Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, October 19, 2011

Tak Usah Bimbang Kalau Jatuh Pun



Salam semua

Semoga di pagi yang Rabu ini membawa keceriaan kepada anda semua.

Pagi ini, saya ingin maklumkan kepada anda bahawa antara entri-entri saya yang paling popular dibaca oleh pengujung blog saya ialah tentang 'Panggilan nama buat yang tersayang atau kekasih', 'Kenapa ada isteri yang curang?', 'Bosan dengan Si Dia atau suami sendiri,' 'Malam Pertama', 'Hentam Kawan di Facebook'... okeylah, kadang-kadang entri pupular ini berubah-ubah, mungkin bergantung pada keadaan. Huhu... namun, saya perhatikan banyak orang yang selalu mencari tajuk-tajuk yang mungkin ada kaitan dengan diri mereka.

Suka juga saya maklumkan bahawa semua anak-anak saya sudah pun berada di Malaysia... kalut juga bila mereka tak ada. Maklumlah, bila yang lelaki tiada di rumah, yang perempuan kelam-kabut menguruskan keluarga. Alhamdulillah, semuanya okey-okey. Banyak juga cerita tentang dunia buku yang dibawa kembali untuk dikongsi bersama kami. Almaklumlah, Pesta Buku Frankfurt memberi pendedahan tentang pergerakan bisnes buku secara global.

Saya akan ceritakan di entri yang lain selepas mendapatkan gambaran yang lebih lengkap, insya-Allah.

Pagi ini, saya ingin bercerita tentang 'Kejatuhan' atau mungkin  apa yang boleh kita gambarkan sebagai 'Kemusnahan' atau 'Kerosakan' atau 'Bad Experience'... huhu... cakap Melayulah... 'Pengalaman yang Tak Elok'. Semalam saya menonton sebuah program yang mengisahkan seorang penulis terkemuka di Amerika Syarikat, bagaimana banyak perkara mengubah hidupnya setelah dia mengalami satu 'Pengalaman yang buruk'.

Kita selalu mengelak dari berlakunya sesuatu yang tak elok dalam hidup kita. Malah, kita benci kalau terpaksa melalui apa-apa yang memalukan, menyakitkan... perkara-perkara ini mampu membuat kita meminggirkan diri, atau mungkin membuat kita berada dalam keadaan yang 'down' atau 'kemurungan'. Kita payah nak berdepan dengan 'kejatuhan' kerana kita beranggapan bahawa kejatuhan akan merosakkan hidup dan masa depan kita.

Seperti cerita Si Kambing yang saya ceritakan di entri sebelum ini, kadang-kadang pengalaman yang pedih itu mampu mengubah hidup kita. Percayalah cakap saya ini, kadang-kadang (mungkin sering juga) apa-apa yang tak elok yang terpaksa kita lalui itu, sebenarnya sedang mengajar kita untuk lakukan sesuatu yang positif dalam hidup. Sebab itulah dikatakan bahawa 'pengalaman' itu adalah satu ilmu yang tak dapat kita bandingkan dengan wang ringgit.

Apabila kita membuat kesilapan dalam hidup, janganlah kita cepat putus asa. Kadang-kadang kita tak sedar pun kenapa kita terpaksa lalui kesukaran seperti itu. Sebenarnya, dalam banyak kes, kesilapan, kesukaran, kerumitan dan semua yang seangkatan dengannya, akan membuat kita lebih matang, akan menyedarkan kita dan mungkin juga akan membuat kita mengubah sikap kita, dan juga apa-apa yang relevan dalam hidup kita. Namun, sekiranya kita biarkan diri terbelenggu dengan 'Kejatuhan' dalam hidup kita dan terus biarkan pengalaman itu berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk memperbaikinya, maka kita akan terus berada dalam 'kegelapan'. Nauzubillah.

Sebab  itulah kita kena tahu sejarah (walaupun bukan semua kisah yang dipaparkan itu mempunyai fakta yang tepat). Dalam Al-Quran, Tuhan menceritakan kisah-kisah yang berlaku di zaman Nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW, untuk menceritakan pengalaman Nabi-Nabi berkenaan, agar umat alam ini sedar dan faham akan Kebesaran Allah SWT.

Insya-Allah, kalau kita melakukan kesilapan, atau sedang dalam keadaan 'kejatuhan', atau sedang berdepan dengan 'masalah', janganlah kita asyik duduk termenung dan fikir yang bukan-bukan. Carilah jalan untuk mengatasi semua yang negatif itu, insya-Allah, orang yang berusaha keras untuk ubahkan nasibnya akan bertemu dengan 'penyelesaian'.