleh NOOR AZIAH AWAL


PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah SAW dan juga ibadah. Ia dapat memelihara diri seseorang daripada maksiat.

Dalam hadis Nabi SAW bersabda: "Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).
Hadis ini juga menerangkan bahawa berpuasa itu adalah satu cara terbaik untuk mengawal nafsu. Selain itu, syarat berkahwin adalah kemampuan segi mental, fizikal dan material.

Namun, ramai hanya melihat hadis ini dari satu sudut iaitu perkahwinan adalah cara mengawal nafsu dan mengelak diri daripada melakukan maksiat. Perkara yang jarang sekali kita bincangkan ialah apakah cara untuk mengawal nafsu seseorang untuk mengelak daripada melakukan maksiat? Adakah kita ibu bapa pernah duduk bertanya kepada anak lelaki atau perempuan kita yang baru baligh bagaimana dia harus mengawal dirinya? Atau pernahkah berlaku sebaliknya?

Berapa ramai generasi muda hari ini yang masih tidak dapat membezakan air mani dengan air mazi? Berapa ramai juga yang teragak-agak menjawab soalan yang melibatkan hubungan seksual atau isu melibatkan perkara-perkara yang meransang nafsu sehingga hilang kawalan.

Dalam kebanyakan kes, apabila sepasang remaja yang terlanjur hingga mengakibatkannya hamil luar nikah, jalan penyelesaian yang diambil ibu bapa ialah menikahkan mereka walaupun mereka sangat muda. Lantas tidak sampai tiga bulan bercerai.

Pernikahan itu tidak menyebabkan anak yang dikandung itu menjadi sah taraf kerana ia dilahirkan kurang enam bulan qamariah dari tarikh perkahiwan ibu bapanya. Yang dilahirkan lebih enam bulan qamariah (bulan Islam yang ada kalanya 29 hari dan ada 30 hari) maka anak itu dibin atau bintikan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung.

Menurut hukum, demi kepentingan anak itu, ia adalah anak yang sahtaraf dan dinasabkan pada lelaki itu walaupun jelas anak itu dikandung melalui perzinaan.

Berbalik kepada isu perkahwinan di mana perkahwinan kerana Allah semata-mata, kerana ingin hidup dalam peliharaan Allah. Namun jika ia dilaksanakan kerana pasangan telah terlanjur atau kerana takut melakukan zina, maka keperluan bahawa yang ingin berkahwin itu mesti mampu.

Dalam keadaan telah atau akan berzina, yang jelas mereka hanya mampu dari segi fizikal dan seksual. Tetapi dari segi nafkah isteri dan anak pula telah diketepikan. Dalam beberapa keadaan perkahwinan itu hanya semata-mata ingin menutup malu.

Saya pernah bertanya kepada seorang wanita muda (19 tahun) yang kenapa dia berkahwin. Dia seorang pelajar IPT dan telah terlanjur dengan seorang lelaki yang tidak bekerja. Dia mengandung dan melahirkan anak di rumah keluarga lelaki.

Oleh kerana tidak mahu keluarganya tahu, dia telah bernikah di Thailand. Sebulan kemudian anaknya lahir. Dia duduk dengan mertua di sebuah flat di Kuala Lumpur. Dia telah mendaftarkan kelahiran anak dan memasukan nama suami sebagai bapa anak dalam butiran s13(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
Dia mendapat anak lelaki dan keluarga suami sangat gembira kerana menurut bapa mertuanya anak itu membawa tuah kerana setiap kali dia mengambil loteri atau toto atau apa saja jenis judi, dia menang.

Dia dan anak diberi makan wang daripada perjudian sedangkan lelaki yang dia nikahi tidak bekerja. Suaminya dan keluarga suami sangat sayangkan anaknya. Sehinggakan dia kadang-kadang tidak dapat memegang anaknya. Ada juga masanya suami mula bersikap garang dan memukulnya dan keluarganya membiarkan sahaja. Jadi dia datang untuk bertanya jika dia boleh mohon cerai.

Setelah lama bertanya rupanya dia berkahwin kerana telah sarat mengandung. Dia takut didakwa di mahkamah syariah kerana melahirkan anak tanpa nikah.

Lantaran tiada tempat hendak pergi dan jika dia berkahwin di Thailand kerana anak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya. Dia tidak pernah menyintai suaminya sebelum atau selepas berkahwin. Saya sangat terkejut.

"Habis kenapa kahwin dengannya? Tidakkah kamu menyintainya sehingga melakukan zina?"

Dia menjawab: "Saya sangat muda dan mudah tergoda. Mengadakan hubungan seks hanya untuk suka-suka dan mencuba. Bila mengandung, kesian pula pada anak dalam kandungan itu. Jadi saya kahwin."

Saya tanya dia lagi sama ada dia tahu bahawa berzina itu dosa besar. Dia mengangguk dan tunduk. Saya menasihatkannya untuk mendaftarkan perkahwinannya di pejabat agama terdekat.

