Pages

Showing posts with label korea. Show all posts
Showing posts with label korea. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

Serangan siber berlaku di Korea Selatan




SEORANG lelaki (kiri) cuba untuk menggunakan sebuah Mesin Teler Automatik semasa serangan siber berlaku di Seoul.-AP


SEOUL - Rangkaian komputer di dua bank utama dan tiga stesen penyiaran televisyen terkenal di negara ini digodam semalam.
Serangan tersebut menyebabkan mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang lumpuh di seluruh Korea Selatan.
Agensi Keselamatan Maklumat menyatakan, serangan siber itu berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan apabila imej tengkorak muncul pada sejumlah skrin komputer.
Menurut pihak polis dan para pegawai Korea Selatan yang menyiasat kes itu menyatakan punca serangan tersebut masih belum jelas.
Namun, terdapat spekulasi bahawa serangan siber itu dilakukan oleh Korea Utara. Sebahagian komputer mula beroperasi selepas lebih dua jam dan 30 minit tergendala.
Kejadian itu berlaku selepas Korea Utara dikenakan sekatan barang mewah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melakukan ujian nuklear pada Februari lalu.
Sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang bernama Whois Team mengaku menggodam komputer-komputer itu.
Komputer-komputer yang terjejas itu ialah milik rangkaian televisyen YTN, MBC dan KBS.
Ia turut menjejaskan komputer Bank Shinhan dan NongHyup.
Di sebuah kedai kopi Starbucks di sini, para pelanggan diminta untuk membayar tunai manakala terdapat barisan di mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang semasa kejadian tersebut berlaku.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ekoran kejadian itu, pihak tentera meningkatkan tahap berjaga-jaga berhubung serangan siber.
Bagaimanapun, para pegawai pertahanan melaporkan tiada tanda-tanda serangan siber berlaku pada rangkaian komputer kementerian tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0321&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2O91ftRhN 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, March 14, 2013

Pyongyang cabuli gencatan senjata



 
Foto
Anggota Pengawal Merah Petani Pekerja Korea Utara menjalani latihan ketenteraan di Pyongyang, semalam. - Foto REUTERS

Foto
Kereta kebal Korea Selatan melepaskan bedilan dalam latihan di Paju di utara Seoul, semalam. - Foto REUTERS

Seoul: Korea Utara semalam mengesahkan bahawa ia mencabul gencatan senjata berusia 60 tahun yang menamatkan Perang Korea dan memberi amaran langkah seterusnya adalah melancarkan tindakan ketenteraan tanpa belas kasihan terhadap musuhnya.

Satu kenyataan oleh Kementerian Pertahanan bersenjata Korea Utara menyebut bahawa ancaman dari Pyongyang sejak beberapa hari lalu meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Semenanjung Korea itu ke peringkat paling tinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Kenyataan itu disiarkan Agensi Berita Pusat Korea yang menegaskan bahawa penghasut perang sebenar adalah Amerika Syarikat dan bonekanya adalah di Seoul.

Mereka perlu diingatkan bahawa perjanjian gencatan senjata tidak lagi sah dan (Korea Utara) kini tidak tertakluk kepada perisytiharan gencatan senjata Korea Utara dan Korea Selatan untuk tidak menjadi agresif, kata seorang jurucakap kementerian.

Batal gencatan senjata 1953

Apa yang akan dilakukan sekarang adalah langkah pelaksanaan hukuman dan tindakan tanpa belas kasihan terhadap tentera dan penduduk Korea Utara, kata jurucakap terbabit.

Korea Utara minggu lalu mengumumkan bahawa pihaknya membatalkan gencatan senjata 1953 dan perjanjian damai yang ditandatangani dengan Seoul sebagai bantahan terhadap latihan tentera bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat bermula Isnin.
Terus semula permusuhan

Disebabkan Perang Korea ditamatkan melalui gencatan senjata berbanding satu perjanjian damai, kedua-dua negara Korea itu secara teknikalnya masih lagi berperang.

Melanggar gencatan senjata itu secara teorinya membuka ruang untuk kembali bermusuhan walaupun pemerhati mengingatkan bahawa ini adalah jauh berbeza ketika Korea Utara kali pertama mengumumkan untuk memansuhkan gencatan senjata terbabit.
AFP

Friday, April 13, 2012

Roket Korea Utara berkecai

Foto
RAKYAT Korea Selatan menyaksikan paparan grafik
 pelancaran roket Korea Utara di skrin televisyen
 dekat stesen kereta api di Seoul hari ini. Roket yang dilancarkan
Korea Utara pecah tidak lama selepas terbang ke udara
 dan jatuh ke Laut Kuning di barat Semenanjung Korea. - Foto AFP

SEOUL: Roket yang dilancarkan Korea Utara pecah tidak lama selepas terbang ke udara, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-Seok.

“Beberapa miniit selepas pelancaran, ia pecah kepada beberapa bahagian dan hilang ketinggian," katanya.
Badan penyiaran Jepun, NHK, yang memetik sumber tentera, melaporkan bahawa roket itu naik pada ketinggian 120 kilometer sebelum pecah kepada empat bahagian dan jatuh ke Laut Kuning di barat Semenanjung Korea. - AFP

Thursday, April 12, 2012

Roket Korea dilancar hari ini?




