Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Aku.Hati. Show all posts
Showing posts with label Aku.Hati. Show all posts

May 23, 2018

Sembang Ramadan: MELEPASKAN!



Salam.

Hari ini hari Rabu pertama untuk Ramadan 2018 (1439h).
Aku tidak ada lukis komik khusus untuk Ramadan.
Aku juga tidak sertai #inkRAMADAN seperti yang pernah aku buat bulan puasa tahun lepas.
Tahun ini, aku rasa cukup sekadar kita sembang-sembang hari Rabu sempena bulan Ramadan.




Ini adalah komik sempena bulan Ramadan yang pernah aku lukis.
Kemunculan awalnya adalah pada 8 Julai 2015,
di blog ini untuk entri bertajuk 'Diari Ramadhan Aku : Tahu'
Pada tahun 2016 pula, aku post di instagram @cerolian pada tarikh 12 Jun 2016.
Di Facebook Empire State of cEro dan Twitter @cerolian juga sudah berkali-kali aku kongsi.
Pendek kata, komik sempena bulan Ramadan ini ada merata, di mana-mana.

Tahun ini 2018, tahun keempat bulan Ramadan komik ini wujud, masih lagi ramai orang di luar sana kongsi komik ini. Post di Facebook peribadi mahupun page dan mendapat jumlah Like dan Share yang tinggi, bukan sekadar ratusan malah mencapai tahap puluh ribuan. Tweet di Twitter dan dapat RT beribu-ribu. Share di Instagram dapat Like juga beribu-ribu.

Semua itu berlaku menggunakan karya lukisan aku TANPA kebenaran aku.

Aku dapat rasakan warga netizen tidak akan pernah faham bagaimana komik pendek, lukisan dan hasil seni orang lain adalah hak milik mutlak pemilik itu sendiri. Sebarang usaha untuk repost, RT, Share dan sebagainya TIDAK boleh dilakukan TANPA kebenaran pemilik.

Remuk hati aku bila aku selaku pemilik komik Tahu ini post di Twitter hanya dapat 4 RT sedangkan orang lain yang entah siapa-siapa, ambil dan post di tweet miliknya dan dapat beribu-ribu RT.

Bayangkan, RT dan Favorite itu milik siapa sebenarnya? Mereka guna karya aku untuk kepentingan peribadi sendiri dan memuaskan keinginan untuk peroleh RT.

Aku bukan batak RT.
Macam yang pernah aku ceritakan di entri 'Pengalaman Berharga 18k', aku sudah masuk satu fasa tidak berminat dengan 'internet fame' dan kemahsyuran sementara seperti itu. Namun itu tidak menghalalkan orang lain untuk guna karya aku dan post seolah-olah itu hak milik mereka di mana-mana media sosial yang ada.

Lagi menyakitkan hati, mereka ini crop tajuk, nama pelukis dan watermark yang sepatutnya menjadi tanda itu karya aku punya. Aku tidak faham dengan fahaman golongan begini. Kenapa perlu bertindak sejauh itu hanya untuk menidakkan hak milik sesebuah karya seni?

"Eleh, komik je pun. Semua orang boleh lukis.."

Habis tu, kenapa ambil komik aku dan buat macam komik sendiri? Kalau itu sekadar 'komik je pun', kenapa kau tak lukis sendiri? Kenapa perlu rompak, crop, dan post?



Aku sudahpun nampak ini akan menjadi satu pattern, satu corak yang berulang. Dari tahun 2015, 2016, 2017 dan kini 2018 isunya tetap sama; orang ambil komik aku, buat tanda dagangan yang aku tinggalkan, nafikan hak aku sebagai pemilik dengan crop segala apa yang boleh di-crop dan kemudian post di media sosial untuk kepuasan sementara.

Percayalah, tahun depan 2019 pun akan berlaku perkara yang sama.
Mungkin akan dilakukan oleh orang yang sama ataupun dilakukan oleh orang lain yang semuanya masih tidak faham erti hak milik.

Jadi,
untuk menjaga hati aku yang sakit ini, dan untuk menjamin perkara seperti ini tidak sekali lagi menyakitkan hati aku di masa akan datang, aku sudah buat keputusan untuk LEPASKAN KOMIK INI.

Bermula saat ini, dan sehingga ke saat utopia seluruh umat manusia dapat berubah untuk lebih menghargai, maka komik puasa bertajuk TAHU ini akan aku lepaskan hak miliknya. Bermakna, sesiapa sahaja boleh post, repost, share dan sebagainya ke mana-mana media sosial yang ada TANPA perlu minta kebenaran daripada aku.

Jika itu dapat buatkan hidup mereka bahagia, aku rasa komik ini berbaloi untuk dilepaskan.

Di Instagram dan Twitter juga aku ada buat pengumuman yang sama, malah aku letakkan 2 syarat;
1. Mesti tag aku, dan
2. JANGAN CROP!

...tapi aku tahu, tiada siapa pun turuti syarat aku itu. Manusia luar sana akan terus rakus mengejar kemahsyuran sementara dengan merompak hasil karya orang lain tanpa bertanya.



Aku sudah lama kecewa dengan umat manusia. Kita boleh ubah satu orang hari ini, tapi esok akan datang 1000 lagi orang yang seperti ini. Jadi kali ini, biar aku selamatkan satu-satunya perkara yang boleh aku selamatkan, iaitu perasaan dan hati aku sendiri.

It's sad, but it's necessary.

For now, so long komik TAHU.
Harap kau akan terus dapat menarik minat manusia di alam maya dengan isi kau yang relatable. Dan aku pasti, kita akan berjumpa lagi di bulan-bulan puasa Ramadan yang mendatang.

