Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Raya. Show all posts
Showing posts with label Raya. Show all posts

May 13, 2020

Baju Raya Saya Tahun Ini! [GIF Game]


Salam.




Di atas adalah satu hasil karya aku untuk Twitter, sebuah komik ringkas dalam bentuk fail GIF mengenai baju raya untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terbitan jenis ini di Twitter digelar sebagai 'GIF game'.

GIF game adalah satu 'permainan' semi interaktif dengan para pengguna internet. Orang lain akan screenshot komik GIF itu dan akan beritakan hasil dapatan di ruangan komen/reply.

GIF game bukan baru, tapi baru-baru ini dipopularkan oleh akaun Twitter @mindblowon, pelukis komik Tahi Lalats dan trendnya diikuti ramai orang lain. Keseronokan mendapat keputusan screenshot yang menarik dan kadang kala tidak masuk akal menjadi penarik kepada permainan ini.

Jadi kenapa aku pun buat GIF game?
Adakah mahu mengejar populariti di internet?

Yang mana kenal aku dari dulu tahu bahawa populariti bukanlah sesuatu yang aku kejar.

Tujuan utama aku buat GIF game ini ada dua.
Salah satunya adalah untuk sendiri merasai bagaimana untuk menghasilkan fail GIF.

Dan menghasilkan GIF menggunakan lukisan sendiri bukannya mudah.

Fail GIF merupakan fail imej yang terdiri daripada susunan beberapa imej yang dipapar berubah mengikut rangka masa yang ditetapkan. Ia seperti fail video, tapi bukan video.

Idea menghasilkan komik GIF bertemakan baju raya seperti di atas adalah atas dasar mahu memeriahkan suasana kerana disebabkan pandemik COVID-19 sekarang, kebanyakan orang tiada peluang untuk beli baju raya baru. Idea di dalam GIF ini adalah untuk 'rembat sahaja apa baju yang ada' untuk hari raya.

Namun, menghasilkan satu komik GIF seperti ini bukannya mudah. Untuk komik di atas, aku kena menghasilkan 40 lukisan 'baju raya' dan idea untuk kesemua 40 baju itu tentulah kena berbeza. Malah aku perlu juga memasukkan elemen kelakar, elemen 'entah apa-apa entah', dan juga sudah tentu elemen normal di dalam 40 lukisan itu.

Namun kesemua 40 pakaian itu perlu diikat pada satu watak yang malar. Watak si pemakai itu aku perlu lukis sebagai manusia yang tiada bias jantina kerana aku tahu para 'pemain' nanti tidak hanya tergolong dalam satu jantina sahaja. Juga watak itu tidak boleh mewakili hanya satu warna kulit, maka aku lukis dia memiliki warna kulit putih kosong, satu warna yang tiada manusia pun memilikinya.

Idea tambahan juga perlu ada perubahan dalam teks dan ekspresi muka bergantung kepada pakaian mereka. Takkanlah aku nak letak teks 'cantik tak' dan ekspresi muka senyum untuk lukisan bogel, kan?

Namun untuk datang dengan 40 idea lukisan bukannya senang. Menjana idea senang, tapi banyak faktor lain perlu aku fikirkan sebelum memilih idea tersebut sebagai satu daripada 40 lukisan ini. Contohnya, watak itu perlu dikenali ramai. Kalau aku lukis dia memakai pakaian Jiraiya, mesti ada pemain yang tidak kenal siapa Jiraiya.

Dalam 40 lukisan itu juga perlu ada pakaian 'normal' (baju kurung, baju melayu) bagi mewakili pemain itu sebagai menang (sudah tentu pakai baju melayu/kurung di hari raya adalah kemenangan, kan?)

Namun,
banyak perkara baru yang aku belajar dalam menghasilkan GIF ini.

Sebagai contoh, warna untuk seluruhan lukisan perlulah sedap mata memandang dan tidak terlalu striking. Ini sedikit susah kerana selalunya warna yang aku pilih ketika melukis di komputer akan sedikit berbeza dengan di telefon bimbit. Ini berlaku kerana perbezaan jenis skrin yang ada. Selalunya, warna di telefon bimbit akan jadi lebih menyerlah berbanding di komputer.

Saiz lukisan juga penting. Menurut internet, GIF yang bagus berada pada saiz kurang 1 MB. Aku lukis di atas kanvas 1000x1000 piksel. Tapi sebelum digabung menjadi GIF, aku ubah kepada hanya 500x500 piksel. Ini hasilkan GIF dengan saiz 1.18 MB. Kalau aku mahu kurangkan saiz itu, aku perlu kecilkan lagi kanvas tadi. Tapi kecilkan kanvas hanya akan menurunkan kualiti lukisan. Maka aku buat keputusan untuk kekal dengan 500x500.

Juga, selang masa untuk satu lukisan juga memainkan peranan. Terlalu laju akan merosakkan transisi gambar, tapi terlalu perlahan pula tidak seronok. Untuk GIF di atas, aku letak 0.04 saat untuk satu gambar. Aku telah cuba 0.05 saat tapi merasakan ia terlalu lambat. 0.03 saat pula terlalu laju.

Maka, 40 lukisan dengan 0.04 saat satu lukisan hanya menghasilkan 1.6 saat. Bayangkan lukis susah-susah 40 lukisan hanya untuk hiburan sepanjang hanya 1.6 saat.



Ok, biar aku berterus terang.
Walaupun benar GIF di atas terdiri daripada 40 frame lukisan dengan selang masa 0.04 saat/lukisan, namun aku hanya lukis 39 lukisan. Sebenarnya dalam perancangan memang ada 40 idea lukisan, namun bila sudah habis baru aku perasaan aku tertinggal satu lukisan. Sepatutnya ada watak dalam suit Batman di dalam GIF ini.

Tapi sebab kurang satu untuk jadikan 40, maka aku ambil salah satu daripada 39 lukisan tadi dan copy menjadikan jumlahnya 40. Aku berniat nak buat satu permainan selingan dengan menyuruh pemain meneka lukisan mana berulang dua kali dalam 40 lukisan tersebut, tapi aku sedar adalah mustahil untuk pemain dapat teka kecuali dengan menguraikan kesemua 40 frame dalam GIF itu satu persatu.


Oh, kalian tanya apa satu lagi tujuan aku buat GIF game ini?

Jawapannya,
aku ada azam untuk melukis 1000 lukisan dalam tahun 2020 ini. Maka dengan menghasilkan GIF ini, aku sudah boleh tambah lagi 39 lukisan di dalam rekod aku.



Jadi,
apa baju raya yang kalian dapat selepas screenshot GIF di atas?



Sekian.



  




.

Jun 5, 2019

Salam Syawal 1440H



Salam.



Maaf.

Tiada persediaan khusus untuk entri Syawal tahun ini.
Aku kena tumpukan perhatian kepada perkara yang jauh lebih penting: penyembuhan diri.

Syawal kali ini seperti biasa kecuali dua;

1) Ada aksesori tambahan untuk busana raya aku, iaitu eye-shield (seperti dalam gambar) dan aksesori ini akan berlarutan digunakan sehingga seawal-awalnya seminggu berhari raya, serta

2) Sesuatu berlaku di pagi raya tadi yang membuatkan aku bukan lagi aku seperti yang dulu. Everthing now has changed.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

MAAF ZAHIR BATIN.


  




.

Aug 22, 2018

Korban.



Salam.




Korban.
Apa itu korban?

Menurut laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), korban bererti (3.) pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian (kasih dan lain-lain).

Jadi bagaimana sesuatu perkara boleh diiktiraf sebagai satu pengorbanan?
Adakah syarat berkorban adalah untuk kebaikan pihak lain selain daripada diri yang mengorban?
Adakah perkara yang dikorbankan perlu sesuatu yang besar?

