Alhamdulillah, saya panjatkan syukran ke hadrat Ilahi,biasanya Hari Raya Korban tidaklah sesibuk tahun ini. Kali ini, hingga ke hari raya ketiga pun masih ada tetamu yang datang menziarahi kami. Seronoklah pulak. Sibuk melayan teman-teman yang datang dari Sabah dan Singapura. Kakak saya dari Muar pun beraya dengan kami, dan tahun ini, kami dah ada dua orang menantu. Bakal menantu saya pula, turut datang ke rumah, kerana kebetulan dia tak dapat cuti, tak boleh balik ke kampung. Riuh rendahlah rumah kami.
Petang nanti, mungkin akan mula berasa sunyi kerana teman saya akan pulang ke Sabah, kakak saya juga akan balik ke Muar. Anak-anak pula balik ke rumah masing-masing.
Tetapi, saya dah biasa begini... sunyi dan sepi. Bila tak ada orang, apa lagi, senanglah saya nak menulis.Tetapi apabila ada tetamu, seronoklah melayan mereka.
Sepanjang cuti kali ini, rumah tak kering dan tak putus dengan makanan, kerana kawan saya dan kakak saya suka memasak. Ada-ada saja menu yang disediakan, semuanya istimewa!
Walaupun ini rumah saya, tetapi kerana mereka sibuk di dapur, saya macam orang datanglah. Duduk di depan dan melayan tetamu yang datang. Bila adik-adik ipar saya datang dari Gombak,mereka pun bawa makanan, bertambahlah meriah rumah kami. Macam berkelah lah kami semua. Begitulah suasana Hari Raya EidilAdha tahun ini. Semoga anda semua turut bergembira dan sama-sama meraikan pengorbanan yang kita amalkan buat agama yang tercinta.