Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Merdeka. Show all posts

Sep 4, 2019

RUKUN NEGARA : Menurut Aku.


Salam.


Rukun Negara.
Kebanyakan daripada kita mampu mengucapkannya hanya dengan memori. Hampir setiap pagi Isnin semasa di 11 tahun zaman sekolah dahulu kita melaungkan ikrar yang terisi Rukun Negara. Malah terpampang senarai Rukun Negara di halaman kulit belakang buku latihan sekolah kita. Kebanyakan sekolah juga ada dihias indah dengan mural besar terkandung Rukun Negara.

Rukun Negara begitu dekat dengan kita semasa di zaman sekolah. Adalah sukar untuk kita menyingkirkan memori tersebut setelah dewasa kini.

Namun,
walaupun kita mampu melafazkan 5 prinsip Rukun Negara dengan lancar, adakah kita benar-benar memahaminya? Ataupun ia hanya seperti bait lirik lagu kegemaran kita yang lancar dinyanyikan namun langsung tiada pemahaman?





Maka,
minggu ini sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, aku (cEro) akan menguji diri sendiri tentang kefahaman mengenai Rukun Negara dan melihat sejauh mana ia selari dengan maksud sebenar yang cuba disemai oleh perangkanya dahulu.

Aku cadangkan kalian pun ambil sehelai kertas, senaraikan kesemua 5 prinsip Rukun Negara dan cuba huraikan satu demi satu untuk melihat sejauh mana kalian faham tentang Rukun Negara ini.

[Nota: Aku tekankan sekali lagi, huraian untuk Rukun Negara di bawah ini adalah mengikut pemahaman aku. Huraian ini langsung tidak boleh dijadikan sumber rujukan dan akademik. Jika ia lari, tidak tepat, dan tidak sama sekali dengan maksud sebenar, kesalahan sepenuhnya berada di bahu aku.]

Huraian Rukun Negara mengikut aku adalah seperti berikut:


RUKUN NEGARA
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan


Rukun Negara adalah 5 prinsip yang harus dipegang oleh kita selagi mana kita mahu digelar sebagai rakyat Malaysia. Seperti Rukun Islam yang lima (5), Rukun Iman yang enam (6), dan Rukun Solat yang tiga belas (13), Rukun Negara yang lima ini haruskan dipenuhi secara menyeluruh dan tiada satu prinsip pun yang boleh ditinggalkan.



1. Kepercayaan kepada Tuhan.

Tuntutan beragama menjadi prinsip pertama Rukun Negara kerana agama adalah teras kepada negara. Walaupun agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, tetapi tiada halangan untuk agama lain mengamalkan kepercayaan mereka di Malaysia. Namun, secara konsepnya Malaysia tidak menerima golongan Atheist kerana jika 'Kepercayaan kepada Tuhan' adalah prinsip pertama untuk rakyat Malaysia, maka golongan yang tidak percayakan kewujudan Tuhan tidak akan lengkap Rukun Negaranya.


2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Konsep setia adalah menurut perintah selagi tidak melanggar tuntutan agama (prinsip pertama tadi) dan keseluruhan prinsip itu sendiri. Dua entiti yang diberikan kesetiaan adalah Institusi Diraja dan negara (Malaysia) itu sendiri. Perkataan 'Raja' merujuk kepada Yang Dipertuan Agong sebagai penaung negara dan para Raja dan Sultan Negeri sebagai penaung kerajaan negeri masing-masing. Perkataan 'Negara' pula merujuk kepada negara kita dan pemimpin negara yang dilantik secara demokrasi oleh rakyat. Kesetiaan kepada dua entiti ini perlu ada jika mahu memenuhi Rukun Negara.


