Showing posts with label Rumah Perlis. Show all posts
Showing posts with label Rumah Perlis. Show all posts

Tuesday, 1 September 2026

Burung Pungguk Betemak Biasa (Brown Boobook)

Hari ini Selasa, hari lori sampah datang kutip sampah di tempat kami. Saya keluar buang sampah di tong sampah luar dah agak lewat, jam sudah melepasi pukul 10 pagi. Laju saya berjalan ke arah tong sampah sambil mata memerhati sekitar. Pernah sekali, seekor ular muncul di balik rumput berhampiran tong sampah. Saya perlu berhati-hati.

Pandangan saya kemudiannya terarah ke bahagian atas pokok belimbing berhampiran tong sampah. Ada seekor burung di dahan pokok. Eh, bukan burung yang biasa saya nampak. Burung ni tak terbang lari. Apa lagi, cepat-cepat saya balik rumah dan ambil telefon. Peluang baik tak datang selalu!

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Si burung masih di situ, di atas dahan pokok belimbing.

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Sejenis burung hantu, saiz sederhana - tak kecil, tak besar.

Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Tajam matanya merenung saya.
Tak pastilah si burung memang benar-benar melihat saya atau ada penjelasan lain.

Info burung :
Nama Inggeris : Brown Boobook / Brown Hawk-Owl
Nama saintifik : Ninox scutulata
Nama tempatan : Pungguk betemak biasa / burung hantu betemak

Ohh, barulah saya tahu bahawa burung pungguk merupakan spesis burung hantu. Peribahasa ‘Bagai pungguk rindukan bulan’ sedap bunyinya kan. Kalau tukar nama burung - burung hantu, tentu dah tak sedap nak sebut 😅


Video pendek yang sempat saya rakam.

Alhamdulillah…rasa seronok dapat memotret dan mengenali burung yang ada di persekitaran saya ni. Suatu masa nanti, semua ini akan menjadi kenangan sepanjang saya menetap di bumi Perlis nan permai.










Thursday, 27 August 2026

Bukan Rezeki Saya, Tapi Rezeki…

Petang semalam, saya terdengar sedikit kekecohan di luar rumah. Tak begitu kuat, tetapi ada bunyi yang asing. Saya tak ambil peduli sebab petang sebelumnya pun ada bunyi benda diketuk di luar rumah, bila diperiksa rupa-rupanya si burung raja udang sedang menghempas sesuatu di paruhnya. Kedudukannya di tepi kolam ikan puyu, entah anak ikan puyu yang dimakannya atau hidupan lain yang menjadi penghuni kolam poly tank.

Agak lama selepas itu, menerusi tingkap dapur saya ternampak seekor monyet sedang duduk bersandar di tiang lampu solar - sedang menikmati sesuatu di tangannya. Terus terfikir…terung aku! Saya pandang pokok terung yang terletak berhampiran. Sah!

Beberapa ekor monyet yang lain pula sedang sibuk makan buah nona yang masih muda berwarna hijau. Teringat pula beberapa pasang kasut yang sedang dijemur di luar. Alamak! Apa lagi, terjerit-jeritlah saya dari dalam rumah menghalau kumpulan monyet. Bila nampak monyet-monyet dah mula beredar, barulah saya berani keluar halau supaya lebih jauh lagi. Kalau dikira-kira, ada lebih 10 ekor monyet semuanya.

Beginilah rupa dua biji terung yang menjadi rezeki monyet…

Nampak macam kesan dipatahkan.

Tak cukup sebiji, makan lagi sebiji terung.

Pandai monyet ni makan, ambil isi je. 

Buah terung ni masih kecil, belum cukup sesuai dituai. Hampir setiap hari saya belek, menunggu masa untuk menuai. Nampaknya hasil pokok terung kali ini bukan rezeki saya, tapi rezeki monyet.

Sepanjang menanam pokok terung, ini merupakan pengalaman pertama terung saya dimakan monyet. Syukurlah kumpulan monyet tadi hanya makan hasil tanaman, tak buat kerosakan lain atau ambil kasut saya.







Wednesday, 8 July 2026

Eksperimen Potong Daun Rain Lily : Hasilnya Sangat Puas Hati!

Dalam entri Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat! saya ceritakan berkenaan rain lily berbunga lebat setelah hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat saya. Selepas itu, ia hanya berbunga sedikit saja sekitar beberapa kuntum pada satu masa. 

