بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Pemarah. Show all posts
Showing posts with label Pemarah. Show all posts

Tuesday, October 8, 2013

Marah itu daripada syaitan



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah SWT 


yang bermaksud: 

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik". (Ali-Imran: 134)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya antara lain menafsirkan: "Mereka tidak melampiaskan kemarahannya kepada orang lain, tetapi sebaliknya, mereka menahannya dengan mengharap pahala di sisi Allah SWT.

Imam al-Ghazali berkata: Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.

Adapun maksud perkataan janganlah marah yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda pada hadis yang lain: 

"Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua-dua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang merasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi."

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: 

"Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang di kalangan kamu marah kamu maka hendaklah dia berwuduk."

Emosi kita harus matang lebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan salah langkah dan yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita merasa bersalah dan cemas kerananya.

Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat.

Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap sudah tentu kita akan kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman sebelumnya.

Ketidakmampuan untuk mengakui batas-batas kemampuan kita akan menjadi emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.



Monday, April 1, 2013

Mampu tahan marah, pemaaf sifat terpuji




Daripada Sulaiman bin Sard, katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi Muhammad SAW, dua orang lelaki sedang bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia berkata (baca), “aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”, hilanglah marahnya. Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Sifat marah disemarakkan syaitan 


Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT. 

Firman Allah : 

7:200
“Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200) 

Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran. 

Orang yang alim (berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati). Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam. 

Sabar, tahan marah sifat terpuji 

Daripada Muaz bin Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi) 

Allah SWT memuliakan orang yang sabar menahan marah. Menahan marah adalah sifat yang baik dan dipuji. Menahan marah dan memberi kemaafan dijanjikan ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Kekuatan jiwa dan peribadi seseorang akan terserlah dalam situasi-situasi yang mencemaskan dan boleh menimbulkan kemarahan, iaitu dengan menguasai diri dan menahan marah. Antara ganjaran Allah di akhirat terhadap hambanya yang bersifat sabar ialah bidadari syurga. 

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Monday, December 19, 2011

Individu pemarah mudah didekati, dihasut syaitan


Oleh Lokman Ismail

2011/12/19
HIDUP bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Hakikatnya, tidak ada individu yang bebas melakukan apa saja diingini kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.


Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi tidak stabil dalam diri. Sebab itu, amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia memaafkan orang lain.


Setiap hari kita sentiasa berdepan situasi menimbulkan perasaan marah. Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja. Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api.

Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim. Surah Asy-Syura, Ayat 39-40

Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya rasa marah. Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim kerana sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan dan dapat menyelamatkan daripada terjebak tindakan tidak sepatutnya.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah SWT menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 132) 

Orang yang bersifat pemaaf tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan perkara menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif. 

Sifat itu memberi keyakinan bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah SWT. Biarlah Allah SWT yang menentukan balasan terhadap apa dilakukan orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang serta bermuhasabah diri untuk menilai apa yang berlaku. 

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika memberi kemaafan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak daripada melakukan kezaliman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.”(Surah Asy-Syura, ayat 39-40) 

Melakukan kebaikan kepada seseorang tidak seharusnya terhenti disebabkan satu kesilapan dilakukan olehnya. Ada banyak kes keretakan hubungan keluarga, sahabat dan rakan sekerja terputus semata-mata disebabkan satu kesalahan kecil. 

Mereka yang tidak mahu memaafkan dan suka beradu kekuatan boleh disamakan seperti haiwan. Sifat haiwan tidak mahu mengaku kalah untuk mendapat apa yang diingini tanpa belas kasihan kepada lawannya. 

Perasaan dendam dan curiga yang terus menguasai diri mudah bertukar menjadi tindakan lebih buruk jika tercetusnya percikan api kemarahan. Syaitan sentiasa memainkan peranan menimbulkan suasana lebih buruk. Godaan syaitan sukar ditepis jika iman lemah. 

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: “Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memainkan hati mereka seperti sebiji bola.”

Sebab itu Islam menganjurkan agar saling memaafkan. Melaluinya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Hidup tanpa marah dan dendam adalah nikmat kebebasan hidup yang sebenar.

Sifat memaafkan dianggap mudah kerana ia berada dalam diri kita sendiri. Kita menentukan sifat pemaaf atau sifat pendendam. Jadilah insan dalam hatinya penuh dengan bungaan kemaafan yang sentiasa segar. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...