Pages

Showing posts with label katak. Show all posts
Showing posts with label katak. Show all posts

Sunday, November 4, 2012

Katak berjari tiga spesies baharu




KATAK kecil berjari tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan Brazil.


BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli biologi, Michel Garey.
"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari tiga," kata Garey.
"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.
Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.
Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.
Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.
Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.
Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di seluruh dunia. - Agensi

Wednesday, November 10, 2010

Katak gergasi Pasir Mas

MOHD Muqri Ramli, 5, seronok bermain bersama katak gergasi atau nama sainstifiknya Limnonectus sp. seberat 1.3 kilogram dan spesis katak yang jarang ditemui ini boleh membesar dan panjang mencecah 10 hingga 15 cm yang dijumpai oleh bapanya Ramli Jaafar, 53, seminggu lalu di belakang rumahnya di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas. Foto: Syamsi Suhaimi
MOHD Muqri Ramli, 5, seronok bermain bersama katak gergasi atau nama sainstifiknya Limnonectus sp. seberat 1.3 kilogram dan spesis katak yang jarang ditemui ini boleh membesar dan panjang mencecah 10 hingga 15 cm yang dijumpai oleh bapanya Ramli Jaafar, 53, seminggu lalu di belakang rumahnya di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas. Foto: Syamsi Suhaimi
PASIR MAS: Berbanding kanak-kanak seusianya yang lebih gemar memelihara burung atau kucing sebagai haiwan peliharaan, Mohd Muqri Ramli, 5, pula mempunyai minat pelik apabila menjadikan katak seberat 1.3 kilogram (kg) sebagai ‘temannya’.
Menurutnya, meskipun ramai geli melihat apatah lagi memegang katak tetapi dia tidak sedikit pun berasa sedemikian kerana menganggap amfibia jinak itu sebagai comel dan tidak berbahaya.
Harian Metro yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Chica Tinggi itu mendapati ramai penduduk datang melihat katak terbabit berikutan saiznya agak besar berbanding katak biasa ditemui.

Mukhriz berkata, katak belaannya itu sentiasa menjadi perhatian ramai termasuk rakan-rakannya yang singgah daripada sekolah tetapi kebanyakan daripada mereka takut memegangnya.


“Saya tidak berasa geli memegangnya kerana sudah biasa malah menganggapnya sebagai teman baik dan memanggilnya dengan gelaran ‘Chica’.

“Walaupun orang ramai geli tetapi bagi saya katak ini istimewa kerana tidak mengganggu orang lain yang datang membeli di kedai runcit emak saya,” katanya.

Sementara itu, bapa Muqri, Ramli Jaafar, 53, berkata dia pada awalnya menemui katak itu berdekatan sekolah dan membawanya pulang untuk ditunjukkan kepada anaknya.

Katanya, kerana tidak mahu membuangnya, dia memberinya kepada Mohd Muqri untuk dijadikan peliharaan kerana menganggapnya sebagai istimewa berdasarkan saiznya yang luar biasa.

“Memang ada rakan daripada bangsa Cina dan Siam yang mahu membelinya tetapi ditolak kerana anak saya tidak membenarkannya.

“Sehingga kini, katak terbabit dijaga olehnya kerana menganggapnya sebagai teman istimewa malah turut disayanginya,” katanya mengenai katak sepanjang hampir 0.4 meter itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah, berkata katak ditemui di Pasir Mas itu jenis katak biasa iaitu daripada spesis Limnonectus yang boleh mencapai tumbesaran antara 10 hingga 15 sentimeter.

Thursday, November 4, 2010

Katak Afrika makan tikus tanah




GAMBAR yang disiarkan sebuah akhbar di Britain menunjukkan seekor katak Afrika memakan seekor tikus.


LONDON - Seekor katak Afrika yang besar dan ganas dirakamkan memakan seekor tikus tanah sebagai hidangannya.
Dengan kulit menggerutu dan berwarna kelabu, ia cukup untuk membuatkan haiwan kecil lain takut untuk berada berhampiran dengannya.
Amfibia karnivor ini dikatakan bersifat agresif, mampu melompat setinggi 3.65 meter dan memiliki gigi yang tajam. Jika digigit, mangsa yang menjadi hidangannya akan berasa seperti terkena serpihan kaca tajam.
Penjaga Kanan Rumah Tropika di Zoo Newquay, Cornwall, Britain, Dan Garrick merupakan seorang pakar dalam memberi makan katak itu yang turut dipanggil sebagai bullfrog atau nama latinnya,Pyxicephalus adspersus itu.
"Ia merupakan katak pemangsa bersaiz besar yang duduk dan menunggu haiwan berjalan di hadapannya. Katak ini dirangsang oleh pergerakan dan akan menyambar hampir semua benda yang berada dalam jangkauannya, termasuklah tikus malang ini," kata Dan yang berusia 30 tahun.
Mangsa akan mati akibat lemas atau terkejut sebelum dihadam.
Jika mangsanya terlalu besar, ia akan memuntahkannya dan menunggu makanan yang lain.
Walaupun nampak ganas, katak ini dikatakan sebagai ibu bapa yang baik dan akan melindungi anak-anaknya daripada diganggu.
Ia gemar menjadikan serangga, tikus tanah, burung malah katak-katak lain sebagai makanannya.
Beratnya boleh mencecah dua kilogram, sepanjang 24 sentimeter dan membentuk kokun air bagi mengelakkan dirinya daripada kering akibat matahari yang terik.
Ia boleh ditemui di bahagian selatan, tengah dan timur Afrika, selain saiznya sedikit kecil berbanding katak gergasi yang hidup di Cameroon. - Agens