Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, October 31, 2015

Jom Tengok Drama Setulus Janji!

Assalam

Ya benar tu... jom tengok drama Setulus Janji malam ini dan malam esok okey... jam 7.05 malam di RTM 1, setiap Sabtu dan Ahad. Malam ini ialah episod ke 4.

Ramai yang seronok tengok drama Selamat Malam Kekasih di TV Al Hijrah setiap 2.30 petang... walaupun itu merupakan drama ulangtayang mungkin kali ke lima kot!

Wassalam.

                                                               Drama Setulus Janji

Friday, October 30, 2015

Sungguh Aku Sayang Kamu...

Assalam

Semoga hari Jumaat ini membawa barakah buat kita semua, aamiin.

Semasa kami di Jakarta tempoh hari, macam-macam program yang diaturkan buat kami semua oleh keluarga di sana. Alhamdulillah, dapatlah kami bertemu dengan Ami Mus sekali lagi. Ami Mus sudah berusia 92 tahun dan dia merupakan satu-satunya ayah saudara kami di sebelah ayah, yang masih ada lagi. Kebetulan, anak-anak Ami Mus, Nilofar dan Mediha, pulang dari Amerika Syarikat untuk ikut sekali program 'Reunion' yang diaturkan ini. Begitu juga sepupu kami, Sallahudin, yang pulang dari Jeddah, untuk bersama kami di Jakarta.

Pada hari Jumaat itu, sebaik sahaja tiba di Jakarta, kami terus ke rumah Suzy, sepupu saya, kerana Suzy sudah aturkan makan malam. Program itu sangat private dan memang seronok dapat berbual dengan Nilofar dan Mediha yang dah lama saya tak temui. Malah, seronok juga berbual dengan anak saudara saya Amna, yang tinggal di KL. Amna ialah anak abang saya dan dia merupakan seorang arkitek yang sangat berjaya. Alhamdulillah. Bila bertukar-tukar cerita dan pengalaman, banyak ilmu yang kami kumpul. Syukur pada Ilahi.

Esoknya pula ialah hari 'Reunion'. Tetapi di sebelah paginya, kami sudah berkumpul di ruang makan hotel Grand Kemang, kerana ramai ahli keluarga dari Malaysia yang tinggal di hotel itu. Kemudiannya, kami sempat pergi shopping. Alhamdulillah, ketika kami di Jakarta, famili Jakarta kami sudah sediakan kenderaan buat setiap keluarga untuk kegunaan kami ketika di Jakarta. Siap ada pemadu atau Supir lagi. Nama Supir kami ialah Hariri. Sangatlah mudah dan selesa kerana disediakan kemudahan seperti itu.

Jam 3.30 petang, kami sudah pun berada di Chemara, kawasan rumah sepupu kami Inez dan 'reunion' diadakan di rumah besar anak dan menantu Inez, iaitu Fahmi dan Aliva. Kalau anda nak tahu, rupa wajah Aliva sangat mirip Sofia Jane, pelakon terkenal di Malaysia, cuma Aliva lebih muda lagi. Rumah tiga tingkat Fahmi dan Aliva mempunyai swimming pool dan masih dalam pembinaan pengubahsuaian. Namun tetap selesa. Kami disediakan makanan Indonesia yang enak-enak serta dihiburkan oleh beberapa orang penyanyi popular termasuk seorang pemenang AF Indonesia bernama Reza. Memang kelas lah! Kami juga diminta untuk datang dengan memakai baju putih.

Semestinya banyak slide show tentang sejarah keluarga dipaparkan, begitu juga video, selain daripada persembahan kanak-kanak yang menyanyi 'Asma al husna', memuji Allah swt.

Program reunion tamat hingga jauh malam. Sangat interesting kerana semua ahli keluarga di Indonesia datang. All in all hampir 200 orang yang berkumpul pada petang dan malam itu.

Esoknya pula, kami shopping lagi dan malamnya kami hadir majlis pernikahan dan perkahwinan anak Inez yang bernama Lutfi. Ini merupakan perkahwinan Lutfi yang kedua. Lutfi ialah seorang pemuzik di Indonesia.

Apa-apa pun, saya enjoy mendengar lirik lagu Indonesia yang bernama 'Cantik'. Ahli keluarga menyanyi beramai-ramai. Sangat cantik!

Antara liriknya yang menarik :


Cantik...Ingin rasa hati berbisik
Untuk melepas keresahan Dirimu
Cantik...Bukan ku ingin mengganggumu

Tapi apa arti merindu Selalu...Ooo...
Walau mentari terbit di utara

Hatiku hanya untukmu...
Ada hati yang termanis dan penuh cinta

Tentu saja kan kubalas seisi jiwa
Tiada lagi Tiada lagi yang ganggu kita
Ini kesungguhan
Sungguh aku sayang kamu...

Tiada lagi yang ganggu kita, Sungguh aku sayang kamu! 

Sungguh cantik liriknya. Wassalam

Thursday, October 29, 2015

Nak Tonton Drama Setulus Janji?

Assalam

Alhamdulillah, dah hari Khamis pun dan saya dan keluarga dah mulakan rutin harian seperti biasa. Ia itu kembali sibuk! Syukur kepada Allah swt kerana mengizinkan kami untuk kembali aktif seperti biasa. Satu nikmat anugerah Ilahi.

Semalam, sempat juga saya menonton dua episod drama Setulus Janji yang saya tak berkesempatan untuk lihat ketika berada di Jakarta. Mujurlah ada yang rajin mengaturkannya untuk orang lain tumpang tonton. Terima kasih banyak-banyak kepada tuan punya link seperti di bawah ni:

: http://www.perekacerita.com/2015/10/setulus-janji-1-26-tamat.html

Kalau anda nak tengok, bolehlah pergi ke link di atas ni.