Sudahlah miskin. Komik lama dengan lukisan buruk pun orang nak rompak dari aku. Dugaan betul hidup ni.








.

Jul 19, 2017

Rambut Panjang tapi Hati Sayu.



Salam.




Biar aku jujur di sini.
Motivasi aku terhadap blog ini sudah semakin menurun.
Ada beberapa faktor yang aku dapat kenalpasti dan aku harap, di akhir post ini, kalian yang membaca dapat beri input sebaiknya untuk aku kembalikan motivasi diri terhadap blog ini.


1. Aku tiada kebebasan internet.

Ini isu yang banyak kali aku ulang dalam entri sebelum-sebelum ini.
Aku menetap di tempat baru, tempat di mana internet tidak semewah dahulu.
Internet yang aku pakai bersifat broadband dengan kuota rendah, satu rumah kongsi ramai, jadi kalian faham kan kenapa aku hanya mampu post setiap rabu tapi tidak balas komen dan blogwalking?
Aku dijanjikan akan tiba sambungan kabel bawah tanah yang akan membuatkan internet aku kembali 'mewah', tapi setahun sudah berlalu, janji masih hanya sekadar janji.


2. Blog aku tidak 'mobile-friendly'.

Blog ini hanya 'mobile-friendly' untuk pembaca.
Tapi untuk pemilik macam aku, sangat tak friendly.
Aku fikir adalah sangat bagus kalau ada apps yang bolehkan aku update secara on-the-go menggunakan handphone tapi malangnya TIADA!
Mungkin sebab blogging bukan lagi pilihan generasi sekarang,
jadi tiada siapa yang nak fokus kepada pembangunan aplikasi seperti yang aku kata itu.
Maka, untuk update blog, satu-satunya cara aku ada adalah berada di depan komputer.
Dan aku dan komputer pula tidak selalu bersama, jadi....
*mengeluh panjang*


3. Blogging is dying.

I have a feeling that orang yang masih blogging pada tahun 2017 adalah mereka yang setia.
Maksud aku,
walaupun kita dihujani dengan pelbagai aplikasi mudah alih untuk media sosial,
tapi orang seperti kita masih memilih untuk menulis dan membaca blog.
Tapi kita kena akui,
blogging memang sudah berada di belakang zaman.
Orang ramai enjoy media sosial lagi sebab ringkas, laju dan di hujung jari.
Maka berkuranganlah pengunjung blog ini (dan blog lain),
at one point aku tertanya, untuk apa aku bersusah payah cari internet setiap minggu tapi akhirnya hanya DUA orang sahaja yang baca entri aku?


4. Friends no more.

Orang-orang yang aktif semasa zaman blogging dulu sama ada;
(1) sudah move on dalam kehidupan,
(2) sudah bosan dan dibiarkan sahaja blog mereka tandus,
(3) bertukar fokus kepada Facebook, Twitter dan Instagram
atau (4) bertukar status dari 'kawan' kepada 'stranger'
dan disebabkan itulah blog aku terasa sepi sekaligus mengurangkan motivasi aku untuk update blog.


5. Tiada misteri = Tiada minat.

Here's the main part.

Dulu aku (cEro) dikenali sebagai seorang lelaki misteri yang mempunyai kisah cinta malang tak berkesampaian.
Hanya segelintir yang kenal siapa cEro,
dan majoriti lain sangat berminat nak kenal hanya kerana 'kemisterian' itu.

But I was slowly losing my grip.
Part of me sangat nak simpan kemisterian itu,
tapi diri aku sendiri pula sangat suka berjumpa dengan orang baru.
Jadi, aku perlahan-lahan buka pintu perkenalan kepada orang lain.
Aku berkenalan dengan orang baru, sesama blogger, orang yang suka ziarah blog ini, suka tinggalkan komen.
Aku join group komuniti melukis bawah nama cEro,
kenal mereka yang join sama-sama, hopign they'll be my best friends.
Lama kelamaan, jumlah mereka yang kenal lelaki di sebalik cEro semakin bertambah.

Tapi malangnya,
once mereka-mereka yang pada mulanya nak sangat kenal aku dapat kenal aku,
mereka sedar, lelaki misteri bernama cEro sebenarnya hanyalah lelaki biasa.
Tidak istimewa, tidak misteri mana, hanya biasa. BIASA.

Hilang kemisterian, maka hilanglah minat.
Sebab itu kebanyakan daripada kalian (mereka) tidak memandang aku ini sebagaimana kalian pernah memandang cEro dahulu sebagai seorang yang misteri dan menarik minat.

Tapi kesalahan penuh terletak di pundak aku.
Aku yang membiarkan diri dihanyut keseronokan berkenalan dengan orang baru.
Aku lupa, once mereka dapat (atau tidak dapat) apa yang mereka mahu,
mereka akan tinggalkan aku
sebab aku pada mulanya tidaklah sepenting mana di benak mereka.

Misteri hilang, kawan pun hilang, jadi pengunjung blog pun hilang.

Orang-orang yang dulu katanya 'ikhlas mahu berkenalan'
kini menjadi orang asing.
They don't genuinely want to know me.
Bila kenal, dan mereka lihat aku tidak seperti yang mereka sangkakan,
aku tidak beri apa yang mereka mahukan,
then IT'S OVER. No more.

Kalian kena faham, aku JUGA manusia.
Aku mahu juga berkenalan dengan manusia lain.
Aku juga ada sifat ingin tahu, malah kadang-kadang terlebih tinggi sifatnya.

