Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, November 30, 2011

Lambakan Buku Luar

                    Berlambak-lambak!

Salam

Esok pagi saya akan kesibukan, jadi malam ini saya terpaksa rajinkan diri untuk menulis entri. Kebetulan, saya mempunyai cerita yang menarik yang mahu saya sampaikan. Ceritanya ialah kisah dunia buku di negara Barat. Dikatakan bahawa sekarang ini lebih daripada 30% penjualan buku di negara Barat adalah buku digital. Buku fizikal selebihnya dan dalam tempoh yang singkat sahaja, penjualan buku fizikal (buku biasa) jatuh merudum dan kerana itu, stok buku fizikal di dunia Barat ada berlambak-lambak dan semakin hari semakin teruk penjualan buku fizikal. Pembeli buku digital adalah orang yang sama juga, yang suatu ketika dahulu memang membeli buku fizikal. Kini, mereka membeli buku digital. Murah dan praktikal.

Oleh kerana itu, penerbit buku di negara-negara Barat, terutama di USA dan UK sedang berdepan dengan masalah besar. Buku-buku fizikal mereka terlalu banyak dan tentunya akan menjejaskan bisnes. Kalau tidak diatasi, mereka akan terus kerugian. Kalau tak dapat untung pun, mereka perlu cari cukup wang untuk 'cover' printing. Jadi, strategi mereka ialah untuk menghantar buku-buku yang berlambak ini ke pasaran yang terdapat di bahagian Timur dunia. Negara-negara Timur adalah negara-negara India, Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia, Malaysia dan lain-lain yang masih belum sibuk dengan buku digital. Kebanyakan buku-buku yang dibawa masuk akan diturunkan harga dan ditolak kepada pengedar-pengedar dan seterusnya ke kedai-kedai buku mewah. Negara kita tentunya menjadi antara pusat yang akan menerima buku-buku ini kerana kita mempunyai pembaca yang suka membaca buku Inggeris. Kalau dulu banyak pembaca buku Inggeris melompat untuk membaca buku bahasa Melayu kerana buku Inggeris terlalu mahal, kini mereka tak perlu bimbang kerana buku-buku Inggeris akan turun harga!

Jadi... agaknya siapa yang akan terjejas nanti?

Tentunya kedai-kedai buku mewah di Malaysia, juga kedai-kedai buku biasa akan terus melayan pengedar-pengedar yang membawa buku-buku luar ini kerana harganya sangat rendah, termasuk buku-buku baru. Mereka akan seronok menjual buku-buku luar kerana harganya akan turun lebih rendah daripada buku-buku tempatan.

Okeylah... setakat itu dulu maklumat yang ingin saya sampaikan. Anda yang terlibat dengan dunia buku, mungkin faham dengan apa yang ingin saya sampaikan. Mungkin juga kita kena fikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah yang sedang melanda kita semua. Kalau kita bekerjasama tentu kita akan berjaya, insya-Allah.

Kopi Atau Teh?


Salam

Pagi ini saya nak berbual tentang sesuatu yang ringan sahaja, iaitu tentang minuman. Anda suka minum apa, kopi atau teh? Atau mungkin anda jenis minum air kosong sahaja, atau mungkin juga suka minum air coklat atau air yang lain-lain?

Bagi saya, kedua-duanya saya suka. Minum air coklat pun saya suka, air kosong pun sama. Tapi kalau pagi-pagi, macam tak sah kalau saya tak 'pekena' kopi. Kalau boleh, saya lagi suka kopi O, kopi susu 'kureng' sikit. Tapi minum jugalah. Jenis-jenis kopi pun saya tak kisah, apa sahaja. Kadang-kadang saya minum kopi segera, kadang-kadang kopi kampung, kadang-kadang pula kopi luar yang saya beli bila melancong. Dalam banyak-banyak tempat yang saya pergi, paling saya 'enjoy' minum kopi ialah di negara Sepanyol. Dahlah sedap, murah pulak tu, tak macam di negara Eropah yang lain, kalau sedap pun masih mahal.

Dulu-dulu saya memang hantu kopi, tapi sekarang ni saya 'balance' kan. Saya juga minum teh, terutamanya bila petang atau malam. Saya jarang minum malam, tetapi kalau petang memang tak sah kalau tak 'pekena' teh. Teh pun sama, saya minum apa sahaja, termasuklah teh Cina. Saya juga suka minum teh Arab yang diletak daun pudina di dalamnya. Malah, di rumah saya, saya juga rajin tanam daun pudina.

Biasanya kalau malam, saya lagi suka minum air coklat daripada kopi atau teh, tapi tengoklah macam mana. Kalau ada tetamu, saya akan minum teh atau kopi. Apa pun, saya pastikan saya tidak minum teh atau kopi terlalu banyak. Hanya pagi dan petang (itu menjadi kebiasaan) dan kadang-kadang sahaja malam.

Okeylah... saya nak buat kerja lain, semoga anda yang tak suka minum teh atau kopi, cuba-cubalah. Kopi dan teh tetap baik untuk kesihatan asal jangan kita minum berlebihan, insya-Allah. 

Tuesday, November 29, 2011

Antara Lawak dan Humor


Salam

Alhamdulillah, pagi ini adik saya dan isterinya selamat sampai ke tanah air dari Tanah Suci setelah menunaikan ibadah haji mereka. Diam tak diam, berlalu sudah tempoh sebulan. Begitu pantas sekali masa berjalan. Hari ini, anak-anak saudara saya (Aufa dan Damya) akan pulang ikut ayah dan bonda mereka. Maka akan terasa sunyilah kami. Mujurlah ada si kecil-kecil untuk hiburkan hati, insya-Allah.

Bila kita sentuh tentang hibur atau hiburan, mungkin kita akan teringat kepada perkara-perkara lucu yang boleh membuat kita terhibur. Pun begitu, sejak kebelakangan ini, terlalu banyak sangat program televisyen yang seolah-olah mahu tonjolkan segala macam benda-benda lucu untuk dijadikan hiburan, terutama buat penonton berketurunan Melayu. Maka berduyun-duyunlah penonton menantikan program-program TV sedemikian rupa. Malangnya, terlalu banyak program begini yang mempersembah cerita-cerita lawak, yang kebanyakannya lawak lucah dan bodoh. Ramailah yang terbahak-bahak ketawa kerana seronok tanpa berfikir bahawa program begini sangat mudah merosakkan keperibadian kita, malah mudah juga untuk mengganggu mentaliti kita. Kalau dibiarkan kanak-kanak terhibur terus-menerus dengan program yang begini, maka begitulah akan jadinya mereka, mencontohi mentaliti 'pelawak-pelawak' yang tidak bijak untuk mengaturkan cerita-cerita yang boleh menghiburkan hati.

Berhati-hatilah kita untuk bezakan cerita humor dengan cerita lawak. Banyak cerita lawak merupakan lawak bodoh dan lucah, mungkin mengaibkan orang lain. Cerita humor mungkin tidak buat kita ketawa berdekah-dekah, namun kisah humor lebih banyak membuat kita tersenyum seraya berfikir.

Jadilah orang Islam yang beramal, yang kurang ketawa terbahak-bahak, rasa terhibur dengan kisah-kisah bodoh, mengaibkan dan lucah, seolah-olah itulah kita sebenarnya.

Wallahua'lam.

Monday, November 28, 2011

Patut Sayang Siapa Lebih?

             Sekadar Hiasan


Salam

Semoga anda semua sedang berehat-rehat lagi hari ini, maklumlah kita masih bercuti, kan? Apa-apa pun, sekiranya anda sedang makan angin atau balik kampung, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga semasa memandu di jalan raya. Musim cuti sekolah, semua orang sibuk bergerak sana-sini. Semasa saya ke Nilai Tiga semalam (ada hal), payahnya kami nak parking kereta, malah payah kami nak ke mana-mana, sebab tempat itu sesak dengan pengunjung (macam ada pesta). Akhirnya, kami balik sahaja, lagipun hujan pun dah turun, susah nak bergerak. Untuk makluman anda, tempat tinggal saya bukannya jauh dari kawasan Nilai Tiga tu... boleh pergi hari-hari kalau nak... hehe.

Okeylah, pagi ni saya terbaca sebuah artikel mat salih yang bincangkan soal ini. Siapa yang penting dalam hidup anda, anak-anak anda ke atau suami/isteri anda? Mungkin soalan ini lebih sesuai untuk ditujukan pada orang perempuan kerana biasanya orang perempuan yang banyak tumpukan masa buat anak-anak. Betul, kan? Bagi orang lelaki, anak dan isteri berada dalam satu kumpulan yang dinamakan 'keluarga'.

Kalau anda seorang isteri, saya percaya kebanyakan anda beri perhatian lebih kepada anak-anak, kan? Bukan sekadar perhatian, malah masa yang anda ada. Mungkin memang naluri seorang ibu begitu. Mereka yang mengandungkan anak-anak, kemudian menyusukan pula dan seterusnya membesarkan anak-anak. Kalau ada duit, duit juga lebih dilaburkan kepada keperluan anak-anak.

Namun begitu, banyak juga di antara kita yang terlalu obses dan pentingkan anak-anak hinggakan suami terabai. Malah, memang banyak kes yang macam tu, suami terasa bahawa diri mereka sudah kurang penting bila anak-anak muncul dalam hidup mereka suami-isteri. Sebagai pasangan yang baru kahwin, biasanya 'couple' akan jadi sangat 'loving', tetapi bila sahaja dapat anak, tumpuan, perhatian, malah segala kasih sayang akan dicurahkan pada anak dan seterusnya anak-anak yang lain.

Banyak juga kaum Hawa merasakan bahawa mereka lebih selamat untuk menyayangi anak-anak lebih dari suami kerana mereka juga percaya bahawa suami mampu untuk tinggalkan mereka, tetapi anak-anak akan terus berada di sisi mereka apa sekalipun yang terjadi. Mungkin ada kebenarannya dalam hal ini. Kerana itulah, orang perempuan sangat utamakan anak-anak daripada suami.

Pun begitu, dalam hal rumah tangga, sebagai perempuan, kita juga wajib berikan perhatian kepada suami dalam segala hal, terutama kasih sayang. Kita tak boleh ketepikan suami dan sebenarnya, kalau kasih sayang sentiasa wujud antara suami dan isteri, rumah tangga adalah lebih aman dan kerana itu juga anak-anak akan dapat rasakan kasih sayang itu. Kalau suami isteri tak ngam dan tidak mempunyai kemesraan dalam hubungan, anak-anak akan terasa tempiasnya, maka semua akan terasa kekurangan 'sayang' dalam keluarga.

Lagi satu perkara yang ingin saya ingatkan kita semua, anak-anak bila dah besar, mereka juga akan belajar, seterusnya bekerja dan berkahwin. Bermakna, mereka tiada dengan kita sentiasa. Tetapi, insya-Allah pasangan kita akan terus berada di sisi kita. Itu bermakna, kita tak boleh abaikan suami kita kerana suatu hari nanti, dialah yang akan jadi teman baik kita. Anak-anak akan terus berada dengan kita tetapi masing-masing mempunyai hal sendiri dan urusan sendiri. Mereka tidak mampu memberi segala perhatian dan tumpuan seperti yang mungkin kita pernah lakukan dulu.

Bagi saya, sekalipun kita menyayangi anak-anak, janganlah kita ketepikan pasangan kita. Pastikan pasangan kita sentiasa mendapat kasih sayang dan perhatian kita. Percayalah kata-kata saya ini, insya-Allah anda akan berasa aman berada dengan keluarga. Bila semuanya 'balance', tiadak ada sesiapa yang akan berasa hati.

