Pages

Showing posts with label jiwa. Show all posts
Showing posts with label jiwa. Show all posts

Tuesday, June 5, 2012

SELAMAT DATANG KE KLINIK JIWA

SELAMAT DATANG KE KLINIK JIWA

Teks: NURUL AMIRAH BINTI ABDUL RAHIM

♥ PAKAR PERUBATAN ANDA ♥ :

Allah Azzawajalla ♥ اَللّهُ ♥

♥ PERINGKAT SIMPTOM PENYAKIT JIWA ♥

1. Pesakit melakukan maksiat, tetapi kemudianya timbul rasa bersalah dengan dosa yang dilakukan. Ada keinginan untuk berjaga-jaga daripada melakukan dosa yang sama lagi pada masa akan dating. Ini merupakan symptom awal.

2. Biasa dengan dosa – Doasa yang kerap dilakukan menyebabkan terkikisnya rasa bersalah pada Allah. Semakin lama, virus dosa sudah sebati dalam diri.

3. Seronok buat dosa - Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, pesakit jiwa rasa didodoikan dengan dosa yang dilakukan. Mereka ketagih untuk terus melakukan dosa.

4. Mempromosi dosa – Sudahlah menjadi pesakit, orang ramai turut sama disebarkan dengan virus penyakit. Hati-hati dengan pesakit jiwa!

NOTA: Simptom semakin teruk jika tidak dirawat lebih awal.

♥ PUNCA JIWA KOSONG ♥

Tujuan hidup masih belum jelas. Persoalan-persoalan seperti: dari mana aku dating, siapa yang menciptakan aku, untuk apa aku diciptakan, ke mana aku selepas dunia musnah, perlu selalu ditanya kepada diri supaya dapat hidup di dunia dengan agenda yang teratur dan bermatlamat.

♥ UBAT JIWA DAN CARA PENGGUNAANYA. ♥

1. Membaca al-Quran:

✔ Jadikan al-Quran sebagai ubat motivasi.
✔ Terapkan ajaran al-Quran dalam reality kehidupan.
✔ Ambil ilmu daripada al-Quran dan mengamalkannya.
✔ Berusaha mendisiplinkan diri mengkhatamkan bacaan al-Quran paling kurang tiga bulan sekali.

2. Qiamulail :

✔ Mulakan dengan sedikit. Yang penting dapat melakukan qiamulail secara istiqamah.
✔ Bangun malam sebulan sekali, kemudian latih untuk bangun malam seminggu sekali pula.
✔ Kejut orang lain untuk qiamulail bersama.

3. Istighfar :

✔ Baca perlahan-lahan untuk menghayati makna yang dilafazkan. Maksud bacaan istighfar; “Aku mohon keampunan-Mu. Tiada Tuhan kecuali Engkau yang sentiasa hidup dan sentiasa waspada (jaga). Ya Allah, aku bertaubat kepada-Mu.”
✔ Hitung bacaan istighfar 10 kali. 70 kali ataupun 100 kali setiap kali selesai solat.

4. Mengingati Mati :

✔ Tubuh terbujur kaku, manusia menangisi pemergiaan, harta dan pangkat tidak boleh dibawa bersama. Apakah amalan yang hendak dipersembahkan? Jangan terkurang dos pengambilannya dalam sehari.

5. Menangis dan mengadu :

✔ Tiada siapa yang lebih kuat melainkan Allah. tempat memohon kekuatan. Semoga dengan pengaduan kepada Rab, segera menyembuhkan penyakit jiwa. Hadis Nabi s.a.w. maksudnya: “Aku haramkan nereka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i)

♥ PETANDA JIWA SEMAKIN SIHAT ♥

1. Perasaan lebih tenang:

Pesakit dapat menjalani kehidupan seharian tanpa kecewa. Jika terkesan dengan sesuatu yang tidak seperti kehendak hati, mereka segera mengingatkan diri bahawa ketentuan Allah adalah terbaik. Tiada lagi rasa kegelisahan di hati.

