Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, September 30, 2010

Sibuk Aje!


Isy sibuk aje! Suka hati akulah nak kahwin ke tidak. Kau orang susah apa? kau orang ingat senang ke nak dapat suami yang baik-baik? Yang macam malaun tu memanglah banyak! takkan nak suruh aku cari yang pemalas, yang tak nak buat apa-apa tu? biar aku bujang macam ni, tak apa.

Aku tahu, ahli keluarga aku runsing kerana aku tak kahwin-kahwin. Kata emak aku, kalau duit banyak pun tak guna kalau tak ada keluarga sendiri. Iya ke? Mak aku kata lagi, kalau aku mati, siapa yang nak wariskan harta aku ni? bukannya mati boleh bawak masuk kubur.

Eleh, mak aku ni... memanglah tak boleh masuk kubur. Tapi, keluarga pun tak boleh masuk kubur apa. Aku jugak yang masuk kubur sorang-sorang. Itu... bila aku matilah.

Tapi... kalau kahwin dapat suami yang tak boleh pakai, ingat senang ke? baik panjang umur, terus jadi pendek umur. Baik sihat, terus jadi semput dan sakit. Sakit badan tak apa lagi, tapi kalau aku sakit jiwa, macam mana?

Alah, lantak akulah nak kahwin ke tidak! kau orang semua susah apa? kalau sunyi, aku yang rasa sunyi, bukan kau orang pun. Macamlah kau orang yang kahwin tu happy sangat. Aku tahu, kau orang buat-buat macam happy, sebenarnya tak happy pun.

Aku cari duit untuk diri aku apa. Aku nak pakai cantik ke, aku nak berjalan ke, nak makan mewah ke, suka hati akulah. Kau orang sakit apa? Saja kau orang nak suruh aku kahwin supaya apa yang aku ada ni nanti habis pergi pada orang-orang yang tak guna tu! mana tahu aku boleh dapat suami yang baik? Aku tak nampak pun siapa-siapa yang kahwin dengan lelaki yang hebat, yang rajin, yang baik hati, yang sanggup buat apa saja untuk isteri. Yang berlambak aku tengok, yang suka lepak kat kedai kopi! yang itu banyaklah, yang rajin tengok bola kat skrin besar, yang rajin duduk kat luar dari balik rumah, yang rajin buang masa hisap rokok dengan kawan-kawan. Yang pantang tengok perempuan lalu kat depan. Yang bercita-cita nak kahwin dua tiga, sedangkan satu pun tak terjaga! Yang itu memang sah berlambak!

Ah, aku memang tak hendak!

Biarlah aku begini, buat apa pun, ikut suka hati. Tak ada siapa yang nak marah dan nak kawal. Aku tetap bahagia walaupun kadang-kadang aku terasa sunyi. Tapi... bila sunyi, aku bacalah buku, aku tengoklah tv, aku telefonlah kawan-kawan yang macam aku ni. Mana ada susah?!

Jadi... kau orang semua tak payah sibuk-sibuk!


*** Cerita pendek lagi.

Wednesday, September 29, 2010

Aku Orang Kampung



Aku memang orang kampung, Zan. Buat macam mana pun aku tetap orang kampung. Aku bangga jadi orang kampung walaupun kini hidupku dah berubah. Rumah aku dah besar, kereta pun banyak, makan pun aku dah pandai makan keju dan mentega. Aku pandai makan fish and chips, tapi aku tetap suka makan ikan patin masak lemak cili padi. Tekak aku masih tekak kampung, Zan.

Aku tak suka berlakon dan buat-buat macam aku dah jadi elit. Aku tak kisah pun kalau orang rasa aku masih kampung, sebab semangat kampung aku memang kuat. Nak buat macam mana, Zan? tapi salah ke aku kalau itu yang aku rasakan, nak kekal orang kampung? Takkan salah kot? Kalau orang nak mengata aku, Zan, katalah... aku tak kisah.

Aku tak pandai nak beretika macam elit. Aku tak pandai nak bergaya macam 'Mak datin-mak datin', aku tak pandai nak pakai barang-barang eksklusif, barang-barang yang mahal dan branded. Aku pakai baju biasa-biasa aje, beg tangan pun harga biasa-biasa aje. Kasut aku pun tak ada nama. Bukan Jimmy Choo, bukan YSL, bukan Bally... aku pakai kasut biasa-biasa je, asal cantik dan berkenan aku belilah.

Aku tahu, Zan... bila aku duduk berbual dengan dia orang semua, mata dia orang tengok pada baju aku, tengok pada kasut aku, tengok pada beg tangan aku. Memang beg aku bukan LV, bukan Coach, bukan, bukan, bukan... aku tak tahu nak pakai semua tu.

Aku tak pakai pun cicin batu solitaire yang berkarat-karat tu, aku pakai cincin murah aje. Tapi... salah ke aku, Zan?

Aku seronok jadi diri aku yang sebenar dan inilah aku, Zan. Aku memang orang kampung, dari dulu sampailah sekarang. Kau tengoklah rumah aku, Zan... memang macam rumah orang kampung, kan? Aku duduk di bandar tapi aku maintain stail orang kampung sebab aku suka jadi orang kampung. Itulah aku, Zan.


*** SATU lagi cerita sangat pendek buat hiburan anda semua. Semoga sukses selalu, insya-Allah.

Tuesday, September 28, 2010

Kau Dah Tak Ada Lagi


Aku tahu, Ana... kau dah tak ada lagi. Takkanlah aku nak aibkan kau. Apa yang kau cerita pada aku selama hari ini, aku jadikan rahsia kita berdua. Aku tak sampai hati, Ana. Kau kan kawan baik aku?

