Showing posts with label Nasi. Show all posts
Showing posts with label Nasi. Show all posts

Thursday, February 28, 2013

Nasi Minyak Hujan Panas & Gulai Ayam Terengganu Style

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Jommmmmm hari ni kita layan set hidangan tuan rumah yang terlebih rajin siket..Tapi ni menu weekendlah...Klu weekday mana sempat nak masak-masak macam ni bagai....


Sebenarnya dah lama sangat tak masak nasi hujan panas ni sehinggalah beberapa hari lepas (last week/last two week kotttt) Mamasya ada duk tayang Nasi Hujan panas dan rendang daging..Bila tengok sana terus rasa teringinlah plakkkkkk..

NASI MINYAK HUJAN PANAS


BAHAN-BAHAN
  • 3 cawan beras
  • ½ kiub ayam
  • ½ cwn susu sejat
  • 1 helai daun pandan
  • pewarna merah, kuning dan hijau 
  • air secukupnya ~ Ikut sukatan jenis beras masing-masing
 Bahan Tumis
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi 
  • 1 sudu besar marjerine
  • ½ inci halia ~ Hiris
  • 1 biji bawang besar ~ Mayang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga 
PENYEDIAANNYA
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Panaskan minyak,marjerine dan minyak sapi dan tumiskan semua bahan tumis sehingga terbit bau.
  3. Masukkan beras dan gaul rata.
  4. Masukkan susu sejat dan air secukupnya, kiub ayam, secubit garam dan daun pandan.
  5. Masaklah nasi sehingga masak
  6. Bila nasi kering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan.Tutup periuk
  7. Bila nasi betul-betul tanak, gembur-gemburkan nasi dan sedia dihidang


GULAI AYAM TERENGGANU STYLE
Sumber : KakNor @ SecubitGaram

BAHAN-BAHAN
  • 1 ekor ayam ~ dipotong
  • 3 sudu besar cili mesin
  • 5 bj bawang merah *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 1 in halia *
  • 1/4 in lengkuas *
  • 1 in kunyit hidup * (*diblend)
  • 3 sudu besar rempah gulai ~ bancuhkan dgn sedikit air panas hingga menjadi paste
  • 2 sb kerisik ~Ni Sue tambah.Campur sekali dalam paste rempah gulai
  • 4 cawan air
  • air asam jawa
  • 2 - 3 bj ubi kentang ~ dibuang kulit dan dipotong
  • 1/2 cawan santan pekat ~ boleh guna santan kotak atau santan fresh
  • garam
  • gula ~ boleh guna campuran gula dgn nisan atau gula melaka
  • sedikit belacan ~ optional
  • minyak
bahan penumis :
  • 1 btg kulit kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 bj buah pelaga
  • 5 kelopak bunga lawang
PENYEDIAANNYA
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan penumis. Tumis hingga wangi dan masukkan cili mesin.
  2. Biarkan hingga cili garing dan masukkan bahan yg diblend.
  3. Masak hingga pekat dan masukkan paste rempah gulai.
  4. Kacau dan masak lah hingga pecah minyak (boleh masukkan sedikit air utk pecah minyak dgn lebih elok)
  5. Masukkan ayam dan kacau supaya rempah mesra dgn ayam.
  6. Biarkan seketika dan masukkan air. Kacau2 biar sebati dan masak lah hingga kuah mendidih dan masukkan air asam jawa dan ubi kentang.
  7. Masukkan juga santan pekat dan masak lg hingga mendidih.
  8. Hendaklah sentiasa mengacau supaya tak naik kepala.
  9. Masukkan pula garam dan gula (atau nisan/gula melaka) dan biarkan merenih hingga ayam masak dan kepekatan kuah yg kita sukai.
  10. Cedukkan ke dalam mangkuk dan hidangkan.
*Kalau kuah nampak terlalu pekat dan tidak pecah minyak boleh lah dimasukkan sedikit air panas. Teruskan memasak, dengan cara ni minyak akan keluar semula.



ACAR NENAS

BAHAN-BAHAN
  • 1/2 biji nenas
  • *2 senduk kecil gula putih
  • *1 cawan air masak
  • *1 sk garam
  • *sedikit belaca (dibakar seketika)
  • *1 sb cili giling/boh
  • *1 sb asam jawa (boleh kurangkan jika tidak suka masam) 
PENYEDIAANNYA
  1. Nenas dikupas dan dibersihka.Buang empulur dan potong kecil-kecil.Ketepikan
  2. Satukan kesemua bahan * di dalam periuk.Masak seketika sehingga semua sebati.Matikan api dan biarkan sejuk.
  3. Masukkan nenas ke dalam bekas dan tuang kuah yang dimasak tadi...Gaul rata dan biarkan seketika.Sedia dihidang...


JUS NENAS
BAHAN-BAHAN
  • ½ biji isi nenas ~ Dibuang empulur.Separuh di blend kasar dan separuh lagi di cincang kasar
  • Air secukupnya
  • Gula Pasir secukupnya
PENYEDIAANNYA
  1. Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam periuk dan renih dengan api perlahan sehingga aras airnya surut 1/5 dari aras asal.
  2. Apabila cukup rasa manisnya ikut selera masing2, tutup api dan sejukkan.
  3. Sedia dihidang dengan ketulan ais.

Wednesday, February 15, 2012

Nasi Himpit Kuah Kacang

Assalamualaikum dan selamat petang...

Jommmm kita layan nasi himpit kuah kacang di luar musim raya....Versi simple dan main campak-campak jeee asal siap...

KUAH KACANG
Sumber : Sue@Nenie

BAHAN-BAHAN
  • ½ kg kacang tanah (disangrai dan dibuang kulit, ½ portion kisar kasar dan ½ portion kisar halus)
  • ½ cwn minyak masak
  • 2 batang serai
  • 2~3 sb nisan/gula merah
  • garam secukupnya
Bahan Kisar
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • sehiris halia
  • 10~15 tangkai cili kering (direndam air panas sehingga lembut dan toskan)
  • 1 sb udang kering
PENYEDIAANNYA
  1. Di dalam periuk, panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga terbit bau dan pecah minyak.
  2. Masukkan kacang kisar dan kacau sehingga sebati dengan bahan tumisan.Biar seketika dengan api kecil.
  3. Masukkan air secukupnya mengikut kepekatan yang diingini...Perasakan dengan nisan/gula merah dan garam secukupnya...
  4. Masak sehingga kacang betul2 masak dan kuah pekat.
  5. Sedia dihidang dengan nasi himpit/sate....

