Pages

Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Saturday, January 8, 2011

Segenggam Tanah Setitis Darah




OLEH WB RENDRA
WBRENDRA.BLOGSPOT.COM
"CICIT-CICITKU mahu mendengar kelangsungannya?" Buyut menghulurkan piring berisi nagasari. Disambut seorang cicit perempuan dan diletakkan di sisi juadah berbuka puasa. Buyut duduk perlahan-lahan. 


“Ya, Buyut. Ini kesinambungan tempoh hari? Bagaimana nasib segenap penghuni Desa?” Dedaun tanya seorang cicit lelaki jatuh lembut di deria dengar Buyut. Membetulkan duduk punggung dan tumpuan mata. Busur panah cicit-cicitnya tertancap di bibir Buyut yang rekah seribu rahsia, menyampai kisah dan cerita bukan sia-sia.
“Oh, cicit masih mengingati ya? Kita mesti mengambil erti dari jalan cerita ini. Buyut ada rentetannya. Seusai kisah ini, hantarkan sepiring kuih ke rumah sebelah.” Buyut mengerling ke dalam kolam makna mata cicitnya yang masih setia mendengar kisah-kisah epik yang diamati Buyut. Buyut khuatir masa hadapan mereka – cicit-cicitnya. “Cicit dengar ini, 'Segenggam Tanah Setitis Darah'.”
1 

BAPA mula resah memerhatikan kepul-kepul asap hitam. Bapa melihatnya jauh. Tebal. Mengapung lambat. Dalam fikiran anak yang mengiringi bapa tertanya-tanya asap apakah itu? Seperti asap dari getah yang terbakar. Bergumpal, berkumpul, naik ke udara – putih awan bertukar kelabu dan hitam. Langit yang biru, hitam. 

“Sekali dipandang persis cendawan gergasi,” runsing anak memandang bapa. 

“Jika melihat dari arahnya, asap itu dari kawasan tasik.” Bapa mengecilkan sedikit kelopak mata. Cahaya menjelang petang membiaskan silau di celah pohon-pohon besar. 
“Tasik yang dihuni naga itukah, ayah?” Anak memohon kepastian daripada bapa. Anak berusia lingkungan belasan tahun itu bimbang – apa yang terjadi? 

“Ya.” 

“Jika begitu, apakah mungkin kawasan Desa yang terbakar?” 

“Mungkin, anakku.” Bapa menggeleng. Kelat durjanya lapisan bimbang. 

“Bagaimana boleh terbakar, ayah? Apakah naga-naga yang menghuni tasik mula ....” 

“Benar, naga-naga itu mula bangun dari habitatnya. Mengeluarkan api, membalun dengan ekor dan segala yang disembunyikan. Naga mula menyalakan nyali.” 

“Api! Api!! Api!!!” Suara-suara marhaen dan jelata mula bergabung menjadi guruh yang kuat. Tetapi, naga-naga di dalam tasik menggunakan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki. Penduduk Desa yang dahulunya begitu memanjakan naga mulai tersentak dan terkejut. Naga seakan meronta. Asap kelabu nipis keluar dari mulut naga. Api menjilat Desa. Rintik-rintik hujan di atas permukaan tasik tidak mampu lagi menerbitkan panorama tenang. 

Kain panjang yang mengerdip kerlip bersilang di leher naga menjadikan penduduk serba rencam tanda tanya. Kain satin apakah itu? Atau kain berenda? Atau kelihatannya seperti sari? Mengapa naga itu bersilangkan sari di lehernya? Pundak semua penghuni Desa dibebani bungkah-bungkah tanya yang berat. Penghuni Desa terbongkok-bongkok dibebani angkuh sikap dan sifat. Mereka tertanya-tanya. Mengapa begini? 