Adakah orang yang berkorban duit RM 100 untuk diberikan kepada orang lain lebih bagus daripada yang hanya berkorban RM 10?
Adakah orang yang memberikan 10 ekor lembu kepada surau untuk dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha lebih baik daripada orang yang membelanjakan seekor kambing?

Jadi bagaimana jika yang berkorban duit RM 100 itu adalah mereka yang kaya raya, yang di dalam poketnya paling kurang ada RM 1000?
Bagaimana pula jika yang membelanjakan seekor kambing untuk dibuat korban pada Hari Raya Aidiladha adalah hasil tabungan selepas bertahun-tahun membanting tulang menoreh getah manakala yang memberikan 10 ekor lembu pula datang dari keluarga yang berada hasil harta keturunan?

Adakah ibu yang berkorban penat untuk anak lebih tinggi darjatnya daripada orang asing yang berkorban untuk mereka yang langsung tidak dikenalinya?

Adakah lebih baik kita berkorban sesuatu untuk mereka yang tinggi darjatnya berbanding mereka yang lebih hina, sebagai contoh, seorang penagih dadah?

Siapa manusia yang layak tentukan pengorbanan siapa lebih mulia daripada orang lain?



Jawapannya, tiada siapa.
Tiada manusia berhak tentukan satu pengorbanan itu lebih mulia daripada mana-mana pengorbanan lain. Yang layak dan sebenar-benar layak untuk menilai sesuatu pengorbanan hanyalah Yang Maha Besar.



Dalam Islam, korban adalah satu ibadah penyembelihan binatang ternakan (na’am) seperti kambing, lembu atau kerbau yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Maka, jika pengorbanan itu membuatkan manusia menjadi bongkak, bangga, dan tinggi diri, sibuk jaja cerita korban di sana-sini dan seantero media sosial, bukankah maksud sebenar korban itu sudahpun jaug lari?



Tanya diri sendiri, bila kali terakhir kita berkorban yang boleh dikira sebenar-benar korban?

Selamat Hari Raya Aidiladha 1439h.



.

Jun 27, 2018

Tanpa Tajuk #14



Salam.

Bertemu lagi kita di dalam entri Tanpa Tajuk,
satu entri di mana beberapa isu mahu aku kongsikan tapi isunya terlalu pendek untuk diberi satu post khusus, maka aku rangkumkan beberapa isu itu di dalam satu entri.

Kali ini, entri Tanpa Tajuk berkisar sekitar RAYA.
Edisi RAYA.

Tanpa membuang masa,
mari kita terus ke tajuk sebenar yang ingin dibincangkan...





1. Baju Raya.

Jadi, aku lelaki.
Lelaki memang dikenali dengan perangai 'simple' mereka dan aku tidak terkecuali.

Di hari raya, kita dituntut berpakaian kemas dan cantik.
Maka, hari raya adalah sebab kuat pada aku untuk beli baju baru. Baju raya.
Sebab pada hari lain, aku sangat jarang beli baju baru.

Jenis macam aku, senang.
Aku beli beberapa pasang baju baru untuk dijadikan baju raya
dan baju yang sama akan aku pakai sepanjang tahun.
Nak beli baju baru lain, tunggu raya tahun depan.
Sebab itu kalau kalian kenal aku secara peribadi,
kalian akan dapat perasan yang aku suka pakai baju yang sama berulang kali.
Aku pernah kena perli sebab asyik kenakan baju yang sama saja.

Alaa, kebetulan.
Aku jumpa orang yang perli itu mungkin dua minggu sekali sahaja,
dan kebetulan hari yang aku jumpa dia itu aku pakai baju sama dengan semasa aku pernah jumpa dia sebelum ini.
Terus kena perli pakai baju sama.

Masalahnya,
apa masalah kalau aku pakai baju sama pun?
Bukankah itu fungsi baju; untuk dipakai?
Takkan nak pakai sekali lepas tu simpan, kot. Ingat apa, lampin?
Tak faham sungguh dengan spesies orang yang baju pun boleh dijadikan bahan perli ni.







2. Nak OOTD Tapi Hujan.

Pada hari raya keempat (hari Isnin, 18 Jun) aku dan sekeluarga hadiri satu kenduri kahwin saudara.
Kenduri itu meraikan anak kepada sepupu nenek aku dapat menantu.
Lokasinya di Gurun, Kedah. Satu kawasan yang penuh dengan sawah padi luas terbentang.

Aku pakai satu baju yang baru aku beli berwarna merah.
Aku jarang ada baju merah, kerana pada aku merah terlampau menarik perhatian.
Aku ni jenis tak suka tarik perhatian orang, apatah lagi melalui pakaian.
Namun, kali ini sengaja aku pilih baju merah untuk ke kenduri. Kerana apa?

Ya! Tepat sekali. Kerana OOTD.

OOTD membawa maksud 'outfit of the day' merujuk kepada keghairahan generasi sekarang menayang apa yang dipakai mereka pada hari itu di media sosial.

Aku pakai baju merah semata-mata kerana mahu bergambar di sawah padi.
Sawah padi menghijau yang luas mata memandang,
dengan langit berwarna biru muda berhias awan putih perak,
dan kemudian ada seorang lelaki dengan rambut baru berbaju merah sedang beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit),
bukankah itu akan menghasilkan gambar OOTD yang menarik untuk dikongsikan di media sosial?

At least itu apa yang aku bayangkan.

Sampai sahaja di rumah kenduri, dari jauh nampak awan hitam mula berarak datang.
Seketika kemudian selepas selesai melantak hidangan,
hujan mula turun membasahi bumi.

Maka, hilanglah peluang untuk beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit) berlatarbelakangkan sawah padi menghijau luas mata memandang dan langit biru muda berhias awan putih perak.
Apa yang ada hanyalah langit gelap dan air hujan menitis meriah.

Nak tambah dramatik,
dek kerana kawasan sawah yang lapang, angin datang tepat ke khemah kenduri.
Air hujan masuk ke dalam khemah, membasahi semua yang berteduh di bawahnya.
Angin kuat meniup meja makan sampai terbalik, sekali dengan kerusi terseret jauh.
Dari tiga khemah kenduri yang ada, hanya satu sahaja selamat
TAPI dipenuhi dengan pengunjung yang berteduh mengelak basah.
Serba salah. Nak lari ke kenderaan, hujan sangat lebat.
Nak terus duduk kesian pula pengunjung lain yang belum sempat makan.

Walaupun boleh kata kenduri itu tergendala disebabkan hujan lebat,
namun tiada seorang pun tuan rumah dan para rewang yang bermuka kerut.
Mereka masih tersenyum lebar dan bergurau senda dengan tetamu yang datang.

Aku betul-betul kagum dengan positiviti kehidupan tuan rumah.




3. Socially Awkward.

Pada hari raya kesembilan, 23 Jun, sekali lagi aku dijemput ke kenduri kahwin.
Kenduri kali ini milik seorang kawan dari zaman sekolah dahulu.
Satu kenduri yang aku kena datang, kerana kawan aku ini adalah kawan yang sama-sama bergerak sekumpulan tiap kali ada kenduri kawan yang lain.
Kami berada dalam 'kem lelaki bujang' yang sentiasa bergerak bersama,
namun kali ini dia sudahpun bersara dari kem tersebut.

Alkisah,
kenduri berlangsung di Bangi, Selangor.
Walaupun sama Selangor, namun aku berada di Selangor sebelah sini
manakala Bangi berada di Selangor sebelah sana.
Berkerut juga dahi aku memikirkan jarak antara keduanya.