Wednesday, November 30, 2011

Nasi Briyani

Salam...Sebelum ni dah dua kali asyikk tapau je nasi briyani...Tapi kali ni nak merajinkan diri pula buat sendiri tapi masih dalam situasi malas, hanya guna perencah jeee..Ringkas dan cepat...keh keh keh

Ambik resipi dari Myr tapi dah diubah suai sedikit ikut selera anak tekak ni....

NASI BRIYANI
Sumber : NurAufa @ MyResipi

BAHAN-BAHAN

Bahan Asas
  • 2 pot Beras Basmathi
  • 1 sb Rempah briyani
  • 1/2 tin Susu cair
  • 2 sb minyak sapi
  • 2 sb marjerine
  • Perwarna kuning
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 7 bijibunga cengkih
  • 5 biji buah pelaga
Bahan Untuk Kisar
  • 1/2 inch Halia
  • 3 ulas Bawang putih
  • 5 labu Bawang merah
Bahan Hiasan
  • Daun bawang
  • Daun sup yang di potong
  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Hirisan Badam


PENYEDIAANNYA

  1. Panaskan minyak sapi dan marjerina supaya mnjadi minyak dan tumis rempah tumis (bunga lawang, kayu manis, bunga cengkih dll)
  2. Masukkan bahan2 yang di kisar, tumis hingga naik bau dan masukkan rempah briyani.
  3. Kemudian masukkan susu cair.
  4. Masukkan beras yang siap dibasuh&tos ke dalam tumisan.Tambahkan air secukupnya dan masaklah nasi macam biasa
  5. Bila nasi dah masak.. Titiskan pewarna kuning.Jangan dikacau dahulu..Dan tabur juga bawang goreng, badam dan kismis.Tutup periuk.
  6. Bila nasi sudah tanak sepenuhnya, kacau perlahan nasi supaya semua bahan bercampur.Sedia dihidang bersama lauk kegemaran...

Monday, October 24, 2011

Nasi Lemak & The Geng

Assalamualaikum...

Salam sejahtera buat semua yang masih sudi berkunjung ke "Rencah Kehidupan" samada meninggalkan jejak atau pun silent reader...Terima kasih juga atas segala komen2 yang pernah ditinggalkan kerana ia sedikit sebanyak menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan memberi peluang kepada Sue untuk memperbaiki mana2 yang kurang dan juga menimba pelbagai pengalaman untuk mencuba sesuatu yang baru....

Kembali kita ke hari Isnin..Monday blues...? Oh! No lah....Hari ni sihat2 saje cumanya tadi pagi cuak siket pasal bekalan air terputus sehingga pukul 6.15 am..Baru Ok...Ha ha ha kat kepala tadi dah buat plan jahat..Kalau air tak de juga, sah-sah ada orang MC nanti kannnn.....

Pagi ni kita layan jelah sarapan semalam...Dah lama rasanya tak masak nasi lemak...Sesekali di hujung minggu melayan nasi lemak air tangan sendiri best gak....He he he he

NASI LEMAK & THE GENG

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN
  • Telur rebus
  • Ikan bilis goreng
  • Kacang Tanha goreng
  • Mentimun

NASI LEMAK
Resipi : Sue@Nenie

BAHAN BAHAN
  • 2½ pot beras (dibersih & toskan)
  • 200 ml santan pekat
  • 400 ml air (bergantung pada jenis beras yang digunakan)
  • 1 batang serai (dititik)
  • sehiris halia
  • ½ labu bawang besar (mayang)
  • sedikit garam
PENYEDIAANNYA
  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
  2. Apabila telah masak, gembur-genburkan nasi dan sedia untuk di hidang.

SAMBAL
Resipi : Kak Junjs @ MyR

BAHAN-BAHAN
  • 6 sudu besar cili kering mesin
  • 4 ulas bawang merah -ditumbuk
  • 2 ulas bawang putih -ditumbuk
  • 1 biji bawang besar -dihiris
  • segenggam ikan bilis (dibasuh, separuh darinya ditumbuk)
  • sedikit air asam jawa
  • sedikit belacan (jika suka)
  • garam n gula secukupnya

PENYEDIAANNYA

  1. Tumis bawang besar, masukkan bawang2 yg ditumbuk, cili mesin, belacan dan ikan bilis yg ditumbuk..hingga sedikit garing dan pecah minyak.
  2. Masukkan air asam dan separuh lagi ikan bilis yg sudah dibersihkan tadi.
  3. Masukkan garam n gula. Masak sehingga agak pekat.

AYAM GORENG BEREMPAH
Resipi : Sue@Nenie
BAHAN-BAHAN
  • 4~5 ketul ayam sederhana besar
  • 1 sb serbuk kari
  • 1 sb serbuk cili ~ Sue lebih suke guna cili boh
  • 1 sk serbuk kunyit
  • 1 sk jintan manis biji
  • 1 sk jintan putih biji
  • 2 tangkai daun kari
  • Garam & gula secukupnya
Bahan Kisar
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inch halia
  • 2 batang serai
PENYEDIAANNYA
  1. Masukkan ayam yang siap dibersihkan ke dalam mangkuk besar, kemudian masukkan kesemua bahan-bahan dan gaul sehingga sebati.
  2. Perap lebih kurang setengah jam.
  3. Goreng terendam sehingga kekuningan atau ayam masak..
  4. Sedia dihidang

Wednesday, February 2, 2011

Nasi Kerabu Perantau

Salam..Dah dua kali buat ni..Tapi yang pertama dulu tak sempat posing mosing punnn..Lepas masak, lapar sesangat..Terus senduk-senduk dan nyum nyum nyum....

