Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, August 11, 2009

Babi Tak Okey Tapi Dadah Okey

Kadang-kadang, saya terasa pelik. Mengapakah agaknya orang kita lebih takut untuk makan babi, tapi tak takut melakukan zina, minum arak atau makan dadah. Orang kita macam tak boleh sebut tentang babi, seolah-olah babi itulah yang menentukan seseorang itu Islam ataupun tidak. Apabila merebaknya penyakit H1N1 ini, babi dipersalahkan seratus peratus dan kerana itulah orang kita sangat yakin mereka tak akan diserang penyakit itu, sebab mereka tak makan babi.

Memang tepat, pada asalnya penyakit itu telah datang kepada haiwan yang bergelar babi, tetapi apabila dihinggap manusia, virus itu sudah ada di udara dan bila-bila masa sahaja boleh menghinggap sesiapa sahaja. Segala penyakit datangnya daripada Allah SWT, dan segala ubat dan sembuh juga datang daripada-Nya. Janganlah kita melatah lalu menuduh segala macam penghinaan kepada haiwan yang bergelar babi, kerana sekalipun jijik kepadanya, binatang itu tetap wujud kerana Tuhan jadikannya. Kita haram makan babi, begitu juga haram minum arak, haram berzina dan haram juga makan dadah. Namun, kedudukan babi tetap diletkakan paling rendah oleh orang kita, dan kerana itu juga, sejak kecil lagi orang kita menjadi keliru dan beranggapan bahawa asalkan tak makan babi, kita ini okey. Kita ini Islam yang tulen.

Kerana itu juga, ramai orang kita yang 'MELANTAK' dadah, MINUM Arak dan Melakukan Penzinaan, tanpa rasa berdosa atau malu. Sudah ada di kepala kita yang mengatakan asalkan tak makan babi, kita okey saja!

Lagi satu perkara pelik yang saya lihat ialah tentang pembayaran mahar kepada wanita yang dinikahi. Kebanyakan negeri di Malaysia meletakkan pembayaran mahar untuk wanita di atas kadar yang agak rendah. Ada yang RM50, ada yang RM80 .... tetapi pembayaran untuk jurunikahnya dan pengurusan pernikahan, jauh lebih tinggi. Ada yang RM200, ada yang hampir RM300. Ini bermakna, kalau seorang lelaki dan perempuan itu berniat untuk menikah dan mampu membayar mahar, mungkin tak jadi berkahwin kerana upah menikah itu jauh lebih tinggi dan membebankan!

Ada pula tu, untuk menikah... mesti diletakkan gambar lelaki yang wajib pakai songkok. Tak tahu datangnya daripada mana syarat seperti itu. Songkok itu melambangkan kita orang Islam ke? Setahu saya, orang Batak di Indonesia dan juga orang Nepal di Nepal, mereka juga memakai songkok sebagai pakaian mereka. Tapi, mereka bukan orang Islam pun!

Sama juga dengan wang zakat yang kita salurkan ke pusat-pusat pengutipan zakat. Wang zakat ada juga yang dilaburkan. Boleh ke buat macam tu? bukankah wang zakat perlu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan?

Maaflah kalau ada perkara yang saya tulis ini sensitif atau tidak tepat. Saya sekadar berfikir-fikir tentang apa yang berlaku di sekeliling saya setiap hari. Saya sekadar mengingatkan diri saya tentang apa yang berlaku dan sebagai orang Islam, saya ingin melakukan yang terbaik untuk-Nya.