Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Syawal. Show all posts
Showing posts with label Syawal. Show all posts

May 13, 2020

Baju Raya Saya Tahun Ini! [GIF Game]


Salam.




Di atas adalah satu hasil karya aku untuk Twitter, sebuah komik ringkas dalam bentuk fail GIF mengenai baju raya untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terbitan jenis ini di Twitter digelar sebagai 'GIF game'.

GIF game adalah satu 'permainan' semi interaktif dengan para pengguna internet. Orang lain akan screenshot komik GIF itu dan akan beritakan hasil dapatan di ruangan komen/reply.

GIF game bukan baru, tapi baru-baru ini dipopularkan oleh akaun Twitter @mindblowon, pelukis komik Tahi Lalats dan trendnya diikuti ramai orang lain. Keseronokan mendapat keputusan screenshot yang menarik dan kadang kala tidak masuk akal menjadi penarik kepada permainan ini.

Jadi kenapa aku pun buat GIF game?
Adakah mahu mengejar populariti di internet?

Yang mana kenal aku dari dulu tahu bahawa populariti bukanlah sesuatu yang aku kejar.

Tujuan utama aku buat GIF game ini ada dua.
Salah satunya adalah untuk sendiri merasai bagaimana untuk menghasilkan fail GIF.

Dan menghasilkan GIF menggunakan lukisan sendiri bukannya mudah.

Fail GIF merupakan fail imej yang terdiri daripada susunan beberapa imej yang dipapar berubah mengikut rangka masa yang ditetapkan. Ia seperti fail video, tapi bukan video.

Idea menghasilkan komik GIF bertemakan baju raya seperti di atas adalah atas dasar mahu memeriahkan suasana kerana disebabkan pandemik COVID-19 sekarang, kebanyakan orang tiada peluang untuk beli baju raya baru. Idea di dalam GIF ini adalah untuk 'rembat sahaja apa baju yang ada' untuk hari raya.

Namun, menghasilkan satu komik GIF seperti ini bukannya mudah. Untuk komik di atas, aku kena menghasilkan 40 lukisan 'baju raya' dan idea untuk kesemua 40 baju itu tentulah kena berbeza. Malah aku perlu juga memasukkan elemen kelakar, elemen 'entah apa-apa entah', dan juga sudah tentu elemen normal di dalam 40 lukisan itu.

Namun kesemua 40 pakaian itu perlu diikat pada satu watak yang malar. Watak si pemakai itu aku perlu lukis sebagai manusia yang tiada bias jantina kerana aku tahu para 'pemain' nanti tidak hanya tergolong dalam satu jantina sahaja. Juga watak itu tidak boleh mewakili hanya satu warna kulit, maka aku lukis dia memiliki warna kulit putih kosong, satu warna yang tiada manusia pun memilikinya.

Idea tambahan juga perlu ada perubahan dalam teks dan ekspresi muka bergantung kepada pakaian mereka. Takkanlah aku nak letak teks 'cantik tak' dan ekspresi muka senyum untuk lukisan bogel, kan?

Namun untuk datang dengan 40 idea lukisan bukannya senang. Menjana idea senang, tapi banyak faktor lain perlu aku fikirkan sebelum memilih idea tersebut sebagai satu daripada 40 lukisan ini. Contohnya, watak itu perlu dikenali ramai. Kalau aku lukis dia memakai pakaian Jiraiya, mesti ada pemain yang tidak kenal siapa Jiraiya.

Dalam 40 lukisan itu juga perlu ada pakaian 'normal' (baju kurung, baju melayu) bagi mewakili pemain itu sebagai menang (sudah tentu pakai baju melayu/kurung di hari raya adalah kemenangan, kan?)

Namun,
banyak perkara baru yang aku belajar dalam menghasilkan GIF ini.

Sebagai contoh, warna untuk seluruhan lukisan perlulah sedap mata memandang dan tidak terlalu striking. Ini sedikit susah kerana selalunya warna yang aku pilih ketika melukis di komputer akan sedikit berbeza dengan di telefon bimbit. Ini berlaku kerana perbezaan jenis skrin yang ada. Selalunya, warna di telefon bimbit akan jadi lebih menyerlah berbanding di komputer.