Hasil carian internet mendapati - antara cara supaya rain lily berbunga lebat adalah dengan memotong atau memangkas daunnya. Betulkah? Jomlah kita buat eksperimen.

Rain Lily
11 Jun 2026 | Beginilah rupa tanaman rain lily saya - rimbun daunnya. Kalau tak kenal rain lily, sekali pandang macam daun kucai.

Rain Lily
Jomlah kita potong daun yang rimbun. Saya potong tak terlalu pendek, agak-agak jelah. Tujuan kita potong daun supaya merangsang pengeluaran bunga yang lebat.

Selepas itu buat penjagaan macam biasa - siraman yang banyak seperti curahan hujan dan sesekali letak baja. Selain itu - cahaya matahari penuh diperlukan bagi pokok mengeluarkan bunga.

Hasilnya…

Rain Lily
7 Julai 2026 | Alhamdulillah…rain lily berbunga lebat! Sebenarnya, sejak hari sebelumnya ia sudah mulai berbunga tetapi masih ada bunga yang belum kembang. Foto saya ambil setelah semua bunga berkembang.

Rain Lily
Perhatikan warna bunga - warna pink pekat adalah bunga yang baru berkembang, manakala warna pink cair kembang lebih awal. Warna pink pada bunga akan semakin memudar sebelum bunganya layu dan kering.

Jadinya, berapa lama masa diambil bermula potong daun sehingga bunganya berkembang? Hasil eksperimen saya - proses ini mengambil masa sekitar 25 hari. Agak lama juga, tapi ia usaha yang berbaloi kerana kita dapat menyaksikan rain lily berbunga secara serentak - lebih cantik dipandang mata.







Sunday, 21 June 2026

Bunga Ros Oren Diserang Ulat

Ini merupakan pengalaman pertama saya tanam pokok bunga ros di halaman rumah. Pokoknya saya beli di sebuah nurseri pokok di Sungai Petani, Kedah pada bulan Januari lalu. Kata penjual, ia pokok ros jenis tahan panas - sesuailah dengan cuaca di utara tanah air.

Bawa ke rumah Perlis, saya letak di tempat yang terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari pagi dan petang. Selepas bunga sedia ada mulai kering dan dicantas, tiada bunga baru yang muncul. Panas sangat agaknya, masa tu Perlis sedang mengalami musim panas kering - kemarau tanpa curahan hujan. Jadi Encik Suami alihkan pasunya ke tempat yang sedikit teduh - masih kena matahari pagi.

Alhamdulillah pada bulan Mac, pokok ros ini kembali berbunga! Bunganya sentiasa ada. Kadang muncul dua kuntum, kadang meriah sehingga empat kuntum sekali berbunga. Senang hati sungguh saya setiap kali membelek bunga di laman.

Bunga ros oren
Bunga ros dengan warna oren terang.

Bunga ros oren
Wangi baunya! Terapi mata dan jiwa saya.
.
.
.
.
.
Tapi sayang, semua keindahan ini tak kekal lama. Beberapa hari lalu, saya dapati bunga ros telah diserang ulat! Kelopak bunga ros yang baru mula berkembang sudah pun berlubang dan ada ulat.

Bunga Ros Oren Diserang Ulat
Berlubang kelopak bunga ros yang cantik ni dikerjakan dek ulat. Sekuntum bunga yang belum berkembang juga nampaknya sudah berlubang tanda sudah diserang ulat.

Tindakan saya - cantas dahan pokok bunga yang sudah diserang ulat dan sembur racun. Saya gunakan racun organik Mr Ganick Dr Neem. Harapnya usaha saya ni berkesan, moga kuntuman bunga ros seterusnya mekar cantik bebas serangan ulat.

Kalian ada pengalaman serupa? Bolehlah kongsikan dengan saya cara mengatasi masalah begini.







Wednesday, 20 May 2026

Keladi Bunting / Water Hyacinth

Sejak bulan Januari lalu, Encik Suami letak beberapa pokok Keladi Bunting dalam kolam ikan puyu. Kami panggil kolam walaupun sebenarnya ia cuma tong hitam (poly tank) bersaiz sederhana. Ikan puyu tu pula, Encik Suami cuma suka membela sebagai hobi tapi tak makan pun - ada kisahnya (semasa zaman kanak-kanak) yang membuatkan Encik Suami tak makan spesis ikan air tawar sehingga hari ini 😄

Pada mulanya, pembiakan pokok Keladi Bunting nampak perlahan. Pertumbuhannya juga nampak kurang baik - daunnya kecil dan tak pernah mengeluarkan bunga. Ketika itu, Perlis mengalami musim panas dan kemarau yang berlarutan berbulan lamanya sejak Disember 2025. Boleh rujuk entri INI.