Tapi,
kalian tak berhak buat aku begini.
Sifat ingin tahu kalian terhadap aku tinggi,
tapi bila sudah tahu, kalian buang aku macam aku ni tak ada apa-apa.

Definisi 'kawan' pada kalian sangat berbeza dengan aku.

I have enough of this.
From now on, I'll never open my door to anyone, anymore.
Those who still be my friends will be my friends unless said otherwise.
Those who left will leave forever.



Rasanya aku sudah menyimpang jauh daripada apa yang patut aku tulis.
Belum cerita entri panjang lebar tak ada kaitan dengan komik di atas.
Lantaklah. This is my blog.
I am the master.

Hmmm..
Aku akan cari jalan macam mana nak tarik minat orang datang ke blog aku ni.
Mungkin aku patut mulakan dengan cari internet yang stabil.






.

May 10, 2017

Tak Apa!



Salam.



Jangan kata
"Mungkin kau yang menjauhkan diri?"
sebab kalian tak tahu apa aku lalui.

------------------------------------

Dalam satu cerita yang tiada kaitan dengan komik di atas,
semalam aku didatangi seorang lelaki membawa kamera video dan mikrofon pin.
Dia ingin bertanyakan satu soalan untuk assignment video dia dan meminta aku menjadi responden.

Aku pun bersetuju.

Mikrofon pin dipasang, kamera mula dihidupkan,
dia pun bertanyakan aku satu soalan selepas suruh aku perkenalkan diri.

"Boleh beritahu kami perkara yang boleh disyukuri hari ini?"
Aku terdiam berfikir.
Melihat aku terdiam lama, dia ubah soalan,
"Mungkin perkara yang boleh disyukuri sepanjang minggu ini?"
Soalan itu lebih tepat memandangkan pada waktu itu masih pukul 10 pagi,
masih awal, tiada perkara besar yang berlaku pun lagi.
Bukan tiada apa yang patut aku syukuri,
cuma nanti jawapan yang akan keluar adalah 'klise'
seperti bersyukur dapat bangun dari tidur dan masih bernafas dengan kesihatan yang baik bla bla bla.

Aku tersenyum mendengar kemas kini soalannya itu.

"Hari Sabtu lepas saya ke tempat yang penuh dengan orang, Pesta Buku.
Esoknya hari Ahad, sepatutnya saya ada plan dengan seorang kawan
tapi atas sebab-sebab tertentu, plan tidak menjadi."

"Ya, saya sedikit ralat sebab saya sangat ternanti-nantikan plan itu.
Tapi bila dikenang balik, saya rasa saya bersyukur plan itu tidak menjadi."

"Hari Ahad itu saya mula berasa tidak sedap badan dan demam.
Demam menjadi semakin melarat, saya terbaring dua hari, Ahad dan Isnin."

"Saya syak, saya dijangkiti virus demam pada hari Sabtu ketika berselisih dengan pelbagai jenis manusia di Pesta Buku yang sesak. Kalau plan Ahad menjadi, saya mungkin akan jangkitkan virus demam itu kepada kawan saya. Sebagai kawan yang penting, saya tidak mahu dia sakit, apatah lagi dijangkiti daripada saya. Dia mungkin akan demam teruk dan seterusnya mungkin akan jangkitkan kepada yang lain di sekitarnya juga. Mungkin ada anak kecil yang terjangkit, orang tua, orang yang memang sedang sakit. Demam selsema, kalau salah orang, mungkin boleh membawa maut."

"Jadi saya bersyukur bahawa plan Ahad lepas tidak menjadi.
Kawan saya tidak terjangkit, dan mungkin ada nyawa yang selamat.
We will never know, kan?"

Itulah kehidupan.
Kadang-kadang kita merungut perjalanan hidup tidak seperti yang dirancang.
Namun kita lupa setiap perkara ada hikmahnya.
Mungkin hikmah bukan pada kita, tapi pada orang lain.
Kalau kita pandang segalanya secara positif,
tiada apa yang perlu dirungutkan, kan?

"Sekarang, walaupun demam saya sedikit sudah kebah,
tapi saya berdiri bersama encik, jadi mungkin encik akan terjangkit,"
kata aku dengan nada bergurau kepada lelaki tadi.

Dia balas,
"Kalau saya demam, saya tahulah siapa yang boleh saya persalahkan."
Kami ketawa besar macam kawan lama sudah kenal.

Untuk mengaitkan apa yang aku cakap di atas dengan komik di awal tadi,
mungkin setiap mereka yang pergi itu ada hikmahnya.
Mungkin tanpa aku mereka akan lebih bahagia,
atau tanpa mereka aku akan lebih matang?
We may never know, kan?

Kalian pula,
apa yang boleh kalian syukuri pada hari ini?
Mungkin sepanjang minggu ini?






.

Jan 4, 2017

Aku, Tahun Baru dan Memori Indah yang Membanjiri Otak.



Salam.
Selamat tahun baru.
Pejam celik pejam celik sudah tahun 2017.
Terasa macam baru minggu lepas je tahun 2016 #IYKWIM




Jadi untuk entri pertama tahun 2017 ini aku mahu lari daripada kebiasaan.
Biasanya aku akan bercerita tentang azam,
sama ada azam tahun baru ataupun tercapaikah azam tahun lepas.

Namun kali ini aku mahu bercerita tentang sambutan tahun baru aku.


Tidak seperti tahun-tahun lepas, tahun baru kali ini aku sambut di tempat baru.
Kawasannya ceruk, hujung bandar dan tak ada apa pun yang menarik.
Macam dulu, rumah aku di Bandar Besi itu dekat dengan kawasan tumpuan orang,
jadi tiap kali tahun baru, pasti ada sambutan letupan bunga api.