2. Hati terasa dipandu :

Hati yang sakit dikawal oleh daya fikir yang juga sakit. Hal sebaliknya bagi orang yang lihat jiwanya. Hati mereka dipandu oleh kekuatan cahaya Illahi.

3. Akal Positif :

Mereka bertindak berdasarkan wahyu dari Allah. Mendahulukan hak Allah sebenarnya menyebabkan hak akal mereka terpelihara.

♥ CARA MENGEKALKAN KESIHATAN JIWA ♥

1. Usah tergesa:

Sesuatu tindakkan perlu difikirkan sebab dan akibat. Jangan tergesa dalam bertindak. Dahulukan kehendak agama.

2. Jauhi hasad :

Perasaan hasa meruntuhkan bangunan amal yang sudah dibina. Ia sebenarnya memakan diri sendiri, bukannya orang yang dihasadkan. Jiwanya sentiasa tidak tenang kerana memikirkan cara untuk menjatuhkan orang lain.

3. Tawaduk :

Orang sombong terlupa ada yang lebih tinggi dan hebat berbanding mereka. Hakikatnya, sombong memperkecilkan dan merendahkan diri sendiri pada pandangan Allah dan manusia yang lain.

4. Berhenti berangan-angan yang panjang :

Berangan-angan umur masih panjang dan masa masih banyak untuk membuat bekal amalan? Hentikan berangan-angan yang baik atau tidak gerun pada azab melakukan dosa kerana merasakan masa masih panjang merugikan diri sendiri. Jom segera beramal.

5. Isi sebelum kosong

Sememangnya mengekalkan kesihatan jiwa tidak semudah merawat jiwa. Untuk mengelakkan jiwa kembali sakit, isilah jiwa dengan keperluan fitrahnya. Teruskan berdoa, teruskan juga membaca al-Quran dan turut bersama dalam majlis ilmu. Semoga jiwa kita cenderung terisi dengan kebaikkan, lantas dijauhkan daripada jiwa yang kosong. Sakit dan melarat. Allahumma amin.