Mulai bulan ini, musim hujan pula melanda. Sejak minggu lepas, setiap hari hujan membasahi bumi - kadang lebat, kadang gerimis. Langit mendung, jarang saya dapat melihat cahaya matahari terik. Kesannya, rumput yang dulu kuning kering dengan cepat kembali tinggi menghijau dan pokok-pokok kembali segar.

Pokok Keladi Bunting juga mula membiak dengan pantas.

Keladi Bunting / Water Hyacinth
Sekejap saja Keladi Bunting sudah memenuhi permukaan kolam. Daun pokok juga jadi lebih lebar, besar dan nampak segar. Bunga cantik pun muncul.

Rupa-rupanya, ada perbezaan pada pokok spesis tumbuhan air apabila cuaca panas kering (musim kemarau) dengan cuaca panas lembab (musim hujan).

Keladi Bunting / Water Hyacinth
Masya Allah cantik! Terapi mata dan jiwa.

Keladi Bunting / Water Hyacinth
Bunganya berwarna ungu lembut dengan satu kelopak mempunyai tompokan warna kuning dan ungu kebiruan. Bunga cantik ini mempunyai jangka hayat singkat - ia mekar cuma satu hari.

Info ringkas pokok Keladi Bunting :
  • Nama inggeris - water hyacinth.
  • Nama saintifik - eichhornia crassipes.
  • Tumbuhan air yang berasal dari Amerika Syarikat, khususnya dari lembangan Sungai Amazon.
  • Sangat pantas membiak menutupi permukaan air - boleh menjejaskan oksigen dalam air dan menghalang sinar matahari.
  • Bunganya yang cantik sesuai sebagai tumbuhan hiasan taman, tetapi mendatangkan masalah jika pembiakannya tidak terkawal seperti di tasik dan sungai.

Oleh kerana pokok Keladi Bunting membiak dengan cepat pada musim panas lembab, maka keraplah Encik Suami keluarkan sebahagian pokok supaya ia tidak menutupi permukaan kolam. Sesekali ada juga jiran datang ambil untuk beri makan ikan puyu yang dibelanya. Entah kenapa, ikan puyu kami tak mahu pula makan pokok Keladi Bunting ni.







Monday, 6 April 2026

Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat!

Sebelum ini saya tanam pokok rain lily id Rosea Pink dalam pasu kecil. Jadinya bila berbunga tidaklah nampak meriah - setakat beberapa kuntum je. Beberapa bulan lepas, saya minta Encik Suami pindahkan semuanya tanam dalam bekas lebih besar dan letak di sudut laluan menuju ke rumah.

Sesekali saya letak baja, kerja menyiram pula dilakukan secara bersama - kadang saya siram, kadang Encik Suami.

Lama-kelamaan pokok rain lily membiak memenuhi bekas tanaman, tapi masih tak berbunga. Sehinggalah turun hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat kami, beberapa hari selepas itu muncul kudup bunga.

Kelmarin 4 April, bunga rain lily Rosea Pink sudah pun berkembang sepenuhnya. Seronok sungguh tengok rain lily berbunga lebat! Hati saya ikut berbunga-bunga setiap kali memandang luar rumah nampak bunga pink.

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Rain Lily Rosea Pink

Alhamdulillah. Terima kasih Allah 🥰







Monday, 30 March 2026

Burung Takur Kukup - Ular Terbang - Kemarau Berakhir

RABU, 25 MAC 2026 | BURUNG TAKUR KUKUP (LINEATED BARBET)

Morning walk pertama selepas berakhirnya Ramadan - saya berjalan santai menikmati alam di sekitar kawasan rumah. Memerhati langit biru bersih tanpa awan, rumput kering kekuningan dek kemarau panjang dan burung-burung berterbangan mencari makan.

Tiba-tiba mata saya terpandang seekor burung berwarna hijau bertenggek di kabel letrik. Bukan burung hijau yang pernah saya lihat, rupanya berbeza. Segera saya halakan lensa kamera telefon, dapatlah beberapa keping foto sebelum ia terbang menghilang.