Jangan lupa, suami atau isteri kita, mereka adalah teman baik kita. Mereka juga yang berkongsi segala sakit perit dan kegembiraan kita. Bukan hanya dulu, tetapi sekarang dan di masa kita tua, insya-Allah, kalau umur dan jodoh kita panjang. Seperti yang saya katakan tadi, bila ibu dan bapa mesra, anak-anak pun dapat merasakannya dan mereka akan membesar dengan perasaan yang sama, kerana mereka turut rasakan kasih-sayang itu, insya-Allah.

PS: Sedih benar tengok bola malam tadi.

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah



Salam Maal Hijrah buat semua pembaca saya, semoga kita sama-sama menghayati dan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. Semoga kita juga sentiasa jaga perhubungan kita bukan hanya dengan Tuhan tetapi dengan insan sekeliling kita. Semoga kita selamat dunia akhirat, Amin Ya Rabbalalamin.

Saturday, November 26, 2011

Terasa Malu Dengar Ceramah

      Gambar sekadar hiasan - tiada kaitan dengan entri


Salam

Saya nak tergelak juga bila membaca beberapa blog tentang kursus kahwin bagi pasangan yang hendak berkahwin yang disediakan oleh Jabatan Agama. Bukannya apa, macam-macam yang diceritakan oleh mereka yang menghadiri kursus. Rata-rata mengatakan, tak hadir kursus tu pun tak apa, sebab tak ada apa sangat yang mereka dapat. Ramai juga yang bercerita tentang cara 'ustaz-ustaz' menyampaikan kursus tentang persediaan kahwin. Mungkin kerana nak menyuruh peserta sentiasa dengar apa yang mereka cakap, maka banyak juga yang guna strategi 'cerita mengarut', mengharapkan peserta jangan tertidur.

Ada juga peserta perempuan mengatakan bahawa mereka terasa malu bila mendengar kisah-kisah 'semi lucah' yang diceritakan 'ustaz-ustaz' berkenaan. Ada tu kata, tak tahu nak letak muka di mana. Mungkin ada yang seronok mendengar kisah-kisah dalam kelambu, tetapi ada yang tak selesa. Maklumlah, bukan semua orang kepala otaknya jenis yang 'lucah'.

Saya sangatlah terkejut bila saya membaca kisah yang disampaikan oleh seorang blogger lelaki yang pernah menghadiri kursus kahwin. Katanya dalam blognya, dia berasa pelik bila penceramah sibuk bercerita tentang penceraian, seolah-olah bila berkahwin kita juga kena bersedia untuk bercerai. Katanya, sepatutnya penceramah ambil berat untuk memberi motivasi kepada peserta supaya menjaga tanggungjawab masing-masing sebagai pasangan yang berkahwin. Sepatutnya juga, ceritalah benda-benda baik supaya pasangan rasa seronok untuk masuk alam rumah tangga. Yang paling pelik bagi saya, bila blogger yang sama bercerita tentang seorang ustazah (yang masih muda) yang memberi ceramah dalam penyampaian kursus yang dihadiri itu, dan suka sangat bercerita kisah-kisah lucah. Malah, berani menyebut benda-benda 'lucah' hinggakan peserta lelaki tersipu-sipu, berasa malu. Tak tahulah bagaimana pula perasaan peserta perempuan.

Mungkin juga tujuan 'ustazah' itu sekadar nak buat jenaka agaknya, tetapi memang tak kenalah. Takkan nak buat lawak pun kena buat cerita lucah sekalipun kisah yang diceritakan tu memang betul. Tak elok benar bila seorang 'ustazah' ghairah bercerita tentang hal-hal dalam kelambu (perhubungan seks) dan cara penyampaiannya itu macam nak suruh peserta 'enjoy' mendengar.

 Aduhai, tak tahulah saya nak cakap macam mana. Bila saya baca pun saya jadi malu, sebab ada orang perempuan yang berkelakuan begitu.

Saya percaya bukan semua kursus kahwin yang dianjurkan itu jadinya begitu, tetapi kalau ada yang macam tu, memang buang masalah kita. Bukan setakat buang masa, buang duit juga, terutama buat mereka yang tidak mampu untuk bazirkan duit secara itu. Kalau kita hadir kursus bagi persiapan untuk kahwin, tetapi bila keluar dari tempat kursus, semangat jadi kurang, itu memang sah-sah lah tak bagus namanya. Biarlah bila peserta datang kursus, bila keluar semangat mereka jadi lebih tinggi dan tahu akan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Wallahua'lam.

Friday, November 25, 2011

Bawalah Aku Berpindah


Salam sayang saya buat semua

Hari Ahad ini ialah hari perubahan tarikh buat kalendar Islam. Satu Muharam membawa perubahan buat orang Islam yang ketika itu bersama-sama Rasul besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Kerana agama, mereka berhijrah dari Mekah ka Madinah. Begitulah keadaannya kalau mahu mencari perubahan. Insya-Allah, kita semua juga begitu. Ada ketika perlu berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain. Banyak yang buat begitu untuk mencari rezeki. Namun ada yang lakukan itu untuk mencari kedamaian.

Arwah ayah saya dan juga ahli keluarganya telah berhijrah dari Timur Tengah ke kepulauan Indonesia sekitar 100 tahun yang lalu untuk keselamatan keluarganya dan kerana itulah saya dilahirkan di Malaysia, tidak di Timur Tengah. Bayangkanlah kalau saya dilahirkan di sana.

Namun hari ini, bukan sekadar perpindahan tempat atau penghijrahan tempat yang harus kita perkatakan kalau kita mahukan perubahan. Banyak benda yang kita boleh lakukan untuk mencemerlangkan hidup kita ini. Salah satu ialah untuk hijrahkan sikap kita. Kalau dulu kurang elok, kita ushakan untuk jadi elok. Kalau dulu tidak berapa baik, biar kita buat jadi baik. Kalau dulu sudah baik, apa salahnya kita tambah baikkan lagi. Dari segi pakaian kita, dari segi hubungan kita, dari segi kasih-sayang kita antara ahli keluarga, jiran tetangga, rakan kerja, juga kawan-kawan kita. Kalau dulu kita marah, carilah jalan supaya kita jangan marah lagi.

Penghijrahan ini merupakan sesuatu yang besar dalam hidup kita. Kalau kita jenis manusia yang takut untuk berubah, maka payahlah kita untuk mencemerlangkan hidup kita ini. Kadang-kadang, penghijrahan perlukan pengorbanan. Bayangkanlah bila kita perlu tinggalkan satu-satu tempat yang kita sayang untuk ke tempat lain yang kita tak pernah tahu. Mungkin kita akan berasa takut. Tapi orang kata, bila kita berubah tempat, maka kita akan cuba untuk sesuaikan diri dengan suasana di tempat itu. Bila masuk kandang kambing, kenalah mengembek, jangan pula kita mengaum. Memang tak kenalah.

Begitulah caranya bila kita berpindah tempat kerja misalnya. Janganlah kita bawa budaya tempat lama ke tempat baru, tentu tak kena, kan? Apa sahaja yang kita lakukan untuk berubah, lakukanlah dengan hati yang bersih dan fikiran yang waras agar kita akan berasa tenang.

Penghijrahan akan berlaku dalam kebanyakan hidup kita, terutama buat mereka yang masih muda. Kalau kita dilahirkan di suatu tempat itu, tidak mestinya kita akan terus tinggal di situ buat selama-lamanya. Begitu juga dengan kerjaya kita. Kita berpindah tempat bekerja, malah mungkin tukar kerjayanya, ikut kesesuaian hati dan keadaan. Sama juga dengan 'love life' kita, sebenarnya kadang-kadang kita tak tahu pun bahawa suatu masa nanti kita akan terpaksa berubah atau lakukan penghijrahan. Ada orang yang kematian, ada yang bercerai, ada yang tak jadi dan berubah 'kekasih' hati dan macam-macam lagi boleh jadi dalam hidup ini.

Kalau ia adalah untuk kebaikanku, bawalah aku berpindah ya Tuhanku.

Semoga kita tidak takut untuk berubah atau lakukan penghijrahan dalam hidup kita. Semoga segala penghijrahan yang kita lakukan itu membawa ketenangan kepada jiwa kita. Semoga Allah SAW lindungi kita semua, dunia dan akhirat. Amin.

Thursday, November 24, 2011

Keindahan Rumah Tangga


Salam pagi Khamis

Apa nak buatkan kalau si unta sudah tendang harimau muda kita... hehe, biarkan, agar harimau muda menjadi lebih matang dan bersedia. Okeylah tak ada apa-apa sangat yang nak diceritakan tentang bola.

Pagi ini saya nak berbicara tentang hubungan suami isteri, bukan tentang hubungan intim, tetapi tentang tanggungjawab. Memang banyak yang berangan-angan untuk mendirikan rumah tangga. Ada tu, sejak budak-budak lagi dah pasang angan-angan, satu hari nanti mesti nak kahwin. Sebab tu lah awal-awal lagi dah cari makwe atau pakwe... huhu.

Sama ada kahwin cepat atau tidak, itu bukan isunya. Yang penting, tahukah tanggungjawab kita bila nak berkahwin. Kita kena tahu peranan kita sejak belum berkahwin lagi. Kita kena bersedia secara mental dan emosi, supaya jangan bila kita berkahwin nanti, kita tak tahu apa-apa. Jangan pula bila tengok orang berkahwin, kita pun kelam-kabut nak kahwin sama. Tapi... setakat kahwin sahaja. Tanggungjawab kita, kita tolak tepi.

Tak kisah sama ada kita lelaki atau perenpuan. Kita kena tahu apa peranan kita dan apa pula tanggungjawab kita bila menjadi seorang isteri atau suami. Kalau kita menghargai ajaran agama kita, kita akan sedar bahawa stiap kali kita menunaikan tanggungjawab kita, ada barakahnya dan tentulah ada ganjarannya. Ia adalah ibadah dan setiap kebaikan yang kita lakukan, ada pahalanya untuk membantu kita ke syurga, insya-Allah. Jadi, tak usah berkira-kira untuk tunaikan tanggungjawab kita.

Rumah tangga kita akan jadi indah kalau kita menjaganya.

Kalau kita seorang lelaki, pastikan anak dan isteri kita sentiasa kita lindungi. Berikanlah nafkah sebaik mungkin, peliharailah mereka kerana anak-isteri kita adalah harta kita, amanah kita. Berkelakuan jujur pada mereka agar mereka akan mencontohi kita. Setiap pergerakan kita diperhatikan oleh anak-isteri kita, jadi biarlah kita jadi ketua dan imam yang mampu membawa mereka semua ke jalan yang benar.

Kalau kita seorang isteri, pastikan kita juga tahu apa yang harus kita lakukan. Kita kena taat pada suami, uruskan rumah tangga kita sebaik mungkin. Pastikan makan minum dan pakaian suami terurus, rumah kita bersih dan nyaman, tidak tunggang-langgang hinggakan suami tak suka tinggal di rumah. Jaga anak-anak sebaik mungkin, bukan tinggalkan mereka di rumah tanpa pengasuh dan kita pula sibuk mencari 'material' untuk dunia kita. Setiap apa kita lakukan di rumah dan di luar rumah akan dicontohi anak-anak kita.

Bila kita berdepan dengan masalah, berbincanglah suami dan isteri. Jangan dibiarkan agar masalah itu akan pergi sendiri. Jangan berahsia antara suami dan isteri dan jangan bersikap tidak jujur antara suami dan isteri. Kalau kita tahu betapa besarnya nikmat hubungan baik antara suami isteri, pasti kita akan memelihara hubungan itu. Insya-Allah, buatlah yang terbaik agar setiap langkah kita itu akan diikuti oleh anak-anak kita nanti.

Wallahua'lam.