Dari Majalah Gen-Q Isu 09

Saturday, January 8, 2011

Pembersihan jiwa – Proses kejayaan dunia akhirat

Pembersihan jiwa – Proses kejayaan dunia akhirat « Blog Peribadirasulullah

www.news-all.com (71).JPG
Oleh Mohd Nizam Sahad
KEBAHAGIAAN seseorang Muslim banyak bergantung kepada bagaimana ia menyucikan dan membersihkan jiwa raganya. Manakala kecelakaan bagi dirinya juga terjadi bilamana jiwa tidak dipelihara dan dicemari oleh perkara keji dan kotor. Allah menegaskan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams : 9 – 10).
Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua di kalangan kamu akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Sahabat bertanya: Siapa yang enggan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga dan sesiapa yang berbuat maksiat kepadaku mereka itulah yang enggan.
Kehidupan
Persoalannya sekarang, apakah itu jiwa? Menurut Kamus Dewan jiwa merupakan nyawa, roh dan unsur batin seperti perasaan, fikiran dan cita-cita yang terkandung dalam hati manusia. (1998 : 540 ). Kehidupan manusia berhubung rapat dengan jiwa. Malah segala tindak-tanduk manusia terarah dalam rangka usaha membersih dan menyucikan jiwa bagi mendapat matlamat hidup dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta mengelakkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang boleh mencemarkan jiwa. Proses pembersihan jiwa ini, haruslah menuruti beberapa langkah seperti berikut :
1. Taubat. Taubat bermaksud mengosongkan diri daripada seluruh dosa dan maksiat dan menyesal ke atas dosa-dosa lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan sepanjang umurnya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai… (At-Tahrim: 8).
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya sebanyak 100 kali sehari.
Sesungguhnya manusia biasa seperti kita, tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Apatah lagi di sekeliling kita wujud musuh-musuh Allah yang terdiri daripada syaitan dan iblis serta hawa nafsu yang sentiasa mendorong kita untuk melakukan maksiat. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bertaubat daripada kesalahan dan maksiat yang dilakukan dengan kadar segera. Taubat yang kita lakukan hendaklah secara sungguh-sungguh untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran dosa dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi atau taubat yang dikenali dengan taubat nasuha.
2. Muraqabah. Muraqabah bererti sentiasa merasakan diri kita ini diawasi oleh Tuhan pada setiap detik dan ketika, dan berasa yakin bahawa hanya Allah s.w.t. yang berhak ditaati, Dialah yang Maha Mengetahui setiap rahsia dan perbuatan kita. Bilamana seseorang Muslim ini sentiasa menerapkan perasaan yang sedemikian dalam dirinya, maka ia akan sentiasa mengingati Allah s.w.t., berasa lapang dada kerana keyakinannya itu dan sentiasa gemar ingin berdampingan dengan Allah dengan beribadah kepada-Nya. Malah ia akan sentiasa ingat dan waspada, andai kejahatan yang dilakukan pasti Allah mengetahuinya, walaupun orang lain tidak.
Kebaikan
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Luqman : 22).
Rasulullah s.a.w. bersabda : Beribadahlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia melihat kamu.
Ulama salaf as-soleh, Sufyan as-Sauri berkata: “Hendaklah kamu bermuraqabah kepada Allah yang tidak tersembunyi daripada-Nya sesuatu pun, dan hendaklah kamu berharap kepada-Nya yang memiliki perjanjian, dan hendaklah kamu sentiasa berwaspada kepada-Nya yang memiliki seksaan.”
3. Muhasabah. Muhasabah bererti menghitung dan mengimbas kembali perlakuan kita seharian, sama ada amalan yang kita lakukan lebih cenderung ke arah ketakwaan atau lebih cenderung ke arah maksiat. Sekiranya amalan kehidupan kita berada di tahap yang dimurkai Allah s.w.t., maka segeralah memohon keampunan kepada-Nya dan bertaubat serta menyesal dan seterusnya melakukan amal kebajikan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr : 18)
Umar al-Khattab pernah berkata: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan.” Di dalam kehidupan ini, seharusnya manusia memerhatikan perihal ketaatan, kemaksiatan, faktor-faktor yang merugikan dan faktor-faktor yang menguntungkan dirinya setiap masa. Dalam perkara menghitung diri ini, ada baiknya juga seseorang individu itu mempunyai borang harian atau pertanyaan-pertanyaan diri bagi tujuan mengenal pasti kekurangan dan kelebihan diri dalam amal ibadah kepada Allah s.w.t. Andai tidak berkesempatan, memadailah bertanya diri sendiri apakah hari ini, lebih baik dari semalam dan bagaimana pula dengan hari esok? Adakah kewajipan diriku sebagai hamba Allah telah tertunai ?
4. Mujahadah. Mujahadah bermaksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu yang senantiasa memujuk rayu diri kita melakukan perkara keji dan mungkar. Allah s.w.t. menjanjikan bahawa sesiapa yang bermujahadah, maka ia akan diberi petunjuk jalan-jalan Allah. Dan Allah s.w.t. akan tetap bersama orang yang baik. Hawa nafsu yang ada pada manusia itu berupa satu cabaran kepada kekuatan iman dan pemikiran kita dalam menentukan keputusan tindakan kita. Andai jalan yang baik dipilih, maka bersihlah jiwa kita dan andai tewas dengan kemahuan hawa nafsu amarah itu, maka semakin kotorlah jiwa kita di sisi Allah s.w.t.
Sesungguhnya seorang hamba Allah itu tidak akan dapat mengawal hawa dan nafsunya sekiranya ia mengharapkan ada orang lain yang akan mengawalnya. Ia tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya ia tidak dapat mengawal hawa nafsunya. Kawalan dari dalam diri sendiri itu adalah yang terpenting, seperti pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Takwa
Selain itu, pendekatan diri dengan Allah s.w.t. adalah penting agar kekuatan dapat dibina sekukuhnya dengan wujudnya iman dan takwa setiap diri. Apabila seorang insan itu mempunyai iman dan takwa yang tertanam kukuh dalam dirinya, maka syaitan tidak akan dapat mempengaruhinya untuk mengikut kata nafsu jahat yang dapat merosakkan diri.
Dengan dua senjata inilah, seorang insan itu akan mampu mengalahkan syaitan dan hawa nafsu yang merupakan musuh utama setiap manusia yang bernyawa. Apabila kita menjadi insan yang bertakwa, maka kita tidak akan menghampiri segala jenis kekejian yang boleh merosakkan kita. Bisikan syaitan dan hawa nafsu akan dapat kita tepis. Kalau ki-ta takutkan Allah, bermaksud kita takutkan hukuman Allah, takutkan neraka Allah, takutkan seksa Allah di alam kubur dan di akhirat kelak. Apabila kita benar-benar percaya dan yakin dengan seksaan Allah, maka kita tentunya tidak akan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah.
Kesimpulannya, hendaklah kita sentiasa membersihkan jiwa dan mengawasinya daripada perkara-perkara keji dan mungkar agar kita beroleh kejayaan berupa syurga Allah yang kekal abadi. Allah s.w.t. berfirman: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” An-Naazi’at : 40 -41).


