Pages

Showing posts with label jatuh. Show all posts
Showing posts with label jatuh. Show all posts

Monday, October 1, 2012

Lori simen terjatuh ke dalam lubang




SEBUAH lori simen terjatuh ke dalam lubang di sebatang jalan raya di Xi'an pada Jumaat lalu.


XI'AN, China - Sebuah lori simen terjatuh ke dalam sebuah lubang di sebatang jalan raya di sini pada Jumaat lalu.
Menurut media tempatan, tiada kecederaan dilaporkan ekoran kejadian itu.
Beberapa anggota penyelamat memotong bekalan gas bagi mengelakkan kebocoran akibat kewujudan lubang tersebut.
Punca sebenar lubang itu terbentuk masih belum diketahui. - Agensi

Friday, October 28, 2011

Pemilik rumah berang harga rumah jatuh di Shanghai




JUALAN hartanah di China jatuh sebanyak 10 peratus, sekali gus menyebabkan para pemaju memotong harga bagi menaikkan semula kadar jualan mereka.- Reuters


SHANGHAI - Beratus-ratus pembeli rumah yang marah mengadakan protes di ibu kota komersial China, di sini pada minggu ini kerana membantah kejatuhan harga hartanah milik mereka, lapor media pemerintah semalam.Terjejas akibat kemerosotan permintaan dan kekurangan dana, para pemaju bertindak memotong harga beberapa projek perumahan baru di bandar raya ini hingga 20 peratus.
Akhbar tempatan, China Business News melaporkan tindakan pemaju-pemaju itu mencetuskan kemarahan mereka yang membeli rumah-rumah serupa pada harga lebih tinggi.
Beberapa penganalisis memberitahu, siri protes itu yang adakalanya bertukar ganas, merupakan isyarat bahawa langkah-langkah pemerintah untuk memperlahankan kenaikan dalam pasaran hartanah di bandar-bandar utama China adalah berkesan.
Dalam insiden terbaru kelmarin, kira-kira 200 pemilik rumah menyerbu pejabat jualan sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Greenland Group dan menuntut wang mereka dikembalikan.
"Kami mahu wang kami dipulangkan kerana kerugian yang kami alami terlalu besar," kata seorang penunjuk perasaan.
Dia mendakwa telah membayar AS$2,678 (RM8,327) untuk setiap meter persegi kediamannya pada tahun lalu. Tetapi pemaju kini memotong harga kediaman sama sebanyak 30 peratus untuk menggalakkan jualan.
Mengulas isu berkenaan, seorang penganalisis tempatan, Su Yan berkata pemaju terpaksa bertindak demikian kerana masalah dana.
"Para pemaju kini tertekan dan terpaksa mengurangkan harga hartanah," katanya. - AFP

Sunday, September 25, 2011

Satelit NASA jatuh di Lautan Pasifik


INILAH imej satelit - Upper Atmosphere Research Satellite (UARS) yang dilancarkan NASA pada 15 September 1991 menerusi kapal angkasa Discovery. Satelit sains Amerika Syarikat seberat enam tan itu akan memasuki ruang angkasa bumi hari ini dengan serpihannya akan mendarat di bumi. - foto REUTERS

WASHINGTON: Satelit Amerika Syarikat bersaiz sebuah bas yang jatuh ke bumi melepasi Afrika dan utara Atlantik sebelum jatuh di Lautan Pasifik berdekatan California, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Satelit seberat enam tan iaitu Upper Atmosphere Research Satellite (UARS) jatuh dari langit di antara jam 11.23 malam Jumaat dan 1.09 pagi Sabtu waktu tempatan tetapi bukti ia dilihat atau kerosakan ditemui.
"Kami belum menerima laporan mengenai sesiapa yang melihat dan boleh dipercayai," kata Ketua Saintis Orbit NASA, Nick Johnson. - AFP

Sunday, September 4, 2011

Raya bertukar duka


JASMI bersama Nur Syafaa menunjukkan sungai tempat Syabil terjatuh dan lemas di Kampung Masjid, Kuala Sanglang, Jerlun kelmarin.