Alhamdulillah, kami kembali berulang-alik ke Lenggeng. Syukur kerana semuanya okey di sana walaupun banyak hari juga kami tiada. Anak-anak kami Faiz dan Irfan lah yang take over kesibukan di Lenggeng semasa saya dan suami tiada.

Okeylah... saya banyak kerja kerana banyak benda yang tak siap lagi. Bila free, insyaa-Allah saya akan sambung cerita di Jakarta.

Wassalam.


Wednesday, October 28, 2015

Jom Baca Kisah Perempuan!

Assalam

Ada beberapa orang pembaca meminta saya highlightkan beberapa kisah menarik yang saya kongsi dalam 'Kisah Perempuan' buku terbaru saya yang diterbitkan secara digital. Salah satu kisah menarik bagi saya ialah cerita 'Kakakku Sayang', yang membawa kisah seorang gadis dari Utara yang menggelar dirinya Didi. Didi sangat kagum dengan kejayaan kakaknya Kak Ita, yang merantau ke Kuala Lumpur. Semenjak Kak Ita bekerja di Kuala Lumpur, hidup mereka sekeluarga menjadi 'up', tidak susah lagi. Namun apakah yang membuatkan kakak Didi itu mampu itu berjaya begitu?

Kisah Perempuan juga membawa cerita 'Pelangi Senja', kisah Yan yang sudah meningkat usianya, namun belum lagi ketemu jodoh. Yan cantik dan bijak orangnya, punyai jawatan yang mantap dan ekonomi yang kukuh. Dek kerana itulah Yan malas nak balik kampung, tak tahan mendengar komen mulut celopar sanak saudara yang sentiasa bertanya tentang status single nya itu. Betulkah Yan ni berat jodoh? Jom kita baca dan melihat dugaan serta rezeki yang Allah limpahkan buat Si Yan.

Kisah 'Bukan Aku' merupakan sebuah cerita yang agak menggerunkan, bagaimana Kamilia yang mempunyai seorang kekasih cemburu bernama Robin, tiba-tiba terperangkap dalam sebuah tragedi yang melibatkan kekasihnya itu. Kenapa boleh jadi begitu?

Salah satu lagi cerita yang menarik ialah kisah 'Bukan Hebat', membawa kisah seorang wanita bernama Zurina, yang selama ini merasakan dirinya bahagia kerana rumah tangganya aman damai. Namun sesuatu terbongkar dan membuatkan Zurina sangat kecewa. Mampukah Zurina mendiamkan diri lalu menelan segala yang pahit atau dia memilih untuk melakukan sesuatu yang pasti membuat dia lebih tenteram?

Kalau anda nak tahu, jomlah pergi ke platform e-sentral dan belilah buku digital 'Kisah Perempuan' yang mempunyai 10 buah cerita-cerita wajib yang perlu dibaca oleh lelaki dan wanita. Jomlah jadi pembaca canggih yang boleh membaca mengguna tablet atau smartphone sahaja. Lagipun... buku digital sangat murah!

                                                                 Sedih?

Tuesday, October 27, 2015

Kisah Perempuan

Assalam

Saya dah pun balik dari Jakarta malam tadi. Masih keletihan kerana banyak sungguh aktivitinya. Insyaa-Allah akan saya tulis lagi bila sudah hilang letihnya. Apa-apa pun, ingin saya maklumkan bahawa buku terbaru saya sudah pun berada di pasaran di e-sentral.com

Bagi anda yang menjadi follower buku-buku saya, dipersilakan untuk dapatkannya di platform buku digital e-sentral.com: https://www.e-sentral.com/search/byid/64993/kisah-perempuan

Saya percaya anda akan enjoy membaca semua cerita-cerita yang saya sediakan berdasarkan hampir semuanya cerita-cerita benar. Sebagai wanita, pasti kita mempunyai banyak pengalaman atau sekurang-kurangnya mendengar pengalaman orang lain dan itulah yang saya lakukan, melakarkan kisah-kisah benar yang terjadi di sekeliling kita.

Untuk makluman anda juga, selain daripada drama Setulus Janji yang sedang ditayangkan di RTM 1 setiap Sabtu dan Ahad petang, TV Al Hijrah juga sedang mengulangtayangkan drama Selamat Malam Kekasih setiap hari, jam 2.30 petang.

Wassalam.


Friday, October 23, 2015

Jumpa Di Jakarta

Assalam

Sebentar lagi kami akan ke lapangan terbang untuk ke Jakarta. Harap-harap semuanya berjalan lancar, tak dihalang oleh jerebu yang teruk, insyaa-Allah. Semoga 'reunion' kami di Jakarta mampu mempertahankan ikatan silaturahim dalam keluarga besar kami, insyaa-Allah. Aamiin.

Nampaknya saya akan 'miss' kedua-dua episod drama Setulus Janji yang akan ditayangkan esok dan lusa di RTM 1 jam 7.05 malam, insyaaAllah. Bagi anda yang tak ke mana-mana, jangan lupa tonton ya. Kalau yang ada terlebih rajin tu, tolonglah download, mungkin letak kat You Tube... dapatlah saya tonton sama nanti.

Saya juga dimaklumkan oleh pihak penerbit drama Setulus Janji yang pihak RTM ada menjemput kami untuk program Selamat Pagi Malaysia Isnin ini. Malangnya saya akan berada di Jakarta. Jadi, tak tahulah kalau ada orang lain yang join program itu untuk promosi drama Setulus Janji.

Apa-apa pun, semoga perjalanan kami diberkati Allah swt dan semoga semuanya aman damai, aamiin.

Jumpa di Jakarta!

Wassalam.