3. Keluhuran Perlembagaan.

'Luhur' menurut pemahaman aku adalah suci, mulia, dan darjat yang tinggi. 'Perlembagaan' pula adalah undang-undang asas, dasar yang dibentuk semasa mula-mula negara kita dirangka. 'Keluhuran Perlembagaan' bermaksud percaya bahawa undang-undang asas dan dasar yang dibentuk menjadi perlembagaan Malaysia adalah bersifat suci, mulia dan tinggi, dan haruslah dipegang kukuh tanpa perlu dipertikaikan. Sesuatu yang 'suci' tidak perlu diubah hanya kerana ia tidak memenuhi tuntutan segelintir kelompok yang dahagakan kelebihan masa kini.


4. Kedaulatan Undang-undang.

'Daulat' bermaksud mempunyai hak yang tinggi dan kuasa yang besar. Daulat selalu digunakan kepada golongan diraja kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi (dari sudut pangkat) berbanding rakyat biasa. Maka, 'Kedaulatan Undang-undang' merujuk kepada kedudukan undang-undang negara yang tinggi, besar, dan mulia, yang perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja (termasuklah golongan diraja; sebab itu digunakan perkataan 'daulat') dan tiada siapa lebih tinggi daripada undang-undang negara. Bak kata pepatah; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.


5. Kesopanan dan Kesusilaan.

'Sopan' berkaitan perbuatan fizikal yang baik dan adab yang tertib. Tutur kata yang baik. Bahasa tubuh yang baik. 'Susila' adalah perkara yang sama namun lebih merujuk kepada dalaman yang baik. Pemikiran yang baik. Syak wasangka yang baik.

'Kesopanan dan Kesusilaan' bererti sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling hormat-menghormati sesama kita sebagai individu mahupun sebagai bangsa. Walaupun masing-masing berbeza agama, kaum, dan adat, dengan adanya sopan dan susila dalam diri setiap individu, perbezaan itu tidak akan mengganggu perpaduan dan ketenteraman negara.

Semua kejadian berunsurkan perkauman yang berlaku belakangan ini, semuanya adalah akibat daripada tiadanya kesopanan dan kesusilaan di dalam diri. Pendek kita, kita kurang adab.




Itulah 5 prinsip Rukun Negara yang dapat aku huraikan mengikut pemahaman aku.

Di bawah adalah huraian 5 prinsip Rukun Negara menurut yang tertulis di dalam Wikipedia. Aku 'copy' dari sana selepas aku tulis huraian aku sendiri di atas.

Mari kita bandingkan.



1. Kepercayaan kepada Tuhan.

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama yang betul akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.


2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.


3. Keluhuran Perlembagaan.

Keluhuran perlembagaan menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara iaitu sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.


4. Kedaulatan Undang-undang.

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.


5. Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya adalah untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.




Jujur,
aku tahu majoriti kalian langsung tak baca pun huraian di atas (mungkin sebab panjang dan bahasanya). Tak apa.

Daripada bacaan aku, dapat aku rumuskan huraian aku pada mula tadi tidaklah lari jauh mana pun (kecuali terdapatnya istilah-istilah khusus yang tidak aku sampaikan) dan huraian aku masih di dalam konteks yang sama.

Kesimpulannya,
aku mampu huraikan Rukun Negara dan tidak jauh beza dengan huraian rasmi. Namun persoalannya sekarang, adakah aku amalkan apa yang aku faham? Ataupun ia sama seperti ketika lampu isyarat merah muncul di jalan di mana kadang-kadang aku turuti kadang-kadang aku langgari?

Adakah kalian amalkan apa yang kalian faham dalam Rukun Negara?



...and the journey continues...



  




.

Sep 5, 2018

Kenapa Baiki Kalau Tidak Rosak?



Salam.




31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan untuk seluruh rakyat Malaysia. Hari tersebut merupakan cuti umum, hari yang sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat.

Entah sejak bila mula, setiap tahun hari cuti 31 Ogos, paginya kami sekeluarga akan menyambutnya di Dataran Merdeka melihat perarakan sempena Hari Merdeka. Bukan kewajiban, tapi kami semua faham ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan keluarga selain daripada Hari Raya dan juga sambutan hari lahir.

