Pages

Showing posts with label gergasi. Show all posts
Showing posts with label gergasi. Show all posts

Sunday, February 17, 2013

Kipas angin gergasi di Kota Tinggi



Kipas paling besar
Kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di Kota Tinggi, malah di Malaysia
Kipas paling besar
Seorang kanak kanak teruja melihat kipas angin di Masjid Jamek Kota Tinggi.
KOTA TINGGI – Masjid Jamek Kota Tinggi, di sini, melakar sejarahnya tersendiri apabila memiliki sebuah kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di daerah ini, malah di Malaysia.

Ketua unit masjid berkenaan, Azizul Fahmi Salleh berkata, kipas dengan panjang bilahnya yang berukuran 7.2 meter itu dipasang hasil sumbangan daripada sebuah syarikat persendirian dan tabung masjid.

Menurutnya, dengan kos kira kira RM55,000, kipas yang mempunyai 15 kali ganda kuasa berbanding kipas angin biasa itu mampu memberikan keselesaan buat jemaah dan secara tidak langsung menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

“Alhamdulillah dengan dana yang berjaya dikumpul dalam masa sebulan, kipas itu mula dipasang pada hujung tahun lalu iaitu bulan Disember.

“Ia digunakan setiap kali waktu solat dan ketika adanya majlis yang diadakan di masjid ini. Malah kipas yang lain juga tidak perlu digunakan sewaktu kipas tersebut dihidupkan.

“Bagaimanapun, dalam masjid tersebut juga masih terdapat kira kira 10 kipas biasa yang ada sekitar masjid untuk kemudahan jemaah yang  hadir terutamanya bagi mereka yang hendak bersolat berseorangan,” katanya.

Azizul Fahmi berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi yang positif daripada jemaah dan ada yang menyatakan keterujaan ketika melihat kipas berkenaan.

Menurutnya, sekiranya ada rezeki, sebuah lagi kipas yang sama akan dipasang di bahagian belakang untuk memberikan keselesaan kepada jemaah.

Sementara itu, penderma daripada syarikat persendirian itu yang enggan dikenali berkata, kipas seumpama itu hanya boleh didapati di Turki dan Amerika Syarikat sahaja.

Beliau yang juga merupakan pemegang tunggal bagi syarikat kipas angin berkenaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei berkata, kipas sama juga digunakan di masjid di Singapura, namun ukuran bilahnya hanya sepanjang 6 meter (20 kaki) sahaja.

“Melihat Masjid Jamek Kota Tinggi yang mempunyai kelebaran yang besar, kita memilih untuk memasang kipas berukuran 24 kaki (7.2 meter) ini yang hanya diperoleh dari Turki.

“Difahamkan, setakat ini ia kipas paling besar di Malaysia dan Singapura. Malah untuk masjid ini, dengan pemasangan dua buah kipas bersaiz yang sama juga sudah memadai dan memberi cukup keselesaan buat jemaah,” katanya.

Friday, January 25, 2013

Katak gergasi

Foto
LOW menunjukkan katak diperoleh
dari hutan Gerik, baru-baru ini.
Sungai Siput: Orang ramai sekitar daerah ini gempar apabila seorang ahli perniagaan mempamerkan dua ekor katak gergasi seberat hampir 2 kilogram (kg) setiap seekor yang didakwa ditangkap sekitar kawasan hutan di Gerik, Perak.
Katak besar dipercayai spesis Lithobates Catesbeianus yang didakwa terbesar dan terberat di Malaysia setakat ini, memeranjatkan orang ramai berikutan turut mempunyai saiz panjang melebihi 40 sentimeter .

Katak berwarna hijau itu ditawarkan kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya pada harga RM130 sekilogram.
Ahli perniagaan berkenaan, Low Yin See, 45, berkata, dia memperoleh dua ekor katak gergasi itu daripada lelaki Orang Asli yang berjaya menangkapnya berhampiran sebuah sungai di Gerik minggu lalu.

Menurutnya, katak berkenaan adalah spesis katak paling besar yang pernah ditemuinya sejak menjadi peniaga haiwan eksotik di Pasar Jalong, di sini, lebih 10 tahun lalu.

“Biasanya saiz katak yang dibekalkan kepada saya hanyalah sekitar 100 gram hingga 200 gram seekor. Namun, katak gergasi ini mencecah berat hampir 1.8 kg.