Pagi itu cuaca cantik.
Sarang burung belakang bilik aku riuh dengan kicauan burung.
Aku pula, bersiap untuk ke kenduri.
Menyarung baju 'baru' merah aku, baju yang sama aku pakai di raya keempat hari itu.
Disebabkan cuaca baik, aku buat keputusan untuk ke kenduri menaiki motosikal.
Dan itu adalah keputusan yang bakal aku kesali selepas itu.

Kusangkakan panas sampai ke petang,
namun hujan turun di tengahari (literally!)

Baru sahaja separuh perjalanan, hujan mula turun.
Bermula dengan renyai,
tapi disebabkan aku bawa motosikal, maka hujan renyai pun akan jadi basah.

Aku ambil keputusan berhenti di hentian satu lebuh raya ini.
Di hentian itu ada KFC, maka dengan seronoknya nak merasa Ayam Nacho yang iklan dekat TV tu.
Tapi, lain yang berlaku...




Maka, makanlah aku Ayam Nacho ni kaki lima luar kedai sambil melihat hujan membasahi Bumi.




4. Baju Merah dan Hujan (Lagi).

Bersambung cerita di atas.

Selepas selesai makan Ayam Nacho di kaki lima,
aku perasan hujan sudah reda.
Aku pun ambil kesempatan ini untuk teruskan perjalanan ke Bangi.

Pada hemat aku, baik aku sampai ke destinasi dulu.
Asalkan aku sampai, kalau nak hujan lebat sekalipun rasanya tiada masalah.

Malangnya, baru beberapa minit tayar berguling, hujan kembali turun.
Kali ini lebih lebat sampai tahap julat pandangan jadi terhad.
Aku sedang berada di lebuh raya,
walaupun di lebuh raya ada tempat berteduh untuk penunggang motosikal,
namun jaraknya dapat jumpa mungkin sekali dalam 5 km.
Bagi penunggang motosikal, 5 km di bawah hujan sudah memadai untuk basah.

Maka,
basahlah aku seluruhnya.
Luar dalam semua sudah ditakluki oleh air hujan.

Bila fikir balik,
baru dua kali aku pakai baju merah ini
dan kedua-dua kali itulah hujan turun lebat tak ingat dunia.
Adakah baju ini pembawa hujan? Entah.
Mungkin jawapannya akan aku dapat pada kali ketiga aku pakai nanti.

Tentang kenduri,
walaupun akhirnya aku sampai juga ke Bangi,
namun aku buat keputusan untuk tidak masuk ke dalam ruang dewan kenduri itu.
Aku basah lenjun.
Aku rasa segan nak masuk dan menjadi tetamu.
Kalau aku masuk juga, aku mungkin akan mencacatkan majlis.

Maka,
selepas menghantar text kepada kawan aku si mempelai dan menerangkan segala apa yang berlaku,
aku ambil keputusan untuk berangkat balik ke rumah
meredah hujan yang masih lagi lebat tiada tanda mahu reda
tanpa menghadiri kenduri yang sudahpun aku sampai ke destinasinya.

Adakah keputusan aku ini betul?




5. Erti Kehidupan.

Kenapa perlu aku terus balik sedangkan masih hujan?
Jawapannya,
ada kemungkinan besar kalau aku terus tunggu di kawasan kenduri kawan aku itu
aku akan terserempak dengan kawan-kawan aku yang lain.
Sudahlah seluruh badan basah kuyup,
mesti lagi awkward bila berjumpa dengan kawna-kawan yang lain.

Kalian mungkin tak dapat tangkap keadaan basah aku seteruk mana.
Bayangkan,
jika aku berdiri setempat dengan pakaian aku yang basah kuyup itu,
akan ada air berwarna biru bertakung di bawah kaki aku
akibat daripada warna seluar jeans aku yang turun.
Begitulah teruknya basah aku.

OK. Moving on...

Aku balik dalam hujan lebat.
For note, menunggang motosikal dalam hujan lebat SANGAT BAHAYA.
Pertama, pandangan menjadi terhad.
Kedua, jalan licin dan bahaya untuk roda dua.
Ketiga, pemandu lain mungkin tak nampak kita.
Dan lebih penting,
JALAN RAYA DIPENUHI DENGAN ORANG BODOH.

Kenapa aku cakap bodoh?
Ada sejenis manusia di atas jalan raya, entah kenapa,
bila hujan dia akan memandu lebih laju daripada biasa.

Sampai sekarang aku tak tahu apa fungsi manusia jenis ini nak memandu laju di waktu hujan.
Langsung tak ada kebaikan. Keburukan bertambah adalah.

Alkisah,
ketika aku dalam perjalanan pulang di tengah kota Kuala Lumpur,
ada kereta ini dengan lajunya meredah lopak air hujan
dan air merecik ke arah aku yang sedang menunggang di sebelah.

Rasanya, dalam 3 saat aku tak nampak apa-apa sebab disimbah air.
Dan 3 saat sudah cukup untuk meragut nyawa aku jika ada kereta lain laju di belakang.

Alhamdulillah, dalam 3 saat itu aku selamat.
Tiada kereta laju di belakang aku.

Kereta tadi, kalau dia pandu perlahan, air tidak akan merecik besar ke arah aku.
Aku tahu, dia mesti langsung tak sedar yang dia sudah membutakan mata aku selama 3 saat dan hampir membuatkan nyawa aku melayang.
Aku tak pasti adakah dia seronok melanggar lopak air ataupun dia tidak sengaja.
Namun yang aku pasti,
kalau takdirnya aku hilang nyawa waktu itu,
pemandu kereta itu mungkin langsung tidak akan tahu dialah penyebabnya.

Semasa kelas memandu nak ambil lesen dahulu kita sudah diberitahu,
ketika hujan perlahankan kenderaan.
Bukan saja suka-suka suruh perlahan.
Ni jenis bebal sangat yang nak juga bawa laju masa hujan ni dah kenapa?

Sambung cerita.

Beberapa ratus meter di hadapan selepas kepada kejadian 'buta 3 saat' tadi,
berlakunya satu kemalangan, pelanggaran dua kereta akibat daripada jalan licin.
Aku tidak pasti adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang langgar lopak air tadi tapi yang aku pasti warnanya sama.
Aku mahu percaya bahawa itu adalah kereta yang sama.
Aku tidak tahu sama ada pemandunya selamat atau tidak,
tapi aku harap pemandu itu selamat supaya dia dapat pengajaran daripada 'akibat' perbuatan dia tadi.

Menunggang motosikal di kala hujan lebat banyak mengajar aku.
Jalan raya adalah satu tempat yang sangat bahaya.
Malah berlipat kali ganda bahayanya bila kita menunggang motosikal.
Bertambah lagi bahayanya bila hujan turun.
Meningkat lagi bahayanya bila orang yang berada di atas jalan juga tidak menggunakan akal untuk berfikir tentang bahaya yang ada.

Aku kena lebih menikmati kehidupan kerana bila-bila masa kau boleh hilang nyawa atas jalan raya.
Sayangi mereka yang sayangi kita, kerana bila-bila masa sahaja semuanya akan tamat.

Aku bersyukur aku selamat.
Aku harap akan datang aku tidak akan hilang nyawa atas jalan raya.
Jalan raya bukan tempatnya untuk hilang nyawa.


========================= ============


Itu sahaja kali ini.
Let just hoping that minggu depan ada entri yang lebih berisi daripada aku.
Amin.







.

Jun 20, 2018

Sembang Syawal: MENUJU KE HADAPAN!



Salam.

Ini adalah satu entri yang dijadualkan pada tarikh 20 Jun 2018.
Tarikh berkenaan merupakan hari raya keenam,
dan aku pula hanya akan balik kampung pada hari raya ketiga,
dan aku tak pasti pada tarikh bila pula akan aku sentuh komputer untuk update blog,
maka entri ini ditulis lebih awal dan dijadualkan pada tarikh berkenaan.

