Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label AkuBaca. Show all posts
Showing posts with label AkuBaca. Show all posts

Aug 24, 2018

Komik SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda. BERBALOIKAH?



Salam.

Peringatan!
Entri yang bakal anda baca ini adalah satu entri berbentuk kritikan penulis (cEro) terhadap hasil kerja insan lain. Insan itu mungkin seseorang yang anda kenal, anda kagumi, atau mungkin diri anda sendiri. Anda ada pilihan untuk tidak teruskan membaca, tetapi jika anda teruskan juga, maka anda dianggap sudah bersetuju dan memahami bahawa ini adalah 100% pandangan peribadi penulis tanpa niat jahat. Walaupun jelas niat penulis, namun selaku manusia, penulis mungkin juga ada membuat silap. Maka dengan rasa rendah diri, jika ada salah silap, penulis dengan setulus ikhlas memohon maaf.

Minta maaf.




Untuk segmen 'BERBALOIKAH?' kali ini, perkara yang akan dibincangkan ialah sebuah komik bertajuk 'SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda'.

Komik ini merupakan salah satu daripada hanya sebilangan kecil komik yang aku beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang lepas. Komik ini adalah jilid pertama untuk tajuk ini. Jalan ceritanya ditulis oleh penulis siri komik MISI, Nazry Salam dan pelukisnya ialah seorang pelukis komik yang dikenali di kalangan pelukis tempatan, Hyrohiku.

Di pasaran Semenanjung Malaysia, komik SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda (mulai sekarang akan aku paling hanya SCOOPERS) dijual pada harga RM 10 dan di Sabah/Sarawak pula berharga RM 12. Dan jika kalian fikir aku beli semasa PBAKL akan membuatkan aku bayar pada harga promosi yang lebih rendah, kalian salah. Komik SCOOPERS ini dijual pada harga asal sepanjang PBAKL 2018.

Komik SCOOPERS ini merupakan terbitan Komik-M di bawah PTS Publishing House Sdn. Bhd.

Sebab kenapa aku beli buku ini, tanpa perlu aku berselindung, ialah lukisannya hanya hitam putih, tidak seperti buku komik terbitan Komik-M yang lain yang majoritinya berwarna. Pendapat aku secara peribadi, ada beberapa buku Komik-M yang sepatutnya bagus namun dirosakkan oleh kaleris yang, entahlah...pada aku, gagal menjalankan tugas dengan baik (mungkin?).





Idea Jalan Cerita & Originaliti.

Untuk info, perkataan 'originaliti' tiada dalam daftar kata Dewan Bahasa dan Pustaka. Originality adalah perkataan Inggeris bermaksud berdaya cipta, bersifat asli.

Idea jalan ceritanya mudah.
Dalam satu alam fantasi, terdapat satu perkerjaan yang diminati ramai. Pekerjaan itu memerlukan untuk menyelesaikan misi mengikut tahap kesukaran yang ditentukan menerusi tahap si pekerja. Ceritanya, di sebuah kampung ini terdapat seorang anak muda yang boleh dilabel gagal dan lemah, bercita-cita untuk berada di puncak pekerjaan tersebut. Tanpa disedarinya, pemuda ini sebenarnya memiliki kebolehan terpendam yang misteri, dan cerita ini adalah perjalanan pemuda itu meneroka kuasanya untuk mencapai cita-cita.

Oh, maaf.
Cerita di atas adalah ringkasan kepada jalan cerita manga NARUTO di mana Naruto yang pada awalnya seorang yang gagal bercita-cita untuk menjadi ninja yang paling dihormati; seorang Hokage. Ninja diberikan misi untuk diselesaikan berdasarkan tahap mereka itu sendiri.

Eh, sekejap.
Tapi dalam komik SCOOPERS ini, watak utamanya Weera yang juga seorang yang gagal, juga mahu menjadi seorang jurufoto pada tahap tertinggi yang digelar Scooper. Para jurufoto perlu selesaikan misi berdasarkan tahap mereka.

Hmm...originaliti.

Mungkin SCOOPERS mahu mengambil formula NARUTO dan ONE PIECE, di mana penamat jalan cerita sudahpun kita tahu. Naruto yang bercita-cita mahu menjadi Hokage akan menjadi Hokage di hujung cerita. Luffy di dalam One Piece yang mahu menjadi Pirate King sudah tentu akan jadi Pirate King di hujung cerita. Cuma, komik SCOOPERS ini adalah jilid pertama untuk pengembaraan Weera. Mungkin seperti Naruto kena tunggu sehingga jilid ke-72 sebelum berjaya menjadi Hokage, Weera juga mungkin akan ada perjalanan yang jauh sebelum berjaya menjadi Scooper.

Ok, untuk ringkasan jalan cerita yang lebih tepat, biar aku salin balik ringkasan yang tertulis di muka belakang komik SCOOPERS ini:


Di sebuah dunia yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang luar biasa, fotografi menjadi satu bidang yang lumayan. Profesion sebagai jurugambar adalah impian kebanyakan kanak-kanak dan remaja, termasuklah Weera yang bercita-cita menjadi Scoopers, iaitu gelaran bagi jurugambar tahap tertinggi.

Namun, bukan mudah untuk menjadi Scoopers. Pelbagai misi berbahaya perlu dihadapi, hingga ada yang perlu mengorbankan nyawa!


Ringkasnya, SCOOPERS adalah NARUTO versi jurufoto di mana kunai dan shuriken bertukar menjadi kamera.





Lukisan & Pelukis.

Untuk berbincang tentang lukisan di dalam komik SCOOPERS ini, kita perlu berbincang tentang pelukisnya, Hyrohiku. Di kalangan pelukis komik tempatan, terutamanya pelukis amatur, Hyrohiku memang sudah dikenali. Beliau adalah pemenang berkali-kali di dalam Cabaran Komik Online Malaysia anjuran Matkomik yang sudah berkali-kali aku sentuh di dalam blog ini.

Pencapaian Hyrohiku sudah ditulis secara padat di dalam komik SCOOPERS ini. Dengan kata lain, Hyrohiku memang bukan pelukis komik sebarangan.

Lukisannya, sekali pandang sudah tahu berada di tahap yang tinggi. Pada pendapat aku, Hyrohiku memang suka melukis. Buktinya, di setiap panel, Hyrohiku tidak jemu untuk lukis secara terperinci. Bahagian yang kalau pelukis biasa lain hanya akan gunakan 'screentone', untuk Hyrohiku pula akan lukis dan garis satu persatu menggunakan kudratnya. Lukisannya kaya dengan garisan dan stroke, melengkapkan lukisan latar belakang, dan menjadikan setiap panel berisi penuh dan padat.

Namun, kotak panel yang padat ini ibarat pisau dua mata.

Kotak yang padat dengan lukisan (latar belakang) kadang-kala menjadikan subjek utamanya tenggelam. Ada beberapa bahagian di dalam komik SCOOPERS ini jelas kelihatan serabut dek lukisan latar belakang yang terlalu terperinci walaupun sebenarnya tidak perlu pun. Namun, mungkin disebabkan pengalaman yang Hyrohiku ada, tidak semua kelihatan serabut. Malah ada lukisan yang terlalu teliti dan terperinci sehingga menimbulkan rasa kekaguman dengan alam yang dia cipta. Lagipun, cerita SCOOPERS ini berkisar tentang keindahan flora dan fauna yang luar biasa, maka lukisan sebegini (kadang kala) sangat membantu.

Tapi kita tidak perlu perlihatkan setiap daun di sebatang pokok hanya untuk menjadikan pokok itu indah, kan?

Lukisan yang kaya dengan garisan dan stroke mengingatkan aku kepada komik Attack on Titan (Shingeki no Kyojin) karya Isayama Hajime. Pada kali pertama aku baca manga Attack on Titan (ya, aku baca komik itu, bukan sekadar tonton animenya) aku berpendapat bahawa lukisannya terlalu serabut dengan garisan yang banyak berada di merata tempat. Namun, selepas beberapa tika membaca, aku dapati gaya lukisan sedemikian amat bersesuaian dengan nada dan genre yang dibawa manga Attack on Titan yang sangat berat dan sedikit gelap. Aku tidak dapat bayangkan Attack on Titan mampu berjaya jika dilukis dengan gaya lain.