Gabungan suara seakan tidak lagi mampu menewaskan naga. Mengapa? Beberapa orang marhaen yang dahulunya ketawa menafikan kewujudan naga dan memperkecilkan tentang betapa utamanya penghuni Desa - jelata, marhaen, pengiring, pengikut, hulubalang, pemikir dan pendeta - perlu bersatu semula mula mengalirkan air mata darah. Berjurai-jurai. Deras. Terus menitis masuk ke dalam tasik. Naga-naga seraya mendapat tenaga dengan darah-darah air mata penduduk Desa. Naga-naga seperti menghamburkan ketawa melihat penduduk Desa menangis dengan air mata darah. Inilah peluangnya. Sesekali perlakuan naga persis manusia, berperasaan. Mencuri kesempatan dan merentap peluang. Aneh. 

Dalam celah-celah belantara berhampiran tasik; ketika naga-naga mengeluarkan api menghembuskan asap, menghayunkan ekor tajam untuk membalun, tidak semena-mena melintas seekor singa yang seakan tersenyum-sengih kepada naga yang sedang membakar itu. Singa itu seakan-akan jinak, liar atau berbaur – ia sebenarnya berpura-pura. Singa itu barangkali sahabat kepada naga. Singa itu berpura-pura. Fikir seorang pendeta yang sempat memerhatikan tingkah singa itu, berulang kali. “Celaka!” Sentap pendeta. Cuma dengan kata-kata. Sebelum menggeleng ralat. Kesal. Kecewa. Kesah. Meratapi kemusnahan. 

Dalam kekalutan yang menghambat, Paduka Raja mengumpulkan penghuni dan penduduk Desa. Juga beberapa orang kanan, hulubalang dan pengiring. Di sebalik rimba kecil yang di kelilingi pohon-pohon sederhana besar. Jauh sedikit dari tasik. 

“Apakah ini mimpi?” Mendongak sambil melihat langit biru kian bertukar merah. 

“Tidak Paduka Raja. Sesungguhnya kita sudah terlambat.” Singkap seorang pemikir yang telah lama menjangka situasi itu akan berlaku. Tetapi seringnya, kata-kata nasihat si pemikir itu tidak diambil dengar. 

“Inilah kenyataan yang memang didamba sebahagian penghuni Desa.” Seorang pengiring memuntahkan kata-kata yang lama terpendam. Melihatkan tingkah laku saudara-maranya yang lebih suka mengadu domba – tentu, kehancuran ini yang didamba. 

“Inilah timbal balas sifar sifat syukur yang dicipta. Inilah hasil yang dicari seusai tidak pernah mengirim rama-rama terima kasih, lantaran mencungkil-tuding silap saudara.” Seorang nenek tua melutut, memerhatikan kemusnahan yang terjadi dari celah-celah semak-samun sembunyi. Lantaran apakah lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah kehancuran? Api marak mengunyah atap-atap rumbia. Rumah limas yang kukuh sebelum ini, rebah menjadi arang, bara dan debu. 

“Apakah mereka alpa? Mencari kesalahan sahaja? Lantas mencalitkan sedikit luka, menanarkan seluruh lumpur ke tubuh penggawa.” Sedu-sedan menyebabkan bahunya terhinggut-hinggut. Tersengguk-sengguk menahan sebal. Pengiring membisikkan suaranya. 

“Sudah begitu, marhaen tidak gemar bersatu. Leka. Yang muda gemarnya bernyanyi-tari di peterana libur. Yang berusia menuding silap dan bersetuju tanpa usul periksa.” Suara-suara berpusu seoalah-olah mula membariskan kenyataan yang menyebabkan naga-naga itu bangun muncul membakar Desa yang lewa; santai alpa. Naga mencuri peluang. 

“Tidak hulubalang! Mulutmu usah terlalu pantas bicara begitu.” Paduka Raja menggenggam amarah. Bersilang tangan kanan-kirinya di belakang pinggang. 