                                                          Drama Setulus Janji

Thursday, October 22, 2015

Tanda Sayang

Assalam

Hari ini memang kalut sikit sebab esok dah nak pergi ke Jakarta. Maklumlah, banyak benda yang hendak kami pastikan dah siap untuk 'Family Reunion' yang akan berlangsung pada 24 Oktober ni. Kebetulan, pada malam 25 pula, Lutfi anak sepupu saya akan adakan majlis perkahwinan yang simple. Ini merupakan perkahwinan Lutfi @ Opie yang kedua. Semoga perkahwinannya yang kedua ini berkekalan hingga akhir hayat, amiin.

Bila bercerita tentang perkahwinan ini, teringat juga saya pada cerita Setulus Janji yang sudah pun dijadikan drama bersiri di RTM 1. Kisah Insyirah dan Ilham, banyak turun naiknya. Namun kalau sayang itu tak pernah pudar, akan berkekalan juga sekalipun dilanda ombak besar. Begitulah kehidupan kita semua.

Setiap hari kita akan melihat orang bernikah dan setiap hari juga ada yang bercerai, tak cerai hidup cerai mati. Kalau cerai mati, biasanya penuh dengan kesedihan, namun bila cerai hidup ni, kadang-kadang penuh dengan rasa sakit hati.

Apakah tanda seseorang itu betul-betul sayangkan kita? Mungkin susah nak sukat, kan? Yang pasti, bila orang sayang kita, orang itu akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan 'kasih sayang' tidak terputus di tengah jalan. Bila sayang, kita tak sanggup nak hilang. Kalau hilang, pasti akan merana.

Tapi kadang-kadang, ada juga orang tersilap perkiraan. Sangkanya 'orang' sayang, rupa-rupanya dia dijadikan bahan mainan sahaja, sekadar untuk sementara. Kalau sayang, pasti diri berasa sedih kalau ada apa-apa yang terjadi yang membolehkan perhubungan terpisah. Tapi kalau tak sayang... memang mudah sangat untuk blah! Tak rasa apa-apa pun!

Kalau kita orang yang bijak, pastikan kita lakukan yang terbaik untuk orang yang betul-betul sayangkan kita. Yang terbaik itu semestinya ialah kerana Allah swt, bukan kerana material atau nafsu yang sekadar membawa maksud 'kosong' sahaja. Kalau tak sayang, bila berpisah pun tak rasa sakit di mana-mana. Tapi kalau betul-betul sayang, diri pasti akan berasa perit dan mungkin merana kalau terpaksa berpisah.

Adoii...

Jadi sayang oii... fikir-fikirkanlah. Kalau orang tak rasa apa-apa bila berpisah dengan kita, maknanya atau tandanya, tiadalah rasa sayang di mana-mana.

Wassalam.

                                                          Sayang kot ni...

Wednesday, October 21, 2015

Jangan Jadi Bodoh!

Assalam

Semoga alam di bumi ini berasa senang dan tenang, tidak diganggu-gugat manusia tamak haloba. Semoga cuaca berubah menjadi lebih baik lagi, insyaa-Allah.

Semalam, kami sibuk menyediakan video klip tentang keluarga kami di Malaysia. Jumaat ini, kami semua akan ke Jakarta dan insyaa-Allah pada 24 hb ialah gathering keluarga kami. Kali ini, sepupu-sepupu kami akan tiba dari negara Saudi dan juga dari Amerika Syarikat. Malangnya, ramai juga yang tak dapat hadir kerana jadual yang tidak membolehkan. Mereka yang dari Singapura dan Brunei tak dapat hadir sekali. Apa-apa pun, semoga perjumpaan kali ini mengeratkan lagi perhubungan silaturahim kami. Aamiin.

Kata anak saudara saya, selepas pulang sahaja dari Jakarta nanti, kami di Malaysia akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk mengaturkan perjumpaan untuk tahun hadapan pula. Waahh... seronoknya. Semoga sihat tubuh badan dan panjang umur, aamiin.

Bagi saya, keluarga adalah sangat penting dalam hidup seseorang itu. Apa sekalipun yang terjadi, keluarga tetap ada di situ, tidak berganjak, apatah lagi ikatan darah dan silaturahim. Orang lain... hebat mana pun tak mungkin sebaik ahli keluarga kita sendiri. Jadi... janganlah kita mudah terpengaruh dan terjerat dengan kata-kata manis orang lain yang bukan ahli keluarga terdekat kita.

Ibu bapa, anak-anak, adik-beradik... mereka sangat penting dalam hidup kita. Sepupu kita juga mungkin boleh jadi rakan yang baik, termasuklah adik-beradik kita. Sejahat mana sekalipun, payah nak jumpa adik-beradik yang tak berperikemanusiaan terhadap kerabatnya sendiri. Tapi kalau orang luar, memang mudah berkata-kata dengan tipu-helah mereka. Kalau kita keliru, pasti akan tersesat jalan dan akhirnya akan menyesal! Nauzubillah.

Bolehkah kita percaya pada orang yang tiba-tiba sahaja datang dekat pada kita dan mempunyai niat untuk pecah-belahkan keluarga kita? Kalau kita termakan kata-katanya, pasti kita adalah orang yang tidak kukuh imannya dan mudah tergoda dengan kata-kata palsu dan plastik serta pembohongan. Bermakna... kita adalah orang yang bodoh! Nauzubillah.

Semoga kita sentiasa ingat pada Allah swt dan dijauhkan daripada mereka yang mampu untuk menyesatkan jalan kita. Aamiin ya Rabbal alamin.

Wassalam.


                                                                       Gambar lama

Tuesday, October 20, 2015

Rugi Besar Kalau Terlupa!

Assalam

Tiba-tiba sahaja kawasan kami bertambah berjerebu... aduhai. Tak apalah kan... buat masa ini memang tak boleh buat apa-apa pun. Mujurlah rumah kami banyak pokok dan tumbuhan, taklah terasa sangat, insyaa-Allah. Setakat ini, asthma saya pun stabil aje, alhamdulillah.

