Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, October 31, 2009

Membaca Hatinya


Apa yang kita lihat pada seseorang itu? wajahnya ke, warna kulitnya ke, matanya ke, cara dia bercakap ke? atau apa? kalau kita belum betul-betul mengenali orang itu, tentu kita tak boleh nak komen hati budi, kan? takkan nak agak-agak saja.Boleh agak-agak ke? kadang-kadang, dari air mukanya kita boleh agak dah. Kadang-kadang dengan cara dia bercakap, kita boleh juga membaca hatinya.

Pernah seorang teman bercerita. Anak lelakinya hendak mencari teman yang boleh dijadikan teman hidup. Adalah orang tu pula, nak rekomenkan anak perempuannya. Anak perempuan orang itu memang cantik. Tinggi, mata hidung semuanya terletak, kulit pun putih melepak. Tak ada yang tak elok dari segi fizikalnya. Dikenalkanlah... kedua-dua ibu pun ikut sekali semasa keluar minum-minum di tempat yang diaturkan.

Setelah bertemu, mereka pun pulang. Teman saya pun bertanyalah dengan anak lelakinya. "Macam mana?"
Katanya, "Dia cantik... tak ada yang kurang. Tapi saya tak berkenan."
"Kenapa?"
"Saya tak suka cara dia bercakap. Mengada-ngada... nampak sangat perasan yang dia cantik. Lagipun, saya tak rasa dia minat pada saya. Biarlah, mak."
Esoknya, ibu perempuan pula bertanya pada teman saya itu, "Macam mana? okey ke anak awak?"
"Anak saya okey, tapi... biarlah dulu ya. Esok-esok kita tengok macam mana." Itulah katanya.
Memang tak menjadi. Akhirnya si lelaki mencari orang lain yang lebih sesuai dengan cita rasanya. Budak perempuan itu pula, masih tercari-cari...

Friday, October 30, 2009

Jumpa Jodoh Dalam Gelap

Kalau belum bertemu jodoh, eloklah kita mencarinya. Janganlah duduk diam-diam mengharapkan ada yang datang bergolek. Bukan maksud saya mencari itu, pergi mencari macam nak beli barang kat kedai runcit, tetapi berusahalah. Minta kawan tolong atau orang lain tolong kita. Kalau lelaki,mungkin mudah sikit... sebab kurang rasa janggalnya. Tetapi kalau perempuan, biarlah berhati-hati sikit, tak mahu orang kata kita mencari timba pula. Apa-apa pun, memang tak salah berusaha. Kalau tak cari, mungkin susah nak jumpa.

Kadang-kadang kita rasakan macam tak ada yang 'ngam' dengan kita. Dah ada, dah jumpa, tapi... tak sesuai.

Carilah lagi. Mungkin hari ini kita tak jumpa, esok-esok ada.

Kalau kita tanya kenalan kita, tentu macam-macam cerita yang ada. Bagaimana masing-masing bertemu jodoh. Baru-baru ini, ada seorang rakan bercerita, yang dia bertemu jodohnya dalam gelap! bunyi macam kelakar tetapi itulah realiti. Katanya, dia menghadiri satu function. Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Jadi mereka di tempat itu tak berani nak bergerak. Masing-masing duduk dan cuba bersembang-sembang. Masa tu lah dia bertemu bakal suaminya. Mereka bercakap-cakap tanpa melihat rupa. Kemudian, bila bekalan elektrik dah ada... barulah tahu siapa yang menjadi teman bualnya. Terus berkenan, tetapi katanya, suaralah yang memainkan peranan.

Bagi anda yang masih belum berkahwin, cari-carilah. Ada jodoh anda yang sedang menunggu. Insya-Allah.

Thursday, October 29, 2009

Dekatkanlah aku...


Ramai yang takut kalau hidup tak berduit. Takut kalau bangun dari tidur, itu yang diingatkan dulu. Malah, nak tidur malam pun, itu yang menjadikan ketakutan hinggakan susah nak terlena. Kepala otak asyik mengira, tak cukup-cukup.

Banyak juga risau kalau hidup tak berteman. Umur dah banyak, tapi masih tak ada sesiapa yang boleh menemani diri yang sudah lama terasa kosong. Mungkin ada yang pernah kahwin, kini sudah tinggal sendirian, dan keadaan itu merimaskan.

Ada juga bimbang dengan hal kerja di pejabat. Bangun pagi-pagi lagi, itulah yang mencemaskannya. Ada masalah di pejabat. Nak tidur malam pun terkebil-kebil teringatkan kerja yang belum selesai.

Ada pula tu, ada masalah dengan kenalan atau mungkin kawan. Asyik tak ngam sahaja. Membebankan. Rasa cemburu, sakit hati dan macam-macam lagi. Mungkin juga fitnah, buruk sangka dan dendam.

Tetapi berapa ramai agaknya di antara kita yang semasa hendak tidur dan apabila terjaga sahaja teringatkan Tuhannya? Nak tidur, bukan sekadar membaca ayat-ayat suci berwirid dan berzikir sahaja, tetapi berdoa-doa, menghayati dan memikirkan tentang kewujudan-Nya? Bila bangun pula, Dialah yang datang dulu kepada hati, jiwa dan akal kita. Bila berjalan, memandu kereta, kita mengelamun tentang-Nya. Fikirkan Dia, ingatkan Dia, merindui-Nya, mungkin menangis kerana Dia.

Ya Tuhanku... biarlah aku dekat dengan-Mu sentiasa, setiap saat, setiap nafasku, Engkau ada. Allahuakbar,Subhanallah, Alhamdulillah...

Wednesday, October 28, 2009

EGO dan AIR


Bukan air macam yang untuk diminum, bukan juga air macam udara tu, tapi A.I.R., masih bahasa Inggeris tapi maksudnya terlalu yakin, atau sama lebih kurang dengan ego juga. Rasa diri sangat bagus. Biasanya, ramai di antara kita selalu berkelahi, atau bertegang urat dek kerana perasaan ego atau air yang kita ada ini. Kalau bahasa hari ini, orang kata 'kerek', berlagak... dan kelakuan ini termasuk juga dengan 'ketegaq', bahasa orang Utara, yang bermaksud kepala batu, atau degil.