Burung Takur Kukup - Lineated Barbet
Satu-satunya foto paling jelas yang berjaya saya rakam.

Hasil carian saya mendapati si cantik dengan bulu badan berwarna hijau dan paruh besar ini merupakan burung takur kukup.
Nama burung : Takur Kukup
Nama Inggeris : Lineated Barbet
Nama saintifik : Psilopogon Lineatus
Burung Takur Kukup - Lineated Barbet
Foto oleh Kow Hao Rui.
Saya sertakan foto lebih jelas burung takur kukup sebagai rujukan.


JUMAAT, 27 MAC 2026 | ULAR TERBANG (CHRYSOPELEA ORNATA)

Ketika itu waktu pagi, saya sedang melakukan kerja mengemas dan membersihkan ruang tamu. Tergerak hati nak menjenguk ke luar rumah. Saya selak sedikit bidai tingkap, nampak Jojo si anak bulu sedang berada di dalam longkang kecil tepi rumah. Oklah, tiada apa yang pelik - Jojo dalam longkang kecil yang kering.

Tapi, eh…Jojo nampaknya sedang tunduk fokus memerhati sesuatu. Segera saya selak kembali bidai tingkap. Ya Allah, rupa-rupanya Jojo sedang memerhatikan seekor ular!

Ilustrasi janaan ChatGPT. Sebetulnya, longkang kecil tersebut kering sebab masa ni musim kemarau dan Jojo turut berada bersama ular di dalam longkang. Paling mengejutkan, bukan setakat memerhati tetapi Jojo berlawan dengan ular!

Segera saya hubungi Encik Suami - minta cepat balik rumah. Saya juga segera keluar rumah. Saya terpaksa beranikan diri menghampiri ular dan angkat Jojo. Jojo meronta dan terlepas dari pegangan saya. Apa lagi, sambung berlawan! Sekali lagi saya angkat Jojo, saya peluk lebih kuat.

Tengah berdebar, lalu pula seekor lipan berhampiran saya. Ya Allah! Mujurlah saiznya sederhana besar. Saya abaikan lipan tersebut sebab perlu fokus pada pergerakan ular dan memegang Jojo.

Ular terbang Golden Tree Snake (Chrysopelea ornata)
Hasil foto zoom-in ular terbang.
Jojo nampak lebih tenang, dapatlah saya merakam beberapa keping foto ular tersebut yang sedang menjalar di dinding. Fuh! Pertama kali saya menyaksikan ular memanjat dinding. Saya rasa takut, juga rasa kagum memerhati corak dan warna ular - cantik kombinasi warna hitam kuning.

Tak lama kemudian Encik Suami tiba - ambil ular guna pengepit panjang dan bawa ke sudut yang jauh dari rumah. Ular cantik biasanya berbisa, jadi Encik Suami nak bunuh je tapi ular tersebut berjaya melepaskan diri.

Carian saya mendapati, ini merupakan sejenis ular terbang. Uish…kalau tahu ular ni boleh terbang, bertambah takut saya tadi 😅
Nama ular : Ular terbang / ular pokok emas
Nama Inggeris : Golden tree snake
Nama saintifik : Chrysopelea ornata

Sebenarnya, ia bukanlah boleh terbang tetapi berkemampuan meluncurkan badan seperti terbang. Ular ini kategori berbisa ringan - tidak berbahaya kepada manusia tetapi mungkin berbahaya kepada kucing. Ia aktif di waktu siang dan memburu haiwan kecil (contoh - cicak, katak) sebagai sumber makanan.

Kalau nak tengok lebih jelas rupa ular terbang yang saya temui ini, boleh saksikan video perkongsian oleh Azamuddeen Nasir di Facebook Astronomi & Sains - klik DI SINI.


AHAD, 29 MAC 2026 | KEMARAU BERAKHIR

Alhamdulillah setelah lebih 100 hari kemarau melanda, petang hari Ahad menyaksikan hujan lebat membasahi bumi. Ia selari dengan ramalan cuaca (yang menjangkakan mulai petang semalam dan hari seterusnya hujan akan turun) dan pengalaman tahun lepas (hujan lebat pada penghujung April mengakhiri musim kemarau).