Tuesday, November 16, 2010

4 Cara menghilang kesamaran di dalam jiwa


http://www.ibtesama.com/vb/imgcache2/76109.gif
  1. Suluhlah jiwa dengan Nur Ilahi yakni Al-Quran.
  2. Suluhlah jiwa dengan Hadis Rasulullah SAW.
  3. Jadikan Pendapat-Pendapat Ulama sebagai panduan.
  4. Berushalah mendapat Hidayah Allah SWT agar hati sentiasa disirami Cahaya Hidayah Allah SWT.
Menyelesai Masalah dari kacamata rohani.m / s : 134.

Wednesday, April 28, 2010

KETERANGAN MENGENAI JIWA DAN ROH



Ketahuilah bahawa Allah Taala menjadikan manusia ini terdiri daripada dua suatu yang berbeza iaitu:
Jisim yang gelap, tebal, termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan (Al-Kun Wal-Fasad) yang tersusun, bersifat ketanahan yang tidak dapat melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
Jiwa Jauhari yang tunggal yang bercahaya, mencapai, bertindak lagi menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat (alat-alat dalam badan manusia baik yang bersifat ruhaniah seperti Ruh Haiwani, Ruh Tobie dan lain-lain atau bersifat jasmaniah seperti otak dan bahagian-bahagiannya dan lain-lainnya. Allah Taala menyusun jasad-jasad dari bahagian-bahagian makanan dan menjaganya dengan bahagian-bahagian zat makanan yang lebur menyerap ke dalam jasad, menyediakan asas, menyempurnakan anggota-anggota penting, menentukan anggota-anggota kaki dan tangan dan melahirkan jauhar jiwa dari urusan yang tunggal, sempurna menyempurna lagi memberi faedah.
Bukanlah saya (Imam Ghazali) maksudkan 'jiwa' itu kekuatan untuk mendapatkan makanan;
bukan kekuatan yang menggerakkan syahwat (Al-Nafsu) dan kemarahan; bukan kekuatan yang berada dalam jantung (Al-Kolbu) yang melahirkan hidup, menimbulkan rasa dan gerak dari jantung kepada seluruh anggota, kerana kekutan ini dinamakan 'Ruh Haiwani'.

