Satu lagi tip yang ingin saya ketengahkan tentang penulisan, ialah cara kita mencari bahan untuk tulisan kita itu. Rajin-rajinlah melayari laman web yang berkaitan tentang isu yang hendak dibangkitkan, tak kira sama ada isu itu kecil atau besar.Jangan sama sekali kita main tembak-tembak atau hentam sahaja. Misalnya tentang bangsa atau agama orang-orang di sesuatu tempat itu. Kalau kita tak pasti, semaklah laman web yang berkaitan dengan subjek yang kita sedang cari itu. Saya bagi contoh, ya.
Saya sedang mencari maklumat tentang orang-orang Kemboja sekitar 30 tahun yang lalu. Saya kena pastikan kerajaan yang ada di negara itu ketika itu. Apakah amalan yang dipraktikkan ketika itu dan negara apa yang rapat dengan negara Kemboja sewaktu itu. Kalau saya main hentam sahaja, mungkin cerita saya tidak hidup, kerana saya tak mampu menonjolkan persekitaran yang tampak natural. Akan ada pembaca yang tertanya-tanya, kenapa isu itu dibangkitkan kalau penulis tidak dapat mengaitkan dengan alasan yang kukuh?
Misalnya, kita sedang bercerita tentang sesuatu tabiat pelik yang diamalkan karakter dalam penulisan kita. Bawalah pembaca dekat dengan 'mengapa tabiat seperti itu boleh wujud'. Semaklah dulu sebelum kita tulis. Biarlah pembaca kita belajar sesuatu yang baru. Kalau kita tidak berikan maklumat yang baik kepada pembaca, maka pembaca sekadar berhibur sahaja tetapi tak belajar apa-apa yang berguna untuk mereka.
Bagi saya, janganlah suka bercerita sahaja tetapi langsung tak memberi info yang kukuh untuk pengetahuan pembaca kita. Walaupun kita melakarkan sebuah fiksyen, kita perlu ingat bahawa sebagai penulis, kita juga bertanggungjawab untuk mengembangkan pengetahuan pembaca-pembaca kita. Malah, sebagai penulis, kita sentiasa belajar sesuatu yang baru.
Teruslah menulis!