Pages

Showing posts with label spratly. Show all posts
Showing posts with label spratly. Show all posts

Wednesday, June 22, 2011

China-Vietnam ronda bersama di Teluk Tonkin



HANOI 21 Jun - Kapal tentera laut Vietnam dan China menjalankan rondaan bersama selama dua hari di Teluk Tonkin kelmarin dan semalam.
Perkembangan itu mungkin menandakan ketegangan berhubung sempadan maritim antara kedua-dua negara yang dipertikaikan semakin reda.
Hubungan antara dua negara seteru lama itu bertambah tegang sejak sebulan lalu selepas meletusnya perbalahan dalam isu berlarutan mengenai kedaulatan di Laut China Selatan, yang termasuk tuntutan ke atas Teluk Tonkin.
Dua kapal tentera laut Vietnam dan dua dari China melakukan rondaan bersama sejauh lebih 550 kilometer dari 19 hingga 20 Jun lalu di sepanjang sempadan perairan antara kedua-dua negara di Teluk itu, lapor akhbar rasmi, Vietnam News hari ini.
"Rondaan itu bertujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman di laut, menyelia kegiatan bot nelayan dan memastikan perjanjian mengenai kerjasama perikanan dan perbatasan sempadan di perairan tersebut dipatuhi," katanya.
Akhbar Tentera Rakyat kendalian Kementerian Pertahanan Vietnam berkata, kedua-dua pihak juga menjalankan latihan komunikasi termasuk penghantaran isyarat bendera dan cahaya.
Kapal-kapal Vietnam itu dijadual singgah di pelabuhan China selepas latihan tersebut.
Menurut laporan, rondaan bersama itu adalah yang ke-11 di Teluk Tonkin sejak dimulakan lima tahun lalu.
Kedua-dua negara telah mencapai banyak kemajuan dalam menyelesaikan tuntutan bertindan di teluk itu.
Namun begitu, kedua-dua pihak sejak beberapa minggu lepas saling menuduh antara satu sama lain menceroboh kawasan perairan masing-masing di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perkapalan utama dan dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Monday, June 20, 2011

Spratly: Filipina jamin tiada pertempuran




Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan askar Vietnam menjalani latihan menggunakan mesingan 12.7 mm di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. - AFP


MANILA 19 Jun - Ketua tentera Filipina, Jeneral Eduardo Oban hari ini memberi jaminan bahawa kapal perang utama negara ini tidak akan melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina sejauh 200 batu nautika apabila kapal itu dikerahkan berada berhampir perairan Laut China Selatan.
Oban, bagaimanapun berkata, beliau tetap optimis pertikaian wilayah akan diselesaikan secara aman dan konfrontasi bersenjata dapat dielakkan.
"Kami berharap keadaan tidak akan sampai ke tahap itu (konfrontasi tentera)," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada tindakan Filipina mengerahkan kapal Rajah Humabon ke perairan yang menimbulkan pertikaian boleh mencetuskan pertempuran.
Jelas beliau, kapal itu tidak akan melewati garis sempadan maritim dan tidak akan memasuki perairan antarabangsa.
"Saya optimis apa juga konflik yang mungkin timbul akan diselesaikan secara aman dan diplomatik, meskipun saya menegaskan kita perlu juga menguatkuasakan undang-undang maritim dalam lingkungan zon 200 batu nautika," kata Oban.
Manila kelmarin berkata, ia akan mengerahkan Rajah Humabon ke Laut China Selatan, sehari selepas China mengumumkan sebuah kapal peronda maritimnya juga dijadual akan lalu di kawasan yang sama.
Rajah Humabon, sebuah bekas frigat tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi semasa Perang Dunia Kedua adalah antara kapal perang tertua di dunia, dan memulakan perkhidmatan dalam tentera laut Filipina pada 1980.
Ketegangan dalam perbalahan berlarutan berhubung perebutan wilayah di Laut China Selatan meningkat sejak beberapa bulan lalu ekoran dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam usaha untuk mengukuhkan tuntutannya.
Manila menuduh China pada bulan ini menghantar kapal tentera lautnya untuk mengancam bot dan kapal dari negara lain yang turut membuat tuntutan di sekitar Kepulauan Spratly, di samping memasang boya dan mencacakkan tiang-tiang penanda di kawasan berdekatan.
Menteri Luar Filipina, Albert del Rosario menemui rakan-rakan sejawatannya dari ASEAN, kelmarin dan menggesa mereka mengambil pendirian yang sama dalam menghadapi tindakan China berhubung tuntutan bertindih itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Friday, June 17, 2011

