Pages

Showing posts with label mekah. Show all posts
Showing posts with label mekah. Show all posts

Saturday, July 7, 2012

Tujuh Nama Lain Mekah Dalam Al Quran

Tujuh Nama Lain Mekah Dalam Al Quran:
Mekah al-Mukarammah merupakan kota tertua dunia dan tempat permulaan Islam. Allah SWT menyebut dalam Al Quran tentang Mekah. Terdapat tujuh nama lain Mekah dalam Al Quran.

1. Makkah, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan Dia­lah yang mencegah tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan mencegah tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Makkah. Setelah Allah memenangkan kamu atas mereka.” (Al-Fath [48]: 24).

2. Bakkah, Allah SWT berfirman, “Sesung­guhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah di Bakkah, yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.” (Ali Imran [3]: 96).

3. Umm Al-Qura, firman Allah SWT, “Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. Orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat tentu beriman kepadanya (Al Quran) dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.” (Al-An‘am [6]: 92).

4. Al-Balad, seperti firman Allah SWT, “Aku bersumpah dengan negeri ini (al-balad. Makkah) dan engkau (Muhammad) bertempat di negeri ini (al-balad. Makkah).” (Al-Balad [90]: 1-2).

5. Al-Baldah, sebagaimana tersurat dalam firman Allah SWT, “Aku (Mu­hammad) hanya diperintahkan menyembah Tuhan negeri ini (al-baldah, Makkah) yang telah Dia sucikan.” (Al-Naml [27]: 91).

6. Al-Balad Al-Amin, Allah SWT berfirman, “Demi buah Tin dan buah Zaitun, demi gunung Sinai, dan demi negeri yang aman ini (al-Balad al-Amin, Makkah).” (Al-Tin [95]: 1-3).

7. Al-Balad Al Aminin, sebagaimana tersurat dalam firman Allah Swt, “Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri (Makkah) ini negeri yang aman (al-Balad al-Aminin).” (Al-Baqarah [2]: 126).

Sumber :www.republika.co.id/

'via Blog this'

Thursday, January 19, 2012

5,000 bungkusan makanan diagih di Makkah, Masjidil Haram setiap hari

JEDDAH: Persatuan Kebajikan Takaful dan Ihsan mula mengagihkan kira-kira 5,000 bungkusan makanan setiap hari kepada golongan fakir miskin di Makkah, jemaah dan pengunjung Masjidil Haram.
“Kerja kebajikan ini akan berterusan sepanjang tahun,” kata pengerusi persatuan itu, Sulaiman Awwad al-Zaidi kepada Arab News. Menurutnya, makanan segar itu dipastikan dibungkus bersih sebelum diagihkan.

“Melalui projek ini, persatuan bertujuan memenuhi keperluan fakir miskin, mencegah mereka daripada mengemis,” katanya.

Sulaiman meminta semua lapisan masyarakat termasuk ahli perniagaan dan indvidu supaya bekerjasama dalam projek kemanusiaan ini.

Projek itu bermula beberapa hari lalu dan makanan diagihkan kepada fakir miskin di pelbagai daerah di Makkah dan juga pengunjung Masjidil Haram. “Jemaah umrah dan haji serta pengunjung Masjidil Haram akan mendapat faedah daripada skim ini yang akan dilaksanakan di bawah rancangan pemakanan,” katanya. - AN

Wednesday, November 2, 2011

Lebih 1.5j Muslim sudah tiba di Saudi


TAWAF: Ratusan ribu jemaah sedang bertawaf mengelilingi Kaabah, kelmarin, menjelang ibadah haji yang dijangka menarik kunjungan sekitar 2.5 juta jemaah setiap tahun. -- Foto AP