Selepas didaftarkan, barulah dia boleh memohon cerai di mahkamah syariah di Malaysia. Dia menyatakan kerisauannya kerana suami pernah berkata yang dia boleh diceraikan tetapi tidak akan dibenarkan membawa anak bersama. Saya menerangkan bahawa anak itu adalah anak yang tak sah taraf kerana dilahirkan satu bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Benar, nama bapanya telah dimasukkan dalam sijil kelahiran tetapi dengan hanya melihat di bahagian bawah sijil itu yang menulis seksyen 13, jelas menunjukan anak itu tidak sah taraf. Menurut hukum Islam, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung.

Anak tidak sah taraf adalah milik mutlak ibunya. Ibu dan keluarga ibu yang berhak kepada anak tersebut dan wajib menanggungnya.

Wanita muda itu berkata, "Jadi suami saya tidak boleh buat apa-apa atau ambil anak ini? Kalau saya tahu saya tidak nikah dengannya. Saya nikah kerana saya ingat saya boleh jadikan anak saya anak sah taraf dengan bernikah sebelum anak lahir."

Kali ini giliran saya terkejut. Pertama kerana kecetekan ilmu agama wanita muda pelajar IPT itu. Yang kedua, dia berkahwin atas alas an yang salah. Dia berkahwin kerana takut didakwa di mahkamah syariah!

Yang jelas, walaupun anaknya itu anak tidak sah taraf dan zinanya yang bukan atas dasar cinta. Naluri keibuannya jelas menunjukkan dia sangat sayangkan anak itu. Cuma dia tidak tahu ke mana hendak pergi bersama anak itu, sedang dia masih belajar.

Wanita muda tadi adalah contoh terbaik golongan yang berkahwin tanpa mengetahui hikmah perkahwinan. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah tahu kenapa mereka ingin berkahwin. Ramai yang akan menjawab berkahwin atas dasar cinta. Ada juga yang dikahwinkan oleh ibu bapa kerana pergaulan yang terlalu bebas dan merunsingkan keluarga.

Namun bila hendak dikahwinkan, yang lelaki sama ada masih belajar, mengganggur atau baru bekerja. Duit tidak ada walau hanya untuk maharnya. Ramai juga ibu bapa anak perempuan terpaksa 'beralah' dan menerima pilihan anak perempuan mereka seadanya. Jika diminta yang bukan-bukan, mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan anak perempuannya itu telah 'diusung' ke sana ke mari. Ada ibu bapa berkongsi menyediakan persediaan perkahwinan anak-anak kerana anak tidak mampu lagi untuk berkahwin tetapi kerana takut anak-anak terlanjur, mereka dinikahkan segera.

Ada juga yang tahu anak mereka telah terlanjur tetapi tidak mengandung lagi lalu dinikahkan kerana takut kejadian berulangan. Ada juga pasangan yang datang berjumpa saya setelah 10 tahun berkahwin dan terlepas juga kata-kata suaminya: "Kami dulu dinikahkan oleh keluarga kerana kami sering keluar bersama. Sebenarnya kami belum bersedia untuk berkahwin."

Jika pasangan sering keluar berdua-duaan, masakan mereka tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau tidak bersedia berkahwin. Sedangkan hubungan telah melebihi pasangan suami isteri? Apakah yang pasangan tahu tentang cinta dan bercinta? Apakah yang dimaksudkan dengan "tidur tak lena, mandi tak basah" itu? Adakah itu semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Kenapa hari ini pasangan bercinta bertahun-tahun, berkahwin dan lepas tiga tahun bercerai. Ke mana hilangnya cinta yang diagung-agungkan itu? Atau ia semata-mata emosi yang disaluti nafsu?

Surah ar-Rum ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 1 menunjukan bahawa Allah menjanjikan kasih sayang dalam perkahwinan untuk pasangan suami isteri hidup berkasih sayang. Allah juga menjanjikan zuriat daripada hubungan kasih sayang itu. Ini adalah janji Allah SWT.

Jika kita hamba Allah yang taat dan percaya kepada-Nya, maka kita mesti bercaya bahawa jika kita berkahwin dengan niat kerana Allah, maka perkahwinan itu akan Allah rahmati denga kasih sayang berpanjangan.

Pasangan perlu yakin bahawa Allah SWT sangat pemurah lagi penyayang dan dengan rahmat-Nya, kita beroleh keberkatan perkahwinan.

Yang berlaku hari ini ialah ramai pasangan berkahwin di atas dasar 'cinta'. Sebelum berkahwin, tidak dengar suaranya tidak boleh tidur. Tidak dapat SMSnya tidak lalu makan.

Selepas berkahwin, telefon jika ada kecemasan. Ke mana hilangnya cinta? Atau cinta yang dibalut nafsu telah hilang kerana apa yang dicari telah diperoleh? Berdoalah dan pupuklah cinta selepas berkahwin dan berkahwinlah dengan niat yang betul.

Monday, October 17, 2011

Bolehkah Berkahwin Dengan Orang Bunian?

Datuk Dr Haron Din   

Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.

1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?


Halimatussaadiah
Bota, Perak


Jawapan 1

Puan,

Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya): "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T."

Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.

Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).

Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya.

Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara.

Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis).

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."

Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.

Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.

Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya):

"Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya".

Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan.

Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.

Jawapan 2

Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.

Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT.

Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?
Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Wallahu a'lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...