JERLUN – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Syawal bertukar duka apabila anak mereka ditemui mati lemas dalam sungai di Kampung Masjid, Kuala Sanglang di sini Jumaat lalu.
Mangsa, Syabil Syakirin Jasmi (gambar), 5, dikatakan terjatuh ke dalam sungai selepas gagal mengawal basikal yang ditunggangnya ketika melintasi jambatan kecil di kampung berkenaan pada pukul 2.30 petang.
Menurut bapanya, Jasmi Ludin, 39, ketika kejadian dia berada di rumah setelah pulang daripada menunaikan solat Jumaat. Dia tidak sedar anak bongsu daripada dua beradik itu keluar rumah.
Namun, selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya, Nur Syafaa, 8, yang adiknya tiada di rumah, dia dan ahli keluarga yang lain keluar mencarinya tetapi gagal.
“Kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang ternampak basikal dan sebelah selipar Syabil di atas jambatan manakala sebelah lagi terapung di dalam sungai.
“Apabila saya sampai di situ, Syabil sudah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Tunku Fauziah di Kangar. Saya diberitahu dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Sanglang di sini semalam.
Jasmi menambah, dia dimaklumkan, Syabil masih sedar ketika diselamatkan dengan nasi keluar dari mulut manakala matanya terbuka luas.

Wednesday, August 24, 2011

Aktor lagak ngeri maut




Green berdiri di atas sebuah pesawat ringan ketika membuat percubaan untuk berpaut ke atas sebuah helikopter yang berada di atasnya dalam satu aksi lagak ngeri semasa pertunjukan udara di Selfridge, dekat Detroit pada 21 Ogos lalu. – REUTERS


DETROIT 23 Ogos – Seorang pelakon lagak ngeri veteran Amerika Syarikat (AS), maut selepas terjatuh semasa melakukan pertunjukan udara, ketika penonton menyangka kemalangan itu sebahagian daripada aksinya.
Todd Green, 48, jatuh daripada ketinggian 61 meter dan kemalangan itu berlaku kerana kesilapan ketika melakukan aksi dalam pertunjukan udara.
Beberapa keping gambar aksi mengerikan itu menunjukkan Green yang merupakan bapa kepada dua orang anak, cuba berpaut pada sebuah helikopter yang berlegar-legar di atas sebuah pesawat ringan, sebagai sebahagian daripada aksi lagak ngeri itu.
Pegawai pertunjukan udara berkata, Green, cuba berpaut pada helikopter jenis Stearman di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan di Harrison Township, melalui dua percubaan, dan dia terjatuh semasa percubaan kali ketiga.
Sebaik-baik sahaja Green mencapai besi pendaratan helikopter terbabit, dia tergelincir dan terjatuh, sekali gus menyebabkan dia maut.
Kebanyakan 75,000 penonton yang hadir pada pertunjukan udara itu di Selfrigde, dekat Detroit, Michigan, menyangka babak ngeri itu merupakan sebahagian pertunjukan terbabit dengan sebuah patung dibuang ke tanah.
Bagaimanapun, penonton mula menyedari ‘aksi tersebut’ merupakan satu kemalangan apabila melihat krew bantuan kecemasan bergegas ke arah mangsa kemalangan itu yang mengalami kecederaan.
Sebuah ambulans membawa Green ke Pusat Perubatan Wilayah Mount Clemens, namun pelakon itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk.
Sejurus sebelum Green terjatuh, juruhebah memaklumkan kepada penonton bahawa keadaan angin boleh menyebabkan masalah dan mengingatkan mereka mengenai bahaya aksi yang bakal dilakukan oleh Green.
Green, berkecimpung dalam aksi lagak ngeri lebih 25 tahun dan merupakan anak kepada legenda aksi lagak ngeri AS, Eddie ‘The Grip’ Green, yang juga pernah beberapa kali melakukan aksi ngeri berpindah dari pesawat ke helikopter.
Kematian Green merupakan kejadian kali kedua membabitkan tragedi pertunjukan udara di AS selepas juruterbang lagak negeri, Bryan Jensen maut apabila pesawatnya terhempas semasa mengadakan pertunjukan udara di Kansas City. – AGENSI-utusan