Aku tak macam Izzah. Izzah sanggup bukakkan pekung kau. Aku tahu dia tak ikhlas kawan dengan kau. Dari dulu lagi aku tahu, Ana, tapi kau tak pernah pun percaya cakap aku ni. Memanglah dia nampak macam baik, mungkin nampak lagi baik daripada aku ni. Tapi... dari dulu lagi aku tahu, antara dia dan aku, memang aku lagi ikhlas berkawan dengan kau. Kau dah tak ada di dunia ni pun aku tetap hormatkan kau. Aku jaga aib kau. Aku tahu kau mesti kecewa kalau aku cerita kisah hidup kau pada orang awam.

Aku tak macam Izzah. Aku tak tahu kenapa Izzah buat macam ni pada kau. Mungkin dia nak orang lain tahu yang kau memang kawan baik dia agaknya. Tapi... aku pun kawan baik kau jugak, tapi aku tak pulak bukak cerita kau. Aku tak mahu orang tahu apa yang ada kat hati kau selama ini. Aku kesiankan kau, Ana. Kau dah tak ada lagi, macam mana kau nak bela diri kau nanti?

Izzah memang tak kisah. Agaknya dia memang seronok ceritakan kisah kau biar semua orang tahu. Dia nak cari publisiti murahan agaknya. Mujurlah aku tak macam dia, Ana. Bukannya tak ada wartawan mencari aku, cuma aku saja yang melarikan diri. Aku tak akan cerita apa-apa tentang kau. Aku nak kau tenang kat alam barzakh. Aku nak kau tahu yang aku masih setia jadi kawan kau sekalipun kau dah tak ada lagi.


*** SATU lagi cerita pendek buat santapan pembaca-pembaca blog saya. Semoga kita sama-sama renungkanlah.

PS: Cilok gambar dari Yahoo

Monday, September 27, 2010

Aku Tak Hebat Macam Dia


Dulu dia memang baik dengan aku. Tiba-tiba dia dah tak baik dah. Tapi, aku pun taklah hairan sangat. Dia pernah buat macam tu pada aku. Aku dah tak kisah dah, nak buat macam mana kalau dia dah tak suka kat aku ni.

Yalah, dia rasa aku ni bukannya penting sangat pun. Aku penting buat dia bila dia memerlukan saja. Kalau tak, aku ni tak ada apa-apa pun untuk dia, memang tak ada makna. Maklumlah, antara dia dengan aku, dia rasa dia lagi tahu pasal agama dan mungkin sebab tu dia rasa dia lagi sempurna. Maklumlah, dia tak putus-putus berguru. Ke sana ke mari untuk timba ilmu. Aku ni... ah, memang tak ada apa-apalah! Bagi mata dia, aku ni orang yang jahil, yang tak bijak macam dia.

Weh, aku teringat jugak masa dulu-dulu tu, rasa-rasa aku dia lagi jahil daripada aku! setidak-tidaknya aku dari dulu lagi dah memang tak tinggal solat. Dia, rasa aku, tak pulak macam tu. Aku tak pernah lupa pada Tuhan walaupun aku tak adalah macam dia, asyik menimba ilmu agama. Aku teringat juga, masa dulu-dulu, dia kaki minum. Aku... tak pulak macam tu. Aku tak pernah pun cuba, tak teringin pun. Tapi sekarang ni, dia rasa dia ada hak untuk merendah-rendahkan aku. Dia rasa dia dah dekat dengan pintu syurga sebabkan ilmu yang dia ada di dada. Yalah, aku pun tak nafikan yang dia mungkin lagi hebat, itu dari segi pungut ilmulah.

Tapi... aku masih tak tahu sama ada dia betul-betul amal tak ilmu yang ada tu. Aku perhatikan juga tingkahnya. Aku rasa dia memang dah rajin solat, tapi... ah, dia masih tak urus tanggungjawab dia macam yang sepatutnya. Walaupun aku tak hebat macam dia, tapi aku jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang ayah. Aku pastikan anak isteri aku diberi makan, diberi pakai, diberi tempat tinggal. Aku curahkan kasih sayang pada anak-anak aku, juga isteri aku. Setiap hari, aku akan ada di rumah setelah pulang dari tempat kerja. Tapi dia... aku rasa tak macam tu.

Eh, siapa yang betul ni? dia ke aku? kalau dia betul, kenapa dia macam tu? Dia lagi banyak ilmu daripada aku, tapi aku rasa dia tak mengamalkan seperti yang sepatutnya. Yalah, mungkin dia orang berilmu, dia boleh buat sesuka hati dan tak ada orang yang nak tegur sebab orang semua sangka apa yang dia buat tu memang dah betul. Cuma aku aje yang rasa apa dia buat tu memang tak betul!

Yalah, bukan aku kenal dia hari ni aje, aku kenal dia dari dulu lagi. Masa dia bujang aku dah tahu dia. Sama-sama kami bujang. Sama-sama kami berkawan. Malah, masa dia susah, berkali-kali aku tolong dia. Yalah, tu masa dia susah, dia memanglah baik dengan aku. Orang susah memang macam tu, selalu mencari kawan. Macam anjing bila tersepit. Sekarang dia rasa dia dah senang, sebab tu lah aku dah tak penting lagi. Dia rasa dia dah okey, dah tu dah banyak pulak ilmu, mestilah tak sesuai kenal dengan aku.

Bagi mata dia, aku ni orang jahil, mestilah tak sesuai berkawan dengan dia. Aku tak hebat macam dia!



***OKEYLAH... sekali lagi saya menulis cerita pendek. Saja suka-suka, nak ubah cara pula.Saja buat cerita ringan, semoga pembaca blog terhibur jua.

