Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label inFo. Show all posts
Showing posts with label inFo. Show all posts

Dec 6, 2017

10 Fakta Kita Mungkin Tidak Tahu dan Tidak Perlu Tahu.



Salam.

Belakangan, aku perasan entri blog ini banyak bersifat berat.
Jadi kali ini aku bawakan satu entri yang sangat ringan.
SANGAT RINGAN sampaikan kalian tidak perlu berfikir,
hanya perlu baca dan nikmatinya.

10 FAKTA YANG KITA MUNGKIN TIDAK TAHU DAN TIDAK PERLU TAHU.



1. Pingu berasal dari Switzerland.

Walaupun set kartun tersebut berlatarbelakangkan benua Antartika (sebab semua penguin berasal dari hemisfera selatan), tapi kartun stop-motion Pingu yang selalu kita tonton masa kecil dulu berasal dari Switzerland, dan kemudian berpindah ke Britain. Adik Pingu bernama Pinga, dan kawan Pingu si anjing laut itu bernama Robby. Pingu selalu keluarkan bunyi trademark-nya "Noot! Noot!" walaupun secara rasminya dieja "Nug! Nug!"




2. Nama penuh Barbie ialah Barbara Millicent Roberts.

Anak patung perempuan kegemaran ramai, Barbie mempunyai nama penuh Barbara Millicent Roberts. Buah hati Barbie yang bernama Ken itu pula bernama Ken Carson. Semasa mula dikeluarkan, Barbie ada dua varian, berambut blonde dan berambut hitam.




3. Tarikh lahir SpongeBob SquarePants ialah 14 Julai 1986.

Ini membuatkan SpongeBob berumur 31 tahun ini (2017) dan sama umur dengan Zul Ariffin dan Kamal Adli. Kalau diletakkan Zul Ariffin, Kamal Adli dan SpongeBob sekali, mana satu pilihan korang?




4. Hello Kitty BUKAN seekor kucing.

Pada tahun 2014, Hello Kitty diisytihar oleh syarikatnya Sanrio sebagai BUKAN seekor kucing, tapi adalah seorang budak perempuan. Nama penuhnya ialah Kitty White, lahir di selatan England pada 1 November 1974. Hello Kitty berdarah A.




5. Mickey Mouse ada kawan baik merupakan seekor anjing, dan mempunyai binatang peliharaan JUGA seekor anjing.

Mickey Mouse adalah sejenis tikus. Mickey ada kawan baik bernama Goofy, yang merupakan sejenis anjing. Dalam masa sama, Mickey ada bela seekor haiwan peliharaan bernama Pluto, yang JUGA merupakan seekor anjing. Goofy boleh bercakap, tapi Pluto tidak.




6. Tom dan Jerry ada nama lain semasa mula diperkenalkan.

Nama penuh Tom ialah Thomas Cat dan nama penuh Jerry ialah Jerry Mouse. Pada masa mula diperkenalkan, Tom dan Jerry dari siri 'Tom and Jerry' ini mempunyai nama lain. Tom bernama Jasper, dan Jerry bernama Jinx.




7. Dora adalah sepupu kepada Diego.

Dora dari siri 'Dora The Explorer' adalah sepupu kepada Diego dari siri 'Go, Diego, Go!'. Walaupun kedua-dua siri bertemakan pembelajaran kanak-kanak, tapi Dora lebih ke arah pengembaraan manakala Diego lebih ke arah alam sekitar dan haiwan. Filem aksi sebenar Dora bakal muncul 2019.




8. Popeye makan bayam dan jadi kuat.

Popeye makan bayam untuk jadi kuat. Itu fakta yang semua orang tahu. Tapi kenapa bayam? Ceritanya, pada satu masa dahulu, seorang ahli kimia tersilap dengan menyatakan sayur bayam mempunyai 35 miligram zat besi dalam setiap 100 gram hidangan, menjadikan mitos 'makan bayam boleh jadi kuat' bertebaran selama hampir 70 tahun (1870-1937). Sebenarnya ahli kimia itu tertinggal titik perpuluhan 35 miligram, sepatutnya hanya 3.5 miligram. Namun, kesilapan ini menyebabkan peratusan kanak-kanak suka makan sayur meningkat mendadak pada era kegemilangan kartun Popeye.




9. Winnie The Pooh tidak dipanggil Winnie.

Winnie the Pooh adalah seekor beruang yang suka makan madu. Walaupun bernama Winnie (nama perempuan), tapi Winnie the Pooh adalah seekor beruang jantan. Tapi dalam siri Winnie the Pooh, beruang watak utama ini selalu dipanggil Pooh Bear, atau sekadar Pooh, bukannya Winnie.




10. Pikachu sepatutnya lebih ke arah arnab berbanding tikus.

Dalam siri Pokemon, Pikachu diperkenalkan sebagai 'Mouse Pokemon' walaupun sebenarnya Pikachu dicipta berdasarkan rupa sejenis haiwan dipanggil Pika, sejenis mamalia berkaki pendek berbadan bulat yang secara taksonominya lebih rapat dengan arnab berbanding tikus. Pikachu yang gemuk semasa mula diperkenalkan dulu lebih menyerupai pika berbanding Pikachu 'slim' sekarang.




Itu dia, fakta ringan untuk entri kali ini.
Walaupun aku kata 10 fakta, tapi kalau kalian baca sampai habis,
kalian sudah dapat lebih kurang 41 fakta yang berbeza.

Dapat beza tak mana 41 fakta tersebut?

Terima kasih kerana membaca.

Pemberitahuan: Semua imej adalah hakmilik penciptanya.





.

Sep 9, 2015

Enam Poin Kosong.



Salam,
ini ialah kesinambungan kepada satu entri lalu yang bertajuk Enam Poin Empat.
Aku cadangkan kalian baca dulu entri tersebut sebelum terus membaca entri ini.






Yup.
Aku tahu ada je yang tak baca entri yang aku suruh tu baca tu.
Jadi aku letakan rumusan di bawah:

cEro pergi buat ujian darah pada awal tahun 2015 dan keputusannya mendapati tahap kolesterol dalam darah cEro berada di paras 6.4 di mana paras itu dikategorikan sebagai TINGGI walaupun badan cEro tidaklah besar mana. Ini semua kerana cara pemakanan cEro yang menggemari makanan berminyak dan bergoreng, terutamanya 'burger kahwin cheese' (burger double dengan daging lembu dan daging ayam dilapisi cheese..Awww yiss! Sedapnya!). Doktor menasihatkan cEro supaya meninggalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat itu jika mahu hidup lama dan bebas dari penyakit. cEro terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada burger kahwin cheese dan setelah enam bulan berlalu, kini cEro kembali berhadapan dengan doktor bagi mengetahui keputusan darahnya yang seterusnya.