Bayangkanlah kalau sikap ini ada pada kita, seorang isteri atau suami. Hah, jangan hairanlah memang ramai yang perangainya begini. Asyik nak menang, tak mahu terima kelemahan sendiri, dan rasa diri sendiri betul sahaja, orang lain pulak... SALAH!

Banyak rumah tangga yang runtuh dek kerana perasaan ini. Kalau diikutkan, bukanlah teruk sangat, tetapi apabila ianya tidak terkawal, akan tunggang-langganglah jadinya. Kalau salah seorang pandai mengalah, okeylah. Tapi kalau dua-dua nak menang, memang HANCUR!

Cuba kita tanya diri sendiri, adakah kita sikap ini pada diri? kalau ada... nak buat macam mana?

Tuesday, October 27, 2009

Subjek 'Taboo' Tapi Satu Realiti

Saya memang tak suka bercakap tentang hal ini, malah jarang-jarang saya sentuh tentangnya tetapi dalam dunia hari ini, ini adalah suatu realiti. Kisah tabu hidup anak-anak gadis yang tidak tahu takutkan Tuhan. Mungkin bagi mereka, asal sahaja bergelar orang Islam, mereka ada hak untuk hidup cara mereka.Apa yang saya ingin sentuhkan ialah tentang gadis 'lesbian' atau ada yang menggelar mereka 'pengkid'. Tak kiralah sama ada mereka berlagak seperti perempuan atau lelaki, tetapi apa yang saya maksudkan ialah mereka tergamak untuk berasmara sesama sendiri, seolah-olah perbuatan mereka itu jauh lebih baik daripada kalau berdua-duaan dengan lelaki!

Ada yang tak pedulikan orang, hinggakan sanggup melakukan apa sahaja walaupun di depan orang ramai, dalam komuter, dalam bas atau di dalam taman. Saya tak tahulah apa yang mereka fikirkan dan saya tak tahu sama ada ibu bapa mereka sedar atau tidak tentang cara hidup anak-anak perempuan mereka ini.

Pernah seorang rakan yang saya kenali memberitahu yang anak perempuannya rapat dengan seorang gadis 'pengkid'. Anak perempuan kawan saya itu memang sungguh cantik, malangnya ibunya itu tidak melihat persahabatan anaknya dengan gadis 'pengkid' itu sebagai sesuatu yang tak normal.

Semasa anaknya hendak ke seberang laut, gadis 'pengkid'itu siap berkissing-kissing dengan anaknya di depan orang ramai (dia yang beritahu saya). Kebetulan, anak-anak lelaki kawan saya juga ada di kawasan lapangan terbang ketika itu dan mereka terkejut dengan perbuatan itu. Sangka mereka gadis 'pengkid' itu adalah lelaki tulen.

"Eh, kenapa mama biarkan that boy buat macam tu?" salah seorang anak lelakinya sudah marah.

Dan ibunya pula menjawab, "Alah, dia tu bukannya boy but girl!"

Tidak kah anda semua rasa jijik? yang peliknya kenalan saya ini adalah seorang yang berpelajaran. Malangnya dia tidak melihat isu itu sebagai sesuatu yang tak sepatutnya berlaku. Bagi dia, "That girl... she is cute and nice to my daughter."

Puas saya beritahu dia yang perkara itu tidak normal dan salah. Tapi, dia kata tak apa. "Kalau dengan lelaki lagi takut... nanti pregnant pulak."

Ya Allah... saya tak tahulah nak cakap macam mana. Semoga kita dijauhkan Tuhan daripada segala gejala-gejala yang boleh merosakkan iman.

Monday, October 26, 2009

Bersemangat Cinta Bila Baca Novel Cinta



Kawan saya pernah cerita yang suaminya suatu ketika dahulu cukup main marah lagi kalau tengok dia baca novel cinta. Kata suaminya, takut isteri dia berangan nak suami macam hero dalam buku. Lagi satu, suami dia rasa cemburu dengan hero-hero dalam buku. Dia tahu hero dalam novel mesti 'good looking', romantic dan macam-macam lagi. Tak macam dia.

Tetapi kata kawan saya lagi, dah kemudian-kemudiannya pula, suami dia tak kisah lagi. Malah, dia menggalakkan isterinya membaca novel cinta. Siap dia tolong belikan lagi. Kata suaminya, setiap kali isteri dia baca novel cinta, ada perubahan padanya. Lebih loving, lebih romantik, suka bersiap-siap untuk suami... yang penting, layanan pada suami mesti 'first class', macam dalam buku!

Pandai-pandailah bawa diri kalau suka baca novel cinta, kan? janganlah terlalu ralit sampaikan suami pun diabaikan. Tapi... kalau lepas baca jadi lebih loving dan romantik, suami mana yang tak suka, kan?

Saturday, October 24, 2009

Meluat pada Pasangan

Saya tak tahu kenapa, tetapi memang ramai yang saya kenali atau berjumpa, atau juga melihatnya di ruang-ruang Internet, suka mengata-ngata pasangan mereka sendiri. Ada isteri mengata suami dan ada pula suami mengata isteri.

Tidaklah teruk sangat kalau mereka mengata-ngata hanya kepada seseorang sahaja, bukan di depan umum. Tetapi memang saya hairan apabila membaca benda-benda tak elok tentang pasangan melalui e-mel (group e-mail) yang kita terima atau mungkin ketika melayari blog.

Siapa yang nak melindungi pasangan kita kalau bukan diri kita sendiri? kenapa kita nak highlightkan keburukan dia, mungkinkah kerana sakit hati, atau mungkin kerana kita tak dapat meluahkan kepadanya?

Ramai yang suka kompelin tentang pasangan mereka. Yang isyeri kata suami tak bertanggungjawab, tak pandai cari duit untuk anak isteri, asyik isteri berbelanja sedangkan suami guna gaji untuk diri sendiri. Ada pula itu, isteri merungut, suaminya kaki mengurat. Tak putus-putus dengan perempuan lain.