Hujung minggu yang sibuk sampaikan tak sempat nak update blog. Insya-Allah, esok saya akan cerita lagi.

Friday, September 24, 2010

Nostalgia dan Drama



Saya dah banyak kali melancong dan berjalan-jalan, di dalam negara dan juga luar negara. Ada tempat-tempat tertentu, memang saya susah nak lupakan. Misalnya istana Al Hambra di Granada, Sepanyol. Istana itu merupakan antara latar di dalam novel pertama saya, SESUCI CINTA. Di situlah Armand bertemu kembali dengan Nuraina. Saya pergi ke sana dah lama dah, tapi lambaian istana itu sentiasa memanggil saya. Insya-Allah, saya akan ke sana lagi bila ada waktu, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.

Satu lagi tempat yang sering menjadi igauan saya ialah Heyd Al Jazeel, sebuah resort yang terletak di pergunungan Hadramaut di Yemen. Bagi saya, ia merupakan tempat yang amat memukaukan. Tempat ini saya lakarkan dalam novel saya, MATAHARIKU. Di situ juga Eyyad bertemu dengan Syakira...

Semalam, salah seorang daripada pelajar Yemen yang sentiasa menghubungi saya, Ali Sulaiman, telah maklumkan bahawa dia sudah pun tamat belajar dan akan pulang ke Hadramaut dan memegang jawatan sebagai manager di Heyd Al Jazeel. Aduhai... saya dengar berita itu, terus rasa macam nak terbang ke sana. Kalaulah ada sayap, mesti dah sampai. Apa pun, saya berdoa agar Tuhan izinkan saya untuk kembali melihat tempat yang menakjubkan itu. Insya-Allah. Kalau banyak duit, bolehlah saya ajak anak-anak saya semua untuk ke sana juga. Memang tempat itu sangat unik.

Saya juga telah dimaklumkan semalam oleh pihak KarnaDya, yang mendapat berita daripada pihak penerbit drama Kau Laksana Bulan bahawa hits penonton drama itu telah berjaya mencapai 1.2 juta (di Lembah Klang) pada episod yang terakhir. Alhamdulillah... banyak betul penggemarnya. Secara serius, saya tak pernah mengharapkan apa-apa, cuma berdoa biarlah penonton tidak sakit hati bila melihat drama itu. Adalah ura-ura, bertanya sama ada saya nak sambung KLB tu. Saya bukannya tak suka, cuma takut nak main sambung-sambung ni... takut tak kena gaya. Apa kata pembaca-pembaca saya semua?

Kalau kita tengok drama yang baru tak nak, ke? itulah cadang saya. Insya-Allah, saya sedang fikirkan untuk adaptasikan lagi novel-novel saya kepada drama bersiri. Apa pun, selain dari skrip, kerja pengarah dan pelakon-pelakon sangat membantu untuk membuatkan drama itu menarik. Malah, muzik latarnya juga berperanan. Yang penting ialah moral dan mesej yang hendak disampaikan... biarlah merupakan sesuatu yang akan memberi motivasi kepada penonton-penonton. Insya-Allah.

PS: saya ada juga memjenguk facebook Zul Huzaimy... wah memang banyak supporters dia yang tergila-gilakan watak Zul sebagai Firas Ali!

Thursday, September 23, 2010

Nak Cepat Kaya



Bila kita tengok orang lain kaya, kita pun rasa nak kaya sama. Kalau boleh, serta-merta kita pun nak jadi kaya. Kalau boleh, apa cara sekalipun kita nak cuba asal saja cepat-cepat jadi kaya. Bertambah terasa nak kaya bila kita duduk dekat orang-orang yang kita rasa kaya.

Memang tak salah kalau terasa nak kaya. Malah, baguslah tu kerana dalam Islam pun, Tuhan dah suruh kita sebagai manusia biar rajin bekerja seolah-olah kita akan hidup buat selama-lamanya. Tapi, dalam hal ini, kita kenalah kerja kuat dan rajin berusaha. Jangan harap nak kaya atas angin sahaja. Masalah besar masyarakat hari ini, ialah nak cepat kaya tapi dengan cara yang mudah. Tak kisah kalau duit itu dibuat cara yang tak halal, janji cepat kaya.

Bagi mereka yang tak ambil berat tentang agama, mungkin mereka rasa okey kalau dapat duit cara tak baik sekalipun! tapi... percayalah, kalau duit tu datang dengan cara yang kotor, hilang pun senang aje. Makin susah kerana kita hidup dengan duit yang begitu akan ditimpa kesusahan sepanjang waktu, cuma kita aje yang tak tahu. Wallahu'alam.

Okey kalau nak jadi kaya, asal kita buat dengan cara yang betul dan pastikan kita salurkan duit kita kepada cara yang betul juga. Sentiasa bayar zakat.

Ramai yang lupa, bila makan gaji, kita buat sesuka hati sebab kita rasa syarikat itu bukan hak kita. Dari situ lagi, kita dah buat kerja tak betul, jadi bila kita buat kerja sendiri, kita rasa nak cepat kaya, itulah yang payah nak senang, sebab dari asal lagi kita dah tunjuk belang. wallahua'alam.

Apa pun, berjaga-jagalah dalam hal nak mencari kesenangan. Janganlah kita menipu diri sendiri. Janganlah kita buat-buat 'alim', tapi pada realitinya kita buat kerja yang tak halal. Suka ponteng, suka buat 'short cut', curi tulang, curi maklumat, tipu sana-sini,... lepas tu mengaku yang kita buat semua ni kerana Tuhan kita. Nauzubillah.

Sama-samalah kita ingatkan diri agar kita buat kerja dengan penuh amanah. Tak kiralah makan gaji atau buat kerja sendiri, buatlah kerana Dia.

