بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Valentine. Show all posts
Showing posts with label Valentine. Show all posts

Sunday, February 12, 2012

Hindar amalan bidaah Hari Kekasih lahirkan rasa cinta

Oleh Fadlan Mohd Othman


2012/02/12

ISLAM ialah agama yang menjaga fitrah dan naluri manusia. Segala amalan yang disyariatkan memenuhi tuntutan zahir dan batin manusia. Antara perkara yang ditekankan oleh Islam ialah cinta, sifat penting dalam kehidupan dan peradaban manusia. 


Cinta juga menjadi antara faktor kelangsungan generasi manusia. Apa yang pasti, ia berbeza tingkat dan lapisannya. Ada cinta terhadap Allah, Rasulullah, Islam, ibu dan bapa, anak dan cucu, pasangan suami atau isteri, sahabat, bahkan terhadap binatang dan alam sekitar.



Bagaimanapun, cinta orang beriman terhadap Allah adalah cinta suci yang tiada bersyarat. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 165, yang bermaksud: “Ada juga antara manusia yang mengambil selain Allah untuk menjadi sekutu Allah, mereka mencintainya, memuja dan mentaatinya seperti mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih cinta dan taat kepada Allah.”


Cinta orang beriman terhadap Allah lebih hebat daripada cinta orang tidak beriman terhadap Allah. Cinta orang kafir dibahagi antara Tuhan dan berhala sembahannya, tidak seperti orang beriman yang semata-mata kepada Allah. 


Begitulah sepatutnya cinta mukmin terhadap penciptanya. Namun, Iblis penghulu segala syaitan menyatakan tekadnya di hadapan Allah akan mengganggu anak Adam. 


Ikrar Iblis dirakamkan al-Quran, Surah al-A’raf ayat 16 dan 17 bermaksud: “Iblis berkata, oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat, maka aku akan mengambil tempat menghalangi mereka daripada jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. 


Kerja keras syaitan ini berhasil dengan dua bentuk kelemahan manusia. Pertama, lemah ilmu, manakala kedua kelemahan pegangan diri. Al-Imam Ibnul Qayyim menjelaskan dalam karya agungnya, Zadul Ma’ad bahawa setiap mukmin wajib memerangi syaitan yang menabur syubuhat dan syahwat. 


Syubuhat bererti ideologi 
terseleweng, maka caranya ialah menimba ilmu mengenai kebaikan untuk diamalkan, di samping menimba ilmu mengenai keburukan agar dapat ia dihindari. Syahwat pula bererti hawa nafsu. Caranya dengan menanam keyakinan terhadap segala janji baik Allah bagi hamba-Nya yang berjaya mengekang kebuasan nafsu. 
Melihat kepada kalendar Masihi, akan muncul Hari Kekasih pada 14 Februari. 



Berdasarkan penerangan ringkas sebentar tadi, dapatlah ditegaskan menyambut Hari Kekasih sesuatu yang menyalahi Islam, bidaah lagi mungkar. 


Dari sudut ilmu, kita dapati Hari Kekasih bukan perayaan umat Islam, tetapi untuk kaum Nasrani atau Kristian. Seorang paderi bernama Valentine dibunuh lalu hari pembunuhannya itu dijadikan Hari Kekasih. Ia dijadikan hari untuk melahirkan cinta pasangan kekasih dengan pemberian hadiah dan seumpamanya. 


Apabila kita mengetahui Hari Kekasih bukan untuk umat Islam, adalah wajar kita menjauhinya. Jika ada yang pernah menyambutnya, mohon keampunan daripada Allah dan bertekadlah untuk tidak mengulanginya pada tahun ini. Semoga dengan taubat nasuha, keburukan dan maksiat yang pernah kita buat diampunkan Allah, bahkan diubah menjadi ganjaran kebaikan. 


Kedua, dari sudut hawa nafsu. Jika benar seseorang cinta kekasihnya, maka lihatlah adakah ekspresi cinta itu menepati keredaan Allah atau hanya mengundang kemurkaan-Nya? Jika pasangan belum berkahwin, cara terbaik melahirkan cinta ialah dengan berkahwin. Jika pasangan sudah berkahwin, cara terbaik ialah saling memberi hadiah dari semasa ke semasa. Mengapa perlu dikhususkan 14 Februari, sedangkan kita mempunyai hari lain yang tiada keraguan padanya. Janganlah perbuatan manusia yang diutamakan, akan tetapi utamakanlah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. 


Ingatlah wahai saudaraku ketinggian cinta terhadap Allah akan diuji dengan melihat tahap ikutan seseorang mukmin terhadap Rasulullah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu.” 

Awas Jerat Valentine


Jakim,
11 Feb 2012
Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Daysebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya  sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar  mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama:          ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua:            umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga:            menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat:         menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima:            meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:

Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Artikel di atas adalah petikan khutbah Jumaat pada 10 Februari 2012 yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...