Wednesday, November 23, 2011

Tak Ada Arah Tuju

                     Kanak-kanak yang happy


Salam

Hari ini hari Rabu, dah pertengahan minggu. Dua hari lagi dah pun sampai hujung minggu. Begitulah masa kita berjalan, sangatlah laju. Tahu-tahu kita yang terasa muda, dah pun meningkat umurnya. Jadi... sekalipun kita masih muda, kita perlu ingat yang masa tidak akan tunggu siapa-siapa. Ia akan datang dan berlalu. Lagipun, kita juga tidak tahu, berapa banyak masa kita yang ada. Entah-entah tak ada langsung, atau tak banyak mana. Kalau ada lagi masa yang panjang, alhamdulillah, mungkin banyak lagi yang kita boleh lakukan. Itu pun kalau kita ingat untuk lakukannya.

Ramai di antara kita ini masih tak ada arah tujunya. Main hentam sahaja. Bangun pagi, lakukan saja aktiviti rutin. Yang tak tinggal solat, akan mengerjakan solatnya. Mungkin ada yang bangun terus makan. Isi perut yang kosong. Lepas tu, bagi mereka yang masih belajar, mungkin pergi ke kelas. Bagi yang kerja, pergilah ke tempat kerja. Mungkin ada juga yang pergi dengan hati yang berat dan penuh kebencian. Malah, ada yang tak suka apa-apa pun. Semuanya menjadi salah. Tak ada yang kena.

Ada di antara kita, sentiasa berasa sakit. Sakitnya terletak di hati. Sakit hati pada semua orang. Syak wasangka pada semua orang. Menyampah pada semua orang.

Ada juga yang sentiasa rasa terkilan. Teringat masa silam dan mengungkit tentang apa-apa yang sudah lama berlalu. Hati sentiasa tak rasa puas. Aduh!

Kalau kita rasa begitu, jom kita pergi ke cermin yang terdapat di kamar tidur kita. Jom kita lihat wajah kita dan jom kita bertanya, "Kenapa kau rasa macam ni? Cuba kau berubah... sebab semua orang boleh berubah. Kita payah nak ubah orang lain, tapi boleh ubah diri kita sendiri."

Itulah yang pasti. Kita yang tentukan masa depan kita, sama ada kita mahukan kejayaan atau pun tidak. Kita boleh belajar untuk tidak putus asa. Kita boleh kuatkan semangat untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang, termasuklah 'love life' kita. Kalau kita pilih untuk 'monyok' sepanjang hayat, akan begitulah jadinya keadaan kita. Sentiasa masam, marah-marah, tak seronok, berdukacita dan mungkin juga akan kesunyian. Tetapi kalau kita ajak diri kita untuk jadi manusia yang ceria, bersemangat tinggi, mesra, seronok... insya-Allah, kebahagiaan akan menjadi sebahagian besar dalam hidup kita.

Kalau kita tak ada arah tuju, carilah!

Jangan biarkan hidup kita tak tentu arahnya.

Jadikan kebahagiaan dunia akhirat sebagai matlamat kita. Insya-Allah, akan tercapai jua.

Wassalam.

Tuesday, November 22, 2011

Tahniah Untuk Ibu Emas

             Gambar Lama

Salam

Tengok bola malam tadi memang tension giler! Mana dengan sokongan Indonesia yang bagai nak rak lagi. Kesian juga tengok pemain-pemain kita sebab terpaksa kawal perasaan sambil bermain. Bukan senang tu. Apa pun, tahniah kepada pasukan Malaysia yang berjaya juga untuk menghadiahkan pingat emas buat negara. Betul tu, emas bola sepak merupakan ibu segala emas dalam temasya Sukan SEA. Syabas kepada Badrul kerana memasukkan bola tendangan penalti yang memenangkan Malaysia! Tendangannya itu membuat kita saspens dan akhirnya mampu juga untuk bersorak. Rumah saya pun macam nak meletup kerana budak-budak kat rumah menjerit kesukaan.

Okeylah... kadang-kadang memang begitu, seronok tengok perlawanan yang ada, terutama bola sepak. Dulu-dulu saya memang suka sukan. Kalau tak main pun, saya tengok aje. Tetapi sekarang ini memang jarang. Kadang-kadang sahaja saya sempat memberi tumpuan.

Sebenarnya, kalau kita mahukan satu kehidupan yang sihat, elok juga kita rajin bersukan. Tak payahlah main permainan yang berat-berat, sekadar yang ringan pun okey. Misalnya berjalan kaki, atau joging, atau pergi gym... apa-apalah, asal tubuh badan kita aktif, tidak terperap di depan meja komputer sahaja.

Sekarang ini, dah macam-macam yang boleh menjadikan kita untuk mengamal habit buruk. Kalau asyik berdepan dengan komputer atau asyik bermain telefon bimbit, memang sahlah kita tidak fokus pada dunia realiti. Sebab itulah saya kata, kita juga sepatutnya ambil berat dengan sukan.

Pagi ini saya tak ada apa sangat nak membebel... hehe, mungkin sebab saya ada hal lain. Hingga kita berjumpa lagi... majulah sukan untuk negara... hehe... dialog klise!

Monday, November 21, 2011

Ke Mana Nak Pergi?

                    Imej Kota Kinabalu


Salam

Mungkin in merupakan soalan anda bila musim cuti sekolah. Ke mana nak bawa anak-anak bercuti? Kalau banyak duit, mungkin boleh ke luar negara. Awal-awal dah book tempat, hotel dan tiket penerbangan. Tak ada hal, sebab memang banyak betul tempat yang kita boleh pergi. Kalau duit memang banyak sungguh, bolehlah pergi jauh, ke Eropah, ke Timur Tengah, ke Amerika Syarikat, atau mungkin ke Jepun dan Korea... atau mana-mana lah. Memang dah jadi trend bagi keluarga yang berduit untuk aturkan rancangan bercuti-cuti di luar negara. Kalau ada duit tapi taklah berlambak sangat, boleh saja ke luar negara yang tak terlalu jauh. Boleh ke Indonesia... ada Pulau Jawa, ada Sumatera, ada Pulau Bali, ada Kalimantan dan ada macam-macam lagi. Berpuluh-puluh tempat yang kita boleh pilih, dari Acheh sampailah Ambon atau Flores. Terpulanglah apa yang kita teringin nak tengok dan tahu.

Ada juga Thailand yang dekat dengan kita dan kerana negara itu masih terlibat dengan banjir, banyak hotel turunkan harga gila-gila. Tapi kalau nak ke sana, kenalah pilih tempat yang tak kena banjir, barulah okey. Begitu juga Kemboja, mereka juga baru terlibat dengan banjir (tapi bukan semua tempat). Ada juga Vietnam, Laos, Filipina, Singapura dan macam-macam lagi. Malah, kita juga boleh pilih China dan India. China dan Inda memang besar dan ada macam-macam tempat yang boleh kita kunjungi dan tak semuanya mahal.

Kalau ada duit, tapi mungkin tak ada masa sangat, boleh sahaja kita pergi ke tempat yang tak jauh, ia itu di dalam negara. Dalam musim hujan yang tak henti-henti, kita boleh pilihlah tempat yang okey. Bagi mereka yang tinggal di Semenanjung, rasanya elok juga kalau pergi ke Sabah atau Sarawak. Nak juga tengok cara orang sana, kan? Memang macam-macam ada di sana yang mungkin tak berapa ada di sini. Saya syorkan anda ke Kota Kinabalu... memang best beb. Semua ada. Ada pulau, ada laut, ada pantai yang cantik, ada zoo, ada hutan, ada pelbagai pasar tradisional, ada gunung yang hebat, ada macam-macam yang boleh kita explore kat sana.

Kadang-kadang, kita memang malas nak pergi mana-mana yang jauh, mungkin tak cukup masa. Kita nak lepak-lepak aje di hujung minggu bersama keluarga, tapi tak tahu nak ke mana. Di Malaysia ni, memang tak banyak tempat lepak yang macam saya maksudkan. Kalau ada yang elok sikit, mesti jauh atau kena bayar mahal-mahal. Saya ingat lagi masa saya di Scotland (masa melawat anak saya belajar di sana), ada taman botanikal yang sangat cantik dan masuknya percuma aje. Saya macam tak percaya. Kat dalam tu, ada burung pelbagai jenis, ada macam-macam pokok yang cantik2 termasuk hutan tropika buatan. Malah, di negara seperti United Kingdom, memang banyak betul park atau taman yang disediakan untuk keluarga bersantai. Tak payah bayar apa-apa pun. Kalau berduit, kita boleh pergi tempat-tempat yang kena bayar macam masuk ke dalam 'castle'.

Di Malaysia ni, terutama di Lembah Klang, kalau ada apa-apa yang menarik sikit, semuanya mahal belaka. Bayangkanlah kalau anda kurang berduit dan mempunyai banyak anak. Macam mana nak bawa keluarga anda bersantai? Cuba pergi ke zoo, binatangnya tak banyak mana pun, tapi tiket masuknya mahal. Dah tu, nak beli makanan kat dalam zoo tu pun mahal jugak.

Kalau musim cuti sekolah, tempat-tempat percuma macam kat tepi sungai, semuanya penuh sampaikan tak ada tempat nak lepak.

Last-last, kita pun pergilah ke shopping complex sebab dah tak tahu nak ke mana. Aduhai... memang nahaslah, sebab kat situ pun, memang semuanya kena bayar.

Saya memang bersimpati kepada mereka yang tak mampu dan mempunyai anak yang ramai. Bila cuti sekolah, mestilah pening kepala fikirkan ke mana nak bawa anak-anak berehat. Mungkin tempat yang terbaik ialah balik kampung. Itu pun kalau kampung kita masih ada sanak saudara dan ibu bapa yang sudi nak tolong tengok-tengokkan anak-anak kita. Kalau kampung kita terlalu jauh, nak balik pun nak kena ada modal yang besar.

Dulu-dulu masa saya budak-budak, saya selalu balik ke Sungai Dua, kampung nenek saya di Seberang Perai. Nostalgia yang payah nak saya lupakan.

Wassalam.

Sunday, November 20, 2011

Bila Mahu Jadi Seorang Penulis



Salam dan selamat pagi di hujung minggu.

Saya rasa dah berminggu juga, hampir setiap hari hujan. Kalau kat rumah saya ni, cuaca di malam hari macam pasang air-cond sentiasa, cuma air-cond ini tak boleh kita tutup. Kadang-kadang saya terasa macam kat England pulak... hehe... kena pakai selimut tebal. Rumah saya ni mengadap tasik kecil, jadi bila cuaca agak dingin, kami terasa lebih, sebab angin sentiasa meniup, pulak tu rumah kami ada 'louvres', jadi angin sejuk sentiasalah masuk... huhu, memang tak payah pakai air-cond!

Okeylah... di pagi hari begini, memang sedap menulis. Tak ada yang mengganggu. Senang berfikir, senang juga masuk ke dalam cerita dan mudah keluarkan ayat-ayat.

Ada orang bertanya saya, susah ke nak menulis?

Kalau mula-mula nak menulis, mungkin susahlah sikit. Sebabnya kita tak banyak tahu. Tapi yang bagusnya, mungkin idea kita tu 'fresh', maklumlah kali pertama, kan, mestilah banyak modal. Kalau penulis itu merupakan orang muda dan tak banyak pengalaman, imaginasinya mestilah kuat. Kalau tak pandai berimaginasi, memang susahlah nak dapat idea. Tapi penulis yang lebih matang, mungkin sebabkan banyak pengalaman, lebih mudah dapat idea.

Baru-baru ini, ada seorang penulis di negara Barat telah dituduh menulis sebuah karya yang meletup, dengan cara menceduk idea penulis-penulis lain. Malah saya rasa, banyak penulis yang begitu pun. Ini adalah kerana, ada penulis memang suka membaca karya orang lain, jadi bila dia menulis, mungkin tanpa sedar, dia sudah menulis dengan terikut-ikut idea yang dibaca itu. Saya juga percaya, ini terjadi kerana idea orang lain sudah tercampur dengan ideanya sendiri... hehe.

