Seringkali kita terlupa untuk menyediakan 'check list' bila mahu ke luar negara. Biasanya kita kelam-kabut, mungkin kerana sebelum itu kita banyak kerja yang perlu diselesaikan. Walaupun tiket penerbangan sudah ditempah, hotel juga begitu, kalau 'check list' tidak disiapkan, ada-ada sahaja yang tidak kita lakukan, atau terlupa untuk disemak sebelum bertolak.
Banyak risikonya!
Baru-baru ini, semasa adik lelaki saya mahu ke Indonesia bersama familinya, adik saya terlupa untuk sediakan 'check list'. Biasanya kalau hendak ke luar negara, semua diuruskan oleh kakitangannya, kerana pemergiannya adalah atas urusan bisnes, tetapi bila hendak bercuti dengan keluarga, ramai yang ikut sekali, bukan hanya dirinya sahaja. Apa lagi, macam-macamlah yang terjadi, kerana tiada 'check list'.
Belum apa-apa, isteri dan salah seorang daripada anaknya (berumur 5 tahun), tak dapat naik penerbangan yang ditempah, kerana paspot mereka sudah kurang daripada enam bulan daripada tarikh luput. Terpaksalah isteri dan anak itu bertolak lewat sehari. Adik saya dan anak-anak yang lain bertolak petang itu. Esok paginya, saya terpaksa membawa isteri dan anak adik saya itu untuk urusan paspot. Mujurlah ada kawan yang membantu, paspot dapat disiapkan dalam tempoh kurang dua jam.
Lepas itu, saya terpaksa buat 're-booking' tiket penerbangan mereka. Kerana tempahan adalah melalui 'on-line', banyaklah pula 'songeh'nya. Akhirnya, adik saya terpaksa belanja hampir 2 ribu ringgit, untuk perubahan tiket dan pembaharuan paspot anak isterinya itu!
Sudahlah tu, isterinya memang tidak biasa keluar negara tanpa ahli yang lain, bertambahlah mengelabah. Saya terpaksa uruskan segala-galanya untuk pastikan dia dan anaknya itu naik kapal-terbang dengan selamat!
Aduhai... sehari suntuk saya terpaksa uruskan hal mereka dua beranak. Mujurlah percutian mereka itu menyeronokan, kalau tidak bertambahlah parah, kerana banyak wang yang telah dihabiskan lebih daripada bajet asal.
Apa-apa pun, saya percaya itu merupakan satu pengajaran untuk adik saya dan juga kami yang lain. Kalau mahu ke luar negara, pastikan 'check-list' disediakan.