“Berat katak ini amat luar biasa dan sukar dipercayai. Ramai yang teruja dan ragu-ragu namun akhirnya percaya selepas mendapati katak berkenaan bergerak-gerak,” katanya.

Dia mendakwa katak itu yang hidup di tebing sungai dengan memakan ikan dan udang hanya aktif pada waktu malam saja.
“Katak ini biasanya boleh ditemui pada bulan Disember dan Januari,” katanya ketika ditemui.

Wednesday, January 16, 2013

Wanita gergasi meninggal dunia

5

Lansing (Michigan): Seorang wanita yang mengalami penyakit ganjil yang menyebabkan dia membesar luar biasa, meninggal dunia pada usia 34 tahun, lapor media semalam.

Tanya Angus, dari Las Vegas, menghabiskan masa sejak 12 tahun lalu untuk mencari penawar kepada masalah badannya yang tidak berhenti membesar.


Ketika berusia 21 tahun, Tanya cuma setinggi 1.76 meter dan beratnya 59 kilogram. Dalam keadaan begitu, Tanya mampu menunggang kuda, belajar menari dan memiliki teman lelaki.

Namun, kewujudan tumor di sekeliling kelenjar pituitari di otak wanita itu menyebabkan hormon tumbesarannya terus dihasilkan secara besar-besaran.



Kes Tanya dianggap paling ekstrem berlaku setakat ini apabila tubuhnya membesar sehingga 2.1 meter dan seberat lebih 181 kilogram. Dia dipecat daripada tugasnya sebagai penyelia di pasar raya Walmart di Michigan apabila masalah badannya menjadi semakin serius. Tanya juga ditinggalkan kekasih apabila dia disalah anggap sebagai lelaki oleh keluarga teman lelakinya. Namun, Tanya tidak pernah berputus asa mencari penawar. Ogos tahun lalu, doktor mendapati hormon tumbesarannya mula menurun menjadi normal untuk kali pertama. Dia juga pernah menjalani tiga pembedahan untuk membuang tumor berkenaan, tetapi gagal kerana badannya masih kekal membsar. - DM

Tuesday, January 8, 2013

Imej sotong gergasi yang dirakam di Lautan Pasifik didedahkan saintis




IMEJ yang disiarkan pihak stesen televisyen NHK dan Discovery Channel semalam menunjukkan sotong gergasi di dalam laut dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun.


TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.
Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.
Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.
Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.
Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.
Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.
"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.
Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2HKpmlhr8 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, December 19, 2012

Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya



Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya
Azhan memegang dua daun getah bersaiz gergasi yang dibandingkan dengan daun getah bersaiz normal, semalam.
KOTA BHARU - Seorang guru terkejut apabila mendapati pokok getah liar di hadapan rumahnya berusia antara tiga hingga empat tahun menghasilkan daun getah bersaiz gergasi.

Azhan Ismail, 43, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising, Pasir Puteh berkata, pada petang daun getah yang ditemui dalam semak di luar pagar rumah berlainan dari daun yang gugur sebelumnya kerana saiznya yang luar biasa.

“Terkejut melihat saiznya, saya segera berlari ke dalam rumah mencari pita pengukur untuk mengambil ukuran daun terbabit dan salah satunya bersaiz 52 sentimeter (cm) panjang dan 20 cm lebar.

“Manakala sehelai lagi berukuran 48.5 sentimeter panjang dan 18.5 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Azhan berkata, pada lazimnya, daun getah bersaiz biasa adalah bersaiz sekitar 20 sentimeter panjang dan 8 sentimeter lebar sahaja.

Apa yang lebih menarik, kata Azhan, daun getah berwarna hijau kekuningan yang ditemuinya itu dan kini disimpan dalam kotak, masih lagi dalam keadaan yang sama ketika ditemuinya pada 7 Disember lalu.

Azhan menjelaskan, kawasan semak di hadapan rumahnya itu dahulunya adalah bekas kebun getah dan sawit yang telah ditinggalkan justeru beliau berpendapat faktor kesuburan tanah mungkin menyebabkan pokok getah yang belum mencapai usia matang tersebut mampu menghasilkan daun bersaiz luar biasa.

“Sebelum ini penduduk kampung yang membuat makanan tradisional tapai suka mengambil daun getah daripada pokok hadapan rumah saya kerana kata mereka saiznya besar sedikit daripada saiz biasa jadi lebih mudah untuk membungkus.