“Mengapa Paduka Raja sukar menerima. Ini kenyataan. Bagaimana harapan kita?” Seorang pengikut bangun dari tempat duduk, menganjak ke hadapan Paduka Raja. 

“Lihat itu. Marhaen dan jelata di Desa kita. Ya Allah, berlari sedang tubuhnya terbakar. Apakah memang sejak dahulu kita seringnya 'berlari'? Tidak! Tidak!” Mengacungkan tangan kanannya ke arah penghuni Desa dikenal pasti berkhidmat di menara Paduka Raja namun sering menyebarkan hikayat cerita samar. 

“Naga-naga ini memang tidak sedar untung. Sudah diberi makan dan habitat semasa kecil, sekarang sudah dewasa dan sebesar gunung, kita dibakar api dan dibalun ekornya.” 

“Nagakah yang tidak sedar untung atau manusia yang tidak sedar syukur?” Suara garau seorang lagi marhaen kedengaran. Antara celah-celah rimba mereka memerhatikan Desa sekelip mata musnah. Segala retorik frasa dan polemik kosa-kota hanya tinggal sejarah. 

“Bukankah, telah ada insan yang lebih berusia itu tempoh hari menasihatkan. Kita tidak mendengar.” Seorang pemegang tombak mengingatkan apakala kesedihan mula menggunung. Penyesalan hilang. Tiada makna. Tindakan menjadi tumpul oleh kata-kata. 

“Kita dapatkan Cahaya Purnama. Kitakah yang akan ke sana. Atau wakil Cahaya Purnama yang akan menemui kita?” Pandangan seorang jelata yang masih tetap setia memegang kepada akar seluhur wangsa dan sesuci agama. 

“Yang pentingnya adalah kesedaran bersama, Paduka Raja.” 

“Demi Desa!” 

“Keris Pekaka! Keris Pekaka!” Jerit seorang pengiring Paduka Raja berlari membawa Keris Pekaka diambil semula dari Rumah Pameran. Pernah dihebah, magis kebenarannya apakala Keris Pekaka dan Cahaya Purnama ditemukan dapat menewaskan naga-naga itu. 

“Pengiring, ayuh kita perlu cepat.” 

“Apakah naga-naga itu akan penat?” 

“Lengkara! Mustahil!” 

“Malah naga itu akan bertambah kuat. Tidakkah naga-naga itu berada di dalam satu tasik? Naga berapi, naga jadian, naga balun, segala bagai naga.” 
“Jika dapat ditemu-jodohkan Cahaya Purnama dan Keris Pekaka, alangkah ...” seorang marhaen mengorak langkah. Sesekali beberapa orang marhaen terbatuk-batuk kecil oleh debu yang berterbangan. Asap memedihkan mata kanak-kanak, mengekang penglihatan orang tua. 

“Seharusnya kita mengambil iktibar. Sekeliling tasik yang sudah terbakar oleh naga berapi itu – kita cermin sikap kita,” hulubalang Paduka Raja mencelah. 
“Lihat, naga-naga itu pun mulai mendapat resa. Kembali ke dalam tasik. Kerana hanya nawaitu gabungan antara Keris Pekaka dan Cahaya Purnama.” Naga mulai diam, menyusup ke dasar tasik. Senyap. Keanehan mula mengepung Desa di tepian tasik. 

“Lantaran itu membawa kepada kesatuan yang berterusan. Bermula di sini. Kesatuan yang mengukuh-jaminkan kebahagiaan hidup Desa dan isinya.” Tambah pendeta. 

“Melaksanakan tidak semudah bicara, pendeta.” Fikir Paduka Raja. 
“Kita belajar daripada kehancuran, Paduka Raja.” Tenang pendeta, melihat sinar bersatu melorongi jalan utama Desa.

2 

“Bukankah ini ketika terbaik untuk mereka berbaik-baik?” Anak yang memerhati asap dan mendengar kata-kata bapanya, spontan mengeluarkan tutur. 
“Benar. Ayah juga berharap mereka penduduk dan penghuni Desa mengambil iktibar ini.” Bara-bara api di dahan dan kayu dengan debu dan asap bertindan terbang dari jauh tasik menghampiri anak dan bapa. Anak mengipas dengan tangan menepis asap dan debu. 

“Kita doakan moga mereka belajar daripada sejarah. Ayah percaya jika mereka berpecah-telagah, Desa di tepi tasik itu akan terbakar terus menerus – yang tinggal hanyalah debu dan nama. Sejarah tiada maknanya lagi.” 

“Benar, ayah.” Anak mula belajar memahami apa yang ingin dikongsi oleh bapa. 
“Kita mesti belajar daripada apa yang terjadi kepada Desa yang berhampiran dengan tasik itu. Kemusnahan itu sukar untuk disembuhkan. Khuatir tidak akan ada jalan menyembuhkannya.” 

“Genggamlah tanah ini, kejap. Erat, seerat-eratnya.” Bapa tunduk mengepal tanah yang berpasir keras kerikil dengan tangannya. 

“Ayah, darah menitis dari genggaman tangan ayah!” 

“Ayah cinta akan tanah ini … kau jagalah tanah ini seperti kami – ayah dan nendamu menjaganya dahulu. Usah lupa, seperti yang terjadi pada Desa sebelah tasik itu.” 

Kirmizi menjelma tanda waktu berbuka puasa tiba. Tidak jauh dari tangga, seorang anak jiran menghulurkan sepiring kuih untuk berbuka. Kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. “Pak cik, Buyut kirim sepiring nagasari juadah untuk berbuka.” 

Biodata Penulis: 
WAHYU Budiwa Rendra lahir di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah. Berkelulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan UPM. Berkarya sejak 2002, selepas mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi. Mazhab Cinta (DBP, 2008) meraih Hadiah Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim 2009. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 2007, kini bertugas di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Buku Warkah Alam (Ameen Books, 2010) menghimpunkan cerita motivasi karya bersama-sama Mohd Fadzli Abu Bakar. Blognya boleh dilayari di wbrendra.blogspot.com

Saturday, October 23, 2010

Di Ruang Sandiwara



Oleh Marsli NO

2010/06/12

pix_gal0
PERMULAANNYA adalah gelap. 

Dan tatkala cahaya menerangi, kelihatanlah seorang seseorang sedang mundar-mandir ruang pentas itu. Langkahnya kelihatan berat terseok-seok. Sesekali berhenti untuk seketika. Dan kemudian melangkah lagi. Sambil kepalanya digeleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah ada sesuatu yang amat memberati di dalam fikirannya.
Dan pada saat yang lain, berhenti lagi dia lebih lama dari tadi. Sambil tinju dikepalkan berkali-kali dan sesekali diacung-acungkan tinggi ke udara.
Sebentar kemudian muncul pula seorang yang lain. Pada mulanya kelihatan teragak-agak dan berhati-hati mengaturkan langkahnya. Pandangannya membelingas ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang diawasi atau amat mencurigakannya. 

Dia yang sedang mundar-mandir tidak mempedulikan kehadiran dia yang baru muncul. 
Tiba-tiba terdengar gendang dipalu bertalu-talu entah dari mana. Bertingkah-tingkah bunyinya. 

Mereka tersentak dan kaku di posisi masing-masing. Tangan mereka terdepang lebar. Mulut ternganga. Mata terbelalak. 
Paluan gendang terdengar semakin lantang. 

Salah seorang dari mereka meloncat ke kiri dan ke kanan. Dan menepis-nepis sesuatu yang entah apa di sekitar dirinya. 

Salah seorang dari mereka yang lain dari mereka terkial-kial sendirian dan berusaha menghadangi sesuatu dari menimpa tubuhnya. Sesuatu yang entah apa. Sesekali tubuhnya terdorong ke depan dan ke belakang. 
Paluan gendang terdengar semakin lantang. 

“Tidak! Tidak! Tidak!” Dia yang sedang meloncat dan menepis-nepis itu kini mulai berteriak-teriak. Pada mulanya perlahan. 

“Tidak! Tidak! Tidak!” Demikian juga dia yang sedang berusaha menghadangi sesuatu dari menimpa tubuhnya itu. Juga ikut berteriak. Pada mulanya perlahan. 

“Tidak! Tidak! Tidak!” 

“Tidak! Tidak! Tidak!” 

Kini teriakan mereka terdengar semakin lantang berkumandang. Dan paluan gendang juga semakin rancak dan lantang. 

Mereka terus berteriak dan berteriak dan berteriak. Bagaikan orang telah kesurupan. Cahaya yang menerangi ruang pentas kini sekali gelap dan sekali terang. Mereka terus berteriak dan berteriak dan berteriak. Bagaikan orang telah kesurupan. Cahaya yang menerangi ruang pentas masih lagi sekali gelap dan sekali terang. 

Mereka akhirnya bergelimpangan di ruang pentas. Dan pada detik yang sama paluan gendang pun automatis terhenti. Suasana menjadi hening beberapa detik. 

Entah dari mana. Kini terdengar pula sedu sedan. Entah dari mana. Dan disusuli pula dengan suara orang berbicara yang tidak begitu jelas biji butir bicaranya yang juga entah datang dari mana. Pada mulanya perlahan dan kemudian semakin lantang dan jelas biji butir bicaranya. 

“Bukankah dahulu lagi sudah kukatakan. Jangan. Jangan. Tetapi kau berdegil. Dan sekarang inilah akibatnya.” 

“Kenapakah kau begitu tolol dan tega memilih itu. Bukankah kau sendiri tahu apa akibat yang bakal tertimpa ke atas dirimu? Kenapa? Kenapa?” 

“Sudah terlambat. Apa yang terjadi telah pun terjadi. Kenapa kini dipersalahkan orang yang lain. Tetapi dirimu. Dirimu!” 

Suara orang berbicara yang entah datang dari mana itu kedengaran silih berganti. 
Cahaya yang menerangi ruang pentas masih lagi sekali gelap dan sekali terang. 
“Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah.” 

Kini terdengar pula teriakan bertali arus entah datang dari mana dan disusuli pula dengan tepuk tangan. Bertingkah-tingkah. 

Mereka yang bergelimpangan di ruang pentas tersentak bangkit. Membelingas ke kiri dan ke kanan. Teriak dan tepukan bagaikan telah memukau mereka. Mereka mengelilingi ruang pentas. Sambil berpencak menepis-nepis sesuatu yang entah apa di sekitar diri mereka. 

Teriak dan tepukan semakin lantang dan rancak. 

Ruang pentas kembali diterangi cahaya benderang. 

Teriak dan tepukan itu kini bagaikan satu penyatuan irama yang mengiringi pergerakan mereka. Mereka mengelilingi ruang. Sambil terus berpencak menepis-nepis sesuatu yaang entah apa disekitar diri mereka. Seiringan dengan teriak dan tepukan. 

Tidak berapa lama kemudian muncul seseorang yang lain. Tercegat mematung di suatu sudut. Memerhatikan mereka yang sedang mengelilingi ruang pentas sambil berpencak dan berkali-kali menepis sesuatu yang entah apa di sekitar diri mereka itu. 

Dan perhatiannya semakin difokuskan ke arah mereka yang kini menyusuli pencak dan tepisannya dengan gelengan kepala ke kiri dan ke kanan pual 
Dia yang baru muncul hati-hati dan perlahan-lahan menghampiri mereka. Namun mereka tidak mempedulikannya. Mereka masih lagi leka dan asyik menepis-nepis dan menggeleng-geleng. Seiringan dengan teriakan dan tepukan. 

Dia yang baru muncul cuba berbuat sesuatu untuk menarik perhatian mereka. Namun usahanya sia-sia belaka. Lalu dia melakukan sesuatu yang lain. Namun itu juga tidak berhasil menarik perhatian mereka. 

“Sudah! Hentikan segera sandiwara ini! Hentikan! Aku sudah bosan! Aku sudah bosan melihatnya!” Berteriak dia. Lantang dan sesungguh hati. 

Serentak dengan teriakan itu teriak dan tepukan pun terhenti. Mereka tersentak dan kaku di posisi masing-masing di ruang pentas itu. 

“Untuk apa ini semua mesti diteruskan? Untuk apa? Sandiwara. Sandiwara. Dan sandiwara. Sampai bila? Api. Darah. Dan air mata. Tidak pernahkah mereka menyedarinya? Betapakah. Dunia ini sudah semakin hitam. Dan alangkah jijiknya.” 
Dia berteriak lagi dan kian menghampiri mereka. 

“Cukup! Cukup! Hentikan! Hentikan!” Dia berteriak lagi. Di samping mereka. 

Mereka tersentak dan terpinga-pinga. Saling bertukar pandang sesama mereka. 

“Tidakkah kalian menyedarinya? Tidakkah?” tanya dia. Kepada salah seorang dari mereka. 

“Apa?” salah seorang dari mereka bertanya. 

“Kau masih tidak menyedarinya? Atau sengaja tidak mahu menyedarinya?” dia bertanya lagi. 

“Ah, usahlah kau pinta apa-apa dariku. Aku sudah terlalu letih. Dan bosan,” salah sorang di antara mereka berkeluh kesah. 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“ Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“ Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain. 

“Lalu kalian relakan itu terus berleluasa di hadapan mata sendiri?” 

“Apa?” 

“Api. Darah. Dan air mata.” 

“Apa sesungguhnya yang mesti kami lakukan?” 

“Bertindak!” 

“Siapa?” 

“Kita!” 

“Kita?” 

“Tidak. Aku tidak sanggup!” bantah salah seorang dari mereka yang lain. Pantas. 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain. 

“Kenapa tidak? Gentarkah kalian?” 

“Ah, saudara. Lupakah saudara pada apa yang telah tertimpa ke atas diri moyang kita itu?” 

“Moyang kita?” 

“Telah lupakah saudara? Lantaran tidak rela melihat bangsanya dibelenggu oleh mata rantai kebodohan maka dirinya sendiri menjadi habuan,” mereka yang lain meneruskan bicaranya. 

“Apa kena mengenanya dengan kita? Atau kalian?” 

“Masih tidak mengertikah saudara? Kerana sandiwara itulah maka dia menjadi mangsa.” 

“Maksudmu?” tingkah dia. Pantas. 

“Ketika berkata sekelian juak dan terpedaya sudahnya yang mendengar. Berbahaya amat sebuah negeri memiliki budak sepintar itu. Maka jadilah dia habuan dan korban.” 

Dia melongo. Sedikit demi sedikit bayangan kisah silam itu kembali berhamburan deras menerjahi ruang ingatan. 

“Nadim! Nadim!” dia berteriak. Menyeru nama itu berkali-kali. 

“Lalu demikianlah saudara. Kupilih membisu kerana demikian lebih selamat. 
Meskipun aku tahu betapa naifnya pilihan begini. Kerana aku tahu siapa sebenarnya diriku ini.” 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!” 

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain. 

“Ternyata kalian ini manusia dayus. Dan lebih menjijikkan lagi, bila kalian tega pula bersekongkol dengan kebodohan itu. Menjadi pengampu dan penjilat.” 

“Jangan kau menghina kami. Insaflah kau betapa demikian namanya suratan. Untuk apa melawan kalau sekadar menjadi abu dan arang?”: 

Dan kembali sekalian mereka mengitari ruang pentas. Seolah-olah mencari sesuatu yang telah hilang. Sesuatu yang entah apa. 

Paluan gendang kembali terdengar lantang dan bertingkah-tingkah. 

“Berbahagiakah hidup tatkala memilih menjadi badut-badut cuma?” dia bertanya dengan suara lantang. Di antara tingkahan paluan gendang yang semakin lantang. 
Namun tiada siapa yang menjawab. 

Dan jasad sekalian mereka yang lingung dan terpinga-pinga di ruang pentas itu kini sedikit demi sedikit, bertukar sifat dan bentuknya menjadi cebisan kain pelbagai warna. Terapung dan terawang-awang di udara. 

Semakin lama semakin kecil dan sirna. 

Ketika gelap kembali merongrong seluruh pelosok dan ruang pentas. 

PROFIL 

MARSLI NO lahir di Kerteh, Terengganu, pada 7 Oktober 1957. Selain cerpen, juga menulis puisi, novel, naskhah drama pentas/tv, resensi buku dan rencana. Tahun 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila dan Singapore Writer’s Festival di Singapura pada tahun 2003. Selain "Biduan" (DBP, 1994) dan "Demi" (DBP: 1998), “Menanti Buraq” adalah kumpulan cerpen ketiga beliau terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008. Kumpulan cerpen terbarunya “Politikus, Badut & Sebuah Cermin” yang diterbitkannya secara persendirian tahun 2009 ini boleh didapatkan dengan memesan ke email marslino@yahoo.com atau mendapatkan maklumat di http://marslino.blogspt.com.

Durian Tembaga dan...



Oleh A Rahman CM

2010/07/24

JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat. 

Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Click Here
Monyet muncul, monyet ditembaknya. 

Tupai datang, tupai ditembaknya. 

Kera tiba, kera ditembaknya. 

Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga. 
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid. 

Terima kasih kerana Tuk Ku sudi. 

Aku yang patut berterima kasih. 

Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis. 

Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah. 

Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid. 

Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu. 

Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu. 

Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam. 

Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya. 

“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid. 

Junid senyum. 

“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya. 

Junid sadin. 

“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.” 

“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.” 

“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.” 

“Saya bimbangkan kera.” 

“Hammm! Yalah.” 

“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid. 

“Perangai kera.” 

Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya. 

Janah senyum melihat itu. 

“Baru terasa lapar?” Tanya Janah. 

Junid sengih. 

Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu. 

Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu. 

Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya. 

Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid. 

Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid. 

Sepi buat seketika. 

Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ. 

Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya. 

Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu. 

“Dah gugur? ” Tanya Janah. 

“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah. 

Dengan senyum Janah mencapai seulas. 

Junid juga mencapai seulas. 

“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid. 

“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.” 

Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’ 

“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid. 

Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca. 

Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli. 

Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya. 

“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli. 

Junid sengih pada wajah Kipli. 

“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi. 

Junid memandang wajah Kipli. 

Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka. 
Durian gugur lagi. 

Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu. 

“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu. 
Junid sengih pada wajah anaknya. 

“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli. 

“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid. 

Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu. 

Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’ 
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’ 

Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 

Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya. 

Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak. 

“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan. 

“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “ 

“Pakai lastik.” 

“Tak sampai.” 

“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid. 

“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”. 

“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?” 

“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu. 

Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu. 

Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu. 

Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur. 
Junid tetap menunggu. 

Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 
Junid tetap patuh menanti. 

Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur. 
Junid tetap setia menunggu. 

Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur. 
Junid tetap taat menanti. 

Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu. 

Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Kenapa kamu baru gugur? 

Tidak ada harganya lagi. 

Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat. 

Bau masam kamu menyesak hidung. 

Kasihan. 

Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu. 

Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam. 

Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa. 

Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya. 

INFO: Penulis 
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.