Dan kali ni wat lagiiiii.....Pun simple jeee..Bahan-bahan tuk kerabu pun cinonet jeee, just guna kacang panjang. kobis dan tauge pasal itu je yang ada kat sini...Sambal pun tak buh budu pasal tak pernah simpan stok kat rumah ni..Wahhhhh...konon-konon cam perantau lah yaaaaa...Perantau luar dari kampung halaman..Boleh gitu...?

Resipi ni Sue kopipes dari Dapur Kak Yani kat MYR sana...Thanks ya Kak Yani....

Simple je kan nasinya....Main bantai nasi putih jeeee

BAHAN-BAHAN


Nasi~Sue masak nasi putih biasa jeeee
  • 4 cwn beras
  • 1 sudu kecil garam
  • air secukupnya - macam masak nasi biasa..
  • 2-3 titik pewarna kuning
  • 2-3 helai daun limau purut(optional)
  • 1 btg serai-diketuk(optional)
Sambal Tumis
  • 5-10 biji lada kering
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1cm halia
  • 1cm kunyit/ 1 sk serbuk kunyit
  • 200ml/ 1/2 tin santan pekat
  • 2 btg serai
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 sudu besar budu / 3 sudu besar sos ikan ~Tak Buh, tarak stok
  • garam dan gula melaka
Sambal ikan
  • 1 ekor ikan kembung- saiz besar
  • 1 cawan kelapa kering/ kelapa parut
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/3 biji bawang besar (4-5 biji bawang merah)
  • 1 batang serai
  • 1cm halia
Kerabu
  • kubis
  • kacang panjang
  • timun
  • taugeh
Bahan lain- optional
  • solok lada
  • telur asin
  • bawang jeruk
  • ayam goreng kunyit
  • sambal belacan
PENYEDIAANNYA

Masak Nasi
  1. Cucikan beras dan masukkan semua bahan utk masak nasi yang lain. Masaklah seperti masak nasi biasa.

Sambal Tumis
  1. blend lada kering, bawang, kunyit dan halia sehingga lumat.
  2. Panaskan minyak(kena banyak siket), tumis semua bahan blend tadi sehingga pecah minyak

Sambal Kelapa Ikan
  1. Bersih ikan dan bakar. Sementara tu bolehlah goreng kelapa
  2. Goreng kelapa tanpa minyak dengan api kecil sehingga jadi perang. Kalau kelapa parut ni kasar, bolehlah ditumbuk sekejap ketika kelapa masih panas-panas.
  3. Asingkan isi ikan dengan tulang. Tumbuk isi ikan untuk kelihatan halus.
  4. Tumbuk pula bawang dan serai, sehingga lumat. Kalau guna food processor masukkan bawang dan isi ikan sekali gus ke dalam food processor .
  5. Campur sekali ikan dan bawang, goreng tanpa minyak sehingga agak garing.
  6. Campurkan ikan dengan kelapa goreng tadi. Masukkan garam dan gula. Gaul hingga sebati.

Kerabu
  1. Hiris semua sayur dan gaul ratakan.


****Bila nak makan tu, ambik sikit semua bahan dan letak ke dalam nasi. Boleh juga dimakan dengan bahan lain tu.. lagi sedap

Saturday, January 15, 2011

Nasi Lobak Merah

Emmm sejak akhir-akhir ni selalu mahu masak nasi berperisa..Kali ni masak nasi Lobak Merah pula....Sara & Ieya main ratah nasi jeeee....

BAHAN-BAHAN
  • 2 pot beras ~Bersih dan toskan
  • 1 batang lobak merah ~Sue guna 1/2 je pasal saiznya besar
  • Air secukupnya ~Untuk masak nasi
  • 1/2 cawan susu cair
  • 1 sb jus limau sunkist
  • 1/2 sb parutan kulit limau ~Sue tak buh
  • 1 helai daun pandan
  • 1 sb biji gajus+badam ~Dikisar
  • 1 sb minyak masak
  • 1 sb minyak sapi
  • Garam secukupnya
  • Kismis secukupnya untu hiasan
Bahan Tumisan
  • 1 labu bawang besar ~Dihiris
  • *2 cm halia
  • *1 ulas bawang putih (Bahan* dikisar) ~Sue parut jeeee
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
PENYEDIAANNYA
  1. Lobak merah dibuang kulit dan diparut kasar..Ketepikan
  2. Panaskan minyak masak dan minyak sapi di dalam rice cooker.Tumis bawang besar, kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang sehingga bawang layu.
  3. Kemudian masukkan halia dan bawang putih kisar.Tumis sehingga naik bau.
  4. Masukkan daun pandan dan air secukupnya..Biarkan mendidih.
  5. Masukkan jus&kulit limau, gajus+badam kisar, susu cair dan garam secukupnya.
  6. Kacau seketika dan masukkan beras serta lobak merah.
  7. Masak nasi seperti biasa.
  8. Bila nasi kering air, taburkan kismis di atasnya..Tutup periuk dan biarkan sehingga nasi betul-betul masak.
  9. Kacau nasi dengan hati-hati supaya kismis sebati dan sedia dihidang dengan lauk pilihan...

Wednesday, January 12, 2011

Nasi Ayam

Salam..Haaaaa..Bagai dikata, versi ayam lagiiiii...Dah macam minggu ayam sedunia lak...Ni semua gara-gara nak habiskan tulang-temulanglah lah ni...Bukan apa, asyik masak badan ayam jeeeee, kaki n lehernya terkumpul plak....Daripada terperap je kat esbox tu, lebih baik ambil patinya wat sup..Then kaki n lehernya nanti bolehlah kasi kenduri kat kucing....

Kata orang tua-tua kalau membela kucing ni, dia selalu doakan tuan dia kaya pasal nanti dia boleh tumpang senang...Maklumlah, kucingkan suka tidur kat tempat yang empuk...Kalau tuannya kaya, dia boleh tumpang sekaki..He he he he...Itu kata-kata orang lamalah....

Oklah...Ni Nasi Ayam versi yang Sue selalu buat...Simple jeeeee..