Saiz lukisan juga penting. Menurut internet, GIF yang bagus berada pada saiz kurang 1 MB. Aku lukis di atas kanvas 1000x1000 piksel. Tapi sebelum digabung menjadi GIF, aku ubah kepada hanya 500x500 piksel. Ini hasilkan GIF dengan saiz 1.18 MB. Kalau aku mahu kurangkan saiz itu, aku perlu kecilkan lagi kanvas tadi. Tapi kecilkan kanvas hanya akan menurunkan kualiti lukisan. Maka aku buat keputusan untuk kekal dengan 500x500.

Juga, selang masa untuk satu lukisan juga memainkan peranan. Terlalu laju akan merosakkan transisi gambar, tapi terlalu perlahan pula tidak seronok. Untuk GIF di atas, aku letak 0.04 saat untuk satu gambar. Aku telah cuba 0.05 saat tapi merasakan ia terlalu lambat. 0.03 saat pula terlalu laju.

Maka, 40 lukisan dengan 0.04 saat satu lukisan hanya menghasilkan 1.6 saat. Bayangkan lukis susah-susah 40 lukisan hanya untuk hiburan sepanjang hanya 1.6 saat.



Ok, biar aku berterus terang.
Walaupun benar GIF di atas terdiri daripada 40 frame lukisan dengan selang masa 0.04 saat/lukisan, namun aku hanya lukis 39 lukisan. Sebenarnya dalam perancangan memang ada 40 idea lukisan, namun bila sudah habis baru aku perasaan aku tertinggal satu lukisan. Sepatutnya ada watak dalam suit Batman di dalam GIF ini.

Tapi sebab kurang satu untuk jadikan 40, maka aku ambil salah satu daripada 39 lukisan tadi dan copy menjadikan jumlahnya 40. Aku berniat nak buat satu permainan selingan dengan menyuruh pemain meneka lukisan mana berulang dua kali dalam 40 lukisan tersebut, tapi aku sedar adalah mustahil untuk pemain dapat teka kecuali dengan menguraikan kesemua 40 frame dalam GIF itu satu persatu.


Oh, kalian tanya apa satu lagi tujuan aku buat GIF game ini?

Jawapannya,
aku ada azam untuk melukis 1000 lukisan dalam tahun 2020 ini. Maka dengan menghasilkan GIF ini, aku sudah boleh tambah lagi 39 lukisan di dalam rekod aku.



Jadi,
apa baju raya yang kalian dapat selepas screenshot GIF di atas?



Sekian.



  




.

Jul 3, 2019

Bebelan Hujung Syawal.



Salam.



Jadi,
bulan Syawal pun sudah berada di penghujungnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai kenalan seperti saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga yang dapat bertemu semasa rumah terbuka, kenduri, mahupun kunjungan ke rumah akan bertanyakan soalan yang sama;

"Kau bila nak kahwin?"

Sudah tentu mereka tidak bertanya seperti itu. Mereka sekarang semakin kreatif, maka soalan yang sama diubah frasa menjadi lebih segar dan menyegarkan, seperti;

"Sampai bila nak datang seorang ni?"
"Isteri mana? Tak ikut?"
"Anak sudah berapa?"

...dan yang semaksud dengannya.

Seperti biasa,
aku sudahpun sediakan satu set jawapan untuk soalan sedemikian. Jawapan nombor dua paling kerap aku gunakan tahun ini ialah;

"Jodoh belum sampai lagi..."
sambil ketawa kecil dan tersenyum basi.

Perkataan 'jodoh' itu sedikit sebanyak membuatkan si yang bertanya akan berusaha untuk tidak memanjangkan soalan kerana tanyalah siapapun orang Islam, mereka akan tahu bahawa jodoh adalah antara perkara yang tidak berada di dalam tangan manusia. Kebanyakan yang bertanya akan terus tukar topik bila aku sentuh soal jodoh.