Rasa, gerak, syahwat adalah dari tentera Ruh Haiwani ini.
Kekuatan mendapatkan makanan yang berada dan menguruskan dalam hati (Al-Kabad) dinamakan 'Ruh Tobie.' Pencernaan dan penolakan adalah daripada sifat-sifatnya. Kekuatan merupa, melahir, menyubur dan lain-lain kekuatan tobie semuanya menjadi khadam-khadam bagi jasad dan jasad pula adalah khadam kepada Ruh Haiwani, kerana jasad menerima kekuatan-kekuatan dari Ruh Haiwani dan bekerja menurut geraknya.

Sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'JIWA' itu ialah JAUHAR YANG SEMPURNA LAGI TUNGGAL (Al-Jauhar Al-Kamil Al-Mufrad) yang kerjanya hanya
mengingat, menghafaz, memikir membeza dan mengamat-amati; juga menerima segala ilmu dan tidak jemu-jemu menerima rupa-rupa abstrak yang bersih dari benda.

Jauhar ini adalah ketua segala ruh dan raja. Segala kekuatan semuanya berkhidmat kepada jauhar ini dan menjunjung perintahnya. Jauhar ini tidak lain tidak bukan dari JIWA BERAKAL (Al-Nafs An-Naathokoh) yang diberikan berbagai-bagai nama. Para ahli falsafah menamakan jauhar ini sebagai JIWA BERAKAL (Al-Naf An-Naathokah).Al-Quran menamakannya sebagai JIWA YANG TENANG (Al-Nafsul Mutomainnah). Al-Quran juga menamakannya sebagai RUH URUSAN (Al-Ruh Al-Amri). Ahli Tasauf menamakannya sebagai QALBU (Al-Qalbi). Perbezaan cuma pada segi nama-nama sahaja tetapi ertinya satu, tidak ada perselisihan. Oleh itu 'QALBU' dan 'RUH' pada kita juga 'YANG TENANG' semua nama-nama itu adalah bagi 'JIWA BERAKAL' (Al-Nafs Al-Naathokoh). Jiwa berakal ialah 'Jauhar yang Hidup', 'aktif', lagi mencapai kalau disebut Ruh Mutlak atau Qalbu. Maksudnya ialah jauhar ini juga.

Ahli-ahli Tasauf menamakan 'Ruh Haiwani' pula dengan nafsu. Syarak juga memberikan pengertian yang sama sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Musuh engkau yang paling ketat ialah nafsu engkau".
Baginda bersabda lagi dengan maksud:
"Nafsu engkau ialah yang terletak di antara dua pihak".
Perkataan nafsu yang dimaksudkan oleh syarak di sini ialah kekuatan 'syahwaaniah' dan kemarahan kerana kedua-duanya muncul dari jantung yang terletak di antara dua pihak(dari tubuh manusia). Bila kamu telah faham dan mengetahui perbezaan nama-nama itu ternyatalah bahawa para pengkaji memberikan nama yang bermacam-macam terhadap Jauhar yang bernilai ini dan mengemukakan pendapat-pendapat yang berbeza. Para ahli Ilmu Kalam yang pandai dalam debat menganggap jiwa itu sebagai suatu jisim dan menyatakan bahawa ia adalah jisim yang halus sebagai tantangan bagi jisim yang tebal ini. Mereka hanya melihat perbezaan di antara ruh dan jasad dari segi kehalusan dan ketebalan sahaja.
Sebahagian dari mereka menganggap ruh sebagi 'aradh. Sebahagian daripada ahli-ahli kedoktoran cenderung ke arah pendapat ini. Ada pula yang menganggap darah sebagai ruh.
Mereka semua merasa puas hati dengan pendapat mereka kerana dipengaruhi oleh kecantikkan pandangan dan mereka 'TIDAK BERUSAHA' mencari bahagian ketiga sedangkan sebenarnya ada tiga bahagi iaitu Jisim, Aradh dan 'Al-Jauhar-Al-Mufrad'.

Ruh Haiwani ialah jisim yang halus seolah-olah lampu bernyala terletak dalam kaca jantung. Jantung yang dimaksudkan di sini ialah rangka sanubari yang tergantung pada dada manusia.