Aku suka bunga api. Hanabi.
Pada aku bunga api romantik.
Tiap kali aku tengok bunga api, aku akan terimbau kenangan bersama seseorang.
Ia kenangan yang indah jadi aku tak ada niat nak buang dari memori.

Namun kali ini aku terpaksa bertahun baru di tempat baru.
Kawasan ceruk dan tiada ramai orang ini pastinya tak ada sambutan tahun baru.
Tiada sambutan bermaksud tiada bunga api.

Jauh dalam hati aku, aku dah redha yang kali ini aku akan sambut tahun baru tanpa bunga api. Rasa ralat, tapi apa boleh aku buat. Bukannya aku taukeh bunga api pun.

Detik semakin tiba, aku hanya mengadap TV menanti apakah sambutan tahun baru yang akan ditayangkan, namun TV pun seolah-olah tak meraikan tahun baru. Kalau dulu siap ada lintas langsung dari Dataran lagi nak kira detik 12 malam. Kali ini tiada. Sama ada budget lagi ataupun negara sudah dijajah pemikiran tidak mahu meraikan apa-apa lagi, aku pun tak pasti.

Lima...
Empat...
Tiga...
Dua...
Satu...

SELAMAT TAHUN BARU!

Aku sambut sendiri, sendirian, berseorangan.

TIba-tiba aku terdengar bunyi berdentum.
Agak jauh, tapi aku tahu itu tidak lain tidak bukan adalah dentuman bunga api.

YA, BUNGA API!

Rupanya kawasan ceruk hulu macam ni pun ada orang sambut tahun baru dengan bunga api.

Aku segera keluar rumah ikut pintu belakang.
Nampak dari jauh bunga api meriah menghias langit malam.
Berdentum satu-satu. Meletup di udara dan membentuk corak bunga.

Aku tersenyum.
Alhamdulillah.
Rupanya Yang Maha Besar masih lagi mahu aku meraikan tahun baru dengan melihat bunga api.
Hati aku dah redha dah takkan nampak bunga api kali ini tapi sebaliknya bunga api masih ada.
Tersenyum aku sendiri.
Segala memori indah semuanya kembali membanjiri otak aku.

Terima kasih Ya Tuhan.
Terima kasih untuk kesempatan ini sekali lagi.







Oh ya,
ini adalah cerita beberapa jam sebelum tahun baru.
Aku dan beberapa orang lain makan di sebuah kedai makan hispter.
Ada seorang antara kami order sup ketam, dan ia berbau sedap.

Bagi yang tidak tahu, aku alergik dengan ketam.
Bila aku makan ketam walaupun hanya sekadar sup,
muka aku akan bengkak bermula daripada bibir.
Kadang-kadang bau ketam yang dimasak di dapur pun boleh buat bibir aku bengkak.

Tapi sebab aku orang sains, aku tahu alergik adalah tindakbalas badan terhadap sesuatu.
Disebabkan badan manusia sentiasa berubah, sesuatu yang kita alah dahulu mungkin sahaja sudah tidak alah sekarang.

Seorang kenalan aku dulu pernah alah terhadap daging kambing semasa dia kecil tapi sekarang dia sudah dewasa dia sudah tidak alah lagi.

Aku pun anggap aku mungkin sudah tidak alah kepada ketam,
jadi aku ambil keputusan untuk hirup satu sudu sup ketam yang diorder tadi.





Sekarang cuba teka,
siapa sambut bunga api tahun baru 2017 dengan bibir besar membengkak mengalahkan Angelina Jolie?







Jadi,
macam mana dengan tahun baru kalian?
Ada perkara menarik yang boleh dikongsi?




.

Sep 21, 2016

Mengapa Waktu Tak Pernah Berpihak Kepadaku...







Salam.

Sebenarnya,
aku sudahpun schedule satu entri lain untuk minggu ini.
Tapi aku terpaksa reschedule sebab aku nak cerita sesuatu.
Sesuatu yang pada aku penting.
Jenis kisah sedikit peribadi macam ni selalunya aku kongsi di blog satu lagi, tapi kali ini aku buat pengecualian.

Begini.

Bayangkan kau suka pelangi. Dari waktu kecil lagi kau selalu menonton kartun di televisyen di mana karakternya dapat memegang pelangi, menggelongsor menuruni pelangi, malah ada yang bermandikan cahaya pelangi. Kau juga mahu begitu. Kau juga mahu menikmati keseronokan bersama pelangi. Disebabkan itu, setiap kali kau nampak pelangi, kau menjadi begitu teruja.

Kau berimpian mahu menjadi teman pelangi.

Namun kau sedar sesuatu. Pelangi dengan kau sentiasa jauh. Setiap kali kau nampak pelangi, mesti ada jarak yang memisahkan. Bagaimana mahu jadi teman pelangi kalau sentiasa ada jarak? Bagaimana mahu pegang pelangi, gelongsor turun pelangi dan bermandikan cahaya pelangi kalau pelangi sentiasa jauh?

Jadi, kau buat keputusan untuk menjadi pengejar pelangi.

Tiap kali kau nampak pelangi, kau mesti akan sedaya upaya menghampiri. Kau bersiap fizikal supaya kau boleh berlari laju untuk mengejar pelangi. Kau anggap kalau kau lagi laju daripada pelangi, maka lama kelamaan kau pasti akan dapat kejar juga pelangi tersebut.