JURUTEKNIK-JURUTEKNIK Korea Utara memantau imej roket UNHA-3 dari bilik kawalan satelit Pusat Angkasa Lepas Korea Utara di pinggir Pyongyang, semalam. - AFP


PYONGYANG 11 April - Korea Utara, hari ini menolak bantahan antarabangsa berhubung rancangannya melancarkan roket jarak jauh dan menyatakan telah memasukkan bahan bakar ke dalam roket itu, bermakna pelancaran akan dilakukan seawal-awalnya, esok.
Jika semua berjalan seperti yang dirancang, pelancaran yang disyaki Barat dan Korea Selatan sebagai ujian peluru berpandu balistik, akan melibatkan tiga peringkat pelepasan.
Pelepasan pertama berlaku di semenanjung Korea dan seterusnya di China sebelum melepaskan satelit ke orbit di peringkat ketiga di atas laut berhampiran Filipina.
Negara-negara kuasa serantau turut bimbang pelancaran itu akan menjadi permulaan kepada satu lagi ujian nuklear, sama seperti yang dilakukan oleh negara ini pada 2009.
"Kami tidak terlalu mempedulikan pendapat dari luar. Pelancaran ini penting untuk membangunkan ekonomi negara ini," kata ketua Pusat Kawalan Satelit di Jawatankuasa Teknologi Angkasa Korea.
Selepas pengisian bahan bakar sempurna, Korea Utara perlu memasukkan bahan kimia ke dalam roket dan ini akan mencetuskan penghakisan, bermakna pelancaran mungkin akan berlaku esok.
Ramalan cuaca di semenanjung Korea turut menunjukkan pelancaran sesuai dilakukan esok atau pada Ahad ini, menurut laporan meteorologi daripada televisyen Jepun.
"Pelancaran roket berkemungkinan besar dilakukan esok," kata Francis Yoon, seorang Profesor kejuruteraan dari Universiti Yonsei di Korea Selatan yang juga pakar teknologi roket.
Pelancaran roket UNHA-3 itu yang disifatkan oleh Korea Utara hanya untuk menempatkan satelit cuaca di angkasa lepas, melanggar sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghalang Pyongyang membangunkan peluru berpandu yang boleh membawa peledak nuklear.
Seorang bekas saintis roket dalam misi pengangkutan angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) yang kini berada di Korea Utara, James Oberg berkata, roket itu bukanlah senjata tetapi '98 daripadanya boleh dijadikan senjata'. - REUTERS

Korea Utara tekad lancar roket





PYONGYANG - Korea Utara semalam mengumumkan ia sedang mengisi bahan api ke dalam sebuah roket yang akan dilancarkan semasa sambutan ulang tahun bersejarah sempena penganugerahan gelaran baharu kepada pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-Un.
"Proses menyuntik bahan api sedang dilakukan dan akan selesai dalam masa terdekat," kata Pengarah Pusat Kawalan Misi Korea Utara, Paek Chang-Ho kepada sekumpulan wartawan asing.
Pyongyang dijadualkan melakukan pelancaran dalam tempoh lima hari bermula hari ini.
Menurut kenyataan Pyongyang, pelancaran itu bagi meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran pengasas negara Korea Utara, Kim Il-Sung pada 15 April ini.
Roket berkenaan direka bagi menghantar sebuah satelit pemerhati di orbit Bumi.
Namun, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyatakan misi itu sebenarnya merupakan ujian peluru berpandu balistik Korea Utara sekali gus melanggar larangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Alasan yang sama juga digunakan apabila Korea Utara mendakwa ia telah meletakkan sebuah satelit di orbit pada 2009 tetapi beberapa pakar asing menyatakan tiada satelit baharu dikesan sebaliknya ia merupakan misi untuk menguji peluru berpandu jarak jauh. - AFP

Wednesday, April 11, 2012

AS gesa Korea Utara hentikan pelancaran roket





2012/04/11

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton hari ini menggesa Korea Utara tidak meneruskan pelancaran roket sekiranya mahu rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan masa depan yang lebih baik. 

"Kami sudah berunding secara rapat di kebanyakan ibu negara dan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kami akan meneruskan tindakan sewajarnya," kata Clinton pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Jepun, Koichiro Gemba.
"Jika Korea Utara mahu hidup dalam keamanan, masa depan yang lebih baik bagi rakyat mereka, ia tidak seharusnya melancarkan satu lagi peluru berpandu yang akan menjadi ancaman kepada keselamatan serantau," kata ketua diplomat AS.
Sementara itu, Gemba berkata, dalam konteks kerjasama AS-Jepun, jika Korea Utara tetap meneruskan pelancaran roket dengan meletakkan satelit ke orbit, ia akan dilihat seluruh dunia sebagai ujian peluru berpandu dengan cara yang terselindung. 

"Amerika Syarikat dan Jepun akan bekerjasama antara satu sama lain dan masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan. Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya," kata Gemba. - AFP

Saturday, March 10, 2012

Cheong derita kerana ‘badi’ Kim Jong-il

myMetro | Cheong derita kerana ‘badi’ Kim Jong-il: 

CHEONG ketika  mengenakan pakaian seperti Jong-il. Gambar kecil, Jong-Il menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara selama 17 tahun.
CHEONG ketika mengenakan pakaian seperti Jong-il. Gambar
kecil, Jong-Il menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara selama 17 tahun.
 