“Namun saya tidak sangka, pokok itu boleh menghasilkan daun yang lebih besar dan ramai kawan-kawan yang datang memeriksa daun ini juga mengatakan mereka tidak pernah melihat daun sebesar ini dalam hidup mereka, bagi saya inilah antara contoh kebesaran ciptaan ALLAH SWT,” katanya.

Tuesday, December 18, 2012

Patung gergasi dipamerkan




RATUSAN orang tunduk di depan patung Il-sung (kiri) dan Jong-il di Bukit Mansu, Pyongyang semalam.


SEOUL - Ratusan orang tunduk di depan dua patung bekas pemimpin komunis Korea Utara di Bukit Mansu, Pyongyang semalam.
Patung gergasi Kim Il-sung yang merupakan pemimpin komunis pertama negara ini berada di sebelah patung anaknya, Kim Jong-il.
Jong-il yang merupakan pemimpin kedua komunis Korea Utara meninggal dunia pada 17 Disember 2011 kerana sakit jantung.
Beliau kemudian digantikan oleh Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an.
Sementara itu, isteri Jong-un muncul dalam siaran televisyen negara berkenaan semalam dengan kelihatan sedang mengandung.
Keadaan dirinya meningkatkan jangkaan bahawa dinasti keluarga Kim yang memerintah Korea Utara akan mendapat zuriat baharu.
Isteri Jong-un, Ri Sol-ju kelihatan berdiri di sini suaminya dalam upacara memperingati setahun kematian bapa Jong-il.
Pada majlis bagi memperingati kematian Jong-il, bangunan makamnya dibuka selepas kerja-kerja baik pulih dilakukan.
Mayat Jong-il yang diawet itu selepas setahun kematiannya turut dipamerkan kepada orang ramai.
Bangunan tersebut dikenali sebagai Istana Matahari Kumsusan Palace di Pyongyang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2FLjzleiN 
Hakcipta terpelihara 

Monday, October 22, 2012

Pelukis AS ambil 1,200 jam hasil lukisan gergasi


MICHIGAN 21 Okt. - Seorang pelukis Amerika Syarikat mengambil masa selama 1,200 jam dan menggunakan lebih 100 batang pensil untuk menghasilkan sebuah lukisan besar yang dipamerkan pada pertandingan seni ArtPrize 2012 di sini, baru-baru ini.
Chris LaPorte dari Michigan menghasilkan lukisan yang mempunyai ukuran lebar 3.9 meter dan panjang 7.9 meter pada pameran seni antarabangsa yang diadakan di Muzium Seni Grand Rapids, di sini pada awal bulan ini.
LaPorte menggunakan gambar datuknya bersama sekumpulan ahli pancaragam sekolah tinggi untuk menghasilkan lukisan kabur yang digelar sebagai City Band.
Katanya, dia mendapat inspirasi tersebut selepas menemui gambar yang berusia 80 tahun berkenaan di bilik bawah tanah rumah ibunya.
“Gambar itu merupakan gambar datuk saya bersama ahli kumpulan pancaragam sekolahnya.
“Gambar tersebut telah rosak dan kabur seperti tidak wujud, mengingatkan kenangan saya bersamanya," katanya.
LaPorte yang bekerja sebagai seorang pelukis lakaran kartun berkata, dia telah menghasilkan 100,000 potret manusia.
Katanya, dia belajar daripada keadaan persekitaran untuk mengetahui tindak balas muka orang lain.
“Menghasilkan lukisan merupakan perkara yang hebat tidak kira berapa usia dan latar belakang anda.
“Perniagaan karikatur dan potret berjaya menampung kos pelajaran, perjalanan dan studio seni saya," jelasnya.
Lukisan City Band mendapat tempat ke-10 pada pertandingan ArtPrize awal bulan ini dan LaPorte pernah mendapat tempat pertama melalui satu lagi lukisan gergasi baru-baru ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_08/Pelukis-AS-ambil-1200-jam-hasil-lukisan-gergasi#ixzz2A2PbpO00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, October 2, 2012