Tuesday, August 9, 2011

Harga minyak jatuh kepada RM253.38 setong

SINGAPURA - Harga minyak mentah jatuh dengan berada di bawah paras AS$84 setong (RM253.38) di Asia semalam selepas agensi kewangan Standard & Poor menurunkan penarafan hutang Amerika Syarikat (AS) daripada tahap cemerlang AAA kepada AA+.
Penurunan penarafan hutang itu menjejaskan pertumbuhan ekonomi global termasuk permintaan untuk minyak mentah.
Perkembangan tersebut menyebabkan harga minyak global merudum. Para pelabur kini bimbang keputusan Standard & Poor menurunkan nilai kredit AS itu akan turut melemahkan keyakinan pengguna.
Harga minyak mentah terus menurun daripada AS$100 (RM301) setong pada bulan lalu dan hampir AS$115 (RM346) pada Mei lepas.
"Sentimen lemah pelabur menyebabkan harga minyak menjunam diikuti kebimbangan hutang negara yang meningkat di AS dan Eropah," kata firma Barclays Capital dalam laporannya. - APkosmo

Saturday, July 30, 2011

Bayi maut jatuh balkoni


DUBAI: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat empat pangsapuri keluarganya di sini, semalam.
Pengarah Seksyen Siasatan Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Dubai (CID), Leftenan Kolonel Ahmad Humaid Al Merri, berkata tragedi yang menimpa keluarga dari Asia itu berlaku apabila bayi terbabit memanjat kerusi di balkoni terbabit ketika ibunya sedang sibuk. Dia terjatuh ketika membongkokkan badannya di balkoni berkenaan.

Bayi malang itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketika polis tiba di lokasi kejadian, ibu bayi berkenaan amat sedih dan sukar ditenangkan. Dia memberitahu polis, dia tidak menyangka bayinya akan memanjat kerusi dan membongkok di balkoni, sambil menambah semua ahli keluarga bersedih atas kematian bayi itu.
http://www.hmetro.com.my

Wednesday, June 29, 2011

Pelajar dapat 7A maut di sekolah




Hao Zheng ditemui mati selepas diberi nasihat oleh guru kaunseling.


KAJANG – Ratusan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua disini dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan enam sekolah itu yang maut selepas mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah.
Sebelum kejadian pada pukul 9.20 pagi itu, mangsa Nge Hao Zheng, 18, dikatakan baru berjumpa guru kaunseling lelaki sekolahnya di tingkat empat bangunan sama bagi membincangkan aduan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah itu yang mendakwa dicabul mangsa.
Ekoran aduan itu, Hao Zheng, pelajar aliran sains tingkatan enam rendah, masuk ke bilik kaunseling kira-kira pukul 8 pagi dan berbincang mengenai perkara itu.
Sebaik keluar dari bilik guru kaunseling itu, mangsa didakwa terus memanjat tembok beranda di tingkat empat tidak jauh dari bilik kaunseling sebelum dia terjatuh.
Pelajar-pelajar lain yang sedang mengikuti sesi pelajaran di sekolah itu dikejutkan dengan bunyi objek jatuh.
Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa di tepi bangunan sekolah.Kosmo! Online - Negara

Tuesday, June 28, 2011

'Tak sangka lihat mayat adik'




Allahyarham Mohd Nazri Ali
Allahyarham Mohd Nazri Ali

Remaja 18 tahun maut terjatuh dari tingkat 10 rumah pangsa

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka apabila turun ke tingkat bawah dan melihat mayat lelaki berlumuran darah yang dikatakan terjatuh dari tingkat 10 flet kami adalah adik kandung saya,” kata Muhammat Sobbri Ali, 24, mengenai adiknya, Mohd Nazri, 18, yang mati terjatuh di tingkat bawah Flet Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1 di sini, awal pagi semalam.
Sobbri yang tinggal di tingkat 1 flet itu bergegas turun dari rumahnya kira-kira jam 3 pagi sebaik dimaklumkan jirannya mengenai ada lelaki yang jatuh bangunan.
“Saya terkejut apabila melihat lelaki itu adalah adik saya. Saya sangat sedih melihat keadaannya yang amat parah, apatah lagi apabila melihat dia menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Orang ramai yang berkumpul di situ memberitahu dia terjatuh dari tingkat 10. Kami tinggal bersama di Tingkat 1... saya tidak tahu apa yang dia buat di tingkat 10 ketika itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Sobbri berkata, kali terakhir beliau berjumpa adiknya adalah kira-kira jam 11 malam kelmarin.