Wednesday, September 22, 2010

Novel Baru Lagi


Salam.

Pagi tadi memang tak sempat nak update blog sebab saya terpaksa keluar. Petang ni barulah free sikit.

Okeylah, saya dah pun siapkan manuskrip untuk novel besar yang ke sepuluh. Kalau buku, merupakan buku ke 17. Bagi saya, novel ini juga ada kelainannya. Kisah keluarga elit Kuala Lumpur, kisah status, kisah perbezaan antara manusia, kisah penipuan, kisah prinsip hidup, kisah 'riyak', kisah kasih-sayang antara ibu dan anak, anak dan bapa, kisah mengejar impian dan cita-cita, kisah sokongan dan semangat dan tentunya perasaan antara dua insan yang berbeza. Kalau tanya saya, saya akan katakan novel ini simple sahaja tetapi ada unsur Islami, humor dan romantis. Biasalah... kalau siapa yang kenal cara saya, ini merupakan cara saya juga.

Selalunya memang begini, saya akan teringat kepada watak-watak yang saya tulis, kelakuan mereka, lawak mereka... seolah-olah saya memang mengenali mereka. Huh! Apa pun, saya berharap agar pembaca-pembaca saya akan terima dengan baiknya.

Judul? Tunggulah ya. Sikit lagi akan keluar di website KarnaDya.

Sekarang ini, saya sibuk menulis skrip (TV dan filem). Saya juga sedang sibuk mencari bahan dan menulis sesuatu untuk e-book pertama saya.

Okeylah... dah petang dan tak banyak idea nak tulis kat blog ini. Oh, ya... salah seorang watak dalam novel baru saya suka juga tulis di blognya. Dan seorang lagi pula, suka menyanyi. Ada juga watak-watak 'bossy'.

Wassalam.

Tuesday, September 21, 2010

Kesian Sih


Kesian aku mendengar kisah dia. Tak boleh tersilap sikit, pasti tangan akan naik ke muka. Tak silap pun boleh kena apatah lagi bila buat silap. Jadi, siapa yang silap sebenarnya? dia ke atau suami dia?

"Suami kau tu pilihan siapa?" aku bertanya untuk kepastian.

"Pilihan aku lah."

"Dia memang baran dan kau tak tahu ke sebelum kahwin dulu?"

"Aku... aku... tahulah jugak. Tapi ingat aku bila dah kahwin dia akan berubah."

"Kau nak buat macam mana sekarang ni? sanggup bertahan ke?"

"Entahlah. Aku pun tak tahu. Aku memang tak cerita pun pada ibu bapa aku. Aku malu dan aku tak mahu dia orang tahu. Ina... walaupun dia macam tu, aku masih sayangkan dia."

"Entahlah, Min... aku tak tahu macam mana kau boleh sayang orang yang macam tu. Kaki pukul. Yang pasti kalau dia jenis suka pukul bini, memang dia bukan orang yang soleh. Kalau dia ada ilmu agama, dia tak akan buat macam tu. Dia buat kau macam binatang. Kau tengoklah diri kau, Min... kau mengandung empat bulan ni. Dia sanggup lempang kau lagi... jenis manusia apa laki kau ni?" Ina sememangnya tidak puas hati.

Okeylah... saja nak buat episod ni. Episod yang sangat biasa kita dengar sana sini. Saya kenal beberapa orang yang sudah melalui hidup yang macam ini, sampailah ke tua masih setia dengan suaminya walaupun tak putus-putus kena lempang terajang! Ada tu, suaminya berubah apabila ilmu agama di dada bertambah. Kalau terjadi begini, alhamdulillah. Semoga Tuhan limpahkan kesabaran buat kedua suami isteri.

Tetapi ada juga sampai ke tua masih macam tu jugak. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Mungkin si isteri sudah kebal dan lali, begitu juga suami, dah jadikan tabiat buruknya hobi sepanjang umur.

Apa pun, bagi mereka yang 'Terkahwin' dengan yang kaki baran dan suka pukul bini, nasihat saya supaya jangan suka 'provoke' suami yang begini. Itu pun kalau sanggup nak teruskan hubungan. Ada orang, kerana sayang, biar berlebam satu badan, tak apa, sih... janji tidak ditinggalkan suami.

Saya hanya boleh hulurkan rasa kesian sahaja. Nak kata apa lagi.

Monday, September 20, 2010

Lemang dan Topeng



Hujung minggu yang agak sibuk, maklumlah dalam musim raya lagi. Walaupun saya tak ke mana-mana kecuali rumah seorang jiran, tetapi ramai kaum kerabat yang datang, terutama anak-anak saudara dan sepupu yang datang menjenguk ibu saya. Seronok juga berjumpa dengan mereka semua. Bukan senang saja-saja nak jumpa, kan? maklumlah masing-masing duduk di tempat-tempat yang berjarak dari kita, dah tu masing-masing sibuk.

Sempat juga seorang sepupu bercerita. Rumah mereka tak jauh dari tempat saya, di sekitar Nilai juga. Sebelum itu, kami bercerita tentang harga lemang. Kalau dulu-dulu (mungkin sekitar lapan tahun yang lalu), harga lemang sebatang sekitar RM3.50 atau RM4.00. Tahun ini, payah nak jumpa lemang berharga kurang dari lapan ringgit sebatang. RM9 dan RM10 tu, biasa aje. Entah macam mana, sepupu kami bercerita yang pagi itu (pagi semalamlah), dia dapat lemang berharga RM2.00 aje! Kami pun macam tak percaya lah.

"Eh, masa kau pergi ke gerai lemang tu, kau pakai baju apa?" soal sepupu yang satu lagi.