Namun, untuk komik SCOOPERS ini, jalan ceritanya tidaklah seberat Attack on Titan dan juga penuh dengan humor, maka lukisan yang penuh dengan garisan yang sarat (aku rasakan) tidak perlu. Jalan cerita sebegini lebih sesuai dengan gaya lukisan yang lebih bersih, sekali lagi, seperti lukisan Kishimoto Masashi yang melukis manga Naruto.

Jangan salah faham. Aku tidak merendahkan lukisan Hyrohiku. Lukisannya memang tidak dinafikan amat cantik dan bertaraf tinggi. Namun, jalan cerita dan gaya lukisan sedikit tidak seimbang. Ia seperti melihat pelakon air mata seperti Fauziah Nawi melakonkan watak komedi di dalam sketsa Senario. Ia tidak salah, cuma kelihatan tidak berada di tempatnya.





Ulasan.

Daripada 112 muka bercetak (tidak termasuk kulit), 100 daripadanya adalah jalan cerita yang dilukis Hyrohiku.

Untuk industri manga di Jepun, sebelum manga menjadi tankobon (dijilidkan), manga tersebut diterbitkan di dalam majalah mingguan (atau bulanan). Setiap terbitan ada satu bab. Setiap bab mempunyai 15-20 muka surat cerita. Setelah cukup bab diterbitkan (mungkin 8-11 bab), maka akan dijilidkan ke dalam satu buku (yang dipanggil tankobon).

Hal ini menyebabkan di dalam tankobon, kita dapat lihat perbezaan satu persatu antara satu bab. Selalunya antara bab akan diselangi dengan muka surat kosong (yang kadang-kadang diisi juga dengan lukisan ringkas). Aku tidak pasti apa muka surat kosong ini dipanggil secara rasmi, tapi aku sendiri memanggilnya sebagai 'resting period'.

'Resting period' ini adalah tempat untuk pembaca memilih untuk berhenti membaca. Janggal jika pembaca berhenti di tengah bab, kerana jalan cerita sedang berlangsung. Di 'resting period' ini, pembaca boleh memilih untuk berhenti membaca, berhenti seketika, atau teruskan ke bab seterusnya.

Dalam komik SCOOPERS ini, tiada langsung 'resting period'. 100 muka surat yang dilukis Hyrohiku berlangsung secara terus tanpa berhenti, tanpa pembahagian bab yang jelas.

Ini adalah masalah besar untuk 'slow reader' macam aku.

Ketika membaca komik, aku bukan hanya membaca jalan cerita, aku juga akan meneliti setiap lukisan yang ada di dalam muka surat. Ini yang membuatkan aku lambat membaca komik. Satu muka surat kadang-kadang mengambil masa yang lama walaupun hanya terkandung sebilangan kecil kotak panel.

Membaca SCOOPERS membuatkan aku amat penat kerana tiada tempat untuk berhenti rehat. Ada satu ketika, aku mahu berhenti sebentar membaca kerana mata aku penat, tapi aku tidak tahu di mana patut aku berhenti kerana jalan ceritanya berterusan tanpa ada transisi yang jelas. Tambahan lagi lukisan Hyrohiku yang penuh dan padat dan langsung tiada ruang kosong membuatkan otak aku berkerja lebih keras hanya untuk menghabiskan 100 muka surat.

Alangkah baiknya jika komik SCOOPERS ini dibahagikan ke bab yang lebih kecil, bukannya 100 muka berterusan. 100 muka boleh dibahagikan kepada 5 bab. Dengan pembahagian bab juga akan membuatkan pelukis (Hyrohiku) senang untuk melukis kerana lukis 5 bab dengan 20 muka satu bab kedengaran lebih 'mudah' daripada lukis 100 muka.


Jalan ceritanya walaupun boleh diramal, namun masih unik kerana bertemakan alam sekitar, flora dan fauna. Satu tema yang jarang diangkat oleh pengkarya tempatan mahupun luar negara. Plot, susun letak dan isi dialognya berkembang seiring dengan jalan cerita. Penulis tidak perlu letak kotak dialog tambahan untuk menerangkan istilah-istilah khusus untuk komik ini, cukup sekadar isi dialog para watak yang secara 'subtle' menerangkan segalanya seiring dengan perkembangan cerita. Isi dialog memang ternyata dikendali oleh orang yang berpengalaman dalam menulis.

Jenaka di dalam komik SCOOPERS ini tidaklah hambar, namun tidaklah terlalu berkesan. Cukup sekadar menjadi penyeri kepada watak dan jalan cerita. Aku suka dengan plotnya yang dilihat tidak tergesa-gesa. Penulis tidak gelojoh untuk memberitahu semua perkara di awal cerita. Pembaca dibawa perlahan-lahan bersama-sama untuk memahami alam fantasi SCOOPERS ini.

Satu perkara yang aku sangat nak tahu ialah, disebabkan komik ini ditulis oleh Nazry Salam, penulis untuk siri komik MISI, dan sub-tajuk kepada komik ini adalah Misi Fotog Lagenda, adakah SCOOPERS termasuk di dalam alam yang sama dengan siri komik MISI yang lain? Kalau ya, bagaimana alam fantasi di dalam SCOOPERS boleh dibawa masuk ke dalam alam logik siri MISI?

Oh, aku juga dapat tahu seluruh siri MISI dipanggil sebagai 'Misi Comical Universe' ataupun singkatannya MCU. Is it official? Seriously you guys gonna use MCU too?

Hm...originaliti.





BERBALOIKAH?

Masuk soal utama entri ini, BERBALOIKAH?

112 muka surat bercetak dengan 100 muka daripadanya adalah cerita tanpa rehat, pada aku, amat penat untuk dihabiskan. Ada beberapa masa ketika sedang membaca membuatkan aku berfikir, "bilalah nak habis, bilalah nak habis..."

RM 10 untuk komik senipis ini mungkin tidak sesuai untuk pembaca kanak-kanak dan remaja. Kalau ditebalkan sedikit dengan harga yang sama mungkin akan membuatkan pembeli lebih puas. Nak tebalkannya mudah, bukan hanya tambah lukisan, malah tambah juga muka surat 'resting period', juga mungkin profil watak dan ruangan 'di sebalik tabir pembikinan'. Naikkan nilai keberbaloian komik ini dengan perkara-perkara trivial seperti itu.

Namun, belanjakan RM 10 untuk lukisan master Hyrohiku pada aku sangatlah berbaloi. Lukisan beliau ini boleh dijadikan rujukan dan kerajinan beliau untuk melukis latar belakang dengan sangat terperinci patut dijadikan pembakar semangat.

Saiznya serasi dengan komik tempatan yang lain (terutamanya terbitan Komik-M) menjadikan komik ini berbaloi untuk menjadi simpanan di rak buku aku. Design kulit depan juga amat menarik walaupun sedikit pelik kerana wujudnya kamera yang berwarna macam-macam.





Penutup

Walaupun banyak rungutan untuk buku komik ini, tapi aku rasa aku akan beli jilid kedua apabila sudah keluar nanti hanya kerana aku mahu tahu lebih lanjut tentang jalan cerita komik ini. Aku juga mahu melihat perubahan di dalam jilid seterusnya.

Tapi kemungkinan besar jika tiada perubahan di jilid SCOOPERS yang seterusnya, terutamanya berkenaan 100 muka cerita berterusan itu, aku mungkin tidak akan terus membeli jilid yang seterusnya. Membaca komik, pada aku, sepatutnya tidak menyusahkan. Perlu berpenat mata menahan untuk habiskan satu cerita, pada aku, adalah sesuatu yang menyusahkan.

Walaupun banyak kekurangan yang boleh dikenalpasti, namun aku percaya komik ini mempunyai potensi yang tinggi, terutamanya apabila dua nama besar dalam industri bekerjasama untuk satu karya yang unik seperti ini. Namun semuanya bergantung kepada pemilik karya itu sendiri.

Aku pernah sentuh tentang isu pemilik karya komik yang boleh dilihat 'syok sendiri' di dalam industi komik tempatan. Mereka tidak mahu berubah, dan hanya mahu ikut kemahuan diri sendiri. Aku cuma harap dua pengkarya komik SCOOPERS ini tidak tergolong ke dalam golongan 'syok sendiri' ini.


Komik SCOOPERS: MISI FOTOG LAGENDA ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara pada harga pasaran RM 10.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 12.00 (Sabah/Sarawak).




Baca juga review komik dalam segmen BERBALOIKAH yang lain:

- Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017.
- Komik 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova.