Troli gergasi 290 kuasa kuda dihasilkan



Troli gergasi Shopper Chopper perlu diangkut menggunakan trak dan ia sering digunakan untuk tujuan promosi. - Agensi
PENNSYLVANIA 1 Okt. - Seorang peminat kereta, menghasilkan sebuah troli gergasi beli-belah terpantas di dunia dengan menggunakan enjin 290 kuasa kuda.
Cal VanSant, 49, menghabiskan masa selama dua tahun dan memperuntukkan sebanyak 10,000 pound (RM50,000) bagi membina 'Shopper Chopper' yang mempunyai ketinggian 2.7 meter.
Peralatan itu mampu memuatkan enam orang dan bergerak menggunakan kuasa enjin Chevrolet V8 5.8 liter, yang biasa digunakan untuk kereta lasak.
VanSant membina troli tersebut selepas diminta menantu lelakinya, Brent Musser, namun kini alat tersebut sering disewa untuk tujuan promosi.
Menurutnya, keluarga menantunya memiliki kedai runcit dan setiap tahun mereka akan menggunakan kenderaan yang pelik ketika terlibat dengan perarakan yang dianjurkan di kawasan tersebut.
"Pernah sekali mereka menunggang motosikal mini, tahun berikutnya motosikal mini empat roda dan dua tahun lalu, mereka mahukan sesuatu yang baru.
"Akhirnya mereka datang dengan idea troli gergasi ini dan meminta saya menghasilkannya," kata VanSant, yang memiliki kemahiran dalam bidang kejuruteraan.
Kelajuan paling tinggi yang mampu dicapai oleh troli tersebut belum diuji, namun kenderaan yang mempunyai kuasa yang sama mampu memecut hingga kelajuan sekitar 209 kilometer sejam.
Dia yang tinggal di Lancaster, di sini, berharap untuk mencipta rekod baru troli beli-belah paling laju di dunia.
"Saya mendapat inspirasi daripada rancangan Top Gear. Saya selalu kagum dengan peralatan aneh yang direka dalam rancangan tersebut," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_05/Troli-gergasi-290-kuasa-kuda-dihasilkan#ixzz289YpogXC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, August 13, 2012

Kapal persiaran gergasi keluar dermaga




BEBERAPA orang menyaksikan kapal Celebrity Reflection di dermaga Meyer di Papenburg, Jerman semalam.


PAPENBURG, Jerman - Sebuah kapal persiaran gergasi, Celebrity Reflection ditunda sebuah bot ketika ia meninggalkan dermaga Meyer di sini semalam.
Kapal sepanjang 319 meter dan dibina untuk syarikat perkapalan Amerika Syarikat, Celebrity Cruise itu mempunyai bilik untuk 3,000 penumpang.
Kos untuk membina kapal itu dianggarkan AS$750 juta (RM2.3 bilion).
Kapal itu akan memulakan pelayaran dari Amsterdam ke Barcelona pada 9 Oktober depan. - Agensi

Friday, February 24, 2012

Nelayan tangkap udang karang gergasi


AIMEE HAYDEN-Rodriques memegang udang karang gergasi yang ditangkap oleh Robert Malone pada 17 Februari lalu.


ROCKLAND, Amerika Syarikat - Seekor udang karang gergasi telah ditangkap di luar perairan pantai Maine dekat sini tetapi ia tidak akan dimasak untuk dijadikan makanan.
Pengarah Akuarium Negeri Maine, Aimee Hayden-Rodriques menyatakan seorang nelayan yang menangkap udang, Robert Malone menangkap udang karang gergasi itu pada Jumaat lalu.
Dia kemudian memberikan udang itu kepada Jabatan Sumber Marin untuk dihantar ke Akuarium Negeri Maine.
Udang karang itu sepanjang hampir 101.6 sentimeter dan seberat 12.3 kilogram.
Haiwan itu diberi nama Rocky kerana ia ditangkap di kawasan berbatu.
Namun, menurut Hayden-Rodriques, udang karang tersebut perlu diberi nama petinju Rocky kerana penyepitnya yang besar mencukupi untuk memberikan pukulan.
Dia berkata, udang karang itu akan dilepaskan ke lautan kerana ia akan menjalani kehidupan yang lebih baik dalam habitat liar. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Monday, December 12, 2011

'Pokok pisang bersaiz gergasi

Pokok pisang bersaiz gergasi - Utara - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
pisang-gergasi
KUALA KETIL - Seorang pekebun di Kampung Belakang Malayawat dekat sini memiliki pokok pisang yang mencatat ketinggian luar biasa sehingga ada yang mencecah 10 meter.