BAHAN-BAHAN

**Sup Ayam
  • Rangka/Kaki/Leher Ayam secukupnya
  • Air untuk kuah sup secukupnya
  • 1 labu bawang besar (Kalau bawangnya saiz kecil buh dua) ~Dimayang
  • 3 ulas bawang putih ~Dicincang
  • 2 inch halia ~Diketuk
  • 1 Batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 1 rempah bunjut
  • 1 ketul kiub pati ayam
  • Garam secukupnya
Optional
  • 10 biji bebola ikan
  • 5 kelopak cendawan tiram (dikoyak-koyak)
  • 2 biji ubi kentang ~Dipotong ikut suka

***Nasi Ayam
  • 2 pot beras ~Dibersih dan toskan
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • Kuah **sup ayam secukupnya

****Air Lada
  • 1~2 cawan **sup ayam
  • 5 tangkai cili kering ~Direndam ngan air panas sehingga kembut
  • Sos cili bawang putih
  • 1 sk tepung jagung ~Dibancuh ngan sedikit air
  • Garam dan gula secukupnya

*****Ayam ~Cara Malas
  • 4 ketul isi ayam@mana-mana bahagian
  • Sos Perapan BBQ
*****Ayam ~Cara Rajin siket
  • 4~5 ketul isi ayam@mana-mana bahagian
  • 2 sb kicap mee
  • 2 sb sos tiram
  • 1 sb madu
  • 1 sk serbuk cili ~Jika mahu sedikit pedas
  • Garam secukupnya

******Untuk Hiasan

  • Mentimun, salad dan tomato

PENYEDIAANNYA

**Sup Ayam
  1. Tumis bawang putih sehingga wangi.Kemudian baru masukkan bawang besar, halia, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih.Tumis sehingga bawang layu.
  2. Masukkan secawan air panas dan kerangka ayam.Masak seketika.
  3. Kemudian masukkan air secukupnya untuk sup.Masak sehingga mendidih.
  4. Bila dah didih, masukkan 1/2 kiub pati ayam dan sup bunjut.
  5. Renih sehingga kuah sup tinggal 3/4 dari kuantiti asal.
  6. Keluarkan kuah sup secukupnya untuk masak nasi dan dijadikan air lada
  7. Tambah air lagi sekiranya perlu..Kemuadian masukkan kentang, fish ball dan 1/2 lagi kiub ayam..
  8. Renih sehingga tinggal 3/4 dari kuantiti asal (7).
  9. Masukkan cendawan tiran dan perasakan dengan garam...Ketepikan...

***Nasi Ayam
  1. Masukkan beras yang telah dibersihkan ke dalam rice cooker.
  2. Taburkan cengkih di atasnya dan masukkan kuah **sup ayam secukupnya...
  3. Masak seperti biasa sehingga nasi tanak.

****Air Lada
  1. Masukkan cili dan kuah **Sup Ayam ke dalam blender.Blend sehingga cili hancur.
  2. Masukkan (1) ke dalam periuk.Masak sehingga mendidih.
  3. Perasakan dengan garan dan gula secukupnya.
  4. Pekatkannya dengan bancuhan tepung jagung.

Haaaa..yang ni versi malas punyeeeeee

*****Ayam ~ Cara Malas

  1. Perap ayam ngan sos/marinate BBQ.
  2. Bakar/grill sehingga masak
*****Ayam ~ Cara Rajin siket
  1. Perap ayam ngan kesemua bahan beberapa ketika
  2. Goreng/panggang/grill sehingga masak

Friday, May 28, 2010

Nasi Minyak Hujan Panas

Sejak dapat resipi dan menjadi dengan jayanya buat pertama kalinya...terus selalu berpandukan resipi ni bila nak buat nasi minyak hujan panas...

CnP resipinya dari Dapur Makyong dari MYR


BAHAN-BAHAN
  • 4 cawan beras basmati
  • 5 cawan air
  • 2 kiub ayam
  • 2 helai daun pandan
  • pewarna merah, kuning dan hijau
  • [bahan tumis]
  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • [bahan hias]
  • bawang goreng
  • kismis
PENYEDIAANNYA
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak
  7. Bila nasi kering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila dah masak, gembur-gemburkan nasi tu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka

Thursday, March 11, 2010

Nasi Goreng Kampung

Nasi Goreng Kampung yang simple lagi ringkas...Masak ikut sempat...

Keh keh keh..Wahhhhh dengarnya macam terlalu sibuk nih....Iyo lohh...sekarang waktu titin pun dah cecah hampir 12am setiap malam..semua kena settlekan waktu malam, masak-masak then dinner, iron, basuh, sidai dan lipat pakaian, settlekan beg anak-anak then clearkan kitchen...Pah tu pagi kena bangkit lagi awal, mana nak masakkan bubur Adik, sediakan air mandi dan siapkan diorang dan prepare mana-mana yang patut lagi..

Kalo dulu 8.45am baru tekedek-kedek nak keluar rumah tapi sekarang 7.45am dan kena hantar Sara & Ieya....Adusssss pah tu jem lagiii kat Summit dan depan Sunway....Macam nak tercabut kepala lutut ni duk jaga brek........Sib baiklah kete auto...kalo manual...Adussssss....mati loh....

Ini pun terpaksa jadi jahat, main cilok-cilok potong Q....Sampai gak ke opis lebih kurang 8.45~8.50am...Kalolah jadi pemandu berhemah, tak taulah sampai pukul berapa nanti...keh keh keh...kalo ada yang rasa aku tak patut potong-Q, mementingkan diri sendiri, itu aku minta maaf ya...kalo tak buat cam gitu, tak bergeraklah kete aku jawabnya...Pasal semua orang duk potong, jadi aku pun apa lagi....POTONGlahhhhhhhh.......Haaaa...Pah tu gaji aku pun kena potong sama, lima posen setiap minit lewat....Wah ha ha ha ha.....Berdisiplin sungguh kepala otak Bos aku ni.....

oklah.....Dah penat berceloteh ni, jom kita jamu selera mata pula ngan nasi goreng kampung aku yang serba ringkas ni....