.

Jun 8, 2018

Komik 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova. BERBALOIKAH?



Salam.

Bertemu sekali lagi dalam segmen 'BERBALOIKAH?',
satu segmen di mana aku mempersoal keberbaloian sesuatu.
Dan untuk edisi kali ini, aku akan kupas mengenai sebuah komik yang diberi tajuk 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova.




Tersangkut!

Satu hari di bulam Mac lepas aku berjalan masuk ke sebuah kedai buku bernama 'terkenal' dan pusing-pusing di dalamnya. Tiada niat dalam hati mahu membeli apa-apa buku kerana banyak lagi buku dan komik di rumah yang belum sempat dibaca. Tapi perangai aku yang suka pusing-pusing tak ada tujuan di kedai buku memang tak boleh nak buang. Entahlah. Ada sesuatu di dalam kedai buku yang mendamaikan, berbeza dengan kedai-kedai lain.

Bila berjalan di bahagian komik, dalam banyak-banyak komik yang aku tinjau, mata aku tertarik pada satu komik ini. Tajuknya 'Krik! Krik! Krik!'. Tajuknya sahaja sudah menarik minat aku, tambahan lagi dengan rekaan muka depan yang minimalis dan kemas. Komik itu berbalut plastik dan tiada buku yang sudah dibuka untuk dijadikan 'browsing book', tapi hati aku sudahpun terpaut dengan buku ini (dalam 75%).

Bila dibaca nama pelukisnya, Svetlana Chmakova, aku teka ini nama orang Russia. Dan dari belekan aku dapati komik ini adalah terbitan Kadokawa Gempak Starz dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Tiba-tiba aku jadi kurang senang (peratusan terpaut menurun ke 50%) kerana (pada aku) terjemahan Kadokawa Gempak Starz ke Bahasa Malaysia adalah sedikit kurang bermutu. Mereka menggunakan campuran bahasa pasar dan bahasa tinggi menjadikan aku kurang senang. Pada aku, adalah lagi baik mereka menggunakan 100% bahasa standard dan bukan campuran bahasa pasar. Walaupun pada pihak mereka, mereka akan 'bold'kan tulisan untuk bahasa pasar sebagai tanda bahasa itu tidak boleh digunakan di dalam peperiksaan, tapi aku tetap tidak senang dengan campuran bahasa itu.

Sebenarnya, aku pernah kecewa dengan terjemahan Kadokawa Gempak Starz untuk siri komik Sherlock. Bahasa pasar di dalam komik itu mencacatkan keseluruhan cerita Sherlock yang sepatutnya berprofil tinggi dan menarik untuk dibaca. Menyesal aku tidak beli komik Sherlock itu yang versi bahasa inggeris punya.

Aku pun gigih ke bahagian komik bahasa inggeris untuk mencari kalau-kalau ada komik 'Krik! Krik! Krik!' ini dalam bahasa inggeris. Harganya sudah tentu lebih mahal sedikit, tapi pada aku itu berbaloi berbanding dikecewakan dengan bahasa yang tidak menyenangkan. Untuk siri komik Sword Art Online memang ada versi bahasa inggeris punya, tapi untuk buku komik 'Krik! Krik! Krik!' langsung tiada. Sama ada memang tiada atau kedai buku itu tidak menjualanya, aku kurang pasti.

Maka, walaupun hati sudahpun tersangkut, tapi dengan perasaan yang agak berat dan takut akan dikecewakan, aku pun beli buku komik 'Krik! Krik! Krik!' versi Bahasa Malaysia ini. Lama jugalah buku ini mengumpul debu di atas meja aku, menunggu untuk dibaca (dan diulas).






Krik! Krik! Krik! oleh Svetlana Chmakova.

Jadi, aku buat sedikit penggalian terhadap siapa Svetlana Chmakova ini di internet. Daripada pencarian aku, Svetlana Chmakova adalah seorang pelukis yang mempunyai dua kerakyatan; Kanada dan Russia. Beliau berasal dari Russia dan berhijrah ke Kanada pada usia 16 tahun dan kini berusia 39 tahun (2018) dan menjadi pelukis komik sepenuh masa.

Komik 'Krik! Krik! Krik!' hasil karya Svetlana Chmakova dalam bahasa inggeris berjudul 'Awkward'. Komik 'Awkward' ini diterbitkan pada tahun 2015. Selepas Awkward, beliau juga ada mengeluarkan beberapa komik lain antaranya bertajuk 'Brave' (2017) dan 'Crush' (2018).

Kalau kalian nampak pattern, Svetlana cuba mahu menghasilkan komik dengan awalan tajuk dengan susunan huruf A-B-C; A untuk Awkward, B untuk Brave dan C untuk Crush. Mungkin pada masa akan datang, komik seterusnya akan bertajuk dengan huruf awalan D.

Entah macam mana bila diterjemah ke Bahasa Malaysia, tajuk Awkward menjadi 'Krik! Krik! Krik!', terus lari dari rancangan asal Svetlana. Nampak sangat orang yang terjemahkan komik ini tidak mengambil kira tentang apa yang Svetlana cuba nak rancangkan. But moving on...

Aku sudahpun membeli buku ini. RM 15 harganya, dan jika itu harga untuk dikecewakan rasanya mungkin akan sedikit menyakitkan.






Sinopsis Ringkas.

Komik 'Krik! Krik! Krik!' berkisar tentang watak utama perempuan bernama Penelope Torres, yang juga dipanggil Peppi. Naratifnya bersifat nama pertama, bermakna Peppi sendiri menceritakan kisah ini untuk pembaca. Bergenre 'slice of life' dan kehidupan zaman persekolahan, komik ini boleh dianggap ringan dan mudah dibaca.

Ceritanya bermula apabila Peppi baru berpindah masuk ke sebuah sekolah menengah dipanggil Sekolah Menengah Berrybrook. Bermula dengan satu peristiwa yang memalukan namun ia menjadi titik mula perkenalannya dengan seorang budak lelaki dari Kelab Sains. Lebih mengeruhkan keadaan, Kelab Sains dan Kelab Seni yang disertai Peppi bermusuhan teruk dan mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah.

Komik ini menekankan konflik Peppi untuk menyesuaikan diri di dalam suasana sekolah baru dan perselisihan antara kedua-dua Kelab Sains dan Kelab Seni dan bagaimana Peppi tersepit di antara permusuhan itu.

Komik ini, selepas dibaca, benar-benar membawa kita (pembaca) balik ke zaman sekolah menengah dahulu di mana kawan-kawan bukanlah semuanya satu kepala dan kebanyakan mereka berada di fasa memberontak dan banyak menimbulkan masalah terhadap orang sekeliling.






Ulasan.

Kelas Sains dan Kelab Seni, huh? Bila aku baca sahaja komik ini, serta merta aku dapat 'relate'. Aku sendiri ahli kelab seni dan kelab sains, pada dasarnya dua-dua kelab ini sangatlah berlainan dan kelainan itulah yang membaca kepada permusuhan atau persahabatan.

Jalan ceritanya ringan dan ringkas. Sesiapa sahaja boleh baca komik ini tanpa pening kepala. Walaupun berlatarbelakangkan zaman persekolahan, namun komik ini sesuai untuk dibaca oleh sesiapa sahaja termasuklah pakcik tua yang sudah lama tinggalkan zaman sekolah.

Lukisan Svetlana yang ringkas dan bersifat 'doodle-ish' memberikan impak kuat terhadap jalan cerita. Jalan cerita santai dan ceria sebegini tidak sesuai dengan lukisan yang teliti dan berat.

Naratif oleh watak utama sendiri, iaitu Peppi, sangatlah berkesan dalam penyampaian sehingga membuatkan kita yang membaca seperti berada di dalam badan Peppi dan dapat merasakan segala apa yang Peppi rasakan.

Watak-watak di dalam komik ini pun, walaupun kebanyakannya sebaya, namun masing-masing ada kekuatan tersendiri. Lebih menarik, Svetlana menerapkan nilai kepelbagaian kaum di dalam komik ini kerana watak-wataknya tidak tertumpu hanya kepada watak orang berkulit putih sahaja. Hampir semua bangsa, warna kulit dan agama ada, termasuklah Muslim berhijab melalui watak Akilah dari Kelab Surat Khabar. Sesuatu yang jarang dilihat di dalam komik barat. Mungkin ini kerana Svetlana menetap lama di Kanada yang sememangnya terkenal dengan keharmonian pelbagai bangsanya.