Dan aku gunakan perkataan 'kebanyakan' di dalam perenggan di atas disebabkan masih ada segelintir daripada mereka yang bertanya akan memanjangkan isu dengan berkata,

"Kau memilih sangat ni..."

dan meletakkan aku di kandang mereka yang patut dipersalahkan.

Kalau kalian kenal aku, dan aku rasa kalian tidak, sebenarnya aku langsung bukan seorang yang memilih dalam soal jodoh berpotensi. Malah, syarat utama aku cukup mudah; bakal jodoh aku perlu sukakan aku kerana aku, dan bukan sukakan aku disebabkan mereka sukakan seseorang yang mereka anggap sebagai aku.

Dengar mudah, bukan?

Sudah tentu orang yang sukakan kita itu sukakan diri kita. Kalau mereka sukakan orang lain, kenapa mereka kata mereka suka kita, kan?

Tapi dalam isu aku, ia tidak semudah membina ayat dengan 12 patah perkataan seperti di atas.

Kebanyakan mereka yang 'pernah' kata mereka suka aku sebenarnya sukakan persona yang aku tonjolkan di medium lain. Mereka sukakan alter ego aku. Mereka langsung tidak kenal siapa aku. Malah, mereka tidak mahu kenal pun siapa diri aku yang sebenar. Mereka fikir, hanya kerana mereka sudah baca satu dua perkara tentang aku di medium-medium itu, maka mereka sudah kenal aku. Sedangkan mereka tidak tahu pun satu perkara tentang aku. Nama aku, pekerjaan aku, warna kegemaran aku, makanan kegemaran aku. Langsung mereka tidak ingin tahu.

Kalau kalian fikir aku suka warna kuning, kalian salah sama sekali.

Inilah salah satu sebab utama kenapa aku asingkan kehidupan realiti aku dan alter ego aku sebagai cEro.



Tipulah kalau aku kata aku tidak langsung risau soal jodoh. Anak-anak buah aku pun sudah semakin membesar dan semakin bertambah setiap tahun. Kawan-kawan sebaya pun lebih banyak bercerita tentang 'prosedur kemasukan murid darjah satu/ tingkatan satu di sekolah kerajaan' di dalam group WhatsApp berbanding dengan rancangan nak lepak kedai mamak mana malam nanti.

Tahu kan satu group WhatsApp kawan-kawan satu sekolah yang penuh dengan gambar keluarga kecil masing-masing berpakaian sedondon dan letak wordart di bahagian atas gambar yang tertulis 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin daripada kami sekeluarga' tu? Jujurnya, aku pun nak buat gambar macam tu.

Tipulah kalau aku tidak risau. Aku risau.

Jadi bila saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga selalu sangat bertanyakan keberadaan status aku yang seorang ini, sekaligus mengingatkan aku kepada kerisauan yang sentiasa membelenggu diri di waktu sepatutnya aku makan hidangan yang sedap di atas meja di depan dan bergembira, kalian rasa apa patut aku rasa?



Nak tahu apa jawapan pertama paling kerap diberikan aku apabila ditanya soalan sedemikian?

"Diri sendiri pun sudah nak jaga, macam mana nak jaga anak orang pula nanti?"

Itulah jawapan paling jujur aku pernah beritahu. Di dalam jawapan itu terkandung segala perkara yang boleh sesiapapun bahaskan. Jawapan itu mengandungi penjelasan mengenai status ekonomi aku, status kesihatan aku (mental dan fizikal), kesediaan diri aku sendiri, kesediaan pihak satu lagi, perancangan masa hadapan, dan tanggungjawab berkeluarga.



Aku ni, nak bedah mata sendiri pun kena minta belas ihsan orang beri sumbangan.
Kau fikir aku mampu nak jadi ketua keluarga?







  




.

Jun 5, 2019

Salam Syawal 1440H



Salam.



Maaf.

Tiada persediaan khusus untuk entri Syawal tahun ini.
Aku kena tumpukan perhatian kepada perkara yang jauh lebih penting: penyembuhan diri.

