Pages

Showing posts with label robotik. Show all posts
Showing posts with label robotik. Show all posts

Thursday, September 6, 2012

Wanita lumpuh dari Britain peroleh sut robotik percuma




LOMAS berdiri dengan menggunakan sut robotik di Trafalgar Square, London, pada 24 Ogos lalu.


LONDON - Seorang wanita lumpuh dari paras dada merupakan orang yang pertama membawa pulang sebuah rangka robotik yang dipakainya untuk membantu dia berjalan.
Wanita Britain itu, Claire Lomas lumpuh dalam satu kemalangan semasa menunggang kuda.
Rangka robotik itu telah digunakan di beberapa buah hospital dan pusat pemulihan tetapi Lomas merupakan orang pertama yang membawa pulang sut bionik berkenaan untuk kegunaan harian.
Dikenali sebagai ReWalk, sut tersebut dianggarkan berharga £45,000 (RM140,000).
Sut itu dihasilkan oleh syarikat Argo Medical Technologies.
Lomas pernah menggunakan sut tersebut awal tahun ini untuk menamatkan larian Marathon London dalam masa 17 hari.
Dia menyertai larian tersebut untuk mengumpul dana £200,000 (RM622,400) bagi tujuan penyelidikan kerosakan tulang belakang.
Wanita itu diberi penghormatan untuk menyalakan obor Sukan Paralimpik di sini baru-baru ini.
Lomas yang sudah berkahwin mempunyai seorang anak. - Reuters

Wednesday, October 12, 2011

Lelaki lumpuh guna tangan robotik




TIM HEMMES (kanan) menggunakan tangan robotik dalam ujian yang diadakan di Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh di Pittsburgh pada 21 September lalu. - AP


PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki lumpuh dapat kembali memberikan sentuhan dan menyuap makanan sendiri dengan menggunakan sebuah tangan robotik kawalan minda yang dipasang pada kerusi rodanya.
Kehilangan fungsi tangan dan kaki dalam satu kemalangan motosikal sejak tujuh tahun lalu, lelaki berkenaan Tim Hemmes, 30, merupakan antara segelintir individu yang berpeluang menggunakan tangan bionik itu selama sebulan.
Tangan canggih itu dibina oleh beberapa penyelidik Universiti Pittsburgh, negeri Pennsylvania untuk satu eksperimen perintis dikenali sebagai Braingate.
Dilengkapi jari bersendi yang berfungsi seperti jari manusia, tangan robotik itu disambungkan pada cip yang ditanam di dalam otak manusia.
Cip berkenaan berfungsi untuk menukarkan isyarat-isyarat elektrik yang dikeluarkan oleh otak kepada gerakan motor.
"Sungguh hebat, saya melakukannya (menggerakkan barang) dengan menggunakan kuasa minda. Sukar bagi saya untuk menceritakan apa yang saya rasakan sekarang ini," katanya. - AP