Ya. Seperti yang dijangka, terjemahan ke Bahasa Malaysia sedikit tidak membantu ditambah lagi dengan tercampurnya bahasa pasar. Banyak lawak yang aku rasa tidak sampai selepas diterjemah. Aku rasa jika komik ini dibaca dalam bahasa asalnya iaitu bahasa inggeris, kesannya lebih mendalam.

Namun isu bahasa ini tidak langsung memburukkan jalan cerita kerana kebanyakan plotnya boleh difahami hanya melalui lukisan dan ekspresi sekeliling. Lingua hanyalah bersifat sekunder dalam pemahaman keseluruhan ceritanya. Segalanya datang daripada hasil kerja, pengalaman dan kreativiti Svetlana sendiri.

Komik ini 100% berwarna namun warna yang digunakan adalah minimal dan bernada lembut. Langsung tidak serabut. Aku suka bagaimana warna yang tidak sepatutnya menarik (seperti warna merah jambu belacan) menjadi sangat menonjol hanya kerana ia digunakan tidak berlebihan. Kaleris daripada penerbitan tempatan kita harus belajar cara warna seperti ini supaya hasil lukisan pengkarya tidak rosak dan tenggelam dengan warna yang tidak membantu. (YES! I'm talking about you, Komik-M)

Ringkasnya, aku rasa Svetlana Chmakova adalah seorang genius. Aku kini merupakan peminat baru dia, dan lepas ni aku akan cari dia di media sosial dan follow dia. Kalau ada bukunya yang lain akan dijual di Malaysia, aku pasti akan beli (jika dan hanya jika aku mampu)






Berbaloikah?

Memiliki lebih daripada 220 mukasurat berwarna pada buku bersaiz A5, komik ini memang berbaloi dihabiskan masa untuk dibaca. Mempunyai 5 bab cerita dan satu bab penutup, keseluruhan komik ini tidak terlalu berlebihan malah menyenangkan. Selepas mula baca, kita seperti terus tenggelam di dalamnya. Sedar-sedar sahaja sudah hampir habis dibaca.

Dan semua itu didapati hanya pada harga RM 15. Walaupun pada aku harga itu terlalu besar untuk satu komik, namun ia boleh diterima kerana ini adalah komik import yang diterjemah. Sudah tentu harganya akan jadi berbeza berbanding komik tempatan yang dihasilkan anak tempatan. Maka, komik ini memang SANGAT BERBALOI berbanding dengan harga jualannya.

Saiznya sepadan dengan saiz komik lain yang berada di rak simpanan aku, maka sudah tentu komik ini berbaloi untuk disimpan dan dijadikan koleksi. Seperti yang aku kata di atas, jika komik Brave dan Crush karya Svetlana dijual juga oleh Kadokawa Gempak Starz, aku akan beli dan jadikannya simpanan koleksi.

Jujurnya, aku suka gaya lukis dan penceritaan komik ini. Lukisannya sangat ringkas namun berkesan. Susun letak watak dan objek walaupun nampak bersahaja, tapi aku percaya Svetlana cukup teliti memikirkannya memandangkan hasilnya sangat berkesan. Pada aku, buku ini sangat berbaloi untuk dijadikan panduan melukis bagi pelukis amatur seperti aku.

Keseluruhan, buku komik 'Krik! Krik! Krik!' ini kini merupakan antara buku komik kesayangan aku. Aku pasti kalau aku baca banyak kali sekalipun, tetap tidak akan mengecewakan dan sudah tentunya berbaloi.






Penutup.

Aku tidak pasti sama ada disebabkan aku mula baca dengan ekspektasi (jangkaan) yang rendah atau apa, tapi aku berpendapat tindakan aku untuk membeli buku ini walaupun pada mulanya takut dikecewakan adalah tepat. Aku langsung tidak menyesal membeli buku komik ini malah ini membuatkan aku terfikir entah-entah banyak lagi buku komik seperti ini di luar sana yang bersifat memberi inspirasi tapi tidak diberikan perhatian dek kerana lambakan komik lain yang kurang bermutu.

Mungkin aku sebagai pembeli dan pembaca patut bersifat sedikit terbuka dan berani mencuba membaca buku-buku 'underdog' seperti ini. Aku kena lebih berani mencuba.

Tapi bercakap mengenai komik 'Krik! Krik! Krik!' ni, aku rasa, kalian patut beli dan baca komik ini.






Jika ada antara kalian mahu memilikinya tapi tidak tahu mana mahu cari, boleh PM aku di media sosial utama @cerolian dan aku boleh belikan dan seterusnya hantarkan kepada kalian (sudah tentu dengan sedikit bayaran tambahan).

Komik 'Krik! Krik! Krik!' hasil karya Svetlana Chmakova terbitan dan edaran Bahasa Malaysia oleh Kadokawa Gempak Starz ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara pada harga pasaran RM 15.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 17.00 (Sabah/Sarawak).

Kalian juga boleh kenali Svetlana Chmakova lebih lanjut di laman web svetlania.com







.

Apr 18, 2018

Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017. BERBALOIKAH?



Salam.

Aku sebenarnya sudah lama merancang nak buat segmen ini,
tapi aku takut tak mendapat sambutan jadi aku simpan dulu.
Namun rasanya, tak buat segmen ini pun blog aku tak mendapat sambutan
maka kalau aku buat pun aku tidak rugi jadi...

..here we are!

Segmen yang aku maksudkan ialah segmen REVIEW!




Mukadimah

Begini.
Memang aku pernah beberapa kali buat review seperti review buku Hotel K dan beberapa lagi. Lagipun di luar sana seperti di blog lain dan media sosial (Facebook dan Instagram) pun sudah penuh dengan review, jadi apa bezanya dengan segmen review aku ini?

Jawapannya,
review aku lebih bersifat santai dan peribadi. Aku tidak akan sugar-coat dengan pujian yang tak diperlukan. Perkara yang aku review juga tidak terikat pada satu jenis. Apa sahaja yang aku mahu review, dan boleh review, aku review.

Juga paling penting, aku akan lebih fokus kepada aspek 'berbaloikah'. Adakah ia berbaloi dibeli, berbaloi dimiliki, atau berbaloi dibaca, berbaloi dimakan, berbaloi dikunjungi dan berbaloikah kita luangkan masa untuknya.

Jadi tanpa membuang masa, mari kita belek mangsa pertama:


KOMIK CKOM SUKAN
terbitan KOMIK-M & MATKOMIK



Perihal

Sekali pandang, komik ini seperti diberi nama 'KOMIK MALAYSIA' kerana perkataan itu yang ditulis besar di muka depan. Namun, nama panjang komik ini ialah 'CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN', dan di tulang buku (tepi buku) ditulis sebagai 'CKOM SUKAN - CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA'. Mana satu nama sebenar buku ini pun aku tak pasti.

Komik ini adalah terbitan PTS Publishing House Sdn. Bhd di bawah Komik-M dan kerjasama bersama MatKomik.

Secara umumnya, komik ini adalah kompilasi 10 komik pemenang pertandingan Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM) pada tahun 2017. Bagi yang tidak tahu, CKOM adalah satu pertandingan yang dikelola laman sesawang MatKomik setiap tahun. Pada tahun lepas 2017, CKOM dianjurkan atas tema SUKAN dan pemenang yang dipilih juri dan para editor akan mendapat peluang untuk diterbitkan komiknya secara kompilasi.

Maka wujudlah komik CKOM SUKAN ini.

Buku ini mengandungi 10 komik yang terdiri daripada pemenang pertandingan dan pilihan editor. Ada 10 komik lain yang turut dikompilasikan di bawah satu buku lain iaitu komik CUN #3, juga merupakan pemenang dan komik pilihan juri dan editor.