Dah masuk hari Selasa dan ada ketika, saya terasa macam banyak sangat kerja yang hendak saya lakukan. Tapi alhamdulillah kerana Allah swt masih memberikan tenaga kepada saya. Asal sihat, asal mampu melakukan macam-macam, kita sepatutnya bersyukur. Malah, kita patut sentiasa bersyukur selagi ada umur. Dalam pada itu, jangan sekali-kali kita lupa bahawa alam barzakh itu sudah menghampiri kita, hanya tak tahu bila masanya. Apa-apa pun, kita wajib bersedia untuk alam akhirat, jangan buat-buat tak ingat pula. Rugi besar kalau terlupa yang itu!

Kalau kita tahu yang kita akan mati, pasti kita tak mahu buat jahat. Pasti kita tak mahu sakitkan hati siapa-siapa. Pasti kita tak mahu buat maksiat. Tidak mahu berzina, tidak mahu berjudi, tidak mahu makan rasuah, tidak tinggal solat dan sentiasa dekatkan diri dengan Allah swt. Bila ada peluang, kita akan lakukan solat-solat sunat, hadiah yang ikhlas daripada hati kita untuk Allah yang maha satu. Allahuakbar!

Paling simple, kita akan rajin bersedekah. Tak jadi manusia materialistik, terkejar-kejar harta orang, teringinkan barang-barang mahal padahal tak mampu, tak kawal nafsu dan selera, dan suka ikut kata syaitan!

Bersedekah itu ubat sebenarnya. Kalau kita rajin bersedekah, kita sedang kurangkan dosa-dosa kita. Lagi banyak bersedekah, lagi tenang jiwa kita, sekalipun hanya memberi binatang dan haiwan makan dan minum. Kita tak sedar bahawa apa jua segi sedekah kita, Allah akan mengiranya dan pasti ada ganjaran. Kalau mahu jiwa kita jadi jiwa yang baik, rajin-rajinlah bersedekah.


Wassalam



                                           Jiwa mudah tenang bila melihat taman yang indah

Monday, October 19, 2015

Janji Yang Tak Setulus...

Assalam

Mungkin ada yang terkilan apabila tunggu depan TV pada hari Ahad (semalamlah), drama Setulus Janji tak ada, kerana terpaksa beri laluan untuk pertandingan Hoki. Hihi... janji yang tak setulus... tapi tak apa... hujung minggu depan boleh continue duduk depan TV insyaa-Allah. Cuma sayalah yang akan miss, sebab kami sekeluarga akan ke Jakarta.

Okeylah... hari Sabtu yang lepas saya sibuk kerana anak saudara saya menikah. Sepatutnya pada hari Ahad, saya dan suami pergi ke majlis receptionnya, tapi malangnya, kami tak pergi. Kebetulan, awal pagi Ahad, kami dapat berita sedih kerana sepupu (tiri) saya meninggal di Kuala Kangsar. Sepupu ini juga merupakan sebaya saya dan kawan saya sejak darjah satu lagi. Kami pun bergegaslah ke Kuala Kangsar untuk melawat jenazahnya. Al Fatihah buat arwah Sharifah Nurainun.

Jadinya... kami hanya dapat tengok episod pertama drama Setulus Janji. So far... okeylah... semua watak muncul untuk diperkenalkan. Cuma watak Ridhuan atau Fahrin Ahmad sahaja yang belum ada lagi. Tapi scene Manchester memang banyak. Memang ada sikit-sikit perubahan yang terpaksa dilakukan untuk kesesuaian drama. Nama pun adaptasikan... semestinya tak solid macam novel. Tapi jalan cerita insyaa-Allah tetap serupa.

Okeylah saya nak rehat. Banyak kerja sebenarnya ni...

Wassalam.




Friday, October 16, 2015

Macam Minah Meroyan

Assalam

Dah pun sampai hari Jumaat sekali lagi. Begitu pantas masa berjalan, tetapi adakah kita teringat pada ketibaan akhir umur dan akhirat? Insyaa-Allah, biarlah kita jadi manusia yang tak akan lupa dunia dan akhirat.

Agaknya mengapa ada orang yang hidupnya penuh dengan kerisauan? Asyik tak tenang sahaja fikirannya? Kalau tenang, tidaklah dia asyik menggelabah apatah lagi bila terlihat sesuatu isu yang ada kena-mengena dengan dirinya. Masalahnya, kadang-kadang isu yang berbangkit itu tiada pun kaitan apa-apa dengan dirinya, tetapi kerana dia rasa bersalah, atau mungkin luka yang dirasai tak pergi-pergi, maka itulah kerjanya, asyik mengintai-intai nak ambil tahu tepi kain orang lain! Nauzubillah.

Ini bukannya sebuah cerita dogeng tetapi cerita benar. Sebab itulah sebagai insan kerdil, kita sepatutnya berjaga-jaga dengan apa yang boleh atau tidak lakukan. Jangan syok nak rembat aje, akhirnya dahlah ternga-nga, rasa teraniayai lagi! Kecewa semestinya. Dah tu rasa rugi lagi! Yang paling perit ialah rasa sakit di hati tak mahu pergi-pergi. Kalau boleh pergi, tidaklah kita buat perangai macam tu, macam minah meroyan! Allahuakbar.

Come on, man... move on! Tak payah meroyan-royan lagi! Tak perlu mengintai di sana-sini, menyibuk di sana sini!

Wassalam.

PS: Bagi pembaca saya, jangan lupa toton Drama Setulus Janji yang akan bermula esok jam 7 petang di stesen RTM 1. Jangan miss tau!


Thursday, October 15, 2015

Jaga Hati sampai Mati

Assalam

Ya memang kita semua tahu, bukan senang nak jaga hati orang. Betul, kan? Apatah lagi orang yang terdekat dengan kita. Misalnya ibu bapa kita, pasangan kita, adik-beradik kita, anak-anak kita, mungkin juga kawan baik kita.

Adalah sorang ni, dia menangis sakan. Katanya dia sangat hampa kerana suaminya curang padanya. Saya jawab padanya, "Jadi... kamu nak buat macam mana?"

"Saya nak pujuk dia, kak. Saya sayang dia, kak. Dia tu saya punya kak... takkanlah saya nak lepaskan pada orang lain." Itulah jawapannya sambil menangis lagi.

"Mungkin dia dah tak mahu kamu lagi kot?"

"Tapi dia kata dia sayangkan saya, kak."

"Kalau betul sayang, buat apa dia buat macam tu? Curang bukan perkara kecil tu."

"Saya tahu, kak. Tapi... mungkin saya tak pandai jaga hati dia kot. Sebab tu lah dia curang!"

Wah, mudahnya dia menerima apa jua alasan yang diberikan oleh suaminya. Bila suami buat hal, mudah juga dia meyalahkan dirinya, padahal yang buat hal bukan dia, tetapi suaminya! Habis tu... suami dia baik sangat ke?

Begitulah manusia, kan? Bila sesuatu tak baik berlaku, mereka akan cari pelbagai alasan. Kalau diri seorang gentleman, sepatutnya mengaku sahajalah! Tak payah suruh orang lain jaga hati kita sedangkan kita pula tak pandai jaga hati orang lain! Habis tu, takkan nak jaga hati sampai mati kot?

Sebenarnya kalau kita buat baik, Allah akan balaskan yang baik-baik. Kalau kita buat salah dan silap, maka Allah balaskan yang sama juga.

Saya teringat cerita seorang lelaki yang pernah buat hal. Saya tanya padanya, "Macam mana awak rasa sekarang?"

Jawapannya, "Saya menyesal teramat sangat. Bila saya bohong isteri saya, maknanya saya juga bohong diri saya sendiri. Tentu sekali saya juga bohong perempuan yang lagi satu tu. Bermakna saya ini hidup dikelilingi pembohongan. Sebab itu, saya sedar yang saya juga dibohongi perempuan yang satu lagi. Itulah dosanya orang yang bohong macam saya ni."

Nauzubillah min zalik.

Biarlah kita jaga hati orang berpada-pada. Tak payahlah jaga hati sampai mati. Tak guna pun.

Wassalam.

                                         Gambar Yusufia ketika berlakon drama Setulus Janji.

Wednesday, October 14, 2015

Cari Gambar

Assalam

Hari ini agak kesibukan. Cari gambar keluarga lah, cari gambar lama lah dan macam-macam lagi. Walaupun cuti, kami kesibukan juga.

Hujung minggu ini, anak saudara saya akan berkahwin, jadi kami akan kalut lagi. Hujung minggu depan pula, kami akan berada di Jakarta insyaaAllah. Sebab itulah hari ini agak kalut. Kebetulan, anak sulung saya Faiz berada di Jerman buat masa ini kerana menghadiri Pesta Buku Frankfurt. Sudah bertahun-tahun anak-anak saya hadir untuk pesta buku antarabangsa ini untuk promosikan buku-buku digital.

Hari ini juga kami berada di Lenggeng dan kebetulan hujan lebat. Alhamdulillah, seronok melihat tempat itu dikelilingi kabus.  Memang best!

Okeylah, dah lewat dah. Saya nak rehat. Semoga kita dilindungi Allah swt dunia akhirat. Aamiin.

                                                            Letak jer gambar ni dulu

Tuesday, October 13, 2015

Tukang Laga-Laga

Assalam

Semoga kita hidup mencari barakah Allah swt untuk dunia akhirat, aamiin.

Semalam, ada sesuatu yang buat saya jadi terkilan dan ini ada kena-mengena dengan apa yang kami sedang uruskan di Lenggeng. Tapi tak apa, saya tak mudah putus asa. Kalau tak boleh cara ini, kita akan cuba cari jalan lain pula. Insyaa-Allah, semoga Allah swt permudahkan segala-galanya, aamiin.

Hari ini saya nak bawakan judul di atas ini untuk saya sembang-sembang. Pernah tak terjadi pada anda atau di sekeliling anda, bila ada sesuatu yang tak kena atau kurang kena, maka ada pula yang ambil kesempatan untuk melaga-lagakan yang lain?! Nauzubillah. Tapi ini adalah suatu realiti. Memang wujud manusia yang tak tahu menjaga sensitiviti orang lain. Ikut sedap mulut dia sahaja, suka menyampai sana-sini, rasa macam hebat sangat! Nauzubillah.

Sebenarnya kalau kita tahu ada sesuatu yang kurang kena atau tak kena, tak payahlah kita laga-lagakan sesiapa pun. Biar sahaja perkara itu pulih dan kalau ada yang terasa atau terkena, mungkin dia akan fikirkan tentang hal itu dan cuba perbaiki mana yang termampu.

Malangnya, selalunya memang begitu. Pasti ada sahaja yang seronok nak kenakan orang lain, mungkin baginya, hebatlah kalau dapat menjatuhkan aib orang! Nauzubillah.

Perkara yang sensitif, elok jangan kita besar-besarkan. Perkara yang kecil, jangan kita rebakkan, takut nanti tak mampu nak kawal!

Semoga kita umat Islam menyambut Maal Hijrah dengan hati yang ikhlas.

Wassalam.

                                                    Tak nak cuba buat macam ni?

Monday, October 12, 2015

Setulus Janji Dan Jaga Hati

Assalam

Alhamdulillah, ramai yang excited nak tunggu drama Setulus Janji. Dalam pada itu, sajalah nak ingatkan diri saya, ada ketika, dalam rutin harian kita, hati kita sendiri perlu dijaga. Kenapa saya cakap macam tu? Iyalah... kadang-kadang kita sibuk nak jaga hati orang, akhirnya hati kita yang terluka atau tercalar, kan?

