Pages

Showing posts with label tertua. Show all posts
Showing posts with label tertua. Show all posts

Monday, January 14, 2013

Wanita tertua meninggal pada usia 115 tahun

Okubo
Okubo
TOKYO - Koto Okubo dari Jepun diisytiharkan sebagai wanita tertua di dunia meninggal dunia semalam, pada usia 115 tahun.

Agensi berita Kyodo melaporkan, Okubo meninggal di Rumah Kejururawatan Kawasaki, Timur Jepun kelmarin dan punca kematiannya tidak didedahkan.

Okubo dilahirkan pada 24 Disember, 1897, hanya dua bulan selepas wanita tertua di dunia Dina Manfredini di Amerika Syarikat meninggal juga pada usia yang sama.

Berita kematian itu turut disahkan oleh Datuk Bandar Tokyo dan beliau merasakan pemergian Okubo sebagai kehilangan besar buat negara.

“Beliau menghabiskan masa bersama anak perempuannya yang juga tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika hayat mendiang, Okubo menjadi tarikan orang ramai untuk melawatnya selepas dinobatkan sebagai wanita tertua di dunia. -AFP

Monday, December 24, 2012

Wanita Arab-Israel meninggal dunia pada usia 124 tahun

MARIAM menunjukkan dokumen pengenalan dirinya beberapa tahun lalu.
MARIAM menunjukkan dokumen pengenalan dirinya beberapa tahun lalu.
TEL AVIV: Seorang wanita Arab warga Israel dilaporkan meninggal dunia pada usia 124 tahun.
Sekiranya disahkan, ia bermakna wanita itu dalah wanita paling lama hidup, lapor media Israel.
Mariam Amash dari Kampung Arab di Jisr al-Zarqa, kira-kira 400 kilometer dari utara Tel Aviv, meninggalkan 10 anak dan kira-kira 300 cucu dan cicit, menurut ynet, versi internet akhbar terlaris Israel, Yedioth Ahronot.

Kad pengenalan Israelnya menunjukkan dia dilahirkan pada 1888.


Buat masa ini, orang tertua yang pernah disahkan dan didokumenkan ialah Jeanne Calment dari Perancis (1875-1997) yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun.

Beberapa bulan lalu, Mariam memberitahu ynet bahawa dia memang berusia 124 tahun dan dia masih ingat tahun dia dilahirkan tetapi tidak tarikh tepatnya.

Maka, kerani yang mengeluarkan kad pengenalannya berpuluh-puluh tahun lalu meletakkan 00.00.1888 sebagai tarikh dia dilahirkan dalam dokumen pengenalan itu.

“Jadi, keluarga saya akan mengadakan majlis keraian dan memberi hadiah pada setiap akhir tahun,” katanya.

Berita mengenai Mariam ini diketahui selang seminggu selepas Buku Rekod Guinness mengesahkan Jiroemon Kumura, lelaki berusia 115 tahun dari Jepun sebagai lelaki tertua hidup di dunia selepas wanita dari Amerika Syarikat, meninggal dunia pada usia 115 tahun. - Agensi

Wednesday, December 19, 2012

Lelaki Jepun pengganti warga tertua di dunia




19 Disember 2012
Dari kiri Manfredini dan Kimura
Dari kiri Manfredini dan Kimura
TOKYO - Lelaki Jepun, Jiroemon Kimura muncul sebagai manusia tertua di dunia selepas wanita dari Iowa, Amerika Syarikat, Dina Manfredini, meninggal pada usia 115 di Johnston, kelmarin.

Datuk Bandar Kyotango, Yasushi Nakayama, mengesahkan status itu dan kemunculan Kimura dianggap sebagai kebanggaan rakyat Jepun.

Kimura, lahir pada 1897, iaitu 15 hari awal daripada Manfredini.

Sementara itu, cucu Manfredini, Lori Logli berkata, kematian neneknya disebabkan demam berpanjangan.