BAHAN-BAHAN
  • 2 mangkuk nasi putih (sejuk dan berderai)
  • 3 biji bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 80 gm udang kering*
  • 4 tangkai cili padi* (*ditumbuk)
  • 150 gm udang sederhana besar
  • 100 gm ikan bilis (digoreng garing)
  • 1 tangkai kangkung
  • 2 batang kacang panjang ~ tak buh, tarak stok
  • 2 biji telur
  • 2 s.besar minyak masak
  • Garam dan lada putih secukup rasa
PENYEDIAANNYA
  1. Gaulkan nasi bersama garam dan lada putih sehingga sebati.
  2. Tumis bahan tumbuk sehingga wangi.Masukkan udang.
  3. Pecahkan telur di dalam mangkuk kecil dan pukul sekadar utk mencampukan kuning dan putihnya...
  4. Kemudian tuang (3) ke dalam (2) dan kacau sekejap sahaja.Masukkan nasi supaya telur dapat menyalut nasi.
  5. Masukkan sayur-sayuran dan masak sehingga sempurna.
  6. Akhir sekali tabukan ikan bilis dan sedia untuk dihidang...
NOTE :- Kalo tak moh gaulkan nasi ngan garam dan lada putih pun tak pe, boleh buh bahan berkenaan semasa proses menumis....Boleh ajeee ikut selera

Friday, February 19, 2010

Nasi Jagung

Salam di pagi Jumaat yang mulia, penghulu segala hari....First-first kite nak ucap tima kasih kat sisiapa saja yang sudi bersinggah kat rumah kita 2~3 hari ni dan tinggalkan komen kat n3 or c.box..nanti ada masa kita balas yaaaa...Dan ada masa nanti kite blogwalking rumah kengkawan yang lain pula yaaaa...Love, nati I gi angkut award kat rumah u yaaa....

Oklah...Hari ni kita layan nasi jagung dulu yaaa....dah lupa dari siapa, ambik kat MYR...nanti ada masa kite cuba link resipi asalnya


BAHAN-BAHAN
  • 1 tin jagung whole kernel (yang biji2)-toskan airnya.
  • 4 cawan beras basmathi
  • 4 cawan ar (campuran air jagung+air biasa) - Boleh tambaha/kurangkan ikut kesesuaian nasi
  • 1/2 cawan susu cair
  • 1/2 cawan gajus/badam (dikisar)
  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar minyak
  • 2 helai daun pandan disimpul sedikit garam
Bahan yang dikisar/blend
  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • sedikit halia

PENYEDIAANNYA
  1. Basuh beras hingga bersih dan rendam lebih kurang 20~30 min (CheThe tak rendam pun)
  2. Panaskan mentega dan minyak dalam periuk.Tumiskan bahan kisar...Tumis sehingga wangi dan garing.
  3. Masukan campuran air,daun pandan serta garam.Didihkan.
  4. Kemudian masukkan susu,gajus/badam kisar dan beras.Kacau rata dan didihkan lagi..
  5. Setelah nasi hampir kering,masukkan jagung.Balik2 kan nasi dan tutup periuk.Kecilkan apinya dan masaklah sehingga tanak.
NOTE: -biasanya Sue terus masukkan jagung sama ngan beras tadi then masak sekali gus..pasal guna rice cooker...

Thursday, February 4, 2010

Nasi Lemak biasa

Salammm.....Tak tawlah apa mimpi terajin pula nak wat nasi lemak pepagi bute ni..Biasa belasah jee kat gerai Mak Cik tu...

Haaaa bila sebut nasi lemak kat gerai MakCik tu, ni ada satu cerita..Kita sukeee sangat beli nasi kat situ pasal nasinya siket je (tak menimbun) then ayam pun kecik je sesuai ngan saiz nasinya..Jadi kita suke pasal boleh habiskan nasi tu, tak membazir dan harga pun sesuai ngan saiznya,RM2 jeee...Pun tak membazir wang kite....Apa² pun sambal n nasinya sedap, itu antara yang terpenting gak...Jadi hari² makan nasi lemak pun kita mcm tak kisah....

Emmm Alahaiiii....Walaupun sekarang Mak Cik dah tambah kuantiti nasinya dengan harga lama, tapi nampak gayanya tak lama lagi kite tak akan jadi regular kastemer lagi....Pasal start bulan depan kita dah tak kerja sini lagi, akan pergi jauhhhhh dari sini..Mesti rindu kat nasi lemak Mak Cik....

Cheh....cheh....Sedih² pula tgh hari bute ni....Oklah..berbalik citer asal..Pasal 2~3 hari ni, setiap pagi sebelum pergi kerja n hantar Sara dua bradik, Sara duk tadah pinggan merah dia je sambil sebut "nasi" "nasi" dah tu diri pula kat rice cooker..Jadinya kite pun rasa tak sampai hati sangat....So hari ni kite terpaksa gak gagahkan diri sediakan nasi lemak yang tak berapa lemak ni kat dia...Mama n Papa pun boleh tumpang sekaki...

So..Kite layan jeee lah gambar² main tibai yang ada ni...Nak cepat..malas tak sempat nak posing mosing lagiiiii....Idea pun keringgg je 2~3 hari ni...


Rabbit yang Mama punya tawwwww.....Sara ambik Teddy tu....


Waaaaaa.....Betul² Sara ambik Teddynya saje sampai lupa kat nasinya.....
Menciiiiiiiiii......

Friday, January 29, 2010

Nasi Dal

Salam..Masak apa tgh hari ni..?
Kita cam biasalah, lunch main tunjuk² je...Nanti malam barulah bukak langkah bersilat kat dapur...Ni Dinner semalam...Sajelahhh..ehhh..terlebih rajin pula ya sejak dua menjak ni buat nasi² ada perisa ni..Sajalah...gatai tangan siket....

kalau ikut resepi kacang dal direndam sejam..Tapi kita rendam lama..Semalaman@seharian...Pasal takut nanti tak sempat empuk bila nasi masak...

Dan masa menyediakan nasi pun main ngelat gak...terus tumis je kat rice cooker dan masak seperti biasa...Senang n jimat masa....