Sebelum apa-apa, belum terlewat untuk aku ucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.

Kalau aku ada terbuat silap dengan sesiapa yang membaca entri ini,
aku mohon kalian beritahu apa silap aku supaya aku boleh minta maaf dengan ikhlas.
Kalau kalian ada terbuat silap dengan aku pula,
anggaplah aku sudah maafkan kalian tanpa sebarang perasaan dendam terbuku di hati.




Untuk entri kali ini,
aku nak sembang tentang apa yang aku nak capai sebelum menjelang Syawal tahun hadapan (1440h):


1. Harap sempat dapat bertemu dengan Ramadan tahun depan.

Sounds cliche dan acah-acah bila aku kata aku harap aku sempat dapat bertemu Ramadan tahun depan, tapi memang itu yang aku harapkan. Secara umum, aku rasa Ramadan yang baru lepas ini (1439h) adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun sebelumnya (1438h) namun aku tahu aku boleh jadi lebih baik. Sebab itu, aku harap aku panjang umur untuk bertemu Ramadan tahun depan (1440h) supaya aku boleh kekalkan momentum dan menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. InsyaAllah, Amin.



2. Harap status pada Syawal tahun hadapan tidak sama dengan sekarang.

Ini adalah sesuatu yang sangat aku beratkan sejak tahun lepas, namun aku rasa aku tidak cukup berusaha ke arahnya. Namun kali ini, aku akan anggap ini sebagai satu misi. Maksud aku status yang tidak sama bukan bermakna aku terdesak nak kahwin atau apa, tapi lebih kepada aku mahu melihat diri sendiri maju ke depan berbanding sebelumnya. Aku juga manusia biasa yang mahu disayangi dan menyayangi, mahu ada keluarga sendiri, mahu hidup berteman dan diteman. Namun, kesemua itu bukan berada di dalam kawalan aku sepenuhnya. Rezeki, jodoh, ajal maut bukan tugas manusia menentukannya. Doakan aku, ya!



3. Harap boleh buang perangai buruk.

Aku ada satu perangai buruk yang aku sendiri benci tapi sebab sudah lama jadi tabiat maka aku tak mampu nak halang. Maaf, aku tidak boleh beritahu apa perangai buruk aku itu buat masa sekarang, tapi aku sangat mahu buang perangai itu. Kalau aku berjaya buang nanti aku akan beritahu apakah ia. Tapi cukuplah kalian tahu, tabiat buruk itu sangat memberi kesan buruk kepada aku dan ia memudaratkan. Aku rasa, aku perlu lebih serius dalam merancang untuk membuang perangai ini. Susah, tapi aku tahu aku mampu.



4. Harap boleh dapat lebih banyak kawan yang bermanfaat.

Dengar macam harapan budak kecil yang baru masuk kelas tadika; mahukan lebih banyak kawan. Tapi hakikatnya aku memang kurang kawan. Dari usia aku umur 12 tahun aku sudah diajar berdikari dan tidak bergantung, maka kebanyakan perkara aku lakukan sendiri. Akibatnya, aku jadi kurang kawan, apatah lagi kawan yang bermanfaat. Kawan yang ada waktu susah senang. Kawan yang bukan berniat lain dalam berkawan. Jujurnya, pada usia aku ini, nak dapat kawan sejati agak susah. Namun aku yakin, kalau aku sendiri jadi seorang kawan yang baik, maka orang yang baik juga akan mahu berkawan dengan aku. Tapi itulah...nak jadi orang baik bukannya semudah yang disangka.



5. Harap mampu untuk sambung belajar.

Kalau kalian baca blog aku, aku sering kali kata nak sambung belajar. Tapi aku dapati banyak halangan yang melintang menghalang aku untuk teruskan niat itu. Jauh di sudut hati aku sedar, aku sendiri pun tidak cukup nekad untuk merealisasikannya. Dengan usia yang makin lanjut, aku sedar otak aku pun tidak secerdas zaman muda remaja dahulu. Api semarak mahu sambung belajar pun sudah semakin malap. Apa yang aku perlukan adalah menyemarakkan kembali keinginan itu DAN cukup mampu dari segi fizikal, mental dan material untuk terus menuntut ilmu.



6. Harap kesihatan semakin baik dan berkekalan.

Antara faktor utama yang menyekat perkembangan aku belakangan tahun ini ialah faktor kesihatan. Tidak ramai tahu, even keluarga sekalipun, yang aku ni pada dasarnya bukanlah sihat mana. Tapi aku sedaya upaya sorokannya dan 'berlakon' tiada apa-apa di depan orang lain. Alhamdulillah, selepas struggle beberapa ketika, aku rasa aku makin sihat dan aku harap kesihatan ini akan terus meningkat semakin baik dan berkekalan. Dan dengan menyebut kesihatan, aku maksudkan kesemuanya; dari segi mental, fizikal, dan juga spiritual.



7. Harap segala dugaan dapat ditempuhi dengan jayanya.

Dulu aku suka berdoa agar aku dijauhi dari dugaan yang menjatuhkan. Tapi baru-baru ini aku diajar supaya tidak berdoa sedemikian kerana dugaan sentiasa akan datang. Dugaan, ujian dan cabaran adalah tanda Tuhan Yang Maha Penyayang menyayangi kita. Maka, mintalah doa supaya kita diberi kekuatan untuk menempuh segala dugaan yang tiba. Kalau kita kuat dan bersedia, apa juga dugaan yang datang tidak akan mematahkan semangat, pendirian dan iman kita.


------------------------- ------------


Ada seseorang pernah beritahu, jangan suka sangat nak beritahu azam, harapan atau misi kita kepada umum. Sebab takut nanti kalau tidak tercapai, kena balik dengan diri kita. Cukup sekadar diri sendiri sahaja tahu, sudah memadai.

Namun aku rasa, cara itu cara selamat. Aku lagi suka mengumumkan azam aku. Dengan memberitahu azam kita, kita seperti ada satu daya tolak untuk merealisasikannya. Kalau hanya diri sendiri tahu, kita akan jadi mudah untuk mengenepikannya.

Sengaja aku tidak beritahu secara terperinci tentang cara aku untuk realisasikan azam aku ini. Aku ada perancangan sendiri dan aku harap perancangan aku berjalan lancar.

Sama-sama kita majukan diri supaya jadi lebih baik berbanding hari sebelumnya.

Sekian.





.

Jul 5, 2017

Raya, Putus dan Rambut di Lubang Air.


Salam.

Selamat hari raya.
Hari raya adalah alasan kukuh untuk kita bertemu sanak saudara dan sahabat handai.
Berjumpa kenalan lama dan bertanya khabar, itu perkara biasa bila dapat berkumpul satu tempat sempena hari raya, kan?

Kesempatan ini aku ada bertanya keadaan seorang kawan.
Nama dia dirahsiakan, tapi dia baru sahaja putus cinta.
Dengar khabar hari tu, sudah bersiap sedia nak masuk meminang
tapi takdir nampaknya lebih kuat, putus di tengah jalan.

Bila ditanya kenapa, jawab kawan aku,
"Dia tak terima aku seadanya."

Aduhaaaaiiiii....
Itu ayat paling aku tak gemar dengar.
Rasanya aku dah ulang banyak kali dah kenapa aku tak suka ayat tu dalam blog ni,
kalian carilah post mana satu, aku malas nak selongkar.

"Dia tak boleh terima aku sebab aku perokok.
Dia berkali-kali suruh aku berhenti merokok tapi aku gagal.
Jadi dia tinggalkan aku."

"Dia tak terima aku seadanya (sebagai seorang perokok)!"



Mari aku bawa kalian balik flashback ke masa silam aku.