Rekod Dunia Guinness mengesahkan, Manfredini adalah warga tertua selepas Besse Cooper dari Georgia meninggal pada usia 116 tahun. - AP

Lelaki Jepun dinobat manusia paling tua di dunia



TOKYO 18 Dis. - Seorang lelaki dari Kyoto, Jiroemon Kimura berumur 115 tahun dinobatkan sebagai manusia paling tua di dunia, yang masih hidup.
Beliau diiktiraf sebagai manusia paling tua selepas kematian penyandang gelaran itu, Dina Manfredini dari Iowa, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Kimura dilahirkan pada 10 April 1897, 15 hari lebih muda daripada Manfredini yang meninggal dunia dua minggu selepas menerima gelaran tersebut.
Warga emas yang merupakan bekas pekerja pejabat pos itu, mempunyai 14 cucu, 25 cicit dan 13 piut.
Beliau kini tinggal bersama keluarga anak lelakinya.
Keluarga Kimura enggan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menghormati keluarga Manfredini .
Datuk Bandar Kyotango berdekatan Kyoto, Yasushi Nakayama mengesahkan status datuk itu hari ini.
Beliau menggelar Kimura sebagai maruah bandar tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_09/Lelaki-Jepun-dinobat-manusia-paling-tua-di-dunia#ixzz2FThn3lk7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, December 18, 2012

Orang tertua dunia, 115 tahun meninggal dunia



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Tertua mati
Besse Cooper dari Monroe, Georgia, meraikan hari kelahiran ke-116 baru-baru ini. - Foto ihsan CNN
NEW YORK - Dina Manfredini dari Iowa, Amerika Syarikat, yang diisytiharkan sebagai orang tertua di dunia awal bulan ini meninggal dunia semalam, pada usia 115 tahun.

Cucunya, Lori Logli berkata, Manfredini meninggal dunia di pusat penjagaan yang beliau ditempatkan selepas mengalami demam, lapor CNN hari ini.

Dia meninggal dunia ketika tidur.

Menurut rekod Guinness, Manfredini menjadi wanita tertua dunia pada 5 Disember lalu sehari selepas kematian Besse Cooper Georgia yang mati di usia 116 tahun.

Manfredini dilahirkan di Pievepelago, Itali pada 4 April 1897 dan kemudian berpindah ke Des Moines pada tahun 1920 bersama suaminya.

Menurut Guinness, dia pernah bekerja sebagai pekebun dan terus berkerja pada usia 90 tahun dengan mengambil upah membersihkan rumah.

Beliau turut hidup bersendirian sehingga usianya 110 tahun sebelum berpindah ke rumah penjagaan.

Monday, October 29, 2012

Bandar yang dipercayai tertua di Eropah ditemui


GAMBAR yang dirakamkan pada 26 September lalu menunjukkan sebuah penempatan kecil mengandungi dua buah rumah dipercayai lokasi bandar paling tua di Eropah yang terletak berhampiran bandar Provadia.



SOFIA - Beberapa pakar arkeologi menemui lokasi sebuah bandar kecil berhampiran bandar Provadia, timur Bulgaria yang dipercayai paling tua di Eropah.
Bandar tersebut wujud antara 4,700 hingga 4,200 Sebelum Masihi.
Ia terletak di sekitar sebuah kilang garam tertua di Eropah.
Rangka tulang milik seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak turut ditemui di lokasi tersebut.
Penemuan yang dibuat oleh kumpulan ahli arkeologi Bulgaria itu disahkan oleh saintis Jerman, Jepun dan Britain. - Agensi

Saturday, October 15, 2011

Lelaki 100 tahun mahu catat rekod dunia

Kosmo! Online - Dunia:

TORONTO, Kanada - Seorang lelaki, Fauja Singh (gambar) bertekad untuk memecahkan rekod dunia semasa menyertai larian Toronto Waterfront Marathon di sini esok, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, tidak seperti 5,000 peserta lain, Singh tidak berhasrat untuk menjuarai atau mencatat masa peribadi terpantas dalam larian tersebut.
Beliau sebaliknya mahu mencatat rekod dunia sebagai manusia berumur 100 tahun pertama di dunia yang berjaya menamatkan larian marathon.
Larian esok merupakan penyertaan marathon kelapan buat Singh. Pada 2003, dia mencatat rekod dunia kategori individu berusia 90 tahun dan ke atas dalam perlumbaan sama apabila menamatkan larian sejauh 42.1 kilometer itu dalam masa lima jam, 40 minit dan satu saat.
Bagaimanapun, jurulatihnya mengakui larian kali ini agak sukar kerana Singh belum pernah menamatkan sebarang acara marathon sejak lapan tahun dulu.
Pelari warga emas itu mengamalkan petua makan dalam jumlah sedikit untuk mengekalkan staminanya.
"Dia gembira dan tidak sabar mahu menyertai marathon ini," kata jurulatihnya, Harmander Singh.
Singh yang memiliki kewarganegaraan Britain dilahirkan di sebuah ladang di India pada April 1911.
Dia memiliki berat 52.1 kilogram, manakala ketinggiannya adalah 1.72 meter. - Agensi
'via Blog this'

Wednesday, October 12, 2011

Ya'acob dakwa berusia 128 tahun




Ya' acob menunjukkan kad pengenalannya yang tertera tarikh lahir 2 September 1914 namun mendakwa dilahirkan lebih awal sebelum itu sambil diperhatikan isterinya, Che Gayah di Rantau Panjang, Kelantan.


RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dari Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial, dekat sini mendakwa dirinya kini berusia 128 tahun biarpun tarikh lahir pada kad pengenalannya menunjukkan dia dilahirkan pada 2 September 1914.
Ya’acob Idris yang berasal dari Kampung Siram, Jeram Perdah mendakwa dia dilahirkan pada zaman pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang memakai gelaran Sultan Muhammad Ke-II yang memerintah Kelantan dari tahun 1845 hingga 1886.
Menguatkan dakwaannya, Ya’acob memberitahu, ketika zaman tersebut penduduk di kampungnya hanya menggunakan periuk dan belanga yang diperbuat daripada tanah liat untuk kegunaan harian.
“Zaman itu juga belum ada kain kafan. Jadi, kami hanya menggunakan daun pisang dan guni untuk membalut jenazah sebelum dikebumikan. Mancis pun belum ada masa tu, hanya guna minyak dan garam untuk nyalakan api.
“Mata wang ketika itu wang syiling yang berlubang di tengah yang dikenali sebagai wang ‘kenering’. Perkahwinan pertama saya, mas kahwinnya hanya 20 keping wang tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Tuesday, October 11, 2011

Kereta tertua di dunia dilelong AS$4.6 juta





2011/10/11

WASHINGTON: Kereta yang dianggap tertua di dunia yang menggunakan kuasa stim dan masih boleh digunakan, dijual dengan harga AS$4.6 juta (RM14.2 juta) dalam satu lelongan.

Kereta buatan De Dion-Bouton et Trepardoux Dos-a-Dos Steam Runabout atau lebih dikenali sebagai “La Marquise,” yang dikeluarkan di Perancis pada 1884, dijual dua kali ganda daripada harga anggarannya dalam lelongan di Hershey, Pennsylvania, Jumaat lalu.
Syarikat lelongan, RM Auctions memaklumkan kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 61 kilometer sejam dan sejak 127 tahun usianya kereta itu hanya mempunyai empat pemilik saja.
Pemilik terakhirnya ialah seorang pengumpul antik, dari Texas, John O’Quinn yang membeli kereta klasik yang pertama kali menyertai satu perlumbaan kereta pada 1887 dengan harga AS$3.5 juta pada 2007.

Kereta itu juga pernah menyertai perlumbaan antara London ke Brighton.

Bagaimanapun, pemilik terbaru kereta itu tidak didedahkan kali ini.