JEDDAH: Lebih 1.5 juta Muslim sedunia tiba di Arab Saudi bagi melaksanakan ibadah haji di Makkah, dalam apa yang disifatkan sebagai perhimpunan manusia paling besar setiap tahun yang mencapai kemuncaknya Sabtu ini, menurut pihak media milik kerajaan, awal semalam.
'Jumlah jemaah haji yang tiba dari luar negara telah mencapai 1.575 juta orang menjelang petang Sabtu lalu,' kata satu laporan agensi berita rasmi SPA.Menteri Haji Arab Saudi, Encik Fuad al-Farsi, berkata sejumlah 1.8 juta jemaah haji dijangka tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini, sebagai tambahan kepada antara 700,000 dengan 800,000 jemaah dari negara tersebut, menurut laporan akhbar-akhbar tempatan.Upacara haji akan bermula lusa, hari kelapan Zulhijah.Para jemaah akan menjalani upacara kemuncaknya, iaitu wukuf di Arafah, sebuah kawasan dataran dekat Gunung Arafah, di luar Makkah di bahagian barat Arab Saudi.Sementara itu, sehubungan dengan usaha mentadbir dan menyenggara upacara rukun Islam kelima itu, Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Naif, semalam melawat ke tapak-tapak suci di Makkah untuk menilai sendiri tahap persediaan jabatan-jabatan tentera dan awam negara itu sebagai hos kepada jemaah haji.Semasa lawatan itu, Putera Nayef, yang juga Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Agung Haji Arab Saudi, telah mengkaji pelan-pelan kesemua agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan haji, serta memeriksa beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan di Makkah, Madinah, Arafat dan Muzdalifah, termasuk perkhidmatan rel Mashair yang dijangka mampu membawa 410,000 jemaah setiap satu trip.Beliau tiba di Jeddah, kelmarin, dan disambut oleh Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal, serta para putera dan pegawai lain. -- Agencies.Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

Saturday, August 27, 2011

Harga sewa bilik, hotel meningkat di Mekah




PEMANDANGAN di Masjidilharam di Mekah pada 20 Ogos lalu.


MEKAH, Arab Saudi - Penduduk tempatan yang mengerjakan ibadat umrah mengadu tentang harga bilik hotel dan unit kediaman yang melonjak tinggi semasa Ramadan berbanding bulan-bulan lain, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang penduduk tempatan dari Riyadh, Saleh Al-Mutlaq berkata: "Saya berkunjung ke Mekah untuk melakukan umrah pada setiap Ramadan sejak 40 tahun lalu. Namun harga penginapan hotel-hotel berdekatan Masjidilharam kini melonjak tinggi."
"Saya dan ibu saya membayar sekitar 130,000 riyal (RM103,816) untuk tinggal di Mekah selama sebulan pada bulan Ramadan," tambahnya.
Menurut Saleh, pada masa lalu, sewa sebuah apartmen berhampiran Masjidilharam untuk sebulan cuma 25,000 riyal (RM19,955).
Seorang lagi warga tempatan dari Jeddah, Umm Thamir memberitahu: "Saya menghabiskan masa 10 hari terakhir pada bulan Ramadan di Mekah. Harga penginapan meningkat dengan drastik. Sebuah bilik untuk dua orang lengkap dengan berbuka puasa dan sahur dikenakan sewa 39,900 riyal (RM31,847) selama 10 hari."
Pendapat mereka turut dipersetujui seorang lagi warga tempatan, Hanan Muhammad yang mengakui harga penginapan hotel-hotel sekitar Masjidilharam melambung tinggi.
"Saya dan suami membayar sekitar 10,000 riyal (RM7,966) untuk tinggal tiga hari di sebuah bilik hotel yang tidak menyediakan makanan berbuka puasa atau bersahur," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai isu terbabit, Jawatankuasa Kebangsaan Untuk Haji dan Umrah (NCHU), sebaliknya memberitahu, sudah menjadi perkara biasa untuk para peniaga menaikkan harga pada bulan Ramadan supaya mereka dapat membayar kos operasi hotel selain meraih keuntungan daripada pelaburan mereka.
Kos penginapan tinggi itu dijangka menurun sebaik sahaja projek-projek pembangunan di Mekah siap dengan pengguna memiliki lebih banyak pilihan ketika tinggal di Mekah. - Agensi

Tuesday, June 14, 2011

Berbasikal ke Makkah


CIMAHI - Tiga lelaki Indonesia kelmarin memulakan pengembaraan sejauh 17,000 kilometer dengan berbasikal dari kampung mereka di Jawa Barat ke Makkah, Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Deni Bayu Saefundin, Ade Supriadi dan Yuyus Sunandar membuat keputusan untuk berbasikal ke Makkah kerana menggemari aktiviti berbasikal, menurut media tempatan.