Pada masa aku masih pelajar kolej, aku ada bercinta dengan seorang perempuan.
Nama dia Nola (bukan nama sebenar).
Satu perkara yang aku bangga dengan diri sendiri ialah
kalau aku bercinta, aku bercinta betul-betul.
Memang tahap nak dijadikan isteri,
bukan sekadar nak main-main nak ikut trend.
0rang lain bercinta, dia pun bercinta, itu bukan aku.

Nola pernah beritahu aku yang dia geli dengan rambut,
terutamanya rambut gugur yang terperangkap dekat lubang bilik mandi.
Berkali-kali aku dengar dia merungut dekat bilik mandi hostel dia
penuh dengan rambut yang tersangkut dekat lubang air.

Mula-mula aku faham kegelian dia.
Dari cara dia cerita, memang dengar sangat menggelikan pun.
Jadi aku tidaklah ambil kisah mana.
Mungkin geli dia sama macam aku gelikan lipas kot,
jadi sangat acceptable.

Nak dijadikan cerita selepas beberapa bulan bercinta
aku berhajat nak kenalkan dia kepada keluarga aku.
Hari raya menjelma jadi aku jadikan itu alasan untuk bawa dia beraya ke rumah aku.

Untuk hilang kekok, dia bawa adik dia dan dua orang kawan lagi untuk beraya bersama.
Aku okey je, asalkan ada peluang nak kenalkan kepada Mak Abah aku.
Jenis Mak Abah aku,
kalau betul-betul serius baru boleh bawa pasangan kenalkan kepada mereka.
Kalau tak serius dan sekadar nak main-main cinta monyet, jangan bawa.
Abah aku polis (sekarang pesara), jadi dia sangat serius macam misai dia juga.

Disebabkan aku ni bercinta dengan serius (pada masa itu)
jadi aku memang nak bawa si Nola ni bertemu muka dengan Mak Abah aku.

Sambung cerita,
Nola, adiknya dan dua rakan kami pun datang beraya ke rumah aku.
Semuanya nampak lancar. Mak aku pun elok je melayan.
Kebetulan Abah aku kerja, jadi legalah sikit.
Aku pun tersenyum makan kuih raya sambil merancang masa depan...

...sehinggalah sesuatu berlaku.
"Makcik, nak pinjam toilet sekejap. Boleh?" kata Nola.

Mak aku pun tunjukkan bilik air di mana.
Beberapa minit kemudian, si Nola ini kembali ke ruang tamu dengan muka semacam.

(Sampai sini aku rasa semua pembaca boleh agak apa yang jadi, kan?)

Nola tak kata apa-apa,
tapi sebab aku ni hebat (perasan) baca ekspresi muka dan bahasa tubuh
aku tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Aku ke bilik air tadi mencari punca.

Ya.
Ada rambut tersangkut dekat lubang bilik air tersebut.
Panjang rambut tu, tapi tidaklah banyak. Dalam serumpun macam itu sahaja.
Aku syak itu rambut mak aku, sebab adik-beradik aku yang lain rambut mereka tak sepanjang itu.

Nola bermuka serba tidak kena dan berubah perwatakan
adalah disebabkan rambut itu.
At least itu hipotesis aku sebelum aku tanya dia untuk kepastian.
Tadi baik punya mesra tersenyum masih berjenaka dengan Mak aku,
lepas keluar bilik air terus bertukar macam kena sampuk bunian.

Selepas beberapa puluh minit, semua tetamu pun berhajat nak balik.
Aku minta kebenaran Mak aku untuk hantar semua tetamu balik dan Mak aku benarkan.
Sebenarnya, aku nak tanya Nola apa yang buatkan dia berubah muka.
Aku macam sudah tahu jawapannya, tapi aku tetap nak jawapan itu keluar dari mulut dia.

"Dalam toilet ada rambut. Saya geli," kata Nola.

Hey perempuan.
Benda yang kau kata geli itu rambut mak aku tau.
Mak aku syurga aku. Kau geli dengan syurga aku?

Sudah tentu aku tak marah pada masa itu.

Tapi beberapa bulan kemudian kami putus kerana bila kami dapat universiti yang berbeza selepas habis kolej, dia hendak aku mohon tukar universiti supaya dapat satu tempat belajar yang sama dengan dia.


Macam ni,
poin aku di sini ialah,
kalau aku terima si Nola itu SEADANYA,
bermakna aku juga perlu terima perangai geli rambut dia tu,
bermakna juga aku perlu terima dia geli rambut di bilik air walaupun itu adalah rambut aku mahupun rambut gugur mak aku.

Aku tak boleh terima dia geli dengan rambut mak aku.
Benda macam itu boleh kompromi kot, boleh dilepas pandang,
bukan satu isu besar sampai perlu geli berubah muka segala bagai.

Sebab itu aku tak suka frasa 'terima seadanya' itu,
sebab pada aku, kalau boleh berubah jadi lebih baik,
kenapa perlu terima seadanya?



Berbalik kepada cerita kawan aku si perokok kena tinggal tadi.
(Bekas) kekasih dia itu bukannya suruh dia berubah teruk mana,
dia suruh berubah jadi lebih baik, tinggalkan rokok.

Pada aku secara peribadi,
mereka putus bukan sebab kekasih (kini bekas) dia itu tidak terima dia seadanya,
tapi lebih kepada ada hal kecil lain yang berkumpul-kumpul dari awal
sehinggalah isu 'merokok' itu menjadi ultimatum.

Sama macam aku dengan Nola.
Memang kami putus sebab aku tak mahu tukar ke universiti yang sama dengan dia,
tapi itu adalah kemuncaknya, sedangkan semasa bercinta sebelum itu
banyak lagi isu lain yang dianggap kecil yang kami simpan dalam hati.
Isu-isu kecil inilah yang terkumpul macam bebola salji
dan sampai satu tahap sudah tidak boleh diselindung lagi.

Geli rambut gugur mak aku juga adalah isu 'kecil' itu.


========================= ============


Harap kalian yang baca boleh dapat poin utama yang aku nak sampaikan.
Aku dapat rasa yang aku tak tekankan sangat poin utama di entri ini.
Takut mesej tak sampai :(

Jadi, biar aku simpulkan;
my point is, why be yourself if you can be better?






.

Jun 28, 2017

Raya Dalam Gelap [Sebuah Luahan Perasaan].



Salam.

Rabu baru selepas masuk Syawal.
Belum terlambat untuk aku ucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.



Aku tahu masih ramai yang dalam mood beraya,
jadi aku tidak berminat nak kupas perkara yang berat.

Syawal aku tahun ini sama seperti sebelumnya.
Tahun lepas aku berdoa agak Syawal kali ini paling tidak aku tidak seorang.
Mungkin berpasangan, mungkin dalam hubungan,
tapi aku amat harap aku tidak keseorangan.

Tapi aku tetap keseorangan.

No, it's not a big deal
tapi aku sukakan progress.
Kalau tahun ini sama macam tahun lepas,
bukankah maknanya aku berada di takuk yang sama?
Mana progress?

Raya kali ini juga aku berharap ada hubungan buruk yang kembali elok.
Persahabatan yang menjadi keruh entah kenapa.
Ya, bila aku sebut tentang memohon kemaafan,
mesti akan keluar ayat dan frasa seperti
'tak salah kalau kita mulakan dulu'
tapi ketahuilah,
yang menjadikan hubungan itu keruh adalah dari pihak satu lagi
dan aku di sini tak tahu pucuk pangkal keadaan.
Aku tidak tahu apa salah aku, apa yang aku buat membuatkannya jadi keruh
apa aku boleh buat supaya kembali jernih.

