Pages

Showing posts with label marah. Show all posts
Showing posts with label marah. Show all posts

Friday, January 18, 2013

Bilik lepas marah

Novi Sad (Serbia): Savo Duvnjak memerhatikan sekeliling bilik, mengangkat pemukul besbol dan memukul apa saja dilihatnya dari katil, meja, laci, kerusi sehingga tidak ada lagi yang tinggal untuk dimusnahkan.

Ia bukanlah perbuatan jenayah, sebaliknya Bilik Melepaskan Kemarahan.


“Sungguh lega,” kata Duvnjak yang berpeluh dan tercungap-cungap sambil melihat kemusnahan dilakukannya.

“Saya sudah melepaskan segala tenaga negatif saya. Tahun lalu sungguh mencabar dan saya mahu mengakhirinya dengan melepaskan geram,” kata pemuda berusia 18 tahun itu.


Sejak dibuka di bandar Novi Sad, utara Serbia pada Oktober lalu, bilik itu menarik banyak perhatian di negara Balkan berkenaan. Peperangan selama dua dekad, krisis politik, kesukaran ekonomi menyebabkan ramai penduduknya berdepan dengan tekanan.


Didorong oleh ‘Bilik Melepaskan Kemarahan’ yang serupa seperti di Dallas, Texas, bilik versi Serbia itu diasaskan dua remaja belasan tahun yang melihat bilik asal di Amerika Syarikat itu di Internet dan berpendapat ia boleh dijadikan sumber kewangan.

“Secara purata, kami mempunyai seorang pelanggan sehari, cukup untuk kami meneruskan perniagaan ini,” kata Nikola Pausic, pemuda berusia 18 tahun yang menguruskan bilik berkenaan dengan seorang rakan.


Versi Dallas mengenakan bayaran RM225 bagi setiap sesi dan mempunyai pelbagai objek untuk dimusnahkan, termasuk komputer dan perabot pejabat. Bilik versi Serbia itu menggunakan garaj yang sudah diubah suai dan hanya menempatkan barang asas untuk dimusnahkan dan lebih murah.

Dengan mengenakan bayaran kira-kira RM18, pelanggan boleh memecahkan kerusi, meja, rak baju dan rak buku bersama-sama dengan barangan lain seperti bingkai gambar, tin kosong serta kontena plastik. Pelanggan disyaratkan memakai topi keledar, pelindung mata dan sarung tangan.


Selepas itu, mereka akan dihiburkan dengan muzik sebelum meninggalkan tempat itu untuk dibersihkan oleh pekerja sebelum menerima pelanggan lain.


“Puluhan pelanggan sudah datang ke sini terdiri daripada pelbagai peringkat umur.


“Ia juga popular di kalangan wanita,” kata Pausic.


Menurutnya, pelanggan kebiasaannya memerlukan masa lima minit untuk memusnahkan segala-galanya di dalam bilik itu.


Meskipun ia cara mudah untuk melepaskan geram, pakar memberi amaran yang projek seperti ini tidak boleh menggantikan terapi menguruskan kemarahan yang sebenarnya. - AP

Saturday, April 16, 2011

Paku di dinding


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.

Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata '"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal'''.

Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda.

Wednesday, January 26, 2011

PM Itali lepas kemarahan



SILVIOBERLUSCONI


ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dihantui dengan dakwaan media mengenai parti seks dan pelacur melepaskan kemarahannya dalam sebuah rancangan televisyen yang disiarkan secara langsung.
Berlusconi menghubungi program Infidele yang membincangkan kehidupan seksnya kelmarin secara langsung di televisyen.
Pertikaman lidah bermula apabila Berlusconi, 74, mengutuk program itu sebagai menjijikkan, berasaskan kepada penipuan dan dikendalikan oleh hos yang keji, teruk serta memualkan.
Ketika Berlusconi meneruskan caciannya, hos itu memanggilnya sebagai seorang yang biadab dan menasihatkan perdana menteri itu supaya menyerahkan diri kepada mahkamah dan bukannya melepaskan kemarahan di televisyen.
Berlusconi didakwa menganjurkan parti-parti seks, menyimpan pelacur di apartmen mewah dan membayar wang untuk mendapatkan khidmat seks daripada seorang pelacur bawah umur bernama Ruby atau nama sebenarnya Karima El Mahroug.
Ketika hampir separuh rakyat Itali mahu beliau meletakkan jawatan, satu kaji selidik yang dijalankan oleh akhbar Corriere della Sera pada Ahad lalu menunjukkan sokongan terhadap parti Rakyat Bebas (PDL) pimpinan Berlusconi meningkat dalam bulan lalu.

Sunday, November 21, 2010

Muslim itu hebat dalam mengawal marahnya.


Marah itu sebenarnya ialah api yang bersumberkan dari api Allah yang menyala-nyala, berkobar-kobar serta menjulang tinggi sampai naik ke ulu hati. Marah itu ditimbulkan oleh sifat bongkak yang terpendam dalam kalbu setiap orang sebagaimana terpancarnya api dari batu yang dipukulkan pada besi.

Nabi s.a.w pernah bersabda,”Marah itu dari syaitan, maka apabila salah seorang diantaramu marah dalam keadaan berdiri duduklah, dan apabila dalam keadaan duduk maka berbaringlah.” (HR Asy-Syaikhany).

Malahan, saraf manusia dikatakan sedang ditarik oleh syaitan ketika marah. Oleh sebab itulah, barangsiapa yang dapat dipengaruhi oleh api kemarahan, maka bererti eratlah hubungannya dengan syaitan.