Kadang-kadang, elok juga kalau kita jaga hati kita dulu, sebab kalau hati kita terluka dan tercalar, banyak benda yang tak dapat kita lakukan kerana sibuk nak pulihkan hati kita sendiri. Kalau hati kita tercedera dan terasa, bukan ada orang lain yang dapat pulihkan atau dapat rasa sama, jadi kita terpaksa belai dan pulihkan hati sendiri. Semestinya kita ada Allah swt yang sentiasa mendengar keluhan dan rajuk di hati, namun manusia lain tak akan mengerti. Jadi... eloklah jaga hati sendiri!

Wassalam.

                                                           Siapa yang nak nikah ni?

Sunday, October 11, 2015

Drama Setulus Janji Coming Soon!

Assalam

Saja nak ingatkan penggemar novel saya Setulus Janji dan penggemar drama Melayu bahawa drama Setulus Janji akan bermula minggu depan 17 Oktober 2015 hari Sabtu jam 7.00 malam di TV1 sebanyak 26 episod, setiap Sabtu dan Ahad selama 13 minggu. Jangan miss tau!

Pelakon-pelakonnya terdiri daripada Azlee Khairy, Fida Ibrahim, Shah Iskandar, Fahrin Ahmad, Alfira Loy, Dian P. Ramlee dan banyak lagi.

Sama-samalah kita doakan agar drama ini tidak mendukacitakan kita, aamiin.

Wassalam.




Friday, October 09, 2015

Ke Mana Hilangnya Mereka?

Assalam

Salam Jumaat buat anda semua, semoga Allah swt memberkati hidup dan akhirat kita. Aamiin.

Saya tak faham sebenarnya, apa dah jadi dengan tujuh orang anak-anak Orang Asli yang hilang di Kelantan tu?

Kalau kita perhatikan, seolah-olah kanak-kanak itu tak penting pun buat kita di negara ini. Seolah-olah nilai nyawa mereka tak serupa dengan nilai nyawa anak-anak orang lain di negara ini! Astaghfirullah... semoga Allah ampunkan dosa kita. Aamiin.

Dah lama sangat kanak-kanak tu hilang, tapi tak jumpa-jumpa. Sekarang ini penduduk di sekitar itu dah mula menjumpai mayat kanak-kanak kecil di tepi sungai. Seorang sahaja lelaki, yang lain tu perempuan semuda 7 tahun. Kebanyakannya berumur 8 tahun. Nakal macam mana sangat budak-budak tu? Setahu sayalah (yang selalu berkawan dengan orang asli), anak-anak orang asli tak nakal mana. Kebanyakan mereka sangat pemalu.

Jadi... apakah kita di negara ini tak mahu ambil kisah dan tahu?

Berita tentang mereka juga sekadar diselit-selit di surat khabar, tak ada pun nak dibicarakan di muka depan. Apakah nyawa mereka tiada harga?

Saya sangat beremosi tentang hal ini kerana rata-rata, kebanyakan kita tak ambil berat tentang Orang Asli di negara ini. Nak hilang, hilanglah! Nak mati-matilah!

Cuba kalau kes seperti ini terjadi di sekitar kawasan Damansara, Ampang, Subang Jaya... pasti kelam-kabutlah orang mencari mereka.

Apakah di akhirat nanti, kita ada sistem kasta seperti ini? Apakah kubur orang asli lagi sempit dari kubur orang lain?

Fikir-fikirkanlah. Jadilah manusia yang sensitif, ada belas kasihan kepada mereka yang hidupnya mungkin tak sehebat kita semua!

Wassalam.


Thursday, October 08, 2015

Teman Yang Aku Idamkan

Assalam

Mungkin kerana dah lama sangat menunggu kot. Ramai yang tak sabar-sabar nak tengok drama Setulus Janji yang akan bermula hujung minggu hadapan. Harap-harap drama ini tak menghampakan, insyaa-Allah.

Hari ini, saya dan suami kalut di Lenggeng, kerana ada urusan-urusan yang perlu kami uruskan. Semoga Allah swt permudahkan segala-galanya. Aamiin.

Esok juga saya akan kalut, kerana ada 'pitching' di stesen TV dan hari Sabtu juga sibuk kerana adik bongsu saya akan menikah. Semoga Allah swt permudahkan segala-galanya, aamiin.

Hari ini juga saya rasa bersyukur dan bangga kerana adik angkat saya naik pangkat. Alhamdulillah, semoga Allah swt peliharanya dunia akhirat. Saya bangga kerana adik angkat saya ini sangat prihatin dengan segala kerja yang perlukan sumbangan tenaganya dan kerana itulah Allah berikan rezeki yang melimpah ruah. Syukur juga kerana saya mengenali dia yang punyai hati budi yang tinggi.

Sebenarnya itulah yang kita idamkan, untuk berdampingan dengan mereka yang baik hati dan budi, bukan mereka yang merimaskan kita, bukan juga mereka yang ambil kesempatan pada kita. Kita mahukan teman dan rakan yang hatinya ikhlas melakukan apa sahaja kerana Allah ta'ala, bukan mereka yang hanya pentingkan soal material sahaja hinggakan lupa soal amanah dan amal ibadah.

Semoga Allah swt selamatkan kita dunia akhirat. Aamiin.

Wednesday, October 07, 2015

Tak Usah Lupa Daratan

Assalam

Hari ini lambat update sebab agak sibuk sikit. Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana izinkan kita bernafas lagi. Biarlah tiap-tiap hari kita bersyukur, malah setiap masa kita bersyukur, tak kira apa sekali keadaannya.

Entah kenapa, tiba-tiba teringat untuk bicarakan hal ini, tentang lupa daratan. Mungkin kerana terlalu sering sangat terserempak dengan hal yang sebegini. Hal lupa daratan ni.

Kenapa agaknya ada orang mudah lupa daratan?