Keutamaan diletakkan kepada aktiviti ini. Jika ada ahli keluarga yang perlu bekerja pada hari tersebut, dia akan sedaya upaya memohon cuti. Selalunya tiada masalah kerana pada 31 Ogos memang cuti umum untuk semua orang. Jika ada antara kami yang ada hal lain pada hari berkenaan, maka hal itu perlu tunggu. Keutamaan tinggi jatuh pada sambutan Hari Merdeka bersama-sama keluarga di Dataran Merdeka.

Tiap tahun, walaupun di Dataran bersesak dengan umat manusia, kadang kala berhujan walau selalunya berpanas terik, tapi langsung tiada rungutan di pihak kami. Itulah yang seronoknya. Keramaian itulah yang menjadikannya meriah. Ketidaktentuan cuaca itulah cabarannya. Apapun yang berlaku pada hari berkenaan, kami akan akhiri dengan gelak tawa satu keluarga ketika duduk di kedai mamak ditemani cawanan teh tarik di waktu tengahari sebelum pulang ke rumah.

Entah sejak bila mula, kami tidak pernah tinggal sekalipun aktiviti ini. Pernah sekali Hari Merdeka jatuh dalam bulan puasa. Perarakan tiada, tapi sambutan rasmi dilakukan di Stadium Tertutup Bukit Jalil. Kami masih lagi pergi menyambutnya walaupun penat berdiri dalam keadaan puasa. Langsung tiada rungutan.

Pada orang luar, kami nampak seperti sebuah keluarga yang pergi memeriahkan sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka. Mereka tidak salah. Memang tepat, kami sekeluarga ke Dataran untuk menyambut Hari Merdeka bersama-sama ribuan lagi rakyat Malaysia dan pelancong asing.

Tapi pada kami, ini adalah satu hari di mana kami sekeluarga berkumpul, bergerak, bersorak, dan berseronok bersama-sama. Ini adalah antara waktu yang sedikit untuk kami sekeluarga bersama-sama. Kadang kala, Hari Raya pun kami tidak mampu berkumpul bersama-sama seperti Hari Merdeka.

Pada kami, Hari Merdeka adalah 'bonding day' keluarga kami.




Pada 31 Ogos 2018 lepas, sambutan Hari Merdeka ditukar dan diadakan di Putrajaya, tidak lagi di Dataran Merdeka. Kata pemimpin nombor satu negara, disebabkan sekarang tampok kerajaan dipegang oleh kuasa baru, maka sambutan Merdeka kali ini lebih bermakna dan perlu diberi pembaharuan. Maka, Hari Merdeka tidak disambut di Dataran Merdeka seperti selalu, tapi di Putrajaya.

Jarak Putrajaya dari Dataran Merdeka bersamaan dengan DUA KALI GANDA jarak Dataran Merdeka dari kediaman keluarga aku di mana terdapatnya dua orang tua aku. Dengan kata lain, kalau kami mahu sertai sambutan dan perarakan di Putrajaya, kami perlu bergerak TIGA KALI GANDA jarak yang sepatutnya kami lalui untuk ke Dataran Merdeka.

Ibu bapa aku bukannya muda lagi. Jarak sebegitu amat memakan tenaga. Malah, acara bermula jam 7 pagi di Putrajaya. Rasanya pada jam berapa pagi perlu kami mula bergerak ke sana? Bagaimana dengan Subuh kami? Bagaimana dengan tidur kami?

Menitikberatkan segala kemungkinan boleh berlaku dengan perubahan jarak tersebut, maka kami sekeluarga dengan rasa kesal dan kecil hati sepakat buat keputusan untuk tidak turun ke tapak acara menyambut Hari Merdeka pada tahun 2018 ini.

Walaupun kami sekeluarga masih lagi menyambutnya di rumah bersama-sama, namun kami hanya mampu menonton perbarisan dan perarakan hanya melalui layar kaca.