10 komik yang diisi di dalam buku ini ialah:

1. Bakar (penulis, pelukis: Hyrohiku)
2. Hikayat Topeng Kilat (penulis, pelukis: Kha.Zi.Mi)
3. Garis Merah (penulis, pelukis: Musashi)
4. Matahari (penulis, pelukis: Hiroshikee)
5. Gunmen (penulis, pelukis: Faye)
6. The Ugly Truth (penulis, pelukis: Aniff Zazali)
7. Alpha (penulis: Irfan Kartunis, pelukis: Pogota)
8. Boccia (penulis: Nor Farahanim, pelukis: Abraqib94)
9. Panah (penulis: Atiqah Safian, pelukis: Khai Akhiar) ,dan
10. Revival (penulis: Nurel, pelukis: Toadfrogs)

(Nota: Aku mungkin salah tulis siapa penulis siapa pelukis. Lain kali pihak Komik-M mungkin boleh cuba tekankan siapa penulis pelukis supaya aku tak salah lagi. Hargai kerja setiap individu yang terlibat, jangan letak semua orang dalam satu kelompok)

Komik 'Bakar' mendapat tempat kedua dalam CKOM 2017 dan komik 'Hikayat Topeng Kilat' mendapat tempat ketiga.




Ulasan

Semasa CKOM berlangsung tahun lepas, aku sedang berada di dalam krisis kehidupan, maka tiada satu pun penyertaan yang aku baca secara online. Ya, daripada 161 komik yang bertanding, tiada satu pun yang aku baca termasuklah hasil kerja kawan-kawan yang dikenali. Dengan terbitnya buku ini, aku tidak perlu bersusah payah untuk buka laman sesawang di atas talian dan tatap skrin LCD/LED lama-lama untuk baca karya pemenang.

Aku diberitahu sebelum ini bahawa kompilasi komik pemenang CKOM ini akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PBAKL 2018 yang akan berlangsung pada 27 April sehingga 6 Mei di PWTC. Akan tetapi, aku dapat beli buku ini lebih awal di Pesta Buku Selangor yang berlangsung beberapa minggu lepas di Shah Alam. Keputusan pihak pemasaran rasanya.

Memang para pemenang dan komik pilihan editor bukan calang-calang hebatnya. Jalan cerita, perkembangan watak dan lukisan, semua berada di taraf yang tinggi. Mereka seperti di atas bangunan tingkat 138, aku pula baru berada di tingkat 8. Dapat lihat hasil kerja sebegini dicetak dan dijual di atas kertas memang sudah dikira satu kejayaan. Tiba-tiba aku rasa tidak ralat langsung tidak sempat sertai CKOM tahun lepas.

Namun,
walaupun para juri bertukar setiap tahun, tema juga berubah setiap pertandingan, para pemenang dan pilihan editor seperti sudah dapat diagak. Bertahun-tahun aku ikuti CKOM ini, aku dapat nampak satu 'pattern' tertentu untuk dipilih dan diangkat sebagai pemenang.

Walaupun jalan cerita amat penting, namun aku nampak apa yang lagi dipandang adalah lukisan. Juri kata lukisan lawa tak bermakna boleh menang jika jalan cerita teruk, namun kalau sebaliknya lukisan tidak lawa dan jalan cerita hebat, tetap tidak akan menang. Dengan kata lain, lukisan adalah keutamaan. Namun mesti kena ada keseimbangan dalam jalan cerita dan lukisan, WALAUPUN lebih berat ke arah lukisan.

Dengan pattern tersebut, pemenangnya setiap tahun dapat dilihat terdiri daripada orang yang berulang. Sama.

Aku tidak menafikan bakat dan cerita mereka yang menang, TAPI aku takut satu masa nanti CKOM akan dilabel sebagai 'lubuk untuk sesetengah individu tertentu mendapat pendapatan pasif' kerana kalau setiap tahun orang yang sama sahaja menang, bukankah sudah melemahkan fungsi sebenar CKOM itu dianjurkan; mengetengahkan bakat-bakat baru?

Bagaimana bakat baru boleh diketengah kalau yang menang adalah orang yang sama?

Apatah lagi hadiahnya walaupun bukan tahap lumayan, namun masih lagi besar dan melibatkan wang ringgit. Kalau setiap tahun muka dan nama yang sama sahaja menang, apa perasaan mereka yang masih berusaha untuk maju ke depan? Untuk apa mereka masuk bertanding lagi kalau orang yang sama juga akan menang?

Mungkin pihak MatKomik sudah mula perlu fikirkan penyelesaian seperti memperkenalkan kategori atau beberapa syarat yang menyekat orang yang sama untuk menang berulang kali. Walaupun CKOM dibuka sama rata untuk semua, namun rasanya itulah 'loophole' terbesar CKOM, kerana orang yang berada di tingkat 210 boleh menang berulang kali tanpa rasa bersalah.

Ok, kembali ke review komik.

Kesepuluh-sepuluh komik di dalam buku ini semuanya hebat belaka. Bab isi, lukisan dan jalan cerita, semuanya layak dicetak dan diterbitkan. Ada beberapa komik yang membuatkan aku rasa tidak puas dan ingin baca lebih lagi. Ada juga komik yang rasanya cukup tamat setakat itu dan tidak perlu ada sambungan kerana 'cliffhanger' itulah yang membuatkan ceritanya hebat.

Walaupun CKOM 2017 datang dengan tema SUKAN, namun pembaca tidak dihidangkan dengan komik kesukanan tipikal, jenis yang berpeluh-peluh mencapai kemenangan seperti komik sukan lain. Komik sukan kali ini seperti membuka satu lebaran baru untuk definisi 'sukan', kerana kebanyakan isi komik ini adalah mengenai 'sukan' yang boleh didebatkan taraf kesukanannya. Malah ada yang reka sukan sendiri. Keluasan definisi sukan sebagai tema memang membuka kreativiti para penulis dan pelukis komik untuk berkarya. Syabas, MatKomik.

Setiap komik hanya 10 mukasurat menjadikan buku ini boleh dibaca santai dan tiada tekanan untuk cepat dihabiskan.

Namun,
satu teguran yang aku rasa perlu diambil berat ialah penggunaan bahasa inggeris sebagai tajuk. Hampir separuh menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk komik, sesuatu yang aku kurang faham relevannya. Mereka bertanding untuk pertandingan Cabaran Komik Online MALAYSIA, maka aku tidak rasa keperluan menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk. Mungkin satu masa nanti mahu bertanding di peringkat antarabangsa, bolehlah digunakan tajuk seperti itu. Nampak hype, dengar hebat, tapi fikirkan. Rasanya kalau Melayu-kan tajuk itu pun tidak akan mengubah isi mahupun mengurangkan apa-apa, kan? Lebih memartabatkan bahasa ibunda sendiri adalah.

Mungkin, sekali lagi, pihak MatKomik perlu ubah sedikit syarat dan peraturan.




Berbaloikah?

Masuk soal utama entri ini, BERBALOIKAH?

Mengandungi lebih kurang 144 muka surat bercetak dan bersaiz A5, komik ini berbaloi dihabiskan masa membacanya. Aku (seorang yang slow-reader) hanya perlu habiskan kurang dua hari untuk habis baca dan komik ini langsung tidak membebankan.

Saiz buku yang nipis dan bersaiz A5, sepadan dan sama saiz dengan buku komik keluaran Komik-M yang lain menjadikan buku ini berbaloi untuk dijadikan simpanan di almari komik aku.

Dijual dengan harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak). Pada aku harganya berbaloi memandangkan aku LANGSUNG TIDAK BACA ONLINE. Kalau aku pernah (sudah) baca, aku rasa aku tidak akan keluarkan duit untuk beli di kedai. Jika kalian sudah baca kesemuanya secara online dan tidak kisah mengeluarkan duit untuk mendapatkan versi fizikal, boleh dapatkan buku ini.

Namun, memandangkan Komik-M mensasarkan pembaca kanak-kanak dan remaja muda, RM 9 untuk satu buku sedikit membebankan memandangkan majoriti golongan ini masih tiada sumber pendapatan tetap.

Jika RM 9.00 dirasakan membebankan, aku nasihatkan beli pada waktu promosi seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kerana selalunya akan ada diskaun untuk semua barangan. Aku beli buku ini di Pesta Buku Selangor dan dapat diskaun 15% menjadikan harganya cuma RM 7.65. Di PBAKL juga mungkin akan diberi diskaun 15%, atau mungkin lebih lagi. Jika kalian terlepas PBAKL, boleh dapatkan buku ini ketika cuti sekolah kerana selalunya pada waktu itu harga buku di toko-toko buku terkemuka akan diturunkan kerana promosi.

Mahukan aku (cEro) menjadi 'personal shopper' kalian dan belikan buku ini semasa PBAKL? Boleh DM aku di @cerolian di kesemua laman sosial utama yang ada. Bayaran upah boleh dibawa bincang.