Namun kau sedar sesuatu perkara lagi; pelangi muncul terlalu sekejap. Bila kau bersemangat mengejarnya, sedar tidak sedar kau sudah kehilangannya. Makin dekat, makin malap dan seterusnya hilang dari pandangan. Bagaimana kau mahu kejar pelangi kalau kemunculannya terlalu sekejap untuk kau tangkap?

Jadi, kau buat keputusan untuk memahami pelangi sepenuhnya sebelum kau terus mengejarnya.

Dengan gigih kau belajar semua ilmu yang ada berkenaan pelangi. Mekanismenya, sifatnya, keadaannya. Demi impian kau untuk memegang pelangi, bermain bersamanya, dan mandi dengan cahayanya, kau rasa tidak mengapa untuk mengambil masa, bukan sedikit, untuk memahaminya.

Kini kau tahu semua perkara tentang pelangi. Tiba-tiba kau juga tahu tentang satu kebenaran. Kau baru tahu bahawa untuk pelangi wujud, bukan sahaja perlu adanya titisan air di udara dan cahaya putih di persekitaran, malah satu faktor terpenting juga perlu supaya pelangi dapat wujud.

Faktor itu adalah diri kau sendiri. Lebih tepat, mata yang melihat.

Kau mula sedar, selama ini kerja kau mengejar pelangi adalah sia-sia. Pelangi sentiasa berjarak jauh kerana ia perlukan sudut tertentu untuk kelihatan. Kalau kau bergerak, apatah lagi mendekati, sudut akan terganggu dan pelangi akan hilang. Tidak kira betapa hebat fizikal kau, kau tidak akan mampu memendekkan jarak antara kau dan pelangi.

Pelangi juga mempunyai hayat yang pendek kerana mediumnya adalah titisan air di udara. Jika titisan itu berlalu disebabkan angin, ataupun jatuh dek kerana graviti, atau hilang disebabkan kepanasan matahari, maka pelangi juga
tidak akan kelihatan lagi. Dengan atmosfera yang sentiasa berubah, adalah mustahil mengekalkan sesuatu yang sangat tidak senang untuk dikawal.

Juga, tanpa diri sendiri, tanpa mata sendiri, pelangi juga tidak akan wujud. Kerana adanya diri kau, mata kau, barulah cahaya putih yang tersebar dek biasan titisan air dapat masuk ke retina mata dan menjadi pelangi. Tanpa kau yang melihat, pelangi juga tidak akan dapat dilihat.

Kini, kau sedar kau tidak akan boleh menjadi teman pelangi. Ia adalah mustahil. Kau hanya boleh selamanya menjadi pengejar pelangi.








Aku juga begitu.

Aku ada impian. Lelaki seperti aku, apa yang aku ada adalah impian. Namun, baru-baru ini aku dapati satu kebenaran. Kebenarannya, aku tidak akan mampu capai impian aku itu. Ada satu faktor menjadikannya mustahil untuk aku kecap impian tersebut. Ia tiada kaitan dengan berapa banyak aku usaha, tapi tentang norma dan semulajadinya kehidupan bahawa aku tidak akan langsung mampu untuk merealisasikan impian aku itu.

Seperti kau mustahil menjadi teman pelangi, aku juga mustahil untuk mencapai impian aku itu. At least not on this timeline, in this universe.

Tapi secara logiknya aku akan bersedih, kan?
Manakan tidak, impian yang sudah lama aku kejar tapi akhirnya ada satu realisasi bahawa ia adalah mustahil. Secara logik pemikiran manusia, mesti aku akan rasa kecewa, sedih dan murung yang teramat sangat, kan?

Tapi secara jujurnya, aku tak rasa sedih.
Sebaliknya, aku rasa lega.

Aku tidak pasti sama ada aku masih di dalam peringkat penafian, tapi aku betul-betul rasa lega. Selama ini, setiap hari aku akan persoalkan diri sendiri sama ada aku mampu atau tidak untuk mencapai impian aku itu. Boleh dikatakan setiap hari aku memikirkan untuk putus asa, tapi aku tangguh dulu putus asa itu dan terus berusaha. Namun dengan kebenaran tentang kemustahilannya ini, aku sebaliknya rasa lega.

Seolah-olah aku melepaskan tali yang tergantung dan memakan tangan. Lega dari kesakitan bergantung kepada sesuatu. Aku kita seperti jatuh bebas di udara tanpa nampak kelihatan dasar yang pasti. Perasaannya amat lega. Aku tidak perlu lagi berpenat memikirkan jalan menuju ke impian, tidak perlu lagi meronta dengan kegilaan permintaan duniawi yang tidak pernah masuk dek akal. Dapat lepas dari segala lelah yang ada, siapa tak rasa lega, kan?

Kalau aku tahu melepaskan adalah sebegini lega, sudah lama aku lakukan.





It's a closure.
It feels like a closure.
It's a closure.





.

Jun 29, 2016

Masa Depan Masih Lagi Jauh ke Hadapan.

Salam.

Post kali ini adalah teks sepenuhnya.
Tiada komik, tiada soalan retorik, tiada gelak tawa lawak sendiri.
Kali ini, sepenuhnya luahan hati.



Kanser.

Sering kali kita didedahkan dengan perihal kanser.
Sakitnya, deritanya, ceritanya, survivor-nya.
Tapi bagi badan yang sihat walafiat (alhamdulillah) ini,
apa yang kita boleh buat hanyalah bersimpati.

Empati?
Bullshit! Kecuali kau pernah hidap kanser,
jangan kata kau ada rasa empati dengan pesakit kanser.