Dan aku sangat kesal dan kecil hati dengan perkara ini.




Hanya kerana ada orang berkuasa untuk mengubahnya, maka tradisi untuk menyambut Merdeka di Dataran telahpun terganggu.

Pendapat aku, tiada langsung masalah untuk menyambutnya di Dataran seperti selalu. Kawasannya lapang, strategik, dan boleh dicapai dengan pengangkutan awam dan jalan darat dengan mudah. Lokasinya juga mesra pelancong. Peniaga di sekitarnya juga sudah tahu apa yang patut mereka jangkakan setiap kali ada sambutan Merdeka. Laluan trafik, laluan awam, semuanya sudah dikuasai kerana acara ini sudah dilakukan berkali-kali. Segala kelemahan sudahpun dikenalpasti dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dataran Merdeka adalah satu lokasi yang ideal, sedangkan Putrajaya, walaupun dikatakan sebagai pusat pentadbiran rasmi kerajaan, namun masih lemah dari sudut pengangkutan awam. Kawasannya walaupun lapang, tapi terlalu lapang sehingga para pengunjung perlu duduk jauh untuk meninjau perbarisan. Seperti ada satu jurang, satu 'gap' pemisah antara rakyat dan mereka yang berarak.

Dahulu, semasa kerajaan sekarang menjadi pembangkang, ketika diberi kebenaran untuk berhimpun dan berkumpul di sebuah stadium untuk acara Bersih mereka, mereka juga memilih untuk tidak menurutinya dan tetap berhimpun dan berkumpul di Dataran Merdeka. Kata mereka (pada waktu itu), Dataran adalah satu tempat simbolik yang sangat rapat dengan 'kemerdekaan', sesuatu yang mereka perjuangkan. Namun kini, Dataran Merdeka bukan lagi simbol bagi mereka.

Kenapa perlu diubah lokasi acara sambutan Hari Merdeka hanya kerana kerajaan bertukar tangan? Tiada salahnya Dataran Merdeka sehingga perlu ditukar.

Why fix if not broken?





.

Aug 30, 2017

Kain yang Dicat Warna Merah, Kuning, Putih dan Biru.



Salam.

Entri ini aku jadualkan pada 30 Ogos 2017,
maknanya sehari sebelum negara aku yang tercinta menyambut kemerdekaan ke-60.

Namun,
gambar di bawah sudah lama aku simpan,
semata-mata menanti hari rabu yang paling hampir dengan tarikh sambutan merdeka.

Ini gambarnya.


Mungkin sekali pandang itu hanya satu gambar biasa.
Aku ambil sendiri gambar ini dari atas sebuah jambatan di satu taman tasik yang berlokasi di sebuah bandaraya terkemuka dengan bulatan-bulatannya.
Kalau kalian perhati dengan teliti,
kalian tahu apa subjek utama gambar itu, kan?

YA. Bendera.
Lebih tepat lagi Jalur Gemilang kebanggaan kita.
Jalur Gemilang itu sedang terendam di dalam air tasik bersama dedaunan yang gugur.

Agak sedih melihat situasi begini.
Sewaktu ada, kita kibar dengan megahnya.
Habis peranan, menjadi objek bertaraf sampah.

Gambar ini diambil BUKAN pada bulan kemerdekaan.
Gambar ini diambil pada Mei 2017.
Aku tak pasti bagaimana Jalur Gemilang itu boleh berakhir di dalam air di bawah jambatan, tapi situasi sebegini menjadi lebih kerap bila masuk bulan kemerdekaan kita.

Permandangan seperti bendera yang dilanggar lenyek di atas jalanraya mesti pernah disaksikan kalian, kan?
Mungkin terjatuh dari kereta yang 'kononnya' penuh semangat merdeka dengan menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang.
Persoalannya, macam mana boleh jatuh?