Media Amerika bagaimanapun mendakwa ada sebuah lagi kereta yang kini terletak dalam Muzium Kereta Nasional Britain, yang turut didakwa sebagak kereta tertua di dunia.
Kereta buatan British itu dikeluarkan pada 1875 oleh Robert Neville Grenville yang hanya mempunyai tiga roda. - AFP 

Wednesday, September 14, 2011

Kembar Siam tertua akan sambut hari jadi ke-50



PASANGAN kembar Siam berlainan jantina, George (kanan) dan Lori Schappell.


PHILADELPHIA, Amerika Syarikat (AS) - Pasangan kembar Siam tertua di dunia, George dan Lori Schappell akan menyambut hari jadi mereka yang ke-50 sekali gus mengetepikan ramalan doktor bahawa mereka tidak akan dapat hidup lama, lapor sebuah akhbar semalam.
Kembar Siam perempuan itu yang bercantum di kepala, menyambut ulang tahun kelahiran mereka pada Ahad ini dengan melancong ke London, Britain.
Walaupun berkongsi kepala, mereka menjalani kehidupan yang berbeza dengan Lori pernah bercinta manakala George pula memutuskan untuk hidup sebagai lelaki.
Lori juga merupakan seorang juara sukan boling manakala George mencari nafkah dengan berkecimpung sebagai penyanyi irama Country.
"Semasa kami lahir, doktor-doktor meramalkan kami tidak akan dapat hidup sehingga berusia 30 tahun tetapi kami membuktikan mereka telah silap," kata Lori.
Berketinggian 1.54 meter, Lori dilahirkan dengan tubuh badan sempurna tetapi George yang memiliki ketinggian cuma 1.3 meter, sukar bergerak kerana mengalami masalah saraf tunjang.
Disebabkan George lumpuh, dia terpaksa duduk di sebuah kerusi roda khas yang ditolak oleh Lori untuk memudahkan mereka bergerak.
"Ramai orang tidak percayakan kami tetapi kami hidup secara normal seperti orang lain," ujar George.
"Kami melancong, mengemas flat kami, malah, Lori pernah mempunyai teman lelaki. Tiada yang dapat menghalang kami daripada melakukan perkara yang kami mahu," tambahnya.
Kata George lagi, Lori hilang dara semasa dia berusia 23 tahun setelah berasmara dengan teman lelakinya yang kedua. - Agensi

Tuesday, September 13, 2011

Wanita tertua Vietnam berusia 118 tahun



HANOI 12 Sept. - Seorang wanita berusia 118 tahun dinamakan sebagai wanita tertua di Vietnam, hari ini dan pihak berkuasa negara ini akan membuat permohonan bagi menamakan warga emas itu sebagai wanita tertua di dunia.
Nguyen Thi Tru yang dilahirkan pada 4 Mei 1893 mempunyai 11 orang anak dan masih boleh berfikir dengan waras, menurut Vietnam Records Book dalam satu kenyataan.
Dia kini tinggal bersama anak lelaki bongsunya yang berusia 69 tahun.
Ketika ditanya mengenai kisah silamnya, dia masih boleh menceritakan peristiwa ketika dia menggali terowong bawah tanah untuk membawa makanan kepada pejuang penentang kolonial Perancis pada awal abad ke-20.
Dia kini dilaporkan makan dua mangkuk nasi sehari dengan sayur-sayuran dari ladangnya serta ikan dari sungai, tetapi tidak memakan makanan yang dicemari bahan kimia.
"Saya tidak ada rahsia untuk hidup lebih lama. Saya hanya mengamalkan gaya hidup menyayangi dan menolong orang lain serta mengelak menimbulkan kemarahan sesiapa sahaja.
"Melakukan kerja amal akan membantu anda berasa tenang dan hidup lebih lama," kata Thi Tru.
Pihak berkuasa Vietnam akan menghantar kes wanita tertua ini kepada Guiness World Book of Records pada Oktober ini untuk diiktiraf sebagai wanita tertua di dunia.
Gelaran wanita tertua di dunia kini dipegang oleh Besse Cooper yang berusia 114 tahun dari Georgia, Amerika Syarikat.
Sementara itu, sepasang lagi kembar rakyat Vietnam Vi Thi Cac dan Vi Thi Dac yang dilahirkan pada 1911, berusia 100 tahun, turut disenaraikan dalam Vietnam Records Book, hari ini sebagai pasangan kembar tertua di Vietnam.
Pasangan kembar tertua di dunia kini ialah Lily Millward dan Ena Pugh yang dilahirkan di Britain pada 1910. - dpa