Bayangkan orang yang diikat matanya dan berada di dalam kegelapan
tidak tahu perlu ke kiri, ke kanan, ke depan atau ke belakang.
Apa boleh dia buat?
Dia takut kalau dia bergerak akan memburukkan keadaan
jadi dia berkeputusan untuk duduk diam.

Dia itu aku.

Untuk menjernihkan hubungan itu,
aku tak tahu apa perlu aku buat?
Perkara yang paling selamat untuk aku lakukan adalah berdiam diri
sebab kalau aku salah langkah, aku mungkin akan memburukkan keadaan.




Melihat abang-abang aku berkeluarga,
jujurnya aku juga mahu berkeluarga seperti mereka.
Mungkin sudah masanya aku betul-betul serius memikirkannya.

Masa makin ke hadapan, bukan ke belakang.


Kepada semua,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN.

Jumpa minggu depan kalau nyawa masih berpanjangan.




.

Jul 13, 2016

Ringkasan Raya Tahun Ini.


Salam.

Seminggu Syawal sudah berlalu.
Seperti biasa, aku akan buat ringkasan raya aku untuk seminggu pertama Syawal ini.

Disebabkan mood melukis aku ke laut,
jadi izinkan aku recyle lukisan lama.
Maaf~








Bagi yang tidak tahu,
aku demam di hari raya pertama.

Bagi yang tidak tahu juga,
aku sekeluarga tidak pulang ke kampung dan hanya berada di Wilayah Lumpur berhari raya.

Raya pertama,
selepas solat sunat Aidilfitri dan bersalam-salaman memberi duit raya,
kami sekeluarga ke Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur melawat anak buah.
Wad anak buah aku ditempatkan ada buat wad terbuka (ala-ala rumah terbuka),
menghidangkan juadah hari raya di lobi wad.
Semua penghuni wad termasuk pesakit, pelawat dan doktor digalakan memakai baju raya.
Nurse je yang mesti beruniform putih.
Entah laa kenapa, etika bekerja kot.

Aku demam.
Maka interaksi aku dengan anak buah aku perlu dibataskan.
Takut berjangkit.
Tapi seronoklah juga.
Berkenalan dengan keluarga lain yang senasib beraya di hospital.
Ramai sukarelawan datang buat persembahan dan nyanyian memeriahkan suasana raya.
Beberapa persatuan dan orang kenamaan juga melawat sambil bagi buah tangan.
Ini memang satu pengalaman yang tidak akan aku lupakan,
beraya di hospital.

Balik dari hospital, kami singgah ke rumah saudara yang juga tak balik kampung.
Demam-demam pun aku gigihkan juga beri senyuman semanis mungkin.

Raya kedua,
aku dapat berita dari wad semalam yang kami pergi raya tu,
seluruh penghuni di wad tersebut diserang demam.
Terima kasih kepada aku kerana menyebarkan virus demam ke seluruh wad.

Maaf~

Sepanjang hari kedua,
aktiviti aku adalah sama ada melayan rancangan TV, atau makan juadah atas meja.
Oh, juga,
hari raya kedua ini adalah hari kali pertama aku makan Subway.
Nama je duduk KL, tapi aku mana reti nak cuba benda-benda urban ni.
Try menu chicken tandoori (tak boleh lupa) hasil pengaruh Mon yang asyik-asyik cerita pasal Chicken Tandoori dari Subway masa puasa lepas.
Thanks Mon. Sedap oooo.
Jom aku belanja kau jom.

Raya ketiga,
raya keempat,
raya kelima,
raya keenam,
raya ketujuh dihabiskan dengan sesi mengemas rumah Abah Mak.
Abah sudah pencen polis, jadi dia kena keluar dari perumahan polis.
Aku pun membesar di situ, jadi satu bilik tu memang penuh barang aku.
Nak kena pindah, maka barang kenalah kemas.

Entah sejak raya keberapa baru demam aku kebah, aku tak perasan.
Mungkin sebab berpeluh lenjun sibuk mengemas rumah kot.

Sekian ringkasan raya aku.
Ringkas kan? Ringkas kan?
Kalian tak nak buat rumah terbuka ke?
InsyaAllah kalau dijemput dan tercapai jaraknya, aku datang. Heh.

Macam mana dengan seminggu raya kalian?
Best?
Duit raya janji nak tong-tong dengan aku kan?
**buat muka minta penampar**





.

Jul 6, 2016

Salam Syawal 1437H





Salam.

Di kesempatan ini,
saya cEro, ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri.
Seperti klise post blog sempena hari raya,
saya juga mahu memohon maaf andai ada salah silap sama ada dalam percakapan, penulisan dan lukisan.

Jika ada yang mahu menuntut janji dan hutang dari saya,
janganlah segan berhubung dengan saya melalui apa juga cara yang ada.
Juga jika ada yang pernah buat salah dengan saya,
anggap sahaja saya sudah memaafkan sempena Syawal yang mulia ini.

Juga seperti klise post blog saya sempena hari raya,
jika ada antara kalian yang baca entri ini pada hari raya pertama, kedua dan ketiga,
saya menyeru selepas habis baca entri ini agar tutuplah segala browser, laptop, komputer, gadget dan telefon pintar anda dan pergilah berinteraksi dengan mereka-mereka di sekeliling.

Sudah tentu semasa raya,
mereka yang berada di sekeliling kita adalah orang-orang yang kita sayang,
sementara mereka masih ada di sekeliling kita
ambillah kesempatan untuk bersama-sama dengan mereka.

Sekali lagi,
seperti klise post blog sempena hari raya,
saya menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf.
Maafkan saya seluruh zahir dan sepenuh batin.

Yang mahu pelawa saya ke open house,
jangan segan silu, pelawa saja.
Tapi datang atau tidak itu cerita kemudian...hehehe

Disebabkan ini entri yang sudah di-schedule,
maka ikutkan perancangan, hari raya pertama saya mungkin akan dihabiskan di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur.
Tapi semasa entri ini ditaip,
saya sedang mengalami mild cold, hingus dan bersin sana sini.
Jadi rasanya sama ada saya akan ditahan hanya di lobi hospital
ataupun saya akan berseorangan di rumah menonton program TV.

We'll see about that...



Jadi,
baju raya kalian warna apa tahun ni?
Siapa boleh teka warna baju raya saya?

Rasa skema sangat guna saya. Hahahahahahaha


Selamat Hari Raya Aidilfitri.
#TeamRayaKualaLumpur





.

Jul 29, 2015

Seminggu Berhari Raya.






Salam.

"Alaa, C. Entri raya lagi? Bosan arr bro!"
"Tak habis lagi ke raya kau ni?"
"Kontang idea letteww..."

Tuan-tuan dan puan-puan,
pengajaran hari ini ialah KEPENTINGAN TIMING.

Timing is everything.

Disebabkan hari raya tempoh hari jatuh pada hari jumaat,
dan aku perlu up entri pada hari rabu,
maka aku hanya boleh publish entri 'Seminggu Berhari Raya' pada hari ini, iaitu hari raya ke-13.
Which is sadly esok sudah 14 hari raya merangkap dua minggu,
jadi agak tak kena sikit timing entri ni.

Jika kalian raya bosan dengan entri raya,
aku ucapkan ucapan ribuan kemaafan.
Maafkan hamba yang tidak pandai timing ini.

Baiklah, merujuk kepada tajuk,
biar aku ceritakan seminggu aku berhari raya.




Malam raya,
kami sekeluarga masih di Kuala Lumpur.
Kami hanya boleh balik kampung pada hari ketiga raya.
Dengan niat mahu kaji bagaimana raya beri efek kepada berat aku,
aku timbang berat badan pada malam raya sebagai rujukan.