Aku selaku penunggang motosikal selalu sangat nampak bendera kita di tengah jalanraya.
Mana yang mampu aku berhenti dan kutip, aku buat.
Tapi kalau berada di lorong tengah lebuhraya yang laju berdesup,
aku memang tak mampu buat apa-apa.

Pendapat aku secara peribadi,
walaupun semangat menyibarkan Jalur Gemilang memang nampak semakin menular di kalangan rakyat kita belakangan tahun ini, tapi rasanya kita masih kurang rasa cintakan bendera kita.

Sebagai contoh,
aku pernah bertanya kepada seorang kenalan yang keretanya hanya tinggal tiang bendera di atas bumbung.
Tanya aku,
"Mana pergi bendera tu?"
Dia jawab,
"Jatuh entah dekat mana aku pun tak tahu. Tak apa. Bendera itu hanya 5 ringgit. Nanti aku beli lain."

Soalnya di sini bukan pada harga.
Soalnya, macam mana boleh tercabut?
Memanglah boleh kata tak sengaja,
tapi bendera tiang putih yang lekat pada bumbung kereta tu,
walaupun tapaknya ada pelekat dua hala,
tapi tiangnya hanya sekadar diselit di dalam lubang.
Pada kelajuan perlahan seperti 30 km/j pun sudah boleh buatkan bendera itu tertanggal.
Common sense kot.
Secure laa tiang dia dengan benda lain.
Gam ke, ikat ke, ataupun panaskan hujung tiang supaya boleh tercantum dengan tapak plastiknya.

Kekadang aku fikir,
bendera itu dicipta senang tercabut supaya bila tercabut, kita akan pergi beli baru.
Maka untunglah pembekal bendera di kedai-kedai luar sana.

Tidak kisahlah bendera itu hanya RM5,
atau bendera plastik yang batangnya berisi gula-gula berharga RM2,
ataupun sekadar bendera lukis dengan tangan pada kertas A4,
tapi paling tidak hormatlah bendera kita.
Tunjukkan rasa hormat tersebut dengan menjaganya betul-betul.
Kalau nak dibawa usung bersama kereta, pastikan tidak senang tercabut.
Kalau nak dibawa dengan tangan, jangan letak di punggung.

Bendera bersepah-sepah di tepi jalanraya disebabkan kita hanya anggap itu sebagai kain yang dicat warna merah kuning putih dan biru.
Bila ditanya, kita tahu itu Jalur Gemilang.
Bila disuruh hormat, kita kata hormat.
Tapi kita tidak menjaganya dengan betul.

Aku tidaklah kata aku bersemangat patriotik.
Aku sendiri gagal sejarah dan tidak pasang bendera di kenderaan.
Tapi pada aku,
kalau rasa tak mampu nak jaga dengan elok,
rasa-rasa akan melayang jatuh tercabut di tengah jalan,
rasa-rasa bakal berakhir di longkang seterusnya ke tasik,
baik dari awal tak payah kibarkan.

Kadang-kadang aku jatuh sedih bila tengok bendera di tiang-tiang bangunan kerajaan dan sekolah-sekolah menjadi lusuh, koyak dan tidak terjaga.
Pada aku, baik jangan kibarkan daripada kibarkan bendera sebegitu keadaannya.
Buat malu sahaja bila ada pelancong asing tengok bendera lusuh, kotor dan koyak.
Pasti mereka anggap kita pandang enteng dengan bendera sendiri yang sepatutnya dihormati.

Berbalik kepada cerita bendera terendam di air tasik awal tadi,
aku berusaha cari kayu yang cukup panjang untuk aku capai kutip bendera itu.
Malangnya tiada kayu yang cukup panjang kerana jambatan itu tinggi.
Namun bila kayu reput yang aku pegang patah sebahagiannya dan jatuh menimpa bendera itu,
bendera itu tenggelam ke dalam tasik dan tidak timbul kembali.