LONDON: Rupa fizikal seorang lelaki yang kelihatan seperti bekas diktator Korea Utara, Kim Jong-il, menyebabkan dia hidup membujang sehingga kini.
Bekerja sebagai tukang paip di London Barat, William Cheong, 43, ternyata gagal menarik perhatian mana-mana wanita yang melihatnya tidak lebih daripada ‘jelmaan’ Jong-il.

Berasal dari Acton, Cheong berkata, sehingga kini dia masih bujang dan tidak mempunyai anak.
“Saya berharap dapat bertemu dengan wanita yang sesuai, tapi nampaknya, wajah seperti Jong-il ini tidak membantu,” katanya.

Selain wajah, ketinggian Cheong juga sama seperti Jong-il, iaitu 1.6 meter.

Dikenali sebagai KT di kalangan rakannya, Cheong berharap, kematian Jong-il akibat serangan jantung pada Disember tahun lalu mampu mengubah nasibnya.
Katanya, selepas Jong-il mati, mungkin nasibnya dalam percintaan menjadi lebih baik.

“Masalahnya, imej Jong-il itu masih segar dalam minda kebanyakan orang,” katanya.
Menurut Cheong, dia berasa sunyi - sama seperti watak diktator itu yang digambarkan dalam filem komedi aksi satira terbitan 2004, Team America: World Police.

Katanya, walaupun mungkin ada sesetengah pihak menganggap persamaan fizikalnya dengan Jong-il sesuatu yang istimewa, dia sendiri tidak beranggapan begitu.

“Cuma satu-satunya kelebihan saya ialah, menarik perhatian beberapa pihak untuk muncul sebagai watak Jong-il dalam iklan komersial,” katanya.

Baru-baru ini, dia muncul dalam iklan untuk sebuah firma telefon Denmark dengan membawa watak Jong-il.

Sementara itu, rakan Cheong berkata, kematian Jong-il gagal mengubah nasib lelaki terbabit.

“Cheong lelaki penyayang dan memiliki sebuah rumah menarik.

“Dia memiliki apa yang diperlukan untuk berkongsi hidup dengan seorang wanita, tetapi masalahnya, dia selalu disalah anggap.

“Penampilan semula jadinya seperti Jong-il gagal menarik perhatian mana-mana wanita,” katanya. - TS

'via Blog this'

Wednesday, January 18, 2012

Tentera Korea Utara terlalu berkuasa - Jong-nam


Gambar yang diambil oleh Agensi Berita Pusat Korea Utara pada 1 Januari lalu merakamkan Kim Jong-Un (tengah) diberi sambutan oleh tentera daripada division kereta kebal Korea Utara di satu tempat yang tidak dikenal pasti. - AFP


TOKYO 17 Jan. - Abang sulung kepada pemimpin baru Korea Utara, Kim Jong-un mendakwa pembaharuan yang diperlukan bagi mencegah keruntuhan ekonomi negara itu akan membawa kepada kejatuhan rejim komunisnya.
Kim Jong-nam, abang Kim Jong-un berlainan ibu, berkata, tentera Pyongyang sudah menjadi begitu berkuasa dan akan campur tangan serta merampas kuasa sekiranya rejim baru itu gagal.
Jong-un mengambil alih teraju pimpinan Korea Utara berikutan kematian bapanya, Kim Jong-il pada bulan lalu.
Kenyataan abangnya itu terkandung dalam sebuah buku tulisan Yoji Gomi, seorang wartawan Jepun yang mendakwa beliau menjalin hubungan erat dengan Jong-nam selepas mereka bertemu di Beijing pada 2004.
Jong-Nam menyifatkan Korea Utara sebagai sangat tidak stabil, dalam wawancara dengan Gomi di wilayah Macau, China pada tahun lepas.
"Bapa saya memerintah negara dengan sokongan tentera tetapi kuasa tentera sudah menjadi terlalu besar, dan sekiranya peralihan pemerintahan berakhir dengan kegagalan, tentera sudah pasti akan menggunakan kuasa sebenar," katanya dalam bahasa Korea.
Dalam buku itu, Jong-nam berkata, ekonomi Korea Utara yang bermasalah dan dikawal oleh kerajaan menimbulkan dilema bagi rejim di Pyongyang.
"Sudah jelas ekonomi akan runtuh tanpa pembaharuan, tetapi pembaharuan akan menyebabkan krisis keruntuhan rejim," kata Jong-nam dalam wawancara panjang lebar sebelum kematian bapanya pada 17 Disember lalu.
Beliau juga mendakwa adiknya yang tidak berpengalaman itu dijangka sekadar menjadi simbol yang diperalatkan oleh elit pemerintah untuk mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa.
"Sesiapa yang berfikiran waras akan mendapati sukar untuk menerima pewarisan kuasa melibatkan tiga generasi.
"Saya mempersoalkan bagaimana pewaris muda dengan hanya dua tahun persiapan sebagai pengganti mampu mewarisi kuasa mutlak," katanya kepada Gomi. - AFP

Sunday, January 15, 2012

Ini lah sebabnya kenapa rakyat Korea Utara meraung menangisi kematian Kim Jong Il

Jika tidak menangisi kematian Kim Jong Il, warga korea akan berakhir di penjara, itulah menurut laporan Daily NK. Pasca kematian pemimpin Korea Utara (Korea Utara) Kim Jong-il, beribu-ribu rakyat Korea Utara kelihatan sangat terpukul dan meratap semahu-mahunya. Bahkan tidak sedikit yang menangis meraung-raung. Ternyata ada hukuman bagi mereka yang tidak menampakkan kesedihan mendalam atas kematian 'pemimpin abadi' Korea Utara tersebut.