Suami pula, mengata isterinya tak pandai jaga dia. Tak pandai menghias diri dan sangat materialistik. Ada isteri yang kuat membebel menyakitkan hati suami. Buat apa pun semuanya tak kena. Ada pula tu, isteri suka balik rumah famili sendiri dan tinggalkan suami terkapai-kapai. Ada juga isteri yang kaki mengurat. Pandai buat hal.

Bila saya baca benda-benda macam ni, aduhai...peningny. Buat apa diluahkan pada umum? kenapa tak cari jalan untuk memperbaiki keadaan? kalau nak luahkan pun, biarlah kita bercerita kepada orang tertentu sahaja. Mungkin kepada yang bijak memberi nasihat. Janganlah menjaja keburukan pasangan kita di merata-rata tempat. Kalau nak puji, tak apalah. Setidak-tidaknya kita memberi semangat kepada orang lain yang membaca. Mengapa kita binakan sifat menyampah kepada pasangan sendiri? mengapa kita mengaibkan pasangan kita?

Friday, October 23, 2009

Seorang Isteri


Kalau anda merupakan seorang isteri, banggakah anda? atau anda kecewa kerana mendapat status itu dan hidup sebagai teman seorang lelaki? mungkin ada yang tak suka. Mungkin ada yang merana kerana tak dapat lari ke mana-mana kerana terkonkong sebagai seorang isteri. Kalau meluahkan perasaan, ada pula yang marah. Kata mereka seorang isteri kena taat pada suaminya. Seorang isteri tiada banyak haknya. Memang kita tak dapat nafikan mungkin ada lelaki yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka dan kerana itu, maka ada isteri-isteri yang sedang merana.

Pun begitu, ada juga isteri-isteri yang tidak memainkan peranan mereka. Mahu menjadi seorang isteri tetapi tak kisah untuk memegang status itu. Masih teringatkan status lama, status yang mungkin bebas untuk lakukan apa sahaja. Masih mahu keluar rumah tanpa memberitahu suami, masih mahu mengutamakan keluarga asal dan ketepikan suami. Mungkin juga suka meminta-minta dan membebankan suami. Tak boleh tersilap sikit, terus melenting. Malah, dia terlupa yang dirinya adalah seorang isteri.

Kalau kita memilih untuk berkahwin, hayatilah alam perkahwinan. Perkahwinan membawa berkat dan rahmat. Namun kalau kita tidak menghayatinya, mungkin perkahwinan dirasakan bagai satu sangkar yang mengepong hidup kita. Sebaik-baik perkahwinan ialah bila kita dapat bercakap dengan baik, berunding dan berbincang. Sama-sama merasai kesusahan dan sama-sama menikmati kesenangan.

Seorang isteri akan rasa bahagianya kalau dia bersabar. Seorang isteri akan terus happy kalau Tuhan dekat pada dirinya. Apa-apa dugaan dan rintangan akan dihadapi dengan perasaan yang okey sahaja. Jadilah seorang isteri yang happy!

Thursday, October 22, 2009

Anda Ada Masalah?

Sekiranya anda pembaca blog saya mempunyai sebarang masalah, atau mungkin sekadar hendak berkongsi cerita, saya sedia mendengar. Silalah hubungi saya melalui e-mel. Insya-Allah, saya akan berada dengan anda. Setiap hari saya menerima e-mel daripada pembaca novel dan juga pembaca blog. Sebagai seorang 'veteran'(veteran ke? hehe), saya akan cuba membantu sekiranya perlu.

Salam sayang.

Wednesday, October 21, 2009

KONGSILAH



Dalam perjalanan hidup kita, banyak benda yang kita kena kongsi. Kongsi sayang, kongsi harta-benda, kongsi sakit dan susah, kongsi segala-galanya. Bukan sekadar berkongsi dengan orang yang kita jadikan pasangan hidup, tetapi kongsi juga dengan orang lain seperti teman-teman, jiran-tetangga, kawan pejabat, anak-anak dan kaum keluarga. Dalam perjalanan hidup, semua ketentuan diaturkan Tuhan, rezeki, jodoh, mati dan kelahiran. Setiap tapak yang kita ambil, itulah pengalaman kita.

Hargailah semuanya. Kongsilah harta kita dengan mereka yang memerlukan. Kongsilah pengalaman kita dengan mereka yang mungkin kurang merasa. Kongsilah apa saja, tetapi yang penting, kongsilah kasih dan sayang kita, agar kita tidak hidup penuh dengan dendam dan sakit hati. Biarlah hati kita tenang, biarlah hati kita senang. Ketenangan dan kesenangan akan kita perolehi apabila kita rajin berkongsi! Insya-Allah.

Tuesday, October 20, 2009

Writer's Block


Ramai yang merungut hilang idea atau buntu semasa sedang sibuk menulis. Otak jadi jammed! mungkin juga celaru. Tak tahu nak tuju ke arah mana dan macam-macam lagi. Kalau kali pertama menulis atau baru dua tiga kali menulis manuskrip novel, mungkin buntu yang dimaksudkan itu datang kerana belum biasa menulis. Mungkin payah nak buat ayat cantik atau asyik berulang-ulang ayat yang sama. Begitulah lebih kurangnya.

Tetapi bagi penulis prolifik yang sudah tulis berkali-kali,mungkin masalahnya kerana nak pastikan kelainan. Kelainan dalam jalan cerita, deskripsi perwatakan watak-watak yang ada, kes yang dibawa bicara, tempat, latar belakang dan macam-macam lagi. Penulis risau sekiranya apa yang dibawa kali ini, pernah dibawanya dahulu atau mungkin ada persamaan.

Yang peliknya, dalam penulis memikirkan untuk mencari kelainan, masih ada pembaca yang suka kepada perkara sama yang pernah penulis bawakan. Misalnya, kalau pembaca pernah membaca sebuah novel penulis dan suka kepada jalan ceritanya, pembaca mengharapkan benda yang sama atau lebih kurang juga dalam semua novel-novel penulis.
Tentulah merumitkan atau membosankan.