Tenggelamnya sama macam Jack Dawson tenggelam ke dalam Lautan Atlantik dalam cerita Titanic.
Walaupun sedih melihatnya,
tapi dalam hati aku sedikit gembira kerana paling tidak Jalur Gemilang itu tidak lagi menjadi tatapan umum tentang kebiadaban rakyat kita yang tak tahu menghargai bendera sendiri.

Near, far, wherever you are.
I believe that the heart does go on.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60.
Negaraku. Sehati Sejiwa.



Aug 31, 2015

Sehati Sejiwa #Merdeka58






.

Aug 31, 2014

Biru, Kuning, Merah, Putih #Merdeka57





31 Ogos 2014.
Selamat Hari Merdeka ke-57.

Apa aku buat untuk sambut merdeka?
Biar aku ceritakan dari mula...

Oh ya, post ni ada banyak gambar,
so aku minta maaf kalau berat dan lambat loading.
Memang aku sengaja.



Satu hari aku ke Daiso, sebuah kedai milik bekas penjajah kita dulu.
Aku pun beli kipas yang juga dikenali sebagai uchiwa.
Kipas ni kosong, tiada corak,
kita boleh lukis apa yang kita suka di atasnya.



Di atas adalah bahagian kipas yang boleh kita lukis corak.
Putih macam kertas kosong, kecuali ianya ialah pelekat.
Boleh dilekat lepas dah siap lukis nanti.

Imej idea dah muncul dalam kepala.



Aku mulakan kerja mencorak aku dengan pen marker biru.
Pen Artline Multi Pen 1.0 warna biru ni aku dapat lepas selongkar khazanah alat tulis aku.
Tak sangka pula ada.
Guna pen tu, aku lukis bentuk bulat pelbagai saiz.

Dari corak di dalam gambar di atas,
aku tahu kalian dah dapat teka apa yang aku nak lukis, kan?



Cikgu seni aku sekolah rendah dulu mesti marah kalau tahu aku guna warna gelap dulu sebelum warna cerah.
Pen warna kuning ni pun Artline Multi Pen 1.0.
Katanya 'For use on virtually any surface'...
Agak-agak aku conteng muka boleh hilang tak?



Giliran warna merah.
Kali ni pen Artline 210 Medium 0.6.
Aku suka gila pen ni, smooth dan tak leceh macam Multi Pen sebelum ni.
Rugi tak beli macam-macam warna dulu...



Muka belakang kipas pun kena corakan juga.
Aku decide buat belang-belang merah putih je, ala-ala design Tenga (kalau kalian tahu apa tu Tenga, aku jadi tukang gelak je. Yang tak tahu jangan cuba nak tahu, nanti menyesal.)

Kenapa aku buat sama macam corak yang depan?
Sebab kalau sama tak best. Tu je alasan aku.



Ini design belakang yang sudah siap.
Perasan tak aku buat frame dekat keliling sempadan dia?
Aku buat macam tu sebab masa sebelum ada frame tu, aku nampak corak macam ada yang tak cukup.
Jadi lepas buat frame, baru rasa puas. Hehehe.



Lepas tu masuk proses tampal plastik.
Tampal plastik sebab nak buat kipas kalis air.
Peluh merecik, air liur tersembur atau hingus meleleh tidak lagi menjadi masalah kepada kipas ini.
Plastik ni tak ada dalam set masa beli dekat Daiso.
Aku beli lain dekat kedai alat tulis.



Sekarang,
corak depan dan belakang sudah siap.
Proses seterusnya ialah proses paling leceh,
iaitu proses tampal pada badan kipas.



Proses ni leceh sebab ianya 'one time only'.
Kalau salah tampal, senget, tak align, atau apa-apa cacat cela,
maka dah tak boleh nak repeat.
Kalau cacat, maka cacatlah ia.

Alhamdulillah, segalanya selamat.
Tak cacat.
Dia punya fokus nak buat proses ni sama macam fokus masa duduk tepi kolam renang perempuan ambil exam subjek genetics, cuma masa exam tu aku langsung tak fokus sebab penjaga dewan peperiksaan dia cun.



