Assalam.
Ramai yang nak tahu apa komen saya tentang drama-drama yang diadaptasi dari novel-novel saya. Bunga-Bunga Kemboja dan Selamat Malam Kekasih.
Seperti yang anda semua sedia maklum, walaupun saya yang tulis skrip untuk semua drama-drama yang diadaptasi dari novel-novel saya, tidak semua yang ada dalam novel dapat saya letakkan dalam skrip. Misalnya dalam drama SMK, bahagian di Padang dan Bukit Tinggi Indonesia dalam novel terpaksa saya ubah dan tukar. Tapi saya pastikan jalan cerita tidak terjejas. Bagi saya, yang penting ialah jalan cerita. Kemudian barulah pelakon-pelakon dan sebagainya. Kalau ceritanya diubah, maka hilanglah seni dalam novel dan originalitinya.
Alhamdulillah, walaupun drama SMK mungkin ramai yang tak sedar tentangnya yang disiarkan di TV Al Hijrah, tetapi saya percaya ramai juga yang sudah 'follow'. Setakat ini, saya berpuas hati dengan gandingan Aidil Aziz dan Anis Al Idrus, walaupun kedua-duanya bukan pelakon yang 'popular', tetapi mereka mampu membawa watak 'Misyal dan Maya' dengan cemerlang. Malah, kadang-kadang saya percaya yang Aidil itu memang the 'right' Misyal. Saya suka cara Aidil membawa dirinya sebagai Misyal. Dia sangat komited dan pertama kali saya jumpa dengan dia, Aidil berjanji untuk lakonkan watak 'Misyal' dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah. Anis juga (walaupun menggantikan watak utama yang ditinggalkan oleh pelakon sebelum ini) mampu berlakon sebagai Maya. Mungkin itulah hikmahnya bila produser terpaksa mencari pengganti untuk watak itu. Saya masih ingat macam mana produser saya panik dan sedih dan saya kata kepadanya, "Mesti ada hikmahnya". Untuk makluman anda, Anis Al Idrus memang bertudung (dulu2 tidak). Mungkin ada dua tiga watak (yang tak penting) yang rasa rasa macam tak berapa sesuai dalam SMK ini, tetapi saya tak kisah sangat, sebab saya pun tak mengharapkan kesempurnaan dalam apa jua pembikinan filem atau drama di negara kita ini.
Walaupun SMK hanya ditayangkan di TV Al Hijrah, saya sangat bersyukur kerana sambutannya masih okey. Tetapi yang penting, sebagai penulis, saya tidak terlibat dengan sebarang lakonan-lakonan yang menyakitkan mata atau hati. Tentang BBK, saya akan sambung esok, in syaa Allah. Wallahuaklam.