Penutup

Semasa kecil, aku ada pandangan bahawa semua komik yang dijadikan buku dan dijual adalah berbaloi untuk dibaca. Ini kerana semua komik yang pernah aku baca (pada ketika itu) tidak mengecewakan.

Namun zaman sudah berubah. Walaupun industri komik semakin perlahan, tapi variasi komik di Malaysia semakin berkembang. Kita ada banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menjual buku komik, menjadikan sasaran komik pada era ini adalah lebih kepada keuntungan semata-mata. Langsung (kadang-kadang) tidak endahkan kualiti.

Banyak sudah buku komik yang dilukis orang tempatan yang aku beli mendatangkan kekecewaan dari segi kualiti. Namun, buku komik CKOM 2017 ini bukanlah salah satu daripadanya.

Dua tiga kali juga aku fikir patutkah aku review buku ini kerana kebanyakan pelukis dan penulis di dalam buku ini aku kenal di alam maya. Takut salah review, jauh pula hati mereka dengan aku nanti memandangkan naluri orang seni ni cepat sensitif bila dikritik. Malah semasa menaip entri ini pun aku taip dengan berhati-hati agar isi yang aku nak sampaikan tidak disalah tafsir.

Walaupun mereka adalah kenalan, tapi pendapat aku, aku tidak patut sokong mereka hanya kerana mereka kenalan. Frasa seperti 'support member' sedikit tidak tepat dan tidak bersesuaian kerana jika hasil karya yang diketengahkan itu tidak mencapai standard, adakah kita sebagai kenalan masih patut sokong mereka dengan membeli produk mereka?

Pada aku, kalau barang bagus, aku beli. Tidak kira kawan atau siapa.
Kalau barang tak bagus, adakah aku masih patut beli hanya kerana perlu sokong kenalan?

Aku tidak mahu industri komik Malaysia dipenuhi dengan pelukis dan penulis yang 'syok sendiri' kerana pada pandangan mereka, tidak kira apapun taraf kualiti produk yang mereka keluarkan, mereka masih dan sentiasa ada 'member yang support'. Sedikit sebanyak ini akan membanyakkan produk 'asal boleh', menurunkan kualiti dan mencacatkan industri komik Malaysia sekaligus akan menyebabkan industri terus terkebelakang berbanding negara lain.

Namun dengan komik CKOM 2017 ini, kualitinya masih terjaga walaupun sebenarnya ada dua tiga perkara kecil yang masih boleh diperbaiki.

Pendek kata, aku tidak menyesal beli buku ini.



Komik CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara, mungkin akan mula diedarkan selepas PBAKL 2018 nanti pada harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak).




Jadi macam mana dengan entri 'BERBALOIKAH?' yang pertama ini?
Adakah kalian berminat nak beli buku komik yang aku review?
Kalian ada cadangan tentang benda apa yang patut aku review?
Tinggalkan komen untuk memberitahu.




.

Nov 29, 2017

Doktor Narsisistik dan Lelaki Yang Berhabis RM30 Untuk Rasa Tertipu.



Salam.

[Penafian: Disebabkan ini blog peribadi, maka semua tulisan di dalam entri ini bersifat peribadi dan tidak mewakili pendapat majoriti mana-mana pihak. Segala akibat dari tulisan ini akan ditanggung cEro secara keseluruhan. Tiada sengketa antara mana-mana pihak, hanya kritikan yang mungkin bersifat peribadi namun membina.]

Kalau kalian baca entri aku minggu lepas,
satu entri aku hanya bercerita tentang kejayaan aku habiskan baca satu buku.
Bagi orang lain mungkin itu perkara biasa,
tapi bagi aku, itu perkara luar biasa.
Itu perkara yang sangat aku banggakan.
Sebab aku bukannya pembaca yang setia.
Buku bahasa inggeris pula tu.

Disebabkan aku sudah habis baca buku itu,
maka beg yang selalu aku bawa berisi buku untuk dibaca itu menjadi ringan.
Bila bertahun-tahun sudah biasa berbeg berat,
tiba-tiba pula sekarang jadi ringan,
maka badan aku sedikit rasa janggal.

Jadi aku buat keputusan untuk MULA baca satu lagi buku.
Dari puluhan (mungkin ratusan) buku yang menanti untuk dibaca di rak buku aku,
aku pilih buku ini:

DIAgnosis2
[Angka dua bersifat superskrip, maka aku panggil DIAgnosis(kuasa dua)]



Buku ini mempunyai 358 muka surat bercetak.
Merupakan himpunan cerita hasil tulisan 7 doktor.



KENAPA PILIH BUKU INI UNTUK MENJADI PEMBERAT BEG?

Aku beli buku ini sebab aku sudah baca buku DIAgnosis yang pertama.
Di kulit buku ini terpampang tulisan mengatakan (rujuk imej di atas) buku ini adalah
'sequel to bestseller book of 2014 (5 stars) PBAKL MPH KINOKUNIYA'
yang pada aku merujuk kepada buku DIAgnosis yang pertama.

Untuk buku DIAgnosis yang pertama,
walaupun aku agak kecewa bila tahu semua cerita dalam buku itu adalah rekaan,
tapi disebabkan isinya bersifat teknikal dan penuh dengan jargon (bahasa khusus dalam sesuatu bidang), maka aku rasa sedikit sebanyak ceritanya ada kaitan dengan pengalaman penulis sendiri.
Mana mungkin orang bukan ahli dapat tahu perkara yang begitu spesifik dan teknikal, kan?

Idea mengumpulkan doktor sebenar dan menghimpunkan hasil tulisan mereka,
pada aku, satu idea yang bernas.
Bukan sahaja cerita-cerita yang disampaikan menjadi pendek dan mudah dibaca,
tapi kita sebagai orang biasa juga berkesempatan merasai pengalaman menjadi seorang pengamal perubatan melalui pembacaan.
(Walaupun ada satu dua tiga kelemahan sana sini)

Sebab itu buku DIAgnosis yang pertama, pada aku, berjaya.

Bertitik tolak daripada kejayaan buku pertama itulah,
aku tergerak beli buku DIAgnosis(kuasa dua) ini.

Tapi, yang ikut twitter aku akan tahu,
aku pernah merungut tentang harga buku ini.
DIAgnosis pertama hanya berharga RM20
manakala buku DIAgnosis(kuasa dua) ini berharga RM30.
Bab duit, aku memang berkira. Hahaha
Tapi sebab jangkaan aku buku ini tidak akan menghampakan,
jadi aku relakan jiwa.



MULA BACA

Disebabkan sekarang musim hujan dan aku seorang penunggang motosikal,
maka banyak masa aku dipenuhi dengan aktiviti menunggu hujan reda.
Maka, aku ada banyak masa untuk mula baca buku ini.

Buku ini dibahagi mengikut turutan penulis (doktor).
Habis cerita daripada seorang penulis, maka disambung dengan penulis yang lain.

Bila aku mula baca hasil tulisan penulis pertama,
aku sudah dapat gambaran bahawa buku ini tidak seperti DIAgnosis yang pertama.
Dalam buku pertama, semua cerita adalah berkisar sekitar kehidupan doktor (atau pelajar perubatan) dan bagaimana karenah para pesakit menjadikan mereka lebih merendah diri dan bersyukur.
Cerita dari buku pertama sarat dengan pengajaran,
membuat sesiapa yang membaca akan berfikir.

Namun tiada yang 'rendah diri'nya dalam cerita awal buku DIAgnosis ini.
Gaya bahasa penulis pertama sangat dramatik.
Setiap ayat diakhiri dengan bunyi ritma yang sama.
Kalau habisnya -a, maka ayat seterusnya juga dihabiskan dengan -a.
Penulis gigih nak sedapkan ayat sehingga lupa yang dia sedang menulis cerita, bukannya menulis lirik lagu.

Kalau perlu diletakkan perumpamaan, aku rasa (secara peribadi),
penulis adalah seorang narsistik yang sangat bangga dengan diri sendiri.
Dia seseorang yang suka selfie,
tapi bila nampak orang lain selfie, dia akan buat muka cringe. (contoh)

Salah satu cerita yang ditulisnya, walaupun masih berkisar dalam bidang perubatan
tapi lebih kepada cerita cinta bagaimana uda dan dara bertemu.
Ala-ala sweet love story drama melayu senja gitu.