Teruja saya mendengar bunyi hujan juga bunyi guruh. Ianya nikmat yang dikembalikan. Saya berdiri di luar rumah memerhati titisan hujan yang jatuh, longkang kecil tepi rumah yang sekejap saja dipenuhi air hujan dan menikmati tempias hujan.

Tak lama lagi hamparan rumput kering kuning akan bertukar menjadi hijau. Selamat tinggal musim panas kering, selamat datang musim panas lembab. Setiap musim ada cerita dan ada keunikan tersendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah 💙







Thursday, 19 March 2026

Ramadan Bakal Pergi Meninggalkan Kita

Entri saya yang terakhir di bulan Ramadan, saya himpunkan beberapa catatan terpilih. Sebenarnya banyak perkara nak dicatat, tapi saya kurang stamina berblog. Tengoklah jumlah entri bulan ni, boleh kira dengan jari je 😄


⏵ KEMARAU DAN CUACA PANAS TAHAP 1 (BERJAGA-JAGA)
Keseluruhan Perlis terutamanya di tempat tinggal saya (pemegang rekod titik paling panas di Malaysia), masih lagi mengalami keadaan kemarau dan cuaca panas dengan status terkini berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga). Selain Perlis, terdapat beberapa kawasan di Kedah turut berada pada Tahap 1.
Tahap 1 Berjaga-jaga | Suhu maksimum harian 35 - 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut.
Foto pagi ini 19 Mac 2026. Rumput di sekeliling rumah saya sudah berbulan kering kekuningan begini. Daun-daun kering yang jatuh dari pokok juga sangat banyak, tak larat saya nak menyapu dalam keadaan berpuasa dan cuaca panas.

Sejak penghujung tahun lepas, hanya beberapa kali hujan turun di kawasan rumah saya. Itu pun cuma ‘hujan lalu’ orang kata, bukanlah hujan lebat. 

Rakaman foto pada 8 Mac 2026. Kebakaran belukar menjadi perkara biasa ketika musim begini - gabungan rumput belukar kering, cuaca panas melampau dan angin kuat menjadi pencetus kebakaran.

Juga tidak menolak kemungkinan faktor manusia menjadi pencetus kebakaran - mungkin puntung rokok atau entah apa yang dicampak ke kawasan belukar, sama ada tidak sengaja atau dengan niat tertentu (yang ini kena sembang depan mata, tak sesuai ditulis secara terbuka).

Kalau dulu saya gerun menyaksikan julangan api dan bunyi deraknya, tapi setelah masuk tahun ketiga ‘acara kebakaran’ ini berlaku maka saya jadi terbiasa. Kalau kalian ke sesetengah kawasan di Kedah dan Perlis ketika ini, dapatlah menyaksikan sendiri kesan kebakaran di tepi-tepi jalan dan kawasan belukar.

Rekod suhu semalam pada 18 Mac 2026, pukul 3.36 petang. Suhu 36 darjah Celsius, feels like 41 darjah Celsius. Keluar rumah sekejap je pun terasa perit kulit dan berbahang. Entah bagaimana mereka yang perlu bekerja di luar dalam keadaan berpuasa.


⏵ BERBUKA PUASA DI HOTEL SERI MALAYSIA, KANGAR
Kelmarin 17 Mac 2026 - buat pertama kali dalam hidup, saya berbuka puasa di hotel. Ini juga merupakan kali pertama saya berbuka di luar pada Ramadan kali ini. Saya kurang berminat berbuka di hotel sebab saya berbuka ringkas je sekadar satu dua jenis makanan, rasa tak berbaloi ambil pakej bufet. Kali ini saya pergi juga bagi memenuhi ajakan Encik Suami bersama kawan-kawan sekerja.

Hotel ini menyediakan cabutan bertuah bagi pengunjung yang hadir. Kejutan sungguh, bila salah seorang daripada kami berjaya mendapat hadiah utama iaitu pakej umrah dan ziarah Istanbul tajaan Andalusia Travel. Wow! Alhamdulillah rezeki Ramadan buat Encik S.


⏵ BERBUKA PUASA DI NGOPI KANGAR
Semalam 18 Mac 2026 - selepas Encik Suami balik dari kerja, kami ke bandar Kangar untuk ambil pakaian di kedai alteration dan ke rumah adik ipar ambil kiriman barang yang nak dibawa balik Johor. Adik ipar balik lewat sikit, beraya di Perlis dulu.