Hidup adalah lampu tersebut,
Darah ialah minyaknya,
Rasa dan gerak merupakan nurnya,
Syahwat ialah kepanasannya,
Kemarahan ialah wapnya,
Kekuatan mencari makanan yang berada di dalam hati merupakan khadam atau penjaganya dan wakilnya.

Ruh ini terdapat pada segala binatang. Ruh ini tidak menerima ilmu dan tidak mengetahi soal yang berhubung dengan alam dan tidak mengetahui hak-hak Pencipta Alam. Ia hanya merupakan khadam yang terikat. Ia mati bersama dengan matinya badan. Jika bertambah darah, padam lampu itu kerana bertambah kepanasan dan sebaliknya jika berkurangan darah, ia akan padam juga kerana bertambah kesejukan. Padamnya menjadi sebab bagi matinya badan. Tidak ada 'khitob Tuhan' iaitu (perkataan-perkataan Tuhan yang lazim yang dihadapkan kepada orang-orang mukallaf berhubung dengan perbuatan-perbuatan mereka) dan tidak ada 'takhlif' (pemikul tanggungjawab yang diamanahkan dari Allah melalui hukum syarak yang lima) tuan punya syarak terhadap ruh ini. Kerana inilah segala binatang tidak termasuk ke dalam makhluk-makluk yang menerima 'khitob' dengan hukum-hukum syarak.

Manusia sebenarnya 'ditakhlif' dan 'dikhitob' kerana suatu makna yang lain terdapat padanya sebagai suatu tambahan yang dikhaskan untuknya. Maknanya ialah pada manusia ada 'JIWA YANG BERAKAL' (Al-Nafs-An-Naatokoh), 'RUH URUSAN'(Ruhul-Amri) dan 'JIWA YANG TENANG'(Al-Nafsul Muthomainnah).
Ruh ini bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh', kerana ia datang dari urusan Allah Taala sebagaimana firmannya yang bermaksud:

'Katakanlah hai Muhammad bahawa Ruh itu adalah urusan Tuhanku.(Surah Al-Israk ayat 85)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

'Hai Jiwa yang Tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redho dan diredhoi." 
(Surah Al-Tahrim ayat 12)

Urusan Allah bukanlah berupa jisim dan bukan pula 'aradh', malahan ia adalah suatu kekuatan 'ILAHIYAH' seperti 'AKAL YANG PERTAMA' (Al-'Aklul-Awal), Luh dan Qalam. Kekuatan Ilahiyah adalah Jauhar-Jauhar Tunggal yang bukan dari benda, malah ia merupakan sinar-sinar abstrak yang dapat difahami oleh akal (Ma'quulah). Bukan boleh dirasa. Apa yang kita sebut sebagai ruh dan Qalbu adalah dari Jauhar-Jauhar itu.

Bahawa Ia tidak rosak, tidak layu, tidak binasa, tidak mati bahkan; ia terpisah dari badan dan menantikan perkembaliaan pada hari kiamat sebagaimana yang dinyatakan dalam syarak dan telah disahkan dalam ilmu-ilmu 'HIKMIAH' (Falsafah) dengan alasan-alasan yang tidak dapat ditolak lagi. Buktinya yang nyata menunjukkan bahawa 'RUH YANG BERAKAL' bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh, malah ia adalah JAUHAR yang sabit(nyata) lagi kekal tiada binasa. Di sini rasanya tidak perlu lagi kita menyebut alasan-alasan dan membentangkan dalil-dalil kerana telah dibuat dan disebut orang. Sesiapa yang mahu mengesahkannya silalah tatap kitab-kitab yang baik mengenai ilmu ini. Cara kita memberi huraian dalam risalah ini bukanlah dengan mengemukakan alasan, malah dengan berpegang pada apa yang telah dialami menerusi 'PENGLIHATAN YANG YAKIN DAN PENGLIHATAN IMAM.'
Allah Taala ada menghubungkan ruh kepada urusan dan kadang-kadang kepada 'IZAH'Nya(zat yang tiada boleh dicapai dengan akal dan fikiran) dengan firmanNya yang bermaksud:
'Dan Aku(Allah) tiupkan padanya ruh dariKU' (Surah Al-Hijr ayat 39).
dan firmanNya lagi yang bermaksud:

'Katakanlah (hai Muhammad) bahawa roh itu adalah urusan tuhanku'(Al-Israk ayat 85)

dan firmanNya lagi yang bermaksud:

'Lalu kami tiupkan padanya dari roh kami.'
(Surah Al-Tahrim ayat 12)

Bila roh itu dihubungkan oleh Allah Taala kepada diriNya tentulah ia bukan jisim atau A'radh kerana rendah tingkat kedua-duanya, selalu berubah-ubah dan cepat hilang serta akan rosak.

Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:
"Roh-roh adalah sebagai tentera yang lengkap"
dan dalam sabda Baginda yang lain lagi Beliau menyatakan:
"Roh para syuhadah terletak dalam bayang-bayang burung-burung hijau."

Begitu juga dengan A'radh tidak kekal selepas hilangnya jauhar kerana A'radh tidak boleh berdiri dengan zatnya sendiri. Manakala jisim menerima peleburan kembali sebagaimana asalnya sebelum penyusunan dari benda (Al Madah) dan rupa seperti yang tersebut dalam kitab-kitab (kitab-kitab falsafah).
Setelah kita mengetahui ayat-ayat, hadis-hadis dan alasan-alasan akal, ketahuilah kita bahawa ruh itu adalah JAUHAR MUFRAD YANG SEMPURNA (Al-Jauharul Mufrad Al-Kamil) hidup dengan zatnya, baik dan buruknya agama adalah datang daripadanya, manakala ruh Tobie dan Ruh Haiwani dan kekuatan badaniah seluruhnya daripada tentara Jauhar Mufrad Yang Sempurna ini.
Jauhar ini menerima rupa-rupa maklumat dan hakikat maujudah (sesuatu yang wujud di alam ini) dengan tidak diganggui oleh ain-ain dan peribadinya kerana jiwa berkuasa mengetahui hakikat manusia tanpa melihat peribadi (manusia) itu sendiri; begitu juga ia mengetahui malaikat dan syaitan-syaitan dengan tidak perlu melihat peribadi-peribadi mereka. Ini adalah kerana kedua-dua jenis makhluk itu tiada dapat dicapai oleh deria-deria kebanyakan orang.
Satu golongan ahli tasauf berkata bahawa ' Qalbu ' mempunyai dua mata, serupa juga dengan dua mata bagi jasad ini. Jasad dapat melihat benda-benda yang zahir dengan mata-mata zahir dan Qalbu melihat hakikat dengan mata akal.

Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:

'Tiada ada seorang hambapun melainkan Qalbunya mestilah mempunyai dua mata.'
Dengan kedua-dua mata ini dapatlah dicapai apa yang ghaib. Bila Allah Taala hendak memberikan kebaikan kepada hambanya, ia bukakan dua mata Qalbunya supaya dapat melihat sesuatu yang ghaib dari pemandangan mata lahirnya. Roh ini tidaklah mati dengan matinya badan kerana Allah Taala menyerunya supaya kembali kepadaNya dengan firmanNya yang bermaksud:

'Kembalilah kepada Tuhanmu'
(Surah Al Fajr Ayat 28).

Sebenarnya ruh ini hanya bercerai dan berpaling dari badan. Oleh kerana berpaling ini maka kakulah segala yang bersangkut dengan kekuatan-kekuatan Haiwaniah dan Tabii'yah. Maka diamlah yang bergerak itu dan dikatakan kepada yang diam itu, ialah MATI.

