Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, August 31, 2009

Merdekakan Mentaliti...




Hari ini hari Merdeka... 52 tahun. Saya tak pernah tersasul tentang umur kemerdekaan negara kita, sebab dari kecil lagi saya memang tahu sangat-sangat. Semasa zaman saya dahulu, tak payah pun ada semangat Satu Malaysia yang perlu dipupuk dalam diri rakyat Malaysia, padahal ketika itu, ramai rakyat Malaysia ada yang masih tak fasih berbahasa Melayu. Tetapi, saya dan rakan-rakan pelbagai bangsa, kami tak pernah pun ada perasaan 'racialism', kami anggap diri kami sama sahaja kecuali keturunan dan agama mungkin berbeza. Kami meraikan pelbagai aktiviti perayaan bersama-sama dan kami belajar bersama-sama, malah ketika itu kami lepak pun bersama-sama. Sehingga sekarang, kami masih rapat walaupun generasi anak-anak kami sudah tak serupa lagi.

Di mana silapnya saya tak tahu, tetapi saya percaya memang ada silapnya. Negara hari ini dah lama tidak mempunyai rakyat yang mahu bertolak ansur, atau mahu bekerjasama antara rakyat yang pelbagai kaum. Betul kita duduk bersama-sama, tetapi kita tidak lagi mengenali orang lain yang bukan sekaum dengan kita. Mungkin kita tidak 'racist' tetapi kita mengamalkan 'racialism'... kita tak pedulikan kaum lain. Kita tak campur dengan bangsa lain dan kita tak ambil peduli dengan orang yang bukan sekaum dengan kita. Kerana itu juga, bagi mata orang luar (Bukan rakyat Malaysia), kita tidak mesra, sekalipun kita melabelkan bangsa kita sebagai bangsa yang berbudi bahasa.

Satu Malaysia? saya sering tertanya-tanya. Mungkinkah ini akan terjadi sedangkan orang kita tak mahu pun duduk atau berbual sekali. Kita tak mempunyai satu bahasa yang boleh dijadikan 'means of communication'. Antara orang Melayu pun sukar, inikan pula yang berbagai keturunan dan bangsa. Saya melihat Satu Malaysia mungkin lebih mantap di Sabah dan Sarawak. Cuba lihat orang di Sabah dan Sarawak bertutur bahasa Melayu. Mereka lebih fasih tak kira apa sekalipun keturunan atau etnik mereka. Mereka juga mempunyai bahasa Ibunda, namun bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan oleh semua orang di sana. Mereka juga lebih fasih berbahasa Inggeris daripada orang Semenanjung.

Mungkin ada di antara kita tak suka dengan penulisan saya ini, tetapi bagi saya ini adalah sebuah realiti. Kita perlu merdekakan mentaliti dan sikap orang-orang kita hari ini. Kita perlu luaskan pandangan dan tingkatkan ilmu kita untuk menjadi satu bangsa yang hebat mentalitinya. Selagi mentaliti kita tak kita tingkatkan, maka tidak merdekalah kita ini. Mungkin Satu Malaysia yang disibuk-sibukkan ini hanya sekadar mimpi atau strategi yang tak bererti. Sekadar 'suka-suka' atau sekadar untuk berpura-pura.

Masuklah ke kampus-kampus dan perhatikan anak-anak kita. Mereka tidak duduk bersama-sama. Lihatlah di 'shopping mall', tak ada pun yang melepak bersama-sama. Masuklah ke kawasan perumahan, tak ada yang ambil kisah tentang jiran yang berbeza kaumnya. Masing-masing dengan hal masing-masing. Masuk pula ke sekolah... anak Melayu masuk sekolah biasa, anak Cina masuk sekolah Cina, anak India masuk sekolah India... di mana letaknya semangat Satu Malaysia kalau sejak kecil lagi tiada komitmen apa-apa? Berbeza keadaannya di Sabah dan Sarawak.

Lihat pula pada iklan yang sering dipaparkan... asyik-asyik Melayu, Cina dan India yang diberikan keutamaan sedangkan etnik lain diketepikan, malah dalam promosi Satu malaysia juga begitu, seolah-olah negara kita ini, itu sahaja yang ada... sekadar tiga keturunana sahaja. Masih kita nak cakap pasal Satu malaysia?