Pages

Showing posts with label terpijak. Show all posts
Showing posts with label terpijak. Show all posts

Tuesday, February 12, 2013

37 orang mati terpijak



 
Foto
Seorang lelaki menangis sambil memeluk isterinya yang terbunuh dalam insiden rempuhan di Allahabad, semalam. - Foto AP

Foto
Pekerja penyelamat mengangkat mangsa rempuhan yang mati terpijak di stesen kereta api di Allahabad semalam. - Foto AP

Allahabad: Menteri Pembangunan Bandar Uttar Pradesh, Azam Khan, meletak jawatan selepas kejadian rempuhan di stesen kereta api yang mengorbankan 37 orang dan mencederakan lebih 30 lagi ketika festival keagamaan paling besar India, Mahakumbh.

Khan sebelum itu menyalahkan Kereta Api India atas tragedi yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Kereta Api, Pawan Bansal dan organisasinya.
Bercakap kepada media mengenai keputusannya, Khan berkata: Kemalangan yang berlaku bukan bidang kuasa saya. Namun, jika rakyat mati dan berkaitan agama, ia lebih mendukacitakan.

Saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana ia tanggungjawab moral saya. Kami menghabiskan banyak acara dengan berjaya. Saya meletak jawatan sebagai Presiden Jawatankuasa Mela. Saya juga menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Menteri, kata Khan.

Sementara itu, orang ramai menyerbu hospital utama untuk memastikan jika anggota keluarga mereka antara mangsa dalam insiden petang kelmarin.

Puluhan ribu penganut berada di stesen itu untuk menaiki kereta api apabila pihak berkuasa membuat pengumuman perubahan saat akhir di landasan, mencetuskan huru hara.

Lebih 30 juta penganut Hindu mandi di Sangam, kuala Sungai Ganges, pertemuan antara sungai Yamuna dan Saraswati, sebahagian daripada 55 hari Kumbh Mela atau Festival Kendi.
Kelmarin, sukarelawan dan pegawai menggunakan pembesar suara untuk memberi perincian kanak-kanak dan orang dewasa yang ditemui di tebing sungai, kehilangan keluarga dalam kesesakan.
AP/AGENSI

Wednesday, November 24, 2010

378 mati dipijak

ANGGOTA polis Kemboja memeriksa mayat  mangsa  di luar Hospital  Calmette di Phnom Penh, semalam.
ANGGOTA polis Kemboja memeriksa mayat mangsa di luar Hospital Calmette di Phnom Penh, semalam.


Foto
SEORANG pengunjung cuba menyelamatkan diri dari celah timbunan tubuh yang tidak sedarkan diri.

Foto
MAYAT pengunjung bergelimpangan di atas jambatan.


PHNOM PENH (Kemboja): Pasukan penyelamat, semalam meredah sungai berlumpur untuk mencari ramai lagi mayat ketika Kemboja meratapi tragedi kematian 378 rakyatnya manakala beratus-ratus lagi cedera akibat dipijak beribu-ribu pengunjung festival.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menyifatkan ia tragedi terbesar negara itu sejak tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Khmer Rouge pada 1970-an.
Beribu-ribu pengunjung panik yang meraikan festival berakhirnya musim hujan di sebuah pulau di tengah sebuah sungai cuba untuk melarikan diri melalui jambatan yang sempit di Phnom Penh pada lewat malam, semalam.

Ramai pengunjung yang dipijak ataupun jatuh ke dalam sungai. Mangsa yang keliru pula cuba untuk menyelamatkan diri di tengah-tengah lautan manusia dengan menolak sesama sendiri di setiap arah. Selepas insiden pijak-memijak itu, beratus-ratus mayat bertindihan antara satu sama lain di jambatan berkenaan, sementara pasukan penyelamat memenuhi kawasan itu.


Operasi mencari mayat di dalam dan sepanjang Sungai Bassac diteruskan, semalam.
Kejadian mengerikan malam itu yang disiar di televisyen kebangsaan menunjukkan mangsa sama ada yang masih hidup atau sudah mati bertindihan sesama sendiri.