Awkward gila gelar diri dalam kata nama ketiga.
I wonder macam mana Aman Wan boleh lakukannya...

Untuk rujukan,
jumlah kolesterol dalam darah yang sihat ialah 5.2 mmol/l,
5.26.1 berada di 'borderline-high' manakala atas kepada 6.2 ialah TINGGI.

Atas sebab tertentu,
aku akan menjalani ujian darah dan DNA study setiap enam bulan.
Jadi, hasil keputusan kali ini sepatutnya ialah untuk ujian bulan Jun lepas.
Alaa, makmal hospital kerajaan. What to expect, kan?

Walaupun ada penurunan dari 6.4 kepada 6.0,
tapi paras itu masih tidak sihat dan aku diminta terus mengawal pemakanan.

Rupanya nak turunkan kolesterol dalam darah bukanlah satu usaha mudah.

Aku bukan doktor (at least belum lagi),
tapi biar aku berikan analogi mudah tentang kolesterol dalam darah ini.
Betulkan aku kalau aku silap:

Bayangkan saluran darah kita sebagai jalanraya.
Dan sel darah kita adalah kenderaan atas jalan tersebut.
Kolesterol pula adalah sampah-sampah yang berada di atas jalanraya.

Jalanraya yang lancar adalah jalanraya yang tidak dipenuhi sampah.
Jika sampai satu tahap jalan tersebut dipenuhi sampah, kereta sudah mahu lalu.
Sampah yang menimbun di tepi jalan lama-lama semakin menutup jalanraya sehinggakan jalan menjadi sempit lalu kesesakan boleh berlaku.
Kereta yang mahu lalu akan terkandas dan lambat sampai ke destinasi.

Kesesakan inilah yang kita boleh gelar tekanan darah tinggi.
Darah tidak sampai ke tempat tuju dengan berkesan membuatkan oksigen dan nutrien tidak dapat dihantarkan dengan sempurna dan mampu mengundang pelbagai penyakit.

Jika ianya berlaku di salur darah jantung, kita sakit jantung.
Jika ianya berlaku di salur darah menuju ke otak, kita boleh dapat strok.

Macam sampah di jalanraya, ianya bukan sehari terus banyak.
Ianya mungkin bermula dengan pemandu bangang yang buang plastik gula-gula ke luar tingkap kereta.
Sikit demi sedikit sampah menjadi banyak.
Lama kelamaan sampahnya cukup banyak untuk mengeras di tepi jalan dan menghalang aliran kereta.

Kolesterol juga begitu.
Ianya hasil daripada pengumpulan kolesterol dari makanan yang tidak terkawal dan berterusan.
Lama-kelamaan ianya meningkat dan jadi semakin banyak dalam darah.

Membersihkan sampah di tepi jalan yang sudah banyak pun bukannya kerja mudah.
Apatah lagi jika sampah itu sudah mengeras dan sebati dengan jalanraya.

Sama juga seperti usaha mengurangkan kolesterol.
Ianya tidak mungkin berjaya sekelip mata.
Jika kita disiplinkan diri mengawal pengambilan makanan berkolesterol,
lama kelamaan paras kolesterol akan turun ke tahap yang selamat.
Biar input kolesterol lagi rendah dari outputnya,
lama kelamaan kolesterol yang berlebihan dalam darah akan berkurangan.

Dan enam bulan (untuk aku) belum mencukupi.

Biar aku tekankan sekali lagi bahawa bersenam tidak berapa membantu dalam pengurangan paras kolesterol dalam darah jika kita tidak mengawal pemakanan.
Dan tiada siapa selamat dari kolesterol.
Jangan kata ianya tidak akan terjadi kepada anda.
Baik yang berbadan besar atau si keding kerempeng pun,
kalau pemakanannya tidak sihat, dia masih akan terdedah dengan bahaya kolesterol.



Marilah sama-sama menjaga pemakanan.
Tanya doktor anda untuk maklumat lebih lanjut.
Periksa kesihatan dan uji darah anda secara berkala.
Biar tak dapat makan burger kahwin cheese sekarang daripada sakit jantung di kemudian hari.

Tapi...
burger kahwin cheese sedap!
Aduh. Dilema betul...






.

Mar 4, 2015

Sains Di Sebalik Baju Putih/Emas Biru/Hitam #TheDress



Bagi yang perasan, aku jarang berbicara tentang isu semasa.
Ini disebabkan pemilik blog ini (aku) bersifat narsistik,
hampir setiap tempat di dalam blog ini ada muka cEro.

Tidak.
Bukan itu sebabnya.
Sebab utama aku jarang berbincang tentang isu semasa adalah kerana kebanyakan entri dalam blog ini sudah dijadualkan lebih awal dari waktu ia diterbitkan.
Dengan kata lain, kalau aku tulis isu semasa dan jadualkannya untuk diterbitkan rabu dua minggu lagi, itu namanya sudah tidak jadi isu SEMASA.
Lagipun blog Buasir Otak lagi bagus dalam membincangkan isu semasa.

Tapi kali ini lain...
Biar aku berbicara tentang isu yang hangat minggu lepas.
Isu mengenai The Dress,
satu baju yang dikatakan berjaya memecah-belahkan internet dan memutuskan banyak talian persahabatan sesama kawan.



The Dress.


Ceritanya bermula apabila seorang pengguna Tumblr bernama swiked memuatnaik satu gambar baju perempuan ke dalam laman Tumblr-nya dan bertanyakan,
"guys please help me - is this dress white and gold, or blue and black?
Me and my friends can’t agree and we are freaking the f*ck out"

Terima kasih kepada internet,
gambar itu menjadi viral ke seluruh dunia di mana secara tiba-tiba manusia terbahagi kepada dua kumpulan;
Team White/Gold dan Team Blue/Black.
Satu kumpulan nampak baju itu sebagai baju putih dengan belang emas,
manakala satu lagi melihatnya sebagai baju biru belang hitam.
Fenomena berbeza pendapat ini digelar sebagai The Dress.

Internet sangat pelik. Isu macam ini pun boleh jadi viral.

Menurut undian dari satu laman web terkenal BuzzFeed, lebih 2 juta pengguna mengundi mereka nampak baju itu sebagai 'putih belang emas' sebagai majoriti.
Malangnya, majoriti bukanlah realiti.
Baju itu sudah dipastikan melalui gambar lain sebagai baju biru belang hitam.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Bagaimana kita selaku manusia boleh melihat gambar yang sama,
tapi nampak warna yang berbeza?

Ini sangat menarik minat aku untuk kaji,
jadi ini adalah artikel 'isu semasa' yang aku rumuskan dari penjelajahan aku mencari jawapan di dalam alam maya.