Thursday, June 23, 2011

Orang paling tua meninggal


Maria Gomes Valentim
Maria Gomes Valentim


SAO PAULO: Seorang wanita Brazil disenaraikan dalam Guinness World Records sebagai orang paling tua di dunia dilaporkan meninggal dunia semalam, beberapa minggu sebelum sambutan ulang tahun hari jadi beliau ke-115. Gelaran itu kini beralih kepada seorang wanita di Amerika Syarikat.

Maria Gomes Valentim mati berikutan masalah beberapa kegagalan organ, kata Helerson Lima seorang jurucakap rumah penjagaan di mana beliau tinggal. Valentim akan berusia 115 pada 9 Julai.
Guinness berkata, melalui laman webnya Valentim, wanita pertama Brazil memegang takhta itu meninggal dunia ketika berusia 114 tahun, 347 hari.
Pada 18 Mei, Guinness mendapati bahawa Valentim adalah 48 hari lebih tua daripada orang yang sebelum ini dinobatkan sebagai orang paling tua di dunia, Besse Cooper dari Monre, Georgia.

“Dengan kematian Maria, takhta Orang Hidup Paling Tua diserahkan semula kepada Besse Cooper, berusia 114 tahun 299 hari,” kata Guinness.

Anak lelaki wanita Georgia itu, Sid Cooper berkata ibunya dalam keadaan baik di Monroe.

“Beliau mengalami kenaikan berat badan, berselera makan,” kata Sid Cooper. “Ingatan beliau masih baik,” katanya. “Beliau mengingati perkara dari masa lalu dan mengenali orang.”

Guinness mengesahkan Valentim dilahirkan pada 9 Julai 1896 di Carangola, negeri timur laut Minas Gerais. Beliau tinggal di sana hampir seluruh hidupnya.

Bulan lalu, Guinness melalui laman webnya berkata, Valentim atau ‘Grandma Quita’ mengamalkan diet sihat, memakan sebuku roti setiap pagi bersama kopi, buah-buahan dan susu. – AP Berita Harian Online | Orang paling tua meninggal

Monday, June 20, 2011

Lelaki 91 tahun jadi penari balet tertua




LONDON - Seorang datuk berusia 91 tahun, John Lowe (gambar) yang pernah berkhidmat sebagai askar Britain di Malaya kini menjadi penari balet yang paling tua di negara ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Lowe mempunyai empat orang anak dan 11 cucu tetapi isterinya, Catherine sudah meninggal dunia 25 tahun lalu.
"Cucu saya suka dengan apa yang saya lakukan ini," katanya.
Namun, kata Lowe, dia dinasihatkan oleh anak-anaknya supaya tidak terlalu aktif dan melarangnya memusingkan badan sehingga 360 darjah.
Lowe belajar tarian balet sejak 11 tahun lalu dan menghadiri kelas tiga kali seminggu.
Dia turut berlatih di rumahnya di Elly, Cambridgeshire.
Namun, dia tetap mengingati kenangan pahitnya semasa ditahan tentera Jepun ketika bertugas di Malaya pada 1942.
Menurutnya, dia ditahan selepas anggota-anggota pasukannya menyerah diri kepada Jepun.
Lowe berkata, dia dihantar ke pusat tahanan tentera Jepun di Changi, Singapura sebelum dihantar ke Taiwan.
Dia kemudian dibebaskan selepas bandar Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh Tentera Berikat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS). - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Monday, February 14, 2011

Tamadun manusia tertua ditemui




MOKHTAR menunjukkan bengkel masyarakat paleolitik tertua yang ditemui di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak semalam.