Watak utama lelaki disifatkannya sebagai bijak, kacak, sasa, alim dan hebat ilmu dunia dan agamanya, dan aku quote;
'Suara jantannya bisa buat hati jadi layu. Itu hanya ketika menjadi imam solat jemaah Subuh, Maghrib dan Isya', habis luluh dan jika hati itu sifatnya cecair pasti sudah lama tersejat ke udara'.

Watak utama lelaki ini juga digelar James Bond dan Superman dalam ceritanya.
Kebetulan (atau tidak), huruf awal nama watak lelaki itu sama dengan huruf awal nama penulis.
Lagi kebetulan, watak utama perempuannya pula, huruf awalnya JUGA sama dengan huruf awal nama (pada ketika cerita ditulis) bakal isteri si penulis, yang juga salah seorang daripada penulis buku ini.
Best kan kebetulan dia?
Puji watak dalam cerita, rupanya...

Lebih dari dua kali penulis memberitahu di dalam buku ini yang dia bakal menjadi suami kepada bakal isterinya.
Walaupun kami (para pembaca) tahu awak teruja mahu menjadi suami,
but you have no right to rub your 'excitement' onto your readers' face.
Keep it to your pant la bruh.

Dan dengan hanya itu,
hanya dengan membaca cerita dari penulis pertama,
aku sudah rasa menyesal keluarkan RM30 untuk membeli buku ini.



SIAPA EDITOR?

Untuk buku yang dijual RM30, pada aku,
paling kurang jagalah tatabahasa, paling tidak tiada kesalahan ejaan.

Aku baru baca hasil tulisan seorang penulis,
aku sudah jumpa berlambak ejaan salah, tatabahasa salah dan sebagainya.
Dan pada satu ketika, aku rasa, penulis menulis secara semberono, mungkin sekadar mahu habiskan bahagian.
Penuh kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Dan kesalahan tatabahasanya langsung tak konsisten.

Contoh;
penulis menulis perkataan 'di kala' sebagai 'dikala'
(perhatikan ruang antara 'di' dan 'kala')
Kalau penulis tidak tahu peraturan tatabahasa, dia akan terus tulis 'dikala' untuk keseluruhan ceritanya.
Tapi penulis kadang-kadang menggunakan 'di kala', kadang-kadang menggunakan 'dikala'.
Langsung suka hati langgar peraturan tatabahasa yang ada.
Sekali silap boleh dimaafkan,
tapi berkali-kali silap, sakit mata aku baca.

Jadi, aku selak muka awal, mencari jawapan kepada satu soalan;
SIAPA EDITOR?

Jawapannya, editor adalah dia sendiri, penulis pertama tadi.
Si Doktor Narsisistik tadi.
Lagi best, dia juga merupakan salah seorang proof-reader.
Patutlah banyak silap sana sini.
Mana boleh edit dan proof-read hasil tulisan sendiri.
Nanti persepsi penuh dengan bias.
Dan juga dari prakata, aku dapat rasakan dia juga merupakan orang besar dalam syarikat penerbitan buku ini, mungkin share-partner, or owner, or whatever.

Kau tulis, kau edit, kau proof-read.
Kau juga beri prakata, kau juga tentukan harga.
Dalam bahasa budak asrama aku dulu, ini dipanggil GIPANG.
Siapa tahu gipang itu apa, sila angkat tangan.



EH? PENERBIT LAIN?

Diingatkan balik, aku rasa buku DIAgnosis yang pertama lebih kecil.
Dan nipis.
Jadi bila balik ke rumah, aku selongkar almari buku aku,
mencari buku DIAgnosis yang pertama.

Ya, nipis.
142 muka surat bercetak berbanding DIAgnosis(kuasa dua) dengan 358 muka.
Sebab itulah (kot) buku ini dijual RM30 berbanding DIAgnosis pertama yang hanya RM20.
Ya, buku makin besar dan tebal,
tapi itu sebab font yang digunakan semakin besar
dan spacing antara barisan bertambah.
Jadi, secara peribadi aku rasa, DIAgnosis(kuasa dua) ini mahu mengambil kesempatan ke atas kejayaan DIAgnosis yang pertama.
Pulun selagi boleh. Pulun.

Tiba-tiba aku perasan sesuatu.
Nama syarikat yang terbitkan kedua-dua buku ini berbeza.
Tapi buku kedua ini claim yang buku dia sequel kepada buku pertama.
Bolehkah sequel diterbitkan di bawah syarikat berbeza?

Jelas dinyatakan dalam buku ini bahawa hakcipta berada di tangan penulis,
maka semua cerita adalah milik mutlak penulis, bukan penerbit.
Tapi tajuk buku, the brand name 'DIAgnosis' rasanya masih jatuh ke tangan penerbit.
(correct me if I'm wrong)
Jadi, bolehkah syarikat kedua ini guna brand name itu?
Malah claim kata bukunya adalah sequel kepada buku pertama yang laku keras itu?

Aku amat berharap ada yang boleh perjelaskan kekeliruan aku ini.



KE KEDAI BUKU KE KITA

Lagi menambahkan kekeliruan pembaca yang lambat dan tak setia seperti aku,
satu hari ketika aku berjalan ke kedai buku,
aku ternampak buku DIAgnosis 2.
Bukan buku DIAgnosis(kuasa dua) yang sedang aku baca ini,
tapi buku bertajuk DIAgnosis2 : Prognosis.


Buku ini bawah terbitan penerbit buku yang sama dengan buku DIAgnosis pertama.
Buku ini juga claim sebagai sequel kepada buku DIAgnosis pertama itu.

Jadi,
dari satu buku yang jadi bestseller,
terterbit dua cabang buku dengan brand name yang sama, juga dua-dua claim sebagai sequel.
Bayangkan filem Captain America ada dua sequel berbeza;
satu Captain America sertai Avengers,
satu lagi Captain America puji diri sendiri kacak tampan dan suara sedap mengaji.
Bukankah pening para penonton nanti?

My head hurts.

Entah kenapa, aku rasa tertipu.
Aku beli buku DIAgnosis(kuasa dua) ini dengan harapan buku ini, kalau tidak lebih bagus pun akan setaraf dengan 'prequel'nya.
Tapi setakat entri ini ditaip,
aku sudah baca hasil tulisan dua penulis di dalam buku itu.
Doktor Narsisistik dan seorang lagi penulis kedua.
Terima kasih kepada penulis selepas Doktor Narsisistik itu,
aku kembali teruja untuk terus membaca dan berhajat untuk habiskan buku ini.
Sebelum ini, semasa aku sedang baca bahagian Doktor Narsisistik itu,
kepala aku ligat berfikir 'bilalah nak habis bahagian dia ni' berkali-kali.



KESIMPULAN

Daripada entri ini, kalau kalian baca,
mesti kalian dapat rasa yang aku macam ada isu peribadi dengan si doktor itu, kan?

Jujurnya,
dia tak tahu pun aku wujud.
Aku pun tak tahu muka dia macam mana.
Jadi aku boleh jamin isunya bukan perhubungan sesama manusia.
Tapi yang aku yakin, satu; ini isu peribadi.

Pada aku, seseorang telah buat aku belanjakan RM30 untuk rasa tertipu,
dan itu sudah boleh dilabel sebagai isu peribadi.
Aku macam tak ada orang nak disalahkan selain doktor itu sebab
dialah penulis,
dialah editor,
dialah proof-reader,
dialah segalanya.
Buku itu buku dia.

Buku ini terbit tahun 2015. Sekarang hujung tahun 2017.
Jadi isu hakcipta jenama 'DIAgnosis' mungkin sudah basi dan pernah dibincangkan.
Tapi aku sangat nak tahu apa cerita sebenarnya.
Bolehkah jenama dan 'brand name' digunakan sewenang-wenangnya?

Kalau suatu hari nanti jenama 'cerolian' menjadi terkenal, adakah tidak mengapa jika ada manusia yang menggunakan nama itu untuk kepentingan narsisistiknya?