Kalau rajin google, banyak laman web di luar sana sudah menceritakan secara terperinci mengapa perbezaan ini berlaku.
Tapi kebanyakan artikel tersebut tidak tepat (pada aku) dan berbahasa inggeris.
Jadi aku akan cuba terangkan dalam Bahasa Malaysia seringkas dan setepat yang boleh mudah difahami.

Beza kumpulan Biru/Hitam dengan kumpulan Putih/Emas bukannya terletak kepada beza retina mata,
ataupun betapa sensitifnya mata kita,
ataupun setting di dalam telefon bimbit kita,
ataupun berapa lama mata kita terdedah kepada matahari seperti yang dibincangkan oleh sesetengah pihak.
Semua sebenarnya hanyalah satu isu bagaimana otak kita mentafsir maklumat yang dihantar dari mata.

Ya, otak.
Bila sebut tentang otak, aku jadi super-teruja.
Aku peminat nombor satu otak.


White Balance dan Tafsiran Otak.


Untuk memahami isu ini lebih lanjut,
kita kena faham satu lagi konsep iaitu 'keseimbangan putih' atau dalam bahasa lebih dikenali, white balance.

White balance adalah satu proses di mana para jurugambar and juruvideo (atau mereka-mereka yang mengiktiraf diri mereka sendiri dengan gelaran seperti itu) gunakan untuk menghilangkan pengaruh pencahayaan sekitar terhadap objek yang mahu ditampilkan di dalam gambar supaya objek putih di luar gambar akan kelihatan putih di dalam gambar. Bila putih di gambar sama seperti di luar gambar, maka warna lain akan turut kelihatan semulajadi tanpa perlu pedulikan pencahayaan sekitar.

Alaaa, mudah cerita, kalau kulit kita sawo matang, tak kisah sama ada tangkap gambar di dalam bilik malap atau di bawah cahaya matahari, dengan adanya white balance ini, kulit kita akan tetap nampak sawo matang.



Kalau warna pada baju itu dikeluarkan satu persatu,
kita akan dapati warnanya bukanlah biru atau hitam atau putih atau emas.
Ianya lebih kelihatan seperti kelabu dan ungu gelap dan jingga gelap.

Tapi kenapa tiada yang kata baju itu warna ungu dan jingga?

Otak kita SANGAT HEBAT dalam mentafsir gambar terutamanya warna pada gambar supaya ianya kelihatan masuk akal.
Sebab itu kita tahu baju yang dipakai Hassan di dalam filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee dan rumput yang dipijaknya berwarna hijau walaupun wayangnya hanya hitam putih.
Siapa tahu, mungkin semasa penggambaran filem tersebut, P.Ramlee pakai baju warna pink dan rumput pula berwarna jingga.

Sebagai contoh,
lihat imej di bawah ini:

Sumber: Vsauce video 'This Is Only Red'

Walaupun gambar di atas kelihatan mempunyai pelbagai warna,
tapi percayalah semua warna di dalam gambar di atas adalah MERAH.
Ada lebih dari 50 shades of merah (see what I did there?) dalam gambar tersebut tetapi disebabkan otak kita terlalu hebat mentafsir gambar, kita akan nampak seperti wujudnya hijau, kuning, biru, jingga dan banyak lagi warna selain merah di dalam gambar ini.

Kalau kita belajar tentang warna, kita akan tahu bahawa WARNA SENTIASA BERUBAH.
Bergantung kepada sumber cahaya,
warna putih boleh kelihatan biru, jingga mahupun kelabu.
Sebab itu kita celup baju sekolah putih kita dengan warna nila biru,
supaya di bawah cahaya matahari terik, baju biru kita kelihatan putih bersih sedangkan warna sebenarnya ialah putih yang sudah dicelup nila biru.

Otak kita sangat hebat mentafsir warna sebenar disebalik warna yang ditonjolkan oleh objek.
Tanpa kebolehan menafsir ini, otak kita akan jadi keliru kerana warna objek di sekeliling kita sentiasa berubah bergantung kepada sumber cahaya.


Gambar dan Kamera.


Tidak seperti mata dan otak kita yang super-hebat,
kamera perlu menentukan warna putih menggunakan input di dalam gambar yang bakal diambil dan kemudian akan ditafsirkan menggunakan konsep white balance supaya warna lain seperti biru, merah dan hijau adalah tepat dengan warna sebenar di luar gambar.

Disebabkan warna putih sentiasa ada di dalam mana-mana imej dan gambar, maka ianya bukan satu masalah besar bagi kebanyakan gambar.

Tetapi, dalam kes gambar The Dress ini,
kamera yang digunakan sangat teruk (atau mungkin bernasib baik) dalam mentafsir warna putih dan white balance.
Kamera tersebut telah meletakan warna putih yang ditafsirnya di titik sempadan beza antara dua kemungkinan bagaimana seseorang mentafsir gambar menggunakan otak seperti yang telah kita bincangkan tadi.
Sesetengah otak mentafsir bahawa putih adalah cahaya terang di dalam gambar dan menjadikan belang gelap itu berwarna emas manakala sesetengah otak lagi melihat warna putih di belakang gambar sebagai titik menafsiran menjadikan baju itu berwarna biru berbelang hitam.



Tiada orang yang boleh nampak kedua-dua gabungan warna (Putih/Emas dan Biru/Hitam) secara serentak, jadi mana satu yang otak kita tafsir dan selesa menerimanya, maka itulah warna yang JELAS kita nampak pada baju tersebut.

Semuanya berkaitan dengan menafsiran mengenai apa yang kita nampak.
Kita akan nampak apa yang kita mahu nampak.
Dalam istilah sains, ini dipanggil 'perception' atau persepsi.

Seperti entri itik dan arnab yang pernah aku buat dulu.

Otak kita melakukan banyak keputusan di bawah sedar seperti ini setiap hari,
namun kebiasaannya setiap dari kita membuat keputusan tentang tafsiran yang sama.
Bila minda bawah sedar kata 'cEro pakai baju kuning',
orang lain juga akan tafsir perkara yang sama sebab kesemua kita nampak cEro pakai baju kuning.

Cuma dalam kes gambar The Dress ini,
ianya mampu membuatkan kita manusia menafsir dua gambaran nyata yang berbeza mengenai warnanya.


Kenapa Berbeza?


Kenapa ada yang lihat warna tertentu dan yang lain pula melihat warna yang berbeza sedangkan gambar yang sama?
Jawapannya terletak kepada permulaan kita menafsir data yang diterima mata ke otak.

Dari awal kita sudah diberi dua pilihan, Putih/Emas dan Biru/Hitam.
Dan dari awal kita sudah meletakan diri di pihak mana.
Inilah yang kita panggil 'perception' (atau persepsi) dan kalau ditanya mana-mana ahli psikologi, 'perception' penuh dengan sifat berat sebelah, atau dalam bahasa mudah difahami, 'bias'.

