Assalam.
Semoga anda ceria-ceria selalu. Semoga hari ini jauh lagi baik daripada semalam. Alhamdulillah, kita masih di sini dan masih dapat berblogging.
Ada yang menyoal saya, apa perasaan saya kerana ada novel-novel saya yang diadaptasikan untuk dijadikan drama. Sebenarnya situasi saya tidak komplikated, kerana saya yang memilih untuk buat begitu. Bila ada produser yang datang, mereka terus datang pada saya tidak melalui orang lain. Apa-apa persetujuan, saya yang buat sendiri. Malah, setakat ini ketiga-tiga novel yang sudah diadaptasikan itu, saya yang menulis skripnya. Setakat ini, saya hanya buat drama bersiri sebanyak 13 episod. Itu juga merupakan pilihan saya. Jadi, sebenarnya apa yang berlaku, tidaklah rumit sangat. Seboleh mungkin, saya kekalkan jalan cerita seperti dalam novel. Apa-apa perubahan yang saya buat, tidak menjejas jalan cerita. Dalam hal ini, saya masih mempunyai sedikit kuasa, walaupun tidak sepenuhnya. Kalau saya tidak tulis skrip dan pihak produser tidak berbincang dengan saya, saya percaya jalan cerita juga akan berubah daripada cerita asal.
Setelah drama-drama selesai ditayangkan di skrin TV, ada yang mula bertanya, ada lagi tak?
Hmmm... tak tahu nak cakap macam mana ya. Mungkin ada, mungkin juga belum lagi. Bagi saya, tak perlulah untuk kalut sangat. Saya suka buat sesuatu 'slow and steady', tidak tergopoh2. Saya tak mahu orang bosan dan saya juga tak mahu buat sesuatu secara cincai. Pasti saya akan berasa tak puas hati. Saya juga tidak kisah 'glamor' atau tidak, kerana itu saya tak pilih stesen TV. Malah, bila saya tulis novel, saya tak kisah pun nak meletup atau tidak, saya lebih suka kalau novel saya akan terus berada di pasaran sepanjang zaman. Biar perlahan-lahan asal berkesan, in syaa Allah.
Okeylah, sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda semua.
Wassalam.