"Aku pakai baju biasalah."

"Manalah tahu kot-kot muka kau nampak macam muka kesian."

Macam-macam teori yang keluar, membuat andaian macam mana sepupu kami tu dapat beli harga lemang yang baru dimasak, dengan harga semurah tu. Kami bertanya lagi.

"Kau beli berapa batang?"

"Sebatang."

Kami pakat gelak.

"Patutlah dia bagi harga murah. Dia memang kesian kat kau pun!" kata sepupu seorang lagi tu.

Yalah... takkan nak beli banyak. Dia suami isteri sahaja yang ada. Anak masih baby lagi, tak tahu makan lemang.

Sebelum itu, seorang sepupu yang lain datang juga ke rumah kami. Kami bualkan tentang hal bisnes (kebetulan dia juga merupakan akauntan sambilan kami) dan semasa bercerita, adalah kisah seorang teman yang disampaikan (bukan tujuan untuk mengaibkan tetapi sebagai teladan). Tidak disebutkan siapa pun orangnya, sekadar bercerita tentang 'topeng' yang dipakai temannya itu. Kata sepupu saya, temannya itu memang dari luar nampak sungguh warak, kerana berpakaian macam orang-orang alim, siap berserban atau kopiah, kadang-kadang berjubah. Dia juga rajin memberi ceramah agama dan sentiasa memberi nasihat kepada orang awam, tetapi malangnya dia juga mengamalkan kehidupan dua alam. Nauzubillah.

Mungkin ketika itu kami sedang bualkan tentang sesuatu yang ada kaitan dengan kepercayaan dan kejujuran. Memang payah untuk kita cari 'kejujuran' itu kerana terlalu ramai yang suka bertopeng hinggakan kita tak tahu sama ada orang itu betul-betul baik, jujur ataupun tidak.

"Mungkin kita kena berkawan dulu. Dah lama kenal barulah kita tahu sama ada orang itu betul-betul okey atau sekadar bertopeng sahaja!

Saturday, September 18, 2010

Hipokrasi


Ya, benar... maksudnya buat-buat baik! Mungkin kita dah biasa jumpa orang-orang yang macam ni. Dia tak baik tapi di depan orang lain, dia buat-buat baik. Kita yang percaya ni, akan terus percaya kepada tingkah hipokrasinya itu.

Mungkinkah kerana itu saya suka menulis. Saya berjumpa dengan macam-macam karakter, kerap kali juga dengan mereka yang suka berlakon (bukan pelakon profesional) dan kerapa kali juga terpedaya. Kadang-kadang jadi takut nak percaya pada sesiapa, takut terkena. Beginilah dunia.

Orang macam saya akan hanya mampu melakarkan sesuatu menerusi penulisan. Semalam, ketika saya menunggu kereta saya diservis, saya pun membacalah sebuah buku motivasi yang ditulis oleh pelabagi penulis di Amerika Syarikat. Saya membaca hati-hati mereka yang serupa macam saya. Masing-masing mempunyai sebab tersendiri mengapa mahu jadi penulis. Tapi... rata-rata, kita menulis cerita-cerita yang kita biasa lalui. Kita yang rasa sendiri, atau mungkin kita dengar, tetapi tentunya kita tahu. Kalau kita tulis sesuatu yang kita tak tahu, mungkin tak akan jadi 'real', jadi 'plastik' saja.

Ada orang menuduh orang-orang macam saya ni sekadar tulis benda-benda yang tak berfaedah. Hehe... tak tahulah yang berani cakap tu sebenarnya dah banyak tulis benda-benda yang berfaedah. Apa pun, saya akan terus menulis, insya-Allah. Saya ada niat dan ada janji... dan saya percaya bahawa saya akan buat apa yang saya mampu buat. Kita tidak sempurna tetapi kita ada daya kreativiti yang dinaugerahkan Ilahi. Kalau ada yang membaca karya saya dan dari situ terlintas di hatinya untuk lakukan sesuatu yang baik, bukankah itu satu perbuatan yang tidak sia-sia?

Insya-Allah... saya akan berdoa agar Tuhan berikan saya jalan untuk lakukan yang terbaik untuk mereka yang membaca karya-karya saya.

Saya tidak ingin menjadi hipokrit... konon-konon baik tapi sebenarnya tidak!

Thursday, September 16, 2010

Nak Cakap Jugak!

Tak kisahlah apa orang nak kata tapi saya nak cakap jugak, sebab memang saya tak puas hati. Apa yang sedang berlaku sekarang ini merupakan sesuatu yang sepatutnya buat mata-mata kita semua terbuka. Kalau tak buka juga, tak tahulah.

Soal yang mati satu halnya, soal pembunuhan satu cerita lagi, tapi yang mengerikan ialah kita tak tahu sama ada kita selamat atau tidak kerana tak tahu siapa lagi yang patut kita harapkan. Selamat ke tinggal di Nilai ni? selamat ke tinggal Di Puchong? Tinggal di Rawang okey ke, di Klang pun okey? Di mana-mana okey ke?

Kalau tidak kerana pembunuhan kes 'high profile', mungkin kita tak tahu pun ada ramai yang dah hilang dan dibunuh! Nauzubillah.

Tak ada orang buat kerja ke kalau dah ada yang buat laporan sebelum ini?

Sekarang ini kita kena mengaku perasaan yang paling mengerikan ialah bukan soal pembunuhan itu sangat tetapi apa yang sedang berlaku di negara kita ni. Kita kena soal kenapa agaknya banyak sangat kes jenayah di negara ini!

Tolonglah... jangan tutup mata lagi! Kalau kita terus buat-buat tak tahu, mungkin satu hari nanti akan turun lagi besar bala daripada ini! Nauzubillah.