BAHAN-BAHAN
  • 1 ½ cawan beras
  • 6 s.k mentega
  • ½ cwn kacang dal
  • 1 ½ cwn air mendidih
  • ½ s.teh serbuk kunyit
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 2.5 cm halia
  • 6 biji lada hitam

PENYEDIAANNYA
  1. Rendam beras dan dal secara berasingan selama 1 jam dan toskan.Cincang halia, bawang besar dan bawang putih.
  2. Cairkan 4 s.k mentega dan pijarkan.Tumis bawang cincang sehingga kekuningan.Masukkan halia, bawang putih, lada hitam dan goreng selama 3 min.
  3. Masukkan beras, dal, garam dan serbuk kunyit.Perlahankan api dan masak selama 5 min.Masukkan air memdidih dan masak lagi.
  4. Perlahankan api, tutup periuk dan biarkan 15-20 min atau sehingga nasi dan dal telah lembut dan air kering.Masukkan baki mentega.
  5. Masukkan nasi kedalam pinggan hidang dan tabur dengan bawang goreng.

Thursday, January 28, 2010

Nasi Beriyani

Ada baguss juga ya jalan-jalan rumah orang ni...Dah penat cuci mata kadang-kadang boleh bawa oleh²..Oleh² ni tak pe kan kak Ina...? Halal ya Kak Ina kite nak kopipes resipinya kat sini....Terima kasih juga kat Kak Ummi@Kuantan dan Kak Hanieliza yang sudi berkongsi resipi simple yang sedap ni.....

BAHAN-BAHAN
  • 1 kg beras
  • 2 sb rempah beriani ( bancuh ngan air jadikan pes)
  • 4 biji tomato (potong dadu)
  • 3 biji cili merah (belah 2) ~ tak buh
  • 3 biji cili hijau (belah 2) ~ tak buh
  • 100 gm daun pudina (potong kasar)
  • 100 gm daun ketumbar ~ tak buh, hb tak suke
  • 1 liter air
  • 1 cwn susu cair
  • 4 sb minyak sapi
  • ½ cwn kismis
  • ½ cwn gajus (bakar/sangrai)
  • Garam secukup rasa
  • 1 sb pewarna kuning (bancuh ngan sedikit air) ~ tak bancuh air, titis terus sebelum masak nasi.
Bahan tumisan
  • *5 ulas bawang merah
  • *3 ulas bawang putih (*dihiris)
  • 2 cm halia (diketuk)
  • 2 cm kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 2 biji buah pelaga
  • Daun kari ~ tak buh, takde stok

PENYEDIAANNYA
  1. Panaskan minyak sapi dalam rice cooker.Tumis bahan tumisan dan daun kari sehingga wangi.
  2. Masukkan pes rempah dan kacau rata.Masak sehingga naik minyak.
  3. Masukkan tomato dadu, cili merah dan cili hijau.
  4. Masukkan air dan susu cair.Biarkan mendidih sebentar.
  5. Masukkan beras dan sedikit pewarna.Masak seperti biasa.
  6. Apabila nasi sudah masak sepenuhnya, gemburkan nasi perlahan supaya beras tidak patah.
  7. Hidang nasi dengan taburan gajus dan kismis.

Tuesday, January 26, 2010

Nasi Ayam Penyet

Salam dan selamat petang semua...
Ni menu last weekend, jadi tak yah tadah² pinggan ya...Tadak, dah abesssss..Yang ni kali kedua buat..Yang pertama dulu, tak sempat nak snap pasal tukang masak tengah lapor....Bila siap je terus ngap, tak ingat dunia nak posing mosing lagi....Bila dah abis masuk indah water perut baru ingat....

Tump-up buat Ijan kita yang jauhhhhhh nun di Finland sana kerana resipi dia yang best ni....Memang puas makan bertambah-tambah nasi dibuatnya..Sambal dia pun best gak....Pendek kata memang tak rugi masalah bersusah² siket nak sediakannya...Tapi semua tak bermalammm.Hari tu perap, hari tu gak goreng...

Ijan, cam biasa yaaaaa.....CnP kat sini, minta halal....

BAHAN-BAHAN

Untuk Ayam

  • 1 ekor ayam – potong 8 bahagian, rebus selama 10 minit dan toskan (simpan air rebusan ayam untuk buat sup)-kite guna air nie jgk utk masak nasik
  • ½ sudu besar Jintan Manis – goreng tanpa minyak hingga naik bau
  • ½ sudu besar Jintan Putih – goreng tanpa minyak hingga naik bau
  • 3 sudu besar Biji Ketumbar – goreng tanpa minyak hingga naik bau
  • 1 sudu besar Serbuk Kari Ayam
  • 1 sudu besar Serbuk Kunyit
  • ½ sudu besar Serbuk Lada Putih
  • 3 ulas Bawang Putih
  • 1cm Halia
  • Sedikit Air
  • 1 sudu kecil Garam
  • Minyak masak untuk menggoreng.
Untuk sambal
  • Sedikit minyak masak
  • 10 batang Cili merah (lebihkan jika mahu lebih pedas)
  • 10 biji Cili padi
  • 10 biji Bawang kecil/merah, hiris
  • 3 biji Bawang putih, hiris
  • 5 biji Tomato, potong 4
  • 5 cm Belacan
  • 2 sudu Ikan Bilis-kite lebihkan cikit
  • 3 sudu gula merah/secukup rasa
Untuk nasi
  • 3 cawan beras dibasuh dan ditoskan
  • 3 ulas bawang putih
  • satu btg kayu manis
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • sedikit butter
  • garam
  • kiub pati ayam/daging
  • 6 cawan air rebusan ayam (yg disimpan td)

PENYEDIAANNYA

Untuk Ayam Penyet
  1. Masukkan kesemua bahan (kecuali minyak masak) dalam pengisar, kisar hingga halus.
  2. Lumur bahan yang telah dikisar pada ayam dan perap semalaman.-perap lama2 cenggini best.
  3. (Simpan bahan kisar yang berlebihan untuk goreng tempe dan tahu.)- kite tadak tauhu/tempe. Tak buat.
  4. Setelah perap semalaman, golek-golekkann pada tepung beras.
  5. Panaskan minyak dan goreng hingga garing.

Untuk Sambal
  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing/rangup. Angkat dan ketepikan.
  2. Goreng belacan seketika Angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan bawang merah, bawang putih dan cili. Setelah layu, masukkan tomato. Gaul rata dan tutup api. Angkat dan ketepikan.
  4. Sejukkan semua bahan yang telah digoreng pada suhu bilik.
  5. Masukkan kesemuanya ke dalam pengisar atau lesung batu. Kisar atau tumbuk sehingga separa halus.
  6. Masukkan semua bahan tumbuk ke dalam periuk dan panaskan.
  7. Masukkan gula merah dan gaul rata.
  8. Rasa sambal yang terhasil, tambah garam atau gula merah jika perlu mengikut citarasa.* Sambal boleh disediakan sehari sebelum hidangan sajian. Simpan sambal dalam peti sejuk. Panaskan sambal sebelum disajikan.