Apa-apa pun, semua penulis tak suka berdepan dengan 'writer's block'... tak suka berada dalam keadaan yang tak tentu hala tujunya. Kalau anda berada dalam keadaan yang begini, nasihat saya ialah, 'GET OUT'. Buatlah sesuatu yang boleh meleraikan kebuntuan. Misalnya membaca, melayari Internet, menonton televisyen, berbual-bual dengan teman atau berjalan-jalan. Biasanya anda boleh mengatasinya.Insya-Allah.

Monday, October 19, 2009

Ada Apa di Kuala Kelawang?


Semenjak dua-menjak ini (Stail orang Perak bercakap), saya suka sangat pergi ke Kuala Kelawang. Mungkin ada yang tak tahu di mana tempat yang bernama Kuala Kelawang yang saya maksudkan ini. Sebenarnya tempat ini terletak di daerah Jelebu, Negeri Sembilan. kalau dari rumah saya, sekitar 45 minit, sampailah. Saya suka ke sana pada hari Ahad sebab ada pasar minggu di pekan Kuala Kelawang. Apa yang saya cari di sana? macam-macam produk kampung, termasuklah ayam kampung, pisang, kelapa muda, anak-anak pokok, sayur-sayur kampung dan macam-macam lagi yang saya suka.

Tetapi, yang menariknya tempat ini ialah kedudukannya. Ia di kelilingi gunung ganang (Banyak jeram yang ada di kawasan ini), sungai dan cuacanya juga agak redup dan menenangkan.

Jelebu juga merupakan kawasan beradat yang sangat terkenal di Negeri Sembilan ini. Semenjak saya tinggal di Nilai, saya cuba juga memahami adat yang diamalkan orang negeri ini. Maklumlah, kita menumpang di tempat orang, eloklah kalau faham juga adat mereka.

Saya juga seronok ke kawasan ini kerana masih terdapat banyak rumah-rumah kampung tradisional. Setiap kali saya pergi ke Kuala Kelawang, rasa macam balik kampung!

Saturday, October 17, 2009

Nothing Is Impossible!


Semalam, saya melepak dengan dua orang teman... tetapi kedua-duanya tidaklah terlalu lama saya kenali. Kira macam kawan-kawan barulah ni. Tetapi kami macam 'sekepala'. Kami ngam berkawan. Kali ini, kami berjalan jauh sikit, jadi banyak benda yang kami sempat kongsi bersama.

Macam-macam hal yang kami sembangkan... kisah sekolah dulu-dulu, kisah pakwe lama, kisah anak-anak, kisah hidup dulu-dulu... dan akhirnya kami bualkan tentang macam mana kami bertemu dengan pasangan masing-masing.

Nothing is impossible, inilah yang saya katakan kepada kedua-dua teman saya. Seorang memberitahu yang dia telah bersetuju untuk berkahwin dengan suaminya semasa umurnya baru 20 tahun. Ketika itu dia berada di tingkatan enam. Dia juga kata yang dia tak kenal pun lelaki yang akan menjadi suaminya itu. Ada yang mengaturkan dan dia juga tak kisah. Dalam masa yang singkat itulah mereka berkahwin dan sehingga sekarang masih okey.

Yang seorang lagi pun begitu. Walaupun umur pasangannya berjarak 16 tahun dengan dirinya, dan ketika itu dia tidak kenal sangat pada lelaki yang berminat untuk berkahwin dengannya, tetapi kerana yakin dan perasaan yang berdetik di sanubari, dia menerima dan sampai sekarang masih happy.

Menarik, kan?

Apa yang saya hendak katakan di sini ialah, apa-apa pun boleh terjadi apabila jodoh yang kita bualkan, kerana semua ketentuan ialah hak Tuhan.

Mungkin semalam kita kenal dia, hari ini dia bersetuju untuk berkahwin dengan kita. Tapi kalau hati kata ok... maknanya okey sajalah. Everything is possible!

Friday, October 16, 2009

Berbuih Mulut...

Wow! Semalam saya terdengar ceramah yang diberikan seorang pembesar buat rakyatnya. Iyalah... kebetulan sahaja terdengar! Katanya, semasa mereka yang berkenaan nak jalankan tugas, janganlah nak harapkan semuanya enak-enak belaka. Makan best, tempat tinggal best... kalau datang meeting mesti nak duduk di hotel yang best-best, kalau tak lima bintang tak jadi.

Aduhai... betul sangatlah tu. Kalau kita nak berkhidmat untuk rakyat, seharusnya kita tunjukkan contoh yang baik. Kalau kita tak kisah, tentu rakyat pun akan hormat kita. Jangan nak kira berapa banyak boleh masuk dalam poket, lepas tu baru nak berkhidmat. Ada kala, langsung tak ada nak kisahkan rakyat pun, tapi poket tetap kembong!

Apa-apa pun, sebenarnya mudah sahaja. Kalau dari atas dah tunjukkan contoh yang baik-baik, yang di bawah akan berubah, akan menjadi satu amalan yang baru. Tapi kalau berbuih mulut suruh orang berubah, kita sendiri tak berubah, tak tunjukkan contoh yang baik, maka teruslah berbuih mulut kita bercakap, memang NO EFFECT!

Trend zaman sekarang.

Thursday, October 15, 2009

Boleh ke Tidak Ni?


Semalam, saya buntu. Sedang menulis, tiba-tiba rasa tak tahu. Bukan tak tahu apa, tetapi tak tahu sama ada boleh atau tidak saya lakukan apa yang saya nak lakukan ini. Jadi saya pun buat panggilan kepada seseorang yang pernah jadi editor saya. Saya tahu dia memang faham tentang hal-hal yang ingin saya bicarakan.

Kata dia, "Tak apa Kak Aina... buatlah. Lagipun kita kena jugak sampaikan info macam tu pada remaja yang membaca. Kalau tak... mereka mungkin tak faham."

"Okeylah kalau macam tu. Kak Aina bimbang jugak, nanti ada yang nak menghentam."