Syawal kali ini seperti biasa kecuali dua;

1) Ada aksesori tambahan untuk busana raya aku, iaitu eye-shield (seperti dalam gambar) dan aksesori ini akan berlarutan digunakan sehingga seawal-awalnya seminggu berhari raya, serta

2) Sesuatu berlaku di pagi raya tadi yang membuatkan aku bukan lagi aku seperti yang dulu. Everthing now has changed.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

MAAF ZAHIR BATIN.


  




.

Jun 27, 2018

Tanpa Tajuk #14



Salam.

Bertemu lagi kita di dalam entri Tanpa Tajuk,
satu entri di mana beberapa isu mahu aku kongsikan tapi isunya terlalu pendek untuk diberi satu post khusus, maka aku rangkumkan beberapa isu itu di dalam satu entri.

Kali ini, entri Tanpa Tajuk berkisar sekitar RAYA.
Edisi RAYA.

Tanpa membuang masa,
mari kita terus ke tajuk sebenar yang ingin dibincangkan...





1. Baju Raya.

Jadi, aku lelaki.
Lelaki memang dikenali dengan perangai 'simple' mereka dan aku tidak terkecuali.

Di hari raya, kita dituntut berpakaian kemas dan cantik.
Maka, hari raya adalah sebab kuat pada aku untuk beli baju baru. Baju raya.
Sebab pada hari lain, aku sangat jarang beli baju baru.

Jenis macam aku, senang.
Aku beli beberapa pasang baju baru untuk dijadikan baju raya
dan baju yang sama akan aku pakai sepanjang tahun.
Nak beli baju baru lain, tunggu raya tahun depan.
Sebab itu kalau kalian kenal aku secara peribadi,
kalian akan dapat perasan yang aku suka pakai baju yang sama berulang kali.
Aku pernah kena perli sebab asyik kenakan baju yang sama saja.

Alaa, kebetulan.
Aku jumpa orang yang perli itu mungkin dua minggu sekali sahaja,
dan kebetulan hari yang aku jumpa dia itu aku pakai baju sama dengan semasa aku pernah jumpa dia sebelum ini.
Terus kena perli pakai baju sama.

Masalahnya,
apa masalah kalau aku pakai baju sama pun?
Bukankah itu fungsi baju; untuk dipakai?
Takkan nak pakai sekali lepas tu simpan, kot. Ingat apa, lampin?
Tak faham sungguh dengan spesies orang yang baju pun boleh dijadikan bahan perli ni.







2. Nak OOTD Tapi Hujan.

Pada hari raya keempat (hari Isnin, 18 Jun) aku dan sekeluarga hadiri satu kenduri kahwin saudara.
Kenduri itu meraikan anak kepada sepupu nenek aku dapat menantu.
Lokasinya di Gurun, Kedah. Satu kawasan yang penuh dengan sawah padi luas terbentang.

Aku pakai satu baju yang baru aku beli berwarna merah.
Aku jarang ada baju merah, kerana pada aku merah terlampau menarik perhatian.
Aku ni jenis tak suka tarik perhatian orang, apatah lagi melalui pakaian.
Namun, kali ini sengaja aku pilih baju merah untuk ke kenduri. Kerana apa?

Ya! Tepat sekali. Kerana OOTD.

OOTD membawa maksud 'outfit of the day' merujuk kepada keghairahan generasi sekarang menayang apa yang dipakai mereka pada hari itu di media sosial.

Aku pakai baju merah semata-mata kerana mahu bergambar di sawah padi.
Sawah padi menghijau yang luas mata memandang,
dengan langit berwarna biru muda berhias awan putih perak,
dan kemudian ada seorang lelaki dengan rambut baru berbaju merah sedang beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit),
bukankah itu akan menghasilkan gambar OOTD yang menarik untuk dikongsikan di media sosial?

At least itu apa yang aku bayangkan.

Sampai sahaja di rumah kenduri, dari jauh nampak awan hitam mula berarak datang.
Seketika kemudian selepas selesai melantak hidangan,
hujan mula turun membasahi bumi.

Maka, hilanglah peluang untuk beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit) berlatarbelakangkan sawah padi menghijau luas mata memandang dan langit biru muda berhias awan putih perak.
Apa yang ada hanyalah langit gelap dan air hujan menitis meriah.