Untuk Sup
  1. Masukkan garam secukup rasa pada air rebusan ayam.-kite tambah ayu manis, bunga lawang, pelaga dan ketumbar (boleh masukkan terus sup bunjut kalo ade).
  2. Panaskan sebelum dihidangkan. Tabur hirisan daun sup dan daun bawang pada sup semasa disajikan.

Untuk Nasi
  1. Panaskan butter. Tumis bawang putih, kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga wangi.
  2. Masukkan beras yg dah ditoskan. Kacau lebih kurang 3-5 minit.
  3. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kiub ayam/daging. Tunggu sehingga menggelegak sedikit.
  4. Pindah ke periuk nasi letrik dan masak macam biasa.

Wednesday, January 20, 2010

Nasi Goreng

Salam buat semua pengunjung...Pertamanya nak ucap terima kasih kerana sudi singgah² dan jenguk² kat sini...Semoga anda semua sihat sejahtera dan dapat memulakan hari ini dengan senyuman dan keceriaan...

Sarapan pagi yang simple...Nasi goreng...Resipi dari buku "Masakan malaysia"...

BAHAN-BAHAN
  • 500 gm nasi putih
  • 4 sb minysk masak
  • 4 biji telur (pukul sedikit dgn sedikit garam)
  • 2 biji bawang besar
  • 50 gm udang (dibuang kulit)
  • 2 tangkai daun bawang
Bahan Perasa
  • 6 sb air (sue tak buh)
  • 1 s.teh garam (secukup rasa)
  • 1 s.teh serbuk perasa jika suka (xbuh juga)
  • 1 sb kicap (sue guna kicap cair)
  • 1/4 s.teh serbuk lada putih (sue lebihkan)
PENYEDIAANNYA
  1. Panaskan 2 sb minyak dan goreng telur...Kemudian hancur²kan ia.Ketepikan.
  2. Panaskan baki minyak dan tumis bawang sehingga layu.Tambah udang dan goreng kacau sehingga udang berubah warna.
  3. Masukkan nasi.kacau sebati.
  4. Di dalam mangkuk, satukan kesemua bahan perasa.Kacau sebati dan tuang ke dalam (3).Balik-balikkan sehingga sebati ngan nasi.
  5. Masukkan telur goreng dan daun bawang.Kacau sebati sehingga semua mesra dan masak
  6. Sedia dihidang.
NOTE :- Hasilnya ialah nasi yang agak plain tapi berperisa...Dan bagi Sue, ia sesuai dijadikan basic untuk penyediaan nasi goreng ladna, paprik dan yang seangkatan dengannya yang mempunyai lauk/hidangan sampingan...

Wednesday, January 13, 2010

Nasi Daging Berperisa

Ini menu last weekend..Nasi daging berperisa....


BAHAN-BAHAN
  • 300 gm fillet daging
  • 6~7 ulas bawang merah (dimayang)
  • 450 gm beras
  • 1 s.teh garam
  • 2 pokok daun bawang (optional)
Bahan perisa (Disatukan di dlm sebuah mangkuk)
  • 2.5 cm halia (tumbuk lumat dan perah airnya)
  • 2 s.teh tepung ubi kayu
  • 2 s.teh kicap cair
  • 1 s.teh kicap pekat
  • 1 s.besar minyak masak
  • Secubit lada putih

PENYEDIAANNYA
  1. Hiris nipis² daging melintang urat..Gaulkan dengan bahan perisa.Ketepikan.
  2. Panaskan 1 s.besar minyak, Goreng bawang merah sehingga keperang-peranga.Angkat dan ketepikan.
  3. Di dalam minyak yang sama, masukkan daging yang diperap tadi dan kacau goreng sehingga daging masak.Ketepikan
  4. Di dalam rice cooker, masukkan beras, air secukupnya dan garam.Masak seperti biasa.
  5. Apabila nasi hampir tanak dan airnya mula kering, masukkan (3).Tutup periuk..Biarkan nasi sehingga betul² masak.
  6. Apabila sudah tanak, karih nasi ngan chopstik supaya daging serata ngan nasi.
  7. Tabur bawang boreng dan daun bawang sebelum menghidang...

Tuesday, January 5, 2010

Nasi nenas Thai

Kalau biasa kita makan nasi goreng nenas, kali ni apa kata kita tukar style sikettt...Jadi Nasi Nenas....Sedap tau....Lagi-lagi makan ngan ayam masak merah....Time kunyah nasi tu, tiba-tiba tergigit kiub nenas nya.....Pop!!!!....Terpercik rasa manis² masam nenas tersebut di dalam mulut, diadun sempurna ngan rasa manis² pedas² kuah masak merah ayam ....

Wahhhh..Tak tertahan untuk menikmatinya lagi...Kunyahan demi kunyahan....

Keh keh keh...Jangan Mareee yaaaaa.....

BAHAN-BAHAN
  • 3 sb minyak masak
  • 55 gm udang kering (tumbuk kasar)
  • 55 gm ham ayam (potong dadu)
  • 225 gm nenas ( buang empulur & potong dadu)
  • 500 gm beras wangi
  • 2 sb mentega
  • 55 gm bawang merah ( dimayang)
  • 2 ulas bawang putih (dmayang)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3/4 cwn jus nenas
  • 2 helai daun pandan
  • air mendidih secukupnya.
Perasa
  • 1 s.teh (rata) rempah kari
  • 1/2 s.teh kunyit serbuk
  • 1 buku kiub pati ayam (hancurkan)
  • 2 s.teh (rata) garam
  • 1 sb jus lemon
PENYEDIAANNYA
  1. Panaskan kuali sehingga panas sekali.Masukkan minyak masak san apabila panas, goreng udang kering dan ham ayam sehingga perang.Alihkan kepinggan dan ketepikan.
  2. Di dalam kuali yang sama, goreng nenas yang dipotong dadu selama 5 min sehingga keperang-perangan.Ketepikan.
  3. Di dalam rice cooker, masukka mentega.Setelah panas, tumis bawang mayang dan kulit kayu manis sehingga keperang-perangan.
  4. Masukkan bahan perasa dan kacau, kemudian masukkan jus nenas dan daun pandan.Kacau sebati.
  5. Masukkan beras dan tambah air mendidih secukupnya.Masak seperti biasa.
  6. Bila nasi masak, taburkan (1) dan (2).Tutup periuk sehingga nasi tanak.
  7. Karih-karih sedikit supaya semua bahan bercampur..Sedia dihidang..

