Pages

Showing posts with label tiru. Show all posts
Showing posts with label tiru. Show all posts

Wednesday, January 18, 2012

Guna peranti penyesak untuk halang pelajar tiru

SALZBURG: Seorang guru besar sebuah sekolah menengah di Austria nyaris dikenakan tindakan mahkamah selepas bertindak untuk mengesan bakal peniru satu peperiksaan dengan menggunakan idea berteknologi tinggi, tetapi salah di sisi undang-undang.
Gerhard Klampfer dilapor membeli dan memasang peranti penyesak yang cukup kuat untuk menghalang pelajar tahun akhir meniru daripada Internet dengan menggunakan telefon pintar mereka ketika peperiksaan akhir musim panas lalu.

Radio ORF melaporkan dalam laman webnya semalam, tindakan itu cukup berkesan untuk menarik perhatian sebuah syarikat pengendali khidmat telefon. Ia memaklumkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawasi aliran radio selepas menyedari perkhidmatannya terjejas.

Mereka kemudian memaklumkan kepada pegawai undang-undang yang mengancam untuk mendakwa Klampfer atas tuduhan kesalahan kecil.

Menurut undang-undang Austria, hanya polis, tentera dan pihak berkuasa mengenai keselamatan boleh menghalang isyarat. Klampfer berkata dia tidak tahu perbuatannya itu salah di sisi undang-undang. Dia dibebaskan dengan amaran. - AFP

Friday, September 23, 2011

Drama polis tiru kes Strauss-Kahn





2011/09/23

Plot cerita diplomat Itali cuba perkosa pekerja hotel keturunan Sudan 

WASHINGTON: Musim baru drama polis Law and Order: Special Victims Unit bermula kelmarin di saluran televisyen NBC memaparkan kisah yang mirip kes bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang juga warga Perancis, Dominique Strauss-Kahn.
Ia mengisahkan seorang diplomat angkuh, watak dipegang oleh aktor Franco Nero yang ‘diramal bakal Perdana Menteri Itali seterusnya’ dan dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel keturunan Sudan.
Selepas tuduhan itu dibuat, kewibawaan pekerja hotel berkenaan pula yang menjadi isu. 

Plot cerita itu mirip kes Strauss-Kahn yang popular menerusi singkatan ‘DSK’, dengan seorang pekerja hotel keturunan Guinea yang menuduh menjadi menjadi rogolnya di sebuah bilik mewah di New York. 

Bagaimanapun, kes itu tidak membawa kepada pengadilan mahkamah selepas pendakwa raya pula menuduhnya berbohong. 

“Satu lagi kes seperti DSK,” kata seorang penyiasat drama berkenaan ketika watak Nero disoal siasat selepas dia ditahan dalam pesawat di New York, sama seperti Strauss-Kahn. 
Drama itu juga menunjukkan aksi ‘suspek berjalan’ di depan anggota media seperti Strauss-Kahn yang dianggap berpotensi mencabar Nicolas Sarkozy bagi jawatan Presiden Perancis. 

Bagaimanapun, sejak awal-awal lagi, produser drama berkenaan menegaskan kisah itu rekaan semata-mata. 

Siri polis itu terkenal dengan reputasi memaparkan kisah seperti yang sudah dilaporkan. Ia mulanya dikenali sebagai ‘Law and Order’ dan tamat pada tahun lalu selepas 20 tahun. 

Siri itu dianggap menceritakan kisah rogol Tawana Brawley pada awal tayangannya pada 1980-an. Brawley adalah seorang remaja Afrika-Amerika yang pada 1987 mendakwa diperkosa enam lelaki kulit putih, termasuk anggota polis. 

Tetapi, dakwaannya ditolak juri yang memutuskan dakwaannya palsu. 

Law and Order: Special Victims Unit menggunakan lokasi di New York dan memulakan penggambaran musim terbaru pada Julai lalu, dua bulan selepas kes Strauss-Kahn meledak, apabila DSK didakwa melakukan serangan seksual terhadap Nafissatou Diallo. – AFP 

Monday, May 2, 2011

700 kilang di China tiru gaun Kate


GAUN yang dipakai Kate ketika majlis perkahwinannya mendapat permintaan tinggi di China. - Foto AFP
GAUN yang dipakai Kate ketika majlis perkahwinannya mendapat permintaan tinggi di China. - Foto AFP

BEIJING: Lebih 700 kilang baju perkahwinan dan kedai di Tiger Hills, di bahagian lama bandar raya Beijing, merancang menawarkan pakaian pengantin seumpama isteri Putera William, Duchess of Cambridge Kate Middleton yang direka Sarah Burton dari syarikat Alexander McQueen dengan kadar yang murah.

“Kami sudah meniru banyak pakaian sebelum ini, dan tukang jahit kami meniru gaun Puteri Diana dengan 80 peratus hampir sama,” kata pengurus pengeluaran kilang pakaian perkahwinan, Bo En Qiao, Xu Xiang, 24.
Di belakang beliau, 20 pekerja sibuk menyiapkan gaun bersulam menggunakan imej pengantin diraja itu yang diletakkan dalam skrin monitor sebagai panduan.
“Kami mengambil masa 15 hingga 20 hari untuk menyiapkan versi pakaian perkahwinan diraja terkini itu yang hanya dijual dengan harga £70 hingga £90 (RM346 hingga RM445),” tambahnya. Harga baju pengantin sebenar Middleton bernilai £38,000 (RM188,000). 

Akhbar Telegraph melaporkan dengan harga terbabit, tentunya gaun pengantin tiruan China itu tidak disediakan tiga kain dalam berenda, renda bersulam tangan menggunakan teknik ‘carrickmacross’ atau kain satin berwarna putih gading dengan kualiti sama. 

“Sudah tentu kami akan menggunakan bahan yang lebih murah,” kata Xu. 
Bagi layah sepanjang 2.7 meter pula, Xu berkata pihaknya akan membuatnya jika diminta pelanggan. 
“Kami boleh membuat layah sepanjang gaun Puteri Diana. Kami pernah membuat layah sepanjang 18 meter sebelum ini,” katanya. 

Bandar romantik Suzhou yang dipenuhi taman tradisional China menjadi satu daripada pusat pakaian pengantin di China. Ramai pengantin datang untuk membeli gaun dengan harga serendah £20 (RM99). – Agensi , bharian