Malah, di Malaysia ini juga, saya sering dengar dari pembaca-pembaca yang mengatakan banyak karya yang mereka baca macam nak sama dengan karya penulis lain. Huhu... inilah yang susahnya. Memang tak best bila kita baca karya baru, tiba-tiba kita terasa macam pernah baca karya tersebut sebelum itu. Bila kita fikir-fikir semula, kita pun teringatlah karya yang kita maksudkan.

Ini saya nak bagi contohlah. Ada pembaca suka mengulang-ulang baca sesuatu karya yang dia berkenan. Tiba-tiba dia minat nak jadi penulis. Mulalah dia menulis dan tahu-tahu, banyak plot dalam cerita dari karya yang dia suka itu, sudah masuk ke dalam karya barunya. Mungkin tidaklah semua, tetapi cara penyampaian, mood cerita berkenaan dan mungkin semangatnya pun nak sama. Bagi orang lain yang juga suka pada karya (yang awal tadi) itu, tentu akan melihatnya bila dia membaca karya yang baru ditulis oleh penulis yang baru ni.

Namun begitu, kalau seorang penulis baru, mampu membawa suatu stail yang baru, dengan mengwujudkan cara tersendiri, lalu mengatur satu jalan cerita yang fresh dan ada kelainan, maka penulis baru ini akan mampu mencipta namanya sekiranya karya barunya diterima pembaca. Jadi... kalau anda bercadang untuk jadi seorang penulis, pastikan anda mencari kelainan yang dimahukan pembaca. Bagi pembaca, kalau mereka sudah biasa dengan penulis A, mereka akan terima stail penulis A dengan baik. Tetapi mereka tak mahu penulis B (yang baru menulis) mengikut pula stail penulis A itu. Biarlah penulis A dengan caranya dan penulis B dengan cara barunya. Barulah seronok kita membaca novel, betul tak? Kalau terlalu banyak penulis yang mempunyai stail dan cara yang sama, tentu membosankan, kan?

Okeylah... ini sekadar bercerita-cerita sahaja. Kadang-kadang saya mendapat soalan yang mahu tahu macam-macam tentang penulisan. Saya pun bukanlah pandai sangat, tetapi apa-apa yang saya ada ni saya ingin kongsi dengan anda, semoga kita sama-sama belajar tentang 'penulisan'.

Saya juga ingin maklumkan kepada anda semua bahawa 'Pesta Buku' akan diadakan pada akhir April nanti. Insya-Allah akan bermula pada 27 April hingga 6 May, 2012. Dikatakan pada bulan Februari ada satu Expo Buku yang akan diadakan di PWTC.

Wassalam.

Saturday, November 19, 2011

Bila Dia Tidak Jujur



Salam

Cuti sekolah dah pun bermula. Sana dan sini kesibukan, malah di kawasan rumah saya pun kesibukan kerana budak-budak sekolah berkeliaran. Dua orang anak saudara saya (babah dan umi mereka tunaikan ibadah haji) yang masih bersekolah rendah, turut berada di rumah kami. Maklumlah, balik kampunglah katakan... hehe, mungkin rindu masakan ibu saya. Anak-anak saudara saya selalu ke rumah kami bila ayah dan ibu mereka ada. Sejak ibu bapa mereka menunaikan fardu haji, mereka ke rumah kami masa Hari Raya Haji. Pagi ini saya akan ke Bangi sebab nak bawa si kecil (Firas) untuk suntikan umur setahun, jadi kedua-dua Damia dan Aufa (anak-anak saudara saya) akan ikut sekali. Bolehlah lepak-lepak kat Bangi pulak.

Pagi ini, saya nak bawa tajuk 'Kejujuran'. Bila orang yang kita percayai tidak berlaku jujur pada kita, macam mana? Mestilah sakit hati, kan?

Kenapa agaknya ada orang memang suka buat macam tu, tak tahu nak berlaku jujur? Ada sebab yang boleh diterima akal, atau sekadar memang dia jenis macam tu, tak kisahkan orang lain? Kadang-kadang inilah yang menjadi soalannya, kita berasa hairan bila ada insan yang tidak berlaku jujur di belakang kita. Di depan, dialah manusia yang kita ingat mesti 'boleh dipercayai', tetapi rupa-rupanya, dia tidak boleh diharapkan!

Sebijak mana sekalipun tupai melompat, ada ketika ia akan jatuh juga. Begitulah kita manusia, secekap mana sekalipun kita mahu sorokkan 'perkara-perkara' buruk yang kita lakukan, satu hari nanti ia akan terbongkar juga. Tambah pula di zaman moden hari ini, segala macam cara boleh kita lakukan untuk melihat 'kejujuran' seseorang itu.

Kalau kita memang jenis kaki menipu, kalau nak menipu sekalipun, kenalah bijak. Kalau tidak memanglah kena kantoi. Pakwe, makwe, suami dan isteri... semua sama sahaja. Kalau kita ada ikatan dan perjanjian, kita kenalah tepati janji-janji kita. Janganlah di depan kita pura-pura macam baik, tapi di belakang, kita tidak jujur. Malang sungguh, kerana bila rahsia kita terbongkar, atau istilah sekarang ni, kita katakan 'terkantoi'... di mana kita nak sorok muka? Apa pula alasan yang kita nak cipta, konon-konon bukan kita yang bersikap tak jujur!

Aduhai... memang penat kita dengar cerita-cerita macam ni. Tapi soalnya sekarang, bila seseorang itu sudah dibuktikan tidak jujur, bolehkah kita mempercayainya lagi? Sekali dah buat, tak mustahil akan buat lagi. Atau... mestikah kita belajar untuk memberi peluang? Second chance, third chance? Boleh ke?

Wallahua'lam.

Friday, November 18, 2011

Dah Jatuh Ditimpa Tangga


Salam Pagi Jumaat

Kadang-kadang, itulah yang dirasakan, seolah-olah tak habis-habis dengan masalah. Lepas satu, satu lagi bagaikan tak mahu berhenti! Hehe... ini bukan sebahagian dari manuskrip terbaru saya, tetapi sesuatu yang saya nak sembang-sembangkan pada pagi ini.

Hari ini, saya rasa orang muda memang cepat menggelabah kalau ditimpa apa-apa masalah. Bukannya apa, mungkin mereka jarang-jarang rasa apa-apa yang boleh membebankan mereka. Jadi, bila ada masalah sikit pun, dirasakan macam besar sangat dah! Pada hal kalau tanya orang-orang lama, mungkin mereka katakan masalah tu kecil saja.

Kadang-kadang pula, tak sempat selesaikan satu masalah, dah datang pula masalah baru. Misalnya, Cik A baru sahaja berdepan dengan pemberhentian kerja dan sangkanya tak apalah sebab dia pun dah nak kahwin. Belum sempat apa-apa, dapat pula berita yang bakal suaminya itu adalah suami orang. Dahlah pening fikirkan pasal perbelanjaan hariannya, kini terpaksa pula makan hati. Baru nak mengadu pada mak ayah di kampung, dapat pula berita yang ayah sedang sakit kuat. Masa tu, memang rasa macam nak menyorok aje dalam lubang sebab tak tahu macam mana nak atasi masalah yang ada ni.

Okeylah, cuba kita fikirkan... bukankah semua yang terjadi pada Cik A merupakan perkara biasa sahaja? Cuma kebetulan semuanya terjadi dalam masa yang berhampiran. Kalau kena berhenti kerja, Cik A boleh usahakan cari kerja baru. Patutnya Cik A kena juga fikir, kenapa dia diberhentikan? Jadi dari situ bolehlah Cik A perbaiki apa-apa yang mungkin kurang pada dirinya. Tentang 'pakwe' nya yang merupakan suami orang, patutnya Cik A berasa lega sebab dapat tahu sebelum berkahwin dengannya. Kalau dah kahwin, tentu susah, kan?

Tentang ayahnya yang sakit tu, alahai dah memang nak sakit. Doakanlah supaya ayahnya sembuh cepat. Dalam pada itu, elok juga Cik A balik kampung, setidak-tidaknya Cik A dapat tolong ibunya.

Kalau kita fikir-fikirkan dengan waras, setiap apa yang terjadi sebenarnya ada hikmah di sebealiknya. Aduhai... macam dialog klise aje, kan... berulang-ulang benda yang sama. Dah jumud, tapi ia adalah satu realiti atau kebenaran. Masalah akan datang dan insya-Allah akan pergi juga. Macam angin lalu.

Jadi, bila kita jatuh, janganlah tunggu sampai ada tangga yang jatuh atas kepala. Bila jatuh, kita terus bangun. Kalau jatuh lagi, maka kita bangunlah lagi dan seterusnya begitu. Biarlah jatuh seribu kali, sebab setiap kali kita jatuh, banyak pengajarannya dan setiap pengajaran akan jadi ilmu buat kita.

Jadi... relakslah, beb.

Thursday, November 17, 2011

Frust Menonggeng!

                     sekadar hiasan


Salam

Istilah 'frust menonggeng' ni dah lama digunakan oleh masyarakat kita untuk menggambarkan perasaan 'kecewa' atau 'hampa' atau mungkin 'geram' akibat kena 'kencing'. Frust menonggeng juga berkaitan dengan 'hancur harapan' atau 'putus angan-angan'.

Macam-macam yang boleh terjadi untuk buatkan seseorang itu terasa 'frust menonggeng'. Bila kita terlalu mengharapkan sesuatu dan tiba-tiba sahaja kita tak dapat atau dikecewakan, itulah yang akan terjadi, 'Frust Menonggeng'. Bunyi macam kelakar, tetapi siapa yang rasa dan kena, semestinya tidak rasa apa-apa yang lucu. Yang ada ialah sakit hati. Kalau tak betul gaya, mungkin akan wujud pula perasaan dendam!

Apa-apa pun, saya ingin berkongsi sebuah cerita yang ada kaitan dengan insiden 'frust menonggeng'.

Inilah kisahnya:

Mamat (bukan nama sebenar) dah beria-ia benar nak berkahwin dengan Zara (bukan nama sebenar), apatah lagi Zara memang merupakan gadis idaman terlalu ramai lelaki bujang dan yang tak bujang. Mamat ni pula memang merupakan lelaki yang berduit. Dia anak orang berada, pulak tu mempunyai jawatan yang sangat bagus. Ada kereta hebat, malah rumah pun dah ada. Yang Mamat kurang ialah 'rupa' dan 'gaya', yang itu memang Mamat tak ada. Nak buat macam mana, dah dilahirkan dengan kekurangan yang begitu. Dalam begitu, ramai juga yang minat pada Mamat, maklumlah poket Mamat biasanya berisi penuh. Mamat pula memang jenis baik hati, tak tahu kedekut, terutama dengan wanita yang cantik. Zara memang seronok berada di samping Mamat. Ke mana sahaja Zara nak pergi, Mamat akan menghantarnya. Kebetulan, Zara tinggal dengan kawan-kawan di rumah sewa. Tempat kerjanya tidaklah jauh dari rumah sewa itu dan tidaklah terlalu jauh dari rumah Mamat. Mamat memang tinggal dengan ibu bapanya yang berada.

Kerana terlalu sayangkan Zara, Mamat tak mahu tunggu lama-lama. Dia takut nanti Zara dikebas orang. Jadi Mamat pun ajaklah Zara untuk berkahwin. Zara bersetuju. Malangnya kampung Zara sangat jauh (tak payahlah saya cakap di mana) dan kebetulan pula Zara tak banyak cuti untuk balik kampung. Zara kata pada Mamat, elok kalau mereka bersiap sedia dan kemudian balik ke kampungnya dan terus berkahwin. Zara kata yang ibu bapanya pun dah bersetuju. Mamat pun berbincang dengan ahli keluarga dan ibu bapa Mamat pun okey sahajalah.

Kata Zara pada Mamat, yang dia bukan orang kaya dan dengan itu tak mungkin mampu untuk beli hadiah hantaran yang mewah-mewah buat Mamat. Kata Mamat, jangan bimbang, dia akan uruskan semuanya, termasuk hadiah untuk Zara juga. Zara seronok mendengarnya.