Begitulah ceritanya. Kalau kita tak pasti tentang apa-apa yang hendak kita tulis, eloklah kita tanya orang lain yang mungkin boleh beri kita nasihat. Bagi saya, saya memang baca macam-macam sejak saya budak lagi. Tak pernah pun apa-apa yang saya baca itu membuat saya berfikiran negatif. Malah, membacalah mematangkan saya, selain daripada pengalaman hidupyang saya lalui. Wallahua'lam

Wednesday, October 14, 2009

Mencari Sinar Kebahagiaan



Saya hairanlah jugak apabila membaca artikel yang menceritakan tentang pasangan muda zaman sekarang. Masing-masing menyukat dengan benda-benda 'material'. Kereta, rumah, barang-barang rumah, pakaian berjenama, barang kemas dan macam-macam lagi. Semua kena ada bila berkahwin. Kalau tak ada, tak kelas gitu. Tak cukup syarat. Malah, banyak rumah tangga yang hancur kerana tak cukup syarat itu. Macam ada satu pertandingan pulak.

Masa saya dulu, saya tak pernah kisah semua itu. Masa kahwin, tak ada apa pun yang saya ada, hanya suami sahaja. Tetapi itu sudah cukup buat saya. Yang membuat saya okey juga ialah buku. Saya banyak membaca dan tak pernah kisah pun pasal benda-benda lain. Ada, okey. Tak ada pun okey. Makan apa-apa yang simple.

Bagi saya, kebahagiaan ialah apa yang kita rasa. Bukan apa yang kita lihat. Mungkin rumah besar, ada kereta mewah berpuluh-puluh, harta tak terkira, namun kalau hati sentiasa gusar, maka tidaklah kita bahagia.

Apakah wang ringgit boleh buat kita seronok? mungkin.Tetapi bukan sekadar wang ringgit sahaja. Kalau tanya saya, saya tak akan meletakkan wang ringgit atau harta benda di senarai teratas. Benda-benda material tidak pernah menjadi perkara utama dalam hidup saya. Sungguh saya suka berjalan-jalan, tetapi saya juga percaya kalau kita bekerja keras, redha dan sentiasa dekat pada Tuhan, rezeki kita juga ada. Mungkin sederhana, tetapi kita mendapat rahmatnya. Rahmat itulah yang membawa kepada hati yang tenang, kesabaran dan kebahagiaan.

Kita kena banyak-banyak bersabar. Saya sentiasa mengingatkan diri. Jangan busuk hati dan jangan bersangka buruk pada orang lain. Bersyukur dengan semua nikmat Tuhan. Paling penting, dekatlah diri dengan Tuhan... setiap detik umur kita. Itulah kebahagiaan.

Tuesday, October 13, 2009

Jauh di Mata Dekat di Hati


Semasa saya baru berkahwin (Dah lama beno dah), saya dan suami terpaksa tinggal berjauhan. Saya tinggal di kampus UM, dia pula dengan kawan di PJ. Lepas sebulan, barulah kami duduk sekali. Lepas itu pula, dia terus ke UK... hampir lima bulan, barulah saya join dia. Kemudiannya,kami jarang berpisah. Kalau ada pun sekadar seminggu dua sahaja.

Selepas dapat tiga orang anak, kami tinggal lagi di UK. Semasa di sana, kami sangat rapat sebagai satu unit keluarga. Sebaik sahaja dapat anak bongsu, saya terpaksa pulang ke Malaysia dan suami pula terpaksa duduk seorang diri di UK untuk ujian viva Ph.Dnya. Sekitar lebih dua bulan kami berpisah. Masa tu... aduhai, rasa macam nak pengsan. Mungkin dah biasa tengok muka dia tiapa-tiap hari kot. Tetapi itulah hikmahnya. Perpisahan membawa kerinduan, dan kerinduan membawa kepada kasih sayang... insya-Allah kepada kebahagiaan.

Sekitar 2002, kami terpaksa duduk berjauhanlagi. Suami saya ada projek di Pulau Langkawi... terpaksa berjumpa setiap hujung minggu sahaja. Tapi masa tu, saya memang tak seronok dengan gaya hidup yang macam itu. Meletihkan.

Secara ikhlas, saya tak rekomenlah selalu-selalu sangat berpisah. Ada juga tak eloknya. Apa-apa pun boleh terjadi apabila terlalu lama berjauhan. Namun, kita perlu ingat... jauh di mata mungkin dekat di hati. Yang tak hendak tu, kalau jauh di mata, di hati pun mula berjauhan. Ada orang, dekat di mata, tapi jauh di hati. Aduhai...

Pagi ini, saya happy... sebab tengah hari nanti, cik abang saya pulang!

Monday, October 12, 2009

Kena tak dengan Kita?



Betul ke karakter kita biasanya ada kena-mengena juga dengan kerjaya yang kita pilih? atau mungkin kerjaya yang kita pilih memang mengikut perwatakan kita? Kalau kita lembut orangnya, atau jenis yang prihatin pada orang lain, mungkin kita memilih bidang perguruan, atau jadi seorang jururawat, atau mungkin doktor? isy... doktor lembut ke? Iyalah... ada yang lembut, tapi ada juga yang tidak. Betul, kan?

Tapi kalau kita jenis yang 'daring', atau suka pada cabaran, mungkin kita pilih kerjaya yang begitu juga. Mungkin kita join 'Police Force' atau 'Army' dan pilih untuk lakukan aktiviti-aktiviti yang pelik dan mungkin lasak...

Ada yang kuat bercakap, atau suka bercakap, atau mungkin kaki bertekak, mereka akan pilih jadi PRO, atau peguam...

Ada yang tak suka bercakap, suka bersendirian... akan memilih untuk jadi penulis. Tapi ramai juga penulis yang suka bercakap... macam saya ni. Biasalah, kan? kita buat apa sahaja yang dekat dengan hati kita. Tetapi memang begitu, kerjaya kita biasanya ada kaitan dengan karakter kita. Kalau kita pilih kerjaya yang tak sesuai dengan karakter kita, kita akan terasa kehilangan sesuatu. Mungkin ada yang tak kena... dan kerana itu, kita akan terus tercari-cari.

