Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 09, 2007

AKU dan DIA

Pertama kali aku bertemu dengannya... kami menghadiri satu perjumpaan anak-anak Perak di Ipoh. Kami diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Semuanya bangga untuk maklumkan kampung masing-masing. Dari Ipohlah, Taipinglah, ada yang dari Parit Buntar, Teluk Intan dan macam-macam lagi. Aku juga bangga kerana aku datang dari bandar di Raja, Kuala Kangsar. Kira 'glamourlah' tu! Masa tu, kami semua bergaya-gaya belaka, sekalipun datang dari Grik atau Lenggong.
Dia... dengan bangganya bangun dari kerusi dan memperkenalkan dirinya. "Saya dari Lambor Kanan, Parit." Semua pelajar lelaki terjerit-jerit, seronok kerana dia tidak malu menyatakan tempat asalnya. Sekalipun kampungnya agak terceruk ketika itu, tetapi dia tetap bangga! Aku tabik padanya. Dia dengan berpakaian yang bergaya dan dengan satil rambut yang terkini, ketika itu, tidak malu untuk mengaku tempat asal usulnya.
Itulah pertama kali aku dekat kepadanya. Semasa tahun dua, kami sama-sama tinggal di kolej yang sama. Tapi tidak tinggal berdekatan. Kami sering bertemu dan berbaik-baik sahaja. Masuk sahaja tahun tiga, dia juga tinggal di kolej yang sama denganku. Malah, tempatnya tidak jauh dari tempatku. Kami sering bertemu dan bertambah rapat persahabatan kami.
Ketika itulah aku telah diserang penyakit 'malaria' atau demam kepialu. Tak mampu bangun, tak boleh makan... malah terpaksa dipapah bila mahu ke bilik air. Ketika itu juga aku bertemu dengan seorang sahabat yang sehingga hari ini masih merupakan sahabat yang karib buatku. Dialah yang menemanku, menjagaku (aku tidur di atas katil dia pula di atas lantai berlapikkan tikar sahaja). Dia membawa bubur untukku setiap waktu makan, memapahkan aku ke bilik air... dan paling tak dapat aku lupakan, mengangkat dan mencuci baldi muntahku!
Hari ini... dia sudahpun dilantik sebagai seorang duta di sebuah negara di Afrika. Kami masih rapat, sentiasa berhubungan, walaupun masing-masing sering berantauan. Semasa dia bertugas di Paris, salah seorang anakku telah ke rumahnya. Semasa dia di Brazil, kami sentiasa beremel. Bila pulang ke Malaysia, aku telah mengikutnya pulang ke kampungnya di Lambor Kanan... malah bagiku, dia seorang kawan yang payah untuk kulupakan.
Tak lama lagi, dia akan dilantik sebagai 'Datuk' oleh Sultan Perak (itulah yang dimaklumkan), dan dari awal lagi kami sudah tetapkan yang kami akan terus kekal dengan nama masing-masing, sekalipun salah seorang sudah mendapat gelaran. Sungguhpun dia sudah berjawatan tinggi dan bergelaran, dia tetap orang yang sama... tidak pernah berubah sejak dulu lagi. Itulah kawanku. Alhamdulillah... Tuhan maha Kaya telah menganugerahkan aku seorang kawan yang bersifat jujur dan setia seperti dia. InsyaAllah, tahun depan, murah rezeki, kami sekeluarga sedang merancang untuk berkunjungan di tempatnya, nun jauh di Afrika.