Nak tambah dramatik,
dek kerana kawasan sawah yang lapang, angin datang tepat ke khemah kenduri.
Air hujan masuk ke dalam khemah, membasahi semua yang berteduh di bawahnya.
Angin kuat meniup meja makan sampai terbalik, sekali dengan kerusi terseret jauh.
Dari tiga khemah kenduri yang ada, hanya satu sahaja selamat
TAPI dipenuhi dengan pengunjung yang berteduh mengelak basah.
Serba salah. Nak lari ke kenderaan, hujan sangat lebat.
Nak terus duduk kesian pula pengunjung lain yang belum sempat makan.

Walaupun boleh kata kenduri itu tergendala disebabkan hujan lebat,
namun tiada seorang pun tuan rumah dan para rewang yang bermuka kerut.
Mereka masih tersenyum lebar dan bergurau senda dengan tetamu yang datang.

Aku betul-betul kagum dengan positiviti kehidupan tuan rumah.




3. Socially Awkward.

Pada hari raya kesembilan, 23 Jun, sekali lagi aku dijemput ke kenduri kahwin.
Kenduri kali ini milik seorang kawan dari zaman sekolah dahulu.
Satu kenduri yang aku kena datang, kerana kawan aku ini adalah kawan yang sama-sama bergerak sekumpulan tiap kali ada kenduri kawan yang lain.
Kami berada dalam 'kem lelaki bujang' yang sentiasa bergerak bersama,
namun kali ini dia sudahpun bersara dari kem tersebut.

Alkisah,
kenduri berlangsung di Bangi, Selangor.
Walaupun sama Selangor, namun aku berada di Selangor sebelah sini
manakala Bangi berada di Selangor sebelah sana.
Berkerut juga dahi aku memikirkan jarak antara keduanya.

Pagi itu cuaca cantik.
Sarang burung belakang bilik aku riuh dengan kicauan burung.
Aku pula, bersiap untuk ke kenduri.
Menyarung baju 'baru' merah aku, baju yang sama aku pakai di raya keempat hari itu.
Disebabkan cuaca baik, aku buat keputusan untuk ke kenduri menaiki motosikal.
Dan itu adalah keputusan yang bakal aku kesali selepas itu.

Kusangkakan panas sampai ke petang,
namun hujan turun di tengahari (literally!)

Baru sahaja separuh perjalanan, hujan mula turun.
Bermula dengan renyai,
tapi disebabkan aku bawa motosikal, maka hujan renyai pun akan jadi basah.

Aku ambil keputusan berhenti di hentian satu lebuh raya ini.
Di hentian itu ada KFC, maka dengan seronoknya nak merasa Ayam Nacho yang iklan dekat TV tu.
Tapi, lain yang berlaku...




Maka, makanlah aku Ayam Nacho ni kaki lima luar kedai sambil melihat hujan membasahi Bumi.




4. Baju Merah dan Hujan (Lagi).

Bersambung cerita di atas.

Selepas selesai makan Ayam Nacho di kaki lima,
aku perasan hujan sudah reda.
Aku pun ambil kesempatan ini untuk teruskan perjalanan ke Bangi.

Pada hemat aku, baik aku sampai ke destinasi dulu.
Asalkan aku sampai, kalau nak hujan lebat sekalipun rasanya tiada masalah.

Malangnya, baru beberapa minit tayar berguling, hujan kembali turun.
Kali ini lebih lebat sampai tahap julat pandangan jadi terhad.
Aku sedang berada di lebuh raya,
walaupun di lebuh raya ada tempat berteduh untuk penunggang motosikal,
namun jaraknya dapat jumpa mungkin sekali dalam 5 km.
Bagi penunggang motosikal, 5 km di bawah hujan sudah memadai untuk basah.

Maka,
basahlah aku seluruhnya.
Luar dalam semua sudah ditakluki oleh air hujan.

Bila fikir balik,
baru dua kali aku pakai baju merah ini
dan kedua-dua kali itulah hujan turun lebat tak ingat dunia.
Adakah baju ini pembawa hujan? Entah.
Mungkin jawapannya akan aku dapat pada kali ketiga aku pakai nanti.

Tentang kenduri,
walaupun akhirnya aku sampai juga ke Bangi,
namun aku buat keputusan untuk tidak masuk ke dalam ruang dewan kenduri itu.
Aku basah lenjun.
Aku rasa segan nak masuk dan menjadi tetamu.
Kalau aku masuk juga, aku mungkin akan mencacatkan majlis.

Maka,
selepas menghantar text kepada kawan aku si mempelai dan menerangkan segala apa yang berlaku,
aku ambil keputusan untuk berangkat balik ke rumah
meredah hujan yang masih lagi lebat tiada tanda mahu reda
tanpa menghadiri kenduri yang sudahpun aku sampai ke destinasinya.

Adakah keputusan aku ini betul?




5. Erti Kehidupan.

Kenapa perlu aku terus balik sedangkan masih hujan?
Jawapannya,
ada kemungkinan besar kalau aku terus tunggu di kawasan kenduri kawan aku itu
aku akan terserempak dengan kawan-kawan aku yang lain.
Sudahlah seluruh badan basah kuyup,
mesti lagi awkward bila berjumpa dengan kawna-kawan yang lain.

Kalian mungkin tak dapat tangkap keadaan basah aku seteruk mana.
Bayangkan,
jika aku berdiri setempat dengan pakaian aku yang basah kuyup itu,
akan ada air berwarna biru bertakung di bawah kaki aku
akibat daripada warna seluar jeans aku yang turun.
Begitulah teruknya basah aku.

OK. Moving on...

Aku balik dalam hujan lebat.
For note, menunggang motosikal dalam hujan lebat SANGAT BAHAYA.
Pertama, pandangan menjadi terhad.
Kedua, jalan licin dan bahaya untuk roda dua.
Ketiga, pemandu lain mungkin tak nampak kita.
Dan lebih penting,
JALAN RAYA DIPENUHI DENGAN ORANG BODOH.

Kenapa aku cakap bodoh?
Ada sejenis manusia di atas jalan raya, entah kenapa,
bila hujan dia akan memandu lebih laju daripada biasa.

Sampai sekarang aku tak tahu apa fungsi manusia jenis ini nak memandu laju di waktu hujan.
Langsung tak ada kebaikan. Keburukan bertambah adalah.

Alkisah,
ketika aku dalam perjalanan pulang di tengah kota Kuala Lumpur,
ada kereta ini dengan lajunya meredah lopak air hujan
dan air merecik ke arah aku yang sedang menunggang di sebelah.

Rasanya, dalam 3 saat aku tak nampak apa-apa sebab disimbah air.
Dan 3 saat sudah cukup untuk meragut nyawa aku jika ada kereta lain laju di belakang.

Alhamdulillah, dalam 3 saat itu aku selamat.
Tiada kereta laju di belakang aku.

Kereta tadi, kalau dia pandu perlahan, air tidak akan merecik besar ke arah aku.
Aku tahu, dia mesti langsung tak sedar yang dia sudah membutakan mata aku selama 3 saat dan hampir membuatkan nyawa aku melayang.
Aku tak pasti adakah dia seronok melanggar lopak air ataupun dia tidak sengaja.
Namun yang aku pasti,
kalau takdirnya aku hilang nyawa waktu itu,
pemandu kereta itu mungkin langsung tidak akan tahu dialah penyebabnya.

Semasa kelas memandu nak ambil lesen dahulu kita sudah diberitahu,
ketika hujan perlahankan kenderaan.
Bukan saja suka-suka suruh perlahan.
Ni jenis bebal sangat yang nak juga bawa laju masa hujan ni dah kenapa?

Sambung cerita.

Beberapa ratus meter di hadapan selepas kepada kejadian 'buta 3 saat' tadi,
berlakunya satu kemalangan, pelanggaran dua kereta akibat daripada jalan licin.
Aku tidak pasti adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang langgar lopak air tadi tapi yang aku pasti warnanya sama.
Aku mahu percaya bahawa itu adalah kereta yang sama.
Aku tidak tahu sama ada pemandunya selamat atau tidak,
tapi aku harap pemandu itu selamat supaya dia dapat pengajaran daripada 'akibat' perbuatan dia tadi.