China hantar kapal terbesar kawal Spratly


BEIJING: China menghantar satu daripada kapal laut peronda terbesarnya ke Laut China Selatan untuk melindungi hak dan kedaulatannya, lapor media kerajaan, semalam. Langkah itu dijangka meningkatkan ketegangan dengan jirannya ekoran perebutan kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Kapal laut Haixun 31 milik China itu berlepas dari selatan negara itu kelmarin dan menuju ke Singapura, melalui kumpulan kepulauan Paracel dan Spratly yang menjadi rebutan dengan Vietnam, Filipina dan kerajaan negara lain.

Laporan berita di China melaporkan dengan jelas tujuan kapal itu dihantar ke Laut China Selatan dan ia menimbulkan kebimbangan kepada Filipina.
“Kapal laut peronda terbesar negara kita mengawal Laut China Selatan,” lapor tajuk akhbar kerajaan Beijing Daily. - Reuters
myMetro | China hantar kapal terbesar kawal Spratly

Thursday, June 16, 2011

Filipina cabut penanda



Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan pemandangan di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. Vietnam turut memperkuatkan tenteranya di pulau itu berikutan ancaman China ke atas Kepulauan Spratly yang mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan. - AFP


MANILA 15 Jun - Tentera laut Filipina mencabut penanda yang didirikan oleh pihak yang tidak dikenali di tiga terumbu dan beting di kawasan perairan yang menimbulkan pertikaian di Laut China Selatan.
Tindakan mencabut tiang-tiang kayu itu dilakukan pada Mei lalu, sejurus sebelum kerajaan secara rasmi membantah apa yang didakwa sebagai pencerobohan oleh tentera laut China di perairan Filipina, kata jurucakap tentera laut Filipina, Leftenan Kolonel Omar Tonsay, hari ini.
"Tiang-tiang itu adalah penanda asing kerana tidak didirikan oleh tentera atau kerajaan kami, dan kami mencabutnya kerana perairan berkenaan adalah sebahagian daripada wilayah Filipina," katanya.
Manila, baru-baru ini menuduh China mendirikan tiang-tiang dan meletakkan sebuah boya di kawasan perairan yang dituntut oleh Filipina, tetapi Tonsay berkata, tentera laut belum dapat memastikan siapa yang mendirikan tiang-tiang kayu yang dicabut pada Mei lalu itu.
"Tidak ada label atau cap 'Buatan China' pada tiang-tiang itu, tetapi hanya nombor yang tertera padanya," ujar beliau.
Penanda tersebut ditempatkan di Terumbu Boxall di Kepulauan Spratly, dan di Beting Amy Douglas dan Beting Reed berhampiran, kesemuanya terletak di perairan Laut China Selatan yang dituntut oleh Filipina dan China.
Ketegangan berhubung pertikaian berpanjangan itu meningkat sejak beberapa bulan lalu berikutan dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam menyuarakan tuntutannya ke atas kawasan terlibat.
Filipina pada bulan ini menuduh China mengancam keamanan dan kestabilan di Asia dengan menghantar kapal-kapal tentera lautnya dekat Beting Reed untuk menakut-nakutkan bot dan kapal negara lain yang turut membuat tuntutan, dan memasang tiang dan boya di kawasan berdekatan.
Manila juga membantah berhubung beberapa insiden dari Februari hingga bulan lepas, dengan menuduh tentera laut China melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina dan mengancam sebuah kapal cari gali minyak negara ini.
Presiden Filipina, Benigno Aquino meningkatkan lagi ketegangan itu semalam apabila beliau membuat kenyataan bahawa negara ini memerlukan bantuan daripada sekutu lamanya, Amerika Syarikat (AS) dalam perbalahan dengan China. - AFP. utusan