Ahli-ahli Tharikat atau ahli Tasauf lebih banyak berpegang pada roh dan Qalbu dari berpegang pada peribadi. Apabila roh itu dari urusan Allah Taala, maka beradanya dalam badan adalah sebagai orang dagang. Mukanya mengarah pada asalnya dan tempat datangnya. Ia dapat mengambil faedah-faedah dari pihak asalnya lebih banyak dari apa yang ia dapat dari pihak peribadi bila ruh itu kuat dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.
Bila anda mengetahui ruh adalah Jauhar Mufrad dan mengetahui pula jasad memerlukan ruang dan A'Radh maka selain dari ini tidak ada lagi melainkan Jauhar. Ketahuilah bahawa Jauhar ini tidak menempati pada sesuatu tempat dan tidak mendiami pada sesuatu ruang. Bukanlah badan adalah ruang bagi ruh dan bukan pula tempat bagi Qalbu malahan badan adalah alat ruh, alat Qalbu dan kenderaan jiwa. Zat ruh sendiri tidak bersambung dengan bahagian-bahagian badan dan tidak berpisah daripadanya bahkan ia menhadap kepada badan, memberi faedah dan melimpah kepadanya.

Mula-mula lahir Nur ruh pada otak kerana otak tempat kenyataan yang khas.
Pada bahagian depannya ia menjadi penjaga
Pada bahagian tengahnya ia menjadi menteri dan pentadbir
Pada bahagian belakangnya ia menjadi perbendaharaan. Ahli perbendaharaan dan seluruh bahagian manjadi kakitangan dan kenderaan
Roh Haiwani menjadi khadam
Roh Tobie menjadi wakil
Badan menjadi kenderaan
Dunia menjadi medan
Hayat menjadi barang (modal)
Gerak menjadi perniagaan
Ilmu menjadi keuntungan
Hari akhirat menjadi matlamat dan tempat pulang
Syarak menjadi jalan dan cara
Terhadap jiwa pendorong kejahatan (nafsu Amarah) menjadi penjaga dan pemerhati
Terhadap jiwa pengkritik (nafsu Lawamah) ia menjadi penyedar.
Pancaindera menjadi pengikut-pengikut dan pembantu.
Agama menjadi penghalang
Akal menjadi mahaguru
Rasa pancaindera menjadi murid
Ar-Robh (Allah) menjadi pemerhati

Jiwa dengan sifat-sifat ini bersama dengan alat-alat ini tidak mengarah kepada peribadi yang tebal ini dan tidak berhubung dengan zatnya, malahan ia mengarah kepada Tuhannya dan Tuhannya memerintahkannya supaya mengambil kesempatan mendapatkan sesuatu yang berguna hingga kepada satu tempoh yang tertentu.
Oleh itu ruh tidaklah menumpukan pemerhatian ke arah memikirkan yang lain dalam masa perjalanan (hidup di atas dunia) ini, melainkan berusaha mencari ilmu untuk menjadi perhiasan di dalam negeri akhirat. Ini adalah kerana perhiasan harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia sahaja sebagaimana mata menumpukan pemerhatian ke arah mendengar suara-suara, lidah siap sedia untuk menyusun kata-kata, Ruh Haiwani tunduk kepada keenakkan marah, Ruh Tobie cintakan kelazatam makan dan minum, maka ruh yang tenang (AL-Ruh Al-Muthomainnah) ertinya Qalbu tidak menghendaki apa-apa selain daripada ilmu dan tidak gemarkan sesuatupun selain daripada ilmu. Ia belajar dan belajar sepanjang usianya. Ia menghiasi dirinya dengan ilmu dalam seluruh zaman hingga waktu bercerainya dari badan. Jika ia menerima sesuatu yang lain daripada ilmu, maka penerimaannya ini cuma untuk kepentingan badan, bukan untuk kepentingan dirinya dan kecintaan asalnya. Bila anda telah mengetahui hal ehwal ruh, kekalannya yang berterusan, kecintaannya dan pemerhatiannya kepada ilmu maka patutlah anda mengetahui pula tentang jenis-jenis ilmu.
MENGENAI ROH
Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa.

Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat.
Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak.

Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.