Pentingnya mengawal kemarahan, hinggakan nabi s.a.w mengulang-ulangnya sebanyak tiga kali, sebagaimana dalam riwayat yang menceritakan  Rasulullah s.a.w telah didatangi oleh seorang pemuda. Pemuda ini kemudiannya bertanya: " Ya Rasulullah, berilah aku perintah untuk mengerjakan suatu amalan yang baik, tetapi aku harapkan yang sedikit saja." Lalu baginda berkata; "Janganlah Engkau marah"  Pemuda itu bertanya dan bertanya lagi, dan  baginda tetap mengulangi jawapan yang sama  sebanyak tiga kali.."

Tiada sisi kebaikan langsung pada marah. Hati jadi makin sempit, jiwa jadi makin kacau-bilau, darah makin naik, dan bermacam-macam lagi yang memudharatkan. Marah yang tidak terkawal  itu juga  sebenarnya membunuh. Baik terhadap dirinya mahupun terhadap orang lain.  Akibat marah, seorang suami mampu meceraikan bahkan membunuh isteri dan anak-anaknya sendiri. Akibat marah, TV yang masih baru ditendangnya. TV-nya hancur, kakinya terluka parah. Akibat marah, telefon bimbit dilemparkan, hancur berkeping-keping, tidak boleh digunakan lagi. Kerana marah juga, dua buah negara  berbalah, rusuhan kaum berlaku, dan peperangan demi peperangan yang tak berkesudahan dalam dunia hari ini berpunca dari sifat amarah. Bahkan banyak lagi kerosakan demi kerosakan akibat marah yang membakar iman dalam diri. Jelas bukan? kerana itu, menahan api kemarahan itu amat-amatlah dituntut dalam islam. Tiada maslahat, tetapi hanya mengundang mudharat pada dunia dan seisinya.

Kalau benar-benar ingin menjadi hamba Allah yang kuat, bukan marah jalannya. Bukan dari susuk tubuh dan kekuatan yang jadi nilaiannya. Tetapi Rasulullah s.a.w dalam sabdanya memberitahu sekalian umat bahawa, "Orang yang paling gagah perkasa diantara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya diwaktu marah dan orang yang tersabar diantara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
Jadi, yang marah-marah itu siapa? Pada ana, orang yang lemah. Lemah kerana diri gagal dan dikalahkan nafsu sendiri. Seharusnya, siapa mengawal siapa? Diri mengawal rasa marah, atau marah itu yang mengawal diri? Antum tahu apa jawapannya, bukan?  Rupa-rupanya..tanpa kita sedar, kita telah tewas berkali-kali sebelum ni!

Jenis-jenis pemarah.
 Lain orang, lain tahap kemarahan yang menguasai dirinya.Maka, dalam menghadapi kemarahan tu ade tiga jenis golongan..

1)Tafrith (acuh tak acuh atau hilang kemarahannya)

2) Ifrath (berlebih-lebihan marahnya)

3) I'tidal (mampu mengendalikan kemarahannya)

Antara ketiga-tiganya, golongan ketiga adalah yang terbaik. Iaitu pertengahan antara yang 1 dan 2.
Bermaksud marah itu boleh sebagaimana sepatutnya dan setiasa di dalam kawalan dan mengikut landasan yang Allah tetapkan. Tafrith tu maksudnya sifat yang tak marah langsung.Meraka yang tergolong dalam ni tidak mempunyai sifat hamiyyah (pembelaan). Ia tidak ingin mempertahankan kehormatan diri, isteri/suami, keluarga, agama, bangsa dan negara.Irfath pula, sifat marah yang berlebih-lebihan. Suka sangat marah-marah orang, tak boleh kawal. Mereka yang tergolong dalam golongan ini sentiasa memenangkan marahnya (ikut hati).

Kalau kita marah, dapat dilihat perubahan fizikal pada warna muka dan mata. Ada yang mengertap gigi, kepal penumbuk, menggeletar, kembang kempis hidungnya. Betapa buruknya wajah kita bila kita marah.Tak percaya? lihat kat cermin, memang terang lagi bersuluh!

Tak dinafikan, ada masa kita boleh kawal diri, dan ada masa terlepas juga, kita hanya insan biasa.Namun, kembalilah kepada apa yang lebih mulia. Allah memenangkan hamba-hambaNya yang sabar. Islam mengajar umatnya dengan cara berwudhu', memperbanyakkan zikir, dan membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk membenteng diri dari marah yang menyala-nyala. Bertanyalah pada diri, apakah kita benar-benar berkuasa mutlak untuk marah pada seseorang atau sesuatu perkara? Pernahkah kita terfikir siapa yang mengizinkan apa yang kita marah-marahkan itu berlaku? Siapa? Allah bukan? Maka, betul tak kiranya jika kita katakan apa yang kita rasa, marah dan sebagainya itu terus-menerus atau direct kepada Allah? Kalau begitu, layakkah kita dengan sifat marah itu? Sedangkan para nabi yang lebih tinggi ketaatannya kepada sang Khaliq berbanding kita jauh lebih lembut sifatnya, mengapa tidak kita begitu?

Mengendalikan marah mempunyai kedudukan tersendiri. Mereka bukan sahaja dicintai makhluk dunia, bahkan dicintai Allah. Allah berfirman:
"Bersegeralah menuju keampunan dari Tuhanmu serta syurga yang luasnya seluruh lagit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. iaitu orang yang membelanjakan hartanya diwaktu hartanya cukup dan juga kurang serta orang-orang yang suka menahan kemarahannya dan gemar pula memaafkan kesalahan para manusia dan Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan." (Al Imran 133-134)

Ya Allah jadikanlah kami sebagai hamba yang mampu menahan marah, dan hiasilah diri kami dengan akhlak-akhlak yang mulia. Ameen...

Share