Deni berkata, mereka akan melalui 14 negara termasuk Singapura, Bangladesh, Syria dan Jordan sepanjang perjalanan itu.

Ketiga-tiga sahabat baik itu dijangka tiba di Arab Saudi dalam tempoh sembilan bulan lagi.

Mereka turut berjaya mengumpul 300 juta Rupiah (RM106,450) untuk membiayai pengembaraan itu dan diberi sokongan khas oleh Kementerian Luar Indonesia untuk memudahkan urusan permit kemasukan dan visa ke dalam 14 negara tersebut.
SH

Wednesday, August 11, 2010

Mekah siap hadapi Ramadan



Gambar fail bertarikh 16 Jun, 2010 merakamkan hotel Clock Royal Tower di Mekah sedang dalam pembinaan dengan jam terbesar di dunia dibina di bahagian atasnya berukuran 45 meter diameter yang boleh dilihat dari Masjidilharam. Arab Saudi berharap jam yang dibina di empat bahagian bangunan yang bakal merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia akan menjadikan Mekah sebagai tempat pilihan untuk rujukan waktu standard kepada Greenwich median. - AFP


MEKAH 10 Ogos - Badan rasmi yang menguruskan Masjidilharam di Mekah dan masjid-masjid lebih kecil di sekitar bandar ini termasuk Pertahanan Awam, polis trafik dan Jabatan Kesihatan menambah bilangan kakitangan untuk mengendalikan jemaah umrah yang tiba sempena Ramadan.
Bilangan jemaah tempatan dan luar negara untuk menunaikan umrah dalam bulan Ramadan bertambah dari hari ke hari, lapor akhbar Arab Saudi, Arab News.
Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Penjaga Dua Masjid Suci, Muhammad Al Khuzaim berkata, Masjidilharam sedia menampung peningkatan jumlah jemaah dengan 5,700 orang kakitangan baru.
Ia juga akan memberi tumpuan kepada memberi kesedaran agama di kalangan jemaah.
"Kami merancang mewujudkan suasana tenang dan aman bagi jemaah umrah dan pelawat untuk menunaikan ibadat," katanya.
Al Khuzaim berkata, pembinaan Masaa, tempat jemaah berjalan antara Safa dan Marwah juga telah siap, lengkap dengan penghadang kaca di aras tanah dan bawah tanah.
Pengarah cawangan Mekah di Kementerian Hal Ehwal Islam, Ketetapan, Dakwah dan Panduanm Abdul Rahman Al-Hazmi berkata, semua masjid di Mekah telah dibekalkan dengan sejadah dan salinan Al-Quran yang mencukupi.
Pengarah Pertahanan Awam, Brigadier Jeneral Jameel Arbaeen berkata, jabatannya juga sedia menyambut kedatangan Ramadan dengan lebih ramai anggota.
"Kami menyediakan helikopter bagi operasi menyelamat. Bomba akan bersedia 24 jam sehari dan kami juga menggerakkan pasukan pemantau untuk memeriksa aras pencemaran udara di dalam terowong," ujarnya.
Skrin-skrin plasma yang membekalkan maklumat juga dipasang di hotel-hotel dan apartmen sewa.
Pengarah trafik, Kolonel Ahmad Nashi Al Otaibi berkata, polis trafik akan dibantu 1,900 pelajar dan 600 pegawai lain untuk mengendalikan lalu lintas. - BERNAMA

Thursday, April 15, 2010

Kompleks hotel mega dibina di Mekah



Gambar ilustrasi artis menunjukkan kompleks Menara Abraj al-Bayt berdekatan dengan Masjidil Haram di Mekah. - AFP


DUBAI 14 April - Sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Mekah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.
Pengurus besar hotel berkenaan, Mohammed al-Arkubi pada sidang media di sini semalam berkata, kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam.
Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter.
Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit.
Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter.
"Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai, iaitu menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos," kata Arkubi.
Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya.
Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.
Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi. - AFP