LENGGONG – Penemuan tapak sebuah bengkel masyarakat paleolitik tertua di dunia di Bukit Bunuh dekat sini bakal mengubah sejarah awal tamadun manusia sebagaimana tercatat dalam buku-buku sejarah.
Penemuan beberapa artifak dipercayai berusia 1.83 juta tahun di kawasan seluas empat kilometer persegi itu menunjukkan masyarakat berkenaan tidak mengamalkan kehidupan berpindah-randah sebagaimana difahami selama ini.
Lebih menakjubkan, penemuan ribuan batu jenis suevite yang berselerakan di kawasan itu menunjukkan kawasan tersebut pernah menerima hentaman tahi bintang jutaan tahun lalu.
Pengarah Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan artifak kapak genggam diperbuat daripada batu yang berusia 1.83 juta tahun merupakan bukti kukuh bahawa manusia zaman tersebut sudah hidup menetap di satu kawasan.
Kosmo! Online - Negara

Friday, February 11, 2011

Wanita tertua di Perlis terus ceria

KANGAR: “Suami pertama tok dulu terpaksa gadai dua petak bendang kira-kira serelung (0.4 hektar) untuk dijadikan wang hantaran perkahwinan kami berjumlah RM120 pada tahun 1920-an. Waktu itu jumlah berkenaan adalah besar,” kata salah seorang penduduk tertua di Perlis, Chah Ismail.
Beliau yang kini berusia kira-kira 107 tahun berkata, suami pertamanya, Arshad Dahaman, menjadikan dua petak sawah dimilikinya sebagai sandaran bagi menjelaskan wang hantaran RM120, manakala RM12 bagi mas kahwin dan tanah berkenaan menjadi hak milik beliau sehingga mereka berpisah kerana tidak sehaluan.

“Hasil perkongsian hidup dengan Arshad, tok dikurniakan tiga anak. Anak sulung (Embun) kini berusia kira-kira 88 tahun dan masih hidup serta menetap dengan tok di rumah pusaka di Kampung Bawah Bukit, Chuping.

“Tok berkahwin ketika berusia 16 tahun, tetapi tidak kekal lama dan berpisah sekitar 1930-an. Selepas bercerai, tok bertemu jodoh dengan Mat Saad (sudah meninggal dunia) dan dikurniakan sembilan anak.

“Mat yang cukup terkenal dengan sikap penyayang meminta tok menyerahkan dua petak sawah yang dijadikan hantaran belanja perkahwinan terdahulu kepada suami pertama tanpa mengenakan bayaran,” katanya ketika ditemui sempena majlis keramaian anjuran keluarga di rumah anak ketujuhnya, Putih Mat, 61, di Bukit Keteri, dekat sini.


100 anak, cucu, cicit dan piut Chah hadir pada majlis itu. Warga emas berkenaan masih terang penglihatan dan dapat mendengar perbualan dengan jelas ketika majlis berkenaan.

Berdasarkan kad pengenalan, Chah berusia 98 tahun dan didaftarkan lahir pada 31 Julai 1913. Bagaimanapun, proses pendaftaran kelahirannya lewat dan dilakukan ketika dia berusia lebih 30 tahun yang ketika itu anak sulungnya berusia awal belasan tahun.

Putih pula berkata, usia ibunya melebihi 100 tahun iaitu sekitar 107 tahun dan mungkin antara penduduk paling tua di Perlis kerana ramai penduduk ketika itu hanya meletakkan anggaran tertentu pada proses kad pengenalan dilakukanmyMetro | Wanita tertua di Perlis terus ceria

Friday, December 31, 2010

Jadi bapa pada usia 94 tahun




RAMAJIT Raghav duduk bersama isteri dan anaknya di sebuah kampung di bandar Kharkhoda, Haryana, India baru-baru ini.


NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 94 tahun, Ramajit Raghav mendakwa menjadi bapa tertua di dunia selepas dia memperoleh seorang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Shakantula pada bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Raghav menetap di kampung Kharkhoda, Haryana yang terletak di utara India.
Dia berkata, anak lelakinya itu merupakan pemberian Tuhan kerana isterinya berumur dalam lingkungan awal 50-an.
Raghav menyimpan hasrat ingin mempunyai lebih ramai anak pada tahun depan.
Dia menjadi seorang ahli gusti semasa muda selain mendakwa masih bertenaga kerana diet yang diamalkannya.
"Diet harian saya ialah tiga liter susu, setengah kilogram badam selain setengah kilogram ghee (mentega)," katanya yang mendakwa berumur 100 tahun tetapi rekod pencen miliknya menunjukkan dia berusia 94 tahun.
Rekod bapa tertua di dunia ialah Nanu Ram dari India apabila dia memperoleh anak yang ke-22 semasa berusia 90 tahun pada 2007. - Agensi, kosmo

Sunday, November 14, 2010

Perarakan kereta tertua di dunia


SALAH sebuah kereta yang beroperasi menggunakan kuasa stim.


LALUAN sekitar Hyde Park di Kota London pada pagi minggu lalu bingit dengan sorakan dan bunyian hon daripada kereta-kereta lama yang mengeluarkan kepulan asap putih.
Kemeriahan pada Sabtu pertama bulan November itu adalah hasil perarakan kereta-kereta klasik yang mengambil bahagian dalam Veteran Car Run dari London ke Brighton.
Acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Automobil Diraja baru-baru ini menghimpunkan lebih daripada 500 buah kereta pelbagai jenama yang dikeluarkan sebelum tahun 1905.
Perarakan sejauh 60 kilometer (km) menuju ke selatan London melalui beberapa kawasan utama iaitu Brixton, Norbury, Croydon, Redhill, Horley, Gatwick dan Crawley sebelum tiba di Brighton.
Di Hyde Park awal pagi itu, perhimpunan jentera-jentera tua seperti mengembalikan kesibukan kota London ke zaman lampau dengan disaksikan oleh ribuan peminat kereta klasik yang datang dari seluruh dunia.
Sebahagian besar daripadanya adalah kereta tanpa bumbung yang bergerak dengan seorang pemandu dan seorang penumpang. Dengan tayar halus yang berlidi seperti basikal, masing-masing bergerak pada kelajuan antara 10 hingga 20 km/j.
Antara yang dipertontonkan adalah jentera keluaran Peugeot, Leon Bollee, Benz, Daimler, Orient Express, Salvesen, Delahaye, Panhard et Levassor, De Dion Bouton, Dechamps dan Locomobile yang sebahagiannya masih menggunakan kuasa stim.
Salah seorang daripada pemilik popular yang mengambil bahagian di dalam acara itu adalah bekas pelumba Formula Satu (F1) Jochen Mass.
Turut tampil pada hari itu adalah kereta Darracq 1904 yang digunakan di dalam pembikinan filem Genevieven pada tahun 1953.
Veteran Car Run dianjurkan sempena meraikan kejayaan manusia mencapai kelajuan 14 batu sejam (22.4 kilometer). Perarakan yang dimulakan sejak 1896 itu kini menjadi acara pemotoran tertua di dunia.
Jurucakap acara berkata, sebanyak 433 daripada 572 kereta yang mengambil bahagian berjaya tiba di garisan penamat di Brighton.
“Kesemua kereta yang digunakan dalam perarakan ini adalah kereta yang sudah berusia lebih 100.
“Ia bukanlah kenderaan terbaik untuk digunakan pada masa sekarang jadi kerosakan adalah perkara biasa bahkan beberapa buah kereta langsung tidak dapat dihidupkan,” ujarnya.
Ujarnya, selain kepulan asap stim yang memutih, suasana dimeriahkan lagi dengan gelagat penonton dan peminat yang berpakaian sezaman dengan kereta-kereta yang dipamerkan.
“Veteran Car Run adalah hari yang menakjubkan. Jumlah penonton yang hadir melebihi sasaran dan kita juga mungkin mencipta rekod,” jelasnya.
Pada penganjuran pertamanya, sebanyak 30 buah kereta dipandu ke sebuah resort di Sussex dengan hanya 14 buah yang berjaya menamatkan perjalanan.
Perarakan seterusnya pada 1927 dianjurkan oleh pengarang pemotoran The Daily Sketch yang berterusan sehingga hari ini. Ia pernah dihentikan pada zaman perang dunia (1947) dan zaman pencatuan petrol di London.