57kg bukan berat aku yang sepatutnya.
Alkisahnya, seminggu sebelum masuk Ramadhan tempoh hari
aku jatuh demam yang teruk.
Bukan setakat demam, aku kena hinggap sakit mata, sakit tekak, selsema dan cirit-birit mengakibatkan aku kehilangan banyak berat badan.

Berat badan hilang aku tak kisah sangat
sebab bermakna lemak di perut berlipat aku pun menyusut.
Tapi yang aku kisah ialah otot aku pun turut menyusut.
Tahu tak susah gila untuk ada tona badan yang sedikit berotot?
Otot ni, nak naik susah. Nak maintain pun susah.
Nak hilang sekelip mata je.

Sehingga hujung Ramadhan,
aku hilang 8kg, membuatkan seluar aku sangat longgar dan boleh londeh tanpa perlu ditarik ke bawah.
Dah boleh jadi duta produk kelangsingan dah...

Jadi,
misi raya aku kali ini ialah naikkan berat badan.





Raya pertama.
Selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan segala sesi bermaaf-maafan,
kami sekeluarga ke rumah terbuka balai tempat Abah aku kerja (balai terbuka?).

Apa lagi,
nampak nasi impit, lemang, ketupat, lontong di depan mata,
aku bedal semuanya.
Hasilnya,
panggilan alam yang bersahut-sahutan.

Balik rumah, perut pun dah bulat.
Apa lagi, ambil bantal, buka kipas full dan...
...cari kacang dulu...
kemudian tidur.

Hari raya pertama aku habis dengan makan dan tidur sahaja.





Raya kedua.
Nak ziarah sedara-mara, semua dah balik kampung.
Sahabat handai rakan taulan apatah lagi.
Jiran tetangga pun habis lengang semuanya.

Maka,
kami adik-beradik berkeputusan mahu pergi menonton wayang.
Walaupun yang lain nak tengok cerita lain,
tapi aku guna kuasa veto suruh semua tengok filem Lelaki-Semut.
(Patutlah Amerika berkuasa sangat, rupanya kuasa veto sangat best..hehehe)

Seperti yang dijangkakan, Ant-Man sangat best.
Mak aku yang tak layan movie omputih pun kata best.
Kalian dah tengok? Belum? Rugi!
Pergi tengok sekarang. PERGI!





Raya ketiga.
Kami sekeluarga balik kampung, ke utara. Bertolak pagi.
Yang bestnya, sebab hari ini hari ahad,
jadi ramai yang balik dari kampung.
Highway arah sebelah penuh dengan kereta.
Tapi laluan kami lancar je, bantai 140 pun boleh pejam mata.

Yang tak bestnya,
sebab jalan sebelah penuh kereta,
kemalangan pun banyak kami jumpa.
Aku kira kalau kereta terbalik sahaja, dekat 4 tempat kemalangan ada.
Dari pecut 140 pejam mata, terus pandu berhemah ikut halaju.
Takut nanti kami pula jadi angka statistik.

Sampai kampung agak petang,
penat sangat aku tertidur sampai maghrib.





Raya keempat.
Hari ini barulah raya yang sebenar.
Kami ziarah kubur, jumpa saudara mara, jiran sekampung.
Jalan-jalan keliling kampung bertegur sapa.
Makan kuih raya orang buat sampai kembong.
Kami siap pergi ke taman tasik lagi untuk buat sesi fotografi.
Nampak pula ada gelongsor batu, apa lagi,
naluri kanak-kanak membuak-buak.

Maka adalah seorang manusia purba yang bermain gelongsor di taman.
Puas hati ooo...
Memang tak kontrol hensem langsung dah.
Nak kontrol camne, hensem pun takde...
**sigh**





Raya kelima.
Hari ni patutnya dah bergerak balik.
Tapi Abah kata nak ziarah saudara dekat Penang.

PENANG?
Sekali je aku pernah sampai Penang.
Tu pun dekat seberang je, tak jejak pulau langsung.

Jap, sebelum kena gelak,
betul ke aku panggil Seberang Perai tu 'Seberang'?
Faham kan maksud aku kan?
Kalau salah, mohon diejek dibetulkan.

Kali ni kami akan ke pulau.
Naik feri dari jeti Butterworth.
Tapi sebelum tu singgah tibai nasi kandar dulu sepinggan.

First time ooo naik feri.
Dia punya eksaited macam Jack naik kapal Titanic ooo...
Cuma Jack tu hensem, aku hensem tang kaki ja.

Sampai pulau, kami singgah ziarah rumah saudara jauh di Balik Pulau.
Mendaki jugalah nak jumpa Balik Pulau tu.
Tapi berbaloi.
Dapat tibai durian. Katanya durian Balik Pulau the best in town.
Hehehehe...

Apa aku perasan tentang Penang ialah
pemandu-pemandunya suka main hon.
Jalan sikit, hon. Lambat sikit, hon.
Nak tukar laluan, hon. Nak berhenti, hon.

Pada akulah kalau duduk KL, hon kenderaan ni umpama mencarut.
Nampak douchebag nak cilok lane, baru kita mencarut bagi hon.
Rasanya dekat Penang, bagi hon macam bagi salam kot.
Entahlah...hehehe
Jangan terasa ye orang Penang.





Raya keenam.
Semalam dari Penang terus balik ke KL.
Dia punya sesak aduyai...kematu pungkoq aih.
RnR pun sesak bergesel-gesel punggung dengan orang lain.
Highway sesak, lari jalan lama.
Jalan lama pun sesak. Lagi teruk adalah.
Last-last masuk highway balik.
Sampailah ke rumah dalam pukul 3 pagi.

Sebab tu raya keenam ni macam layu sikit.
Lebam biji mata, punggung semua.
Nak makan pun malas, sedut kari guna straw je.

Lepas tu ada pula budak nak datang beraya.
Eh? Bukan dah mula start sekolah ke hari ni?
Bebudak ni tak sekolah ke?
Ke dalam perjalanan ke sekolah, singgah beraya dulu?





Raya ketujuh.
Seminggu sudah berhari raya.
Raya kali ni lain sikit sebab semua orang ada.
Abang-abang yang dah kahwin dan beranak pun ada.
Jadilah aku angkel yang budiman seminggu.

Maka,
aku pun pergi timbang berat, nak tengok hasil menternak lemak.
Rasanya dengan abiliti dan kapasiti makan aku,
berat aku dah naik seperti yang diharapkan.

Bila ditimbang...
Ya, naik.
Tapi kenapa naik satu kilo ja?
Mana lemang ketupat nasi impit kuih raya yang aku telan kelmarin?
Mana?
MANA?


**tinggalkan post ini tergantung, cliffhanger**





.

Jul 22, 2015

Baju Raya dan Soalan Raya.


Salam.
Selamat hari raya.

Macam mana kalian beraya?
Ada timbang berat badan tak pagi raya pertama tempoh hari?








Kalau kalian follow aku di twitter @cerolian,
kalian akan tahu yang aku hanya beraya di KL pada hari raya pertama.
Kami hanya boleh balik kampung pada raya ketiga.

Tuntutan kerja. Apakan daya.
Tapi Abah akulah yang kerja, bukan aku.
Aku menternak perut je dekat rumah...Hahahah

Kalian juga tentu sudah tahu baju raya aku warna biru.
Aku beritahu dalam kesemua 3 post entri aku sebelum ini.
Aku sangat yakin biru aku itu sangat rare dan susah nak jumpa yang sama.
Tapi rupanya aku pandang rendah dekat orang ramai...

Kalau nak dirumuskan, raya tahun ini pada aku raya biru.
Asal aku pusing kepala saja, mesti jumpa baju raya warna biru.
Biru tona macam aku pula tu...isyhhh...
Habis sepasukan boria solat sunat hari raya dalam satu saf.