Pilihlah kerjaya yang paling kita suka dan paling kena dengan karakter kita, agar kita juga seronok melakukan kerja kita itu.

Wallahua'lam.

Sunday, October 11, 2009

Sayang Jiran



Semalam, pada siang harinya, saya telah menghadiri majlis perkahwinan seorang teman yang aktif dalam dunia penulisan. Tentunya saya bertemu member-member yang juga aktif dalam dunia ini di majlis itu. Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada pengantin baru, semoga diberkati Allah SWT dan kekal aman dalam dunia berumah tangga hingga ke akhir hayat.

Malam tadi pula, saya ke open house lagi. Biasalah kan, dalam bulan Syawal ini...
Sekali lagi saya ke open house seorang jiran. Mereka merupakan antara 'couple' veteran di tempat kami. Yang seronoknya bila ada majlis makan-makan seperti ini, kami akan berkumpul antara jiran tetangga dan berbual-bual. Kemesraan dalam suasana seperti inilah yang dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk. Kebetulan, saya ke rumah jiran ini, bersama anak-anak dan menantu. Salah seorang menantu saya juga merupakan anak jiran kami (bukan yang buat open house ini).

Kami duduk-duduk dan bergurau senda. Bab inilah yang menarik... ada-ada saja cerita kelakar yang kami kongsi sama. Kami juga bualkan tentang kehidupan dan kegemaran masing-masing. Salah seorang jiran bercerita yang suaminya memang pantang tengok daun-daun yang berjatuhan di atas jalan dan juga di ruang laman. Katanya, kadang-kadang suaminya pulang dari kerja dan belum sempat tukar baju, sudah sibuk dengan penyapu dan menyapu daun-daun kering itu, bukan sekadar di depan rumahnya, juga hingga ke rumah-rumah jiran di sebelahnya. Kami semua ketawa mendengar ceritanya itu. Sebetulnya bagi saya, kalau ada sesuatu yang kita suka lakukan, perkara itu tidak menjadi beban, tetapi perbuatan itu boleh membuat kita hilang stres dan dapat keseronokan. Kalau tak percaya, buatlah. Tetapi jangan pula kita merungut-rungut. Kalau kita merungut, itulah yang mengwujudkan stres!

Saya perhatikan, jiran-jiran kami di Laman kami ini, dah mula mengenali antara satu dengan yang lain, dan mula menghayati perasaan sayang terhadap jiran. Bukankah jiran kita penting, tak kira apa sekali bangsa dan keturunan? kerana jiranlah orang kuat kita dan yang banyak membantu dalam keadaan kita memerlukan. Kerana itulah kita mesti belajar untuk sayang jiran!

Saturday, October 10, 2009

Panggilan dari Jauh...



Malam tadi, sedang saya duduk-duduk relaks, sambil menyemak manuskrip baru dan mengintai-ngintai program televisyen, (kedua-dua komputer dan TV memang ada dalam kamar tidur saya), tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Mula-mula saya ingatkan cik abang saya yang berada di kejauhan, rupa-rupanya teman pembaca setia saya yang berada nun jauh berdagang di tempat orang.

Memang seronok berbual dengan teman ini. Dia sangat mesra dan pandai pula bergurau senda. Katanya dia sedang tunggu buku-buku saya yang telah dibeli secara online, dan ada dua buku saya yang saya kirimkan (buku lama). Dia agak panik sebab hingga sekarang buku yang saya kirimkan itu tak tiba-tiba. Agaknya tersangkut semasa cuti hari raya. Entahlah. Tapi risaulah jugak sebab buku-buku tu saya dah tak ada stok lagi.

Apa-apa pun, kami terus berbual, cerita tentang pelbagai perkara, kebanyakannya mencuitkan hati. Sempat saya bercerita kepadanya tentang pengalaman saya mengambil adik-adik angkat yang menumpang di rumah saya semasa saya tinggal di Manchester dulu. Dua orang di antara mereka itu, masih kekal rapat sehinggalah ke hari ini. Sudah lebih lima belas tahun kami rapat. Saya juga bercerita kepadanya, betapa saya merupakan orang yang payah nak lupakan kawan. Bagi saya, bila berkawan, kita mesti saling menyayangi dan saling menghormati.

Memang saya mempunyai beberapa orang kawan yang rapat dengan saya, ada yang sejak sekolah rendah lagi. Bayangkanlah dah berapa lama tu. Saya tak pernah kisahkan kedudukan ekonomi teman-teman atau situasi mereka. Bagi saya, teman tetap teman, tak kira miskin atau kaya, menjadi atau tidak. Bukan itu yang menjadi ukuran. Yang penting ialah hati budi. Selagi mereka ingat dan sayangkan saya, saya juga turut begitu.

Semoga setiap hari di masa depan, akan ada lagi teman-teman yang baru, yang akan menjadi teman setia. Insya-Allah.

Sesungguhnya, panggilan dari jauh itu menceriakan saya yang sedang kerinduan...

Thursday, October 08, 2009

Berilah Semangat...



Kadang-kadang dalam hidup ini kita perlukan teman yang rajin memberi semangat kepada kita. Kata-kata semangat, fikiran yang positif, dorongan dan sokongan... bukan kata-kata yang boleh melemahkan semangat kita. Kalau kita mempunyai teman atau kenalan yang suka melemahkan semangat kita, elok kita jauhkan. Kerana teman yang suka buat begitu kepada kita sebenarnya mahu melihat kita jadi orang yang lemah, bukan gagah.

Sebagai penulis, kita perlukan teman-teman yang rajin meluahkan kata-kata semangat kepada kita. Sebagai manusia biasa, tentu kita tak dapat memenuhi permintaan semua orang, namun kita buat apa yang kita rasa terbaik buat kita. Memang tidak mudah untuk puaskan hati semua orang, tetapi kalau ramai yang berpuas hati dengan usaha kita, jangan bimbang. Itu bermakna kerja kita okey. Pedulikan kepada mereka yang berasakan yang usaha kita tak sebaik mana. Memang manusia begitu. Ada yang suka cari kesalahan. Ada yang hanya pentingkan diri mereka sahaja, apa-apa yang orang lain buat yang tidak memenuhi selera mereka, itu bermakna usaha itu tidak elok. Tidak mencapai standard yang ditetapkannya.