Monday, January 4, 2010

Nasi Uduk Betawi

Salam hari keempat di Tahun Baru 2010....Kembali bersiaran setelah 2~3 hari menyepikan diri...Biasalah, bila hujung minggu ni malas sikit nak ngadap komp...Dahlah time kerja dari pagi sampai ke petang kena ngadap screen, dah cuti tu kasi mata ni rehat sikit...

Lagi satu alasan yang paling munasabah bila tenet kat rumah berkelajuan kura-kura, sekali click mau kena tunggu 15~30 min..Sape nak melangut kat situ lama² kan...? Baik cari kerja yang lebih berfaedah sikettt...Dan mendatangkan hasil...keh keh keh....

Bila cakap pasal hasil tu, ni nak tayang siket hasil penat lelah kita membanting tulang kat dapur,Nasi Uduk Betawi...Ni breakfast pagi semalam...So tak yah bawak pinggan lah, pasal dah confirm abissss....Jamu mata dan ambik bau jeeee....

Alaaaa..Kalau kat M'sia, ni kira ala² nasi lemak kukus lah....

BAHAN-BAHAN
  • 2 cwn beras
  • 625 ml santan
  • ½ s.teh ketumbar serbuk
  • 1 batang serai (dititik)
  • 1 helai daun salam
  • 1 helai daun pandan
  • 1 s.teh garam

PENYEDIAANNYA
  1. Bersihkan beras dan toskan.Kukus selama lebih kurang 20 min.
  2. Di dalam periuk masukkan kesemua bahan lain dan masak sehingga mendidih.Masukkan (1)..Masak sehingga nasi tanak/kering air
  3. Pindahkan (2) ke dalam kukusan dan kukus lagi lebih kurang 30 min / sehingga nasi masak.
Cadangan hidangan adalah bersama Sambal Buah Keras, tapi saya bantai ngan sambal nasi lemak biasa je..Jika ada permintaan akan saya lampirkan sekali resipi sambal tersebut...Tak buh sini pasal saya tak wat sambal tu..

Dan persediaan hidangan yang lain adalah sama iaitu disertakan ngan bilis goreng, kacang tanah goreng, telur rebus & etc...

Thursday, December 31, 2009

Nasi Pilau Berwarna Warni

Waaaahhhhhh mandai-mandai pula kite ubah nama omputihnya jadi nama melayu kan...Keh keh keh, Love jangan mareee yaaaaa.....

Cerita pasal nasi pilau ni, dah lama sangat saya dengar dan dah bermacam² versi yang saya jumpa...Dan versi ni adalah yang agak ringkas...

First² tengok resipi ni kat blog Love, tiba² hati terdetik nak mencubanya...Tapi ada kisah gak sebelum nak masaknya...

Bila baca die nye ingredient tu, hati tertanya-tanya

"Eh, takat ni je ke bahan²nya?...Xde bawang?...Santan & susu cair pun takyah gak ke?..."

Tapi bila pikir² balik kalau dah nak gak buh bawang dan susu bagai dah jadi cam nasi minyak lah pulaaaa...Senang citer...Follow jeeeee....Buat apa nak fening² kefala....

Tadaaaaa....Dan inilah hasilnya...Wangi setaman....Oooppppssss...Wangi sepinggan, buat berselera nak ngap terus....Tapi yang ni tak colorfull sgt...kaler tu buh sikit sangat....

Resipi asal dari blog Love...Nak rujuk kat MYR pun ada kat sini

BAHAN-BAHAN
  • 2 cwn Beras Basmathi - dicuci dan direndam dlm air selama 30 minit.
  • 6 sb butter
  • 3 biji cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 helai daun bay
  • 1 sk garam
  • 3 cwn air
  • beberapa titik pewarna ~ merah, kuning & hijau

PENYEDIAANNYA
  1. Cuci beras basmathi. Tapis air berlebihan. Ketepikan.
  2. Panaskan butter dlm kuali. Tumis cengkih, buah pelaga, daun bay dan garam hingga wangi.
  3. Masukkan beras dan kacau rata, kecilkan api.
  4. Pindahkan bahan tumis bersama beras tadi ke dlm periuk electrik. Masukkan 3 cwn air dan kacau. Masak nasi seperti biasa.
  5. Apabila nasi dah masak, tutupkan suis.
  6. Buat 3 lubang dlm nasi menggunakan chopstick. Letakkan satu warna dlm setiap lubang. Tutupkan periuk dgn penutup dan biarkan selama 30minit atau lebih. (Jangan kacau terus apabila nasi dah masak)
  7. Selepas 30 minit, kacaukan nasi perlahan2 menggunakan chopstick/garfu. Sedia dihidang!

Monday, December 28, 2009

Nasi Minyak Hujan Panas

Bila dah kering idea tak tau nak makan nasi apa, tapi mau gak yang sedikit bervariasi...Nasi ini lah yang jadi pilihan...Senang dan sedap.Resipi asal dari Mak Yong kat MYR....Tapi Kadangkala aku tokok tambah sikit ikut 'order'.......

BAHAN-BAHAN
  • 4 cawan beras basmati
  • 5 cawan air
  • 2 kiub ayam (Sue jarang buh ni)
  • 2 helai daun pandan
  • pewarna merah, kuning dan hijau
Bahan tumis
  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
Bahan hias
  • bawang goreng
  • kismis
PENYEDIAANNYA
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak
  7. Bila nasi kering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila dah masak, gembur-gemburkan nasi tu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka