Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, March 31, 2011

Sama-Samalah...


Salam

Kenalan saya mengingatkan saya bahawa Tuhan tidak hanya melihat perhubungan kita dengan-Nya, tetapi juga perhubungan manusia dengan manusia lain, malah manusia dengan alam yang dianugerahkan Tuhan buat kita umat-Nya. Masya-Allah.

Kita lakukan apa sahaja yang diperintah Tuhan. Percaya kepada-Nya dengan mengucap dua kalimah syahadah, lakukan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, berzakat dan menunaikan haji di Baitullah.

Kita beriman kepada ALLAH SWT, beriman kepada Malaikat-malaikat, beriman kepada Kitab-kitab, beriman kepada Rasul-rasul, beriman kepada Hari Kiamat dan beriman kepada Qada dan Qadar.

Namun, sebagai orang Islam, perhubungan kita dengan manusia lain juga diperhatikan. Malah, dengan haiwan, dengan alam sekeliling, termasuk segala tumbuhan. Kalau kita beriman kepada Allah SWT, maka seharusnya kita mempunyai hati dan perlakuan yang tidak zalim pada manusia lain. Kita diminta untuk membayar zakat kerana di situlah kita diajar supaya tidak jadi manusia yang pentingkan diri sendiri. Apa sahaja rezeki yang datang kepada kita, sepatutnya kita berkongsi juga dengan mereka yang kurang rezekinya. Dari situlah kita diminta supaya sentiasa bertimbang rasa pada orang lain.

Tidak guna kalau kita keluar masuk masjid dan tunaikan segala solat sunat dan wajib, tetapi akhlak kita tidak mencerminkan hati yang ikhlas dan akal yang waras. Kita tidak jujur dan amanah, kita zalim kepada orang lain, mungkin dengan kerabat kita sendiri, jiran dan kawan, apatah lagi orang luar. Kita amalkan rasuah seolah-olah itu juga sebahagian dari iman, kita hina dan fitnah orang lain, kita kejam kepada haiwan, kita juga zalim kepada hutan, laut dan sungai... Nauzubillah.

Bukan senang untuk jadi orang yang baik, namun ia tidak mustahil. Kita lakukanlah apa-apa yang terbaik, sentiasa amalkan kebaikan kepada orang lain agar perjalanan hidup kita dipermudahkan. Semoga kita selamat bukan hanya di dunia ini tetapi di akhirat. Insya-Allah.

Sama-samalah kita lakukannya. Sama-samalah kita buat kebaikan.

Wednesday, March 30, 2011

Tak Akan Hilang...


Salam

Ada teman ni, dia kata pada saya, "Saya tak sukalah Kak Aina jadi anak tunggal ni. Tak ada adik beradik lain, tak merasa macam orang lain, lepas tu susah nak ke mana-mana, sebab mak dengan ayah tak bagi. Esok kalau saya kahwin macam mana pulak? Takkan nak duduk dengan mak ayah buat selama-lamanya?"

Alahai... ada orang kata pada saya, kalau kahwin dengan anak tunggal ni, untung. Harta mak ayah dia semua turun pada dia. Aduh!

Okeylah... bagi saya, anak nombor berapa pun tak kisahlah. Sulung ke, kedua ke, ketiga ke, bongsu ke... semua sama aje. Itu kata saya. Tapi saya tahu ramai ibu bapa di luar sana tak amalkan macam tu. Dia orang suka pilih kasih. Ada tu, sayang yang sulung lebih daripada yang lain. Ada tu sayang yang bongsu. Ada tu sayang anak lelaki lebih daripada perempuan (Ini sangat common), ada juga yang rasa anak perempuan lagi best (yang ni jarang-jarang). Ada pula, sayang yang pandai atau yang paling cantik!

Saya teringat kisah seorang teman ni. Masa kecil dulu, dialah jantung hati ibunya. Mungkin sebab rupa dia lebih comel dan kulit dia lebih cerah. Tapi bila besar, dia kurang berduit kalau dibandingkan dengan anak yang lain, status dia juga berubah. Daripada yang tersayang bertukar jadi yang kurang disayangi. Kesian.

Orang luar selalu tanya saya, novel yang mana jadi novel kegemaran saya. Saya kata, "Semua sama. Macam anak-anak saya juga. Masing-masing ada keistimewaan sendiri. Orang lain mungkin tak nampak, tapi bagi saya, saya melihatnya."

Saya ada empat orang anak. Semuanya saya sayang, tak ada yang lebih atau kurang. Tak kira lelaki atau perempua. Sekarang ni saya ada tiga orang cucu. Bagi saya, mereka pun sama saja, tak ada yang lebih special daripada yang lain... semua istimewa. Kalau orang lain kata pada saya, "Yang ini comel, atau yang ini putih, atau yang ini tembam, atau yang ini cantik..." Bagi mata dan hati saya, mereka semua comel, ada keistimewaan masing-masing yang membuat saya sentiasa senang dan seronok.

Jadi... saya memang tak faham bila saya dengar cerita tentang 'pilih kasih' ni. Selalu sangat yang datang mengadu pada saya. "Mak ayah saya tak sayang saya. Tak macam kakak saya atau adik saya."

Memang sedih saya mendengarnya kalau ada anak-anak yang rasa begitu. Sebagai ibu bapa, janganlah kita buat macam tu pada anak-anak, atau cucu-cucu. Perasaan itu tak akan hilang sampai bila-bila. Mungkin ada yang terkilan dan berdendam. Belajarlah untuk sayang anak kita cara yang sama rata. Anak kita itu semuanya istimewa...

Tuesday, March 29, 2011

Lihatlah Hati Mereka


Salam

Ingatkan nak ponteng dari update blog, tapi awal-awal lagi dah ada member tanya, "Tak update blog ke?"

Alahai... terpaksalah update jugak.

Okeylah, semalam saya baca sebuah artikel kat paper berbahasa mat salih, tentang apa yang dikomen oleh Yang Mulia Raja Nazrin (Raja Muda Perak)... ni negeri teman ni... saya tertarik dengan apa yang dikatakannya tentang mangsa gempa bumi + tsunami dan sekarang ini 'radiasi' di negara Jepun. Kata Raja Muda Perak ini, orang Jepun mempunyai budi bahasa yang tinggi, dan semangat juga tinggi. Malah, mereka dengan rela hati lakukan segala-galanya untuk pastikan negara Jepun tidak musnah dek musibah yang menimpa mereka itu.

Saya bersetuju sangat-sangat dengan pandangan Raja Muda Perak ini, kerana bagi saya, memang sukar untuk melihat satu bangsa di dunia ini yang begitu berdisiplin dan bersemangat tinggi sekalipun segala macam benda menimpa mereka. Biasanya, bangsa yang sudah mempunyai segala-galanya, mungkin sukar untuk menerima bencana seperti itu. Kita lihat sahaja di USA suatu ketika dahulu, ketika tragedi 9/11 dan juga tragedi Taufan Katrina. Rakyatnya bagaikan huru-hara, sukar menerima kenyataan.

Mungkin kita di Malaysia, terutama orang Melayu yang beragama Islam, akan berkata bahawa sebagai orang Islam kita juga sepatutnya memberi contoh yang baik sekiranya terjadi sesuatu yang tidak baik. Tapi... mampukah orang kita bersikap demikian?

Hari ini, bukan sekadar ada manusia jahil yang sanggup menyeksa haiwan, malah mereka juga sanggup bunuh dan buang bayi yang tidak tahu apa-apa. Orang kita sering kali terjebak dalam pelbagai perbuatan kejam termasuk memakan dadah, merogol, membuat fitnah dan segala macam kerja-kerja orang jahil yang diamalkan. Kadang-kadang kita berasa gerun, takut generasi kita di masa akan datang, akan menjadi manusia yang lebih teruk perasaannya daripada haiwan. Nauzubillah.

Apa-apa pun, eloklah kalau kita berikan tumpuan kepada orang-orang Jepun ini. Seperti kata Raja Nazrin, dulu kita pernah pandang ke Timur untuk belajar menjadi cemerlang seperti orang-orang Jepun, mungkin kali ini kita akan pandang sekali lagi ke Timur, perhatikan bagaimana mereka memberi semangat, menyokong orang-orang yang sedang berdepan dengan kesusahan dan seterusnya, saling bantu-membantu untuk membina Jepun semula.

Kita lihatlah hati mereka.

Monday, March 28, 2011

Apa Salahnya Berangan-Angan

Gambar di atas ini ialah di Pulau Bora-Bora

Salam

Tentu kita pernah berangan-angan, kan? Kalau kata tak pernah, mungkin kita saja nak menipu! Hehe... atau saja tak nak mengaku.