Selama tiga kali hujung minggu, mereka pun pergi bershopping, mencari macam-macam benda untuk dijadikan hadiah hantaran. Beli cincin berlian, beli jam tangan berjenama, beli handphone, beli ipad, beli rantai, beli kasut dan beg tangan, beli pakaian untuk Zara. Untuk Mamat pula, siap ada jam tangan mewah, kasut bally, handphone canggih dan macam-macam lagi.

Zara dan Mamat pun kumpul segala hadiah-hadiah untuk dihantarkan kepada tukang hias hantaran. Minggu berikutnya, itulah cadangan mereka, untuk ke kampung Zara dan seterusnya untuk bertunang dan menikah. Sekali gus! Malah, Mamat juga dah siapkan wang hantaran dan Zara kata memang eloklah kalau diberikan pada tukang hias, untuk dihias sekali. Mamat bersetuju. Mudahlah kerjanya nanti. Ibu bapa Mamat pula, mereka tak kisah kerana mereka juga kesibukan dengan urusan bisnes.

Awal pagi Jumaat, Zara kata dia nak ke tempat kerja dulu, nanti tengah hari dia akan balik dan bersiap sedia untuk urusan pernikahan mereka. Malam Jumaat itu, Zara akan balik ke kampung dan pada hari Sabtu pula, Mamat dan keluargnya akan ke kampung Zara. Mamat kata dia akan mengambil semua barang-barang hantaran untuk dibawa ke kampung Zara. Zara bersetuju.

Malam Jumaat itu, Mamat menghantar Zara ke stesen bas untuk balik ke kampungnya. Pada pagi Sabtu, Mamat pun pergilah ke kedai yang menyiapkan barang-barang hantaran mereka. Mamat terkejut bila dia diberitahu bahawa barang-barang hantarannya sudahpun diambil. Kata Mamat, "Siap pulak yang ambil?"

"Bakal isteri Encik Mamat lah!" Jawab taukeh kedai.

Mamat pun paniklah. Dia terus hubungi Zara. Tapi... dia tak dapat menghubunginya. Tidak ada perkhidmatan, itulah kata talian bila disambungkan. Mamat gabra, lalu cuba lagi menghubungi Zara, masih tak dapat . Mamat pergi ke rumah sewa Zara, kawan-kawannya berkata yang Zara sudah berpindah. Mamat bertanyakan tentang Zara, masing-masing (rakan rumah sewa) berkata yang mereka tak kenal sangat pada Zara ni dan tak tahu di mana kampungnya yang sebenar.

Mamat ke alamat yang diberikan Zara, tetapi malangnya alamat itu tidak wujud. Macam-macam yang Mamat lakukan, tetapi sampai sekarang Mamat tak dapat menjejaki 'Zara' yang sudah hilang. Rupa-rupanya, salinan kad pengenalannya yang diberikan pada Mamat untuk urusan pernikahan, memang IC tipu. Malah, bila Mamat semak betul-betul, Mamat tak tahu pun di mana tempat kerja Zara. Selama ini, Mamat tak pernah pun ke tempat kerjanya, sekadar diberitahu Zara sahaja.

Saya dimaklumkan bahawa Mamat kerugian lebih dari RM70,000. Saya juga percaya memang inilah kerja 'Zara', untuk mencari 'mangsa' yang mudah baginya. Apa pun, memang sah-sahlah Mamat 'frust menonggeng', bukan sekadar kehilangan 'cinta' nya, tetapi hilang juga 'wang-ringgitnya'. Mujurlah ibu bapa Mamat ada dan merekalah sedang memujuk agar Mamat tidak 'frust' terus-menerus.

Jadi... berjaga-jagalah kita bila berdepan dengan orang yang kita kurang kenali.

Wassalam.

Wednesday, November 16, 2011

Titik-Titik Hitam



Salam,



"Aku sedang jatuh cinta ni..."

"Hah? Gila apa pulak ni?"

"Janganlah panik. Dalam manuskrip aku je ni. Barulah aku dapat 'feel' nya. Aku kena rasa, kalau tak memang tak real lah!"

Huhu... kadang-kadang, beginilah rasanya (teringat sebuah lagu lama yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi Indonesia berketurunan Belanda), kita terpaksa melalui segala macam pengalaman baru, termasuklah jatuh cinta!

Saya sedang kesibukan menulis manuskrip saya semula. Walaupun dah banyak juga yang dah ditulis, namun kerana terlalu lama tinggalkannya, terpaksa saya baca dan masuk semula ke alam imaginasi yang baru ini. Bila dah dapat momentum, maka saya teruskan menulis. Bila tidur, teringat-ingatlah pulak pada watak-watak yang dilakarkan dalam manuskrip baru ini. Aduhai...

Tetapi, mungkin inilah kelebihan penulis novel. Dapat merasakan kehidupan orang lain pula, dapat menghayati suka duka yang dirasai oleh karakter-karakter yang dicipta. Tiada dalam bentuk fizikalnya, tetapi wujud dalam hal emosi, perasaan dan gambaran. Malah, banyak pula yang dipelajari dari segi perjalanan hidup, masalah yang datang, konflik harian dan cara mengatasinya. Biasanya dalam novel, apa yang penulis tulis sememangnya ada di luar sana, bukan ciptaan semata-mata. Itu, kalau sayalah... kalau orang lain saya tak pasti sangat. Mungkin ramai juga yang macam saya ni.

Pagi-pagi lagi saya dah mengadap skrin komputer dan pagi-pagi lagi saya terpaksa bangunkan karakter-karakter dalam manuskrip. "Oi bangunlah... masih jauh lagi perjalanan ni..." Hehe... sebab itulah sangat mustahak kita melakarkan pelbagai watak yang berbeza. Ada yang begini dan ada pula yang begitu. Ada okey-okey, ada yang tidak. Turun naik kehidupan mereka sama juga macam turun naiknya kehidupan kita di alam realiti ini.

Ada siapa-siapa yang duduk di atas dan tak turun-turun? Alim dan warak macam mana sekalipun, kaya dan hebat macam mana pun, bijak dan pandai macam mana pun, semua akan merasa masalah dalam hidup ini. Kadang-kadang, masalah datang bagaikan tak mahu pergi-pergi. Cuma... orang kuat sahaja yang akan berjaya mengatasinya. Insya-Allah, kita akan belajar untuk kuatkan semangat dan cemerlangkan hidup kita sekalipun berlambak-lambak 'problem' yang datang.

Dalam hidup kita, insya-Allah kita akan berasa tenang kalau kita keluarkan segala titik-titik hitam (hasad dengki) yang mungkin terselit di sanubari. Biarlah dia pergi. Penyakit dengki dan sakit hati biasanya akan makan diri kita sendiri kalau kita biarkan bermaharajalela dalam hati kita.

Tak guna kalau kita tidak tinggal solat sunat, sentiasa bertudung labuh atau berkopiah, meletakkan imej yang baik-baik dari segi fizikal dan luaran kita, kalau dalam hati masih ada titik-titik hitam, yang mampu menikam kawan dan rakan dari belakang, mampu punahkan rumah tangga orang lain, mampu membuat orang lain berduka cita... malah, membuat diri sendiri merana dek hasad dengki yang semakin tinggi kedudukannya.

Ya Allah, ya Tuhanku, Kau bersihkanlah hatiku ini dari segala titik-titik hitam yang membuat aku mampu benci dan sakit hati pada orang lain. Kau hilangkan segala perasaan hasad dengki dalam diri ini agar aku mampu mencurahkan kasih sayang pada insan-insan di sekelilingku, terutama ahli keluargaku, jiran-jiranku, rakan kerjaku dan kawan serta teman.

Jom kita sama-sama berdoa. Insya-Allah, titik-titik hitam itu akan pergi.
 Amin ya Rabbalalamin.

Tuesday, November 15, 2011

Cool Ke Kalau Simpan Rahsia di Laman Sosial?

                 Ada rahsia ke?

Salam

Semalam, hujan lebat giler. Sedang saya lepak dengan seorang jiran (konon-konon nak ke rumah seorang teman, tetapi malangnya dia tidak ada di rumah) dalam hujan yang lebat (kami terperangkap tak dapat nak keluar), kami dapat berita daripada seorang jiran lain bahawa salah satu rumah jiran kami disambar petir lalu terbakar bahagian bumbung rumahnya. Dalam hujan juga, kami bergegas pulang. Masa sampai, bomba juga sampai sama. Mujurlah tidak teruk kebakarannya kerana sempat diselamatkan oleh pihak bomba. Apa-apa pun, kita kena berjaga-jaga dalam keadaan cuaca yang tak menentu ini. Bila nak keluar rumah, pastikan alat-alat elektrik sudah ditutup switchnya.

Pagi ini, saya terbaca berita tentang kematian seorang pecetus 'social network' terbaru yang menjadi alternatif kepada 'Facebook'. Ilya Zhitomiskiy yang berumur 22 tahun dan tiga orang rakan lagi telah berusaha untuk hidupkan 'Diaspora' yang dikatakan mempunyai lebih banyak 'privasi' daripada 'Facebook'. Tak tahulah bagus atau tidaknya. Tetapi bagi saya, kadang-kadang 'social network' yang wujud di alam maya sekarang ini mampu memusnahkan kehidupan para remaja, malah boleh juga musnahkan masa depan orang-orang muda kita, kalau tidak mampu mengawalnya.

Ramai yang mengambil peluang untuk sorokkan rahsia mereka, termasuk 'kekasih gelap', 'aktiviti gelap', perbuatan-perbuatan yang sepatutnya merupakan 'aib' mereka dan pelbagai perkara lain yang boleh 'meruntuhkan' kehidupan mereka. Ramai individu terlalu ghairah dengan 'social network' dan merasakan bahawa mereka tidak 'cool' kalau tak ada laman-laman tertentu di mana mereka menjadi ahlinya. Bagaikan ketinggalan zaman. Tetapi masalah besarnya, bila dah menjadi ahli, mereka (dengan sengaja atau tidak) pun mulalah terlibat dalam perkara-perkara tertentu untuk tambahkan 'nilai cool' bagi tatapan mereka yang berpaut pada rangkaian mereka itu.

Banyak orang muda yang seronok 'menunjuk-nunjuk' aktiviti mereka yang dianggap 'cool' tanpa sedar bahawa perbuatan itu boleh merosakkan 'imej' mereka dan kadang-kadang menonjolkan 'keaiban' mereka sendiri. Rasa bijak ke kalau kita buat macam tu?

Bagi pasangan yang sudah bernikah pula, rangkaian sosial ini kadang-kadang dijadikan tempat untuk menyimpan rahsia. Malangnya, di situ jugalah ia akan melakarkan 'akhlak' individu itu yang sebenar.

Setiap hari kita akan dengar hal-hal yang tidak bermaruah yang tersebar di Internet dan sebagai insan Muslim, kalau kita juga turut terlibat sama, itu menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai 'akhlak', sama sahaja seperti mereka yang berada di dunia 'Barat' yang mengamalkan segala 'freedom', di mana akhirnya nanti memporak-perandakan kehidupan. Pandai ke kalau kita amalkan hidup yang macam ni?

Perlukah kita berahsia dengan pasangan hidup kita? Kalau kita berahsia, itu bermakna yang kita tidak jujur dan mungkin juga kita tidak mahu pasangan kita tahu siapa diri kita yang sebenar. Kalau kita jujur, kita tidak akan berahsia dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan setiap hari. Tanyalah pada diri, adakah kita jenis manusia yang begitu, yang lebih seronok berahsia, lalu kita lakukan apa sahaja dengan andaian bahawa pasangan hidup kita tak akan tahu? Kalau kita menyimpan rahsia kita di rangkaian sosial yang kita anggap 'cool' itu, tidak mustahil rangkaian itu juga yang akan membongkar 'rahsia buruk' kita itu lalu memaparkan sikap kita yang sebenar! Akhirnya akan tonjolkan kita sebagai individu yang 'bodoh'!