Hari ini kita sambut hari Malaysia... tapi tak ke kita rasa malu dengan skandal yang ada ni?

Wednesday, September 15, 2010

Oisy! Takutnya.


Saya berfikir-fikir, tentu anda juga berfikir-fikir tentang kes-kes jenayah yang sedang bermaharajalela di negara kita ni. Dulu-dulu, tak adalah teruk macam ini, tetapi sekarang ini dah menjadi-jadi. Terlalu banyak kes hilang, lepas tu terus tak jumpa lagi. Entahkan hidup, entah kan dah mati... ibu bapa, kaum kerabat, teman, suami isteri dan kekasih tak akan tahu.

Kita bertanya-tanya, boleh ke jadi macam ni? kalau ada yang hilang, dah pun dibuat laporan... tapi tak jumpa-jumpa, atau saja tak nak bagi jumpa?

Oisy! takutnya.

Yang menghairankan lagi, kenapa ada yang begitu berkuasa sekali? seolah-olah di kawasannya, di tempatnya tak ada lagi yang berkuasa daripada dirinya? buatlah apa pun, macam okey aje. Orang hilang dan dilaporkan, tapi hilang tetap hilang. Tak ada cerita tak ada berita. Takkanlah tak ada yang tahu apa-apa? atau saja buat tak tahu? kalau buat tak tahu, mesti ada sebab kot? kot-kot poket dah diisi dulu? mulut pun jadi bisu?

Oisy! takutnya.

Mesti kita takutkan, bila kita dengar kes-kes bunuh yang berleluasa, ikut suka hati aje nak buat apa. Nak bunuh dengan kejam ke, nak tikam-tikam ke, nak tumbuk-tumbuk ke, nak bakar-bakar ke, nak campak ke sungai ke... suka hatilah. Dia memang berkuasa dan orang-orang kat tempat dia buat main tutup-tutup mata. Buat tak dengar, tak nampak dan tak tahu. Lepas satu, satu... buat aje, tak ada yang akan beritahu.

Oisy! takutnya.

Apa dah jadi dengan orang-orang yang patut peka? Pekan tu kecik aje, bukannya macam Manhattan tu, tapi dia orang semua tak tahu? bukan sekali tahu, dah berkali-kali tu. Takkan tak pernah dengar gosip, takkan tak terkeluar apa-apa cerita. Kot saja dia orang semua buat tak tahu? takut nanti miss soruu? takut poket tak ada isi lagi?

Oisy! takutnya.

Tuesday, September 14, 2010

Sepandai-Pandai Tupai Melompat



Sebagai penulis, saya berminat untuk memahami setiap motif dalam kes-kes jenayah tertentu. Perkara ini merupakan sesuatu yang menarik minat saya. Entah mengapa, jawatan 'peguam' merupakan salah satu profesion yang selalu buat saya tertarik. Masa saya budak-budak dan juga remaja dulu, saya suka baca kisah-kisah peguam, begitu juga menonton program TV... kalau ada cerita tentang peguam, saya mesti tak miss! Bagi saya, biasanya 'lawyer' ni bijak. Masa saya jadi student dulu (di UM) saya juga pernah ambil kursus perundangan, terutama perundangan keluarga dan tanah.

Mungkin kerana itu juga, tidak menghairankan saya kalau selalu berdepan dengan 'lawyer' yang juga merupakan 'crook'!. Orang pandai tak semestinya buat baik selalu. Ada yang kerana pandai, mahu jadi lebih pandai daripada yang lain. Yang tentunya, kadang-kadang (mungkin selalu)wang ringgit boleh gelapkan mata kita dan kerana wang ringgit juga orang bijak pilih untuk menjalani hidup 'crook'!

Dalam pengalaman saya juga, berkali-kali saya bertemu dengan 'lawyer' crook... hehe. Dalam kes pembelian tanah, berkali-kali juga saya dan suami kena tipu... huhu (no offence to lawyers). Suatu masa dahulu, rakan sekolah saya yang telah menjadi seorang peguam telah terlibat dalam kes penipuan yang besar-besaran. Akhirnya dia memboloskan diri ke Australia!

Okeylah... ada peguam memang sesuai jadi hero (KLB-novel saya), tapi kalau nak buat orang jahat, kadang-kadang lawyer pun sesuai juga. Apa pun, tak kiralah watak hero atau antagonis, peguam memang merupakan orang bijak, cuma kadang-kadang sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke bumi.

Monday, September 13, 2010

Simple Sahaja



Alhamdulillah, saya menyambut Eidulfitri secara sederhana sahaja. Memang tak ada mood nak beria-ia, lebih senang dengan gaya dan stail 'simple and easy'. Hari Raya pertama, sibuk sikit sebab ahli keluarga datang ke rumah macam biasa. Semua nak beraya dengan ibu saya. Selagi ada ibu, selagi itulah kami akan berkumpul di rumah saya. Ramai juga pelajar-pelajar Yemen yang datang beraya dengan kami dan ada juga tetamu dari negara lain (kawan suami). Termasuk juga famili besan kami. Syukur kepada Tuhan.

Hari Raya kedua, kami ke Johor Bahru, rutin tahunan kami. Kami ke rumah ibu saudara suami saya dan di situ kami berkumpul dengan ahli keluarga yang lain. Kemudian, beraya pula ke rumah abang-abang dan kakak suami saya sebelum pulang semula ke Nilai malam itu juga. Seronoklah dapat berjumpa dengan kaum kerabat, anak-anak saudara termasuk cucu-cucu saudara. Yang penting kena bawa 'angpaw' cukup-cukup... hehe.