“Ketika itu, arwah beritahu hendak keluar untuk bertemu dengan beberapa rakannya,” katanya.
Arwah adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Seorang lagi abang mangsa, Muhammad Hasbi, 20, berkata beliau amat sedih dengan kehilangan Nazri kerana hubungan mereka berdua amat rapat memandangkan jarak umur mereka yang amat dekat.

“Kami berdua amat rapat kerana saya anak keenam dan arwah anak ketujuh. Hubungan kami lebih seperti rakan karib dan sekiranya dia ada masalah, dia akan bercerita dengan saya.

“Setahu saya, arwah tidak mempunyai musuh dan amat disenangi oleh rakan-rakannya. Arwah juga ada beritahu yang dia hendak cari kerja selepas kad pengenalan barunya siap kerana sebelum ini kad pengenalannya hilang,” kata Hasbi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Asar di kampung halaman mereka di Tanah Perkuburan Kampung Kuantan, Batang Kali.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia awal 30-an patah kaki kanan, leher dan tangan kiri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Plaza Idaman, Setapak di sini, semalam ketika leka berbual melalui telefon dengan teman wanitanya.

Ketika kejadian jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan duduk mencangkung di tembok tempat letak kereta apartmen berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh.
Berita Harian Online | 'Tak sangka lihat mayat adik'

Saturday, June 18, 2011

Macam-macam: Wanita jatuh tingkap ketika mabuk asmara

DUBAI: Seorang wanita Russia berdepan hukuman penjara setahun selepas jatuh dari tingkap kediamannya di tingkat pertama ketika cuba melakukan seks dengan seorang lelaki Maghribi.

Mahkamah memenjarakan wanita berusia 29 tahun dikenali sebagai SB tanpa kehadirannya Rabu lalu, kerana melakukan seks secara sukarela dengan lelaki Maghribi berusia 40 tahun, dikenali sebagai MS.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan sebulan kerana kesalahan minum arak. Kedua-duanya juga boleh diusir pulang.
SB bertemu MS di bar hotel lima bintang di sepanjang Jalan Shaikh Zayed. SB berkata, MS menaiki teksi bersamanya selepas dia meninggalkan bar itu. – Agensi
Berita Harian Online | Macam-macam: Wanita jatuh tingkap ketika mabuk asmara

Thursday, June 9, 2011

Bayi terjerlus jatuh laut

Bayi terjerlus jatuh laut


MAYAT DITEMUI...Musat menunjukkan lokasi Alben ditemui.
MAYAT DITEMUI...Musat menunjukkan lokasi Alben ditemui.





LOKASI KEJADIAN...lokasi Alben terjatuh di dalam lubang tandas.
LOKASI KEJADIAN...lokasi Alben terjatuh di dalam lubang tandas.


KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang baru pandai merangkak, maut, selepas terjatuh ke dalam laut menerusi lubang tandas rumahnya di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, semalam.
Mangsa, Alben Abdullah ditemui terapung di laut kira-kira 25 meter daripada rumahnya oleh seorang jiran, jam 2.40 petang dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa dipercayai merangkak keluar daripada bilik menuju ke bilik mandi sebelum terjatuh ke dalam lubang tandas tanpa disedari bapa saudaranya, Rasil Abdul, 27, yang menjaganya ketika itu.

Ketika kejadian ibunya tiada di rumah kerana bekerja di sebuah restoran di bandar raya ini dan bayi berkenaan dijaga Rasil.


Menurut Rasli, sebelum kejadian, Alben berada di dalam bilik bersamanya.

“Saya sempat bermain dengannya dan ketika itu Alben sangat gembira sebelum dia keletihan dan tertidur. Selepas Alben tidur, saya turut terlelap di sisinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
myMetro | Bayi terjerlus jatuh laut

Saturday, June 4, 2011

Sangkar jatuh penyebab maut




ANAK panah menunjukkan arah Zamzarun terhempas lalu mati bersama sangkar yang tercabut daripada sebuah kren di Kangar kelmarin.


KANGAR – Kecuaian seorang pemandu kren yang gagal memasang sangkar besi dengan baik dipercayai menyebabkan seorang pekerja kontrak maut apabila dia terhempas ke atas tanah dari ketinggian 21.3 meter ketika sedang memotong dahan pokok di Jalan Raja Syed Alwi di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11.15 pagi di belakang tapak projek perumahan separuh siap itu berlaku apabila Zamzarun Zainul Abidin, 25, terjatuh pada ketinggian yang sama dengan rumah kedai lima setengah tingkat ketika sedang melakukan kerja-kerja itu bersama seorang rakannya.
Sebaik sangkar tersebut tercabut daripada kren, Zamzarun terus terhempas hingga mengakibatkan dia cedera parah di kepala selain kaki kirinya patah terkena mata gergaji manakala rakannya berusia 30 tahun yang tidak cedera pula tersangkut di atas pokok lepai tersebut.
Difahamkan, Zamzarun mengambil upah RM2,000 untuk memotong dahan pokok berkenaan selepas pihak pemaju perumahan mendapati ia telah merendang dan bimbang akan mengenai bumbung rumah berkembar yang telah dibina sejak tahun lalu itu. Wang itu dikongsi bersama Zamzarun, bapanya dan dua lagi rakannya.
Zamzarun yang dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11.30 pagi semalam iaitu selepas hampir 24 jam dirawat.
Kosmo! Online - Negara

Wednesday, June 1, 2011

Penceroboh jatuh kondo



TINGGI...kondominium tempat suspek terjatuh di Damansara Damai, semalam.
TINGGI...kondominium tempat suspek terjatuh di Damansara Damai, semalam.


PETALING JAYA: Seorang lelaki yang menceroboh masuk sebuah kondominium di Damansara Damai, di sini, maut selepas terjatuh dari tingkat lapan ketika cuba melarikan diri, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, penghuni kondominium berkenaan yang berusia 22 tahun terkejut selepas terdengar bunyi orang cuba memecahkan pintu rumahnya sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata pihaknya yang menerima maklumat menghantar sebuah kereta peronda polis bagi menjalankan siasatan dan tiba di rumah mangsa kira-kira jam 6.50 pagi.

Menurutnya, sebaik diperiksa didapati jeriji besi dan pintu rumah berkenaan berkunci.

“Polis yang membuat pemeriksaan lanjut terlihat mangsa berlumuran darah cuba keluar dari tingkap tandas sebelum mereka memecahkan jeriji besi dan pintu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.


“Mangsa yang diselamatkan memberitahu suspek masih berada di dalam rumahnya dan bersenjatakan sebilah pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa,” katanya.

Meor Hamdan berkata, polis memecahkan pintu rumah dan mencari suspek di dalamnya, namun gagal.

“Bagaimanapun pihaknya menerima maklumat daripada pengawal keselamatan kondominium itu yang memberitahu ada orang terjatuh dan mati di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dan kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.myMetro | Penceroboh jatuh kondo

Sunday, May 29, 2011

Ditimpa mayat separuh bogel hempap kereta



ANGGOTA polis mengawasi lokasi kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, semalam.
ANGGOTA polis mengawasi lokasi kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, semalam.

Wanita jatuh tingkat 13 kondo

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri tua terkejut kereta mereka dihempap mayat seorang wanita separuh bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium dekat pusat beli-belah di sini pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku ketika kereta dinaiki pasangan itu memasuki tempat letak kenderaan pusat beli-belah terbabit apabila dikejutkan dengan dentuman kuat belakang kereta mereka.
Mereka keluar memeriksa sebelum melihat seorang wanita dipercayai sudah meninggal dunia terbaring dalam keadaan tidak berbaju dan berlumuran darah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata wanita terbabit berusia 26 tahun dipercayai terjatuh dari bilik tidur unit sewaannya di tingkat 13 sebuah kondominium berhampiran.