Menunggang motosikal di kala hujan lebat banyak mengajar aku.
Jalan raya adalah satu tempat yang sangat bahaya.
Malah berlipat kali ganda bahayanya bila kita menunggang motosikal.
Bertambah lagi bahayanya bila hujan turun.
Meningkat lagi bahayanya bila orang yang berada di atas jalan juga tidak menggunakan akal untuk berfikir tentang bahaya yang ada.

Aku kena lebih menikmati kehidupan kerana bila-bila masa kau boleh hilang nyawa atas jalan raya.
Sayangi mereka yang sayangi kita, kerana bila-bila masa sahaja semuanya akan tamat.

Aku bersyukur aku selamat.
Aku harap akan datang aku tidak akan hilang nyawa atas jalan raya.
Jalan raya bukan tempatnya untuk hilang nyawa.


========================= ============


Itu sahaja kali ini.
Let just hoping that minggu depan ada entri yang lebih berisi daripada aku.
Amin.







.

Jun 20, 2018

Sembang Syawal: MENUJU KE HADAPAN!



Salam.

Ini adalah satu entri yang dijadualkan pada tarikh 20 Jun 2018.
Tarikh berkenaan merupakan hari raya keenam,
dan aku pula hanya akan balik kampung pada hari raya ketiga,
dan aku tak pasti pada tarikh bila pula akan aku sentuh komputer untuk update blog,
maka entri ini ditulis lebih awal dan dijadualkan pada tarikh berkenaan.

Sebelum apa-apa, belum terlewat untuk aku ucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.

Kalau aku ada terbuat silap dengan sesiapa yang membaca entri ini,
aku mohon kalian beritahu apa silap aku supaya aku boleh minta maaf dengan ikhlas.
Kalau kalian ada terbuat silap dengan aku pula,
anggaplah aku sudah maafkan kalian tanpa sebarang perasaan dendam terbuku di hati.




Untuk entri kali ini,
aku nak sembang tentang apa yang aku nak capai sebelum menjelang Syawal tahun hadapan (1440h):


1. Harap sempat dapat bertemu dengan Ramadan tahun depan.

Sounds cliche dan acah-acah bila aku kata aku harap aku sempat dapat bertemu Ramadan tahun depan, tapi memang itu yang aku harapkan. Secara umum, aku rasa Ramadan yang baru lepas ini (1439h) adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun sebelumnya (1438h) namun aku tahu aku boleh jadi lebih baik. Sebab itu, aku harap aku panjang umur untuk bertemu Ramadan tahun depan (1440h) supaya aku boleh kekalkan momentum dan menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. InsyaAllah, Amin.



2. Harap status pada Syawal tahun hadapan tidak sama dengan sekarang.

Ini adalah sesuatu yang sangat aku beratkan sejak tahun lepas, namun aku rasa aku tidak cukup berusaha ke arahnya. Namun kali ini, aku akan anggap ini sebagai satu misi. Maksud aku status yang tidak sama bukan bermakna aku terdesak nak kahwin atau apa, tapi lebih kepada aku mahu melihat diri sendiri maju ke depan berbanding sebelumnya. Aku juga manusia biasa yang mahu disayangi dan menyayangi, mahu ada keluarga sendiri, mahu hidup berteman dan diteman. Namun, kesemua itu bukan berada di dalam kawalan aku sepenuhnya. Rezeki, jodoh, ajal maut bukan tugas manusia menentukannya. Doakan aku, ya!



3. Harap boleh buang perangai buruk.

Aku ada satu perangai buruk yang aku sendiri benci tapi sebab sudah lama jadi tabiat maka aku tak mampu nak halang. Maaf, aku tidak boleh beritahu apa perangai buruk aku itu buat masa sekarang, tapi aku sangat mahu buang perangai itu. Kalau aku berjaya buang nanti aku akan beritahu apakah ia. Tapi cukuplah kalian tahu, tabiat buruk itu sangat memberi kesan buruk kepada aku dan ia memudaratkan. Aku rasa, aku perlu lebih serius dalam merancang untuk membuang perangai ini. Susah, tapi aku tahu aku mampu.