Hal tersebut didedahkan oleh surat khabar dalam talian asal Korea Selatan (Korsel), Daily NK, dan disiarkan oleh Fox News, Khamis (12/1/2012). Daily NK mengaku mendapat maklumat tersebut dari sumber yang berada di Wilayah Hamkyung Utara, wilayah paling utara di Korea Utara.

"Kerajaan menjatuhkan hukuman sekurang-kurangnya 6 bulan di kem buruh paksa bagi sesiapa yang tidak ikut serta dalam himpunan rakyat selama masa berkabung, atau mereka yang ikut serta tapi tidak menangis dan tidak kelihatan ikhlas semasa berkabung," kata sumber tersebut.

Daily NK juga memberitahu, orang-orang yang dianggap kritikal terhadap sistem pemerintahan dinasti Korea Utara, yang kini dipimpin oleh Kim Jong Un, akan dihantar ke kem-kem untuk mendapat 'pendidikan khas' atau akan diasingkan bersama keluarga mereka di kawasan terpencil.

Ditambah juga, persidangan tengah dipanggil bagi rakyat Korea Utara yang diketahui berusaha untuk melarikan diri dari wilayah Korea Utara selama masa berkabung bagi Kim Jong-il. Bahkan persidangan juga digelar bagi mereka yang menggunakan telefon bimbit untuk menelefon ke luar negeri.

Walaupun demikian, maklumat yang disampaikan oleh Daily NK ini memang belum boleh dipastikan kebenarannya. Daily NK adalah dimiliki oleh pihak pembangkang kerajaan Korea Utara.

Kim Jong-il yang memimpin Korea Utara selama 17 tahun, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 17 Disember 2011 lalu. Tampuk kepimpinan Korea Utara lantas diberikan kepada anak bongsunya, Kim Jong Un, yang baru berusia 28 tahun namun sudah berpangkat jeneral bintang empat.
ari-hari rakyat susah 2.0: Ini lah sebabnya kenapa rakyat Korea Utara meraung menangisi kematian Kim Jong Il:

'via Blog this'

Saturday, December 31, 2011

Korea Utara tidak akan berlembut dengan jiran

PYONGYANG: Korea Utara memberi amaran, mereka tidak akan berlembut dengan kerajaan Korea Selatan selepas kematian Kim Jong II.
Pyongyang berkata mereka akan menambah kekuatan pemimpin baru mereka, Kim Jong Un, anak kepada Kim Jong II yang dikenali dengan gelaran Pemimpin Hebat.
Ia gelaran yang pernah digunakan oleh ayahnya sebelum ini.

Suruhanjaya Pertahanan Negara Korea Utara berkata, negara itu tidak akan berurusan dengan Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak, seorang konservatif yang menghentikan polisi “tidak mempunyai hubungan” terhadap Korea Selatan pada 2008.


Amaran keras itu turut menegaskan Korea Utara akan berpadu tenaga dengan Kim Jong Un.

Ia adalah satu amaran berterusan dalam langkah untuk meningkatkan personaliti Kim setelah kematian ayahnya pada 17 Disember lalu.

Kelmarin, Kim diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti pemerintah, ketenteraan dan rakyat dalam satu perhimpunan terbesar pada hari terakhir berkabung kematian bapanya.

Dia turut mendapat sokongan daripada anggota kerajaan tertinggi.

Kim Jong Un, lewat 20-an, dikatakan masih muda dan kurang pengalaman dan pemerhati luar mempersoalkan kewibawaannya untuk memerintah negara yang sedang berunding mengenai program nuklear. - AFP 

Monday, December 26, 2011

Korea Utara penuh misteri

korea
Kekurangan alat komunikasi moden di negara penuh rahsia, Korea Utara, menyukarkan kuasa Barat, terutama Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat. Tetapi pada masa sama, Pyongyang sebenarnya cukup canggih untuk melancarkan perang siber.

Penjual burger Amerika Syarikat (AS), Robert Egan, antara individu yang tahu bagaimana Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) terdesak untuk mendapatkan walau sedikit maklumat mengenai Korea Utara.

Ini kerana Egan kerap melayani diplomat Korea Utara di restorannya di Hackensack, New Jersey, sejak 15 tahun lalu dan pernah beberapa kali melawat Pyongyang, ibu negara Korea Utara.

Dia juga yang memberi maklumat mengenai pelanggannya dari negara Asia itu kepada pihak berkuasa AS.

Tidak cukup dengan itu, Egan pernah diarah untuk mengambil helaian rambut daripada baju mereka supaya AS boleh menggunakannya untuk mengesan DNA diplomat Korea Utara.

Menurut Egan, 53, agensi perisikan AS menggunakan ‘lelaki yang memasak burger’ untuk cuba memahami Korea Utara.

Peranan Egan sebagai duta rakyat itu menunjukkan betapa AS mahukan apa sahaja maklumat mengenai Korea Utara, negara dengan senjata nuklear yang dianggap paling sukar untuk diintip dan menjadi lohong hitam bagi semua agensi risikan.