Lagi mengecewakan,
ada makhluk yang gunakan kanser sebagai cara mahu tarik perhatian orang lain.
Umum diri menghidap kanser di media sosial hanya kerana mahu simpati daripada orang yang membaca.
Mahu menjadi pusat kepada perhatian.
Mahukan interaksi supaya diri dihargai.

Makhluk sebegini tidak layak digelar manusia.
Sampah pun berasa terhina jika digelar sama dengan makhluk ini.






Hari isnin lepas,
satu mesej whatsapps memeranjatkan semua yang membacanya.
Aku bergegas bersama keluarga aku di rumah menuju ke Shah Alam.
Yang sedang bekerja meminta cuti separuh hari.
Yang belum masuk kerja memohon agar dilepaskan sepanjang hari.
Kami menuju ke Hospital Shah Alam mengejar tengahari.

Naik ke tingkat 12, wad pediatrik,
ternampak abang baru selesai menjawab telefon di lobi wad.
Mata sembam, suara perlahan, aku tahu seluruh hatinya sedang bergoncang.
Ia bukan satu berita yang menyenangkan.

Kami sekeluarga diiring masuk ke wad.
Sampai di satu katil, kakak ipar yang nampak kelibat emak terus meluru dan peluk emak kuat-kuat.
Emak menenangkan kakak dengan menggosok belakangnya.
Hati seorang ibu, hanya ibu yang tahu perasaan ibu yang lain.
Tiada kata-kata, tiada senyum tawa, hanya tangisan air mata.

Abang beritahu kami bahawa anaknya yang berusia 6 tahun, yang juga kami panggil 'abang', dikesan memiliki jumlah sel darah putih yang tidak normal tingginya di dalam badan.

Abang didiagnos menghidap kanser darah, dalam kata nama yang lebih dikenali, leukemia.


LEUKEMIA.




Aku pelajar biologi.
Memang tiada dalam silibus pembelajaran aku untuk mempelajari penyakit manusia seperti leukemia ini. Tapi for the sake of knowledge, aku pernah baca banyak perkara tentang leukemia, bagaimana punca dan simptom, bagaimana cara rawatan dan pencegahan. Pendek kata, aku tahu serba sedikit mengenai leukemia.

Tapi ilmu leukemia yang aku tahu itu sekadar tahu atas nama ilmu.
Aku tidak pernah menyangka salah seorang ahli keluarga aku bakal menghidapnya.
Aku tidak pernah fikir penyakit itu akan menyerang salah seorang daripada kami.
Apatah lagi menyerang anak buahku yang hanya berusia 6 tahun.

Abang baru berusia 6 tahun setengah.
Dia baru sahaja menikmati zaman sekolah rendah darjah satu.
Zaman suka ria gelak tawa dengan kawan-kawan.
Zaman di mana sekolah adalah menyeronokkan.
Zamannya baru bermula.

Anak kecil seusia dia diduga dengan leukemia.
Aku selaku orang dewasa berasa ralat.
Bukankah masa depan dia masih lagi jauh ke hadapan?
Apa budak berusia 6 tahun tahu dengan leukemia?
Abah dan emaknya yang diterangkan secara terperinci tentang sakit itu pun masih belum memahami sepenuhnya, apatah lagi dia?
Semasa kami datang melawat pun, dia masih lagi boleh bergelak ketawa,
tidak faham akan apa yang dihidapinya, yang bakal dihadapinya.




Melihat wajah abah dan emaknya, yang juga abang dan kakak ipar aku,
pasti begitu banyak perkara yang difikirkan mereka.
Sakit perih anak mereka, masa yang perlu didedikasikan untuknya,
kos rawatan, kos penjagaan, kos penginapan,
masa depan, masa rawatan, masa sekarang,
kerja, hidup, tidur, puasa, raya.
Aku tak boleh kata aku tahu apa yang mereka fikirkan,
tapi aku tahu pasti sangat banyak perkara yang perlu mereka timbangkan.





Sepanjang hari aku terdiam.
Mesej whatsapp, telegram yang berdentum datang pun aku tidak endahkan.
Sampai sahaja di rumah, aku kaku terbaring di bilik menatap dinding.

Anak saudara aku yang aku sayangi,
baru dua hari lepas kami bermain lego bersama,
bergelak ketawa riang gembira bersama.
Kini dia terlantar di hospital menahan sakit yang datang.

Aku pula?

Apa patut aku buat?
Apa boleh aku lakukan untuk membantu?
Aku buntu...
Aku buntu...








.

Apr 13, 2016

Suka adalah Satu Proses.




Salam.




Jadi,
apa pendapat kalian tentang masalah yang dibincangkan di atas?





.

Oct 2, 2012

Kawan Yang Sebegitu.




Kawan.
Semua ada kawan.
Rapat atau tidak, itu hal lain,
tapi secara zahirnya, semua ada kawan.

Tapi kawan yang macam mana kita betul-betul perlukan?

Sesetengah orang perlukan kawan yang baik.
Kawan yang di mana, bila kita berada di lembah kegelapan,
dia akan cuba sedaya upaya mengangkat kita kembali ke permukaan yang cerah.
Kawan di mana, bila kita sedih,
dia akan cuba membuatkan kita selesa.
Kawan di mana, bila kita kemurungan,
dia akan berkata "hang in there" atau sesuatu seperti "semua yang berlaku ada hikmahnya" atau seseuatu seperti "just be yourself".

Aku ada ramai kawan sebegitu.
Terlalu ramai yang sebegitu sampaikan aku tidak tahu beza yang mana ikhlas dan yang mana hanya sekadar mahu memenuhi syarat kontrak sosial di mana dia perlu dilihat sebagai seseorang yang baik sedangkan dalamnya tidak peduli.

Tidak.
Aku tidak persoalkan keikhlasan kawan-kawan aku.
Aku persoalkan kemampuan aku untuk mempercayai keikhlasan mereka.
Aku yang salah.
Dan jika yang baca ini adalah salah satu dari mereka,
aku minta maaf.

Dan ya.
Aku sedang berada di lembah kegelapan kehidupan di mana aku persoalkan setiap perbuatan aku.
Aku sekarang sangat negatif sehinggakan aku merasakan diri ini tidak berguna.
Aku seorang yang gagal.
Jika hidup ini roda, aku berada di bahagian bawahnya.
Jika hidup ini roller coaster, kau sedang menerima daya tujahan ke bawah sehingga 6G.
Aku dalam depresi.

Memang banyak yang mahu membantu.
Tapi aku tidak mahukan seseorang yang akan berkata
"Bertahanlah"
"Jangan putus asa"
"Bangkit!"
Aku perlukan seseorang yang bila nampak aku sedang merejam kepala di dalam kolam air,
dia akan datang dekat, dan dengan kedua belah tangannya akan menekap kepala aku lalu merejamnya lebih dalam sehinggakan aku hampir lemas dan di ambang kematian lalu dia menggenggam rambut aku dan menariknya ke atas dan berkata kepada aku,
"Bagaimana rasa hampir mati? Menakutkan bukan? Apa kata buat sesuatu seperti berubah dari takuk lama dan cuba mengelak dari mengalami perasaan hampir mati tersebut lagi dengan usaha dan keupayaan sendiri."

Harap kalian faham.

Malangnya, aku tiada kawan sebegitu.

Aku tak mahu orang berkata kepada aku
"Just be yourself"
kerana pada aku, kata-kata itu hanya untuk orang yang sudah berpuas hati dengan apa yang diperolehinya dan berkeputusan untuk tidak mencuba lebih baik.
"Just be yourself" adalah sama seperti "Don't do anything to improve!"

Jika purata manusia hidup sehingga berumur 60 tahun,
maka aku sekarang belum pun lagi mencapai separuh dari jangka hayat.
Dengan itu, aku masih berpeluang besar untuk bertemu dengan seorang kawan yang sebegitu..
Seorang kawan yang tidak meninggalkan aku ketika aku jatuh.
Seorang kawan yang bagi aku peluang untuk merasa sakit dan perit kegagalan dan kemudian menyokong aku untuk bangkit menuju kejayaan.
Seorang kawan yang berkata pada aku
"Kalau kau nak terjun gaung, silakan. Tapi pastikan kau naik balik dan bernafas dengan kepuasan dan senyuman."
Dan seumur hidup aku, aku akan mencari kawan yang sebegitu.

Aku akan kembali dengan semangat baru.
InsyaAllah.
Sila beri aku masa...

postquam-scriptum:
Sorry for the negative vibe in this post.
.

Sep 30, 2012

Selamat Tinggal?

Memandangkan blog adalah satu-satunya tempat aku tak perlu jadi hipokrit dan boleh meluahkan perasaan sesuka hati, aku membesar dengan blog ini.

Jadi, baru-baru ini,
Aku baca balik kebanyakan entri aku dalam blog ni yang lama-lama.
Aku rasa aku yang dulu sangat...
...
...
...
...sangat SERONOK!



Aku yang dulu sangat seronok.
Berbanding aku yang sekarang, aku yang dulu lagi best.
Aku yang sekarang asyik guna bahasa skema,
macam karangan budak sekolah rendah hingusan.

Aku yang dulu akan tulis seperti ini;
"Sambil menapak menuju ke kedai, aku korek hidung dan calit taiknya di dinding koridor membentuk satu garisan panjang berwarna emas yang bakal menimbulkan tanda tanya manusia."

Tapi,
aku yang sekarang akan tulis seperti ini;
"Semasa berjalan ke kedai, aku mengeluarkan kotoran hidung dan kemudian ditinggalkan di dinding koridor dengan membentuk satu carikan panjang."

See, NO FUN!

Kenapakah begini?
Kenapa aku sudah tidak seperti dulu?
Mungkin salah satu faktor adalah umur?
Atau aku yang sekarang kurang kasih sayang?



My posts are bad. I feel bad.

Aku yang dulu penuh dengan harapan dan semangat.
Aku yang sekarang dipenuhi dengan kebosanan.

Aku yang dulu sangat teruja di dalam setiap entrinya.
Aku yang sekarang, nampak macam buku teks sejarah sekolah menengah.

Aku rasa, aku sangat berubah berbanding dulu.
Aku menjadi semakin bosan dan tidak seronok.
Aku sangat rindu aku yang dulu.
Apa yang membuatkan aku yang dulu berubah?
Apa sudah jadi?

Mungkin sudah tiba masanya.
Sudah tiba masanya aku pertimbangkan semula keinginan untuk berhenti..
Tapi...





.

Jul 1, 2012

Taakul, Cincin dan Verbal.


Kalian tahu kan?
Betapa tak sukanya aku dengan harapan?

Jadi,
ini bukan entri tentang harapan.




Khamis lalu aku bertemu seseorang.
Perempuan.
Bukan 'date', tapi hal agak rasmi.
Rasmi dari sudut dia, tapi bukan aku.
Maksud aku, itu kerja dia.
Dia kena jumpa aku, tapi untuk berjumpa dia adalah pilihan aku.
Rumit?
Maaflah, aku tak boleh beritahu lanjut hubungan kami.
Abaikan.

Perempuan itu menarik minat aku.

Seperti yang selalu aku buat kepada perempuan yang menarik minat aku,
aku taakul.

Bertudung. Berkaca mata. Mata sepet sikit.
Mungkin ada darah bukan Melayu dalam susur galur sejarah keluarga merujuk kepada kulit cerah dan warna mata yang bukan hitam.

Bukan kidal, ada benjolan pada jarinya, dan bertulisan cantik dan kemas.
Boleh dikata hobi dia iaitu menulis
ataupun sesuatu yang menggunakan jari secara kerap
memandangkan pekerjaannya selalu dikaitkan dengan tulisan buruk.

Umur dia mungkin sebaya aku.
Kerana setiap perbualan dia gunakan 'awak' sebagai ganti diri untuk aku,
dengan kenyataan dia sebagai ahli professional di barisan hadapan perkhidmatan.
Lagipun dia tahu umur aku.
Kalau dia lagi muda, dia akan gunakan 'encik'.
Kalau dia lagi tua, dia akan gunakan 'adik'.

Nama.
Profesionalism membuatkan dia perlu memakai tag nama.
Jadi, aku tahu nama dia sekarang.

Kenyataan dari dia yang memerlukan dia merujuk keputusan kepada orang yang lebih berkedudukan memberitahu aku dia seorang 'junior' dalam bidang dia.
Sudah tentu, kalau dia sebaya aku, dia takkan logik menjadi seorang senior dalam kerjayanya.
Paling tidak, belum lagi.

Jarinya, cantik, tapi tidak mulus.
Ini memberitahu aku dia suka buat kerja sendiri di rumah seperti membasuh baju, mengemas, memasak.
Atau mungkin sekadar terlalu kuat kerja dalam suasana berhawa dingin.


Taakulan aku berhenti seketika di jari.
Lagi spesifik, jari manis.

Cincin.


Secara tipikal, cincin di jari manis bermakna sudah berpunya.
Sama ada sudah berkahwin, bertunang,
ataupun sekadar ikrar kasih setia pasangan berkasih.
Namun, secara tak tipikalnya,
ada juga yang bercincin hanya kerana mahu berhias,
atau sekadar mahu mengelak dari diganggu orang.

Cincin itu tidak berbatu.
Berwarna perak.
Sebab kurang arif tentang barang kemas,
aku tak mampu bezakan sama ada ianya perak atau platinum.
Pada mata aku, cincin itu hanya seperti cincin yang kita boleh beli di uptown atau downtown terkemuka tanahair.

Satu-satunya cara untuk aku ketahui dia sudah berpunya atau belum adalah cara biasa manusia sejagat yang takkan lapok dimamah zaman.

Interaksi verbal. Bertanya.


Tapi, itulah perkara yang paling aku tak suka buat.
Itulah kelemahan aku.
Verbal. Sh*t.


"Awak? Awak OK?," dia bertanya.
Aku tersentap dari lamunan.

"Awak macam hilang sekejap dari sini. Awak terbang dah sampai mana?"
Dia cuba berseloroh.

"Oh, Tak. Saya cuma tengah berfikir tentang awak."

Oh, sh*t. Macam mana boleh terlepas jujur pula.
Dia kelihatan terkejut, dan spontan tersenyum janggal.

"TAK! Maksud saya, saya terfikir tentang apa yang kita bincangkan tadi."
Aku kena 'cover' dengan jayanya. Janggal. Masih janggal.

"Baiklah. Awak ada apa-apa soalan?"

Ya.
Inilah masanya aku perlu bertanya tentang perihal cincin di jari manisnya itu.
Kalau aku tak dapat jawapan, aku mesti akan terus terfikirkan tentangnya untuk beberapa hari.
You know, unresolved thing always hunting.

"Ada soalan?"
"Tak ada."
"Ok, kalau macam tu, selesai. Datang lagi lain kali."
Kata dia dengan sekuntum senyuman manis, tanda sesi kami sudah berakhir.



Kill me, NOW!


.

Aug 16, 2011

Sedang Bernafas Udara Bahagia





Bersalaman dengan kawan yang lama tak jumpa,
satu soalan keluar bertanya;
"Amacam awek? Sihat?"

Awek?

Pada waktu sekarang,
seorang demi seorang kawan mendirikan rumah tangga.
Tak kurang dengan yang bertunang
menunggu waktu sesuai untuk dilangsung.
Semua itu takkan lekang membuatkan senyuman muncul di bibir.

Masakan tidak,
kawan yang dulu sama-sama bermain,
bergelak ketawa,
bersukan bersama,
ada yang tidur bersama,
kini sudah mula membina keluarga.

Namun,
tidak seperti yang lain,
aku sedikit pun tidak risau
dan tak pernah muncul desakan hati
untuk segera membina keluarga.

Tapi,
bila di tanya tentang 'awek',
aku terdiam seketika.

Bukan soal ada ke tidak.
Tapi kalau kalian di tempat aku
untuk jatuh hati terhadap orang lain sesingkat itu
menghampiri mustahil.

Ianya seperti demam.
Untuk demam, nak dapat memang susah.
Tapi sekali demam, nak bangun memang payah.

Ya, kalian boleh kata.
Aku terkesan dengan cinta sebelumnya.
Aku sampai ke tahap tak terfikir nak cari lain
sehinggakan dituduh minat kaum sejenis.
Selagi nyawa dikandung badan,
ianya berlaku tak akan.

dan bila ditanya,
"Amacam awek? Sihat?"

Jawapan aku,
"Sihat, Alhamdulillah...."
kerana aku tahu, di satu sudut dunia ni,
tak kira siapa pun dia, di mana pun dia,
si dia separuh dari aku itu sedang bernafas udara bahagia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License