4. Harap boleh dapat lebih banyak kawan yang bermanfaat.

Dengar macam harapan budak kecil yang baru masuk kelas tadika; mahukan lebih banyak kawan. Tapi hakikatnya aku memang kurang kawan. Dari usia aku umur 12 tahun aku sudah diajar berdikari dan tidak bergantung, maka kebanyakan perkara aku lakukan sendiri. Akibatnya, aku jadi kurang kawan, apatah lagi kawan yang bermanfaat. Kawan yang ada waktu susah senang. Kawan yang bukan berniat lain dalam berkawan. Jujurnya, pada usia aku ini, nak dapat kawan sejati agak susah. Namun aku yakin, kalau aku sendiri jadi seorang kawan yang baik, maka orang yang baik juga akan mahu berkawan dengan aku. Tapi itulah...nak jadi orang baik bukannya semudah yang disangka.



5. Harap mampu untuk sambung belajar.

Kalau kalian baca blog aku, aku sering kali kata nak sambung belajar. Tapi aku dapati banyak halangan yang melintang menghalang aku untuk teruskan niat itu. Jauh di sudut hati aku sedar, aku sendiri pun tidak cukup nekad untuk merealisasikannya. Dengan usia yang makin lanjut, aku sedar otak aku pun tidak secerdas zaman muda remaja dahulu. Api semarak mahu sambung belajar pun sudah semakin malap. Apa yang aku perlukan adalah menyemarakkan kembali keinginan itu DAN cukup mampu dari segi fizikal, mental dan material untuk terus menuntut ilmu.



6. Harap kesihatan semakin baik dan berkekalan.

Antara faktor utama yang menyekat perkembangan aku belakangan tahun ini ialah faktor kesihatan. Tidak ramai tahu, even keluarga sekalipun, yang aku ni pada dasarnya bukanlah sihat mana. Tapi aku sedaya upaya sorokannya dan 'berlakon' tiada apa-apa di depan orang lain. Alhamdulillah, selepas struggle beberapa ketika, aku rasa aku makin sihat dan aku harap kesihatan ini akan terus meningkat semakin baik dan berkekalan. Dan dengan menyebut kesihatan, aku maksudkan kesemuanya; dari segi mental, fizikal, dan juga spiritual.



7. Harap segala dugaan dapat ditempuhi dengan jayanya.

Dulu aku suka berdoa agar aku dijauhi dari dugaan yang menjatuhkan. Tapi baru-baru ini aku diajar supaya tidak berdoa sedemikian kerana dugaan sentiasa akan datang. Dugaan, ujian dan cabaran adalah tanda Tuhan Yang Maha Penyayang menyayangi kita. Maka, mintalah doa supaya kita diberi kekuatan untuk menempuh segala dugaan yang tiba. Kalau kita kuat dan bersedia, apa juga dugaan yang datang tidak akan mematahkan semangat, pendirian dan iman kita.


------------------------- ------------


Ada seseorang pernah beritahu, jangan suka sangat nak beritahu azam, harapan atau misi kita kepada umum. Sebab takut nanti kalau tidak tercapai, kena balik dengan diri kita. Cukup sekadar diri sendiri sahaja tahu, sudah memadai.

Namun aku rasa, cara itu cara selamat. Aku lagi suka mengumumkan azam aku. Dengan memberitahu azam kita, kita seperti ada satu daya tolak untuk merealisasikannya. Kalau hanya diri sendiri tahu, kita akan jadi mudah untuk mengenepikannya.

Sengaja aku tidak beritahu secara terperinci tentang cara aku untuk realisasikan azam aku ini. Aku ada perancangan sendiri dan aku harap perancangan aku berjalan lancar.

Sama-sama kita majukan diri supaya jadi lebih baik berbanding hari sebelumnya.

Sekian.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License