Bias atau sifat berat sebelah ini boleh ditentukan oleh banyak faktor.
Antaranya ialah jangkaan (expectation).
Jika pertama kali kita melihat gambar The Dress ini di twitter kawan-kawan, dan tweet yang ditulisnya berbunyi
'Aku tak faham kenapa ada yang tak nampak baju ni warna putih dan emas..',
maka kita sudah meletakan jangkaan di dalam minda bawah sedar kita bahawa baju itu berwarna putih dan emas.
Maka apa yang kita akan nampak adalah baju warna putih berbelang emas.

Dan kita sudah tentu akan terima sifat berat sebelah kita.
Maka kalau kita nampak baju ini sebagai putih dan emas pada awalnya,
sudah jadi susah untuk kita TIDAK nampaknya sebagai putih dan emas.
What you've seen cannot be unseen.

Tapi realiti tidak semestinya sama dengan apa yang kita nampak.




Otak kita sangat hebat dalam menafsir persekitaran,
dan itulah antara ciri-ciri yang membolehkan kita terus hidup sebagai makhluk yang berada di puncak siratan makanan.

Namun,
otak kita bukanlah sempurna.
Kita harus menerima hakikat bahawa lain orang lain yang dia nampak.
Kalau kita boleh terima hakikat itu, maka apa yang orang lain nampak adalah sama benarnya dengan apa yang kita nampak walaupun realitinya berbeza.

Jadi,
pergi jumpa balik kawan kalian yang terputus persahabatan dek kerana masing-masing nampak baju itu dalam warna yang berbeza.
Berbaiklah semula.
Dari konteks persepsi, dia tidak salah, anda pun tidak sepenuhnya benar.
Menghormati tafsiran otak dan akal orang lain adalah lebih penting daripada menegakkan siapa yang benar dan siapa yang salah walaupun realitinya jelas dan berbeza.

Gunakanlah organ jeli di dalam plat kranium yang kita junjung setiap masa itu.
Jangan disebabkan baju yang bukan pun kita punya, kita kehilangan insan bernama kawan.

...and by the way,
aku team Biru/Hitam.




.

Oct 27, 2013

#throwback



Bila kali pertama aku terbaca hashtag 'throwback',
imej pertama yang menjelma dalam kepala otak aku adalah perempuan yang makan pisang dan membuang kulit pisang ke belakang dan mengakibatkan lelaki belakangnya tergelincir jatuh.



Ya.
Otak kita lebih gemar informasi berbentuk imej bergambar daripada perkataan yang terbina dengan huruf.
Itu fakta.
Bagaimana apabila disebut gajah berwarna pink, sekaligus terbentuk imej gajah berwarna pink walaupun gajah berwarna pink tak pernah wujud secara realiti.

Jadi,
aku sendiri tak pasti bagaimana perkataan #throwback yang kerap kali menjadi trending dalam twitter dan media sosial lain boleh diimejkan otak.
Mungkin kerana ada perkataan 'throw' dan 'back', maka otak aku memprosesnya sebagai perlakuan membuang sesuatu ke belakang.
Tapi, lain orang, lain otak, lain imejnya.

Dan satu lagi sifat otak adalah sensasi.
Otak ada kebolehan mensensasikan keadaan.
Daripada aku hanya perlu membayangkan perlakuan 'buang ke belakang' untuk #throwback,
aku tambahkan (sensasikan) lagi dengan detail lain seperti:

  1. Perempuan makan pisang.
  2. Kulit pisang dibuang ke belakang.
  3. Lelaki di belakang tergelincir jatuh.


Antara contoh kebolehan mensensasikan keadaan yang dilakukan otak kita adalah seperti
bagaimana kita di dalam gelap akan nampak timbunan baju kotor yang malas untuk dibasuh membentuk susuk momok yang sedang merangkak perlahan-lahan menuju ke katil.
Atau bayang kucing dari lampu jalan kelihatan seperti harimau yang kelaparan.

Itu semua kerja otak kita yang gila sensasi.

Juga,
kebolehan mensensasikan keadaan oleh otak juga berubah mengikut masa.

Pernah main telefon buruk?
Permainan di mana mesej disampaikan dari seorang kepada orang lain dan kepada orang seterusnya sehinggalah ke akhir barisan?
Perasan tak bagaimana mesej mudah seperti
'Apabila dewasa, Abu berangan untuk menjadi seorang pakar sains neuro dan mengkaji bagaimana kesan sensasi kepada otak manusia'
mungkin akan menjadi

'Abu seorang pesakit jiwa yang tiada masa depan dan hanya berharapkan takdir membawanya ke mana sahaja dia dibawa'
Maklumat yang disampaikan disensasikan seorang demi seorang.
Jika bilangan orang yang perlu disampaikan mesej tersebut cukup panjang,
jangan terkejut jika mesej terakhir tak sama 100% dari mesej asal.

Contoh terbaik adalah mengenai bajet yang diumumkan baru-baru ini.
Jika kalian dengar dan baca bajet itu dari sumber pertama seperti pembentangan oleh PM atau buku rasmi yang diedarkan,
kalian mungkin akan dapat intipatinya dengan tepat.
Tapi kalau sekadar baca tweet kawan, tweet orang-orang tertentu dan dengar borak pakcik gigi sumbing dekat warung kopi,
alamatnya maklumat yang nak disampaikan mungkin sekali jauh tersasar dari hal sebenar.



Dalam konteks perkataan '#throwback' yang mula-mula aku ceritakan,
imej perkataan tersebut sudah menjadi semakin sensasi.
Daripada imej kulit pisang dibuang ke belakang,
kini, apabila terdengar dan terpandang perkataan #throwback,
aku akan terbayang pemain ragbi yang sedang membuat passing di atas padang dalam keadaan genting di mana baki masa perlawanan hanya 10 saat.



Terlebih sensasi, kan?

Bila ditanya kepada kawan yang selalu gunakan hashtag-throwback ni tentang apakah maksudnya yang sebenar,
dia kata
"Hashtag-throwback ni macam hashtag yang mengingat dan mengimbau kenangan lalu gitu."
Masalahnya,
bukankah semua ingatan adalah kenangan lalu?
Dan bagaimanakah peristiwa makan pizza yang baru berlalu DUA JAM LALU sudah perlu diimbau menjadi kenangan lalu?
Lama sangatkah dua jam?
Kenangan sangatkah makan pizza?

Therefore, in my opinion,
hashtag-throwback is the most overly-abused word after 'awesome'.
Sikit-sikit sudahlah #throwback. Ni semua benda kau nak bantai #throwback.