Tidak menghairankan kalau angan-angan kita tu bunyi macam pelik atau bunyi macam susah nak tercapai. Biasalah tu, sebab tu kita katakan angan-angan. Kadang-kadang, memang elok kalau kita pasang angan-angan, kalau tidak, mungkin hidup kita ni jadi bosan. Tiap-tiap hari buat benda yang sama aje. Macam tak ada cita-cita.

Apa agaknya yang jadi angan-angan kita?

Kalau tanya yang lelaki, mungkin ramai yang berangan nak pakai kereta hebat! Kalau kata Ferrari tu bunyi macam ngeri, tapi memang ramai lelaki yang berangan-angan macam tu. Berangan aje, beb! Apa salahnya. Ada juga yang teringin nak pakai kereta Mesarati (apa tu?), atau mungkin Porsche... apa-apalah. Last-last dapat pakai Honda ke, Toyota ke... okey jugak, kan?

Kalau tanya orang perempuan pula, mungkin ada yang berangan-angan nak pergi bercuti di tempat yang eksotik, macam kat Bermuda ke, Pulau Bora-Bora ke, Jamaica ke... hehe atau nak pergi shopping kat Paris ke...

Ada juga berangan-angan nak ada rumah cantik kat tepi laut Mediterranean, macam kat Greece atau kat Spain. Ada yang teringin nak naik gunung yang penuh dengan salji.

Ada yang berangan-angan nak buat majlis perkahwinan kat atas kapal.

Apa pun, memang tak salah kalau kita nak pasang angan-angan. Malah, ia menyeronokkan sekalipun belum tahu lagi sama ada kita akan merasa atau pun tidak. Kalau kita pasang angan-angan, mungkin kita akan cuba bergerak ke arah itu. Kita akan belajar untuk mencari dan mengumpul duit. Kalau kita berangan-angan nak itu dan ini, tapi satu habuk pun kita tak buat, memang sahlah angan-angan kita tu sekadar angan-angan mat jenin!

Ada juga yang berangan untuk melanjutkan pelajaran. Kalau dah itu harapan kita, maka usahkanlah... insya-Allah, tidak mustahil untuk kita mendapatkannya.

Hehe... ada yang berangan nak dapat isteri cantik macam Miss World, atau nak kahwin dengan lelaki handsome macam Johnny Depp... apa salahnya, kan? Kalau tak dapat secantik atau sehandsome itu... dekat-dekat pun okey gak...

Saja aje nak bergurau di pagi Isnin ni. Tak salah kot.

Sunday, March 27, 2011

Aku Macam Ni Ke?

Inilah rupa nasi mandy

Salam

Kadang-kadang, mulut kita jadi berat untuk menyatakan sesuatu kepada si 'dia'. Tak kisahlah siapa si dia tu. Mungkin pasangan kita, mungkin kawan baik kita, jiran kita, adik-beradik kita dan siapa-siapa sahajalah yang dekat dengan kita.

Kita takut dia tak boleh terima apa yang kita nak kata tu. Kita juga takut kalau dia akan marah, merajuk atau mungkin mengamuk. Mungkin juga berkecil hati.

Kadang-kadang, benda yang kita nak cakap tu pun kecil aje, bukan mustahak, bukan besar, tetapi dah lama sangat kita simpan dan mungkin kita 'irritating' dengan benda tu. Kalau kita tak cakap, dia tak tahu dan dia akan terus lakukannya. Tapi kalau cakap... hah! itu yang kita takut tu.

Hehe... pernah tak terjadi pada kita macam tu?

Sebagai contoh, kita ada seorang kawan baik yang selalu datang bertandang di bilik kita (kita ni pelajar). Bila dia datang aje, dia 'sebat' apa-apa makanan yang ada kat bilik kita ni. Biskut kita, mi segera kita, kopi kita... kadang-kadang, siap dia tidur atas katil kita sampaikan kita tak ada tempat nak baring. Kadang-kadang dia ambil nota kita, konon nak pinjam, tapi asyik lupa nak pulangkan.

Kita nak tegur dia sebab hati kita dah jadi geram, tapi mulut kita pulak berat untuk berkata-kata. Kita takut, kalau kita tegur, dia akan berkecil hati dengan kita. Jadi... kita simpan dan bertambah hati kita jadi sakit.

Ada pula tu, pasangan hidup asyik campak kain baju lepas pakai. Tak reti nak angkat letak dalam bakul pakaian kotor. Kalau duduk di atas sofa pula, tak reti nak susun semula kusyen yang sudah tercampak. Dibiarkan sahaja. Kita geram, tapi mulut kita jadi berat untuk menegurnya!

Ada banyak lagi benda-benda kecil dan besar yang buat kita jadi geram, tapi mulut ni masih berat untuk menegur.

Sebenarnya saya selalu dapat cerita-cerita yang macam ni, itulah yang saya tulis ni. Bila kita berkongsi cerita, mungkin kita akan tertanya pada diri kita... aku macam ni ke? Hehe...

Okeylah... malam tadi saya lepak dengan kawan baik saya yang sedang bercuti dari tugas di luar negara. Kami ke sebuah restoran Arab di Kampung Pandan. Masya-Allah, restoran tu penuh dengan pelanggan, kebanyakannya orang Melayu tempatan. Wah, orang Melayu dah pandai makan nasi mandy, kan?

Friday, March 25, 2011

Ada Dua Benda Tentang Gosip

Salam

Ada dua benda tentang gosip ni.

Satu... ada orang suka buat gosip. Tak kisahlah betul atau tidak. Bila tahu sahaja tentang apa-apa sahaja, tak kisahlah sahih atau tidak, dia akan sampaikan pada orang lain. Kadang-kadang teorinya tak tepat, tetapi dia suka nak menyampaikan kepada orang lain, maka akan tersebarlah percakapannya dan maka tahulah orang lain tentang sesuatu perkara itu. Ada juga yang memang sengaja cipta gosip kerana inginkan sesuatu daripadanya. Sesuatu itu mungkin akan menguntungkan dirinya.

Dua... ada orang memang suka dengar gosip. Lagi panas lagi best. Tak kisahlah gosip itu sahih atau tidak. Asal gosip sahaja, dia pun terujalah. Lagi kuat gosip itu dicanangkan, bertambah yakin dia mendengarnya. Tambah kalau gosip itu keluar di surat khabar. Apa sahaja yang dicetak, dia percaya. Sekalipun ada perasaan waswas, dia masih seronok nak percaya, mungkin takut sekiranya tak percaya, dia akan ketinggalan!

Rata-rata mungkin memang begitu agaknya. Lebih mudah mempercayai gosip daripada tidak. Jarang-jarang orang mahu fikirkan tentang gosip yang tersebar, sama ada logik atau tidak, sama ada sahih atau tidak, atau sama ada ia merupakan andaian, ciptaan dan rekaan semata-mata.

Tak kisahlah dia berkopiah, berserban atau bertudung labuh! Tak kisahlah dia berkedudukan tinggi atau rendah. Tak kisahlah dia kaya atau miskin, seorang profesor atau tidak. Macam-macam orang yang bergosip dan tak semestinya dia menyampaikan benda yang benar.

Gosip yang tidak betul adalah fitnah. Membuat fitnah dan mempercayai fitnah adalah satu penyakit yang sangat kotor dan boleh merosakkan masyarakat dan kerana itu juga dalam Islam, kita tidak dibenarkan membuat fitnah. Fitnah adalah dosa besar.

Tapi... gosip suka-suka okey kot?

Ada gosip suka-suka ke?

Jadi... berjaga-jaga dan berwaspadalah kalau kita sedang bergosip atau sedang mendengar gosip. Mungkin ia adalah satu fitnah semata-mata. Tak kisahlah isu apa sekalipun yang kita sebar atau mendengar.

Lebih baik jangan percaya daripada percaya. Bila tak percaya, kita tak bersalah. Kalau percaya dan turut terlibat, sedangkan itu bukan perkara benar, maka kita jadi orang yang bersalah. Wallahua'lam.

Thursday, March 24, 2011

Hilang IC


Salam

Saja nak cerita pagi ini, kisah seorang teman yang datang ke KL sebab ada urusan kursus. Terpaksalah dia duduk di sebuah hotel (bukan lima bintang) yang terletak di kawasan Puchong. Masa nak 'check in' tu, budak perempuan yang jaga kaunter tu mintalah IC dia. Dia pun bagi. Lepas tu dia pun masuklah ke bilik dan urus segala urusan. IC dia tu tak dipulangkan dan teman ni pula terlupa nak minta. Selepas selesai kursus, teman ni pun pergilah uruskan untuk 'check out'. Selesai, dia pun pulanglah ke utara. IC nya masih tak dipulangkan dan dia juga terlupa untuk minta balik.

Teman tu teringat semula bila dia hendak ke Sarawak. Lepas tu barulah dia teringat yang IC nya masih ada di hotel berkenaan. Dia pun hubungilah hotel berkenaan. Staf yang mengangkat telefon tu kata nanti dia hantar pakai pos laju. Tunggu punya tunggu, tak juga datang-datang IC nya tu. Teman ni pun call lagi dan minta nombor trecking pos laju tu, staf tu kata dia tinggal kat rumah.

Teman tu pun mintalah seorang teman lain (saya namakan Cik N) pergi ke hotel berkenaan. Cik N pun bertanyalah kat kaunter. Staf tu kata "Saya dah hantar pakai pos laju." Cik N minta nombor treking, dan alasan sama diberikannya. Konon-konon tinggal kat rumah. Sementara itu, teman saya buat lah laporan polis kat tempat tinggal dia.

Cik N tinggalkan nombor telefon dia, minta staf tadi berikan nombor treking, tapi dia tak call pun. Jadi Cik N pergi lagi dan minta dia panggil bosnya. Staf tu kata, "Bos saya tak suka jumpa orang."

Jadi Cik N minta abang Cik N datang. Sebelum datang abang Cik N dah call managernya. Bila sampai aje kat ofis hotel tu, terus aje IC tu dikembalikan.

Tak pelik ke dengar cerita ni? Kalau tanya saya, saya percaya memang ada sindiket tertentu kat hotel tu. Ada banyak lagi perkara yang tidak menyenangkan kat hotel tu, sebab staf hotel (budak perempuan Melayu) tu kata, "Biasalah, ramai yang lupa nak amik IC."

Setahu saya, tak ada sesiapa pun berhak untuk simpan IC kita.

Saya bercerita sekadar mengingatkan pembaca-pembaca semua supaya kita jangan percaya pada orang-orang seperti apa yang saya ceritakan di atas ini.

Wednesday, March 23, 2011

Berkelahi Jangan Lama-Lama


Salam

Biasa berkelahi tak? Tak kisahlah sama ada dengan pasangan hidup, dengan kawan rapat, dengan pakwe atau makwe, dengan adik beradik atau dengan sesiapa sahaja yang rapat dengan kita. Mungkin dengan jiran.

Kalau berkelahi atau tak sama pendapat, biasanya kita buat macam mana? Bermasam muka kot, atau terus tak bertegur sapa.

Kalau dengan pasangan hidup, eloklah kita cuba cari jalan untuk berbaik semula secepat mungkin. Kalau nak merajuk pun, jangan biar lama-lama. Sekejap aje dah cukup. Tunjuk protes sikit-sikit, jangan sampai melarat dan meleret! Orang berkahwin, kalau berkelahi jangan mula tidur asing-asing. Kalau tidur jauh-jauh, memang lambat berbaik semula. Kalau masih tidur sekatil, mudah berbaik semula. Kalau tak percaya... cubalah.

Kalau berkelahi dengan kawan pun, jangan marah lama-lama. Bila hati dah sejuk, tegur balik. Kalau tak nak sentuh apa-apa yang sensitif, kita terus abaikan dan buat-buat macam tak pernah jadi apa-apa. Kalau kita ada berkecil hati, tak payah kita sebut-sebutkannya. Biasanya dengan kawan ni, dia akan faham hati kita. Sekalipun kita tak cakap apa benda yang buat kita tersinggung, dia akan tahu juga. Dia juga macam kita, tak mahu 'putus' dengan kita.

Berkelahi dengan pakwe atau makwe, elok kita bagi tahu dia apa yang buat kita marah. Kalau tak cakap sekarang, mungkin dia tak tahu. Pakwe atau makwe, dia tak macam kawan baik kita. Kalau jadi, mungkin dia akan jadi pasangan hidup kita. Jadi, elok kita settlekan benda-benda yang kita tak suka sebelum kita teruskan perhubungan kita itu.

Berkelahi dengan adik beradik, kita runding bila sama-sama dah sejuk. Adik beradik tak boleh putus hubungan sampai bila-bila. Jadi... bila tiba masanya, berbincang semula dan settlekan benda-benda yang buat kita berkelahi tu.

Dengan jiran pun, memang tak elok kita tak bertegur sapa lama-lama. Sekalipun kita tak suka, kita buat-buat biasa sahaja. Jangan panjang-panjangkan benda kecil dan jangan tambah-tamabhkan lagi apa yang kurang. Seelok-eloknya, kita berbaik semula, supaya orang lain tidak gosip pasal kita. Bukan itu sahaja, jiran adalah orang yang dekat dengan kita dan kalau kita ditimpa musibah, dialah yang ada di tepi kita!

Apa-apa pun, eloklah kita cari jalan untuk berbaik dengan semua orang, terutama dengan orang-orang yang suatu ketika dahulu memang baik dengan kita, atau mungkin pernah menolong kita.

Wallahua'lam.

Tuesday, March 22, 2011

Hilangkan Rasa Bosan


Salam,

Bila dah lama berkahwin, ada pasangan mula berasa bosan. Mana tidaknya, rutin harian tak pernah berubah. Tiap-tiap hari sama saja. Bangun pagi, lepas tu pergi kerja. Balik kerja tengok benda yang sama dan buat benda yang sama. Kadang-kadang, asyik makan benda yang sama. Semuanya sama. Mana tak bosannya, betul, kan?

Bertambah bosan bila anak-anak buat hal. Kalau anak masih kecil, mungkin banyak kerenahnya. Kalau anak dah besar pulak, banyak pula 'songehnya'. Ibu bapa jadi tension, menambahkan kebosanan.

Menjadi lagi bosan, bila banyak masalah kewangan. Bila keluar rumah, tengok banyak pula kereta di atas jalan. Kita pun bertanya, "Banyaknya duit dia orang ni." Masuk pula hypermarket, berduyun-duyun manusia di situ. Bertanya lagi, "Banyaknya duit dia orang ni."

Kita hairan, macam mana orang banyak duit sedangkan kita banyak masalah tentang duit. Rasa macam tak cukup-cukup aje.

Bila balik rumah, masalah duit timbul lagi. Kita pun berkelahi dengan pasangan. Itu tak kena, ini pun tak kena. Rasa macam nak keluar rumah lagi. Tapi mana nak pergi?

Macam mana nak hilangkan rasa bosan ni?

Mungkn kita jangan layan sangat perasaan yang sedang bermain tu. Cuba kita relakskan badan dan minda. Bila badan dan minda tak cukup rehat, memang kita akan selalu berasa tension dan bosan. Pastikan tidur kita cukup. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (ini kata doktorlah). Buat aktiviti sukan, setidak-tidaknya berjalan kaki atau jogging. Bila kita beriadah, stres akan hilang. Lepas tu, carilah hobi yang menarik yang kita suka buat. Misalnya bertukang, melukis atau membaca.

Kalau ada modal, kita pergilah bercuti. Anggapkan percutian itu satu pelaburan untuk menaikkan semangat kita semula. Resting is an investment. Bila bercuti, relakslah dengan pasangan kita tu. Berjalan-jalanlah di tepi pantai sambil berpegang-pegang tangan. Buatlah benda-benda yang romantik berdua. Semua ini akan menaikkan semangat kita semula dan akan hilanglah rasa bosan-bosan yang ada.

Akhir sekali, cubalah lakukan sesuatu yang baik untuk orang lain. Misalnya menolong orang sebelah rumah kita untuk ubahkan pasu-pasu bungannya. Orang sebelah kita itu merupakan mak cik yang sudah berumur. Atau mungkin, kita tolong belikan beg sekolah untuk anak yatim yang tinggal tidak jauh dari rumah kita. Atau mungkin, kita singgah belikan nasi lemak untuk rakan-rakan ofis kita semasa hendak ke pejabat!

Insya-Allah, walaupun kecil, tetapi perbuatan seperti itu akan meningkatkan semangat kita.

Wallahua'lam.