Abu Hassan Jaafar, 56, berkata, pokok pisang yang ditanam 25 tahun lalu turut menghasilkan buah yang lebih besar iaitu mencecah sehingga 35 kilogram setandan.

Menurutnya, antara pokok pisang yang ditanamnya adalah jenis awak, emas dan nangka.

“Walaupun saya hanya menggunakan baja pokok, pokok pisang ini membesar dengan sempurna. Saiz batang pisang ini juga menyamai sebuah batang balak muda.

“Seorang peniaga goreng pisang pernah memberitahu saya dia boleh membelah sebiji buah pisang kepada lima. Ramai yang bertanya mengenai rahsia tanaman pisang ini, namun, saya tidak mempunyai sebarang rahsia kerana benih pisang dan cara penanamannya adalah biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, saiz pokok pisangnya yang besar ini kemungkinan disebabkan tanah kebunnya yang merupakan bekas tempat pembuatan arang.

“Pada 1969, kawasan ini merupakan kawasan pembuatan arang, jadi tanah ini sesuai untuk bertani.

“Bukan sekadar pisang, tetapi pokok lain antara pokok keladi telur turut mempunyai saiz yang besar berbanding keladi biasa,” katanya.

Menurutnya, walaupun pisangnya mendapat sambutan menggalakkan, dia tidak menjadikan tanaman pisang sebagai pekerjaan utamanya.

“Tanaman pisang ini adalah kerja sambilan saya. Saya mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“Sebagai pemimpin kampung, saya perlu mengutamakan keperluan masyarakat kampung,” katanya.

Abu Hassan berkata, kemungkinan dia akan memfokuskan kepada tanaman pisang ini selepas bersara sebagai seorang pemimpin.

“Sekiranya saya tidak mempunyai komitmen lain, saya akan memberikan fokus kepada tanaman pisang ini.

“Kemungkinan, saya akan mengeluarkan produk yang berasaskan pisang kerana itulah idaman saya dalam dunia pertanian ini,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat kepada pekebun baru yang ingin berkecimpung dalam tanaman pisang ini, Abu Hassan berkata, komunikasi dan hubungan pekebun dengan pegawai pertanian haruslah baik.

“Kita perlu rajin bertanya kepada pegawai pertanian kerana mereka turut mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang bertani.

“Sekiranya kita mengikut nasihat selain pengalaman, kita akan berjaya dalam bidang pertanian,” katanya.

Thursday, November 3, 2011

Jual seekor ikan kerapu dapat untung RM16,000




SEORANG lelaki memegang ikan kerapu seberat 200 kilogram yang ditangkap di perairan Miri, Sarawak semalam.


IKAN GERGASI. Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM16,000 selepas kejayaan menangkap seekor kerapu gergasi semalam.
Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu dipercayai ditangkap menggunakan pukat kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Miri, Sarawak.
Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemilik restoran yang membelinya pada harga RM16,000.
Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.

Monday, September 19, 2011

Ahli biologi tangkap ular gergasi




NIALL MCCANN (kanan) bergambar dengan seekor ular sawa gergasi yang ditangkapnya di tebing Sungai Rewa, Guyana baru-baru ini.


GEORGETOWN - Seorang pengembara, Niall McCann berjaya menangkap seekor ular sawa gergasi sepanjang 5.48 meter dan seberat 100 kilogram di sebuah hutan di Guyana, lapor sebuah akhbar semalam.
McCann yang merupakan seorang ahli biologi dari Cardiff, Britain yang berusia 29 tahun menemui ular tersebut di tebing Sungai Rewa.
Dia menangkap ular tersebut bersama sekumpulan pasukannya yang terdiri daripada penduduk tempatan. - Agensi

Wednesday, September 7, 2011

Pekebun sayur tuai tanaman gergasi




RUMAH kaca milik Joe Atherton di Mansfield Woodhouse, Nottinghamshire.