Jadi... berjaga-jagalah dengan apa yang kita lakukan setiap hari. Mungkin kita boleh berahsia dengan pasangan hidup kita atau ibu bapa kita, tetapi mampukah kita berahsia dengan Tuhan yang melihat segala perbuatan 'keji' kita?

Wallahua'lam.

Monday, November 14, 2011

Pilih Jangan Tak Pilih

        
Salam Pagi Isnin

Alhamdulillah, saya masih di sini lagi dan pada pagi ini saya teringat dengan sesuatu yang saya baca baru-baru ini. Mungkin apa yang saya baca itu sekadar sebuah cerita untuk memberi semangat pada kita. Yang pasti, tiada sesiapa pun hidup di dunia tanpa melalui 'turun-naiknya'. Hidup macam roda, ada ketika kita di atas dan ada kala kita di bawah. Namun, pilihan sentiasa berada di tangan kita. Jadi... pilihlah, jangan tak pilih.

Setiap hari, kita perlu pilih sama ada untuk teruskan dengan mood yang tak elok, atau ubahkan mood supaya jadi elok. Itu memang pilihan kita. Kalau kita nak teruskan dengan mood yang tak elok itu, maka tak eloklah sepanjang hari kita. Namun, kalau kita pilih untuk mengelokkan mood kita, maka akan berubahlah mood kita dan pastinya hari kita akan jadi lebih baik, insya-Allah.

Macam orang perempuanlah yang kena pilih lipstik yang mana satu sesuai untuk hari itu.



Kalau kita ditimpa musibah, apa yang kita akan buat? Terus hidup dengan perasaan kecewa dan huru-hara, atau mahu usahakan agar yang negatif berubah jadi positif? Mustahil ke untuk buat begitu? Insya-Allah kalau kita bekerja keras dan percaya yang kita boleh lakukannya, pasti kita mampu untuk mengubah perjalanan hidup kita itu. Tak kisahlah apa yang tak kena, yang penting semangat kita mesti kuat. Pilihlah untuk lakukan yang terbaik buat kita.

Sepanjang hidup kita, itulah yang akan berlaku. Kita kena buat pilihan. Untuk buat itu atau ini. Nak belajar atau tidak, nak menangis atau tidak, nak melayan perasaan atau tidak, nak pilih 'mamat A' atau 'mamat B', nak dengar cakap ibu bapa atau tidak, nak dengar cakap cikgu atau tidak, nak pilih kerja ini atau kerja itu, nak murungkan diri atau tidak, nak teruskan kehidupan dengan perasaan ceria atau biarkan diri sentiasa gundah-gulana... semuanya kita yang pilih dan buat keputusan.

Okeylah, kadang-kadang kita sangka kita pilih yang terbaik, tetapi malangnya apa yang kita pilih itu mungkin kurang baik. Apa yang perlu kita lakukan? Takkan kita nak terus menyesal dengan pilihan yang tersilap itu! Kan kita ni manusia, tak pernah sempurna dan selalu melakukan kesilapan. Jadi... buat lah pilihan lagi. Aturkan semula pilihan kita dan cari jalan untuk betulkan apa yang silap itu. Masih lagi pilihan kita, untuk ubahkan atau biarkan.

Begitulah hidup kita ini. Kita akan terus membuat pilihan. Tentunya ada benda kita tak dapat nak pilih, misalnya bila kita akan mati. Hanya Tuhan yang tahu dan siapa jodoh kita juga hanya Tuhan yang tahu. Pun begitu, banyak hal dalam kehidupan ini adalah pilihan kita. Insya-Allah, sekalipun tersilap langkah dan pilihan, kita masih boleh pilih untuk ubah yang tak elok jadi elok.

Teruslah memilih agar kita sentiasa ceria selalu. Wallahua'lam.

Sunday, November 13, 2011

Permata Hati Lola

Salam semua

Awal pagi semalam (selepas Subuh) saya dan suami berangkat ke Johor Bahru dan sebaik sahaja sampai Jay Bee, kami dan adik-beradik suami saya, kami ke Singapura pula kerana menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu suami saya, yang berkahwin dengan jejaka dari Kepulauan Mauritius. Kebetulan, sepupu suami saya itu berkahwin dengan adik Datuk M. Nasir (penyanyi dan komposer), jadi kedua-dua M.Nasir dan isterinya berada di  majlis tersebut dan ramailah yang sibuk nak ambil gambar, bukan dengan pengantin tetapi dengan M.Nasir... hehe.

Selepas itu, saya dan suami bergegas pula untuk ke majlis perkahwinan anak teman lama suami saya yang tinggal di Johor Bahru. Dan selepas itu, kami terus ke rumah sepupu saya pula, untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Huh... sampai tiga majlis perkahwinan. Kami terpaksa tidak hadir dua majlis perkahwinan di Lembah Klang kerana berada di Selatan.

Saya dan suami, kami tidak pulang ke Nilai malam tadi, tetapi tidur di Jay Bee. Dapatlah saya rehat sekejap dan pagi tadi, selepas sarapan pagi, kami pun pulang ke Nilai. Petang tadi, kami raikan majlis hari jadi cucu-cucu kami (antara kami sahaja), Firas dan Ali. Firas telah sambut hari jadi pertamanya pada 11.11.11 dan Ali pula (juga yang pertama) pada 13.11.11. Kebetulan, hari jadi anak perempuan saya pula jatuh pada 12.11.11. Berderet-deret.

Malam ini saya tak ada cerita, mungkin esok saya akan tulis sesuatu. Jadi, saya lampirkan gambar permata hati lola yang seronok bermain sejak petang tadi sampailah ke malam. Yusufia, Firas dan Ali.

Wassalam.

       Yusufia dengan Ali berehat kat atas tangga
       Yusufia (kadang saya panggil Cik Piah) kat tepi kolam ikan
     Firas dengan Ali membawa Audi TT (hehe)
         Cik Piah dalam khemah hadiah Ami Nabil
                  Ali memotong kek hari jadi
      Giliran Firas pula - siap tersenyum happy!

Friday, November 11, 2011

Yang Baik Itulah Aku


Salam

Pagi ini saya agak keletihan sedikit kerana malam tadi, salah seorang cucu kecil saya tak sihat. Kebetulan hari ini ialah hari jadinya yang pertama. Sudah setahun umurnya dan dah lama dia pandai berjalan. Malah, ketiga-tiga mereka dah lama berjalan dan bila berada di rumah saya, memang kecoh giler! Tak bolehlah saya nak hiaskan rumah, semuanya hendak ditarik. Okeylah, pagi ini juga menantu saya pulang dari negara asalnya, jadi cucu saya Yusufia tidaklah datang ke rumah saya pada pagi ini kerana dia akan ke lapangan terbang untuk menjemput mamanya.Mestilah dia suka kerana dah lebih dua minggu tak berjumpa dengan mamanya.

Semalam, memang ramai yang masuk ke blog saya, mungkin tertarik dengan judul entri saya agaknya. Sebenarnya memang kita semua teringin untuk jadi insan yang terbaik. Saya percaya tak ada sesiapa pun yang nak jadi orang jahat atau orang yang tak berakhlak. Sekalipun bertanya pada seorang perompak, mungkin dia juga ingin jadi orang baik. Tetapi, banyak manusia yang merasakan bahawa mereka boleh berubah suatu hari nanti. Jadi... okey aje kalau sekarang ni perangai kurang elok. Ramai juga tak perasan yang dia mempunyai sifat-sifat yang tak elok, kerana mungkin dia tidak tahu bahawa sifat yang ada itu memang tak elok. Misalnya dalam hal kebersihan.

Terlalu ramai orang suka buang sampah di merata-rata tempat, tak kiralah bangsa apa atau keterunan apa, miskin atau kaya, pandai atau bodoh. Kalau tidak, takkanlah kita boleh berjumpa dengan pemandu kereta BMW atau Mercedes (yang barulah) membuang sampah dari tingkap keretanya sambil memandu di jalan raya. Itu bermakna bahawa siapa sahaja mungkin mempunyai perangai yang buruk, tetapi dia tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Saya juga tahu, ada orang yang berduit (atau kaya) tetapi masih tetap suka 'mencuri'. Katanya 'perbuatan' itu sekadar hobinya atau tabiat yang tak boleh diubah lagi. Dia tak jahat tetapi mempunyai kelakuan macam orang jahat. Huhu... bunyi macam kelakar, tetapi inilah realiti.

Kadang-kadang kita juga melihat ada orang-orang yang mempunyai personaliti yang macam 'best' atau 'terbaik' tetapi masih mampu untuk berlaku kejam pada kanak-kanak atau binatang. Misalnya, ketika sedang memandu dan ada anjing liar yang mahu seberang jalan, si pemandu (yang dikatakan mempunyai personaliti 'bagus') dengan sengaja tak mahu mengelak anjing itu dan sebaliknya melanggar sahaja. Baginya, nyawa anjing itu memang tak ada nilainya, jadi tak apalah langgar pun!

Begitu juga dengan kelakuan sesetengah orang yang sangat menyanyangi anak sendiri, tetapi bila sampai pada anak orang, mereka sanggup berlaku kejam.

Memang betul bahawa Tuhan sentiasa membuka pintu taubat-Nya buat semua manusia di alam ini, namun itu tidak bererti bahawa kita akan lakukan apa sahaja yang boleh puaskan hati kita hari ini dengan niat bahawa satu hari nanti kita akan 'berubah'. Apa akan terjadi kalau kita tak juga berubah-ubah sampai mati? Dan apa pula yang boleh kita lakukan kalau kita tak sempat nak bertaubat?

Okeylah, di hari yang baik ini, eloklah kalau kita sama-sama pasang niat untuk sentiasa cuba lakukan yang terbaik bukan sekadar di masa depan, tetapi mulai sekarang lagi. Kita cuba jadi orang yang terbaik, lakukan perkara yang baik-baik bukan hanya di rumah, tetapi di kejiranan, di tempat kerja kita, juga dengan keluarga dan rakan-rakan. Sebenarnya bukan susah nak jadi orang baik. Apa yang kita perlu lakukan ialah jangan buat benda-benda yang tak baik, dari segi perbuatan dan kelakuan dan semua ini bergantung kuat pada niat kita. Beritahu pada diri, aku ini orang baik jadi aku tak bolehlah buat benda-benda yang tak baik. Kita bermula dengan jangan sakitkan hati orang lain dalam apa sahaja hal yang ada. Insya-Allah, perlahan-lahan niat kita akan dimakbulkan.

Pasanglah niat untuk sentiasa buat yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Amin ya rabbalalamin.

Thursday, November 10, 2011

Aku Mahu Jadi Khadijah Mu

                           Sekadar Hiasan

Salam

Semalam, saya tak update blog kerana telah berada di luar kawasan dari pagi hingga petang. Bila tiba di rumah, saya dah keletihan. Pagi ini, alhamdulillah saya berasa sihat dan segar, insya-Allah.

Dulu, pernah saya bersuara kepada seorang teman penulis (dia merupakan seorang ustaz) dan mahukan sangat agar dia menulis sesuatu tentang suami-isteri dengan mengambil Nabi jungungan kita Muhammad SAW dan isteri-isterinya sebagai contoh latar. Tetapi malangnya, usaha itu masih belum kesampaian. Mungkin suatu hari nanti, akan diusahakan juga. Apa-apa pun, saya teringat kepada sebuah rancangan TV yang saya lihat baru-baru ini, yang datangnya dari sebuah negara Arab. Seorang penyampai telah menyampaikan amalan-amalan Nabi kita Muhammad SAW yang patut dijadikan contoh amalan kita setiap hari. Malah, kalau kita lakukannya, ia adalah sunnah Nabi dan sangat digalakkan untuk melakukannya. Antaranya ialah membasuh tangan semasa hendak makan, membasuh lagi setelah selesai makan, mengucap 'Bismillah' ketika mahu makan dan lakukan perkara-perkara lain, dan 'Alhamdulillah' setelah selesai. Nabi junjungan kita juga suka makan makanan manis seperti kurma dan tembikai dan suka makan makanan yang sejuk, bukan panas. Malah, Nabi Muhammad SAW tidak galak kita makan makanan yang terlalu panas (Wallahua'lam). Saya percaya tentu ada hikmah mengapa dia melarang kita buat begitu.

Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang lelaki yang romantis buat semua isteri-isterinya. Dia sangat ringan tulang dan tidak pernah melakukan sebarang kekasaran kepada isteri-isterinya. Mana-mana lelaki Muslim yang merasakan mereka patut berkasar pada isteri kerana mahu tunjukkan 'kejantanan' mereka, lelaki-lelaki ini sebenarnya tidak langsung mencontohi Nabi junjungan kita. Muhammad SAW sentiasa mengambil berat tentang kebajikan isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya. Kerana kebaikan dan kemuliaan lelaki yang bernama Muhammad SAW itu, wanita seperti Siti Khadijah bt. Khuwailid r.a. sanggup mengorbankan harta benda, kasih dan cintanya buat lelaki itu, Subhanallah. Siti Khadijah r.a. kehilangan tiga orang anak kecil semasa hidup bersama Nabi junjungan kita, namun semangat dan kasihnya tetap terpancar buat suami, dan Siti Khadijah r.a. lakukan apa sahaja untuk membantu suaminya itu.

Banyak contoh-contoh yang diceritakan tentang Nabi Muhammad SAW, betapa dia merupakan seorang lelaki budiman dan salah satu kisah yang selalu diceritakan ialah bagaimana beliau telah menghulurkan lututnya buat isteri bernama Safiyah, yang ketika itu mahu menaiki seekor unta. Ibaratkan hari ini, bila seorang suami membuka pintu kereta dan juga pintu rumah buat isterinya. Aduhai...

Saya suka perhatikan tingkah suami-suami hari ini, memang jarang yang kita lihat mahu lakukan perkara-perkara begitu, mungkin dianggap sebagai remeh sahaja. Tetapi, itulah kelakuan yang boleh mengeratkan perhubungan suami isteri. Mungkin tak penting sangat, tetapi apa yang kita lakukan buat orang yang kita sayang menunjukkan kasih sayang kita kepadanya, sekalipun perbuatan itu hanyalah kecil dan tak penting. Wallahua'lam.

Saya percaya, bertambah cantik dan elok kalau kita cuba cari pelbagai amalan Nabi Muhammad SAW dan isteri-isterinya untuk kita jadikan contoh dalam hidup kita seharian. Biarlah lelaki kita mencontohi Muhammad SAW dan para perempuan menjadi Khadijah buatnya. Bagi mereka yang belum kahwin lagi, apa salahnya kalau sama-sama mengaturkan amalan-amalan ini dan insya-Allah, satu hari nanti akan menjadi amalan kita.

Memang tidak benar kalau ada manusia di bumi ini melaung-laungkan bahawa lelaki Muslim tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka. Lelaki yang kasar kepada wanita bukan merupakan lelaki yang mengamalkan sifat-sifat dan amalan Nabi mereka, Muhammad SAW dan tentunya tidak mengamal perbuatan mulia seperti yang dimahukan dalam agama Islam.

Wassalam.

Tuesday, November 08, 2011

Kisah Si Tukang Kemas


Salam

Hari ini, masing-masing sudah pun balik ke tempat kerja, insya-Allah. Itu bagi mereka yang bekerja, tetapi bagi mereka yang duduk di rumah (Menteri Dapur dan Urusan Rumah Tangga), masing-masing turut kesibukan semula. Biasalah... ini merupakan rutin hidup kita seharian. Selagi ada tenaga, ada umur dan bernafas, kita akan teruskan kehidupan, insya-Allah.

Semalam, saya tak buat apa-apa yang penting sangat kecuali mengemas rumah - luar dan dalam rumah. Di luar, kebanyakan pokok-pokok saya dah terlalu merimbun, jadi terpaksalah kemaskan. Nampak macam tak banyak, tapi rupa-rupanya banyak juga kerjanya. Dah tu, tangan pun bercalar-calar, sebab saya ada banyak juga pokok yang berduri termasuk nenas... hehe. Tapi tak apa, suka punya pasal tangan terluka pun okey aje. Bukan saya tak suka orang lain buatkan, tapi kerja-kerja macam ni memang saya suka buat sendiri, Maklumlah, kita ni orang kampung, dah biasa buat benda-benda ni.

Mengemas dalam rumah pulak, dulu saya adalah seorang pekerja Indonesia ni (berasal dari Sumatera). Dia datang setiap minggu untuk bersihkan di dalam rumah. Kerjanya sangatlah fantastic!. Tiba-tiba dia buat hal dan terus menghilangkan diri. Masa dia buat hal tu, saya dah syak dah. Mula-mula dulu bila dia datang ke rumah kita, dia tak pakai tudung. Lepas tu dia mula pakai tudung. Emak saya tanyalah dia, dan dia kata dia pakai tudung sebab nak tutup tanda kena pukul suami dia. Emak saya percaya, tapi saya tak berapa percaya. Saya hairanlah juga, kenapa pulak suami dia nak pukul dia dekat leher. Lepas tu, dia suka kata sakit kepala bila kita suruh datang buat kerja. Saya pun sempatlah mengadu pada seorang jiran (yang juga guna perkhidmatan wanita itu). Dari cerita jiran saya itu, saya sudah syak yang pekerja kami itu dah buat hal dengan lelaki lain. Akhirnya tembelangnya pecah. Dia lari dari rumah dan pergi ikut pakwenya. Saya tahu pun sebab suaminya telefon saya bertanya sama ada dia ada datang ke rumah saya. Adoi. Dah bagus buat kerja, dia buat hal pulak!

Lepas tu, saya ambil pula seorang pekerja Indonesia yang lain pula (datangnya dari Timur). Alahai minah ni pulak, buat kerja bukan setakat lembab, tapi macam tak buat kerja aje. Entah apa yang dia buat saya pun tak tahulah. Last-last saya tak pakai dia lagi. Sekarang ni saya ambil seorang lagi pula (Datang dari Madura). Buat kerja tu, bolehlah (baik dari yang sebelum tu, tapi tidak sebagus yang mula-mula). Tapi... aduhai, kita cakap lain dia buat lain. Bila rasa nak pening kepala, itulah alasan dia untuk tak datang. Bila rasa macam kita marah, dia pun pandai nak mengipas kita, sebab takut kalau-kalau kita cari orang lain. Lama-lama kepala kita pula yang jadi pening!

Dulu, masa saya di Bangi, memang saya guna khidmat seorang pekerja Malaysia. Kakak ni buat kerja tak payah kita cakap apa-apa pun. Dia datang rumah saya lebih dari sepuluh tahun, hinggalah saya pindah ke Nilai. Alhamdulillah, kerja kakak tu memang memuaskan hati saya. Tapi, nak buat macam mana, Nilai ini terlalu jauh untuk dia dan lagipun, kakak tu pun dah banyak umur. Kesianlah pulak.

Okeylah... pagi ini, ini sahajalah ngomelan saya. Tak ada apa-apa sangat, kecuali bercerita tentang sebahagian dari hidup kita. Mengemas rumah dan mengemas lagi.

Wassalam.

Monday, November 07, 2011

Ubat Hapuskan Rasa Sedih


Salam semua

Semoga kita semua tidak makan terlalu banyak pada hari semalam. Kalau makan 'terbanyak', hari ni eloklah kalau kita pergi berjogging, agar semua yang terlebih itu akan hapus jua... hehe. Seperti biasa, hari raya saya kesibukanlah, cuma kali ini adik ipar saya yang banyak memasak dan membawa makanan ke rumah kami... alhamdulillah. Apa pun, hari ini masih banyak perjalanan korban yang akan dilakukan oleh penduduk-penduduk Muslim seluruh dunia. Allahu akbar!

Hari ini, sekali lagi saya nak bersembang tentang perasaan. Mungkin ini merupakan satu perkara yang sentiasa menjadi antara isu utama bagi orang perempuan. Kalau dibandingkan dengan lelaki, orang perempuan lebih sensitif dan cepat berasa hati. Tetapi ada ketika, orang lelaki pula yang terlebih rasanya.

Ada orang bertanya pada saya, "Kak Aina... nak buat macam mana ya kalau saya selalu sangat berasa sedih? Kalau boleh saya nak cari ubat supaya hati saya keluar dari perasaan sedih ni."

Wow! Susah tu... kalaulah Kak Aina juga tahu ubatnya, mesti Kak Aina boleh berikan, betul tak?

Rasanya dah berkali-kali saya bercerita tentang hal ini, hal di mana kita akan selalu berdepan dengan kesedihan atau kesayuan hati. Sebagai insan, memang mudah kita beranggapan bahawa diri kita selalu ditimpa malang dan kesedihan. Kita mudah merasakan bahawa orang lain tidak seperti kita, mungkin tak ada masalah apa-apa. Kalau tak percaya, cubalah kita bertanya-tanya pada orang lain pula, betulkah mereka semua tak ada apa-apa masalah? Ada ke manusia kat dunia ni tak pernah ditimpa apa-apa masalah? Sekalipun mungkin ada duit setinggi gunung, saya rasa mustahil ada manusia yang sentiasa bahagia.

Namun... janganlah kita biarkan diri kita sentiasa terperangkap dengan tekanan yang membebankan. Cuba kita belajar untuk jauhkan diri daripada kuat sangat terasa hati. Jangan suka fikir yang bukan-bukan. Kadang-kadang kerana kita terlalu melayan perasaan, kita mudah berasa hiba. Hal yang kecil-kecil kita rumitkan dan perbesarkan. Cuba kita belajar untuk relaks, tentu kita akan dapat legakan sebarang rasa yang menghimpit kita.

Sudah berkali-kali saya bualkan dalam blog ini tentang hal ini. Kalau kita pandai mengendalikan hati yang gusar, maka akan hilanglah segala rasa kecewa. Hidup kita akan menjadi indah. Ada macam-macam cara yang boleh buat kita 'ceraikan' rasa tertekan yang datang pada diri kita. Kita boleh sibukkan diri dengan melakukan apa-apa sahaja yang kita suka buat, seperti melukis, berjalan-jalan, bertemu dengan rakan, pergi berkelah, balik kampung dan lain-lain. Kita juga boleh buat macam-macam jenis senaman. Senaman seperti berjogging dan berjalan kaki boleh kurangkan rasa stres dan ketegangan. Kita juga boleh membaca kerana membaca juga mampu menghilangkan rasa stres.

Ada pelbagai jenis makanan yang juga boleh membantu kita, terutama sekali buah-buahan seperti pisang, anggur dan macam-macam lagi.

Sebagai orang Islam, perbanyakkanlah amalan solat sunat dan berdoa pada Ilahi kerana hanya Tuhan sahaja yang mampu meredakan segala kegusaran. Bila kita dekat dengan Tuhan, insya-Allah jiwa dan raga akan berasa lega.

Ubat untuk hapuskan rasa sedih bergantung pada diri kita sendiri, apakah yang kita mahukan dalam hidup ini dan apakah makna kehidupan buat kita sebagai seorang individu. Kita pilih dan kita lakukanlah. Tak usah peduli apa orang lain kata, kecuali orang yang berkata itu merupakan orang yang sayang kepada kita seperti ibu bapa kita, adik-beradik kita atau mungkin kawan baik kita. Kalau mereka ikhlas mahu membantu, terimalah.

Sayangilah diri kita.

Saturday, November 05, 2011

Selamat Hari Raya Korban


Salam dan selamat menyambut hari raya korban atau Eidul Adha, semoga kita sama-sama dapat menghayati hari-hari yang dimuliakan ini. Pada hari dan masa yang baik ini, sama-samalah kita renung dan fikirkan tentang pengorbanan yang mampu kita lakukan buat agama, bangsa, negara dan keluarga kita. Semoga Allah SWT rahmati hidup dan akhirat kita, insya-Allah. Amin ya rabbal alamin.

Friday, November 04, 2011

Masa, Kasih dan Simpati


Salam Pagi Jumaat,

Hari ini, mesti ramai yang sibuk nak balik kampung, kan? Maklumlah, hari raya haji jatuh pada hari Ahad, bermakna kita akan bercuti panjang sampai hari Isnin. Maknanya juga, hari ini jalan raya dan lebuh raya akan kesibukan dan sesak! Apa-apa pun, berjaga-jagalah di jalan raya, agar semuanya selamat.

Semalam, saya berada dengan kumpulan wanita-wanita dari sebuah kementerian dan itu merupakan satu pengalaman baru buat saya. Baisanya saya berjumpa dengan pelajar sekolah, pelajar kolej dan universiti, cikgu-cikgu dan pensyarah-pensyarah. Apa pun, saya sangat seronok berada dengan mereka semua. Terima kasih kepada Yang Berbahagia Datin-Datin, Puan-puan dan adik-adik sekelian yang sudi datang berjumpa, berbual, bergambar dan bermesra dengan saya. Semoga apa yang saya sampaikan akan menjadi kebaikan buat semua, insya-Allah.

Memandangkan kita akan bertemu dengan Hari Raya Korban dalam sedikit masa lagi, sukalah saya untuk bualkan hal ini, tentang pengorbanan. Kita tentunya faham, pengorbanan ialah sesuatu yang kita perlu lakukan dengan perasaan rela hati, redha dan penuh simpati. Itulah yang saya maksudkan, kalau kita tidak mempunyai rasa simpati di hati, mungkin payahlah kita hendak berkorban.

Ada orang memang jenis keras hati dan kerana itu, memang payah hatinya mahu jadi lembut dan berasa kasihan pada orang lain. Namun rata-rata, kebanyakan orang mudah berasa simpati pada insan lain terutama orang-orang yang dekat dengan mereka seperti ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan rakan-rakan. Kalau kita mudah bersimpati, mudah juga kita menghulur dengan perasaan ikhlas. Mudah juga kita lakukan sesuatu dengan semangat 'korban'. Korban tidak bermakna kita harus berpisah dengan wang-ringgit atau harta-benda, tetapi kasih sayang dan masa itulah yang penting. Misalnya kita sanggup hulurkan masa dan kasih sayang kita buat ibu bapa yang tua, datuk dan nenek kita, mungkin juga orang-orang tua yang lain, juga anak-anak yatim yang tiada sesiapa ada masa untuk mereka. Itu sangatlah berharga buat mereka yang memerlukan. Ada kala, wang-ringgit tidak menjadi harga dan nilai bagi mereka yang kehausan kasih sayang.

Malah, kasih sayang yang kita berikan buat anak-anak kita atau adik-beradik kita itu, lebih besar maknanya daripada sekadar wang-ringgit dan harta, kerana lambat-laun wang dan harta akan habis juga. Namun, kasih sayang dan masa akan terus beri makna sampai bila-bila.

Kita selalu merasakan bahawa hidup kita seharian tiada masa dan kerana itu payah nak hulurkan 'kasih' yang dimaksudkan. Jadi... memang merupakan satu pengorbanan besar bila kita luangkan 'masa' untuk mereka yang kita sayang dan ada simpati.

Semoga kita sama-sama renungkannya dan cuba melakukan pengorbanan yang satu ini. Berikanlah masa dan kasih sayang. Insya-Allah, hati kita akan berasa tenang.

Wallahua'lam. 

Thursday, November 03, 2011

Tak Tulis Apa-Apa

Salam semua

Insya-Allah, tengah hari nanti, saya akan berada di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara, dengan sekumpulan ahli-ahli persatuan wanita yang merupakan peserta bengkel anjuran sebuah kementerian. Saya akan bersembang-sembang tentang 'Penerokaan Pembacaan Digital' dan tujuannya ialah untuk memberi gambaran tentang e-buku (biasa dan interaktif). Jadi, pagi ini saya terpaksa tunda dulu penulisan di blog ini kerana terpaksa bersiap-sedia untuk ke Kuala Lumpur.

Hingga berjumpa lagi, wassalam.

Wednesday, November 02, 2011

Ada Apa Dengan Kecantikan Fizikal?

        Sekadar hiasan


Salam

Tentu ramai yang nak tahu apa yang saya tulis dalam entri kali ini, kan?

Apa yang saya nak ceritakan ialah tentang persepsi manusia, terutama sekali berkaitan dengan kecantikan fizikal. Cuba anda bayangkan membaca novel atau menonton drama televisyen di mana hero atau heroin nya bukan 'berupa'. Tentu anda malas nak habiskan pembacaan novel itu atau nak terus menonton drama tersebut, kecualilah ia merupakan cerita komedi.

Kalau berbadan gemuk, berkulit pula tidak cerah, apa tah lagi berwajah yang tidak menarik, karakter ini hanya sesuai dijadikan karakter 'membantu' atau sampingan. Begitulah persepsi masyarakat alam ini. Tak kira di mana pun, itulah pandangan kebanyakan manusia. Hanya di beberapa negara (rasanya di Afrika), yang beranggapan badan gemuk itu menawan (mungkin di sana banyak yang kurus).

Malah, yang peliknya ada juga pembaca novel nak tahukan rupa si penulisnya. Mereka nak tengok rupa penulis, barulah berpuas hati kalau membaca novelnya. Jadi... kalaulah penulis tidak berupa, macam mana? Dalam hal ini, saya maksudkan novel bergenre keluarga atau cinta, bukan novel mistri atau thriller. Saya pernah bertanya seorang pembaca, "Kenapa nak tengok penulisnya?"

Jawabnya, "Iyalah... kalau penulis menggambarkan kecantikan wajah heroinnya, biarlah penulis itu sebenarnya tahu macam mana yang dikatakan 'cantik'. Kalau penulis buruk, macam mana kita nak bayangkan yang cantik pada hero atau heroinnya?"

Iya ke macam tu? Saya pun tak tahulah.

"Sebab tu lah kami suka tengok profil penulis, sebab nak bayangkan orang yang menulis cerita yang kita baca tu." Kata seorang pembaca pula.

Adoi... susahlah, kan?

Tetapi itulah realitinya. Serupa macam penyanyi kot. Kalau penyanyi berwajah cantik dan mempunyai suara 'power' (macam Datuk Siti Nurhaliza), bertambah popularlah dia. Kalau suara power, tapi rupa tak ada, memang lambat sikit nak jadi popular, betul, kan? Ini bukan kata saya, tetapi apa yang kita lihat terjadi di luar sana.

Begitu juga dengan pelakon. Kalau setakat pandai berlakon tetapi kurang pada rupa, jarang-jarang dapat pegang watak 'hero' atau 'heroin'. Tapi kalau ada dua-dua, maka menjadilah dia.

Tak rasa pelik ke, kalau nak baca buku pun nak tahu rupa penulisnya? Kalau rasa-rasa macam penulisnya tak ada rupa, lebih baik elakkan wajahnya terpapar di dalam buku. Itulah pandangan seorang teman. Katanya lagi, kalau 'kureng' pada rupa, lebih baik jangan 'promote' diri sangat, 'promote' ajelah buku. Biar pembaca tak kenal penulis pun tak apa. Janji buku boleh jual.

Huhu... sedihnya. Saya selalu fikirkan hal ini. Mengapa agaknya kita terlalu terikat dengan 'etika' dunia, di mana perkara luaran itu menjadi penting untuk kita buat penilaian. Kenapa kita tidak mahu terima keindahan yang ada dalam hati? Kenapa perlu terpengaruh dengan rupa fizikal?

Agaknya apa yang ada dalam hati payah nak nampak. Yang di luar tu senang aje. Sebab itulah juga penulis payah nak jadikan 'hero' atau 'heroin' yang tak berupa. Kadang-kadang bila difikirkan, memang kesian, kan? Tetapi inilah kehendak masyarakat. Yang cantik itu pada fizikalnya. Cantik rupa, cantik bentuk tubuh, cerah pula kulitnya. Tak kira sekalipun hatinya mungkin tak cantik mana, apa tah lagi akal fikirannya. Adoiiii....

Sekadar bercerita sahaja. Wallahua'lam.

Tuesday, November 01, 2011

Menangislah Sayang...


Salam, semua

Mungkin itulah yang perlu kita lakukan bila hati berasa sedih, teramat sedih. Luahkan perasaan dengan menangis semahu-mahunya. Itu lebih baik daripada menahannya di dada. Wallahua'lam.

Ada orang, memang mudah menangis. Baca buku yang tak sedih pun boleh menangis. Ada seorang teman baik saya, telah membaca novel kedua saya iaitu 'SEHARUM KASIH'. Katanya kepada saya, "I menangis teresak-esak, sedih sangat." Saya pula jadi hairan, di mana agaknya dalam novel itu yang boleh buat dia rasa sedih begitu. Setahu saya novel itu memang bukan novel yang mempunyai jalan cerita sedih. Kalau ada pun, terlalu sedikit untuk membuat pembacanya menangis. Tapi, kawan saya memang jenis yang begitu, mudah tersentuh hatinya dan murah pula air matanya.

Ada orang, memang suka baca novel sedih. Suka juga tengok filem dan drama yang sedih.

Saya pula, tak mudah sangat nak menangis, tetapi ada perkara-perkara tertentu yang boleh buat saya menangis, misalnya hal kanak-kanak atau hal orang-orang tua. Benda-benda seperti itu boleh buat saya menangis. Cerita cinta payah nak buat saya menangis, kecuali ada perkara-perkara tertentu yang mengingatkan saya kepada sesuatu yang dekat di hati.

Ada orang pula, memang payah benar nak menangis. Benda berat dan menyedihkan pun tak mampu membuat dia menangis. Kalau perkara itu tidak berkaitan secara langsung, tak apalah. Tapi kalau ada kena-mengena dengan dirinya, eloklah kalau dia luahkan rasa sedih dengan menangis. Jangan kita simpan rasa sedih dalam hati. Semakin lama, semakin berat jadinya.

Saya pernah dengar kisah seseorang yang mempunyai masalah rumah tangga. Hidupnya sentiasa tertekan kerana tak sanggup dengan kerenah suaminya. Namun, dia teruskan sahaja tanpa luahkan perasaan di mana-mana. Akhirnya, kelakuannya mula berubah seperti orang 'gila meroyan', tak tentu pasal dia menghentam orang. Kerjanya ialah untuk 'attack' sana sini hinggakan kawan-kawan dan orang sekelilingnya pula lari. Jadi... janganlah kita amalkan 'simpan rasa sedih' hingga memakan diri kita pula.

Sekalipun perkara kecil, luahkanlah. Jangan bebankan perasaan. Kalau mampu menangis seorang diri, lakukanlah. Memang tersangat bagus kalau kita luahkan perasaan pada Allah SWT, terutama setelah kita selesai solat. Berdoalah dan mengadulah kepada Tuhanmu. Insya-Allah, kita akan berasa lega. Kalau kita ada teman yang baik, berceritalah padanya dan menangislah. Kecil atau besar, tak ada masalah yang tak mampu pergi. Begitulah perasaan sedih. Biasanya, rasa sedih akan pergi jauh kalau kita usahakannya. Namun, kalau kita biarkan, kita akan jadi orang yang suka marah-marah, orang yang susah nak mesra dengan orang lain, orang yang tidak fokus (kerana kepala otaknya berserabut) dan tentulah orang yang begini, payah nak ada kawan.

Kalau ada sesuatu yang membuat anda berasa sedih, menangislah...