Monday, March 21, 2011

Bahasa Melambangkan Mentaliti Kita


Salam

Kadang-kadang kita tertanya-tanya juga, kan, kenapa ada orang suka mengeluarkan kata-kata yang agak kasar, konon-konon ingin bergurau. Kalau nak melawak sekalipun, mestilah kena dengan tempat dan keadaan. Kita tak bolehlah main redah sahaja. Kadang-kadang kita nak melawak, atau nak mengusik, tetapi bila cara kita tu tak kena, orang jadi menyampah dengan kita. Betul, kan?

Saya teringat masa saya kecil-kecil dulu, saya tak akan ketawa kalau terlihat orang terjatuh. Kerana ayah saya dah pesan pada kami semua, jangan sekali-kali tertawakan orang bila orang berada dalam keadaan yang 'kesakitan' atau pun 'malu'. Tetapi, memang kita tak nafikan memang ada orang yang tak tahu hendak mengawal bahasanya.

Dalam hal ini, saya rasa sangatlah pelik bila saya terbaca kisah 'mamat' sekor ni, yang buat lawak bodoh tentang keadaan orang-orang Jepun yang sedang ditimpa musibah di sana. Kenapa dia mahu bergurau macam tu? Otak dia letak di mana agaknya? Saya berasa kesian dengan 'mamat' selebriti tu, kerana dia tidak diajar oleh orang tuanya supaya tidak buat perkara-perkara begitu. Tidak tahu mengawal bahasanya.

Ini macam kes orang suka buang sampah di merata-rata tempat. Bagi saya, orang begini memang mempunyai mentaliti rendah. Maaflah, kalau saya berkata dengan nada yang agak marah.

Tapi iyalah... di dunia ini memang ramai yang begitu mungkin. Saya teringat kepada seorang hamba Allah ini. Dia pernah datang ke rumah saya dulu (masa tu saya baru lagi jadi penulis). Mula-mula, bila dia telefon dan masuk rumah saya, dia kata pada saya yang dia ni peminat novel saya. Saya pun beria-ia melayan dia. Tetapi, masa nak balik tu (selepas bercakap berjam-jam), dia boleh kata, "Novel you jalan ceritanya okeylah, tapi bahasa you tak bagus, tak cantik. Bagi saya, novel you tu tak adalah apa-apa sangat."

Adoi... kot iya pun, tak payahlah cakap macam tu pada saya. Kalau rasa dah tak cantik dan tak bagus, buat apalah dia datang jumpa saya, konon-konon nak minta tips macam mana nak buat novel yang menarik!

Mungkin lebih cantik dan baik, kalau kita tidak kata apa-apa yang boleh menyakitkan hati orang lain. Kalau kita tak suka, kenapa kita tak diam sahaja? Dalam hal 'mamat' selebriti tadi, elok kalau dia tahu yang banyak mata sedang memandang kepada tingkahnya itu. Bahasa kita kadang-kadang melambangkan mentaliti kita juga.

Wallahua'lam.

Sunday, March 20, 2011

Nostalgia Memberi Inspirasi


Salam

Sebagai penulis, kadang-kadang saya menulis tentang perkara-perkara yang saya tidak mahir. Mungkin saya tahu, tetapi apa yang saya tahu itu tidak lengkap dan kerana itu juga saya terpaksalah buat 'research'. Saya rasa agak peliklah kalau ada orang yang boleh menulis manuskrip novel tanpa perlu buat research atau kajian/penyelidikan. Saya takut kalau fakta yang saya letak dalam manuskrip saya tidak tepat.

Dalam banyak hal dan isu, biasanya saya akan menulis tentang perkara-perkara, karakter dan hal-hal yang dekat dengan saya. Saya percaya itulah yang dilakukan oleh kebanyakan penulis. Sekalipun mereka akan menyentuh tentang plot cerita yang luar biasa, namun karakter dan 'insiden' yang dipaparkan tentunya ada kaitan dengan mereka. Misalnya dalam penulisan sebuah manuskrip genre 'misteri', kisah yang diceritakan mungkin sesuatu yang direkacipta, namun ada beberapa insiden dan juga watak-watak yang dilakarkan merupakan sesuatu yang dekat dengan penulis.

Seperti apa yang dikatakan oleh JK Rowling tentang penceritaan Harry Potter, banyak plot yang diaturkan adalah apa yang dialaminya semasa penulis berada di alam kemurungan. Yang pasti, begitulah kebanyakan penulis lain juga. Mereka menulis sesuatu yang berada dekat di minda dan juga di hati.

Sejak kecil hingga dewasa, saya mempunyai rakan-rakan baik yang selalunya memberi inspirasi kepada saya. Salmah Hayati merupakan teman baik sejak sekolah rendah. Jamiah pula merupakan rakan baik sejak di kampus UM. Zaharah, rakan baik semasa bekerja di UKM. Fauziah juga rakan baik semenjak bertemu di Universiti Liverpool. Begitu juga Marina, semasa saya di Manchester. Hingga hari ini, kelima-lima mereka ini mash merupakan rakan baik saya. Alhmadulillah, tak pernah terputus dan insya-Allah hingga ke akhirat mereka tetap kawan rapat saya.

Banyak kisah yang saya paparkan dalam novel-novel saya, termasuk cerita pendek, merupakan kisah-kisah yang pernah saya kongsi dengan mereka dalam perjalanan hidup saya ini. Memori lama dan nostalgia indah, itulah yang saya hidupkan dalam novel-novel saya.

Kini, semenjak saya menjadi penulis, saya mempunyai teman-teman lain yang semakin hari semakin rapat dengan saya, dan ada di antara mereka merupakan pembaca-pembaca novel saya. Alhamdulillah, betapa besarnya nikmat Tuhan buat saya dan teman-teman ini. Semoga kita semua selamat dunia akhirat.

Saturday, March 19, 2011

Menang Itu Kalah?


Salam

Antara lelaki dan wanita, siapa yang selalu nak menang? Kalau dulu, kita akan katakan yang perempuan suka mengalah. Mungkin betul tu, sebab dulu-dulu, perempuan kurang berpelajaran daripada lelaki.

Tapi hari ini, semuanya dah berbeza. Perempuan hari ini kebanyakannya berpelajaran, mungkin lebih banyak daripada lelaki. Kerana itu juga, mereka tak suka mengalah kepada lelaki. Kerana tidak mengalahlah lebih ramai wanita yang memasuki kolej dan universiti.

Ini teori saya... mungkin kerana itu juga kadar perceraian lebih tinggi dari dulu-dulu, kerana bila ada pertengkaran di rumah, perempuan tak mahu mengalah, tidak seperti dulu-dulu.

Bagi saya, ada baik dan buruknya. Baiknya... kalau perempuan mempunyai suami yang tak boleh pakai (macam pemalas ke, kaki botol ke, kaki pukul ke, jenis tak ambil kisah ke, kaki perempuan ke), perempuan berani untuk berkata 'NO' dan boleh 'blah' tanpa teragak-agak! satu kejayaan buat perempuan. Tak perlu mengalah kepada yang lemah!

Pun begitu, dalam keadaan yang berbeza latarnya, kalau kita mahu menang sekadar 'ego', mungkin kita akan kalah akhirnya, kerana rumah tangga kita hancur. Janganlah anggap 'kemenangan' itu sentiasa memenangkan kita. Kadang-kadang, menang itu akan membawa erti kalah.

Ada ketika, mengalah lah yang akan membawa kejayaan dalam hidup kita. Insya-Allah.

Dalam hal perempuan dan lelaki, yang penting ialah hormat dan menghormati. 'I respect you, you respect I." Tak susah pun. Kalau ada masalah, tolonglah berbincang cara yang baik. Tak payah tinggikan suara, tak payah tuduh-menuduh.

Kalau kita uruskan pertalian antara lelaki dan perempuan dengan cara yang 'give and take', pasti kita akan sama-sama menang!

Friday, March 18, 2011

We Need Love


Salam,

Kadang-kadang, itulah yang saya lakukan. Saya menonton TV, terutama bila saya nak rehatkan minda dan kebetulan (sebenarnya saya memang suka pun),saya melihat program Opray Winfrey menemubual JK Rowling(penulis Harry Potter) di Edinburgh,Scotland. Edinburgh di Scotland merupakan antara tempat yang saya paling suka di dunia ini. Suatu ketika dahulu, anak sulung saya pernah tinggal di sana dan dia pernah bercerita tentang JK Rowling yang pernah tinggal di kawasan tempat tinggal Faiz, di Dean's Village.