Friday, November 5, 2010

Wanita tertua di dunia meninggal



05/11/2010 2:58am

POINTE-A-PITRE, Perancis 5 Nov. - Seorang wanita tempatan yang dinobatkan sebagai manusia tertua di dunia, Eugenie Blanchard meninggal dunia hari ini pada usia 114 tahun, kata jurucakap pihak berkuasa hari ini.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Saint-Barthelemy yang terletak di sebuah pulau kira-kira 250 kilometer dari utara Guadeloupe pada pukul 3 pagi waktu tempatan (pukul 7 malam semalam waktu Malaysia).
Beliau dilahirkan pada 16 Februari 1896 di Saint-Barthelemy.
Eugenie diiktiraf sebagai manusia tertua di dunia pada 4 Mei lalu selepas kematian penyandangnya ketika itu, iaitu seorang wanita warga Jepun, Kama Chinen yang meninggal dunia pada usia 115 tahun. - AFP

Sunday, October 24, 2010

Pintu tertua di Eropah ditemui




GENEVA - Sepasukan pakar kaji purba menemui sebuah pintu berusia 5,000 tahun, dipercayai yang tertua pernah dijumpai di Eropah di satu tapak kajian di bandar Zurich, Switzerland. 

Ketua pasukan saintis itu, Niels Bleicher berkata, pintu purba yang diperbuat daripada kayu itu adalah 'kukuh dan cantik' dengan engsel yang masih dalam keadaan baik dan mempunyai rekaan 'hebat'. 

"Pintu ini sangat mengagumkan kerana reka bentuknya yang unik membolehkan beberapa lapisan kayu bersambung dengan kukuh," katanya. 

Menurutnya, keadaan cuaca buruk pada zaman itu menyebabkan orang ramai perlu membina rumah kayu kukuh yang dapat menahan tiupan angin kuat dan udara sejuk berhampiran Tasik Zurich. 

"Reka bentuk pintar pintu ini bukan sahaja dapat membantu mengatasi cuaca buruk tetapi ia juga kelihatan cantik," katanya. 

Pintu itu dipercayai dibina pada tahun 3,063 Sebelum Masihi, iaitu tempoh yang sama dengan permulaan pembinaan monumen Stonehenge di Britain.

Friday, July 9, 2010

Manusia tertua di dunia



Posted on the July 9th, 2010 under BeritaLuar NegaraUnik by Syedz
15/7

TBILISI – Pihak berkuasa negara Georgia semalam mendakwa terdapat seorang wanita yang menetap di sebuah kampung terpencil yang kini berusia 130 tahun.
Seorang jurucakap pejabat pendaftaran kebangsaan berkata, wanita itu dikenali sebagai Antisa Khvichava (gambar) dari bahagian barat Georgia dilahirkan pada 8 Julai 1880.
Menurutnya, umur itu menjadikan dia sebagai manusia tertua di dunia yang masih lagi hidup.
Kakitangan-kakitangan pejabat pendaftaran itu mengunjungi Khvichava di kampung Sachire dan mereka ditunjukkan dengan dua dokumen era Soviet yang menyatakan tarikh lahir Antisa.
Wanita tersebut mendakwa bersara sebagai pengutip daun teh dan jagung pada 1965 ketika berusia 85 tahun.
Kumpulan Penyelidik Gerontologi di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa rasmi bagi membuat pengesahan manusia tertua dunia untuk Guinness World Records masih menyenaraikan individu tertua yang masih hidup setakat ini ialah Eugenie Blanchard dari Perancis berusia 114 tahun. – AP
kredit : kosmo.com.my