Kami berbuka di Ngopi. Sepanjang Ramadan biasanya kami jarang makan nasi berlauk, maka hidangan begini mencukupi buat kami.


⏵ TARAWIH DI MASJID TUANKU SYED FAIZUDDIN, KUALA PERLIS
Selesai berbuka, kami menuju ke Kuala Perlis. Cadangan awal nak bertarawih di Masjid Alwi, Kangar tetapi kami tukar fikiran - kami ke ‘masjid gula-gula’ (panggilan saya untuk masjid ini kerana rupa kubahnya).

Sama seperti situasi di masjid lain di negeri ini - suasana solat tarawih terasa lebih tenang tanpa bacaan khusus antara rakaat solat tarawih. Juga tiada bacaan zikir dan doa oleh imam selepas solat fardu dan solat tarawih. Jemaah bebas berzikir dan berdoa sendiri. Sunyi dan tenang. Saya suka amalan begini.

Selesai solat witir, masing-masing berdoa sendiri dan bersalaman. Selepas itu seorang wakil masjid bangun memberi makluman berkenaan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal nanti - solat akan dilakukan pada pukul 8 pagi di dataran masjid, perlu bawa sejadah sendiri kerana hanya tikar akan dibentangkan.


⏵ KANGAR JAYA SESAK!

Dalam perjalanan balik rumah, kami singgah di Kangar Jaya - sebuah kawasan perniagaan baharu di Kangar yang menempatkan pelbagai perniagaan termasuk Kangar Jaya Mall. Pertama kali saya menyaksikan kesesakan teruk di Perlis 😄. Maklumlah, ramai yang dah pulang ke kampung halaman.


⏵ KUIH RAYA 

Meneruskan tradisi sejak dahulu, saya tak buat kuih raya sendiri 😄. Kali ini tempah dengan jiran tiga jenis kuih raya tradisional - tart nanas, semperit dan mazola. Setiap jenis harganya RM15/bekas. 

InsyaAllah esok awal pagi kami bergerak balik ke Johor, tapi kalau ditakdirkan esok 1 Syawal maka kami akan bergerak setelah selesai solat sunat Aidilfitri. 







Thursday, 5 February 2026

Pokok Terung Berbuah Sulung

Kejutan selepas pulang dari kampung halaman di Johor - pokok terung saya mengeluarkan buah pertama! Saya sangkakan tak menjadi, sebab sebelum balik kampung (hari Jumaat) saya belek bunga terung macam layu kering. Jadinya saya tak menaruh harapan tinggi.

Sepanjang tiada di rumah, saya minta jiran tolong siramkan pokok sehari dua kali. Sekarang ni tempat saya sedang dilanda kemarau dan cuaca panas - masih belum ada hujan turun pada tahun ini, sebab tu saya perlu pastikan pokok disiram air secukupnya.

Sampai rumah hari Isnin sudah pun lewat malam, memang tak belek pokoklah. Esoknya Selasa awal pagi kami keluar seharian selesaikan urusan di Sungai Petani, tak sempat belek pokok. Hari Rabu (semalam) barulah saya sempat siram sendiri pokok. Terkejut saya bila nampak buah terung dah pun besar!

Foto bertarikh 5 Februari 2026.
Entah bila masa pokok ini mula berbuah. Saya tinggalkan selama lima hari, memang terkejutlah bila tengok buah dah pun besar. Saya tanam dua pokok dalam satu bekas tanaman, Alhamdulillah setiap pokok berjaya menghasilkan buah terung sulung.

Bahagia sungguh dapat pegang terung hasil pertama kali tanam sendiri.
Terima kasih Allah 💙


Untuk rekod :
2 November 2025 - semai benih terung.
19 Januari 2026 - muncul tunas bunga terung pertama.
Sekitar hujung Januari sehingga awal Februari 2026 - muncul buah pertama!

Oh ya, saya tanam ni jenis terung panjang. Biji benih jenama Baba.







Friday, 23 January 2026

بوڠا تروڠ

Boleh baca tajuk entri dalam tulisan Jawi di atas? Saya buat tajuk tulisan Jawi supaya bolehlah kita sama-sama belajar menulis dan membaca tulisan Jawi walaupun cuma dua patah perkataan. Bila dah lama tinggalkan alam persekolahan, maka penguasaan tulisan Jawi yang merupakan identiti bangsa Melayu kian menghilang.