LONDON – Seorang pekebun, Joe Atherton menanam sayuran-sayuran gergasi di rumah kaca miliknya di Mansfield Woodhouse, Nottinghamshire dengan harapan dia dapat memecahkan rekod dunia tanaman yang bersaiz luar biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
“Anda tidak tahu apa yang akan anda temui setiap kali anda menggali hasil tanaman anda,” katanya.
Atherton, 56, merupakan pemegang rekod dunia lobak merah terpanjang berukuran 5.84 meter yang ditanamnya pada tahun 2007.
Pada tahun 2001 pula, bapa kepada dua anak itu memegang buat seketika rekod dunia daun bawang kucai paling berat dengan tanaman gergasi seberat 6.6 kilogram.
“Pada tahun berikutnya, pekebun lain memperoleh hasil yang lebih besar dan sejak itu, saya gagal mengatasi rekodnya,” ujar Atherton.
Kebanyakan sayuran gergasi yang ditanam olehnya dipamerkan kepada orang ramai dalam Pertunjukan Perkebunan Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun di Bath, barat daya negeri England. – Agensi

Tuesday, September 6, 2011

Penduduk kampungtangkap buaya gergasi


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde mengukur buaya gergasi yang ditangkap hidup-hidup di Bunawan, Filipina.


MANILA - Sekumpulan penduduk kampung dan beberapa pakar menangkap seekor buaya gergasi air masin seberat satu tan pada lewat Sabtu lalu yang akan dijadikan daya tarikan sebuah taman ekopelancongan di sebuah bandar di selatan Filipina.
Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde semalam memberitahu, puluhan penduduk kampung dan pakar menangkap buaya jantan sepanjang 6.4 meter itu di sebuah teluk di bandar Bunawan, wilayah Agusan del Sur selepas pemburuan selama tiga minggu.
Ia merupakan antara buaya terbesar pernah ditangkap hidup-hidup di Filipina sejak beberapa tahun lalu.
Elorde berkata, buaya berkenaan membaham seekor kerbau dalam serangan yang disaksikan oleh beberapa penduduk kampung pada bulan lepas.
Reptilia itu juga dipercayai menyerang seorang nelayan yang didapati hilang sejak Julai lalu.
Beliau memberitahu, meletakkan buaya gergasi di sebuah taman pelancongan akan mengubah haiwan itu daripada ancaman kepada satu aset. - AP, kosmo

Saturday, July 23, 2011

Menyelam dekat mulut ikan yu gergasi




SEORANG penyelam berada dekat mulut seekor ikan yu gergasi di luar pantai Isla Mujeres, Mexico baru-baru ini.


BANDAR RAYA MEXICO - Seorang penyelam bertindak berani dengan menyelam dekat mulut seekor ikan yu gergasi di luar perairan Isla Mujeres, di Mexico, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej penyelam itu dirakamkan oleh seorang jurugambar, Mauricio Handler.
Handler menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk merakamkan gambar yang menakjubkan di dasar laut.
Ikan yu gergasi mempunyai mulut selebar 1.5 meter dan 350 barisan gigi.
Panjang haiwan itu boleh mencecah lebih 12.65 meter manakala beratnya lebih 21.5 tan.
Namun, ia tidak berbahaya kepada manusia. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Saturday, June 11, 2011

Dapat ikan air tawar gergasi



DAVID KENT (kiri) bergambar bersama seekor ikan air tawar gergasi yang berjaya ditangkapnya di sebuah tasik di Krabi, Thailand baru-baru ini.


TENBY, Wales - Seorang penduduk Wales, David Kent menggunakan jagung manis sebagai umpan untuk menangkap seekor ikan air tawar gergasi dengan berat lebih lebih 118 kilogram (kg) di sebuah tasik di Krabi, Thailand, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kent, 54, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Britain menghabiskan masa selama sejam untuk menaikkan ikan sepanjang dua meter itu.
Dua lelaki membantu dia memegang ikan tersebut yang 32kg lebih berat daripada rekod sebelum ini.
Dia menangkap ikan itu semasa bercuti di Krabi bersama dengan isterinya.
Kent berkata: "Ikan itu mungkin terlalu lapar kerana ia memakan secebis kecil jagung (yang dijadikan umpan)."
Ikan itu kemudian dilepaskan ke dalam tasik selepas gambar haiwan itu dirakamkan sebagai bukti penangkapan.
Kent dan isterinya kemudian memeriksa rekod tangkapan air tawar dan mendapati rekod terdahulu hanya seberat 86.18kg. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Monday, May 30, 2011

Ulat bulu gergasi serang kampung


Hasil tanaman, rumah penduduk musnah


JAKARTA: Penduduk kampung di rantau antara Yogyakarta dan Jawa Timur dilaporkan diserang ulat bulu bersaiz luar biasa.