Mungkin kerana hidupnya dulu tak rasa senang, jadi bila dah senang, maka dia rasa bangga dan kerana itu, dia pun terlupa untuk pijak di bumi yang nyata. Sangkanya diri sudah naik ke atas di langit biru. Buat apa nak bersyukur? Mungkin terasa dirinya hebat dan kerana itulah dia berada di tempat yang atas! Duit banyak, pakai pakaian cantik, rumah pun besar gedabak, kereta mewah bersusun-susun... jadi nak bimbang apa lagi?

Bukan hanya yang kaya-raya, yang senang sederhana pun mampu untuk lupa. Mudah sangat manusia ini lupa daratan, padahal baru lagi hidup susah atau baru lagi diri diuji Allah swt, tapi bila mengecapi kesenangan, mudah terlupa diri. Kini dah pandai cakap besar dan mendabik dada. Tak tahu nak bersyukur pun, seolah-olah kesenangan yang datang itu tidak hadir kerana Allah yang Maha Satu.

Tak payahlah saya berikan contoh, kerana pasti kita semua tahu akan wujudnya cerita yang macam ini. Paling malang, kalau diri tak sesenang mana, tapi mempunyai karakter lupa diri yang tinggi melangit. Kesian sungguh!

Baru terkial-kial, dah rasa hebat sangat! Terlupa kalau-kalau satu hari nanti dia sudah tidak punyai apa-apa lagi. Jangan lupa, Allah berikan sesuatu, Allah juga boleh ambil semula. Semuanya adalah pinjaman belaka, tiada yang kita punya. Subhanallah.

Wassalam.

                                                           Tak usah lupa daratan

Tuesday, October 06, 2015

Yang Berat Jangan Diringankan

Assalam

Hari ini ada pulak masalah google chrome, itulah yang lambat update blog ini. Alhamdulillah ada cara lain. Begitulah kita kan, bila berdepan dengan masalah, jangan pula kita cepat 'give up', usahakanlah, pasti ada jalannya. Jangan pula suka cari jalan pintas hinggakan mengesahkan benda yang tak sah, nanti akan makan diri!

Kalau di waktu pagi, apakah yang akan membuat anda berasa segar sebaik sahaja bersedia untuk mulakan hari anda?

Kalau saya, pastinya bau kopi! Bila saya dah bersedia untuk mulakan hari, saya akan bancuh kopi. Bau kopi harum semerbak dan membuat kita bersemangat untuk duduk di meja makan. Saya akan sediakan sarapan kerana setiap orang perlukan sarapan yang baik! Badan kita perlukan sarapan. Tak makan tengah hari tak mengapa, tapi sarapan jangan kita miss pula.

Ada macam-macam kopi yang dijual. Saya memang suka kopi tempatan, tetapi sekarang ini, saya rajin beli kopi dari luar yang rasanya ada 'mixed' rasa kopi lokal dan kopi luar. Anak-anak saya semuanya suka. Kalau habis, cepat-cepat kami beli lagi. Yang pasti, kopi lain tak serupa rasanya seperti kopi ini. Alhamdulillah harganya juga sangat berpatutan, tidak mahal dan tidaklah murah sangat.

Selesai cerita pasal kopi, jom kita ingatkan diri dengan ayat al-Quran ini. Dalam  ayat 30 dan 31, Surah An-Nur, Allah swt berfirman ; (ayat 30) "Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."

(ayat 31) Allah swt berfirman ; "Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat....."

Ayat 30 dan 31 Surah An-Nur ini semestinya meletakkan kewajipan yang tinggi buat kita lelaki dan perempuan, agar menjaga akhlak kita sebagai Muslim dan Muslimah Solleh dan Sollehah. Janganlah kita ambil ringan dan ambil mudah tentang hal sebegini, sedangkan lebih ramai di antara kita sangat cenderung untuk berat-beratkan isu yang tidak berat.

Kita takut makan babi, tapi ramai yang berzina sana-sini. Kita takut pakai kasut berkulit babi, tapi kita tak segan untuk sebarkan fitnah sana-sini. Allahuakbar!

Fikir-fikirkanlah apa yang wajib kita lakukan sebagai insan yang beriman. Kalau tiada iman di dada, semestinya kita tak beratkan akhlak yang mulia. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.


Monday, October 05, 2015

Bila Jiwa Tenang

Assalam

Cuaca terus-menerus diserang jerebu dan dikatakan semakin lama semakin beracun jerebu ni. Pulak tu, tak hujan-hujan, kalau hujan selesalah sikit. Insyaa-Allah akan hujan juga, harap-harap biarlah hari ini.

Apa-apa pun, life goes on, itulah kata orang putih. Apa jua keadaan cuaca, selagi Allah berikan umur, kita akan teruskan kehidupan dengan berasa syukur dan nikmat. Janganlah jadi manusia yang sombong, yang berkira-kira untuk bersyukur dan rasakan nikmat yang Allah berikan. Sungguh pun mungkin ada yang jauh lagi senang daripada kita, namun jangan pula kita lupa, terlalu ramai yang jauh lagi teruk kehidupan mereka daripada kita. Apa yang Allah berikan adalah terbaik.

Saya banyak menghabiskan masa fikirkan tentang orang lain. Kadang-kadang saya melihat orang-orang di sekeliling saya, betapa mereka masing-masing punyai masalah, itu dan ini. Namun rata-rata, bila anda hidup di kampung, anda mungkin jauh lagi tenang kerana di kampung masalahnya juga jauh lagi sedikit, apatah lagi yang ada kaitan dengan wang ringgit dan perbelanjaan. Di bandar, semuanya kena bayar termasuk makanan seperti sayur dan buah-buahan. Di kampung pula, kalau rajin, perbelanjaan sangat minima. Dah tu... udara di kampung jauh lagi bersih dan tidak menggusarkan jiwa raga.