Sebagai penulis, kita mempunyai keluasan fikiran untuk menulis. Jangan biarkan orang lain mengepung hidup kita. Mengecilkan skop kita untuk menulis. Kita harus bijak mencari kelainan dan jangan biarkan mereka yang tak suka pada kelainan, merasuk dan merosakkan cara kita. Memang ada di luar sana yang suka mengecil-ngecilkan kebolehan kita dan dengan itu melemahkan semangat kita untuk menulis.

Kalau ada orang yang cuba buat begitu kepada kita, biarkan sahaja. Kita teruskan usaha, buat yang terbaik, percaya pada diri sendiri dan yakinlah... kita boleh lakukannya! Insya-Allah.

Berilah semangat...

Setiap Saat Hidupku...


Setiap hari, beginilah hidup kita. Ada ketika, semuanya indah belaka, dan ada kala, macam-macam yang datang membebankan perasaan. Namun, itulah sebuah kehidupan. Setiap dugaan yang datang, ia adalah satu 'moment' yang terjadi mungkin ketika ia berlaku, kita tidak melihat akan hikmahnya. Mungkin suatu hari nanti, kita akan tersedar dan tahu mengapa ia sebenarnya berlaku. Tuhan yang maha mengetahui.

Setiap apa yang terjadi, ada sebabnya. Itulah keindahan sebuah kehidupan. Sama ada kita sedang berada di atas atau di bawah, tak ada apa-apa yang berlaku itu tiada harganya. Tuhan mengizinkan kita untuk merasa, segala rasa yang ada. Yang cantik, yang buruk, yang sedap, yang tawar, yang pahit, yang sihat dan yang sakit. Tidak pernah sama. Kalau setiap hari itu sama saja, bayangkanlah... kita akan merana dan sengsara, kerana hidup menjadi bosan. Tuhan mengerti hamba-Nya. Bersyukurlah selagi kita masih bernafas, selagi kita terasa sihat dan masih berpeluang untuk menikmati kehidupan.

Setiap dugaan yang datang itu, sebenarnya akan mendekatkan kita kepada-Nya. Bayangkanlah kalau tiada apa-apa yang menggugat hidup kita, mungkin Tuhan pun kita lupa. Kerana Dia sayangkan kitalah, maka akan datang pelbagai rintangan untuk mengejutkan kita. Sayangilah Dia seperti mana Dia menyayangi kita. Tak sedetik pun Dia terlupakan kita. Tak sesaat pun Dia tiada bersama kita. Hargailah setiap masa yang kita ada,semoga setiap rasa yang datang, kita akan rasa keindahannya.


*ps: malam tadi suami saya sudah pun belayar. Semoga selamat pergi dan selamat kembali.

Wednesday, October 07, 2009

Janji dan Cemburu



Kami sama sahaja. Aku dan dia. Bagaikan kembar. Padahal dia dan aku, kami mempunyai ibu dan ayah yang berlainan, mungkin kerana ibu kami adik beradik, kami kelihatan sama sahaja. Namun, sama tetap tak serupa. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Kami pernah berjanji, sejak kecil lagi. Kami akan menjadi kawan baik sehingga akhir hayat nanti. Kami saling sayang-menyayangi, saling lindung-melindungi.

Tetapi... kenapa tiba-tiba sahaja kami berubah hati? kerana salah seorang daripada kami sudah ada kekasih hati? yang seorang lagi, carilah...

Kami sekadar manusia sahaja. Kami bukan malaikat. Janji yang pernah kami aturkan itu, tak dapat kami tepati. Cemburu pula yang mula menjenguk di hati. Dia cemburu pada aku dan aku pula cemburu padanya. Mula-mula dia memarahiku, bagaikan semuanya tak kena, kemudian aku pula menyampah padanya, bagaikan dialah musuh ketat ku. Semua kerana perasaan cemburu.

Tiba-tiba simpatiku datang kepadanya... aku sedar sebenarnya dia ingin melindungiku. Kerana itu, aku menyerahkan kasih ku kepadanya, agar gundah gulana yang terpahat pada dirinya, dibuang pergi. Ambillah kekasihku ini, kerana sebenarnya, dialah kekasihmu.

Aku tepati janjiku...biarlah aku makan hati, asal aku dan dia tetap rapat seperti dulu.

Sebuah cerita pendek.

Tuesday, October 06, 2009

Kerinduan



Esok lusa, cik abang saya akan ke luar negara lagi. Katanya selama lapan hari. Walaupun dah lama kami berkahwin, namun perpisahan seperti ini tetap terasa juga. Malah dalam usia yang matang, kami tetap seperti biasa juga, tak pernah ada perbezaan, Alhamdulillah.

Saya memang tak bercadang untuk mengikutnya kerana dia ada tugas dan saya juga mempunyai kerja yang belum selesai lagi. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya, selepas berpuluh-puluh tahun kahwin, tak rasa jemu ke?

Alhamdulillah, tak ada pula rasa begitu. Tak pernah sekalipun terasa jemu. Mungkin kami ada aktiviti masing-masing dan kerana itu kami hidup tidak mengongkong antara satu sama lain. Saya ada kawan, dia juga begitu. Bila rasa nak jumpa kawan, kami pun berjumpalah.

Kadang-kadang, kami keluar bersama-sama, macam orang sekarang berdating. Kami pergi jalan-jalan, lepas tu makan berdua-duan. Kalau kami berdua, biasanya dia akan cari tempat yang istimewa. Tempat yang dia tahu saya suka.

Tentunya, bila dia tak ada, saya akan kerinduan.