Jadi, beritahu aku,
apakah imej pertama yang terbayang oleh otak kalian bila pertama kali ternampak/ terdengar/ terbaca perkataan #throwback?





Cue-Card #003:

Entri seperti di atas adalah sejenis entri yang paling aku suka. Jenis yang aku hanya perlu taip laju-laju sebab isinya sudah terlekat kuat dalam kepala otak. Otak aku mungkin ada masalah sikit sebab suka kaitkan beberapa perkara yang secara relatif tidak berkaitan, tapi percayalah, jika kalian baca elok-elok, kalian akan dapati beberapa perkara yang tidak diduga. Pada aku, entri sebegini adalah salinan pertama apa yang terkandung dalam otak aku ke atas media bertulis. Oleh sebab itu, segala isi di dalamnya adalah pandangan mentah tentang apa yang berlegar dalam kepala aku. Ianya seperti makan kuih raya pertama yang dibawa keluar selepas dibakar di dalam oven. Fresh. Panas. Sedap. Oh, juga, belakangan ini aku dapati ayat yang aku bina kadang-kadang tak dikonstruk dengan lengkap. Alaa, macam subjek dan prediket yang lemah, ataupun ayat yang tergantung tiada kata hubung, ataupun ayat yang tak habis dibincang ataupun menda yang tak habis dise.......


Jul 21, 2011

Memperkenalkan Muka Yang Selalu (dan Bakal Selalu) Anda Lihat Dalam Blog Ini



Hari demi hari,
blog ini menjadi tempat utama aku meluahkan perasaan sama ada suka, gembira, geram, sedih, menangis, atau sekadar mahu berseronok.
Ianya menjadi sesuatu yang dekat dengan aku,
dan aku amat harap ia juga menjadi
sesuatu yang dekat dengan kalian semua.



Perasan atau tidak,
ada beberapa watak lakaran yang sering kali muncul dalam blog ni.
Si rambut tajam, si rambut cacak,
si rambut tempurung, si rambut gulung.

Jadi,
biarlah kali ni aku kenalkan mereka,
siapa mereka, dari mana mereka datang,
apa buat mereka spesial..

1. Si Rambut Tempurung. Codename: F



Perasan tak dia ni macam siapa? Ilham mencipta dia aku dapat dari dua watak iaitu Son Gohan semasa saga Planet Nameck dalam Dragon Ball z, dan Rock Lee dari siri Naruto.

'F' aku tonjolkan sebagai seorang lelaki yang sinis, memiliki mata kuyu, dan selalu kelihatan seperti tidak berminat tentang sesuatu perkara. Namun, elemen yang aku simpan untuk si 'F' ini ialah kebolehan dia membuatkan orang sekeliling terkejut. Kerap tampil dengan bow-tie, 'F' memang seorang yang mementingkan penampilan, walau ketikanya agak tidak kena.

Ilham personaliti 'F' aku dapat dari kawan aku semasa sekolah rendah. Sinis, mulut bisa, dan selalu melukakan, namun kesetiaan sebagai seorang kawan adalah tunjang kekuatan dia.






-----------



2. Si Rambut Cacak. Codename : I



Ini satu dari dua watak terawal ciptaan aku. Dia wujud sejak aku tingkatan 1, di mana buku tulis aku penuh dengan doodle lakaran si 'I' ni. Oleh kerana terlalu lama sudah, aku tak dapat ingat dari mana ilham lakaran ini aku dapat.

Sedar tak, kalau berkumpulan dengan kawan, akan ada seorang yang bising, banyak cakap, dan kadang-kadang annoying? 'I' adalah orang sedemikian dalam blog ini. Berbangga dengan diri sendiri, sentiasa rasa dia ketua, dan kadang-kadang geram dibuatnya, dia adalah watak dimana tanpanya, kita akan rasa sunyi. 'I' gemar ditonjolkan dalam baju T pink, tapi dia tak pernah mengaku ianya pink, sebaliknya dikatanya itu 'merah' lambang keberanian.

Ilham personaliti 'I' juga datang dari seorang kawan aku semasa sekolah rendah. Sama seperti yang aku sebut di atas, bising dan annoying, tapi tanpanya, kita sunyi.






-----------



3. Si Rambut Tajam. Codename : C



Seperti 'I', 'C' adalah antara lakaran terawal aku. Aku persembahkan dia sebagai avatar kepada aku, pseudo-identiti kepada aku, juga alter-ego kepada aku. Namun, tak semua yang aku tonjolkan dalam 'C' mewakili aku. Sudah tentu, dia kelihatan 100 kali lebih cool dari aku.

Aku mengambil keputusan untuk menjadikan 'C' sebagai satu watak, bukan semata-mata penampilan aku dalam blog. 'C' memiliki personaliti seorang pemalas, selalu kelihatan memejam mata dengan mulut muncung, dan selalu kelihatan bersifat pasif dan tidak mengambil bahagian. namun, akan datang, aku akan kembangkan personaliti 'C' menjadi seseorang yang menarik untuk ditunggu dalam blog ini.






-----------



4. Si Rambut Gulung. Codename : A



Setelah menjadikan 'C' sebagai satu watak, aku terpaksa mencipta satu personaliti baru sebagai surrogate diri aku dalam blog ini.

Memperkenalkan, 'A', atau aku.

Sudah tentu rambut dia lebih cool dari rambut sebenar aku, tapi, akan datang, setiap entri yang menampilkan diri 'A' sebagai subjek, ianya adalah mengenai diri aku, mungkin luahan, rintihan atau sekadar suka-suka.

'A' mungkin takkan keluar bersama tiga watak lain; 'F', 'I', dan 'C', kerana dia adalah penampilan aku dalam blog, segalanya tidaklah mutlak, ianya bergantung kepada kemahuan aku selaku pemilik blog untuk buat apa yang aku suka dalam blog ini.






-----------


Juga, akan datang, aku akan perkenalkan beberapa watak sampingan dan sokongan dalam blog ini sebagai memeriah suasana.

Aku juga sedang berlatih melukis perempuan.
Mungkin akan datang, ada watak perempuan dalam blog ini.


Oh,
bagi yang mempersoalkan kenapa perlu cEro masukkan watak yang langsung tak signifikan terhadap pembaca,
biar aku ceritakan sesuatu.

Dari kecil, YA!.
Dari aku tadika rasanya, aku sentiasa ada cita-cita ingin melukis kartun dalam mana-mana majalah. Semasa sekolah rendah, aku ada melukis satu cerita pengembaraan dalam gua berjumpa semut raksasa. Sekolah menengah aku ada lukis cerita dua sahabat menyelamatkan sekolah dari di bom.