Semalam, banyak kata-kata JK Rowling membuat saya terfikir lagi tentang kehidupan kita ini. Katanya kepada Oprah, dia pernah berdepan dengan kemurungan selama tiga tahun. Ketika murung, dia rasa seolah-olah hidup itu adalah satu kegelapan buat dirinya, walaupun ketika itu usianya masih muda. Namun, kemurungan itulah yang telah memberi idea kepadanya untuk menulis kisah Harry Potter. Malah, kematian ibunya juga turut memberi inspirasi kepadanya mengaturkan plot Harry Potter. Yang penting, beliau merasakan bahawa kita hidup di dunia ini memerlukan kasih sayang. We need 'love', itulah katanya. Tentu sekali saya menyokong, kerana tanpa perasaan 'cinta', hidup kita akan jadi gelap dan menderita. 'Cinta' di sini ialah bukan sekadar cinta antara lelaki dan perempuan, tetapi 'cinta' kepada semua yang dekat pada kita. Yang utama ialah cinta kita kepada Allah SWT.

Mungkin JK Rowling merupakan penulis pertama yang menjadi seorang 'billionaire', namun dia juga merupakan seorang yang rendah diri. Segala kesengsaraan yang pernah dilaluinya itulah yang telah membuat dia menjadi 'humble'. Mungkin setiap kejatuhan dalam hidup kita itulah yang akan mendorong kita untuk menjadi orang yang lebih berjaya dan orang yang boleh dihormati. Wallahua'lam.

PS: Saya tak pernah baca buku Harry Potter dan tak pernah menonton filemnya, tapi saya suka baca tentang JK Rowling.

Thursday, March 17, 2011

Jangan Sombong

Salam

Anak jiran saya yang berketurunan Cina, berkahwin dengan orang Jepun dan tinggal di Jepun, tetapi mereka rajin balik ke Malaysia kerana melawat kaum kerabat yang berada di Malaysia. Biasanya juga, bila mereka datang dari Jepun, akan adalah oleh-oleh yang dihadiahkan kepada kami, jirannya.

Sekarang ini, tentulah keluarganya di sini bimbangkan keadaan mereka di sana. Saya sebagai jiran, juga turut ambil berat walaupun kami tahu yang mereka tidak terlibat dengan gempa bumi atau pun tsunami yang terjadi baru-baru ini. Apa pun, seluruh dunia, bukan hanya Jepun sedang bimbangkan keadaan reaktor nuklear yang sedang bermasalah di sana.

Sebagai jiran, kami sekadar mengucapkan takziah kepada rakyat Jepun yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Mungkin ini merupakan giliran mereka untuk ditimpa bencana alam. Kita tak tahu giliran kita bila pula. Mungkin ada atau mungkin juga tak ada.

Saya teringat semasa tsunami menyerang Aceh pada tahun 2004. Macam-macam yang kita dengar yang disebarkan oleh orang-orang yang tak bertanggungjawab. Konon-konon orang Aceh ditimpa musibah kerana banyak maksiat. Astaghfirullah...

Siapalah kita untuk membuat andaian seperti itu?

Bila kita kata begitu, tidakkah kita lihat pada diri kita pula? Orang Malaysia tak buat maksiat? Orang Malaysia jauh lebih baik dari orang di negara-negara lain?

Kini, bila musibah menimpa Jepun, kita dengar kata-kata yang tidak menyenangkan tentang orang Jepun pula. Kenapa tidak kita diam sahaja dan ambil semua yang berlaku ini sebagai pengajaran, bukan tukang mengutuk orang yang sedang berdepan dengan kecelakaan?

Kalau kita pergi melawat orang meninggal dunia, bukankah kita hulurkan simpati, tak kira sama ada kematian si mati akibat kebodohan dirinya sendiri? Takkanlah kita nak keluar kata-kata yang menyakitkan hati keluarga si mati? "Tu lah... buat apa dia merempit. Ni dah mati pulak." Takkan itu bahasa kita kot? Tentu kita ada budi bahasa. Lagipun, kita mesti ingat, itu gilirannya, giliran kita, kita tak tahu lagi. Minta-minta dijauhkan Tuhan daripada segala yang tidak baik. Janganlah bila kita lihat sesuatu yang tak elok terjadi kepada orang lain, kita menambah-nambahkan lagi, seolah-olah kitalah yang terbaik! Nauzubillah.

Semoga Tuhan bukakan hati orang-orang Malaysia supaya tidak jadi bongkak dan sombong!

Wednesday, March 16, 2011

Gila Menulis



Salam

Susah ke nak jadi penulis? Hari ini, siapa sahaja pun boleh mengaku bahawa dirinya seorang penulis. Kalau rajin tulis di blog dan ada yang membacanya, itu dah kira yang dia seorang penulis. Sekarang ini, memang tak susah nak jadi penulis. Siapa pun boleh guna komputer, dan siapa pun boleh cari idea dan menulisnya dan siapa pun boleh membaca apa yang ditulisnya!

Okeylah, bila cerita tentang 'menulis', ramai yang merasakan bahawa seseorang itu boleh menulis bila berdepan dengan komputer sahaja. Hehe... kalau ikut pengalaman saya, kita boleh menulis di mana-mana sahaja. Kadang-kadang semasa hendak tidur. Masa tu, kita tulislah dalam kepala. Esok pagi, barulah kita lakarkan di skrin komputer!

Ada orang fikir bahawa kita akan dapat idea bila kita duduk di depan komputer dan mencarinya. Tetapi, kalau ikut pengalaman saya, kita boleh juga dapat idea masa menonton TV, masa berbual dengan kawan-kawan, masa dengar cerita orang, atau mungkin masa duduk seorang diri di stesen tren komuter. Kita juga boleh dapat idea semasa sedang menunggu untuk lena.

Kadang-kadang kita dengar dialog macam ni. "Kenapa dah lama tak update blog?"

"Tak ada idea nak tulis apa." Itu pula jawapannya.

Weh... baru tulis entri kat blog, beb. Belum lagi nak tulis buku motivasi atau novel tu...

Ada orang memang tak henti-henti menulis, setiap hari mesti menulis walaupun sebaris ayat sahaja. Kalau tak menulis langsung, dia boleh jadi bingung!

Menulis dah jadi satu ketagihan buat mereka yang gila menulis.

Ada orang memang tak suka diganggu bila sedang menulis. Ada juga yang tak suka keluar rumah kerana tak mahu tinggalkan meja kerjanya. Ada orang tak kisah makan minum, mungkin ada yang tak kisahkan keluarganya bila sudah berdepan dengan komputer dan ralit menulis!

Ada orang memang gila menulis!

Tuesday, March 15, 2011

Renung dan Bayangkanlah...


Salam dan selamat pagi...

Sebenarnya, dua tiga hari ini mood saya tak berapa ceria. Bukannya apa, saya sedih melihat keadaan dunia hari ini. Di Timur Tengah yang masih tak sudah-sudah lagi, kadang-kadang saya berasa geram dengan manusia yang bagaikan tak cukup-cukup hinggakan sanggup bunuh rakyat sendiri. Rakyat dijadikan musuh dan konon-konon mereka berhak untuk lakukan semua ini kerana rakyat dipengaruhi unsur-unsur luar. Di Libya, rakyat terpaksa berperang dengan kerajaan dan di Bahrain pula, siap rakyat bersedia berperang pula denga tentera Saudi yang sudah memasuki negara mereka. Allahuakbar.

Bertambah saya sedih melihat keadaan di Jepun. Walaupun mereka merupakan negara yang kaya-raya, namun apabila bencana menimpa, perasaan sedih masih sama juga. Teringat di Acheh suatu ketika dahulu, juga di Chile, Haiti... begitu juga di Afghanistan, Pakistan, Turki dan Iran. Gempa bumi dan tsunami datang tak kira bangsa dan warna, kaya atau miskin.

Apa pun, saya tabik dengan kelakuan orang-orang Jepun yang mempunyai disiplin yang sangat tinggi. Sekalipun berada dalam keadaan yang sangat terhimpit dan derita, mereka masih mampu untuk beratur, tidak berebut dan bersabar. Tak pernah sekalipun saya melihat mereka menolak-nolak atau tonjolkan perbuatan tidak sabar dalam semua hal yang mereka lakukan. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak pentingkan diri sendiri. Masing-masing saling membantu.

Saya cuba bayangkan kalau keadaan seperti itu terjadi di tempat kita! Kalau nak naik bas dan komuter pun kita dah berebut, apa akan terjadi kalau ada bencana dan mala petaka? Pernah lihat bagaimana pemandu di Malaysia memandu kereta mereka?

Ya Tuhan... saya jadi takut. Kalau di Amerika Syarikat, rakyat yang konon-kononnya 'bertamadun' itu pun ada ketika berkelakuan seperti haiwan, apatah kita di negara ini, yang selama ini jarang-jarang bersopan-santun seperti apa yang selalu kita lakarkan tentang orang kita.