“Hasil siasatan awal mendapati dia berasal dari Vietnam dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan bahan. Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan polis mengambil keterangan seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai berada bersama mangsa dalam rumah sewa berkenaan sebelum kejadian terbabit. Berita Harian Online | Ditimpa mayat separuh bogel hempap kereta

Friday, April 22, 2011

Wanita tua terjatuh dalam laut sejuk




BEBERAPA anggota paramedik mengusung Janet Richardson ke dalam sebuah bot penyelamat sebelum dia terjatuh ke dalam laut.


LONDON - Seorang nenek berusia 73 tahun, Janet Richardson terjatuh ke dalam Laut Artik dekat Norway yang sejuk dari atas pengusung semasa dia diusung dari sebuah kapal pesiaran ke bot penyelamat untuk dihantar ke hospital kerana mengalami pendarahan dalaman, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia kini dirawat di sebuah hospital di Britain selepas dibiarkan berada di dalam laut selama lapan minit sebelum Janet diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat.
Semasa dia terjatuh, suhu di laut itu mencecah - 3 darjah Celcius.
Insiden itu berlaku selepas kapten kapal pesiaran tersebut menghubungi sebuah bot penyelamat untuk membawa wanita tersebut kerana bimbang terhadap kesihatannya kerana dia menghidap penyakit diabetes.
Selepas bot penyelamat itu berada dekat kapal tersebut, beberapa anggota paramedik yang sedang mengusung Janet melakukan kesilapan menyebabkan pengusung yang membawa wanita tersebut terjatuh ke dalam laut.
Kejadian itu berlaku pada 29 Mac lalu dan dia kini bergelut untuk hidup di sebuah hospital di Britain. - Agensi

Thursday, April 7, 2011

Maut terjatuh bangunan SPRM


AHMAD SARBANI maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkap di tingkat tiga (gambar kecil) bangunan SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang Penolong Pengarah Kastam Selangor yang ditahan semalaman pada 1 April lalu bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram ditemui mati di tingkat satu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di Jalan Cochrane di sini semalam.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali memberitahu, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat di Unit Import dan Eksport, Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati pada pukul 10.15 pagi di gelanggang badminton bangunan SPRM oleh seorang kakitangan SPRM.
“SPRM mengesahkan mangsa adalah antara pegawai Kastam yang ditahan pada 1 April 2011 pada pukul 12 tengah hari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Setelah mangsa membantu dalam siasatan yang melibatkan Operasi 3b iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dia telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April lalu pada pukul 12.30 tengah hari,” kata Mustafar di tempat kejadian.
Selepas dilepaskan melalui jaminan, mangsa meninggalkan Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Namun begitu, Mustafar memberitahu, pada pukul 8.26 pagi semalam, mangsa datang semula ke Pejabat SPRM Kuala Lumpur bersendirian dengan menunggang motosikal Modenas Kriss.
Katanya, mangsa datang ke pejabat SPRM itu tanpa mendapat arahan daripada SPRM.
Bangunan SPRM terbabit baru siap dibina dan diguna pakai pada Disember 2010 dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di lokasi mangsa ditemui mati.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa hadir untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM bagi berbincang mengenai kes terhadapnya tetapi oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, mangsa menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.
Kosmo! Online - Negara

Wednesday, April 6, 2011

Pegawai Kastam mati jatuh bangunan SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah membabitkan cukai tidak dibayar, ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, di sini pagi ini.


Mayat beliau ditemui di tingkat bawah bangunan itu pada jam 10.15 pagi.


Difahamkan, mangsa yang dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin, adalah seorang pegawai kanan Kastam Selangor.
Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, dilaporkan berkata pegawai Kastam berkenaan ke pejabat suruhanjaya itu hari ini untuk menemui pegawai penyiasat.


Katanya, pegawai penyiasat meminta pegawai Kastam berkenaan menunggu sementara pergi mengambil fail kes.


Bagaimanapun, katanya, apabila kembali semula pegawai penyiasat berkenaan mendapati pegawai Kastam terbabit sudah tiada.