Dan ini disahkan dengan bukti terbaru apabila agensi risikan AS tidak tahu bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, telah meninggal dunia pada 17 Disember lalu, sehingga 51 jam selepas kematiannya.

Washington hanya mengetahui mengenai kematian Jong-il apabila ia diumumkan di stesen televisyen Korea Utara.
Kini, AS sedang sibuk pula mencari pelbagai maklumat mengenai anak bongsu Jong-il, Kim Jong-un yang dinamakan sebagai pengganti pemimpin komunis itu.
Tidak banyak diketahui mengenai lelaki bertubuh montel itu selain dia berumur 27 tahun dan suka bermain permainan video.

Selain itu, di sebalik penggunaan satelit pengintip tanpa henti ke atas Korea Utara, agensi risikan AS juga terkejut apabila diberitahu oleh pegawai Israel pada 2007 bahawa saintis Korea Utara kononnya membantu Syria membina reaktor nuklear rahsia di kawasan gurun negara Arab itu.

Tentu sekali, walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan itu, Israel terus melancarkan serangan pengeboman ke atas tapak pembinaan loji nuklear di Syria itu selepas AS enggan melakukannya.

Bukan itu sahaja, AS juga langsung tidak tahu pegawai Korea Utara membawa saintis AS, Siegfried Hecker melawat loji pengkayaan uranium yang baru dibina di negara itu pada November lalu, sehingga saintis itu sendiri yang menulis mengenai pengalamannya.

Lawatan Hecker ke loji yang sedang menghasilkan minyak reaktor pada tahap rendah itu membuatkan Washington terdiam tanpa kata-kata kerana kegagalan mereka mengesan rancangan Korea Utara lebih awal.

AS menganggap kesukaran untuk melakukan pengintipan di negara berfahaman komunis itu adalah kerana alat komunikasi moden hampir tidak wujud, dan tidak ramai rakyatnya dibenarkan keluar negara serta pelawat asing tidak diterima.

Bijak simpan rahsia

“Masyarakat Korea Utara sendiri tidak berhubung dengan baik. Kerajaan mereka juga tidak berhubung sesama sendiri. Setiap perkara dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian kecil,” menurut Mike Rogers, pengerusi Jawatankuasa Perisikan Kongres AS.

Bruce Klingner, penganalisis kanan CIA mengenai Korea Utara dari 1996 hingga 2001 berkata, memahami Korea Utara sama seperti menyusun suai gambar.

Tetapi Klingner menyangkal kepercayaan ramai bahawa Korea Utara adalah negara miskin dan kuno jadi ia bukanlah lawan yang perlu digeruni kuasa Barat.

“Kita sering menganggap Korea Utara sebagai negara yang kekurangan teknologi tetapi mereka sebenarnya menekankan kemodenan teknologi dalam beberapa aspek penting,” katanya.

Menurut Klingner, keupayaan Pyongyang untuk melancarkan perang siber ke atas negara lain dilihat sama seperti keupayaan CIA.

Pada April lalu, lebih 30 juta pengguna bank Nonghyup di Korea Selatan, iaitu musuh tradisi Korea Utara, tidak boleh menggunakan kad ATM atau mengakses akaun bank mereka secara dalam talian buat beberapa hari.

Dan gangguan itu disyaki berpunca daripada serangan siber dilakukan kerajaan Korea Utara ke atas bank itu.

Cabaran kepada agensi perisikan Barat untuk mendapatkan maklumat mengenai Korea Utara memang besar.

Tidak seperti Iran, di mana kumpulan pembangkang negara itu sering menyalurkan maklumat berharga kepada Barat, Korea Utara adalah negara berfahaman komunis tanpa parti pembangkang.

Washington juga tidak mempunyai kedutaan di Pyongyang untuk digunakan sebagai samaran kepada CIA atau agensi risikan lain dan beberapa pegawai diplomat Barat atau pekerja bantuan asing yang tinggal di negara Asia itu dipantau secara dekat oleh badan keselamatan Korea Utara.

Cubaan untuk mengintip alat komunikasi juga tidak akan berjaya. Tidak ramai penduduk Korea Utara yang menggunakan telefon bimbit dan tiada akses kepada Internet serta sistem komunikasi dicipta kerajaan Korea Utara tidak mudah untuk dipintas.

Keadaan muka bumi Korea Utara yang dipenuhi gunung-ganang turut menyukarkan intipan satelit dilakukan oleh Barat dan markas tentera negara itu disembunyikan di dalam jaringan terowong bawah tanah.

Semua halangan ini menyebabkan agensi perisikan AS gagal untuk meramal dan akan terus berteka-teki mengenai bentuk kepimpinan baru di Korea Utara selepas kematian Jong-il. - Los Angeles Times. Korea Utara penuh misteri - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Thursday, December 22, 2011

Berjuta-juta penduduk ratapi kematian Jong-il


SEJUMLAH penduduk menangis di depan potret Kim Jong-il di Stadium
Tertutup Pyongyang, Korea Utara semalam

SEOUL, Korea Selatan - Korea Utara semalam menyatakan jutaan penduduk meratapi kematian bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il.
Stesen televisyen pemerintah menunjukkan imej orang ramai bersedih dan menangis di hadapan potret Jong-il, lelaki yang memimpin Korea Utara semasa negara berkenaan mengalami krisis kebuluran yang membunuh ratusan ribu penduduknya.
"Tempat-tempat awam bertukar menjadi lautan orang ramai yang menangis semasa mereka melihat potret Kim Jong-il yang tersenyum," kata sebuah agensi berita rasmi Korea Utara.
Menurut agensi berita berkenaan, sekurang-kurangnya lima juta orang melawat potret dan patung Jong-il di sekitar ibu kota Korea Utara, Pyongyang, untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Angka tersebut mewakili lebih satu perlima daripada keseluruhan penduduk Korea Utara.
Mayat bekas pemimpin itu berada di dalam sebuah keranda kaca selepas beliau mati pada Sabtu lepas akibat serangan jantung semasa beliau berusia 69 tahun.
Jong-il menjadi pemerintah tertinggi Korea Utara selama 17 tahun dari 1994 hingga 2011 selepas kematian bapanya.
Beliau digantikan oleh anak bongsunya, Kim Jong-un yang baru berusia lewat 20-an sekali gus menjadi antara pemimpin negara termuda di dunia. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Wednesday, December 21, 2011

Tentera Korea Selatan tingkat kawalan siber


Tentera Korea Selatan tingkat kawalan siber

SEOUL - Tentera Korea Selatan telah meningkatkan kawalan, semalam kerana khuatir dengan ancaman serangan siber dari Korea Utara selepas pemimpin mereka, Kim Jong-il meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan memaklumkan mereka telah meningkatkan amaran berjaga-jaga sistem siber, Infocon kepada tahap lebih tinggi selepas media mengumumkan berita kematian Jong-il.

Agensi berita Yonhap turut melaporkan pasukan tentera telah melakukan persediaan awal dengan menggandakan bilangan askar pemerhati untuk memantau sebarang cubaan serangan atau aktiviti penggodaman­ ke dalam sistem mereka.

Tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan insiden berulang melibatkan serangan siber oleh perisik tentera Korea Utara pada Mei lalu yang telah menyebabkan operasi sebuah bank terbesar di negara itu lumpuh.

Sebelum ini, Seoul sering kali menuduh Pyongyang melancarkan siri serangan siber ke atas laman sesawang rasmi kerajaan dan institusi kewangan di negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Pyongyang menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa negara jiran mereka sengaja mahu meningkatkan lagi ketegangan yang telah tercetus di semenanjung Korea. Tentera Korea Selatan tingkat kawalan siber - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wednesday, October 12, 2011

Tangisan iringi Rain jalani khidmat negara



RAIN memberi tabik hormat di depan para peminatnya di luar sebuah latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam.- Reuters


SEOUL - Ratusan peminat dari China, Jepun dan Malaysia menangis dan bersorak di luar bandar raya ini semalam bagi memgucapkan selamat jalan kepada penyanyi pop Korea Selatan, Rain yang menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Rain yang nama sebenarnya, Jung Ji-hoon merupakan sebahagian daripada gelombang drama Korea dan muzik yang melanda Asia sejak dekad lalu.
Album ketiganya, It's Raining dijual satu juta unit di Asia selepas ia dikeluarkan pada 2004.

DUA peminat menangis semasa berhimpun di luar sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam. - Agensi


"Amat sedih kerana Rain akan pergi (menjalani perkhidmatan ketenteraan) selama dua tahun," kata seorang peminat dari Jepun, Sachiko yang datang ke Korea Selatan untuk menyaksikan konsert terakhir penyanyi tersebut dan menjadi saksi dia memasuki perkhidmatan ketenteraan.
"Saya pasti, semua peminatnya di Jepun mahu berada di sini hari ini. "Justeru, kami mahu memastikan kami melihatnya pergi," tambahnya.
Selain muzik, Rain membina kerjayanya dalam filem dan memulakan kariernya di Hollywood menerusi satu watak kecil dalam filem Speed Racer.
Dia pernah menjadi pelakon utama dalam filem kedua Hollywoodnya, Ninja Assassin yang menyebabkan dia memenangi anugerah daripada MTV.

RATUSAN peminat mengerumuni pintu masuk sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul untuk melihat Rain semalam. - Agensi


Rain yang merupakan pemenang undian majalah Time pada 2006, 2007 dan 2011 akan menjalani perkhidmatan kerahan tentera selama 21 bulan dalam pasukan tentera Korea Selatan.
"Terima kasih kerana menyayangi saya dengan amat sepenuhnya sejak 10 tahun lalu.
"Selamat jalan dan saya akan kembali," kata Rain kepada para peminatnya.
Penyanyi itu yang dikenali ramai dalam drama Secret Garden menarik perhatian ribuan peminatnya apabila dia menandatangani perkhidmatan ketenteraan pada tahun ini.
Penyanyi berusia 28 tahun itu ditempatkan di sebuah pulau di sempadan Korea Utara yang tegang yang secara teknikalnya berperang dengan Korea Selatan selepas Perang Korea tamat pada 1953 dengan satu perjanjian gencatan senjata.- Reuters

Friday, March 25, 2011

Seoul lancar latihan menembak




Helikopter Korea Selatan jenis AH-1S Cobra melepaskan tembakan daripada mesingan dalam latihan menembak besar-besaran di Pocheon, 65 kilometer ke timur laut Seoul, semalam. - AFP