Berkenaan soalan famous hari raya untuk golongan bujang macam aku,
aku ada sediakan satu senarai jawapan yang boleh menyentap kalbu si penanya.
Kalian boleh ulangkaji jawapan aku di entri tahun 2012 ini.

My personal favorite ialah jawab dengan dua perkataan;
"Saya gay"
dan nikmatilah perubahan di muka yang bertanya.

Kalian pula bagaimana?
Macam mana raya kalian setakat ini?
Perut naik berapa inci? Wahahaha



.

Jul 17, 2015

Salam Syawal 1436H





Salam.

Di kesempatan ini,
saya cEro, ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri.
Seperti klise post blog sempena hari raya,
saya juga mahu memohon maaf andai ada salah silap sama ada dalam percakapan, penulisan dan lukisan.

Jika ada yang mahu menuntut janji dan hutang dari saya,
janganlah segan berhubung dengan saya melalui apa juga cara yang ada.
Juga jika ada yang pernah buat salah dengan saya,
anggap sahaja saya sudah memaafkan sempena Syawal yang mulia ini.

Juga seperti klise post blog saya sempena hari raya,
jika ada antara kalian yang baca entri ini pada hari raya pertama, kedua dan ketiga,
saya menyeru selepas habis baca entri ini agar tutuplah segala browser, laptop, komputer, gadget dan telefon pintar anda dan pergilah berinteraksi dengan mereka-mereka di sekeliling.

Sudah tentu semasa raya,
mereka yang berada di sekeliling kita adalah orang-orang yang kita sayang,
sementara mereka masih ada di sekeliling kita
ambillah kesempatan untuk bersama-sama dengan mereka.

Sekali lagi,
seperti klise post blog sempena hari raya,
saya menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf.
Maafkan saya seluruh zahir dan sepenuh batin.

Yang mahu pelawa saya ke open house,
jangan segan silu, pelawa saja.
Tapi datang atau tidak itu cerita kemudian...hehehe

Special thanks to Cik Zyra sebab saya tiru dia punya lukisan untuk entri kali ni.
Tajuk pun saya tiru sekali. Hehehe.
Go check her out here.


Semoga kita berjumpa di post seterusnya. InsyaAllah.
Alang-alang dah sampai sini silalah ke entri hari rabu lepas bertajuk Baju Baru.
Hehehe.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
#TeamBajuRayaBiru




.

Aug 10, 2014

Ringkasan Raya Aku Tahun Ini...













Selamat hari raya keempat belas.

Pada aku,
raya tahun ni biasa-biasa saja.
Mungkin disebabkan suasananya sama macam tahun lepas.
Mungkin juga disebabkan terdapat konflik dalaman keluarga sikit.
Mungkin juga disebabkan faktor usia yang tak berapa nak muda ni.

Tapi aku sentiasa berharap agar raya aku yang mendatang,
jika masih dipanjangkan usia,
masih lagi relevan untuk aku dan orang sekeliling aku raikan.

Jika kalian sedang merasakan keseronokan dan kemeriahan hari raya,
nikmatilah ia sepenuhnya.
Jangan buang masa dengan segala gadget, tablet dan komputer yang ada.
Jangan sibuk sangat berselfie.
Sebab nanti bila kemeriahan itu sudah hilang,
itulah yang kita paling rindu sekali.

Selamat hari raya Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin :)



.

Jul 28, 2014

Maaf Zahir dan Batin. #Eid







Senja tiba langit nan gangsa,
Sayup kedengaran takbir bergema;
Sebulan sudah kita berpuasa,
Kini Syawal datang menjelma.

Sayup kedengaran takbir bergema,
Tanda kebesaran pujian kepada-Nya;
Kini Syawal datang menjelma,
Marilah kita meraikannya.

Tanda kebesaran pujian kepada-Nya,
Sujud menghadap Yang Maha Mencipta;
Marilah kita meraikannya,
Saling bermaafan sesama kita.

Sujud menghadap Yang Maha Pencipta,
Salam bersalaman berlapang dada;
Saling bermaafan sesama kita,
Jangan lupa pada yang tiada.

Salam bersalaman berlapang dada,
Kunjung mengunjung khabar bertanya;
Jangan lupa pada yang tiada,
Kirimkan doa pohon redha-Nya.

Kunjung mengunjung khabar bertanya,
Tidak kira miskin atau yang kaya;
Kirimkan doa pohon redha-Nya,
Kuucapkan selamat hari raya.



Saya, cEro, dengan rendah diri ingin memohon maaf andai terkasar bahasa tersilap kata kepada sesiapa sahaja yang di luar sana.
Andai ada salah dan perlu diselesaikan secara peribadi,
sila jangan segan berhubung dengan saya.

Seperti pesanan saya pada raya-raya yang lepas,
jika anda membaca entri ini pada hari raya pertama, kedua dan ketiga,
saya dengan lembut memohon agar anda berhenti membaca
dan berhenti menghadap apa jua alat elektronik (komputer, henfon, tablet, gadget dan sebagainya)
dan pergilah meraikan hari raya bersama jasad manusia yang nyata.

Berkunjunglah ke rumah saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga.
Merekalah yang bakal mendoakan kita ketika kita tiada kelak.
Bukannya status atau tweet di dalam laman sosial.

Sekali lagi,
saya memohon maaf andai terkasar kata.


Selamat hari raya Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin :)



.

Aug 8, 2013

Raya! Raya! Raya!!


Salam.
Tahukah kalian apa yang baru bagi aku raya tahun ni?
Tak ada apa-apa.



Tahun ni aku berkeputusan untuk ambil langkah bersederhana.
Semua guna semula. Mix and match.

Ramadhan yang berlalu agak membuatkan aku sayu.
Harap tahun depan dapat bertemu kembali, insyaAllah.

Dengan ini aku minta ampun sepuluh jari andai ada terkasar bahasa terluka hati sesiapa.
Kalau boleh, halalkan apa sahaja yang kalian beri kepada aku.
Kalau tak boleh halal, kalian boleh tuntut dengan aku, insyaAllah.

Oh ya,
kalau ada korang yang nak buat rumah terbuka dan nak jemput aku *batuk batuk*
aku sangat berbesar hati.
Kalau dekat, aku pergi (insyaAllah)

Terima kasih kerana terus menyokong aku dalam blog ini.
Walau ada kala aku hilang, tapi korang tetap ada.

Oh, dan kalau korang baca entri ni pada hari raya pertama, kedua, dan ketiga,
aku suggest korang tutup browser dan shut down computer lepas habis baca.
Hari raya, biarlah kita bergembira di alam nyata juga...
Jangan laa asyik nak duduk depan computer saja..

Akhir kata,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1434h
Maaf zahir batin.



.

Aug 19, 2012

Pergilah Menyambutnya.







Selamat Hari Raya Aidilfitri
1433H
Maaf Zahir Batin.

Nov 6, 2011

Salam AidilAdha 1432h




Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Salam Aidiladha aku ucapkan,
Makan rendang jangan lupa kat aku.

Makan ulam berlauk pari,
Duduk si dara bersopan santun;
Kalau kalian bijak bestari,
Jom komen dalam bentuk pantun.

Ada beran?

Sep 9, 2011

Ajaran #13 - Teknologi Sepatutnya Memudahkan Kehidupan, Bukan Menyusahkan.

Musim perayaan begini,
sangat seronok jika bergambar.
Dua jenis gambar yang aku suka ialah gambar berkumpulan
dan gambar kandid.
Tapi, selalunya, si jurugambar yang menjadi mangsa tiada dalam gambar.
Thanks to the invention of self-timer,
kini semua boleh berada dalam gambar, termasuk jurugambar.















Yup!
Kadang-kadang, teknologi juga menyusahkan.
Namun, apalah gunanya teknologi tanpa kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License