Mungkin raya kali ini membuatkan saya terfikir untuk menulis cerita-cerita thriller sekali lagi. Malah, ramai yang meminta saya buat begitu. Sejak kebelakangan ini, memang banyak betul kisah-kisah pembunuhan dan jenayah yang berlaku di negara ini. Dulu-dulu, susah nak dengar kisah-kisah jenayah yang berlaku seperti hari ini. Sekarang, hampir setiap hari ada sahaja kes pembunuhan dan jenayah berat!

Saya juga percaya, ramai orang yang kaki 'kelentong' dan penipu dan kerana itu ramai yang sanggup terlibat dengan apa sahaja , janji cepat kaya! Ini merupakan trend orang Malaysia hari ini. Selain dari politik, orang Malaysia sangat aktif dengan 'gangsterism' atau 'mafia'... satu aktiviti yang sedang melular dalam masyarakat Malaysia kini. Selain itu, saya perhatikan, orang kita sangat 'involved' dengan minat untuk cantikkan diri (orang perempuanlah). Di kaca televisyen, terlalu ramai yang mempunyai wajah serupa (seakan-akan) akibat pembedahan plastik yang mampu mengubahkan rupa wanita-wanita Malaysia. Terlalu ramai yang mempunyai bentuk mata, hidung, dagu dan pipi yang sama! Anda perasan tak?

Okeylah... sekalipun saya suka dengan dunia 'simplicity', namun saya tahu ramai di luar sana sedang sibuk dengan alam kecanggihan hinggakan merumitkan hidup mereka.

Apa pun, ini boleh kita jadikan iktibar dan bahan penulisan!

PS: saya dapat banyak mesej ucapan hari raya, tapi saya tak balas sebab baru tukar 'handphone' dan terkial-kial untuk menggunakannya. Maaflah ya.

Musim raya... antara kuih kegemaran ialah kuih tart nenas!

Wednesday, September 08, 2010

Hilang Lagi


Semalam, saya kehilangan seorang teman lama yang pernah bertugas dengan saya semasa saya di UKM. Dia juga merupakan orang Perak dan tentunya suatu ketika dahulu, kami sering berlabon (bersembang). Kini dia sudah tiada lagi dan saya sempat menziarahi jenazahnya di rumah dan sempat bertemu isterinya. Al-Fatihah buat 3M (nama glamornya), nama sebenarnya ialah Muhammad Mustafa Mokhtar.

Kebetulan, semasa menziarahi, ramai teman-teman lama yang saya temui. Ada yang sudah 14 tahun saya tak jumpa. Alhamdulillah, semua staf UKM yang bekerja sewaktu dengan saya dulu, masih mengingati saya dan kami (yang wanita) tak putus-putus berpelukan kerana teruja berjumpa kembali. Ada tu, saya ingat wajah mereka, tapi tak ingat nama. Bayangkanlah, dulu mereka (termasuk saya juga) masih muda remaja, kini kami semua merupakan orang-orang yang sudah matang. Malah, staf baru juga mengenali saya... melalui novel-novel saya. Alahai, ada ketika terasa malu pulak saya kerana mereka tak habis-habis bercakap tentang dunia penulisan saya. Apa pun, semalam merupakan hikmah kerana bertemu dengan rakan lama juga bos-bos lama yang turut hadir walaupun ramai yang dah bersara.

Apa pun, pertemuan itu mengingatkan kami betapa silaturahim itu penting dan satu hari nanti, kita juga akan pergi meninggalkan dunia fana ini.

Monday, September 06, 2010

Mencari Kedamaian



Begitu pantas sekali, Ramadhan akan tinggalkan kita lagi. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya berasa sedih walaupun Syawal akan tiba untuk menggantikannya. Tak tahulah kenapa, mungkin sebab dalam bulan Ramadhan kita banyak kerjakan amal ibadah, lebih banyak dari bulan-bulan yang lain. Apa pun, saya doakan kita panjang umur dan insya-Allah akan bertemu Ramadhan di tahun hadapan. Insya-Allah kita akan menyambut ketibaan Syawal dengan bersederhana sahaja.

Saya tak ingat dah, tapi mungkin sekitar dua tahun yang lalu, ada seorang guru sekolah yang menghantar emel yang panjang kepada saya (lebih kurang sepuluh muka surat bila saya print out), mengisahkan cerita sedihnya. Wanita berkenaan tidak menyebut nama sebenarnya hanya sekadar mengguna nama samaran. Apa pun, kisah itu adalah suatu kisah yang teramat sedih yang terpaksa dilaluinya. Saya tumpang berasa sedihnya. Bayangkanlah, sebagai isteri dia terpaksa berdepan dengan pelbagai keadaan termasuk diserang 'along' kerana hutang suaminya, terperangkap dalam kes hutang yang amat membebankan, kesihatan suami yang memeritkan... malah, terpaksa berkorban segala-galanya untuk membesarkan anak-anaknya. Pada mulanya dia hidup dengan serba kemewahan.

Begitu juga kisah seorang teman saya. Tak payahlah saya sebut namanya. Dia pula terlibat dengan sebuah kes yang mungkin akan membawanya ke dalam penjara. Sudah itu, suaminya pula berkahwin lagi satu dan dirinya (teman tadi) sudah kehilangan jawatannya.

Perkara-perkara seperti ini selalu membuat saya insaf dan bersyukur dengan apa sahaja yang saya ada. Dalam dunia yang fana ini, kita hanya inginkan kebahagiaan dan ketenangan fikiran. Tak ada harta material atau wang ringgit yang boleh membuat kita rasa aman damai. Hanya Allah swt yang dapat memberikan semua itu buat kita. Tentunya rezeki yang datang membantu kita mencari keselesaan, tetapi duit yang bergunung masih tak dapat memberi ketenangan jiwa dan kesihatan yang baik.