Namun,
aku sedar, lukis kartun bukan sesuatu yang dipandang hebat, tambahan oleh orang terdekat aku. Jadi, ianya menjadi satu cita-cita yang sekadar hobi, seperti mana kita dulu kanak-kanak nak jadi doktor laa, nak jadi peguam laa, dan akhirnya meringkuk depan meja kerja makan gaji.

Jadi,
walaupun aku tak dapat melukis untuk mana-mana majalah, komik atau surat khabar, at least aku mampu melukis untuk blog aku sendiri, kan?
Aku amat berharap sedikit sentuhan peribadi dalam blog perkongsian pengalaman ini takkan memudaratkan mana-mana pihak.






-----------


Maka,
terimalah wajah-wajah OOHHSSEEEEMMM dari watak-watak dalam blog aku.



OOOHHHHSSSEEEEEMMM kan??

Jun 21, 2011

Baka Manusia Baru Hanya Dijumpai Dalam Pawagam? Kenali Mereka..

Aku Homo sapiens. Aku manusia.

Walaupun dah tak berapa kerap dah sekarang,
tapi menonton wayang antara hobi aku selain dari termenungkan langit malam, kumpul tisu dan mengintai anak perempuan jiran.
Kepuasan menonton wayang lain dari menonton DVD dalam bilik gelap.
Ianya hanya boleh diungkap manusia yang menonton wayang sahaja.



Namun,
jangan ingat menonton wayang ini indah-indah belaka.
Hobi menonton wayang juga ada musuhnya tersendiri.

Biar aku kenalkan musuh aku dalam wayang..
Spesies biadab yang hanya wujud dalam wayang.
Bak kata pepatah,
'Be close to your friends, but be closer to your enemies'

Memperkenalkan...



1. Homo sapidalamwayangmainhensetus
Manusia Biadab yang Dalam Wayang Pun Nak Main Henset.

Bukan nak seksis, tapi kebanyakan jenis manusia biadab adalah perempuan.
Ntah laa, mungkin sebab semangat nak tweet dalam fon kot, nak up-to-date konon.
Nak bagitahu semua orang yang dia tengah tengok wayang.
Tak pun, nak tipu laki/boifren/sugardaddy (potong mana berkenaan) kononnya dia tengah buat perkara lain "You, I tgh tolong mummy tumbuk sambal kat dapur ni" padahal tengah berkepit dalam wayang dengan lelaki lain.

Tak tahu ke diorang, dalam gelap, cahaya dari henset tu walaupun sikit sudah cukup menyilaukan semua orang di belakang?

-------



2. Homo sapikakitakberhentibergoyangus
Manusia biadab yang Suka Goyang-Goyang Kaki Sampai Orang Depan Terganggu.

Manusia jenis ni selalunya bajet kool habis.
Selalunya dia sedaya upaya nak melunjurkan badan supaya kaki dia kena kerusi hadapan.
Lagi malang, sebab kebanyakkan kerusi dalam wayang adalah jenis bercantum satu row,
jika dia goyang kaki, sampai ke hujung pun dapat rasa goyangan dia tu.

Mungkin dia goyang sebab aircond dalam panggung yang melampau sejuk, atau dia tak tahan terangsang dengan adegan romantis cerita yang ditayangkan kot.
Bro, c'mon laa.. Takkan tengok Nur Kasih The Movie pun nak terangsang?
Ko terangsang dengan siapa?

-------



3. Homo samuluttakberhentibercakapus
Manusia biadab yang Tak Berhenti Bercakap.

Spesies ni banyak variasi.
Ada yang sibuk nak bagi spoiler, lepas ni adalah itu, lepas itu adalah itu.
Ada yang sibuk bagi komen, patut scene ni macam ni, patut scene tu macam tu.
Ada yang sibuk bercerita hal lain, "Eh you, I rasa I hensem laa, you rasa I hensem tak?"
Ada yang sibuk bercakap telefon macam orang lain tak ada telefon.

Yang lagi menjengkelkan kalau orang jenis ini duduk sebelah kita.
Lepas tu, sibuk nak kita menjawab segala persoalan dia.
Lagi rasa nak tumbuk, orang tu bukan kenal kita pun, tapi tetiba je macam member lama yang dah 15 tahun tidur sebantal.

-------



4. Homo akupunnakbuatwayangjugak jantan
/ Homo akupunnakbuatwayangjugak betina
Dua jenis sub-spesies yang Suka Buat Wayang Sendiri.

Hey, man. GET A ROOM!.

Lagi meloyakan, dan pernah berlaku,
sub-spesies Jantan buat wayang dengan sub-spesies Jantan jugak!
Hilang selera makan seminggu.

Memikirkannya pun dah meloyakan.

-------



5. Homo heylookatmyawesomehairus
Manusia biadab dengan Rambut Menutup Separuh Skrin

Ada jenis manusia yang dah tahu dah rambut ko tinggi mengalahkan Emak Simpsons,
Kembang mengalahkan dua kali David Arumugam bergabung,
pastu pergi duduk tegak macam abang askar kena inspection, apehal?

Kesian orang belakang, separuh skrin tu nampak ombak-ombak rambut kembang.
Lagi syahdu, dalam rambut tu siap ada bunyi pelik lagi.
Buat orang sekeliling tak tenteram.

-------

Jadi,
macammana nak describe hari menonton wayang yang teruk?
Bayangkan semua 5 spesies manusia baru ni duduk di sekeliling anda yang normal.



Ada banyak lagi spesies baru manusia ditemui hanya dalam panggung wayang.
Tapi untuk kali ni, cukup setakat ini.

Anda ada jumpa spesies baru anda sendiri?

Apr 6, 2011

Bagaimana Wujudnya Lukisan Buruk cEro



Dah banyak kali dah orang tanya satu soalan ni,
melalui Formspring, melalui twitter
satu soalan yang berbunyi;
"Ko lukis lukisan ko yang buruk tu guna apa?"

Jadi ini jawapannya!

Aku pemilik Nokia 5800XpresMusic.
Melalui Ovi Store, aku dapat satu aplikasi yang pada aku,
pencetus arena conteng-menconteng aku ni..

Aplikasi 'Paint Pad'



Aplikasi 'Paint Pad' ni umpama aplikasi Paint dalam Microsoft
cuma lebih kecil dan mempunyai fungsi tambahan yang sedikit.

Oleh kerena Paint Pad adalah aplikasi percuma,
beberapa fungsinya disekat.
Sebagai contoh, fungsi 'save image' hanya untuk sesiapa yang berdaftar di bawah Nokia HongKong,
jadi pemilik Nokia yang berasal dari Kuala Lumpur (macam aku) tak boleh save gambar lukisan mereka.
Apakejadah boleh lukis tapi takleh save, kan?

