Assalam
Tahukan apa maksud jorok? Kata orang Indonesia, jorok bermaksud 'kotor' atau selekeh atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Memang pelik sangat-sangat kalau manusia selesa hidup dalam keadaan 'kotor', memang mungkin itu merupakan manusia 'jorok' kot! Tapi memang ada.
Bagi saya, kalau kita merupakan seorang pengotor, maknanya kita bukan merupakan seorang Muslim yang ikut sunnah Nabi. Malah, Islam mengutamakan kebersihan, namun kadang-kadang memang banyak orang Islam yang tak ambil kisah pun. Misalnya, ketika kami di tanah suci Mekah dan Madinah, keadaan tidak melambangkan sesuatu yang sepatutnya ada dalam Islam, iaitu kebersihan. Kalau kita lihat 'tandas awam' nya kotor, itu bermakna rakyat secara keseluruhan memang jenis pengotorlah tu. Di tanah suci, ada tempat bukan lagi kotor, tandas awam pun tak disediakan. Bayangkanlah, seolah-olah tak penting pun untuk orang buang air!
Tak payahlah fikirkan tentang negara orang, jom kita tengok negara kita sendiri. Baru-baru ini saya ke sebuah hospital swasta, dan bila saya ke tandasnya, walaupun tandas itu bersih, tetapi ada 'mangkuk' yang mengguna tandas tetapi tak tahu untuk 'flush'. Dibiarkan sahaja seolah-olah ada kuli yang akan 'flush' untuk dia.
Saya sendiri bukan jenis manusia yang rajin mengemas, tetapi saya sangat ambil berat tentang kebersihan terutama 'tandas'. Memang saya pantang kalau melihat tandas yang kotor! Bagi saya, kalau tandas kita kotor itu bermakna kita memang manusia 'jorok'. Sebab itu mungkin saya suka beli 'pewangi' suka juga sabun dan apa-apa yang melambangkan kebersihan. Bila kita bersih, pasti bau pun wangi.
Saya pernah ke sebuah rumah dan mahu menumpang tandasnya. Dia meminta saya ke kamarnya kerana dalam kamarnya terletak bilik air. Tapi malangnya, bilik air dalam kamarnya berbau hancing! Ya Allah, macam nak pitam saya dibuatnya. Bayangkanlah macam mana dia tidur dalam kamarnya itu.
Tandas dan bilik air di rumah kita mestilah berada dalam keadaan bersih. Bukan hanya tak berbau apa-apa yang tak menyenangkan, tetapi lantai dan dinding mestilah tidak berdaki dan tidak berlumut. Apatah lagi mangkuk tandas. Jangan biarkan keadaan tandas di rumah kita berada dalam keadaan yang 'jorok' kerana itu melambangkan diri kita sebenarnya!
Ada seorang lelaki bercerita pada saya. "Saya bertahan dengan perempuan tu beberapa bulan sahaja. Pada mulanya saya buat-buat tak kisah aje, tapi bila dah lama, memang saya tak tahan pun. Dia pengotor dan saya tak biasa macam tu. Sebab itulah saya tinggalkan dia. Memang kami ada masalah lain, tetapi keadaan 'jorok' nya membuat saya lega bila akhirnya saya menceraikannya."
Adoiiii... takkanlah kita nak biarkan diri kita jadi begitu kot! Sebenarnya kita akan tahu sama ada manusia itu jenis bersih atau tidak dengan melihat di sekelilingnya dan juga bau yang ada padanya.
Semoga kita memilih untuk jadi orang Islam yang ambil berat tentang kebersihan.
Wassalam.