...dan...
TAAARAAAAA!

Aku sudah siapkan uchiwa dengan corak bendera Malaysia.
Kipas ni akan berada di Dataran Merdeka hari ini (31 Ogos) sebab akan dibawa seseorang untuk memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan di sana.
Aku pun pergi.
Tapi rasanya masa kalian baca entri ni,
aku dah balik rumah kot...hehehehe


Bila aku tunjukkan uchiwa ni dekat tukang kritik, dia bertanya,
"Kenapa guna corak bulat-bulat? Kenapa tak warnakan terus semua?"

Jawapan aku,
"Corak ini ada makna tersirat. Satu bulatan sama ada warna biru, kuning, mahupun merah tidak melambangkan apa-apa yang istimewa. Tapi apabila bulatan itu bersama yang lain, berada di tempat yang betul pada masa yang betul, maka terbentuklah imej Jalur Gemilang. Ianya adalah perumpamaan untuk perpaduan. Satu tidak bererti apa, tapi apabila bersama kita mampu membentuk sebuah bangsa."

Itu ayat PR (public relation),
sebab sebenar aku guna corak bulat-bulat ialah kalau aku penuhkan seluruh kertas guna pen, warna akan jadi tidak sekata dan berbelang-belang. Lagipun nanti pen aku cepat habis dakwat. Kena laa kedekut sikit. Hehehe

Itu yang aku buat untuk sambut merdeka tahun ni.
Aku belum mampu nak didik masyarakat, jadi biarlah aku didik diri sendiri dulu.
Sebab tak kira siapa aku, di mana pun aku,
Malaysia-lah tempat yang paling aku sayang.
Sebab Malaysia, di sini lahirnya sebuah cinta.

Selamat Hari Merdeka ke-57.




.

Aug 31, 2011

Cipta Mesin Masa, atau Dalami Ilmu Sejarah




Jadi,
bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia boleh memahami erti sebenar kemerdekaan?

Pada aku,
secara peribadi,
rakyat negara kita kini takkan dapat faham erti sebenar kemerdekaan melainkan dua cara;

1) Cipta mesin masa dan dengan mesin maa itu, kembali ke zaman gelap derita dijajah penjajah dan rasai sendiri perbezaan kehidupan dengan zaman sekarang.

2) Dalami sejarah dan segala peristiwa sepanjang perjalanan tanah air menuntut kemerdekaan dari tangan penjajah melalui sumber seperti buku, tinggalan sejarah, muzium, cikgu sejarah, ataupun dengar sendiri secara 'first-hand' pengalaman dari veteran sama ada veteran perang atau tokoh negarawan yang masih ada.

Yang pertama adalah mustahil.
Yang kedua, walaupun tidak mustahil, namun amat susah dilakukan memandangkan budaya kita tidak menitikberatkan ilmu sejarah dan lebih memberatkan ilmu 'menjadikan diri lebih berharta'.

Sejujurnya,
aku sendiri tak mampu mendalami erti sebenar kemerdekaan.
Tiada mesin masa, tiada peluang berjumpa tokoh, dan tiada usaha untuk membaca.

Jadi,
disebabkan kebanyakkan kita tidak tahu erti sebenar kemerdekaan,
jangan pertikaikan apa yang negara sudah berikan kepada anda..
(Subsidi, royalti, duit kopi, biasiswa, tender)
Sebaliknya, fikirkan apa yang boleh kalian buat supaya negara menjadi tanah tempat tinggal yang lebih baik tanpa persengketaan, permusuhan sesama kaum, perbezaan fahaman politik, dan keruntuhan moral.
Selepas itu,
selepas segalanya menjadi baik,
kita sendiri dapat merasakan nikmatnya.
Seperti pejuang kita dulu bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan.


Apa pun,
AKU TETAP BANGGA JADI
ANAK MALAYSIA.



Bagi kalian,
apa sebenarnya erti kemerdekaan?

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License