UPDATE:
Disebabkan kadar bacaan aku berkadar terus dengan taburan hujan,
dan hujan turut dengan kerapnya belakangan ini,
jadi 3 hari selepas aku taip post di atas, aku sudah lepas baca separuh buku.
Aku juga sudah baca bahagian penulis yang juga merupakan (pada ketika buku itu ditulis, bakal) isteri kepada Doktor Narsisistik itu,
dan aku dapat rumuskan mereka berdua ini sama sahaja.
Aku tahu dia seorang blogger, tapi janganlah tulis macam gaya blogger dalam buku itu.
Aku pun tulis gaya blogger.
Tapi aku tulis gaya blogger untuk blog aku yang boleh dibaca percuma.
Dia pula tulis gaya blogger untuk buku yang dijual RM30.
Patut ke tidak patut?
Jagalah sikit bahasa, sebab bila sudah terbit buku, yang baca bukan kawan-kawan sebaya sahaja.
Siapalah agaknya editor buku ni...OH? Lupa...
Editor dia laki dia sendiri, so....TAKPE!


Nota kaki:
Terima kasih kepada yang baca entri ini sampai habis. Aku sangat tak puas hati dengan penulisan buku ini dan satu-satunya tempat untuk aku luahkan adalah di dalam blog ini sebab orang sekeliling aku tidak tahu aku baca buku. Aku tak jangka kalian akan baca habis entri panjang berjela ini, tapi kalau ada yang baca, terima kasih. Seikhlas-ikhlas hati aku berterima kasih.





.

Nov 22, 2017

Pembaca yang Tidak Setia.



Salam.

Kalau kalian cukup lama baca blog ini,
kalian tahu yang aku bukanlah pembaca buku yang setia.
Banyak sudah entri di dalam blog ini beritahu tak gemarnya aku membaca buku.
Entri ini salah satu daripadanya.
Jangan salah anggap, aku suka membaca.
Cuma kebanyakan material yang aku baca bukanlah buku.

Di dunia luar aku dikenali sebagai orang yang tidak suka membaca.
Manusia keliling aku akan terkejut kalau nampak aku dengan buku,
walaupun hanya aku memegang buku untuk dijadikan kipas ketika panas.

Aku macam tidak kisah sangat orang label aku macam tu.
Bahkan aku rasa baguslah, supaya orang tidak salah anggap.
Orang selalu anggap orang rajin membaca ini pandai.
Satu bahagian memang tepat, tapi semua itu bergantung kepada material bacaan kita itu.
Kadang-kadang belakang kotak penyembur serangga lebih banyak ilmu daripada novel cinta 400 muka surat.

Untuk dijadikan topik utama entri ini,
pada 15 November 2017 lepas, aku berjaya habiskan sebuah buku setebal 296 muka surat.
Kenapa kejayaan menghabiskan buku ini merupakan satu kebanggaan aku?
Sebab aku mula baca buku ini pada 14 Disember 2015
menjadikan sesi bacaan satu buku ini sebulan kurang sebelum mencapai 2 tahun durasi.

Ya,
2 tahun baru habis satu buku.
Macam yang aku cakap, aku bukanlah pembaca yang setia.
Tapi kalau bercinta, aku jamin kesetiaan aku #ewah




Buku itu bertajuk The 7 Laws of Magical Thinking tulisan Matthew Hutson.
Ada banyak kali aku sebut dalam beberapa entri blog ini:

Tapi aku tak akan tulis review tentang buku itu di sini.
At least bukan dalam entri ini.
Kalau perlu, aku akan tulis dalam entri lain.
Itupun kalau kalian nak bacalah...



KENAPA SAMPAI DUA TAHUN?


Dua tahun memang satu jangka masa lama untuk habiskan satu buku.
Tapi kenapa dua tahun?
Adakah sebab buku itu tidak menarik?
Atau ada perkara berlaku dalam tempoh dua tahun tersebut?

Buku itu aku beli semasa satu jualan Big Bad Wolf hujung tahun 2015.
Aku beli atas dasar terpengaruh apabila disebut oleh seorang YouTuber kegemaran aku dalam salah satu videonya.
Aku mula baca buku tersebut serta merta selepas aku beli.

Buku ini buku non-fiction, bukan cerita rekaan.
Buku ini adalah gabungan fakta dan pemerhatian penulis tentang topik berkenaan tajuknya, iaitu 'magical thinking', jadi buku ini penuh dengan cerita benar pendek yang menjurus kepada pemikiran luar logik.

Disebabkan buku ini bukan buku cerita,
jadi aku boleh berhenti bila habis satu bab.
Malah aku selalu berhenti bila hanya habis satu sub-bab,
dan tempoh antara aku berhenti dan sambung baca balik agak jauh.
Sebab itulah ambil masa dua tahun.

Disebabkan buku ini bukan buku cerita,
maka aku boleh berhenti dan sambung baca bila-bila masa aku nak
tanpa perlu ingat isi sebelumnya.
Kalau buku cerita, atau novel,
kalau lama sangat kita tinggalkan buku itu selepas berhenti
kita mungkin akan lupa jalan cerita sebelumnya.

Dengan buku non-fiction, masalah itu tiada. Yaay!



BACA SIKIT-SIKIT


Seperti yang aku beritahu awal tadi,
aku dilabel sebagai 'bukan pembaca buku' di kalangan orang sekeliling aku.
Aku juga sedikit sebanyak mahu kekalkan label itu.
Jadi, aku tidak akan baca buku di khalayak ramai.

Disebabkan hampir majoriti masa aku akan ada orang di sekeliling,
jadi aku tiada masa sesuai untuk membaca buku ini.
Bila ada masa, sebagai contoh sedang menunggu hujan reda di tempat berteduh,
barulah aku selak buku ini dan baca.
Itu pun tidak baca banyak mana pun.
Baca sikit-sikit sahaja.

Sebab itulah nak habiskan buku ini ambil masa dua tahun.
Aku rasa, bagi pembaca yang setia,
buku setebal 296 muka mungkin boleh dihabiskan hanya dua tiga hari.

For me, reading is not a race.
Bukannya berapa banyak buku kita baca sebulan.
Bukannya berapa laju kita baca sesuatu buku.
Pada aku,
ambillah masa sebanyak manapun, asalkan setiap sesi itu ada isinya.
Ada sesuatu kita dapat daripadanya.
Lagipun, bukankah buku adalah sumber utama ilmu?



JANGAN BUANG MASA


Aku ambil masa lama untuk habiskan buku ini bukan sebab isinya tidak menarik.
Malah sebaliknya.
Isinya begitu menarik sehinggakan aku perlu hadam setiap bab sepenuhnya.
Aku tidak mahu terlepas satu pun isinya.
Isi seperti inilah yang menarik minat aku.
Yang (pada aku) seronok untuk dibuat bahan bual.

Sebagai orang yang memilih bahan bacaan,
aku dapati adalah susah untuk dapat buku yang betul-betul menarik minat aku.

Pernah sekali aku dapat buku percuma semasa pembelian barangan.
Dengan niat aku mahu habiskan baca buku itu,
tapi disebabkan isinya tidak secocok dengan aku,
jadi aku tidak dapat teruskan.
Aku habiskan baca separuh jalan sahaja.
Bukan buku itu tidak menarik, cuma isinya tidak kena dengan aku.

Seseorang pernah berpesan kepada aku:
Kita tiada kewajiban untuk menghabiskan sesebuah buku yang dibaca.
Kalau rasa tidak mampu, berhentilah.
Berhenti dan pergi ke buku seterusnya.
Tidak perlu habiskan masa untuk buku yang tidak digemari.



KESIMPULAN


Buku adalah antara sumber ilmu utama.
Daripada membacalah kita dapat menyelami pemikiran orang yang menulis.
Sebagaimana kalian baca blog aku ini,
sebahagian daripada pemikiran aku dapat disampaikan kepada kalian.

Walaupun aku bukanlah pembaca buku yang setia,
aku tidak pernah menidakkan kepentingan membaca buku.
Baguslah jika kalian seorang pembaca buku yang tegar.
Tapi jika bukan, apa salahnya mula berjinak-jinak dengan hobi bermanfaat ini.
Mulakan dengan buku yang ringan dan seronok dibaca.
Mungkin majalah, komik, surat khabar ataupun risalah.
Kemudian cabar diri untuk bahan bacaan yang lebih serius.
Kelak, mungkin hasil daripada bacaan kita itu boleh mengubah dunia.
Siapa tahu, kan?




Jadi,
kalian ada buku menarik yang rasanya sesuai untuk aku baca?
Apa buku paling menarik pernah kalian baca?
Cuba rekomen sikit di bahagian komen.

Just in case kalau kalian ada akaun Goodreads,
add laa aku sebagai friend di sini.
Boleh kita saling skodeng apa buku yang sedang dan sudah kalian baca.

Sekian.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License