Jadi, aku perlukan satu aplikasi lain sebagai sokongan
yang bernama 'ScreenSnap'.
'ScreenSnap' adalah satu aplikasi mengambil gambaran screen henset Nokia.
Yup! Macam fungsi 'PrtSC' (Printscreen) dalam PC.

'PaintPad' + 'ScreenSnap'
= Kebahagiaan dalam menconteng!




Jadi bagaimana aku melukis?

Bayangkan aku mahu satu entiti, kasut Converse warna hijau.
Aku google 'kasut converse' dan cari satu gambar idaman.



Tapi, nak ambil secara terus,
takut ada masalah hakcipta di kemudian hari.
jadi aku lukis dalam 'Paint Pad'.



Sebab kemungkinan lukisan tu adalah besar dan teliti,
aku selalunya pecahkan kepada beberapa entiti.

Dan selepas selesai melukis di 'Paint Pad',
aku 'ScreenSnap' lukisan tu,
dan bluetooth fail berformat .jpg ke laptop terchenta.



Sampai ke laptop,
aku edit sedikit sebanyak dalam perisian lain seperti Photoshop atau Paint.NET,
tapi oleh sebab aku tak suka layout Photoshop yang serabut
padahal nak guna satu dua fungsi je,
jadi aku lebih prefer guna Paint.NET



Selalunya gabung image, buang slack dan kotoran,
letak warna, letak tulisan dan sebagainya.

Selepas korek hidung beberapa kali,
akhirnya lukisan yang dimahukan SIAP!



dan image inilah yang aku guna pakai dalam entri sebelum ni.

Itulah kisah untuk setiap lukisan buruk yang kalian nampak di dalam blog ni.
Header, footer, dan lukisan lain yang aku lukis.
Walaupun ada juga bila masa aku malas aku terus rembat dari Google Image,
tapi aku selagi mampu, nak lukis sendiri.
Bukan apa, nak melatih tangan aku yang berkarat ni supaya cekap kembali.
Sapa suruh merempit? Kan dah sakit tangan..

Aku macam berangan nak ada tablet komputer
macam iPad ke, atau Samsung Galaxy Tab ke,
tapi mata aku dah terpesona dengan Acer Iconia Tab,
cam cool je...

Tapi, buat masa sekarang, aku suka dengan 'Paint Pad' aku,
dampaikan aku mampu lukis semasa dalam kereta,
tu yang ada beberapa lukisan aku macam orang sakit Parkinson je gayanya.