Berbalik kepada tajuk entri. Pada 2 November 2025, Encik Suami semai empat biji benih pokok terung. Hasilnya, hanya dua biji benih saja tumbuh dan membesar. Bab penjagaan pokok pula menjadi tugas saya - siram, baja dan semburan racun serangga organik.

Bunga terung
19 Januari 2026 - kemunculan tunas bunga terung yang pertama. Alhamdulillah! Seronok dan teruja walau cuma tunas bunga je, bukan buahnya pun. Maklumlah, ini merupakan pengalaman pertama saya menanam pokok terung 😄

Encik Suami kata, sebaik saja keluar bunga kita kena buang daun besar di bahagian bawah pokok - bertujuan supaya nutrisi fokus kepada buah. 

Bunga terung
Esoknya, muncul sekuntum bunga berwarna ungu. Cantik!

Bunga terung
Kuntum bunga terung yang menjadi harapan - moga tak gugur dan jadi buah terung pertama.

Bunga terung
23 Januari 2026 - Alhamdulillah muncul lebih banyak bunga terung di kedua-dua pokok. Saya tak asingkan pokok yang tumbuh selepas disemai, jadinya ada dua pokok terung dalam satu bekas tanaman. Kalau dapat asingkan lebih bagus - supaya cukup ruang dan nutrisi bagi setiap pokok.

Pokok terung
Beginilah rupa pokok terung saya. Rakaman foto pagi tadi.

Semoga Allah kurniakan rezeki untuk saya merasa terung tanam sendiri. Saya tanam terung bukanlah sebab nak berjimat sangat (ahli keluarga cuma berdua), tapi lebih kepada nak mengisi hidup dengan pengalaman baharu dan kepuasan menikmati hasil tanam sendiri.

Ada yang pernah tanam pokok terung? Mudah saja atau susah keluar hasilnya ya?







Wednesday, 14 January 2026

Jalan-jalan Menikmati Keindahan Pagi

Catatan hari Ahad, 11 Januari 2026.

Morning walk pertama saya bersama Encik Suami pada tahun 2026. Bila ada peneman, bolehlah saya berjalan lebih jauh.

Data dari Samsung Galaxy Watch. Kami berjalan santai, banyak kali saya berhenti bagi memerhati dan memotret itu ini. Syukurlah dikurniakan suami yang memahami, sabar je bila saya tiba-tiba tak meneruskan langkah dan mula halakan lensa kamera telefon ke arah subjek.

Hasil foto yang sempat saya rakam :

Pukul 7.40 pagi - menyaksikan keindahan matahari terbit di sebalik bukit. Masya Allah cantik sangat dilihat depan mata. Nampak besar saiz matahari, ia muncul sedikit demi sedikit sehingga kelihatan sepenuhnya.

Matahari terbit lewat sekarang ni, waktu syuruk di sini sekitar pukul 7.30 pagi. Foto di atas nampak suasana sangat gelap disebabkan faktor pencahayaan, saya zoom-in bagi mendapatkan foto matahari yang jelas.

Deretan pokok yang menarik perhatian saya kerana ia jelas menunjukkan perubahan mengikut musim. Sebelum ini daun pokok berwarna hijau segar merimbun, tetapi kini daunnya bertukar warna coklat perang dan banyak yang luruh.

Perlis kini sedang mengalami musim angin timur - cuaca panas, kering (kurang atau tiada hujan) dan tiupan angin kencang. Rumput belukar mulai kering dan mudah terbakar. Kejadian kebakaran terbuka yang pertama berlaku berhampiran kawasan tempat tinggal saya direkodkan pada petang hari Rabu, 7 Januari 2026 lalu. Dan sekarang ketika entri ini dihasilkan, sedang berlaku satu lagi kebakaran yang membawa bau asap masuk ke rumah dan menurunkan ‘salji hitam’ iaitu debu kebakaran di luar rumah.

Bacaan lanjut berkenaan situasi ini dan pengalaman saya pada tahun 2024 DI SINI. Semoga musim angin timur kali ini cuaca panas dan kering tidak ekstrem seperti tahun 2024.

Saya mendongak ke langit, rupa-rupanya bulan masih belum bersembunyi. Pukul 8 pagi, ia masih mahu menjadi penyeri alam. Kebetulan pula sebuah pesawat sedang melintasi ruang udara di sini, bolehlah berfoto dengan sang bulan separa.