Sesetengahnya pula menghulurkan tangan sambil menjerit meminta tolong dan ada yang menarik tangan petugas penyelamat yang bersusah-payah membantu mereka yang terperangkap.

Tidak dapat dipastikan apakah punca ynag menyebabkan insiden pijak-memijak itu berlaku. Pihak polis dan saksi kejadian mendakwa jambatan sempit itu tidak menyediakan laluan keluar masuk yang cukup luas ke pulau itu.

Dua ahli perniagaan warga Singapura yang mengendalikan sistem bunyi dan lampu untuk festival itu berkata, pihak berkuasa menutup laluan di jambatan lain sejak awal-awal lagi hingga memaksa berpuluh-puluh ribu pengunjung menggunakan satu laluan saja.

Seorang saksi berkata, insiden mengerikan itu bermula apabila beberapa pengunjung pitam akibat ditolak dalam kesesakan itu. Seorang lagi saksi yang terselamat pula berkata, dia mendengar siren polis sebelum pengunjung mula panik.

“Saya benar-benar terkejut. Saya sangka saya akan mati di situ juga. Mereka yang kuat dapat menyelamatkan diri tetapi ramai wanita dan kanak-kanak terkorban,” kata Chea Srey Lak, seorang wanita 27 tahun yang ditolak oleh ribuan pengunjung yang panik di jambatan itu.

Dia berjaya menyelamatkan diri tetapi memberitahu seorang wanita tua berusia 60 tahun yang terbaring di sebelahnya mati dipijak beratus-ratus pengunjung yang berlari menyelamatkan diri.

“Saya dengar banyak tangisan dan jeritan meminta tolong di mana-mana saja, tetapi kami tidak dapat membantu antara satu sama lain. Semua orang hanya berlari,” ujar Chea di Hospital Calmette, di mana dia menerima rawatan di kaki dan tangannya yang tercedera.

Sementara itu, van ambulans bergegas pergi dan balik berulang kali dari tempat kejadian ke hospital selama beberapa jam. Hospital Calmette yang menjadi pusat perubatan utama di Phnom Penh dipenuhi dengan mayat mangsa, selain mereka yang cedera hingga ada yang terpaksa dirawat di ruang masuk utama, manakala sanak-saudara mencari orang yang tersayang. - AP

Tuesday, November 23, 2010

Lebih 340 maut dalam rempuhan rai festival air di Kemboja


POLIS Kemboja memeriksa barangan milik mangsa rempuhan di jambatan Phnom Penh, pada sebelah pagi tadi. Ia susulan kejadian ratusan mangsa dirempuh ketika menyertai Festival Air di sini, lewat semalam. - Foto AFP 




2010/11/23

PHNOM PENH: Lebih 340 orang maut manakala beratus lagi cedera akibat rempuhan di sebuah jambatan selepas orang ramai bersesak menyertai Festival Air di ibu negara Phnom Penh, lewat semalam.

Berpuluh ambulans bergegas ke tempat kejadian apabila jutaan orang ramai termasuk pelancong asing yang memenuhi jambatan yang sempit memijak antara satu sama lain.
Jambatan itu menghubungkan sebuah pulau kecil di antara Sungai Mekong dan Sugai Tonle Sap bagi menyambut perayaan tahunan terbesar itu.
Perdana Menteri Hun Sen menyifatkan kejadian itu sebagai mimpi ngeri sejak negara itu diperintah regim kejam Khmer Rouge pada 1975 hingga 1979 apabila lebih suku daripada jumlah penduduk negara itu maut.

“Ini adalah tragedi terbesar selepas rejim Pol Pot,” katanya dalam siaran langsung di televisyen.

Beliau mengisytiharkan Kemboja cuti berkabung hari ini kerana tragedi yang menyayat hati itu. hari ini.

“Saya ingin mengucapkan takziah bagi pihak keluarga dan sanak saudara mangsa yang terbunuh," katanya. - AFP