Seorang penduduk di perkampungan Sambirejo, daerah Gunung Kidul, Surono, memberitahu Jakarta Globe ulat bulu yang luar biasa besarnya itu dipenuhi bulu panjang yang menyebabkan ia kelihatan sebesar penumbuk kanak-kanak, mula muncul 10 hari lalu.
“Penduduk kampung takut kerana ulat bulu ini kelihatan amat luar biasa. “Ia lebih besar berbanding ulat bulu biasa, namun bulunya amat tebal menjadikannya kelihatan bersaiz amat besar,” katanya.

Surono berkata, ulat bulu itu pada mulanya hanya menyerang ladang berdekatan, namun sejak beberapa hari lalu ia memusnahkan pokok dan menyerang rumah penduduk kampung.

Pegawai kawalan serangga perosak, berkata beliau mencadangkan racun digunakan untuk membunuh ulat bulu terbabit, namun penduduk kampung menolak kerana bimbang merosakkan tanaman mereka.

“Ulat bulu ini juga tidak mati dengan mudah selepas disembur,” katanya.
Surono berkata, penduduk kampung sebaliknya membunuh ulat bulu itumenggunakan tangan, menggegarkan dahan pokok yang terjejas dan membakarnya. “Ia hampir terkawal sekarang,” katanya.

Laman web rasmi pentadbiran daerah berkata wabak sama sebelum ini menyerang sebuah perkampungan di Ngeposari, tenggara Yogyakarta.

Seorang pegawai dari Agensi Perhutanan dan Pertanian Wilayah, Sugeng Widodo, berkata beliau mengumpul spesimen untuk menjalankan penyelidikan makmal namun masih belum mendapatkan sebarang maklumat berhubung makhluk luar biasa itu.

Sejak Mac lalu, berjuta ulat berbulu tebal menyerang lima daerah kecil di Probolinggo di pantai utara Jawa Timur, menyerang tanaman dan rumah.

Selain merosakkan rumah, ulat bulu terbabit turut memusnahkan lebih 8,800 pokok mangga, yang juga produk pertanian utama daerah itu. – Agensi
Berita Harian Online | Ulat bulu gergasi serang kampung

Thursday, March 31, 2011

Kanak-kanak tiga tahun seberat 62kg


Lu Hao yang baru berusia 3 tahun bermain bola di kawasan rumahnya di Foshan, Guangdong di China. - REUTERS

BEIJING 30 Mac - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di China menggemparkan laman Internet minggu lalu apabila mempunyai berat 62 kilogram.
Lu Hao dikatakan boleh memakan tiga mangkuk besar nasi sekali hidangan dan akan mengamuk selagi tidak kenyang.
The Sun melaporkan, ibu bapa kepada kanak-kanak itu, Lu Yuncheng dan Chen Huan bimbang dengan pembesaran melampau anak mereka itu dan cuba mengurangkan makanannya, tetapi tidak berjaya kerana Lu Hao akan menangis tanpa henti.
Mereka juga telah cuba menggalakkannya berdiet tetapi turut gagal.
Lu Hao dilaporkan mengalami peningkatan lebih 9 kilogram tahun lalu.
Menurut Lu Yuncheng, anaknya itu hanya seberat 2.5 kilogram ketika dilahirkan, tetapi kini berat badannya lima kali lebih berat dari kanak-kanak seusianya. - AGENSI

Tuesday, March 22, 2011

Bayi perempuan gergasi Britain



LIBBY (kanan) bersama sepupunya, (Thomas) dipangku nenek mereka.


WIGAN, Britain - Seorang wanita, Gemma Woods, 28, melahirkan bayi perempuan terbesar di Britain seberat 5.6 kilogram (kg), dua kali ganda berat bayi normal pada Oktober lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun saiznya besar, bayi yang bernama Libby itu dilahirkan secara normal dengan proses bersalin pendek iaitu selama enam jam di sini baru-baru ini.
"Saya seperti tidak percaya apabila bidan memberitahu berat Libby, bunyinya seperti mendengar berat sesuatu barang," kata Gemma.
Sepupu Libby, seorang bayi lelaki bernama Thomas yang lahir tiga minggu lebih awal hanya mempunyai berat 3kg.
Bayi paling berat di dunia setakat ini dilahirkan di Aversa, Itali pada September 1955 yang mempunyai berat mencecah 10.17kg. - Agensi
-bharian