Monday, October 05, 2009

Foto dan Memori Lama



Hujung minggu yang sibuk. Hari Sabtu, kami ke majlis perkahwinan anak seorang saudara yang terletak tidak jauh dari tempat kami. Selepas itu, sibuk pula di rumah kami sebab anak bongsu kami (Nabil) membawa teman sekolahnya berhari raya. Lebih 40 orang (Budak sekarang semuanya semangat2). Lepas tu pula,kakak saya dari Muar datang dengan anak dan isterinya, dan cucu sulungnya sekali. Datang pula bapa saudara-bapa saudara saya, satu dari Johor dan satu dari Kedah. Masing-masing datang dengan anak-cucu. Riuh rendahlah rumah saya. Emak saya pula, tersenyum lebar... seronok.

Ramai yang sibuk pula bertanya, nak jumpa isteri Irfan. Faiz dan isteri dah ada di rumah kami semasa itu. Saya pun kelam-kabut suruh Irfan datang cepat-cepat. Kemudiannya, kawan-kawan Irfan pula datang. Memang meriah. Dalam kesibukan itu, sempat pula saya dan suami ke rumah jiran yang buat open house.

Hari Ahad pula, awal pagi kami semua dah keluar rumah, mengarah ke Gombak, ke rumah adik-adik saya. Seketikanya pula kami sempat ke Janda Baik, meninjau-ninjau. Semasa di rumah adik saya, sempat kami melihat album foto lama. Nostalgia sungguh.Bayangkanlah...gambar semasa saya masih 16 tahun. Ada masa saya kanak-kanak lagi. Gambar masa saya anak dara... anak-anak saya panggil 'Bobby' watak utama sebuah filem Hindustan.Orang-orang lama tahulah pasal filem tu. Saya teringat lagi, walaupun saya ni bukan kaki tengok wayang (tambah pulak cerita Hindustan), tapi entah macam mana, saya pergi tonton cerita Hindustan tu... sebaik sahaja tamat dan keluar panggung, adalah mamat-mamat tempat saya tu menjerit-jerit, dia kata, "Bobby keluar panggung!" saya pun tengoklah, rupa-rupanya dia kata saya. Itulah melekat nama'bobby'... kelakar sungguh.

Lama kami berbual-bual bercerita tentang kisah-kisah lama, termasuk kisah adik-adik lelaki saya yang ketika itu nakal-nakal belaka. Selain daripada anak-anak saya,anak-anak saudara saya semuanya ada. Kami sempat juga berskype dengan seorang anak saudara (anak lelaki adik saya) yang berada di California (masih belajar). Sesekali, berkumpul begitu memang menyeronokkan!

Dalam entri ini, saya letakkan gambar menantu saya (isteri Irfan, Natasha atau Natalia dan anak dara saya, Laila Hana), dan juga foto bunga-bunga yang saya rakamkan. Gambar bunga ini saya yang ambil sendiri, di sudut taman rumah saya. Cantik tak?

Friday, October 02, 2009

Indahnya Duniaku



Sebagai penulis, saya mempunyai dunia saya sendiri. Dunia inilah yang mampu menjauhkan saya dari pelbagai rasa yang kadang-kadang mungkin tak berapa indah di dunia nyata. Inilah tempat yang saya pergi. Kalau membaca novel berupaya membawa pembaca kepada suatu dunia 'escapism', begitulah juga buat penulis seperti saya. Pengalaman menulis lebih banyak yang indah daripada yang tidak. Alhamdulillah. Perasaan ini juga mampu membuat saya menghayati kehidupan dengan lebih bermakna. Alhamdulillah. Semoga Allah SWT memberi saya kekuatan untuk terus menulis.

Thursday, October 01, 2009

Seronok Ke Bermain SMS?



Banyak sangat saya baca tentang trend orang sekarang yang suka berSMS sana sini. SMS cinta pulak tu. Dah tu, yang main-main cinta ni, orang yang dah kahwin. Mungkin inilah tak eloknya tentang handphone yang diguna oleh orang-orang hari ini. Ramai yang salah guna alat canggih ini. Telefon bimbit dah jadi satu alat yang mesti ada pada setiap individu. Ada tu, macam boleh jadi gila atau mati kalau tak ada handphone. Peliknya.

Paling takut, apabila suami atau isteri terasa bosan dengan pasangan masing-masing. Alat inilah yang dijadikan untuk berkomunikasi dengan orang lain. Kalau isteri, dengan lelaki lain, kalau suami, dengan perempuan lain. Dah jadi satu penyakit. Mungkin lagi pantas merebaknya daripada H1N1. Kenapa ya?

Mungkin ramai yang terasa bosan dengan hidup. Bosan dengan pasangan? atau saja-saja cari keseronokan. Malangnya, penyakit ini boleh merosakkan. Kalau isteri yang bercintan-cintun begini, tentulah isteri berdosa kepada suami, sekalipun mungkin tak bertemu atau tak melakukan apa-apa dengan orang lain. Tetapi hatinya sudah lari ke tempat lain. Inilah yang berbahayanya.

Ada orang memang suka sangat berSMS sana sini, tak peduli dan tak kisah dengan siapa. Janji dapat berSMS. Masa bawa kereta pun sibuk nak berSMS... berlanggar pun tak apa! Dia tak suka call, sebab katanya rugi dan lagi, dengar suara tak best. Best lagi tengok perkataan pada skrin. Nanti boleh baca balik, berulang-ulang kali. Aduhai... memang satu tabiat yang tak baik.

Kalau ada yang terasa bosan, kenapa tak bermain SMS dengan suami atau isteri sendiri? kenapa tak berlaku romantik dengan pasangan sendiri? ada macam-macam strategi yang boleh kita aturkan untuk buat begini. Tetapi elok kalau kita fikirkan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Bukan main hentam saja asal terasa diri bahagia.

Memang banyak sangat kes rumah tangga yang hancur hanya kerana penyakit gila 'SMS' ini. Kalau kita tengok, budak-budak sekolah sudah ada handphone dan awal-awal lagi sudah seronok main SMS dengan kawan-kawan mereka. Pada hal di sekolah dah jumpa dah kawannya tadi, tapi sebab seronok berSMS punya pasal, tak kisahlah. SMS lagi dan lagi. Perbuatan ini mungkin akan berterusan sampai bila-bila. Bila dah kahwin, penyakit tu tak boleh ditepis lagi. Entahlah... wallahua'lam.