Pandang pula semak belukar tepi jalan, nampak si cantik berwarna biru ungu tumbuh melata.

Bunga seri pagi (morning glory).

Masya Allah kembang cantik! Jarang saya nampak bunga seri pagi warna begini.

Saya rasa bahagia dapat memerhatikan dan menikmati keindahan pagi. Suasananya juga nyaman sejuk. Tapi tak boleh berlama, selepas tu cuaca bertukar panas terik.

Terima kasih Allah 💙







Thursday, 1 January 2026

Catatan Pertama di Tahun 2026

Hari ini 1 Januari sepatutnya bukan cuti umum bagi negeri Perlis, tetapi semalam Menteri Besar yang baru dilantik mengumumkan 1 Januari 2026 sebagai Cuti Peristiwa. Dapatlah Encik Suami cuti kerja.

Tiada apa yang istimewa saya lakukan pada hari ini, jujurnya saya sendiri tak terasa tibanya tahun baru. Malam tahun baru di kawasan tempat saya tinggal ini berlalu seperti malam-malam yang sebelumnya - hanya kedengaran bunyi cengkerik juga serangga lain yang aktif di waktu malam. Sunyi dan tenang. Menjelang tengah malam, kedengaran sayup bunyi mercun dari negara jiran. Itu sajalah kebisingan malam tahun baru di sini.

Saya suka kehidupan begini.

Langit malam ini - rakaman foto sekitar 9.30 malam.

Terima kasih Allah yang memberi kesempatan buat saya untuk terus hidup di bumi-Nya. Selamat Tahun Baru 2026 buat semua sahabat blogger, semoga Allah merahmati hidup kita 💙







Friday, 26 December 2025

Bunga Liar | Bidens Alba

Saya suka berjalan-jalan pada waktu pagi bukan semata-mata kerana menjaga kesihatan fizikal, tetapi juga kerana saya gemar memerhati alam. Memang sesuailah takdir membawa saya ke sini - kawasan luar bandar yang begitu dekat dengan alam semula jadi.

Bidens Alba
Sejak terserempak dengan ular, saya morning walk pakai kasut berkebun paras betis untuk tujuan keselamatan. Kasut begini juga memudahkan saya meredah kawasan rumput tinggi bagi memerhati tumbuhan.

Suatu pagi di pertengahan bulan Disember, saya perasan kemunculan bunga kecil dengan kelopak berwarna putih - macam bunga daisy. Hasil carian internet berdasarkan rupa bunga dan ciri-ciri batang pokok serta daunnya, saya yakin ini adalah pokok bunga Bidens Alba.

BIDENS ALBA
Bidens alba is a species of flowering plant in the family Asteraceae, commonly known as shepherd's needles, beggarticks, Spanish needles, or butterfly needles. Bidens means two- toothed, describing the two projections found at the top of the seeds, and alba refers to the white ray florets. 
This plant is found in tropical and subtropical regions of North America, Asia, South America, and Africa, situated in gardens, road sides, farm fields and disturbed sites. B. alba is an annual or short-lived perennial, which is considered a weed in the United States. However, B. alba leaves are edible and can be used as medicinal remedies. [sumber : wikipedia]

Bidens Alba
Bunga dengan kelopak putih dan tengahnya berwarna kuning bergoyang ditiup angin bagai melambai saya mendekati tumbuhan ini.

Bidens Alba
Bunga saiz kecil masih belum mekar sepenuhnya dan yang tengah tu dah tanggal kelopaknya.

Bidens Alba
Bunga Bidens Alba yang sudah mekar sepenuhnya. Masya Allah cantik!

Bidens Alba
Batang pokok jenis menegak ke atas dan bercabang dengan warna hijau ungu.

Bidens Alba
Daunnya tirus dan bergerigi.

Bidens Alba
Benihnya panjang dan ada dua duri tajam bercangkuk di hujung.

Video memaparkan pokok bunga Bidens Alba.

Carian saya juga mendapati bunga Bidens Alba menjadi kegemaran serangga pendebunga dan ia sangat bermanfaat untuk penternakan kelulut. Daun dan bunganya juga mempunyai manfaat perubatan.

Alhamdulillah, seronok rasanya dapat tahu lanjut berkenaan bunga liar yang saya temui di kawasan rumah ni. Keindahan yang tersembunyi di balik semak.