Renung-renung dan bayangkanlah...

Monday, March 14, 2011

Sekadar Pinjaman


Salam

Keadaan di negara-negara Arab semakin meruncing, terutama di Libya, Yemen dan Bahrain. Rakyat terpaksa berperang dengan kerajaan. Namun, kita terpaksa terima hakikat bahawa di dunia terlalu banyak manusia yang zalim, yang pentingkan diri sendiri hinggakan tak mampu menjadi manusia yang amanah kepada Tuhan-Nya. Kerana harta, wang ringgit dan mungkin minyak, ketua negara menjadi manusia yang tidak bertimbang rasa dan hipokrit. Dunia luar sekadar memandang. Masing-masing cuba mengaku bahawa mereka tidak menyokong kerajaan yang zalim.

Dalam memerhatikan apa yang terjadi di Timur Tengah, bencana alam datang menyerang New Zealand dan sekarang ini Jepun. Di Jepun, bukan sekadar nyawa yang hilang, tetapi berbilion-bilion harta dan infrastruktur musnah. Hilang dalam sekelip mata sahaja. Kini, Jepun berdepan pula dengan masalah kebocoran nuklear. Kalau kita melihat gambar-gambar yang tersebar akibat tsunami di Jepun, kita akan dapat rasakan kesengsaraan yang sedang berdepan dengan rakyat Jepun, terutama mereka yang terlibat dalam bencana itu. Tak ada air, makanan dan minyak untuk bergerak, selain dari kehilangan tempat berteduh. Sudah itu, cuaca masih dingin.

Ketika ini, kita melihat keadaan yang terjadi di tempat orang. Semoga semua ini membukakan mata kita dan memberi keinsafan dan pengajaran. Juga sentiasa bersedia untuk berdepan dengan segala apa kemungkinan. Dunia ini sekadar pinjaman.

Saturday, March 12, 2011

Gempa, Tsunami - Satu Tragedi



Salam

Sungguh mengerikan bila melihat video-video yang ditontonkan di peti televisyen mengenai gempa bumi, tsunami dan tragedi yang kini sedang melanda negara Jepun. Baru sebulan yang lepas, gempa bumi di New Zealand dan dijangkakan akan ada lagi gempa bumi yang akan terjadi dalam masa yang terdekat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bila akan ada lagi.

Apa pun, rakyat Jepun kelihatan sangat 'cool' berdepan dengan satu keadaan yang sangat dahsyat yang sedang terjadi.

Friday, March 11, 2011

Buat Apa Tulis di Blog?




Salam

Ada orang tanya, bukan sekali tapi dah berkali-kali pun. "Tulis blog untuk apa eh?"
Saya pun jawab, "Terpulanglah siapa yang nak tulis tu. Ada orang saja suka-suka. Ada tu sebab dia ada bisnes jadi dia guna blog untuk buat promosi. Ada pula tu suka cari kawan. Macam-macamlah. Kalau tanya orang politik, mesti dia orang guna blog untuk 'promote' pemikiran dan idealogi mereka."

Sebenarnya saya kadang-kadang rajin juga masuk blog orang yang rajin tulis tentang politik dan isu-isu semasa yang berkaitan. Tapi yang saya tak suka, yang tukang komen selalunya ramailah tentang apa-apa subjek yang dibangkitkan dalam blog dan biasanya mereka berkelahi dan mengata-ngata antara satu sama lain. Itu yang malas tu. Kadang-kadang kalau kita join, kita macam kena perangkap pulak. Hehe... masing-masing nak menang. Biasanya kalau dah sokong satu-satu geng tu, gengnya bersalah pun kata betul! Dah tak nampak benda lain lagi. Taksub. Bukan hanya taksub dengan pemikirannya tetapi dengan orangnya sekali. Seolah-olah 'orang itu' sempurna semuanya!

Saya buat blog ni sebab saya memang suka menulis. Saya rasa blog ini saya jadikan tempat saya nak bercerita, luahkan perasaan, macam-macam lagi. Sebab itu saya tak ada ruang komen, sebab bagi saya apa yang saya tulis tu adalah pandangan dan pendapat saya. Kalau ada yang nak komen apa-apa secara ikhlas mereka boleh sahaja hantar e-mel pada saya. Sebenarnya ramai juga yang buat macam tu, hantar e-mel. Saya layan aje!

Tulis blog pun kadang-kadang ikut mood. Kadang-kadang tak ada mood... hehe. Nak buat macam mana maa... kita pun manusia juga. Kadang-kadang datang mood ceria, cerita pun cerialah. Kadang-kadang bad mood, mungkin cerita pun tak bestlah!

Tulis manuskrip dengan tulis blog memang lain. Tulis blog, boleh tulis apa-apa sahaja (jangan mengumpat dahlah)... tapi tulis manuskrip kena ikut jalan ceritanya... hehe, kena banyak-banyak berfikir. Banyak juga buat research (tulis blog pun kadang-kadang kena buat research - tengok topiklah) Tulis blog boleh relaks, memang tak membebankan!

Okeylah... kalau anda tak rajin tulis kat blog, buatlah. Mesti ada orang yang datang membacanya. Bukan susah pun.

Kadang-kadang macam tulis diari aje.

Selamat berhujung minggu.

Thursday, March 10, 2011

Aku Ingat Lagi

Salam,

Pernah tak sesuatu yang mengerikan terjadi dalam hidup anda, mungkin suatu ketika dahulu? Dan sesuatu itu tidak dapat anda lupakan walaupun sudah bertahun-tahun lamanya?

Mungkin ia merupakan kisah cinta anda. Cinta yang tak kesampaian. Mungkin juga suatu tragedi yang terjadi pada ahli keluarga anda seperti kebakaran, pembunuhan atau kemalangan jalan raya.

Pernah suatu ketika dahulu, suatu tragedi yang mengerikan terjadi kepada teman baik saya. Ibu, ayah dan adiknya ditimpa kemalangan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Perak. Ketiga-tiganya meninggal dunia. Malangnya, jenazah mereka tidak pula di tanam di satu kawasan perkuburan kerana keluarga ayahnya tidak pernah menyukai ibunya. Bagi saya, itulah suatu tragedi emosi untuk yang ditinggalkan.



Bertahun-tahun yang lalu, saya pernah tidur sekatil dengan dua orang wanita yang saya sayangi. Ketika itu saya masih bersekolah lagi dan kedua-duanya ada kaitan dengan saya melalui ibu tiri saya. Pun begitu, kami pernah rapat dan saya sangat sayang kedua-duanya.

Pada malam itu, kami berbual-bual tentang alam 'barzakh'. Apa yang ada di dalam kubur. Gelap, sunyi dan keseorangan. Kedua-duanya sangat takut, padahal mereka yang bangkitkan.

Sekitar seminggu selepas itu, salah seorang mula sakit dengan satu penyakit yang agak misteri. Dia meninggal dunia. Dan seorang lagi juga turut sakit, juga diserang penyakit misteri dan meninggal dunia. Ia berlaku dalam tempoh yang sangat pendek. Saya trauma buat seketika, tetapi hingga hari ini saya tak pernah lupa. Kepada mereka dan juga kepada apa yang berlaku itu!

Apa-apa pun, Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Semoga roh mereka sentiasa aman damai di alam barzakh.

Wednesday, March 09, 2011

Bertatih Dulu


Salam

Masa saya kahwin dulu, memang simple sahaja. Ayah saya tak minta apa-apa wang hantaran. Kata arwah ayah saya, "Kalau saya suka bakal menantu, saya tak akan susahkan dia. Kalau saya tak suka... barulah saya minta yang bukan-bukan." Huhu... itulah 'trick' dia. Alhamdulillah, ayah saya sangat berkenan dengan bakal suami saya ketika itu. Jadi... mudahlah segala-galanya. Lagipun, masa tu saya masih seorang pelajar tahun akhir, dan dia pula baru lagi bekerja. Memang tak banyak duit.

Saya juga jenis yang simple, saya tak suka 'majlis' untuk diri saya. Malah, masa saya dapat ijazah (dua kali), dua-dua pun saya tak hadir. Suami saya pun begitu, tiga majlis ijazah, dan tiga-tiga dia tak hadir. Jadi kami memang tak ada gambar pakai jubah universiti macam yang biasa kita tengok kat rumah orang lain!

