Semasa saya kanak-kanak, saya tinggal di kampung yang terletak agak jauh juga dari bandar kecil di bahagian utara negeri Perak. Malah, kehidupan saya sehingga akhir remaja memang berbeza daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Pun begitu, pengalaman dan 'exposure' yang saya lalui tidak membezakan diri saya daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Saya telah tinggal di kampung saya dan terus belajar di bandar kecil itu hinggalah selesai peperiksaan HSC (Hari ini kita panggil STPM). Semasa saya memasuki Universiti Malaya, tak ada orang pun tahu yang sebenarnya saya datang dari kampung. Saya percaya, bukulah yang telah mengasah perjalanan hidup saya. Membaca telah membuat fikiran saya terbuka. Malah, saya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris mungkin jauh lebih baik daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Ketika itu, saya banyak membaca buku-buku dari luar negara termasuk Indonesia. Sekalipun ketika itu, saya belum pernah ke luar negara, namun bukulah yang telah membuka minda dan membuat saya berjaya melangkah perjalanan dengan perasaan yang yakin.Buku telah berjaya menambahkan ilmu buat diri saya dan seterusnya tidak mengasingkan diri saya daripada mereka yang tinggal di tempat lain.
Tidak rugi kalau kita jatuh cinta dengan buku. Jangan terlalu memilih dan biasakanlah diri untuk membaca. Lagi banyak kita membaca, bertambahlah ilmu di dada. Wallahu'alam.