Pegawai Kastam disiasat mati jatuh dari bangunan SPRM


KUALA LUMPUR, 6 April — Seorang pegawai Kastam yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mati selepas jatuh dari bangunan agensi itu di Jalan Cochrane di sini hari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali.
Agensi itu akan mengadakan sidang media tengah hari ini.
Insiden terbaru ini berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock ditemui mati selepas disiasat SPRM dua tahun lalu.
SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai Kastam di seluruh negara.
Mangsa dikenali sebagai penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohd, 56, yang dibebaskan dengan diikat jamin dua hari lalu.
Mustafar berkata mayat pegawai itu ditemui di aras bawah, selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga pada pukul 10.15 pagi.
Kata beliau Ahmad datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tadi tanpa sebarang temu janji memintanya datang bertemu dengan pegawai siasatan.
Ahmad telah pun memberikan kenyataan kepada SPRM dan telah dibebaskan pada pukul 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.
“Allahyarham ada meminta mahu bertemu dengan pegawai penyiasat tetapi tidak mengatakan sebab,” kata Mustafar.
Mustafar berkata seorang pegawai telah menemaninya ke sebuah bilik dan meminta diri untuk mendapatkan pegawai siasatan kira-kira pukul 10.15 pagi.
Apabila pegawai itu kembali beberapa minit kemudian Ahmad tidak lagi berada di bilik.
Ahmad ditemui dengan kesan darah di gelanggang badminton.
“SPRM telah memaklumkan keluarga Allahyarham dan pengurusan jabatannya.
“Kami juga telah menyerahkan kepada polis untuk tindakan susulan,” kata beliau lagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut dan siasatan awal menunjukkan kecederaan di bahagian kepala
Pegawai Kastam disiasat mati jatuh dari bangunan SPRM - The Malaysian Insider

Friday, April 1, 2011

Terselamat selepas terjatuh dari tingkat lapan


ANGELO NICOTRA dan gambar sinar-X menunjukkan tulang tangannya yang patah (kanan)

BIRMINGHAM, Britain - Seorang lelaki, Angelo Nicotra bernasib baik dapat berjalan semula setelah hampir semua tulangnya patah akibat terjatuh dari tingkat sembilan flatnya pada ketinggian 30.48 meter, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebanyak 14 tulang lelaki berusia 22 tahun itu patah, manakala beberapa lagi tulangnya retak apabila dia menghempap laluan konkrit di laman flat berkenaan.
Dia telah mengambil pil tidur dan tidak dapat mengingati insiden terjatuh dari tingkap bilik tidurnya pda Disember tahun lalu.
Doktor-doktor yang merawatnya kagum kerana dia tidak mati dalam kejadian tersebut.
Namun, Nicotra terpaksa menjalani lapan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
"Doktor-doktor cuma memberi saya peluang 20 peratus untuk hidup. Mereka terkejut saya sembuh dengan begitu cepat dan kini boleh berjalan semula," katanya di sebuah hospital di sini kelmarin.
Mengulas kejadian itu pakar ortopedik Hospital Heartlands, tempat dia dirawat, Dr. Andreas Sambatakasis berkata: "Saya belum pernah melihat seseorang terselamat selepas terjatuh dari tempat begitu tinggi,". - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Tuesday, March 22, 2011

Flamingo jatuh terlentang




SEEKOR burung flamingo berdiri (kiri) di sebuah kolam di Zoo Moscow, Rusia, sebelum ia tiba-tiba terjatuh (kanan).


MOSCOW, Rusia - Seorang jurugambar, Tatiana Adamenko, merakam aksi lucu seekor burung flamingo terjatuh ke dalam air kerana hilang keseimbangan badan ketika ia sedang berdiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam foto tersebut, jelas kelihatan kekeliruan pada 'wajah' burung itu manakala kaki haiwan itu pula terangkat.
"Saya cuma mahu merakam aksi burung flamingo mencelup kepala ke dalam air tetapi tiba-tiba, burung itu terjatuh," kata Tatiana yang merakam foto itu di Zoo Moscow baru-baru ini.
Selepas beberapa ketika, burung flamingo itu berjaya bangkit semula dan berenang seperti biasa.
Flamingo terkenal sebagai sejenis burung yang dapat berdiri dengan sebelah kaki selama berjam-jam. - Agensi
-kosmo