Gambar kahwin pun saya tak ada banyak, satu dua aje. Maklumlah, saya melangsungkan perkahwinan di sebelah malam. Saya tak bersanding pun dan tak ada pelamin kat rumah saya. Kakak-kakak dan adik perempaun saya, semuanya mempunyai majlis perkahwinan yang besar-besaran. Sebenarnya, arwah ayah saya tak suka kalau anak-anak berkahwin dengan majlis yang besar-besaran. Dia kata membazir.

Okeylah... saya sangat bersyukur dengan apa yang saya lalui dulu. Alhamdulillah, walaupun majlis perkahwinan saya sangat simple, tapi kami hidup aman damai. Syukran. Tapi, itu tak bererti yang saya anti bila orang nak buat majlis besar. Buatlah, janji ada duitnya. Jangan pula sampai kena berhutang sebabkan nak buat majlis perkahwinan yang besar-besaran. Yang itu, saya tak sukalah. Saya tak galakkan orang muda hidup dengan berhutang. Keep it simple. Biar kita bertatih-tatih dulu dan berlari kemudian. Jangan nak berlari dulu, takut kita akan terjatuh dan tak mampu untuk bangun semula.

Wallahua'lam.

Tuesday, March 08, 2011

Tembam Pun Okey



Salam

A'ahlah... hari ini terlambat update blog ni. Ada pulak yang mengingatkan saya. Bukannya apa, pagi ini saya berurut dulu. Setiap dua bulan, ada seorang tukang urut yang datang ke sini dari Medan dan dialah mengurut kami yang berminat ni. Hehe, itulah yang lambat ni.

Okeylah, pagi ini saya nak bercerita kisah-kisah lama. Kisah masa saya remaja. Saya masih teringat lagi, suatu ketika dahulu, 'self-esteem' saya sangat rendah. Bukannya apa, tapi sebab badan saya agak tembam sikit. Walaupun tak banyak mana, tapi saya tension giler! Tension tu bukan sebabkan saya tak suka badan saya montel-montel ni, tapi stres sebab ramai sangat yang suka 'perli' saya. Ada-ada saja.

Konon-konon saya kuat makanlah... tak pandai jaga badanlah... adoi!

Biasanya kat sekolah, member tak pernah kata apa-apa, almaklumlah ramai lagi yang lebih montel dari saya. Apa pun, jenuh saya cuba turunkan berat badan, tapi susah. Saya jogginglah, saya diet lah... tapi orang tengah nak membesar, kan, semua tu tak jalan. Pada hal masa tu saya kuat bersukan, tapi masih 'tembam' juga.

Saya rasa rendah diri dan jarang-jarang nak keluar bersosial dengan teman-teman. Saya suka bersendiri. Kalau nak tahu, masa pertama kali saya jumpa 'pakwe' saya, saya masih tembam. Tapi... dia tetap suka. Mungkin bagi matanya, saya okey saja, walaupun dia sendiri sangat slim.

Bila saya masuk tingkatan enam, barulah berat badan saya mula menurun dan bila masuk universiti, saya jadi kurus. Kecil sahaja jadinya. Sampailah saya dapat anak yang pertama... naik balik, tapi tak banyaklah.

Okeylah... moral of the story... tak usah kisahlah kalau kita tembam ke tidak. Yang penting hati mesti baik maa...

Monday, March 07, 2011

Semalam Kubermimpi



Salam

Saya masih ingat lagi, tahun itu ialah 2006 dan kali pertama saya menumpang di gerai orang semasa Pest Buku berjalan di PWTC, Kuala Lumpur. Semasa pesta buku itu, saya tak ada novel baru kerana saya baru lagi terbitkan novel ke empat saya, Aura Cinta. Jadi, saya pun kumpulkan semua cerita-cerita pendek dan agak panjang sedikit dijadikan sebagai satu kompilasi cerita menarik. Kami keluarkan kompilasi itu ngam-ngam untuk Pesta Buku Tahun 2006 itu.

Saya namakan buku saya 'Semalam Kubermimpi' mengikut cerita pertama dalam buku itu. Saya masih ingat lagi, kerana kami tak tahu penerimaan pembaca macam mana, dan apa pula respons pasaran pada buku seperti itu, kami tidaklah cetak dalam jumlah yang besar. Sedang-sedang sahaja.

Tetapi alhamdulillah, sehingga hari ini, buku itu sudah berkali-kali diulang cetak, dan menjadi kegemaran pengikut-pengikut saya. Malah, banyak perpustakaan yang mengambil buku itu untuk pembacaan para remaja.

Semalam Kubermimpi tak pernah memasuki apa-apa carta 'best seller' kedai buku, tetapi alhamdulillah, ia adalah antara best seller KarnaDya. Hingga hari ini, buku itu masih mendapat permintaan yang banyak dan kerana itu ia selalu kehabisan stok.

Sebenarnya apa yang ingin saya ceritakan ialah tentang 'genre' penulisan kita dan apa kehendak pasaran masa kini. Ada ketika apa yang kita jangkakan itu tidak tepat, kerana ada kala, apa yang kita lakukan sekadar untuk mainan sahaja, yang itu pula yang menjadi. Citarasa pembaca memang pelbagai. Ada ketika, pembaca hanya mahukan sesuatu yang simple, yang lebih real dan yang menyeronokkan. Kadang-kadang, cerita yang dibawa merupakan sesuatu yang menghiriskan hati, tetapi itulah realiti kehidupan.

Bagi saya, buku Semalam Kubermimpi merupakan sesuatu yang pernah saya impikan dan ia benar-benar terjadi. Syukran buat semua pembaca kesayangan saya.

Sunday, March 06, 2011

Peti Surat No:13



Salam

Iyalah... sekali-sekala, saya teringat kisah dulu-dulu, terutama semasa saya sedang membesar di pekan Kuala (Kuala Kangsar). Masa tu, kami tinggal lebih kurang lebih dua batu jauh dari pekan dan posmen memang tak datang sampai ke rumah. Ayah saya pula meniaga, jadi surat-surat kami semua dihantar ke peti pos kami yang ada di pejabat pos Kuala Kangsar. Saya masih ingat lagi, peti pos kami bernombor 13. Bertahun-tahun lamanya, itulah alamat surat-menyurat kami. Peti Pos 13, atau Post Box 13, Kuala- Kangsar, Perak. Bertahun-tahun lamanya juga kami perlu ke pejabat pos setiap hari untuk menghantar dan memungut surat-surat yang dikirim.

Kadang-kadang, ibu saya tak ke pekan, jadi bila pulang dari sekolah, kami akan singgah di pejabat pos (dulu kami panggil post office)dan membuka peti surat no 13. Kunci tak boleh lupalah! Jadi, boleh dikatakan bahawa hidup kami adik-beradik sangat rapat dengan pejabat pos Kuala tu! Siap semua kakitangan pejabat pos kami kenal. Mana tidaknya, setiap hari kami terpaksa ke situ kecuali hari Ahad.

Hah, kalau nak tahu... dulu-dulu masa saya dah kenal dengan 'pakwe' saya (sekarang suami), kadang-kadang dia tunggu saya di pejabat pos! Dia tahu saya akan ke situ bila balik dari sekolah kerana perlu membuka peti surat no:13!

Adoi... itu cerita lama, tetapi nostalgianya sering datang ke memori saya.

Okeylah, hari ini hari Ahad. Saya cadang nak duduk di rumah saja dan bersihkan garden saya.

Salam sayang buat semua.

Friday, March 04, 2011

Baby-Baby



Salam

Pagi ini, saya nak bersembang pasal baby. Memang betul saya dah lama tak ada baby... baby saya dah berumur 19 tahun dah, tapi saya teringat pasal baby bila menengok si kenit-kenit yang ada di sekeliling saya kini. Bila teringat, memang saya rasa macam bermimpi lagi. Suatu ketika dahulu, saya tertunggu-tunggu bilakah anak-anak saya nak berkahwin. Sekarang ini, saya hampir dapat cucu serentak tiga orang!

Apa pun, saya suka perhatikan reaksi si kenit-kenit ni. Walaupun masih kecil, macam-macam kerenah mereka yang perlu kita layan. Ada-ada sahaja. Tapi yang menariknya, masing-masing istimewa. Ada kelakuan mereka yang tak serupa tapi membuat kita rasa seronok. Dulu, cucu sulung saya Yusufia, tak berapa hendak dengan orang lain, tapi sekarang dia okey saja. Kami selalu panggil dia 'mak cik busy body', sebab bila orang dewasa bersembang, dia mesti nak mengintai, seolah-olah dia faham apa yang kami cakapkan.