Apa pun, kita patut bersyukur kerana setiap kali kita berasa kurang di mana-mana, lebih ramai lagi yang terpaksa berhempas pulas mengadap segala macam kesusahan dalam dunia ini. Biarlah kita berasa aman dengan apa-apa yang kita ada di dunia ini, semoga di akhirat nanti kita akan menemui kejayaan juga.

Sama-samalah kita doakan.

Salam Eidilfitri buat semua yang mengunjungi blog ini. Maaf Zahir dan Batin.

Saturday, September 04, 2010

Aku Akan Tunggu Lagi...



Kedatangannya, aku ternanti-nanti
Untuk setiap detik dan hari
Pagi dan petang, siang dan malam
Kau buat aku bahagia, ya Rabbi

Aku bersujud, aku meminta keampunanMu
Ku pohon agar aku akan berada di sini
Bila dia datang lagi
Tahun hadapan di musim seperti ini

Ramadhan, aku akan terus menunggu
Menantikan kehadiranmu
Agar sinar cahaya membawa nur buat qalbu
Menyerikan hari-hariku

Kini kau akan pergi lagi
Aku lepaskanmu dengan tangisan
Namun aku akan terus menunggu
Ya Ramadhan...
Semoga aku diizinkan Tuhan
Untuk berada lagi denganmu...

Wednesday, September 01, 2010

Mat, Jangan Kelentonglah!


Baru-baru ni adalah teman bercerita. Dia kata dia menghadiri sebuah forum berkaitan dengan isu penerbitan buku di Malaysia. Kata dia lagi (teman saya ini juga ahli dunia buku), tak tahulah kenapa, ramai benar mereka dari dunia buku ni suka pukul canang dan kelentong!

"Macamlah kita tak tahu. Kalau nak kelentong pada orang yang tak ada dalam dunia buku, okeylah... bolehlah sampai ternganga mulut mendengarnya, tapi kita yang tahu ni... dah jadi meluatlah pulak."

"Ya ke, apa ceritanya?"

"Yang satu ni bercerita tentang seorang penulis Malaysia yang konon-kononnya merupakan penulis 'chik-lit' terhebat. Setahu aku, kat Malaysia ni belum ada lagi siapa-siapa yang boleh tonjolkan diri sebagai penulis 'chick-lit'. Masalahnya, orang yang bercakap tu termasuklah penulis yang mengaku menulis novel-novel 'chick-lit' tu tak tahu pun apa makna 'chick-lit'. Main tibai aje! Kalau tak tahu, janganlah bercakap pasal isu tu. Janganlah kelentong pada orang awam, pada pelajar lagi. Itu menunjukkan dia tak ambil kisah pun. Setahu aku, kalau kat Indonesia tu ya, memang dah ada penulis lokalnya yang menulis novel 'chick-lit' secara besar-besaran. Kat Malaysia ni belum ada lagi... setakat satu dua tu mungkinlah."

"Okey. Apa sebenarnya konsep 'chick-lit' ni?"

"Novel yang mengisahkan kehidupan wanita bandar yang berkerjaya. Tak semestinya kisah cinta dan gaya tulis pun ala-ala macam kisah diari. Biasanya mengguna kata 'Aku' bukan 'Dia'. Banyak orang silap, 'chick-lit- bukannya cerita untuk budak-budak. Jadi kalau penulis tu menulis dan 'target group' dia budak-budak sekolah, memang silap besarlah, kerana 'chick-lit' tu adalah untuk wanita dewasa!

"Apa lagi yang kau tak suka kat forum tu?"

"Ada seorang ni pulak bercerita tentang penjualan 'ebook' kat Malaysia. Dia kata ada penulis ni jual ebook dia lebih lima ratus ribu pada satu judul. Kau percaya ke? kalau kat US atau Europe, aku percayalah jugak, tapi kat Malaysia aku memang tak percaya! walaupun ramai yang suka dok depan komputer, tapi berapa kerat yang betul-betul membaca kat depan komputer? Kita kena tahu jugak berapa kerat yang ada komputer kat Malaysia ni... lepas tu, kita jangan lupa, ramai jugak yang tak baca produk Melayu sebab dia orang bukan Melayu! Hah, macam mana ni? nak kelentong siapa pulak ni?"

"Saja kot dia nak buat gempaq. Biasalah kan, kalau kita kecoh-kecoh, orang pun mulalah nak percaya cakap kita."

"Tu lah... mamat ni lagi lah. Dia selalu dok bercakap kat TV, lagilah orang nak percaya kelentong dia." Dia tergelak.

Okeylah, kita cerita sikit-sikit pasal dunia buku ni.

Saya sempat juga melihat beberapa blog dan Facebook, komen-komen penonton drama Kau Laksana Bulan. Rata-rata, ramai yang berpuas hati dengan keseluruhan drama itu... hampir nak macam novel, cuma longgar sikit, sebab mungkin tak cukup episod... hehe. Kata dia orang, "Ending macam tak lengkap." Kot nak ada KLB kedua tak? Apa pun, ramai yang suka dengan lakonan Zul Huzaimy. Pada mulanya saya tak berapa yakin dengan lakonan mamat tu, tapi akhirnya saya sukalah jugak. Kalau Zul Huzaimy baca blog ni... saya nak ucapkan syabas! Anda buat KLB meriah. Banyak aweks jadi mabuk kepayang. Saya juga nak ucapkan syabas kepada Dian P.Ramlee... sukalah pulak tengok lakonan dia. Lain kali kita ajak berlakon lagi, okey?

Jadi, siapa yang tak baca KLB lagi, silalah baca.

*PS: Pinjam gambar Zul kat Yahoo.