SEOUL 24 Mac - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan tembakan peluru hidup secara besar-besaran berhampiran dengan sempadan Korea Utara, sempena ulang tahun pertama tenggelamnya kapal perang Cheonan miliknya bersama 46 krewnya.
Menurut Kementerian Pertahanan, kereta kebal, kenderaan pengangkut senjata, meriam, helikopter dan jet pejuang mengambil bahagian dalam latihan itu di Pocheon, 30 kilometer ke selatan sempadan.
Latihan itu diadakan sehari selepas tentera Korea Utara mengancam untuk bertindak balas kepada rancangan penyebaran risalah oleh aktivis antiPyongyang berhampiran pertikaian sempada, Laut Kuning.
Korea Selatan turut mengadakan latihan di laut selama seminggu yang bermula Isnin lalu sebagai mengingati peristiwa kapal perang Cheonan yang karam pada 26 Mac tahun lalu yang didakwa terkena peluru berpandu Korea Utara.
Latihan itu termasuk tiga hari latihan kapal perang dan jet pejuang bermula esok, simulasi serangan oleh kapal selam, kapal laut dan jet pejuang Pyongyang.
Latihan tembakan besar-besaran oleh tentera laut akan diadakan Sabtu ini di tiga lokasi di luar semenanjung Korea.
Seoul yang secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara sejak konflik 60 tahun lalu memberitahu bahawa latihan itu diadakan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran ini meningkat sejak Pyongyang membedil pulau Yeonpyeong pada 23 November lalu menyebabkan empat rakyat Korea Selatan terbunuh.
Korea Selatan hari ini turut melancarkan kapal pemusnah ketiga yang dilengkapi radar berteknologi tinggi Aegis serta sistem kawalan senjata.
Menurut tentera laut, senjata pemusnah KDX-III dikenali sebagai Seoae Ryu Seong- ryong itu akan mula digunakan pada Mac tahun depan selepas operasi ujian selama setahun.
KDX III sepanjang 166 meter itu boleh membawa 120 peluru berpandu dan torpedo pada sistem pelancar tegaknya, lapor agensi berita Yonhap. - AFP

Thursday, December 16, 2010

Korea Selatan lancar latihan pertahanan awam terbesar


Bandar raya Seoul lengang apabila kenderaan dan lalu lintas dihentikan semasa latihan pertahanan awam terbesar sebagai persediaan menghadapi serangan Korea Utara, semalam. – REUTERS


SEOUL 15 Dis. – Korea Selatan hari ini melancarkan latihan pertahanan awam terbesar memberhentikan trafik di bandar raya ini dan mengarahkan orang ramai supaya tidak berada di jalan raya, ketika ketegangan memuncak berikutan serangan Korea Utara ke atas pulau Korea Selatan pada bulan lalu.
Siren kedengaran di seluruh negara pada pukul 2 petang (1 petang waktu Malaysia), sekali gus menandakan bermulanya latihan selama 15 minit itu.
Kebanyakan lalu lintas di Seoul seperti di Lebuh Sejongno dan beberapa tempat sibuk lain di pusat bandar raya ini terhenti.
Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) berkata, latihan di seluruh negara itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak undang-undang pertahanan awam diluluskan pada 1975.
Menurut tentera, 12 jet pejuang digunakan dengan sebuah pesawat terbang di ruang udara Seoul sebagai simulasi serangan udara Korea Utara.
Laluan jalan kaki lengang ekoran orang ramai berlindung di bangunan-bangunan atau stesen-stesen bawah tanah.
Bagaimanapun pemandu enggan meninggalkan kenderaan atau bas menuju ke pusat perlindungan ekoran cuaca sejuk ketika musim salji ketika ini, dengan suhu berada 12 darjah Celsius di bawah paras beku.
Latihan khas ini bertujuan menangani secara berkesan situasi sebenar seperti serangan Korea Utara ke atas pulau Yeonpyeong bulan lalu, kata NEMA dalam satu kenyataan. – AFP

Thursday, December 2, 2010

Korea Utara mungkin serang lagi: Ketua perisik





2010/12/02

SEOUL: Ketua agensi perisikan Korea Selatan, Won Sei-hoon berkata Korea Utara kemungkinan besar melancarkan serangan lagi, seminggu selepas Pyongyang melepaskan bedilan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, lapor agensi berita Yonhap. 

“Kemungkinan bagi Korea Utara melancarkan satu lagi serangan adalah amat besar,” kata beliau pada mesyuarat parlimen semalam.
Yonhap melaporkan, serangan dilakukan ketika perasaan tidak puas hati dalam negara semakin memuncak membabitkan pengganti pemimpin Korea Utara dan keadaan ekonominya yang semakin buruk.
Di BEIJING, Menteri Luar China, Yang Jiechi semalam menggesa semua pihak yang terbabit dengan krisis di semenanjung Korea agar mengelak sebarang tindakan yang akan ‘memburukkan lagi keadaan’, lapor agensi berita Xinhua. 

“Pihak terbabit perlu bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu, sebaliknya berusaha membawa mereka ke meja rundingan,” katanya yang dipetik agensi itu. 

Sementara iti keadaan di semenanjung Korea terus tegang selepas serangan meriam ke atas pulau Yeonpyeong minggu lalu yang mengorbankan empat orang. 

China berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar mengambil tindakan tegas menghalang Korea Utara daripada terus melancarkan serangan ke atas Korea Selatan. 
Beijing setakat ini masih enggan menyertai masyarakat antarabangsa yang mengkritik sekutunya, Pyongyang. 

Sebaliknya Ahad lalu, negara itu mencadangkan agar pertemuan perwakilan enam negara untuk mengadakan perbincangan tergempar mengenai pelucutan senjata nuklear Korea Utara pada awal Disember di Bejing. 

“China membuat keputusan berdasarkan kepentingan setiap kes dan tidak berhasrat melindungi mana-mana pihak,” katanya. 

Yang berkata perbincangan perlu diadakan kerana ia “akan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan mewujudkan ruang untuk mengembalikan semula perwakilan enam negara ke meja rundingan”. 

Bagaimanapun, Jepun, Amerika dan Korea Selatan memberi sambutan dingin kepada gesaan itu. – Reuters/AFP

Thursday, September 16, 2010

Ulang tahun pendaratan tentera Amerika di Incheon



Bot-bot amfibia Korea Selatan turut mengambil bahagian dalam melakonkan babak pertempuran semasa pendaratan tentera Amerika dan tentera sekutu dari sembilan negara lain di luar perairan Incheon, di barat Seoul, semalam. - REUTERS


INCHEON, Korea Selatan 15 Sept. - Kapal-kapal perang, pesawat pejuang serta anggota marin dari Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Australia, hari ini melakonkan semula babak pertempuran dalam Perang Korea, yang telah mengubah arus perang tersebut, walaupun menerima bantahan dari Pyongyang.
Kira-kira 14,000 orang termasuk veteran perang dari sembilan negara yang terlibat dalam konflik 1950-1953 itu, menyertai upacara itu sebagai memeringati ulang tahun ke-60 pendaratan tentera di Incheon yang diketuai Jeneral AS Douglas MacArthur, kata Kementerian Pertahanan Korea Utara.
Pendaratan tersebut diikuti dua minggu kemudian dengan penawanan semula Seoul dari Korea Utara.
Sebanyak 12 buah kapal, 16 pesawat dan lebih 200 anggota marin dari tiga negara berkenaan mengambil bahagian dalam babak perang itu termasuk lakonan babak pendaratan, intipan secara menyelam dan penerbangan pintas.
Antara mereka yang menyaksikan upacara tersebut ialah 2,000 orang veteran perang dari Korea Selatan dan negara-negara lain yang menghantar tentera menyertai pasukan tentera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pimpinan AS bagi mempertahankan Korea Selatan.
Korea Selatan telah melakonkan semula babak pertempuran itu sejak 2008.
Korea Utara, yang menawan Korea Selatan pada 25 Jun 1950, membantah upacara tersebut dan menyifatkan pendaratan asal sebagai ''satu jenayah yang dilakukan bagi menjatuhkan penduduk Korea''.
Suratkhabar parti pemerintah, Rodong Sinmun semalam melaporkan lakonan babak pendaratan itu merupakan satu provokasi terhadap Korea Utara dan menunjukkan cita-cita musuh-musuhnya untuk menawan.... masih tidak berubah walaupun peristiwa itu telah berlalu hampir setengah abad.'' - AFP

Friday, August 6, 2010

Seoul anjur latihan kapal selam terbesar


Anggota tentera laut Korea Selatan mengangkat bot-bot getah semasa menyertai latihan di pulau Baengnyeong, dekat sempadan Korea Utara, semalam. - AP



SEOUL 5 Ogos - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan antikapal selam terbesar dalam sejarah negara ini, termasuk tembakan peluru hidup dekat sempadan maritimnya dengan Korea Utara, tanpa menghiraukan ugutan Pyongyang untuk bertindak balas.
Seoul memberi amaran kepada Korea Utara bahawa ia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang provokasi sepanjang latihan lima hari di Laut Kuning.
Latihan perang itu dilancarkan sebagai reaksi terhadap serangan torpedo Korea Utara ke atas kapal perang Korea Selatan, Cheonan sehingga karam menyebabkan 46 kelasi terkorban pada Mac lalu.
"Latihan antikapal selam ini adalah yang terbesar dalam sejarah kami, melibatkan tentera darat, laut, udara dan askar marin," kata seorang jurucakap Ketua Turus Bersama (JCS) tentera Korea Selatan.
Seoul mengerahkan 4,500 anggota tentera, dengan bantuan jentera perang tercanggih termasuk 29 kapal seperti kapal selam dan kapal pemusnah di samping 50 pesawat udara seperti jet pejuang dan helikopter pembedil.
Latihan itu bermula lapan hari selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) menamatkan latihan perang bersama tentera laut dan udara di Laut Jepun bagi memperlihatkan kemampuan mereka menghadapi sebarang serangan Korea Utara.
Pyongyang menafikan ia bertanggungjawab menenggelamkan kapal perang Cheonan dalam insiden yang meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea.
JSC berkata, latihan terbaru itu bersifat defensif dan tertumpu kepada gerakan menangkis serangan laut, termasuk serangan oleh komando Korea Utara yang menaiki hovercraft.
Askar marin Korea Selatan yang ditempatkan di pulau-pulau dekat sempadan Korea Utara di Laut Kuning menjalankan latihan tembakan meriam peluru hidup tetapi tembakan dihalakan ke arah barat laut.
"Kami tidak melepaskan tembakan ke arah sempadan laut, sekalipun Korea Utara berbuat demikian sebagai perbuatan provokasi," kata jurucakap JCS itu. - AFP