Pernah gak berangan nak beli graphic tablet,
tapi bila ada duit je, kena belanja ke tempat lain,
selalu impian tu terpaksa dilupakan..
Tapi kalau ada antara kalian nak belanja aku sebijik graphic tablet,
aku terima je dengan tangan yang terbuka..
HEHEHEHE...



~~~~~~~~~






Apa kata kalian yang belum 'like' Facebook Page untuk blog ni
tekan butang 'like' di atas..
Alaa, sekali-sekala kita memeriahkan Facebook Page tu, apa salahnya..
Boleh laa kita berinteraksi secara lebih intim, kan??

Apr 2, 2011

#1 Save Water, Save The World

#1 Save Water, Save The World
Siri cErolian Go Green: Make the world a better place.

Malu pada diri sendiri.
Aku tahu 23 Mac harijadi seseorang,
tapi aku lupa hari sebelum itu,
22 Mac setiap tahun adalah Hari Air Sedunia.
World Water Day.

Jadi,
hari ini, aku akan memulakan siri cErolian Go Green
dengan bercerita tentang sesuatu yang sangat penting pada kita,
namun sering kita buat tak endah.
Sudah tentu tak lain tak bukan,
KEPENTINGAN AIR.



Air merangkumi 70% dari badan kita.
Dalam komposisi yang lebih kurang sama juga,
Bumi kita juga adalah 71% air.
Namun 70% dari air di Bumi adalah dalam bentuk ais di kutub utara dan selatan.
Hanya 2.5% dari air di muka Bumi ini adalah air tawar.
Selebihnya air masin.
Namun, setiap manusia memerlukan dalam 20-50 liter air sehari untuk kegunaan harian.

Secara statistik, jumlah air adalah sikit,
namun manusia perlukan banyak air.
Dengan sumber yang sikit, dan nafsu melampau,
saintis meramal, jika trend ini berpanjangan
air boleh menjadi punca perang antara negara-negara besar
seperti yang berlaku dengan petroleum sekarang.

Lihat saja krisis air antara negara kita dan Singapura.



Jadi,
sebelum kita bersemangat nak jerit GO GREEN
apa kata kita amalkan sedikit sebanyak amalam jimatkan air.
Air yang banyak digunakan bermakna lagi banyak untuk diproses semula.
Pemprosesan memerlukan tenaga.
Dengan menjimatkan air, kita juga secara langsung
menjimatkan penggunaan tenaga, kan?

Apa saja yang kita lakukan,
asasnya adalah tenaga, kan?

Di bawah adalah senarai amalan yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan penggunaan air.
Namun, ini bukan alasan untuk anda tidak mandi dan basuh baju
lalu mengakibatkan pasangan anda tinggalkan anda hanya kerana anda berbau busuk.
EEEEeeeeyeekkkkk....


  1. Daripada mandi gunakan semburan shower, lebih baik mandi gunakan kolah tadahan.
  2. Sentiasa perhati kebocoran di mana-mana paip, terutamanya kepala paip.
    Buat sesuatu walaupun hanya air menitis perlahan.
  3. Nak basuh muka, gosok gigi, atau sekadar basuh tangan, elakkan guna paip air yang dibiarkan mengalir.
  4. Basuh kereta atau siram pokok? Guna baldi instead of paip air yang panjang.
  5. Lagi bagus tadah air hujan untuk kegunaan seperti siram pokok dan basuh kereta
  6. Basuh baju guna mesin? Pastikan diisi penuh supaya tidak perlu mengulang dengan kerap.
  7. Basuh buah dan sayur dalam air yang ditadah, bukan air yang mengalir.
  8. Kalau boleh, jangan beli air botol di kedai. Isi air dalam bekas anda sendiri dari rumah. Kalian akan tahu apa sebabnya jika kalian tengok video di bawah:



Aku mungkin terlepas apa-apa tips bernas menjimatkan air.
Jika kalian ada,
apa kata kongsi idea anda bersama.


Simple logic,
jimat air, bil kurang, hati senang, badan sihat, bumi selamat.
Mulakan dari hati, di rumah.
Tak salah berjimat.



Pesanan khidmat komuniti dari cEro.
Sila baca entri lain di bawah kategori cErolian Go Green.
You read this because YOU CARE.

Mar 26, 2011

Lagipun, Kita Hanya Ada SATU BUMI.

Baiklah,
jika anda baca entri ini pada hari sabtu 26 Mac,
maka malam ini akan berlangsung Earth Hour 2011
satu acara di mana pada jam 2030,
semua yang turut serta akan menutup lampu tidak penting selama satu jam sebagai tanda sokongan.

Tapi jika anda baca entri ini bukan pada sabtu 26 Mac 2011,
entri ini masih relevan.

Baiklah,
ini adalah entri bersempana Earth Hour 2011,
tapi aku takkan bercerita tentangnya,
kalau kalian nak baca soalan lazim yang sering didebat semasa Earth Hour,
kalian boleh ke sini.

Apa yang aku nak ceritakan adalah tindakan SELEPAS Earth Hour.


Selepas acara Earth Hour,
akan ke udara berita khas tentang sambutannya di media-media tempatan mahupun antarabangsa.
Akan ada orang yang berkata,
"Eleh! Apa kebaikan event ni? Saje suka-suka je..Bukan boleh sejukkan bumi yang makin memanas ni.."

Abaikan mereka.
Now, keep your positive thinking hat ON,
dan fikir...

Setiap perubahan adalah bergantung kepada individu.
Sebab itu wujudnya pepatah 'Every building starts with a brick'.
Jadi, apa boleh kita buat selepas Earth Hour untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik?
Apa kita boleh buat bukan sahaja pada waktu Earth Hour, tapi pada waktu-waktu selepas itu.


Idea Earth Hour ialah usaha nak memelihara tenaga.
Kerana tenaga menyebabkan haba,
dan haba memanaskan bumi.

Salah satu cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah 'GO GREEN'.

Aktiviti Go GREEN melibatkan 3R:
  1. Reduce (Kurangkan):
    Kita boleh mulakan dengan kurangkan penggunaan tenaga. Tutup lampu yang tidak perlu. Selepas cas henset, tutp plak dan cabut charger dari soket. Jika nak bergerak ke tempat yang dekat, gunakan basikal atau berjalan kaki. Kurangkan penggunaan plastik bag, kerana plastik mengambil masa 500 tahun untuk degradasi semulajadi, lagi lama bermakna lagi banyak tenaga diperlukan.
    .
    .
  2. Reuse (Guna semula):
    Jika ada barang yang kemungkinan masih boleh diguna semula, jangan buang. Seperti contoh, bekas aiskrim besar boleh dijadikan cebok pengganti gayung. Juga, jika ada barang yang masih boleh digunakan, tapi anda tak ada kegunaan, bolehlah dermakan kepada orang yang memerlukan. Baju-baju lama yang masih elok, boleh dikumpul dan diberikan kepada agensi yang menguruskan hal-hal seperti itu. Kadang-kadang, di kawasan perumahan, akan ada kotak besar di mana ianya boleh diisi dengan barang yang masih boleh digunakan dan akan disalurkan kepada rumah-rumah amal dan anak-anak yatim.
    .
    .
  3. Recycle (Kitar Semula):
    Paling mudah, tapi paling susah dilakukan manusia. Bahan-bahan seperti plastik, kaca, kertas, dan besi boleh dikitar semula menjadi sesuatu yang baru. Masih ingat lagu "Coklat untuk kaca, biru kertas punya, tin untuk jingga dan plastik juga." Kitar semula mudah, tapi perlukan keazaman dan disiplin. Kita boleh latih diri kita supaya lebih berdisiplin dengan kitar semula.


Ok, cukup sampai di sini.
Dengan ini aku mengumumkan setiap hari Sabtu aku akan buat entri untuk berkongsi cara-cara untuk menjadikan Bumi kita tempat yang lebih baik.
At least itu yang boleh aku buat dengan blog ini.
Percayalah, kita hanya ada satu je Bumi.
Jika bukan kita yang jaga Bumi kita, SIAPA LAGI?




Baiklah,
APA IDEA dan CARA ANDA
UNTUK JADIKAN BUMI
TEMPAT YANG LEBIH BAIK?
Berbasikal ke tempat kerja?
Tanam pokok luar rumah?
Tak guna plastik pada setiap masa?
Kongsi kereta ke tempat kerja?
Guna buku kertas kitar semula?
Kongsi dengan aku di ruangan komen dan mungkin dengan sedikit kajian, aku akan buat satu entri khusus tentang idea anda dalam usaha menjadikan Bumi tempat yang lebih baik.



Pesanan komuniti ini dibawa khas oleh cEro.
You read this because YOU CARE.

Mar 18, 2011

Mata Kanan atau Mata Kiri


Suatu malam,
dua sahabat sedang melepak atas rumput di tepi pagar.
Sedang mereka khusyuk melayan permandangan 'indah'
si kawan bernama A berkata:

"Kau nak tahu, mata kita ada dominannya."

Seorang lagi yang bernama B menjawab:
"Dominan? Apa maksud kau?"

"Begini,
Cuba kau pilih satu subjek pegun dalam jarak lebih satu meter.

Kau buat lubang dengan jari kau, seperti simbol OK.
Melalui lubang itu, kau lihat subjek yang kau pilih tadi.
Kemudian, kau tutup sebelah mata kanan.
Perhatikan subjek.

Seterusnya, kau tutup sebelah mata kiri.
Perhatikan subjek.

Jika semasa tutup mata kanan, subjek masih berada dalam lubang jari,
dan semasa menutup mata kiri, subjek sudah lari ke kanan lubang,
maka mata kau yang DOMINAN ADALAH MATA KIRI.

Jika semasa tutup mata kanan, subjek lari ke kiri lubang,
dan semasa menutup mata kiri, subjek berada dalam lubang jari,
maka mata kau yang DOMINAN ADALAH MATA KANAN."


"Woah!! Very nice..Aku dominan mata kanan.
Adakah ianya ada kena mengena dengan aku bukan kidal?"

"Kebanyakkan yang dominan mata kanan adalah pengguna tangan kanan,
tapi tak semestinya semua. Hampir dua per tiga manusia dominan mata kanan."

"Tapi, apa kebaikan kita tahu dominan mata kanan atau kiri?"

"Bagi ahli sukan yang memerlukan ketepatan seperti memanah dan menembak. Mata yang dominan amat perlu diketahui. Dengan menggunakan mata yang dominan, kita mampu tahu jarak, kelajuan dan bentuk dengan lebih tepat."

"HAHAHA, nampaknya, maklumat tersebut sangat perlu untuk orang yang macam kita.."

"HAHAHAHA"

Mereka berdua gelak kecil, seperti takut diketahui kedudukan mereka.

Di mana lokasi mereka?
Di luar pagar sebuah kolam renang wanita persendirian.
Ada 'parti' di kolam itu.


Anda dominan mata mana?
Kiri atau Kanan?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License