Si Firas pula, cucu kedua saya, dia suka sangat tersenyum dan menjeling-jeling. Kalau dapat mandi, mengekek-ngekek dia ketawa. Dan Ali pula, cucu yang ketiga... adoi, badan dia, masya-Allah, baru 3 bulan setengah, berat dia dah lebih 7 kilo. Dukung dia memang penat, tapi mamat ni, dia suka betul makan angin. Kalau kita bersiap aje dan bawak dia keluar, dia terlupa pasal susu. Dia ralit tengok orang. Padahal, dialah yang paling kuat minum susu. Kalau lambat, dia melalak sekuat hati!

Apa pun, kalau anda ada bayi atau akan mendapat bayi tak lama lagi, ushakanlah agar anak-anak anda menyusu badan. Itulah susu yang terbaik untuk anak-anak kecil. Tak perlu bayar mahal-mahal, tetapi baby sihat walafiat. Alhamdulillah.

Thursday, March 03, 2011

Jangan Jadi Pengotor!



Salam

Pagi ini memang best, sebab sejuk dan dari kamar saya ini, burung-burung tak henti-henti berkicauan. Awal pagi tadi hujan lebat. Kini, mentari baru sahaja mula menjenguk.

Okeylah, pagi ini saya nak bercerita tentang perangai manusia yang jenis tak hiraukan alam sekelilingnya. Jenis pengotor. Saya tak tahu kenapalah kerap sangat saya terserempak dengan manusia yang suka buang sampah dari dalam kereta mereka yang sedang bergerak. Sambil makan atau minum, dicampak sahaja sampah keluar tingkap kenderaan mereka. Kalau saya berada di belakang dan melihat, saya rasa macam nak pergi bagi penampar sahaja! Tak tahulah otak dan hati perut mereka di mana. Dan saya tak dapat bayangkan keadaan rumah mereka pula. Tentunya tak kisah dengan sampah sarap di sekeliling rumah mereka dan mungkin di dalamnya sekali!

Begitu juga dengan tandas awam. Saya tak tahu kenapa ramai yang tak reti menggunanya. Takkanlah nak pam pun tak tahu. Kalau zaman dulu, mungkin juga kerana banyak tandas yang tidak guna pam. Tapi di zaman serba moden ni, mana ada tandas yang tak berpam, kecuali kalau tinggal di kawasan pedalaman!

Bagi saya, ini adalah mentaliti orang yang memang tak nak ambil kisah. Apa sahaja yang bukan hartanya, dia tidak akan ambil peduli. Nak rosak ke, nak kotorkan ke, nak jahanam ke, dia peduli apa?

Aduh... kalau kita menunjukkan contoh yang tak baik, tentulah anak-anak kecil akan ikut perangai jelek kita itu, kan? Kalau sebagai ibu dan bapa kita tak kisah dan tak mengajar anak-anak kita, tentu anak-anak akan membesar dengan mentaliti yang serupa juga!

Begitu juga dengan gerai-gerai makan. Cuba anda perhatikan, banyak yang tak ambil kisah untuk bersihkan kawasan gerai mereka itu. Main campak sahaja apa-apa sampah yang ada, termasuk tulang, makanan lebihan ke dalam longkang atau sungai yang berdekatan.

Ada manusia sampaikan lampin pakai buang pun dicampaknya ke dalam sungai, atau di tempat lain yang bukan merupakan tong sampah! Pengotor betul!

Kalau saya berjalan dan melihat kanak-kanak membuang sampah (terutama di kawasan sekolah), saya akan tegur kanak-kanak itu dan meminta supaya dia buangkan sampah ke dalam tong sampah! Tapi kalau kanak-kanak itu berada dengan orang dewasa, saya sengaja akan melihatkan reaksi meluat saya dengan perbuatan kanak-kanak itu! Harap-harap orang dewasa itu sedar.

Selain dari mengajar anak-anak membuang sampah ke dalam tong sampah, kita juga perlu mengajar anak-anak untuk sentiasa jaga kebersihan. Basuh tangan selepas menggunakan tandas, basuh tangan sebelum makan dan apa-apa sahaja yang membuatkan anak itu akan terus kekal menjaga kebersihan dirinya dan alam sekelilingnya!

Saya ni bukanlah pembersih sangat, tapi saya tak suka tengok sampah sarap dibuang di tempat yang tak sepatutnya!

Wednesday, March 02, 2011

Takkan Ada Yang Sama


Salam

Ini adalah posting saya yang ke 822 dan saya telah memulakan blog ini pada bulan Februari, 2006. Jadi, dah genap lima tahun, kan? Okey, alhamdulillah kerana saya masih di sini dan masih lagi seronok 'update' kan blog ini. Bagi pembaca yang rajin ke mari, jangan lupa baca entri-entri saya yang lama, terutama yang saya tulis pada tahun 2006 itu.

Okeylah, pagi ini saya tak ada apa-apa penting yang nak diceritakan, jadi saya sekadar letakkan luahan hati seperti di bawah ini:


TAKKAN ADA YANG SAMA

Mengapa agaknya burung tidak berlagu riang
Mengapa juga langit kulihat suram
Sedangkan sinar mentari tak pernah padam
Mungkin kerana nun jauh di dalam

Aku tahu sebab-sebanya
Kerana kau sudah tiada
Maka telingaku tidak dengar apa-apa
Mataku kabur tiada cahaya
Begitu dahsyat rasa cinta
Yang pernah kita berdua menempuh sama

Tak akan ada yang serupa
Dengan apa yang pernah kurasa
Cintamu hebat tak upaya kulupa
Sayangku, berilah aku rasa

Sekali lagi apa yang pernah ku kecapi dulu
Akan ku tunggumu
Untuk berikan aku

Rasa cinta dan kasih abadi
Seperti dulu lagi
Tak mungkin ada yang sama…

Tuesday, March 01, 2011

Rezeki Kita Cari



Salam

Pagi yang agak dingin (di Nilai hujan pagi ini) saya ingin berbual tentang rezeki. Sejak kebelakangan ini, saya sering baca dan dengar rungutan tentang harga barang yang tinggi melambung. Tak lama lagi, semuanya akan naik lagi, maklumlah harga minyak sudah payah untuk dikawal. Ketegangan di Timur Tengah membuatkan keadaan menjadi-jadi. Tapi, kita janganlah pandang negatif kepada apa yang sedang terjadi di sana. Hanya Tuhan yang tahu. Mungkin sebagai rakyat biasa, mereka sudah jelak dengan keadaan di mana pemerintah bermaharajalela dengan hasil negara. Rakyat jelata hidup serba kekurangan dan tertindas, dan segolongan yang di atas, senang-lenang tanpa ambil kisah tentang perasaan rakyat.

Jangan kita ingat semua ini hanya terjadi di negara orang. Perhatikanlah di negara kita ini. Masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan. Malah, masih ramai yang miskin tegar. Tapi, terlalu banyak mempunyai pendapatan rendah. Tidak ada rumah sendiri, tidak ada tanah, ada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, atau tidak mempunyai pekerjaan langsung. Bermakna, mereka ini terpaksa bergantung kepada orang lain.

Pun begitu, ada juga yang sengaja tidak mahu berbuat apa-apa. Tunggu sahaja, seolah-olah akan ada yang jatuh dari langit!

Sebagai manusia, kita perlu usahakan. Tuhan sentiasa sediakan kita rezeki. Pun begitu, ada kala kerana pemerintah yang tidak bijak dan tidak bertanggungjawab, rakyatnya hidup sengsara. Paling malang kalau rakyat juga tidak dibenarkan untuk bersuara dan berkata-kata. Itu yang dikatakan kezaliman.

Zalim bukan sekadar melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rakyat, tetapi zalim juga kalau rakyat tidak diambil peduli, tidak ada keadilan, atau hasil rakyat dan negara disalah gunakan.

Apabila kita berbicara tentang hal ini, janganlah kita hanya pandang pada diri sendiri. Lihatlah di sekeliling kita. Lihat juga di negara-negara jiran kita.

Jangan lupa, rezeki Tuhan yang beri, bukan manusia. Dengan itu, jangan kita gabra bila melihat negara di Timur Tengah sedang bergolak dan fikir bahawa rezeki mereka akan hilang bila negara huru-hara. Hanya Tuhan yang tahu dan tentukan.

Kita di sini pula, kalau sedang terasa akibat kenaikan harga barang-barang (terutama makanan), carilah jalan supaya kita mampu bertahan. Kalau kita usahakan, pasti ada rezekinya. Insya-Allah.