Saya perhatikan bahawa ada yang hidup dengan segala yang basic, namun mereka okey sahaja, asal ada bumbung, ada pakaian dan makanan yang mencukupi. Tak perlu pun dengan 'entertainment', tak perlu ke shopping mall dan berbelanja tinggi.

Tapi kalau kita dah biasa hidup di bandar, ada ketika tak mampu pun kena berlagak macam mampu. Apatah lagi kalau punyai jiran-jiran yang lebih tinggi income nya daripada kita. Memang diri akan berasa perit kalau mahu berlumba dengan orang di sekeliling kita.

Di kampung, kalau kita rajin, macam-macam yang kita boleh tanam dan pelihara. Tanam sayur, bela ayam itik, tanam pokok buah-buahan. Jual mana yang perlu, cari pendapatan pelbagai cara yang tak merumitkan. Tak perlu bayar parking, tak perlu pergi jauh-jauh.

Oh ya... memang seronok duduk di kampung ni. Jiwa tenang sangat-sangat.

Alhamdulillah, ya Allah kerana berikan kita umur dan nikmat serta rahmat.

Aamiin ya Rabbal alamin.



                                                               Jiwa jadi tenang

Sunday, October 04, 2015

Kami Dapat Kampung Baru

Assalam

Kata orang Negeri Sembilan, "Den ponat!" Maknanya 'saya penat'. Betul ni, semalam dan hari ini, kami sangat penat sebab banyak buat kerja di Lenggeng. Mesti anda yang tak pasti tertanya-tanya juga, apa ada di Lenggeng tu? Sebenarnya kami dah mula berkebun di sana. Selain dari berkebun, kami ada projek lain juga, itulah yang memenatkan. Tapi... best sangat-sangat! Walaupun bila balik ke rumah di Nilai kami macam separuh pengsan, tapi kami juga enjoy!

Buat masa ini, kami selalu berkenalan dengan orang-orang kampung di kawasan tanah kami. Seronok juga. Mungkin mula-mula dulu, orang kampung tak pasti sangat kami ni macam mana, tapi sekarang ni, mereka dah tahu kami macam mana... 'sangat sempoi', tentulah mereka juga berasa senang.

Alhamdulillah, kami juga dah dapat pekerja sepenuh masa, jadi taklah teruk sangat nak buat segala-galanya. Saya dah kenal lama dengan pekerja ni... dari Nilai lagi, dan sekarang kami bawa dia ke Lenggeng. Semoga Allah permudahkan segala-galanya buat kami, insyaa-Allah.

Di Lenggeng juga kami dah dapat macam-macam kawan. Kata orang putih, "From all walks of life", dari ketua kampung, wakil Rela, bekas guru, petani moden, profesional, pekerja kilang dan macam-macam orang yang kini menjadi rakan dan kenalan kami. Syukur alhamdulillah.

Sebenarnya inilah yang membuat kami rasa seronok, sekalipun banyak cabaran dan ujian, namun banyak sungguh hikmah dan rahmat yang Allah swt limpahkan buat kami. Banyak juga ilmu yang kami timba, banyak pengalaman yang membuat kami buka mata, malah kami juga semakin rapat sesama ahli keluarga, alhamdulillah.

Sekarang ini kami bolehlah panggil Lenggeng sebagai kampung kami juga. Syukur di atas nikmat Allah ini, adalah kami tempat yang kami boleh panggil kampung.

Wassalam.


                                                    Aktiviti-aktiviti lasak di Lenggeng

Friday, October 02, 2015

Tak Salah Kalau Takut!

Assalam

Semoga Jumaat ini membawa barakah dan rahmat buat kita, aamiin.

Hah... walaupun sibuk berkebun, saya juga sibuk menulis. Tak lama lagi akan keluar koleksi cerita-cerita pendek saya dalam bentuk digital. Kalau nak baca, kenalah pergi ke www.e-sentral.com kerana buku baru saya akan berada di sana. Jangan lupa tau kerana cerita-ceritanya semua menarik dan luar biasa, insyaa-Allah.

Okeylah... tiba-tiba teringat nak bercerita pasal hal ini, bukan sesuatu yang luar biasa tetapi sesuatu yang biasa sangat dilakukan oleh kebanyakan lelaki. Ramai lelaki yang baik hati, namun dalam diam, mempunyai tabiat buruk yang hanya dia dan orang terdekat sahaja yang tahu. Kalau ambil dadah, kita tahu. Kalau mencuri pun mungkin lama-lama kita tahu. Selain daripada suka menipu, ada lelaki yang suka juga main judi. Kalau kita tak kenal sangat, kita tak akan sedar tentang hal ini kerana orang yang main judi, buat begitu di belakang-belakang dan biasanya orang tak tahu. Tahu-tahu duitnya habis semua. Malah ada yang suka berhutang kerana nak tampung kalah judi!

Ada tu pendapatannya agak lumayan, tetapi kerana tabiat buruk main judi, duitnya tak pernah ada. Malah, makan pun mungkin tak cukup. Apatah lagi pakaian dan juga tempat tinggal. Memang masalah! Yang merana tentulah mereka yang terdekat.

Jarang-jarang kita dengar tentang perempuan yang suka berjudi. Biasanya perempuan yang jenis tak baik kerana mempunyai mulut yang tak baik. Suka mengumpat dan seronok bergosip. Tapi banyak juga perempuan yang suka amal benda-benda syirik. Sikit2, pergi jumpa bomoh dan percaya benda karut-marut tanpa sedar diri menjadi syirik! Allahuakbar.

Jadi insan, biarlah kita berusaha untuk jadi insan yang baik. Jom kita jadi manusia jujur yang takut untuk menipu, takut untuk buat maksiat, takut untuk buat kerja-kerja haram, takut makan rasuah, takut buat segala-gala yang Allah swt tak suka. Subhanallah!

Sebenarnya tak salah kalau kita takut... takut pada Allah swt.

Wassalam



                                                           Sejuk hati kalau duduk kat sini.